Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Taha · Nota 13/15

Surah Taha: Ayat 77-82

Fir'aun Tenggelam, Bani Israil Selamat, 3 Nikmat Diberikan Kepada Bani Israil

Fir'aun Tenggelam, Bani Israil Selamat & 3 Nikmat Diberikan Kepada Bani Israil

Live Kuliah Pagi Khamis 22/10/2026 - 11 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (13) Ayat [77-82]

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 77 sehingga ayat 82 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang Fir'aun tenggelam mati lemas dalam Laut Qalzum atau Laut Merah.

    Fir'aun telah menyesatkan kuncu-kuncunya & mereka mati bersama!

  3. Selepas Fir'aun dan kuncu-kuncunya musnah maka selamatlah Bani Israil selamat tiba di seberang lautan.
  4. Kemudian Allah nyatakan tentang 3 nikmat diberikan kepada Bani Israil.

Makanlah rezeki yang Allah berikan dengan baik, bertaubat jika melakukan kesalahan kerana sesungguhnya Allah s.w.t Maha Pengampun!

5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

  1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang perlawanan antara nabi Musa & ahli sihir Fir'aun.

    Tamatlah episodnya apabila para ahli sihir beriman & ada dua pendapat tentang bagaimana berakhirnya nasib mereka.

    Ada kata mereka dibunuh Fir'aun ada kata tidak – mereka selamat!

    Fir'aun pun mengamuk, murka kerana kalah maka dia nak guna akta pula untuk membunuh Musa & pengikutnya!

  2. maka Allah memberi arahan yang jelas kepada Nabi Musa supaya keuar dari bumi Mesir dengan segera pada waktu malam dan membawa bersama semua pengikutnya yang beriman untuk selamat daripada cengkaman kezaliman Fir'aun!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 77 وَلَقَدْ أَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِي فَاضْرِبْ لَهُمْ طَرِيقًا فِي الْبَحْرِ يَبَسًا لَّا تَخَافُ دَرَكًا وَلَا تَخْشَىٰ ‎﴿٧٧﴾ {Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar memgembara pada waktu malam, kemudian pukulah air laut dengan tongkatmu untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh dan jangan pula engkau takut tenggelam".}

  1. Allah s.w.t memberi arahan dengan menurunkan wahyu yang jelas kepada Nabi Musa a.s!
  2. Perintah itu ialah:
    1. "Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu);

      iaitu supaya nabi Musa membawa kaum bani Israil yang beriman keluar dari perhambaan & kezaliman Fir'aun.

      Iaitu bebas dari sudut tauhid beriman kepada Allah & bebas dari menjadi hamba kepada kaum Qibti!

    2. keluar memgembara pada waktu malam,

      yakni keluar dari negeri Mesir pada waktu malam, yakni secara senyap-senyap dan tersembunyi!

    3. kemudian pukulah air laut dengan tongkatmu untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu;

Yakni apabila mereka sudah sampai ke penghujung, tiada jalan lagi di depan mereka kecuali laut Qalzum sedangkan di belakang mereka Fir'aun & tenteranya yang mengejar!

Allah perintahkan Nabi Musa untuk memukul air laut itu dengan tongkatnya lalu air laut akan terbelah menjadi seolah satu lebuhraya yang kering lagi luas!

Terbentang di hadapan mereka 12 lorong yang memanjang sehingga ke seberang daratan – tersedia untuk mereka menyeberanginya.

  1. janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh,
  2. dan jangan pula engkau takut tenggelam!

Yakni Allah memberi jaminan bahawa mereka akan selamat – tidak akan dapat ditangkap musuh iaitu Fir'aun & mereka juga tidak akan tenggelam bahkan selamat sampai di seberang daratan dengan selamat!

  1. Nota [893] Oleh kerana Fir’aun tetap dalam kekufurannya dan bertindak ganas, maka Nabi Musa a.s diperintahkan oleh Allah Ta’ala supaya meninggalkan negeri Mesir pada waktu malam dan membawa kaumnya – Bani Isra’il menyeberangi Laut Merah.
  2. Ayat ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:
    1. {(Allah berfirman): Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar pada waktu malam; sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan tenteranya)".} [Asy-Syu'araa’: 52].

      *Yakni lari cepat kerana Fir'aun akan ikut kamu!

    2. {Lalu (diperintahkan kepadanya): "Bawalah hamba-hambaku (pengikut-pengikutmu) keluar pada waktu malam, kerana sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan orang-orangnya).} [Ad-Dukhan: 23].

*Dalam ayat ini Allah sebut jelas pada waktu malam!

5. Nabi Musa pun bawa keluar bani Israil bersamanya – mereka amat ramai dalam jumlah beribu-ribu orang!

Mereka berjalan sehingga tiba dipinggir Laut Merah dan tiada jalan lain lagi untuk lari!

6. Melihat keadaan mereka yang tersekat itu sedangkan Fir'aun sudah hampir tiba di belakang mereka; ada yang berkata:

{Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: "Sesungguhnya kita akan dapat ditawan".} ) [Asy-Syu'araa’: 52].

*Ulama' tafsir kata mereka yang berkata itu adalah golongan munafiq dari kalangan bani Israil.

7. Nabi Musa a.s menjawab dengan penuh keimanan & keyakinan akan pertolongan Allah s.w.t:

{Nabi Musa menjawab: "Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku".} [Asy-Syu'araa’: 62].

  1. Maka pada ketika itulah Allah perintahkan Nabi Musa untuk memukul tongkatnya ke air laut dan ia akan terbuka menjadi jalan yang terbentang luas kering tanpa selut dan air.
  2. Sebagaimana firman Allah s.w.t:

{Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Pukulah laut itu dengan tongkatmu". (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar.} [Asy-Syu'araa’: 63].

10. Maka terjadilah keajaiban iaitu:

  1. apabila Nabi Musa memukulkan tongkatnya ke air, laut tersebut terbelah menjadi 12 lorong (mengikut bilangan 12 suku kaum Bani Israil).
  2. keadaan laut – terjadi dinding air di setiap belahan berdiri tegak menjulang tinggi seperti gunung atau tembok yang besar, manakala dasarnya menjadi kering dan boleh dilalui dengan berjalan kaki.

*Ini kerana laut Merah itu amat dalam bukannya sungai yang kecil.

  1. Kata ahli fikir: Dasar Laut Merah ini adalah dasar bumi yang hanya kena cahaya matahari atau tengok langit hanya sekali dalam hayatnya!
  2. Allah s.w.t memerintahkan Nabi Musa dan Bani Israil untuk masuk ke dalam laut serta memberi jaminan bahawa mereka akan selamat – tidak akan dapat ditangkap musuh iaitu Fir'aun & mereka juga tidak akan tenggelam bahkan akan selamat sampai di seberang daratan dengan selamat!

Ayat 78 فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ بِجُنُودِهِ فَغَشِيَهُم مِّنَ الْيَمِّ مَا غَشِيَهُمْ ‎﴿٧٨﴾ {Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya.}

1. Maka apabila Fir'aun tiba di tepi laut dan melihat nabi Musa dan kaumnya sudah berada di tengah laut – Fir'aun pun memerintahkan tenteranya masuk ke dalam laut juga & mengejar mereka!

*Fir'aun yang angkuh cari pasal – dia masih lagi sombong mengatakan laut itu terbelah terbuka untuk dia yang mengaku Tuhan!

  1. Apabila Fir'aun dan tenteranya semuanya berada di tengah-tengah laut; manakala Musa dan kaumnya sudah selamat tiba di seberang – Allah tutup semula laut itu – airnya bercantum kembali menenggelamkan mereka – tiada lagi lebuh raya itu.
  2. Maka Fir'aun dan kaumnya mati tenggelam dalam air laut itu semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya!
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:

    1. {Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan,} [Yunus: 90].
    2. {Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya).}[Asy-Syu'araa’: 66].

    *Tenggelam & mati habis puak Fir'aun tak tertinggal baka!

  4. Nota [894] Yakni tatkala laut itu terbelah setelah dipukul oleh Nabi Musa dengan tongkatnya dan alur belahannya itu menjadi sebatang jalan yang kering yang telah dilalui oleh Nabi Musa dan kaumnya ke seberang, maka Fir’aun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia ditenggelamkan oleh Allah Ta’ala bersama-sama dengan orang-orangnya setelah laut yang sedang terbelah itu bercantum semula dan menelan mereka.
  5. Firman Allah lagi:

{"Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut) untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!".} [Yunus: 92]

7. Kisah Dr Maurice Bucaille yang masuk Islam selepas pengalamannya dengan jasad Fir'aun:

i- Pada tahun 1974–1975, doktor pakar bedah Perancis Dr. Maurice Bucaille mengetuai sepasukan saintis untuk mengkaji dan merawat jasad mumia Firaun (seperti Merneptah atau Ramses II).

• Pemeriksaan Saintifik: Bucaille menemui sisa-sisa garam yang tinggi pada jasad mumia tersebut. Beliau merumuskan bahawa Firaun mati akibat lemas atau tenggelam di laut, kemudian jasadnya segera dinaikkan dan diawet.

• Kaitan dengan Al-Quran: Beliau kemudiannya didedahkan kepada surah Yunus ayat 92 dalam Al-Quran yang menyatakan bahawa jasad Firaun akan diselamatkan supaya menjadi tanda bagi orang selepasnya:

{"Maka pada hari ini, Kami akan memelihara kamu dengan badanmu supaya menjadi tanda-tanda (pengajaran) bagi orang-orang yang datang selepasmu…"}.

  • Kesan Penemuan: Bucaille terkejut kerana fakta saintifik mengenai jasad yang tenggelam dan terpelihara itu telah dinyatakan dalam Al-Quran lebih 1,400 tahun lalu, sedangkan sains moden baru menemukannya pada abad ke-20. Orang Islam telah lama tahu & percaya kisah Fir'aun ini!
  • Hasilnya; Selepas keIslamannya beliau kemudiannya menulis buku terkenal bertajuk The Bible, The Quran and Science (Bibel, Al-Quran dan Sains) yang mengkaji keselarasan antara wahyu Islam dan sains moden.

8. Begitulah hakikatnya betapa ramai orang bukan Islam yang masuk Islam dengan sebab mengkaji al-Quran sebelum mengaji Quran!

Kita ini yang Islam asal ini yang dok mengaji al-Quran dari muda sehingga ke tua tak pernah pula mengkaji atau tadabbur al-Quran!

Orang nak kaji marah pula takut sesat kononnya!

Ayat 79 وَأَضَلَّ فِرْعَوْنُ قَوْمَهُ وَمَا هَدَىٰ ‎﴿٧٩﴾ {Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan dan tidaklah ia membawa mereka ke jalan yang benar.}

  1. Maka pastilah Fir'aun dan kaum tenteranya mati dalam keadaan kafir kerana Allah berfirman di sini bahawa Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan dan tidaklah ia membawa mereka ke jalan yang benar.
  2. Walaupun pun Fir'aun pernah mengaku dia beriman dengan Tuhan Nabi Musa pada saat akhir sakaratul-mautnya- tetapi tidak diterima lagi kerana pintu taubat sudah tertutup baginya ketika itu kerana nyawanya sudah di halkum!
  3. Firman Allah: {Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)".} [Yunus: 90].
  4. Jelaslah Fir'aun mati kafir walaupun pada saat sakaratul maut dia mengaku tiada Tuhan lain – tetapi Allah menolak pengakuannya di saat akhir itu sebagaimana firman-Nya:

{(Allah berfirman): "Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?} [Yunus: 91].

6. Tetapi ada juga sebahagian golongan tariqat & tasauf sesat yang mengatakan Fir'aun mati dalam iman & masuk syurga!

Mahu juga mengangkat Fir'aun setaraf dengan beberapa pak Abu lain yang mereka islamkan juga!

7. Ini adalah dakwaan yang tidak berasas kerana jelas dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa Fir'aun itu mati dalam keadaan kafir dan banyak juga hadis-hadis Nabi s.a.w yang menyebut begitu.

Inilah pegangan kita ahli Sunnah wal Jama’ah!

Ayat 80 يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ قَدْ أَنجَيْنَاكُم مِّنْ عَدُوِّكُمْ وَوَاعَدْنَاكُمْ جَانِبَ الطُّورِ الْأَيْمَنَ وَنَزَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ ‎﴿٨٠﴾‏ {Wahai Bani lsrail! Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu dan Kami telah janjikan kamu (dengan memberi wahyu kepada Nabi Musa) di sebelah kanan Gunung Tursina itu dan kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa",}

  1. Setelah bani Israil selamat tiba di seberang laut dan Fir'aun telah musnah Allah berfirman mengingatkan mereka akan nikmat-Nya kepada mereka, Allah ungkit ini kerana bani Israil adalah kaum yang keras kepala & suka kufur nikmat!
  2. Dalam ayat ini Allah sebut tiga nikmat-Nya & ayat ini adalah khitab kepada bani Israil selepas mereka selamat keluar dari Laut.

    Ada juga yang kata khitab ini ditujukan kepada yahudi yang ada pada zaman Nabi s.a.w & melawan Nabi s.a.w di Madinah! Begitulah boleh keduanya peringatan untuk datuk boleh menjadi peringatan untuk anak-cucunya juga – termasuk pada zaman kita ini!

  3. Allah kata nikmat yang pertama: {Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu,} – iaitu Allah telah selamatkan bani Israil dari kekejaman Fir'aun.
  4. Cerita panjangnya sebagaimana firman Allah ini:

{وَإِذْ نَجَّيْنَـٰكُم مِّنْ ءَالِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوٓءَ ٱلْعَذَابِ يُذَبِّحُونَ أَبْنَآءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَآءَكُمْ ۚ وَفِى ذَٰلِكُم بَلَآءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ ٤٩

Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

وَإِذْ فَرَقْنَا بِكُمُ ٱلْبَحْرَ فَأَنجَيْنَـٰكُمْ وَأَغْرَقْنَآ ءَالَ فِرْعَوْنَ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ ٥٠

Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.} [Al-Baqarah: 49-50]

2. Nikmat yang kedua: {… dan Kami telah janjikan kamu (dengan memberi wahyu kepada Nabi Musa) di sebelah kanan Gunung Tursina itu,} – di mana Nabi Musa telah diperintahkan untuk pergi ke Gunung Tursina bagi menerima wahyu Allah & Kitab Taurat sebagai panduan dalam hidup!

*Perhatian – bukit itu tiada kiri kanannya cuma maksudnya di sebelah kanan Nabi Musa ketika dalam perjalanannya dari Mesir ke Syam!

  1. Nota [895] Allah Ta’ala mengingatkan kaum Bani Isra’il supaya mereka mengenangkan nikmat-nikmat-Nya yang tersebut dan supaya mereka menjauhi segala yang mendatangkan kemurkaanNya.
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

{Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku) dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan".} [Al-A’raaf: 142].

5. Nikmat yang ketiga Allah kata: {… dan kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa",} iaitu sebagai makanan kepada mereka yang sesat pada waktu itu Allah turunkan dari langit:

  1. manna {ٱلْمَنَّ} – sejenis makanan yang manis pekat seperti madu yang turun dari langit seperti embun, jatuh atas daun dan kayu.
  2. dan salwa {وَٱلسَّلْوَىٰ} – iaitu sejenis burung yang seperti burung punai!

6. Nota [896] Tatkala mereka keluar dari Mesir dan tinggal di Padang Pasir Sinai yang sukar mendapat makanan di situ, Tuhan telah menurunkan kepada mereka “Mann” dan “Salwa” untuk dimakan.

Lihat penjelasan nota nombor [28] Tafsir Pimpinan ar-Rahman.

7. Tiga nikmat ini Allah ingatkan kepada bani Israil agar mereka dengar kata!

Ayat 81 كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَلَا تَطْغَوْا فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِي ۖ وَمَن يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي فَقَدْ هَوَىٰ ‎﴿٨١﴾‏ {Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia.}

  1. Allah berfirman lagi mengingatkan bani Israil (dan kita semua juga) untuk bersyukur atas segala nikmat Allah.

    Maka makanlah benda yang baik dari rezeki Allah – jangan melampaui & boros juga jangan membazir.

  2. Janganlah kamu melampaui batas kerana:

    1. Sesiapa yang melampaui batas akan ditimpa kemurkaan Allah;
    2. dan sesiapa yang ditimpa kemurkaan Allah, maka sesungguhnya dia akan binasa!
  3. Nota [897] Yakni makanlah dari rezeki yang telah diberikan itu dan janganlah kamu melampaui batas dengan menggunakannya secara yang dilarang atau bersikap tidak bersyukur.
  4. Makanlah dengan baik, jangan membazir dan jangan bakhil sangat serta bersyukurlah atas segala nikmat & rezeki Allah!

Ayat 82 إِنِّي لَغَفَّارٌ لِّمَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا ثُمَّ اهْتَدَىٰ ‎﴿٨٢﴾‏ {Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.}

  1. Munasabah ayat ini jelas:

    1. apabila Allah beri amaran jangan melampau dalam ambil rezeki yang Allah beri dan jangan cari kemurkaan Allah ke atas kamu!
    2. maka di sini Allah buka bab at-Taubah supaya orang yang tersalah boleh bertaubat!
  2. Kata ar-Razi maksudnya jangan melampaui {وَلَا تَطْغَوْا۟} di sini ialah: Jangan zalim di antara kamu, jangan berebut makanan, ambil hak orang, jangan ambil yang haram & jangan kufur nikmat!
  3. Tetapi jika kamu tersalah dan terjebak juga buat kesalahan – tidak mengapa Allah buka pintu taubat-Nya, Allah memberi maaf keampunan kepada orang yang bertaubat!
  4. Manakala syarat taubat pula hendaklah beramal dengan amalan yang soleh yang diredhai Allah, kemudian ikut petunjuk al-Quran dan Sunnah.

    Insya' Allah selamatlah kita di dunia & aman di Akhirat.

  5. Kita kata alhamdulillah kerana Allah telah membuka pintu yang luas untuk kita – iaitu pintu taubat!

Penutup & Faedah

  1. Ayat 77- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar memgembara pada waktu malam- أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِى}

    Allah perintahkan Nabi Musa untuk bawa keluar bani Israil pada waktu malam!

    Apakah hikmahnya perintah keluar pada waktu malam ini?

    Jawapan:

    1. agar Fir'aun & tenteranya tak sedar ketika mereka keluar kerana mereka sedang tidur.
    2. supaya Fir'aun susah nak cari mereka.
    3. jika tentera Fir'aun ikut cari pun mereka tak nampak kerana gelap.

    Inilah hikmah – kerana waktu malam itu lebih strateginya – dan begitulah biasanya manusia akan lari pada waktu malam!

  2. Ayat 77- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu)…} – ayat ini menunjukkan ramai pengikut Nabi Musa dari kalangan kaumnya iaitu kaum bani Israil.

Yakni Nabi Musa selepas menang dalam perlawanan dengan ahli sihir – bertambah ramai pengikutnya!

Bani Israil ramai ikutnya – mereka beriman dan yakin percaya akan kebenaran dakwahnya & kekuatan mukjizatnya!

Begitulah adat atas dunia – apabila kalah & lemah tiada siapa nak ikut tetapi apabila kita menang & kuat barulah orang sokong, pasti akan ramailah pengikutnya!

Akan ada yang memuji mengampu lebih-lebih!

Inilah hikmah sebagai pendakwah kita kena bersabar – ada waktu kita lemah orang tak ikut – apabila kita kuat orang akan ikut!

Allah mulakan ayat ini dengan huruf sumpah {وَلَقَدْ} kerana nak suruh kita buka mata celik telinga membaca ayat ini kerana kisah ini pengajaran & iktibarnya besar sekali!

Walau setara mana lemah kita jika kita duduk di bawah jagaan Allah kita akanjadi kuat!

Kuat setara mana kita jika Allah tak tolong kita taka kan menang!

Allah beri jaminan lagi jangan kamu takut tenggelam atau kena tangkap oleh Fir'aun – kerana kamu ikut arahan Nabi Musa!

Ini pentingnya pengikut-pengikut nabi kena ikut Nabi mereka kerana dia ada mukjizat yang diberikan Allah!

Tetapi jika ikut orang biasa, orang lain kena fikir juga – jangan kita ikut membabi buta tanpa ilmu & tapisan.

Jangan kita dibodohkan orang – gunakan juga ilmu yang kita ada untuk menilai!

Sehari-dua ini sibuk isi tentang waze – di mana pejawat awam dilarang dari menggunakannya dengan beberapa sebab yang dinyatakan – wallahu a'lam!

3. Ayat 78- {Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya.}

Fir'aun dengan angkuh dan sombong tak berfikir dengan otak – ikut masuk juga ke dalam laut yang terbelah – sedangkan Allah belah laut itu untuk nabi Musa & pengikutnya!

Tetapi kerana Allah telah taqdirkan Fir'aun mati dalam laut – dia dengan sombong mendakwa bahawa laut itu terbelah kerananya – dengan sebab dia tuhan – maka dia masuk dengan yakin.

Allah telah sebut dalam al-Quran 1400 tahun dulu lagi bahawa Fir'aun dan tenteranya telah mati musnah dalam laut.

Tak perlulah kamu baru nak buat post mortem apa wahai orang kafir!

4. Ayat 80- {Wahai Bani lsrail! Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu dan Kami telah janjikan kamu (dengan memberi wahyu kepada Nabi Musa) di sebelah kanan Gunung Tursina itu dan kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa",} – dalam ayat ini Allah susun tiga tartib nikmat-Nya yang dikurniakan kepada bani Israil!

i- Nikmat pertama yang paling besar ialah: Allah telah lepaskan mereka daripada musuhnya!

Ini kerana bani Israil ini telah lama diperhambakan dengan zalim oleh Fir'aun!

  1. Nikmat yang kedua ialah nikmat diniyyah iaitu nikmat agama; Allah berjanji untuk berjumpa Nabi Musa di bukit Tursina untuk diberi kitab Taurat sebagai petunjuk – pedoman dan panduan untuk mereka.
  2. Kemudian tak cukup agama saja – kena ada ekonomi – maka Allah beri pula kepada mereka nikmat dunia iaitu makanan!

Begitulah manusia hidup atas dunia ini perlu kepada tiga perkara utama ini; keamanan, iman & ketaatan dan makanan!

Manakala puak pendakwah hari ini pula ada tiga asas penting juga iaitu: Salam, Kalam & Taalam.

Iaitu mula-mula berjumpa datang beri salam, kemudian ajak dengar bayan (kalam), akhirnya ada jamuan dalam talam!

5. Ayat 82- {Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.}

Allah kata Dia amat memberi keampunan kepada orang yang bertaubat, beramal soleh & ikut petunjuk!

Di sini Allah beri kepada kita taubat!

Ini kerana manusia ini pasti akan ada melakukan kesalahan, tetapi jika kesalahan itu diikuti dengan taubat – orang yang bertaubat seperti orang yang tidak penah berdosa!

Tetapi nak dapat itu, Allah beri syaratnya di sini: Taubat, iman, amal soleh & ikut petunjuk!

Syarat taubat ini mesti dipatuhi baru sempurna taubatnya:

  1. tinggalkan maksiat;
  2. menyesali dosa-dosa yang lepas;
  3. berazam tak mahu buat lagi dosa itu;
  4. jika berkait dengan hak orang pulangkannya balik atau minta maaf!

Allah letak empat syarat untuk mendapat keampunan iaitu:

  1. bertaubat- تَابَ;
  2. beriman- ءَامَنَ;
  3. beramal- وَعَمِلَ صَـٰلِحًا;
  4. kemudian berpegang dengan hidayah- ثُمَّ ٱهْتَدَىٰ!

Kata para ulama' tadabbur: Empat syarat ini kena ada barulah dapat keampunan Allah!

Mudah-mudahan kita semua mempunyai keempat-empat sifat ini insya' Allah.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga mendapa manfaatnya!

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas