Surah Taha: Ayat 65-70
Fir'aun Mengumpul Ahli Sihir, Nabi Musa A.S Beri Amaran, Ahli Sihir Berbisik Dan Membuat Tuduhan
Nabi Musa A.S Berlawan Dengan Ahli Sihir, Nabi Musa A.S Campak Tongkatnya & Ahli Sihir Beriman Kepada Allah S.W.T.

Live Kuliah Pagi Selasa 20/10/2026 - 09 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (11) Ayat [65-70]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 65 sehingga ayat 70 dalam juzuk keenam belas.
Dalam siri ini bermulanya episod perlawanan seperti yang telah dijanjikan.
Allah s.w.t nyatakan Nabi Musa A.S berlawan dengan ahli sihir, yang mencampakkan segala tali mereka.
- Melihat hasil sihir itu Nabi Musa a.s panik sekejap – kemudian apabila Allah suruh – Musa campak tongkatnya yang menjadi seekor ular besar yang memakan semua ular jadian dari tali-tali ahli sihir tadi.
- Melihat ini ahli sihir tahu bahawa itu bukan perbuatan sihir lalu mereka terus sujud dan mengaku beriman kepada Allah s.w.t.
Inilah kuasa Allah sebelum ini – paginya mereka ahli sihir yang kafir dekat dengan Fir'aun; pada waktu petangnya menjadi orang beriman!
*Begitulah hati ini mudah berbolak-balik maka kita berdoalah agar hati kita sentiasa diatas agama Allah ini.
5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang janji Nabi Musa & Fir'aun untuk bertemu pada hari pesta.
Maka datanglah ahli sihir yang terpilih oleh Fir'aun dari kalangan mereka yang hebat dan mahir.
- maka berlakulah perlawanan antara Nabi Musa & para ahli sihir yang ramai itu!
Ada riwayat mengatakan bilangan mereka seramai 70 orang manakala Musa hanya berdua dengan Harun saja.
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 65 قَالُوا يَا مُوسَىٰ إِمَّا أَن تُلْقِيَ وَإِمَّا أَن نَّكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَلْقَىٰ ﴿٦٥﴾ {Mereka berkata: "Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula mencampak?"}
- Ahli sihir berkumpul dengan berada dalam satu barisan yang teratur.
- Mereka dengan beradab berunding bertanya Musa siapakah yang akan mencampak dulu alatan mereka seperti tali atau tongkat itu!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
Mereka berkata: "Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?"} [Al-A’raaf: 115].
Ayat 66 قَالَ بَلْ أَلْقُوا ۖ فَإِذَا حِبَالُهُمْ وَعِصِيُّهُمْ يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِن سِحْرِهِمْ أَنَّهَا تَسْعَىٰ ﴿٦٦﴾ {Nabi Musa menjawab: "Bahkan kamulah campak dahulu". Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.}
- Nabi Musa juga membalasnya dengan beradab iaitu meminta mereka dulu mencampakkan alatan mereka – kerana mereka ramai dan pilihan Fir'aun.
Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{قَالَ لَهُم مُّوسَىٰٓ أَلْقُوا۟ مَآ أَنتُم مُّلْقُونَ )٤٣
Nabi Musa berkata kepada mereka: "Campakkanlah dahulu apa yang kamu hendak campakkan".
فَأَلْقَوْا۟ حِبَالَهُمْ وَعِصِيَّهُمْ وَقَالُوا۟ بِعِزَّةِ فِرْعَوْنَ إِنَّا لَنَحْنُ ٱلْغَـٰلِبُونَ )(٤٤
Lalu mereka mencampakkan tali-tali dan tongkat-tongkat mereka sambil berkata: "Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya sudah tetap kamilah orang-orang yang akan menang".} [Asy-Syu’araa’: 43-44].
- Mereka pun mencampakkan tali-tali dan alatan mereka yang terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan atau ular yang merayap, disebabkan sihir mereka.
- Nota [884] Disebabkan sihir mereka, benda-benda itu terbayang-bayang kepada Nabi Musa seperti sekumpulan ular yang menjalar.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
i- {Nabi Musa menjawab: "Campakkanlah kamu (dahulu)!" Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya).} [Al-A’raaf: 116].
6. Ulama' berbeza pendapat tentang sihir ini; apakah ia hakikat atau khayalan?
Apakah ia berubah menjadi benda hidup sungguh atau hanya permainan mata yang mengkhayalkan semua itu?
7. Kata Syeikh asy-Syanqiti ulama' berbeza pendapat tentang sihir ini:
- ada yang mengatakan adakalanya ia bertukar & berlaku sungguh – yakni hakikat.
- adakala ia hanya permainan silap mata yang mengaburi pemandangan manusia – yakni hanya khayalan!
8. Tetapi sihir ini wujud sungguh – permainan syaitan akan kuat jika manusia itu lemah!
Tetapi apabila kita kuat syaitan akan lemah!
Kerana itu kita hendaklah sentiasa berzikir dan membaca doa perlindungan sebagaimana yang Nabi s.a.w ajar pada setiap pagi & petang!
Kumpulan zikir pagi dan petang dinamakan Perisai Muslim – sebagai perisai atau baju besi yang akan melindungi kita dengan izin Allah!
9. Kata ahli fikir: "Orang yang menjadi batu api (pengadu domba/An-Namimah) mampu merosakkan hubungan baik sesama manusia dalam masa beberapa saat sahaja, sedangkan ahli sihir memerlukan masa berbulan untuk melakukan kerosakan yang sama."
Ayat 67 فَأَوْجَسَ فِي نَفْسِهِ خِيفَةً مُّوسَىٰ ﴿٦٧﴾ {Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.}
- Melihat hasil kejadian lontaran ahli sihir itu – Nabi Musa berasa sedikit cemas & takut dalam hatinya!
- Kata Ibnu Atiyah rhm – maksudnya perkataan ini {فَأَوْجَسَ فِى نَفْسِهِ}: Terdetik rasa cemas takut kalah apakah akibatnya.
Tetapi Nabi Musa tidak menzahirkannya atau menyatakan kepada saudaranya Harun!
*Apa kecemasan yang terdetik dalam hati itu dipanggil wajis.
3. Kata Ibnul Jauzi pula – Nabi Musa takut itu ada dua huraian:
- takut kepada perkara pelik atau sesuatu yang menakutkan adalah sebagai tabiat manusia, naluri kebiasaan manusia begitulah!
- Nabi Musa takut & bimbang apabila dia melihat alatan ahli sihir itu bertukar menjadi ular seperti tongkatnya juga!
Dia takut orang ramai para penonton yang melihatnya menjadi keliru dan mengatakan sama saja mukjizat dia dengan sihir ahli sihir!
*Begitulah sikap seorang pendakwah takut orang tidak beriman.
4. Kata Ibnu Asyur pula: Nabi Musa takut ahli sihir ini menang!
Lalu orang ramai tidak akan percaya & beriman kepadanya lagi!
Huraian dan penjelasan yang panjang tentang ayat ini oleh ar-Razi dalam tafsirnya!
Ayat 68 قُلْنَا لَا تَخَفْ إِنَّكَ أَنتَ الْأَعْلَىٰ ﴿٦٨﴾ {Kami berfirman kepadanya: "Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.}
- Allah s.w.t berfirman kepada Nabi Musa untuk menenangkan hatinya & menguatkan semangat Nabi Musa!
- Allah memberi semangat kepada Nabi Musa: Janganlah engkau takut wahai Musa!
Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.
*Ini jaminan kemenangan dari Allah – maka pastilah Nabi Musa tidak takut lagi!
Ayat 69 وَأَلْقِ مَا فِي يَمِينِكَ تَلْقَفْ مَا صَنَعُوا ۖ إِنَّمَا صَنَعُوا كَيْدُ سَاحِرٍ ۖ وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُ حَيْثُ أَتَىٰ ﴿٦٩﴾ {"Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada".}
1. Allah berfirman memerintahkan agar Musa mencampakkan tongkatnya pula!
Allah menjelaskan kepada Nabi Musa bahawa ia akan menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan.
- Nota [885] Yakni tongkatnya.
- Yakni ahli sihir tidak akan berjaya atau menang kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, tidak akan berjaya di dunia atau di Akhirat – di mana sahaja ia berada.
- Perbuatan sihir adalah dokongan syaitan – makin kuat sihir makit kuat syaitan!
Sihir ini adalah satu perbuatan jahat yang dihantar kepada seseorang yang menyebabkan mereka menderita atas dunia ini!
Ia bukan seperti penyakit fizikal yang boleh diubati di hospital tetapi penyakit yang tidak boleh dikesan dan ada yang boleh membawa kematian.
5. Dikatakan untuk mendapatkan kuasa sihir yang kuat, iblis atau syaitan biasanya akan meletakkan syarat yang sangat ekstrem.
Ahli sihir dipaksa membuktikan kesetiaan mereka kepada syaitan dengan cara menghina syiar Islam yang paling suci, iaitu Kalamullah (Al-Quran).
Maka ada yang sanggup meletakkan Al-Quran di dalam tandas sebagai pelapik kaki!
6. Ini merupakan satu tindakan penghinaan yang amat berat dan dianggap sebagai kekufuran yang nyata (kufur akbar) dalam Islam dan telah terkeluar daripada agama Islam (murtad).
Amalan sihir itu sendiri adalah dosa besar yang membinasakan dan jika ia melibatkan penghinaan terhadap Al-Quran, pelakunya dikategorikan sebagai kafir. Na’uzu-billah!
Ayat 70 فَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سُجَّدًا قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ هَارُونَ وَمُوسَىٰ ﴿٧٠﴾ {(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa".}
- Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang menjadi ular sebenar, yang boleh menelan dqan melenyapkan segala benda sihir khayalan mereka tadi.
- Melihat mukjizat ini, maka para ahli sihir segera merebahkan diri sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa."
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{۞ وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَىٰٓ أَنْ أَلْقِ عَصَاكَ ۖ فَإِذَا هِىَ تَلْقَفُ مَا يَأْفِكُونَ )١١٧
Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Campakkanlah tongkatmu!" Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).
فَوَقَعَ ٱلْحَقُّ وَبَطَلَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ()١١٨
Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa) dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan.
فَغُلِبُوا۟ هُنَالِكَ وَٱنقَلَبُوا۟ صَـٰغِرِينَ (١١٩)
Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.
وَأُلْقِىَ ٱلسَّحَرَةُ سَـٰجِدِينَ )(١٢٠
Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud.
قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ )(١٢١
Sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.
رَبِّ مُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ )(١٢٢
"(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun". [Al-A’raff: 117- 122].
4. Timbul perbincangan kenapa para ahli sihir berkata:
Kami beriman kepada Tuhan Musa & Harun; kenapa mereka tak kata: Kami beriman kepada Tuhan Pemerintah Alam?
5. Jawapan: Ini kerana Fir'aun mengaku Tuhan maka jika ahli sihir kata Tuhan Pemerintah alam pasti Fir'aun menyangka mereka sujud kepadanya!
Jadi untuk menjelaskan bahawa mereka beriman dengan Allah – Tuhan kepada Nabi Musa & Harun!
Tiada kesamaran lagi Tuhan mana yang ahli sihir pilih!
*Maka apa terjadi & bagaimana respon Fir'aun terhadap peristiwa ini?
Kita tunggu ayat seterusnya besok insya' Allah!
Penutup & Faedah
Ayat 65- {Mereka berkata: "Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula mencampak?"} – ahli sihir beradab dalam majlis itu.
Inilah uslub perundingan yang baik walaupun dengan musuh!
Mereka bertanya kepada Nabi Musa siapa yang akan mencampakkan dulu tali-tali & tongkat mereka!
Kata ulama' tafsir: Ahli sihir berani berlawan dengan Musa kerana mereka yakin dan sangat konfiden di dalam hati mereka bahawa mereka akan menang.
Inilah yang membuatkan mereka berasa konfiden dan memandang remeh kepada Musa!
- Ayat 66- {Nabi Musa menjawab: "Bahkan kamulah campak dahulu". Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.}
Musa menjawab dengan mempersilakan ahli sihir mencampakkan dulu alat-alat sihir mereka.
Yakni Musa juga beradab – membalas adab baik dengan beradab juga!
Dia menyuruh mereka memulakan dulu perlawanan.
Terdapat beberapa perbincangan di sini:
i- Nabi Musa menyuruh ahli sihir menjalankan sihir mereka – apakah ini bererti Nabi Musa mengiktiraf atau mengakui perbuatan sihir mereka itu dengan membenarkannya!
Jawapannya kata ulama':
Nabi Musa membenarkan ahli sihir membuat sihir mereka dalam majlis itu – tetapi tidak bererti Musa mengiktiraf permainan sihir mereka itu!
Ini kerana itu adalah hari perlawanan antara dua pihak – nabi Musa & ahli sihir!
Pastilah kena ada pertunjukan atau penyertaan daripada kedua pihak yang berlawan!
Kita tahu & ingat bahawa itu waktu perlawanan antara sihir maka pastilah kena ada pertunjukkan dari kedua pihak.
Maka ini bererti bukan Nabi Musa mengiktiraf perbuatan sihir mereka itu!
Hikmah Nabi Musa suruh ahli sihir campak dulu:
- Nabi Musa juga menyuruh mereka mencampakkan dulu kerana dia nak lihat setara mana kekuatan mereka untuk membuat persediaan.
- supaya orang ramai dapat melihat sendiri di depan-depan mata mereka apa yang akan terjadi ke atas sihir mereka itu yang sebenarnya lemah & tidak berguna apabila berhadapan dengan mukjizat Nabi Musa!
Inilah uslub yang Allah ajar kepada kita; jika kita ada kekuatan lawanlah jangan tunjuk kita ini lemah!
3. Ayat 66- {Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.}
Nabi Musa menyuruh ahli sihir mencampakkan tongkat & tali mereka dulu!
Lalu tali-tali mereka itu dengan sihir yang digunakan – menjadi seolah hidup; bergerak & berjalan di mata khayalan manusia yang melihat!
Kajian ulama' sudah kita sebut tadi apakah sihir ini hakikat atau khayalan?
Ada ulama' kata ia hanya khayalan sahaja ia tak bergerak pun. Tetapi oleh kerana tali itu dicomor atau dicelup dengan raksa & apabila raksa terkena cahaya, maka ia kelihatan bergerak. Sebenarnya bukan tali itu yang bergerak, tetapi raksa tersebut.
Maknanya, sihir tidak boleh mengubah hakikat sesuatu benda tetapi ia hanya mempermainkan pandangan sahaja.
Sihir tidak boleh menjadikan kayu sebagai besi atau besi sebagai kayu.
Jadi, sesiapa yang menyangka bahawa ahli sihir mampu mengubah sesuatu benda secara fizikal, maka orang ini seolah-olah menganggap ahli sihir mempunyai kuasa yang boleh menandingi kekuasaan Allah Azza wa Jalla. Jadi, bahayanya perbuatan yang tersebut.
Sebab itulah Allah Taala menyebut:
{يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِنْ سِحْرِهِمْ أَنَّهَا تَسْعَىٰ-
khayalan daripada sihir itu menyebabkan sesuatu kelihatan seolah-olah bergerak.}
Kerana itu sebagaimana firman Allah:
{سَحَرُوٓا۟ أَعْيُنَ ٱلنَّاسِ-
mereka menyilap mata orang ramai…} [Al-Araaf: 116].
Sihir ini merupakan khayalan. Oleh kerana tali-tali itu kelihatan bergerak, maka orang menyangka bahawa benda tersebut hidup & benar-benar bergerak.
Mereka menyihir pandangan mata manusia, itu sahaja wallahu a’lam.
4. Ayat 67- {Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.} apabila melihat tali-tali ahli sihir itu bergerak seolah ular yang hidup – terdetik rasa cemas & takut dalam hati Nabi Musa a.s.
Sebagaimana kita telah bincangkan tadi berkata Ibnul Jauzi rhm. takut itu ada dua dimensi:
sama ada خَوْفٌ طَبِيعِيٌّ بَشَرِيٌّ, iaitu takut tabi’e, semula jadi sebagai seorang manusia.
Apabila melihat benda pelik, benda bahaya; dia akan berasa gerun.
- Tetapi yang lebih besarnya, sebagaimana kata Ibn Kathir, takut di sini bermaksud bimbang orang ramai terpengaruh dengan sihir.
Kerana apabila Nabi Musa mencampakkan tongkatnya nanti, dia bimbang orang ramai akan kata; lebih kurang sahaja tongkat Musa dengan ahli sihir. Itu pada peringkat awal sebelum Musa mencampak tongkatnya lagi.
Tetapi apabila Nabi Musa sudah mencampakkan tongkatnya, apa yang terjadi? Rupanya luar biasa sekali hebatnya tongkat Nabi Musa!
Sebab apa? Sebab tongkat Nabi Musa boleh menelan semua hasil sihir para ahli sihir!
Kerana inilah ahli sihir boleh beriman – Sebab mereka tahu jika tali tak boleh makan tali, tongkat tak boleh makan tongkat.
*Kita makan tongkat Ali bolehlah!
Tongkat & tali ahli sihir telah dimakan oleh ular Nabi Musa maka mereka tahu sihir mereka tidak seperti seperti yang dilakukan oleh tongkat Nabi Musa.
Allah menenangkan hati Musa dan memberinya keyakinan dengan berfirman:
{وَأَلْقِ مَا فِي يَمِينِكَ تَلْقَفْ مَا صَنَعُوا-
"Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan,} – Ayat 69.
5. Ayat 70- {(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa".}
Maka apabila ahli sihir melihat perkara tersebut mereka sedar kebenaran Nabi Musa itu bukan sihir lalu terus beriman!
Ketika menafsirkan kisah para ahli sihir Firaun yang bertaubat setelah melihat mukjizat Nabi Musa A.S ini:
Ibnu Abbas menceritakan perubahan mendadak status keimanan mereka dengan berkata:
كَانُوا فِي أَوَّلِ النَّهَارِ سَحَرَةً، وَفِي آخِرِ النَّهَارِ شُهَدَاءَ بَرَرَةً
“Mereka di awal siang (pagi hari) adalah ahli sihir, namun di akhir siang (petang hari) mereka telah menjadi para syuhada yang berbakti.”
Jadi bilakah tindakan Fir'aun terhadap mereka – apakah terus dijatuhkan hukuman dalam majlis itu atau pada waktu lain wallahu a'lam!
Kata para ulama' 70 orang lebih ahli sihir itu semuanya menjadi syuhada’ pada waktu petangnya.
Banyaklah cerita-ceritanya tentang mereka ini yang kita kena periksa dulu kesahihan sumbernya – jangan terus terima.
Ahli sihir berkata: “Aku beriman dengan Tuhan Harun dan Musa.”
Mereka tak kata dengan Rabbil ‘alamin sahaja, sebab tak mahu Firaun perasan dan mengaku pula Rabbil ‘alamin – iaitu Tuhan sekelian alam itu adalah aku!
Tetapi bukan kamu wahai Fir'aun, jangan besar kepala; tetapi Rabbil ‘alamin, iaitu Rabbi Musa wa Harun, dalam ayat ini, Rabbi Harun dan Musa.
Allahu Akbar, besarnya kelebihan Nabi Musa alaihissalam.
Berkata al-Asbahani rahimahullah:
Subhanallah, betapa tingginya kedudukan ahli sihir:
- pada mulanya mereka campak tali berdasarkan atas kufur dan ingkar;
- kemudian mereka campak kepala mereka ke atas bumi berdasarkan syukur, sujud, beriman kepada Allah Azza wa Jalla.
Betapa jauh bezanya di antara dua campakan; campak tali dengan kufur, campak kepala atas lantai dengan syukur
*Demikian sebagaimana kata al-Asbahani dan juga al-Biqa‘i dalam Nazm al-Durar.
Betapa laju, kuasa Allah Taala, Dia boleh tukar hati manusia dalam beberapa saat – Allahu Akbar.
Alhamdulillah, tamatlah perbincangan kita, insya' Allah kita tengok esok apakah tindakan Fir'aun ke atas ahli sihir!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga mendapa manfaatnya!
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.