Surah Taha: Ayat 83-89
Nabi Musa A.S Segera Ke Thur, Samiri Menyesatkan Bani Israil, Patung Anak Lembu
Nabi Musa A.S Segera Ke Thur, Samiri Menyesatkan Bani Israil & Mencipta Patung Anak Lembu

Live Kuliah Pagi Sabtu 24/10/2026 - 13 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (14) Ayat [83-89]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 83 sehingga ayat 89 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang Nabi Musa A.S dipanggil segera ke bukit Thursina untuk mengadap Allah s.w.t bersama kaumnya.
- Sepeninggalan Nabi Musa, seorang anak buahnya yang bernama Samiri menyesatkan Bani Israil.
- Samiri mencipta patung anak lembu sebagai sembahan mereka bani Israil dan mengatakan itulah Tuhan sebenar mereka yang Musa cari tak jumpa.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang 3 nikmat-Nya yang diberikan kepada kaum bani Israil – keamanan dari Fir'aun yang zalim, Nabi Musa diberi Taurat sebagai petunjuk untuk mereka & Allah berikan makanan yang turun dari langit apabila mereka kelaparan.
- dalam ayat ini pula Allah nyatakan Nabi Musa diperintahkan untuk pergi menghadap Allah di berikut Tursina bersama 70 orang kaumnya. Tetapi Baginda tergesa pergi dulu meninggalkan kaumnya itu di belakang.
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 83 ۞ وَمَا أَعْجَلَكَ عَن قَوْمِكَ يَا مُوسَىٰ ﴿٨٣﴾ {Dan apakah yang menyebabkan engkau segera datang ke mari lebih dahulu dari kaum engkau wahai Musa?}
- Allah s.w.t bertanya kepada Nabi Musa a.s kenapa dia pergi dahulu ke tempat yang dijanjikan Allah iaitu di bukit Tursina & meninggalkan kaumnya di belakangnya!
- Yakni Allah menegur Nabi Musa dan minta dia tunjuk sebab akan perbuatannya itu, kenapa tak sabar untuk menunggu dan membawa mereka bersama-sama!
- Nota [898] Allah Ta’ala perintahkan Nabi Musa membawa 70 orang dari ketua-ketua kaumnya untuk menerima Kitab Taurat di Gunung Tursina.
Dalam perjalanan itu, Nabi Musa terdahulu sedikit sampainya daripada mereka, lalu ditegur oleh Allah Ta’ala mengapa ia berbuat demikian?
4. Dalam tafsir Ibnu Asyur – setelah dikaji oleh ulama'-ulama' tafsir: Sebabnya kerana Nabi Musa a.s rindu sangat untuk bertemu dengan Allah s.w.t – dia tidak sabar untuk tunggu berjalan bersama kaumnya yang ramai itu maka dia memecut pergi dulu dengan laju!
Yakni Nabi Musa a.s tak sabar untuk menerima perintah & Syari'ah dari Allah s.w.t!
Itu ijtihad nabi Musa A.S.
5. Pengajarannya:
- boleh kita bersegera, bergegas menuju untuk perkara baik;
- tetapi tidak boleh meninggalkan rombongan yang kita sepatutnya bersama – apatah lagi sebagai seorang ketua!
Ayat 84 قَالَ هُمْ أُولَاءِ عَلَىٰ أَثَرِي وَعَجِلْتُ إِلَيْكَ رَبِّ لِتَرْضَىٰ ﴿٨٤﴾ {Nabi Musa menjawab: "Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini; dan aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akan daku".}
Nabi Musa menjawab memberi sebab kenapa dia laju dan meninggalkan kaumnya:
- dia bersegera mendahului kaumnya kerana dia tidak sabar untuk segera datang kepada Allah, laju untuk mendapat keredhaan Allah!
- dia juga menyatakan kaumnya ada di belakangnya, mereka juga OTW cuma lambat saja sikit, bukan dia nak tinggal mereka!
- Allah menegur nabi Musa a.s kerana dia telah melanggar etika dan adab dalam musafir.
Kita mesti bersama-sama ahli rombongan yang dibawa bersama-sama lebih-lebih lagi Nabi Musa sebagai ketua & nabi mereka!
- Nota [899] Nabi Musa mengaku, ia terdahulu sedikit sampainya dari kaumnya yang turut bersama, da ia berbuat demikian, semata-mata kerana patuhnya menjunjung perintah Allah dan mengharapkan keredhaanNya.
- Walaupun niat Musa itu cantik, nak bersegera untuk mendapatkan keredhaan Allah; tetapi Allah tegur Musa dari segi etika permusafiran – iaitu tak boleh meninggalkan ahli rombongan yang keluar bersama!
Ayat 85 قَالَ فَإِنَّا قَدْ فَتَنَّا قَوْمَكَ مِن بَعْدِكَ وَأَضَلَّهُمُ السَّامِرِيُّ ﴿٨٥﴾ {(Setelah selesainya urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: "Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu dan mereka telah disesatkan oleh Samiri."}
- Allah berfirman lagi kepada Nabi Musa a.s, menyampaikan berita bahawa sepeninggalannya itu – kaumnya telah diuji dengan satu fitnah yang besar iaitu mereka telah disesatkan oleh godaan fitnah Samiri.
- Kata Ibnu Atiyah rhm: Allah ceritakan kepada Nabi Musa bahawa kaumnya telah difitnahkan oleh pengikiutnya yang bernama Samiri yang mencipta patung anak lembu sebagai Tuhan!
Nota [900] Setelah selesai menerima Kitab Taurat, Allah Ta’ala menerangkan kepada Nabi Musa supaya ia mengambil berat tentang kaumnya.
Mereka sepeninggalannya telah diuji dengan dikenakan cubaan dan mereka – kebanyakannya – telah disesatkan oleh “Saamiri” sehingga mereka terdorong menyembah patung anak lembu.
“Saamiri” ialah seorang munafik, kerana ia pada zahirnya mengikut agama Nabi Musa tetapi pada batinnya masih berpegang kepada kepercayaan datuk neneknya – penyembah lembu.
- Begitulah manusia ini mudah terpengaruh dengan ajaran sesat dan sesuatu yang pelik, lain daripada yang kebiasaan & mudah tergoda dengan nafsu!
Siapakah Samiri ini?
Banyak kata-kata cerita (قيل وقال) tentangnya tetapi tiada sumber yang sahih selain yang disebut dalam al-Quran ini!
Yang lain tak tahu betul atau tidak; yang banyaknya kisah Israiliyyat!
- Kata Syeikh al-Qaismi dalam tafsirnya: Sesiapa yang cuba menamakan Samiri sebagai Musa juga atau apa saja – semua itu hanya sangkaan – mereka tidak ada fakta atau dalil yang sah!
- Alhamdulillah – Maha Suci Allah yang beri kita akal yang waras dari terlibat dengan penyembahan yang selain dari Allah, sesuatu yang amat jelas kebodohan & kesesatannya!
*Ada manusia yang tertutup akalnya sehingga sanggup sembah tahi lembu & seumpamanya!
8. Munafiq ini ada dua:
Munafik I'tiqadi (Nifaq Akbar / Kepercayaan)- itu kafir – zahir sebagai beriman tetapi dalam hati & iktiqadnya tidak beriman – ini adalah kafir!
Ini seperti Samiri dari kalangan bani Israil & Abdullah bin Ubai bin Salul dari kalangan Arab di Madinah.
- munafiq amali iaitu secara Amalan (Nifaq Asghar / Perbuatan)- ini ramailah iaitu seseorang yang bersifat dengan sifat munafiq sebagaimana hadis Nabi s.a.w ini:
أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا: إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ، وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ
Maksudnya: "Empat perkara, sesiapa yang padanya terdapat keempat-empatnya, dia adalah seorang munafik tulen.
Dan sesiapa yang padanya terdapat salah satu daripadanya, maka padanya ada satu sifat kemunafikan sehingga dia meninggalkannya: apabila diamanahkan dia berkhianat, apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila dia bertelingkah (berselisih) dia melampaui batas." [HR Bukhari & Muslim].
*Munafiq amali ini jarang orang terlepas pada akhir zaman ini!
Ayat 86 فَرَجَعَ مُوسَىٰ إِلَىٰ قَوْمِهِ غَضْبَانَ أَسِفًا ۚ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَمْ يَعِدْكُمْ رَبُّكُمْ وَعْدًا حَسَنًا ۚ أَفَطَالَ عَلَيْكُمُ الْعَهْدُ أَمْ أَرَدتُّمْ أَن يَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبٌ مِّن رَّبِّكُمْ فَأَخْلَفْتُم مَّوْعِدِي ﴿٨٦﴾ {Maka kembalilah Nabi Musa kepada kaumnya dengan perasaan marah dan dukacita; ia berkata: "Wahai kaumku! Bukankah Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang baik? Patutkah kamu merasa panjang masa pemergianku menerima apa yang dijanjikan itu? Atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan dari Tuhan kamu, lalu kamu menyalahi perjanjian kamu denganku?"}
Nabi Musa pun keluarlah dari Tursina untuk kembali kepada kaumnya bani Israil.
Baginda dalam keadaan penuh perasaan marah dan dukacita – sedih & kecewa dengan apa yang berlaku terhadap mereka!
- Sepeninggalannya Musa telah melantik saudaranya Nabi Harun sebagai ketua mewakilinya!
Tetapi tak memadai kerana kaumnya tidak mendengar larangan & peringatan Nabi Harun!
Dia telah dilemahkan oleh mereka & hampir dibunuh oleh mereka yang melawannya!
*Harun telah jalankan tugasnya tetapi kaumnya yang tak dengar & melemahkan Harun.
- Nabi Musa mengingatkan kaumnya akan janji Tuhan kepada mereka yang telah menjanjikan kebaikan kepada mereka iaitu balasan syurga yang amat indah.
- Nabi Musa bertanya lagi apakah mereka merasakan pemergiannya terlalu lama – iaitu hanya selama 40 hari peninggalannya mereka terus kufur dan berpaling tadah – padahal perginya untuk menerima Perjanjian yang baik dari Tuhan & tempohnya hanya sekejap!
- Nota [901] “Perjanjian yang baik” itu ialah: menurunkan Kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s.
- Nabi Musa mengingatkan bani Israil lagi: Atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan dari Tuhan kamu, lalu kamu menyalahi perjanjian kamu denganku?
- Nota [902] Janji mereka kepada Nabi Musa, ialah mereka akan tetap berpegang kepada agamanya sehingga ia kembali dari menerima Kitab Taurat.
Ayat 87 قَالُوا مَا أَخْلَفْنَا مَوْعِدَكَ بِمَلْكِنَا وَلَٰكِنَّا حُمِّلْنَا أَوْزَارًا مِّن زِينَةِ الْقَوْمِ فَقَذَفْنَاهَا فَكَذَٰلِكَ أَلْقَى السَّامِرِيُّ ﴿٨٧﴾ {Mereka menjawab: "Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiar kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang-orang (Mesir) itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami melakukan yang demikian, maka demikianlah juga "Samiri" mencampakkan apa yang dibawanya.}
Kaumnya, Bani Israil menjawab teguran Nabi Musa dengan memberi beberapa alasan:
- "Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiar kami – yakni bukan sengaja nak langgar janji!
- tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang-orang (Mesir) itu – lihat nota.
- Samiri ajar kami supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami melakukan yang demikian untuk menyelesaikan masalah itu kononnya!
- maka demikianlah juga "Samiri" mencampakkan apa yang dibawanya!
Penjelasannya kita lihat nota di bawah.
Nota [903] Semasa mereka tinggal di Mesir, mereka telah meminjam barang-barang perhiasan dari orang-orang Mesir kerana hendak memakainya pada hari perayaan.
Tetapi sebelum mereka menyambut hari raya itu, mereka telah diperintahkan keluar dari Mesir bersama-sama Nabi Musa untuk melepaskan diri dari kekejaman Fir’aun, dengan tidak sempat memulangkan barang-barang itu kepada tuannya, lalu mereka membawanya bersama.
Tatkala mereka bersungut dan resah gelisah disebabkan Nabi Musa lambat kembali dari Gunung Tursina, maka Saamiri berkata kepada mereka: Kelambatan Nabi Musa itu ialah disebabkan kamu menyimpan barang-barang orang itu.
Untuk melepaskan diri dari dosanya, campakkanlah dia ke dalam api.
Saamiri mengesyorkan demikian supaya ia tidak merosakkan agama mereka.
- Begitulah – mendengar diayah Samiri itu bani Israil terus percaya lalu ikut akan saranan & nasihat Samiri itu!
Ayat 88 فَأَخْرَجَ لَهُمْ عِجْلًا جَسَدًا لَّهُ خُوَارٌ فَقَالُوا هَٰذَا إِلَٰهُكُمْ وَإِلَٰهُ مُوسَىٰ فَنَسِيَ ﴿٨٨﴾ {"Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: "Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!"}
- Allah ceritakan lagi tentang perbuatan & rekaan Samiri daripada barang-barang kemas yang mereka leburkan bersama tadi.
- Nota [904] Yakni Saamiri membuat untuk mereka patung anak lembu supaya mereka menyembahnya.
Patung itu dibuat dengan satu cara mengeluarkan suaranya dari angin yang bertiup ke dalam rongganya.
3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan kaum Nabi Musa, sesudah ia (pergi ke Gunung Tursina), mereka membuat dari barang-barang emas perhiasan mereka, (patung) anak lembu yang bertubuh dan bersuara (Allah berfirman): "Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya (berhala yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang melakukan kezaliman".} [Al-A’raaf: 148]
- Samiri kemudian mendakwa bahawa patung lembu itu adalah Tuhan mereka & Tuhan Musa. Tetapi Musa lupa akan Tuhan mereka sudah ada lalu pergi mencari Tuhan lain pula di Tursina!
- Nota [905] “Mereka” di sini maksudnya: Saamiri dan orang-orang yang bekerja membuat patung itu.
- Nota [906] Yakni mereka mengatakan: Nabi Musa lupa bahawa inilah tuhannya, lalu ia pergi mencari Tuhan di Gunung Tursina.
Ayat 89 أَفَلَا يَرَوْنَ أَلَّا يَرْجِعُ إِلَيْهِمْ قَوْلًا وَلَا يَمْلِكُ لَهُمْ ضَرًّا وَلَا نَفْعًا ﴿٨٩﴾ {Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka?}
Lalu Allah menjawab balik dakwaan & hujjah bodoh mereka penyembah patung lembu itu dan segala sembahan manusia yang lain selain daripada Allah!
Allah mengatakan mereka tidak berfikir menggunakan otak!
Iaitu tidakkah kamu berfikir bahawa patung bukan saja tidak berkuasa tetapi bahkan tidak dapat bergerak, berkata-kata atau mendengar apa saja yang kamu katakan!
Ia juga pasti tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka!
- Nota [907] Allah Ta’ala menujukan firmanNya ini kepada golongan penyembah patung anak lembu itu.
Penutup & Faedah
Ayat 83- {Dan apakah yang menyebabkan engkau segera datang ke mari lebih dahulu dari kaum engkau wahai Musa?}
Allah tegur nabi Musa kenapa dia meninggalkan kaumnya di belakangnya!
Dalam ayat ini Allah s.w.t mengajar kepada nabi Musa adab bermusafir bersama rombongan!
Sepatutnya seorang ketua itu tidak pergi dulu meninggalkan kaumnya bahkan dia sepatutnya duduk di belakang untuk menjaga keselamatan dan memastikan tiada ahli rombongan yang tertinggal dan selamat tiba di destinasi semuanya!
Nabi Musa sebaliknya bersegera ke depan dan meninggalkan kaumnya jauh di belakang tanpa ada pemimpin atau ketua yang mengawal mereka!
Begitulah adab & peraturan yang perlu kita pegang dalam pengembaraan – terutama jika masuk ke dalam hutan, mendaki gunung dan sebagainya tempat-tempat yang bahaya – ketua mesti bersama tak boleh tinggal!
Allah tanya juga bukan kerana Dia tak tahu tetapi kerana nak tegur Nabi Musa a.s.
Ayat 84- {Nabi Musa menjawab: "Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini; dan aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akan daku".}
Musa mengatakan bahawa dia tidak meninggalkan kaumnya bahkan mereka ada di belakangnya – dia bergerak dulu kerana hendak segera sampai kepada Allah.
Nabi Musa menjawab kepada pertanyaan Tuhan itu!
Dia memberi alasan kenapa dia bersegera sehingga meninggalkan kaumnya; iaitu kerana hendak segera sampai ke tempat yang dijanjikan untuk bertemu Allah – lalu mencapai keredhaan Allah!
Ayat ini menunjukkan bahawa apabila kita nak bermunajat kepada Allah kita kena bersegera jangan menangguhkannya!
Ayat ini menjadi dalil elok kita solat pada awal waktu, jangan menangguh-nangguhkannya!
Apabila masuk waktu solat segera berhenti buat perkara lain – dulukan solat – jika dalam perjalanan boleh berhenti cari masjid tunaikan solat jemaah!
Dalam bab amal ibadat & amal kebaikan kita kena bersegera dan awal perginya!
Sebagaimana kata pepatah Arab:
((خَيْرُ الْبِرِّ عَاجِلُهُ))-
perkara yang baik ialah yang disegerakannya!
Orang azan segera ke masjid – setiba di dalam masjid jangan pula bertolak-tolak pula pakat tak mahu masuk saf depan!
Seolah kita tak minat dengan pahala yang Allah tawarkan!
Ayat 84- {Nabi Musa menjawab: "Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini; dan aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akan daku".} – kata Nabi Musa aku gopoh dan bersegera ini kerana nak cari keredhaan-Mu!
Bukankah berhati-hati itu dari Allah manakala gopoh itu dari syaitan!
Tetapi kenapa dalam masalah ini Allah tak marah kepada Musa yang gopoh cuma Allah tegur kerana meninggalkan kaumnya?
Jawapan: Ini kerana gopoh atau bersegera dalam kebaikan tidak mengapa yang salahnya gopoh tidak kena tempat – seperti bawa kereta langgar had laju, lorat buat kerja sehingga tak sempurna, tinggal kawan dan seumpamanya!
Ini sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;} [Aal Imaran: 133]
Sempena dengan teguran Allah ini terdapat seberapa adab semasa makan atau menghadap hidangan:
Dalam hidangan beramai-ramai- jangan segera bangun basuh tangan jika kawan-kawan sehidangan atau semeja kita belum siap lagi.
Jangan tinggalkan kawan keseorangan – kita temani duduk bersama, bual-bual tak makan pun tak apa!
Dalam keluarga juga begitu – kita bersama-sama dalam menghadapi hidangan & makan – lebih mesra dan mengeratkan hubungan!
- Ayat 88- {"Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata:
"Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!"}
Samiri menyesatkan mereka dan mereka terimanya dengan mudah!
Timbul persoalan:
Bagaimana bani Israil, pengikut nabi Musa yang yang telah belajar & mengaji dengan Musa bertahun-tahun, yang dapat bersabar bertahun-tahun lama ditindas dizalimi Fir'au, diselamatkan oleh Musa bersama melalui mukjizat menyeberang lautan yang terbelah dengan kuasa Allah; sekali nabi Musa begitu mudah terpedaya tergoda dengan Samiri yang sekali sentap bawa anak lembu sebagai Tuhan kepada mereka!
Jawapan:
Kata Syeikh Al-Khatib asy-Syarbini: Tidak pelik jika para pengikut itu orang bodoh, orang tidak cerdik – kerana mereka mudah terpengaruh dan disesatkan orang!
Sebagaimana kaum bani Israil yang bertahun susah senang bersama Musa, sekali disentap Samiri terus percaya & ikutnya!
kata Ibnu Asyur – manusia ini mudah terpengaruh dengan di’ayah yang dibuat orang!
Samiri kata Musa nak pergi cari Tuhan tetapi Tuhan sebenar sudah ada di sisi mereka!
puak nabi Israil ini sudah lama hidup dengan puak Qibti kaum Fir'aun yang kafir, penyembah berhala & patung selain daripada sembah Fir'aun!
Patung itu sudah dekat dalam hidup mereka; Kerana itu pada awal lagi – apabila mereka keluar dari laut dan berjumpa dengan sekumpulan manusia yang menyembah patung berhala – mereka minta agar Musa buat juga patung sebagai Tuhan untuk mereka!
Ini kerana pemikiran lama telah lekat dalam otak mereka!
Ini pentingnya anak-anak kecil diberi didikan dan ilmu yang benar agar mereka tidak mudah terpengaruh dan dapat menapis apa yang benar atau apa yang sesat!
- lama sangat bani Israil berada di bawah jajahan dan penindasan Fir'aun dan kaumnya – menyebabkan mereka hilang budaya asal.
Sebagaimana negara-negara Islam yang pernah berada di bawah jajahan komunis walaupun setelah merdeka otak mereka masih lagi terbelenggu dan terbiasa dengan fahaman komunis itu!
Manusia ini mudah terpengaruh dengan manusia & keadaan sekelilingnya!
Peringatan tambahan sesuai dengan keadaan kita hari ini:
Tuan-tuan dan puan-puan- pencinta ilmu, duk belajar dengan seorang ustaz sudah lama. Bertahun-tahun dia belajar. Habis kitab, buka kitab lain.
Tiba-tiba mari seorang buat fitnah, dia kata kepada ahli masjid atau AJK-nya, “Awak kenal ke ustaz yang mengajar kamu tu?”
Jawabnya: “Kenal.
Bertahun-tahun dia duduk mengaji dengan dia. Online lagi, tak online lagi.”
Kata orang itu lagi: Ustaz ni bukan Ahli Sunnah ni, dia ahli punah nama dia.
Terus percayanya: “Oh, patutlah dia mengajar Quran atau ajaran pelik begini-gini.”
Akhir sekali kena buang ustaz tu dari masjid. Selama ini dia belajar & mengaji dengan ustaz itu selama 20 tahun, macam tak ada harga & manfaat sikit pun.
Orang panggil turun tak bertangga.
Inilah orang bodoh nama dia, AJK bodoh, yang perangainya serupa dengan puak Bani Israil ini.
Apa salahnya?
Jika bincang dulu minta penjelasan dari si ustaz. Lepas pada kuliah malam ni kita ada nak bincang sikit.
Lalu nyatakan terus-terang- tengok ni ada tuduhan orang – lima orang tuduh ustaz.
Minta tolong penerangan sikit.
Kita nak jawab ke apa?
Bincangkan satu persatu tuduhan itu!
Lepas tu, mana salahnya?
Dah jelas tak ada salah.
Maka kenapa jadi begitu?
Kalaulah memang sudah nak buang sungguh pun, buat dengan cara rasmi bukan sehingga turun tak bertangga ustaz hanya dengan dua patah sms tamatlah khidmatnya!
Berterus-terang nyatakan kami terpaksa hentikan khidmat ustaz setajat Tuhan ini saja.
Ini kerana kami pihak Ajk masjid sudah tak tahan dengan desakan orang, dengan fitnah orang, kami tak sanggup jugalah.
Seeloknya sebelum berhenti buatlah majlis penghargaan kepada ustaz – beri Hadiah sebagai cenderahati.
Maaflah bukan kami tuduh ustaz, tapi kami tak tahan dengan tuduhan terhadap ustaz & asakan kepada pihak kami!
Kita kata, itulah adab kita – sebagaimana kita yang jemput ustaz dulu dengan rasmi dan protokolnya; maka kita juga ucapkan selamat tinggal kepadanya dengan rasmi dan beradab!
Betullah sebagaimana kata asy-Syarbini tadi, orang yang tak cerdik, dia saja yang buat tindakan yang bodoh seperti itu.
Kita kata, نَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الضَّلَالَة - Kita minta berlindung kepada Allah Taala daripada kebodohan yang melindungi akal kita.
5. Ayat 89- {Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka?} – dalam ayat ini Allah ajar hujjah aqli.
Allah suruh nabi Musa ajar kepada pengikutnya untuk berfikir bahawa Tuhan itu ada sifat-Nya yang khas.
Iaitu sifat yang Maha berkuasa, yang memberi manfaat & mudharat, maha mendengar, maha melihat dan sebagainya!
Sedangkan patung lembu yang mereka sembah itu tidak bergerak, tidak boleh buat apa – ia hanya boleh berbunyi dengan perlahan tidak mendengar tidak berkata – apatah lagi memberi manfaat & darurat - maka apakah layak ia didakwa sebagai Tuhan?
Ini adalah hujjah aqli untuk patahkan hujjah mereka yang mengatakan patung lembu itu adalah Tuhan!
Kita sambung esok dengan kisah seterusnya insya' Allah.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga mendapa manfaatnya.
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.