Surah Taha: Ayat 56-59
Nabi Musa A.S Dituduh Sebagai Ahli Sihir, Fir'aun Cabar, Hari Pesta Mereka Fir'aun
Nabi Musa A.S Dituduh Sebagai Ahli Sihir, Fir'aun Cabar Akan Bawa Orangnya & Pada Hari Pesta Mereka

Live Kuliah Pagi Ahad 18/10/2026 - 07 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (09) Ayat [56-59]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 56 sehingga ayat 59 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Nabi Musa A.S dituduh sebagai ahli sihir oleh Fir'aun dan dia dikatakan sebagai mahaguru besar yang menyebar & mengajar sihir di Mesir!
- Maka Fir'aun tetap menolak mukjizat yang dibawa oleh Nabi Musa lalu iaitu tongkat & tangannya yang bercahaya.
Fir'aun mencabar akan bawa orangnya – para ahli sihir Mesir untuk melawan Nabi Musa.
Fir'aun yakin akan menang dan apa yang dibawa oleh Nabi Musa akan tewas.
4. Kemudian Fir'aun minta Musa tetapkan tempat mereka berjanji untuk bertemu & berlawan pada hari pesta mereka.
Kerana pada hari itu orang akan keluar dan berkumpul pagi-pagi lagi!
5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang dialog antara Fir'aun & Musa – di mana Fir'aun bertanya kepada Musa siapakah Tuhannya kemudian Fir'aun cuba lari tajuk dengan spin isu yang sedang mereka bincangkan.
- maka datang ayat Allah nyatakan bahawa Fir'aun telah diperlihatkan kepadanya ayat-ayat tanda kebenaran & kekuasaan Allah semuanya.
Iaitu ayat yang menujukkan akan kebenaran Nabi Musa sebagai seorang nabi dan utusan Tuhan.
Tetapi Fir'aun tetap tidak percaya, menolak dan medustakannya lalu dia spin tukar isu dengan menuduh Nabi Musa sebagai ahli sihir pula!
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 56 وَلَقَدْ أَرَيْنَاهُ آيَاتِنَا كُلَّهَا فَكَذَّبَ وَأَبَىٰ ﴿٥٦﴾ {Dan demi sesungguhnya! Kami telah tunjukkan kepada Firaun segala tanda-tanda yang membukti kekuasaan Kami; dalam pada itu ia mendustakannya dan enggan beriman.}
Allah nyatakan bahawa Fir'aun telah ditunjukkan & dia telah melihat semua mukjizat yang Allah berikan kepada Nabi Musa yang menunjukkan akan bukti kenabian & kebenaran dalil dakwah yang dibawanya!
Tetapi apabila hati dah tak percaya semua akan ditolak!
Setiap nabi itu akan diberi mukjizat yang serupa dengan trend atau kemahiran kaumnya pada waktu itu.
Oleh kerana kaum Fir'aun di Mesir pada waktu itu masyhur dengan sihir maka Allah beri mukjizat kepada nabi Musa sesuatu yang seolah seperti sihir mereka!
*Nabi Isa pula Allah beri mukjizat yang sesuai dengan dakwaan kaumnya bahawa dia anak Tuhan sebagai ujian kepada mereka!
*Pada zaman Rasulullah s.a.w pula kaum Arab Quraisy pada waktu itu suka akan sastera dan syair – maka Allah turunkan al-Quran yang sangat hebat dari segi bahasa & sasteranya!
Nota [876] Setelah Allah Ta’ala menerangkan nikmat-nikmat-Nya yang telah dikurniakanNya kepada umat manusia, maka dalam ayat ini disambung semula kisah Nabi Musa a.s dengan Fir’aun.
Lalu diterangkan, walaupun Nabi Musa telah menunjukkan kepada Fir’aun segala jenis mukjizat yang dibawanya, tetapi Fir’aun tetap dalam kekufurannya.
Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَآ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِۦ فَقَالَ إِنِّى رَسُولُ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ (٤٦
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Musa dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami, kepada Firaun dan kaumnya, lalu ia berkata: "Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam".
فَلَمَّا جَآءَهُم بِـَٔايَـٰتِنَآ إِذَا هُم مِّنْهَا يَضْحَكُونَ (٤٧)
Maka apabila ia datang kepada mereka dengan membawa tanda-tanda kekuasaan Kami, mereka dengan serta-merta mencemuh dan menggelakkan (apa yang dibawanya) itu.
وَمَا نُرِيهِم مِّنْ ءَايَةٍ إِلَّا هِىَ أَكْبَرُ مِنْ أُخْتِهَا ۖ وَأَخَذْنَـٰهُم بِٱلْعَذَابِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (٤٨)
Dan tidaklah Kami memperlihatkan kepada mereka sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa melainkan tanda itu adalah lebih terang dari yang terdahulu daripadanya; Dan Kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana), supaya mereka kembali (bertaubat).
وَقَالُوا۟ يَـٰٓأَيُّهَ ٱلسَّاحِرُ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ بِمَا عَهِدَ عِندَكَ إِنَّنَا لَمُهْتَدُونَ (٤٩)
Dan (apabila bala bencana itu menimpa mereka), mereka merayu kepada Nabi Musa dengan berkata: "Wahai orang yang bijak pandai, pohonkanlah kepada Tuhanmu keselamatan untuk kami dengan (kemuliaan) pangkat Nabi yang diberikan kepadamu; sesungguhnya kami (sesudah itu) akan patuh beriman".
فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُمُ ٱلْعَذَابَ إِذَا هُمْ يَنكُثُونَ (٥٠)
Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, mereka terus mencabuli janjinya.} [Az-Zukhruf: 46- 50].
Kata Syeikh Syanqiti dalam tafsirya – yang dimaksudkan dengan {ءَايَـٰتِنَا كُلَّهَا – semua ayat-ayat Kami} ini ialah: Semua mukjizat & keajaiban yang Allah telah beri kepada Musa a.s. Iaitu 9 tanda-tanda yang sangat nyata sebagaimana yang disebut dalam firman Allah ini:
{Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya); maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada Bani Israil (tentang itu): Ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya: "Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, seorang yang terkena sihir."} [Al-Israa: 101].
Juga sebagaimana firman Allah ini:
{"Dan masukkanlah tanganmu melalui belahan dada bajumu, nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat (ini ialah) di antara sembilan mukjizat (yang membuktikan kebenaranmu) untuk dibawa kepada Firaun dan kaumnya; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik - derhaka.} [An-Naml: 12].
Tetapi malangnya Fir'aun tetap menolak, {فَكَذَّبَ وَأَبَىٰ} mendustakan segala tauhid & ketaatan dengan penuh ingkar dan melawan dengan penuh kezaliman & angkuh rasa besar dirinya!
Walaupun sebenarnya sudah terdetik dalam hatinya akan kebenaran Nabi Musa!
Firman Allah s.w.t juga:
{Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.} [An-Naml: 14].
- Inilah bahayanya orang yang menolak kebenaran kerana zalim & angkuh – bukan kerana dia tidak tahu dan tidak mengakui – tetapi kerana zalim!
Manakala ahli kitab pula menolak kebenaran Nabi Muhammad s.a.w kerana hasad dengki & takabbur!
Iblis juga menolak Nabi Adam kerana hasad dengki!
11. Hadis – sabda Nabi s.a.w:
الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ، وَغَمْطُ النَّاسِ
Maksudnya: “Kesombongan adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” (HR. Muslim no. 91)
Ayat 57 قَالَ أَجِئْتَنَا لِتُخْرِجَنَا مِنْ أَرْضِنَا بِسِحْرِكَ يَا مُوسَىٰ ﴿٥٧﴾ {Firaun berkata: "Patutkah engkau datang kepada kami untuk mengeluarkan kami dari negeri kami dengan sihirmu, hai Musa?}
- Fir'aun merendah & menghina Musa dengan berkata tidak patut sekali Musa datang (dari Madyan ke Mesir) untuk mengajar mereka dengan ajarannya!
- Bahkan Fir'aun menuduh Musa datang mengajar sihir dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaannya dan mengeluarkan Fir'aun & kaumnya keluar dari negeri mereka Mesir!
- Nota [877] Mukjizat-mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa a.s disifatkan oleh Fir’aun sebagai sihir dan ditakuti akan menarik banyak orang-orangnya, yang berakhir dengan menumbangkan kerajaannya.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{فَلَمَّا جَآءَهُمُ ٱلْحَقُّ مِنْ عِندِنَا قَالُوٓا۟ إِنَّ هَـٰذَا لَسِحْرٌ مُّبِينٌ (٧٦
Oleh sebab itu ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, berkatalah mereka: "Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata".
قَالَ مُوسَىٰٓ أَتَقُولُونَ لِلْحَقِّ لَمَّا جَآءَكُمْ ۖ أَسِحْرٌ هَـٰذَا وَلَا يُفْلِحُ ٱلسَّـٰحِرُونَ (٧٧)
(Mendengarkan yang demikian), Nabi Musa bertanya: Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir? Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya".} [Yunus: 76-77].
فَلَنَأْتِيَنَّكَ بِسِحْرٍ مِّثْلِهِ فَاجْعَلْ بَيْنَنَا وَبَيْنَكَ مَوْعِدًا لَّا نُخْلِفُهُ نَحْنُ وَلَا أَنتَ مَكَانًا سُوًى ﴿٥٨﴾
Ayat 58- {"Kalau demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti itu untuk melawanmu!
Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami denganmu, yang kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang sesuai bagi kedua belah pihak".}
1. Fir'aun terus berhujjah dengan Musa dengan mengatakan Musa tidak akan dapat menjatuh & mengalahkan mereka dengan sihirnya itu!
Mereka akan melawan dan membawa para ahli sihir terpilihnya yang hebat & terkenal!
*Dikatakan terdapat 15000 ahli sihir di negeri Mesir pada waktu itu!
- Lalu Fir'aun membuat temu-janji- minta Nabi Musa tetapkan waktu untuk mereka bertemu dan berlawan pada suatu hari yang ditetapkan, di suatu tempat yang khas untuk mereka berlawan sihir bagi menentukan siapa yang lebih hebat & benar!
- Iaitu adalah di suatu tempat yang berada ditengah-tengah {مَكَانًا سُوًى} atau pusat bandar yang boleh dihadiri oleh semua orang dengan mudah. Serta mereka tak akan mungkir janji pertemuan mereka itu!
Ayat 59 قَالَ مَوْعِدُكُمْ يَوْمُ الزِّينَةِ وَأَن يُحْشَرَ النَّاسُ ضُحًى ﴿٥٩﴾ {Nabi Musa menjawab: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha".}
Lalu Nabi Musa menentukan hari itu – iaitu:
- waktunya – pada hari perayaan tahunan mereka {يَوْمُ ٱلزِّينَةِ} yang telah mereka ketahuinya!
- tempat – yang memang orang ramai biasa berhimpun pada hari raya itu!
- masa – pada waktu dhuha iaitu pagi.
- Kata al-Biqa’i: Iaitu pada hari perayaan mereka yang mereka akan berkumpul beraya di situ pada kebiasaannya!
- Kata asy-Syanqiti pula: Iaitu hari yang ma’ruf iaitu hari perayaan mereka, yang memang manusia akan keluar semua tanpa perlu dipaksa atau dipinta!
Nota [878] Yakni hari perayaan tahunan mereka.
Nota [879] Waktu dhuha ialah pertengahan waktu pagi.
- Lihat betapa lengkap perjanjian yang Fir'aun dan Musa persetujui, ada masa, tarikh & tempat yang maklum!
Penutup & Faedah
Ayat 56- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah tunjukkan kepada Firaun segala tanda-tanda yang membukti kekuasaan Kami;…}
Allah kata telah ditunjukkan kepada Fir'aun segala dalil akan kebenaran dakwah Nabi Musa & bukti akan kekuasaan Allah s.w.t!
Jika mengikut ayat al-Quran terdapat 9 tanda-tanda akan kebenarannya!
Kata ahli tafsir – ayat ini masih lagi dalam dialog antara Fir'aun & Musa – yang bermula dari ayat 49.
Kisah ini sebagai satu muqaddiman untuk diulang atau disambung balik kisahnya!
Dalam ayat ini Allah guna lafaz sumpah – {وَلَقَدْ} – Kami telah selesai tunjukkan bukti kepada Fir'aun – tetapi dia tetap keras kepala angkuh tak mahu terima.
Sebagai seorang pendakwah begitulah dalam berdakwah kita kena tunjuk dalil & bukti yang ada agar jika mereka tolak mereka tolak setelah tahu bukan sebab tak tahu!
Jadi mereka tak boleh guna hujjah tak beriman atau tak terima kerana tak tahu atau jahil!
Inilah perbezaannya orang yang menolak dengan sebab jahil; dengan orang yang menolak setelah tahu!
Orang yang jahil lebih ringan sedikit dosanya kerana dia tak tahu sungguh!
Tetapi jika dia tahu tetapi dia lawan juga – maka tunggulah hujjah akhirnya di hadapan Allah s.w.t!
Maka kamu jangan berani nak degil tunjuk keras kepala kerana kita akan bertemu di hadapan Allah s.w.t kelak!
Segala hujjah & pembuktian akan dibawa!
Ayat 56- {… dalam pada itu ia mendustakannya dan enggan beriman.} – dalam ayat ini Allah gambarkan sebab atau punca kerosakan manusia atas muka bumi ini; iaitu {فَكَذَّبَ وَأَبَىٰ} – mereka mendustakannya & enggan tak mahu terima!
Ini adalah yang paling bahaya sekali – dalam perjalanan dakwah & ilmu – apabila orang dustakan hujjah yang diberi & dia pula enggan tak mahu terima!
Jadi di sini apabila Fir'aun menolak setelah ada ilmu yang diberi – maka tiada lagi keuzuran baginya. Yang kamu tolak tadi adalah buktinya – tak cukp seorang; Allah hantar dua rasul – Nabi Musa & Harun untuk bertemu Fir'aun!
Kemudian Allah menguatkan hujjah mereka dengan mukjizat yang jelas lagi nya!
Tetapi apa boleh buat walaupun tak sama dengar dengan lihat sendiri – Fir'aun telah dengar kemudian lihatnya sendiri bukan hanya dengar saja!
Nabi Musa a.s bukan hanya cerita kepada Fir'aun tetapi tunjukkan kepadanya di depan matanya sendiri mukjizat-mukjizatnya!
Fir'aun tolak semua, tak mahu terima walaupun sedikit!
Sedangkan dalam hatinya telah terdetik akan kebenaran Nabi Musa!
Kata ulama': Fir'aun telah mendustakan ayat-ayat yang dibawa oleh Nabi Musa & enggan tak mahu terima dakwah Nabi Musa a.s.
Inilah punca kerosakan manusia atas dunia ini: Sombong diri, keras kepala, takabbur & hasad dengki!
Ayat 57- {Firaun berkata: "Patutkah engkau datang kepada kami untuk mengeluarkan kami dari negeri kami dengan sihirmu, hai Musa?}
Fir'aun menuduh Musa mahu merampas kerajaannya dan menghalau mereka semua agar keluar dari Mesir!
Ini adalah salah satu cara Fir'aun spin atau tukar tajuk akan isu utama dialog yang sedang mereka bincangkan!
Bukan lagi tentang isu kebenaran tetapi ubah kepada isu politik pula – konon-kononnya Musa guna sihir sebab nak rebut takhta kerajaan, nak halau Fir'aun dan kuncu-kuncunya keluar dari Mesir!
Sedangkan Nabi Musa sesekali tidak pernah minta jawatan atau pangkat dari Fir'aun – bahkan andainya Fir'aun berimanpun dia tetap akan kekal sebagai raja Mesir!
Begitulah golongan yang salah apabila kalah hujjah & tak ada fakta lagi; Fir'aun guna illah (sebab) ini untuk menuduh Nabi Musa sebagai pemberontak nak jatuhkan kerajaan mereka & nak guna sebagai sebab untuk tangkap & hukum Musa!
Penyokong & pengikutnya juga akan di charge sedemikian! Begitula Fir'aun spin dan tukar tajuk untuk mencari sokongan dan meraih simpati rakyatnya!
Ayat 58- {"Kalau demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti itu untuk melawanmu!
Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami denganmu, yang kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang sesuai bagi kedua belah pihak".}
Fir'aun lalu mengugut dan mengancam Nabi Musa pula! Kerana kamu ini ahli sihir – aku tak heran & pelik lagi dengan sihir kamu ini!
Kamu tak payah nak lawan atau cakap besar lagi Musa – kami akan bawakan kepadamu sihir yang seperti itu juga untuk melawanmu!
Ada riwayat kata Fir'aun membawa kepala-kepala ketua ahli sihir yang hebat seramai 70 orang untuk berlawan dengan Nabi Musa!
Manakala keseluruhan ahli sihir dalam negeri Mesir pada waktu ada 15 ribu – fenomena pada zaman Fir'aun.
Jadi Fir'aun kata dia tak heran lagi dengan sihir Musa dia akan bawa ahli sihir juga kita tetapkan masa & tarikh untuk berlawan!
Kita lihat nanti siapa yang lebih hebat!
- Ayat 59- {Nabi Musa menjawab: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha".}
Nabi Musa lalu memilih dan menetapkan tarikhnya iaitu pada hari perayaan mereka semua di mana pada hari itu orang ramai akan keluar berhimpun pada waktu dhuha (paginya).
Ada soalan: Kenapa Nabi Musa tidak nyatakan berapa haribulan – tidak sebut tarikh (date) yang sebenarnya.
Jawapan:
Kata para ulama' ayat ini menunjukkan Musa tahu & cerdiknya dia kerana dia pun orang Mesir. Tak perlu sebut tarikh lagi kerana hari itu hari yang sudah dikenali – Nabi Musa menjawab & memilih secara spontan tanpa perlu banyak cakap lagi!
Kerana taqwim atau kalendar itu sesuatu yang sudah ma’ruf seperti kita kata nak kenduri hari krismas atau hari depavali – maka orang tak tanya tarikh lagi tunggu tengok kalendar saja bilakah hari tersebut!
*Seeloknya kita sebagai orang muslim pilihlah tarikh-tarikh hari yang penting & bermakna dalam hidup kita yang tiada berkait dengan agama bukan Islam agar membawa berkat dan ketenangan.
Jika tidak kita akan berterusan menyambut tarikh tersebut saban tahun dalam hidup kita bersama dengan hari krismas atau depavali contohnya!
Begitu juga kita kena peka untuk memilih tarikh kenduri atau jamuan agar jangan bertindan dengan tarikh-tarikh yang sangat dianjurkan berpuasa sunat seperti hari Asyura 10 Muharram, Hari Arafah dan seumpamanya!
Jika tidak kita akan melawan arus – orang kempen nak suruh puasa – kita pula dok ajak orang datang makan kenduri!
Satu lagi kita juga perlu iklan yang lengkap untuk sesuatu majlis itu – tarikh, masa dan tempatnya agar senang untuk orang hadir dan tanda tarikhnya!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga mendapa manfaatnya!
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.