Surah Taha: Ayat 90-94
abi Musa A.S Marah Nabi Harun A.S, Harun Nasihat Kaumnya & Minta Nabi Musa A.S Berlembut Dengannya
Nabi Musa A.S Marah Nabi Harun A.S, Harun Nasihat Kaumnya & Minta Nabi Musa A.S Berlembut Dengannya.

Live Kuliah Pagi Ahad 25/10/2026 - 14 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (15) Ayat [90-94]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 90 sehingga ayat 94 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Nabi Musa A.S marah Nabi Harun A.S, kerana tidak berjaya menjaga & menahan kaumnya dari menjadi sesat, iaitu terjerumus menjadi penyembah patung lembu ciptaan Samiri!
- Harun beri laporan kepada Musa bahawa dia telah menasihati kaumnya & tetapi mereka tetap tidak mendengarnya bahkan mereka hampir membunuhnya!
- Nabi Harun lalu minta Nabi Musa A.S berlembut dengannya – bukan dia cuai tak menjalankan tugas, dia telah cuba melakukan sebaiknya tetapi bani Israil adalah satu kaum yang degil tak dengar kata!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kesinambungan dari ayat sebelumnya di mana nabi Musa lantik abangnya Harun jaga kaumnya sepeninggalanya bermunajat kepada Allah, tetapi mereka tidak dengar larangannya.
- lalu dalam ayat ini Nabi Harun menjawab dan membalas kemarahan Nabi Musa dengan menyatakan apa yang telah dilakukkannya dalam usaha menjaga & membimbing kaumnya bani Israil.
6. Antara sebab Harun kata dia tak pergi ikut Musa & tinggalkan kaum mereka ialah kerana:
kerana Musa sudah berpesan agar dia menjaga kaum mereka sepeninggalannya!
Jika dia juga pergi dan meninggalkan mereka nati dia dikata tak ikut arahan Musa pula.
- kedua kerana jika Harun tinggalkan kaumnya; dibimbangi mereka akan berbalah sesama sendiri sehingga tak dapat kawal diri lalu saling bunuh-membunuh!
Jadi dengan adanya Harun di kalangan mereka – keadaan masih terkawal walaupun ada yang kufur dan syirik!
*Begitulah keadaan dunia ini setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya!
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 90 وَلَقَدْ قَالَ لَهُمْ هَارُونُ مِن قَبْلُ يَا قَوْمِ إِنَّمَا فُتِنتُم بِهِ ۖ وَإِنَّ رَبَّكُمُ الرَّحْمَٰنُ فَاتَّبِعُونِي وَأَطِيعُوا أَمْرِي ﴿٩٠﴾ {Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu: "Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu, ikutlah daku dan taatlah akan perintahku".}
Nabi Harun menyatakan 4 nasihat kepada kaumnya dengan nasihat yang cukup lembut!
Nasihat ini pada awal terjadinya peristiwa sesat itu sebelum Musa kembali lagi!
2.
- Nasihat pertamanya kepada bani Israil:
menyatakan mereka sesat & tak betul perbuatan menyembah patung lembu itu!
Jangan kamu ikut Samiri sesungguhnya kamu telah disesatkan olehnya.
- Allah uji kamu dengan patung anak lembu itu kerana Allah nak lihat siapa yang teguh pendiriannya atas iman kepada Allah!
Maka sesiapa yang terpedaya & menyembah patung itu maka kafirlah dia!
*Siapakah yang mantap aqidah dan siapa yang hanya aqidah tisu!
Nasihat kedua Nabi Harun: Mengingatkan kaumnya supaya kenal & ingat kepada Allah!
Sesungguhnya Tuhan kamu adalah Allah Tuhan yang melimpah rahmat-Nya dan penuh kasihan belas!
Kamu tak ingatkah baru saja kita selamat dari kezaliman Fir'aun, selamat keluar dari laut!
Jika tidak dengan rahmat Allah sudah lama kita mati binasa!
Nasihat ketiga: Nabi Harun memperkenalkan jawatannya sebagai seorang rasul yang menyampaikan wahyu serta diwakilkan oleh Musa untuk menjaga mereka!
Maka dengar & ikutlah nasihat!
- Nasihat keempat: Kamu kena taat ikut Syari'at yang aku ajar – jangan dok reka hukum sendiri, jangan dok ikut Samiri dan mereka yang tak betul perjalanan agamanya jika kamu tak mahu sesat!
*Kata ulama' betapa Harun berlembut dengan bani Israil tetapi mereka tetap ingkar tak dengar nasihatnya!
- Nota [908] Sepeninggalan Nabi Musa, Nabi Harun yang menjadi khalifahnya, telah menasihati kaumnya – Bani Isra’il – yang telah disesatkan oleh Saamiri dengan menyembah patung itu serta menegaskan bahawa Tuhan mereka ialah Allah yang menjadikan sekalian makhluk dan melimpah-limpah rahmatNya.
- Maka kita juga wajib berdoa kepada Allah tak kira di mana kita berada, di dalam rumah orang alim atau jahil – minta Allah tetapkan iman & agama kita dan keluarga – ajarlah anak-anak kita fardhu ain, tentang Allah tentang rasul – supaya iman mereka mantap – jangan cuma harap kepada keluarga & keturunan yang baik saja!
Ayat 91 قَالُوا لَن نَّبْرَحَ عَلَيْهِ عَاكِفِينَ حَتَّىٰ يَرْجِعَ إِلَيْنَا مُوسَىٰ ﴿٩١﴾ {Mereka menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami".}
- Setelah mendengar nasihat Nabi Harun – mereka tidak hiraukannya bahkan menjawab mulut dengan penuh degil & keras kepala!
- Mereka si penyembah lembu berkata:
- Kami tidak akan sesekali meninggalkan penyembahan patung ini,
- bahkan kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami – untuk melihat apa pandangannya tentang patung anak lembu ini!
3. Ini kerana kata Samiri kepada mereka – patung lembu itulah Tuhan mereka yang sebenarnya.
Musa yang silap kerana tak jumpa carinya sehingga terpaksa pergi ke Tursina mencari Tuhan bagi mereka!
Ayat 92 قَالَ يَا هَارُونُ مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوا ﴿٩٢﴾ {(Sekembalinya), Nabi Musa berkata: "Wahai Harun, apakah maniknya yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat,}
- Nabi Musa bertanya kepada Nabi Harun lagi dengan marah – mencelanya kerana tak berdaya menjaga kaumnya sebagaimana yang dipesannya sehingga terjebak dengan kekufuran itu!
- Musa bertanya apakah yang menghalangnya (Harun) daripada pergi memanggilnya di Tursina, daripada ikutnya ke sana juga!
- Kata Ibnu Kathir: Yakni kenapa Harun tidak segera pergi mengikutnya pergi ke Tursina melaporkan segera kejadian syirik yang berlaku agar mereka dapat mencegahnya!
- Kata al-Alusi pula: Pada pandangan Musa – Jika Harun meninggalkan mereka – bani Israil setelah nasihatnya tak didengari; maka itu mungkin boleh menyebabkan mereka sedar dan terasa diboikot lalu insaf!
Kerana berpisah dengan orang yang disayangi yang meninggalkan kita akan memberi kesan dalam jiwa.
*Kita kata pula tetapi bagi bani Israil jika Nabi Harun meninggalkan mereka pastilah mereka akan lebih berleluasa dalam kesesatan & kekufuran mereka.
Ayat 93 أَلَّا تَتَّبِعَنِ ۖ أَفَعَصَيْتَ أَمْرِي ﴿٩٣﴾ {"Daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?"}
- Nabi Musa memarahi saudaranya Harun kerana pada sangkaannya Nabi Harun ingkar & tidak ikut pesanan & suruhannya!
- Nota [909] Sekembalinya dari Gunung Tursina, Nabi Musa dalam keadaan marah – kerana membela ugama Allah – telah menegur saudaranya: Nabi Harun, khalifahnya, tentang ia tidak menurut jejak langkahnya dalam menegakkan ugama dengan bersikap keras menegur dan melarang kaumnya daripada mengikut jalan yang sesat itu.
- Kata ibnul Jauzi pula kesimpulannya dari perkataan {أَلَّا تَتَّبِعَنِ- kenapa kamu tak ikut aku} ini:
- sepatutnya apabila kamu lihat puak itu sembah lembu – kamu ambillah puak yang beriman bawa keluar ke tempat aku!
- ataupun kamu isytihar perang dengan mereka.
- atau kamu ingkari saja perbuatan mereka itu!
- Nabi Harun menjelaskan bahawa bukan dia tak buat kerja – dia telah cuba sedaya-upaya dengan usahanya menegur, menasihati & melarang kaumnya; tetapi apakan daya mereka bani Israil adalah kaum yang sangat degil & tak dengar kata!
- Kita boleh bayangkan betapa panik dan serba-salahnya nabi Harun untuk membuat keputusan dan tindakan!
Nak tinggal takut Nabi Musa marah, tak tinggal pun kena marah juga!
6. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku) dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan".} [Al-A’raaf: 142].
*Kerana itu setengah orang mengatakan jika nak keluar berdakwah kena 40 malam – kerana mereka ambil dari ayat inilah.
Ayat 94 قَالَ يَا ابْنَ أُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي وَلَا بِرَأْسِي ۖ إِنِّي خَشِيتُ أَن تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي ﴿٩٤﴾ {Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: ` Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!'"}
Nabi Harun menenangkan saudaranya Musa yang sedang marah sehingga meragut janggutnya dan menarik rambut kepalanya pula!
Musa amat marah sehingga berkasar kepada Harun – tetapi Harun tetap tenang dan menjelaskan kepada Musa dengan penuh lembut – wahai anak ibuku!
Nabi Harun menjelaskan sebab pertama kenapa dia tak ikut Nabi Musa ke Tursina dan meninggalkan kaumnya:
- kerana dia takut nanti Nabi Musa akan berkata kepadanya: Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri dengan meninggalkan mereka berbalah sesama sendiri & terus berada dalam kesesatan!
- bahawa dia tidak berhati-hati mengambil berat pesanan Musa!
- Nota [910] Semasa Nabi Musa menegur Nabi Harun dengan marahnya, Nabi Harun menjawab dengan lemah-lembut supaya janganlah ia berbuat demikian, sambil menerangkan sebab-sebabnya iaitu kalaulah ia menegur dengan cara kekerasan nescaya kaumnya akan berpecah-belah, sepuak akan menurut nasihatnya dan sepuak lagi akan tetap berdegil menyembah patung; keadaan yang demikian adalah satu kerosakan yang dilarang melakukannya.
- Nota [911] Pesanan Nabi Musa kepada Nabi Harun semasa hendak pergi ke Gunung Tursina, ialah supaya Nabi Harun menggantikannya, memperbaiki keadaan kaumnya dan jangan menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan.
Penutup & Faedah
Ayat 90- {Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu: "Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu, ikutlah daku dan taatlah akan perintahku".}
Allah menyatakan bahawa sebenarnya Nabi Harun telah menjalankan tugasnya.
Dia telah menasihati bani Israil dengan 4 nasihat yang mantap!
Allah s.w.t juga telah memulakan ayat ini lafaz qasam (sumpah) – {Demi sesungguhnya- وَلَقَدْ} – bahawa Nabi Harun telah menjalankan tugas tetapi yang degil tak dengar katanya ialah bani Israil – jadi tak bolehlah nak menyalahkan Nabi Harun!
Nasihat Nabi Harun kepada bani Israil ialah:
i- menyatakan kebatilan perbuatan mereka menyembah anak lembu.
Mereka juga sedang diuji maka jangan terpedaya.
- Tuhan mereka adalah Tuhan ar-Rahman yang menyelamatkan mereka.
- memperkenalkan dirinya sebagai seorang nabi yang perlu diikut.
- kemudian menyatakan hukum Syari'ah yang perlu mereka patuhi.
Inilah pentingnya para pendakwah menyatakan perkara yang berkaitan dengan jawatan dan arahan yang perlu diikuti kepada masyarakat!
Lengkapnya nasihat Nabi Harun – jadi kita tak boleh kata dia cuai lagi!
- Ayat 90- {Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu: "Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu,…}
Nabi Harun telah menjalankan tugasnya dengan menasihat & memberi peringatan kepada kaum bani Israil.
Kata ar-Razi: Nabi s.a.w memperkenalkan jawatan Ali di sisinya sebagaimana dalam hadis yang dikenali sebagai Hadith al-Manzilah (Hadis Kedudukan) ini-iaitu sabda Nabi Muhammad S.A.W kepada Saidina Ali bin Abi Talib R.A:
أَمَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ مِنِّي بِمَنْزِلَةِ هَارُونَ مِنْ مُوسَى، غَيْرَ أَنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي
"Tidakkah kamu reda menjadi sebahagian daripadaku seperti kedudukan Harun di sisi Musa? Melainkan tiada Nabi sesudahku."
[Muttafaq 'Alaih: HR al-Bukhari dan Muslim]
iaitu apabila Nabi Musa pergi munajat Harun kena jaga kampung dan kaum mereka.
Harun juga telah menyatakan kebenaran – melawan kaum bani Israil yang menyembah lembu!
Datang puak Syi’ah yang seolah memuji Ali seorang yang kuat dan pilihan Allah sebenarnya tetapi dalam masa yang sama seolah mencela dan menuduh Ali berbohong dengan mengatakan Ali menyembunyikan rahsia bahawa dia sebenarnya yang dipilih tetapi tidak menyatakannya!
Mereka kata itu kerana Ali bertaqiyyah – iaitu berbohong demi pahala!
Taqiyyah iaitu berbohong adalah wajib & salah satu amalan yang baik dalam pegangan Syi’ah!
Bagi kita ahli Sunnah berbohong haram kecuali dipaksa dengan ancaman nyawa dan seumpamanya!
Jika Ali itu benar tahu bahawa dia yang dipilih Allah untuk menjadi khalifah kenapa dia tak naik atas mimbar menyatakan kebenaran itu apabila Sayyidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah pertama dulu?
Ini tidak, Syiah katakan Ali sembunyikan rahsia itu dengan bertaqiyah – walaupun tahu kebenaran tetapi memilih untuk berbohong & sembunyikan kebenaran!
Jika Ali seperti Harun kenapa sembunyikan?
Sedangkan Nabi Harun tidak begitu – dia tidak sembunyikan kebenaran, berani berlawan dan menyatakan kebenaran terhadap bani Israil walaupun dibantah & diancam bunuh!
Maka ayat ini celaan dan pembatalan hujjah terhadap puak Syi'ah yang berpegang dengan hadis manzilah, kedudukan Ali ini!
Jika seperti Harun bangunlah nyatakan kebenaran!
Ayat 91 3. قَالُوا لَن نَّبْرَحَ عَلَيْهِ عَاكِفِينَ حَتَّىٰ يَرْجِعَ إِلَيْنَا مُوسَىٰ ﴿٩١﴾ {Mereka menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami".}
Bani Israil menjawab teguran dan nasihat Harun dengan berkata mereka tetap tidak akan meninggalkan penyembahan patung lembu itu sehingga nabi Musa sendiri kembali!
Puak bani Israil dengan keras kepala mencari alasan menolak nasihat Nabi Harun! ini dari sudut bantahan bani Israil kepada Nabi Musa!
Isu kedua dari sudut bahasa:
Kemudian lihat kepada perkataan ini:
{حَتَّىٰ.... لَن نَّبْرَحَ}
{Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan… sehingga}
Kata ulama' lughah jika ada perkataan sehingga (حَتَّىٰ- sehingga) maka perkataan (لَن) itu tidak menunjukkan kepada selamanya – kerana perkataan (لَن) sepatutnya membawa maksud tidak akan selamanya (never).
Ini kerana kata Al-Zamakhshari seorang ulama' muktazilah yang mempunyai kitab tafsir berkata (لَن) menunjukkan kepada tidak akan (never) sebagaimana dalam firman Allah apabila Nabi Musa meminta untuk melihat Allah & Allah menolaknya: {Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu- قَالَ لَن تَرَىٰنِى}.
Maka kata muktazilah ayat ini menjadi dalil bahawa kita manusia tidak akan boleh melihat Allah di dunia & juga di Akhirat – yakni tak selama-lamanya!
Tetapi kita ahli Sunnah mengatakan kita hanya tidak boleh lihat Allah di dunia & kita beriman bahawa Allah itu ada, Allah bersifat dengan sifat-Nya yang sempurna.
Tetapi di Akhirat Allah sendiri yang beritahu dengan firman-Nya:
{وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ ٢٢-
Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;
إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ ٢٣-
Melihat kepada Tuhannya.} [Al-Qiyamah: 22-23].
Kita berdoa dengan nama Allah yang maha indah & sifat-Nya yang mulia agar kita layak mendapat keampunan Allah, dapat masuk ke dalam syurga dan layak memandang kepada wajah Allah yang mulia.
4. Ayat 92- {(Sekembalinya), Nabi Musa berkata: "Wahai Harun, apakah mani'nya yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat,}
Nabi Musa terus menyoal dan muhasabah saudaranya nabi Harun!
Jika kamu dah lihat kaum bani Israil telah sesat & ingkar kepada kamu – kenapa kamu tak bawa mereka yang beriman tinggalkan mereka yang sesat itu – ikut aku ke Tursina!
Nabi Musa minta Harun tunjuk sebab kenapa dia tak buat begitu begini – begitulah keadaannya para ketua apabila melihat rakyat tak kena kena tanya, minta penjelasan, bukan terus menghukum atau marah!
Kata para ulama' Inilah pentingnya perbincangan – bila tak puas hati tanya sebabnya kenapa – apabila dah dapat jawapan nilailah alasannya boleh diterima atau tidak!
Jika tidak ia akan menimbulkan masalah & kerosakan!
Harun menjawab soalan dan tuduhan Musa – membela dirinya dengan menjelaskan apa sebenar yang berlaku – bukan kerana dia nak mengingkari arahan Musa!
5. Ayat 94- {Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: ` Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!'"}
Harun menegur dan menasihati Nabi Musa pula agar jangan meragut janggut dan menarik rambutnya!
Yakni jangan berkasar, jangan main fizikal kerana ia boleh memalukan mereka di khayalak ramai.
Dengar dulu penjelasan dan alasannya!
Jika nak ambil tindakan terhadap orang kena ambil yang sesuai dan yang sepatutnya jangan main fizikal!
Pada hari ini guru-guru pun boleh kena saman jika cuit anak murid – Allahu al-Musta’an- budak nakal cikgu tak berani nak tegur lagi!
Kedua – ulama' bawa isu janggut {لِحْيَة} pula:
jaga janggut ini adalah Sunnah para nabi a.s. Boleh dikatakan semua para nabi itu ada janggut!
Maka kita para pendakwah simpanlah janggut walaupun hanya dua-tiga urat yang ada!
Jika memang tak keluar janggut walaupun seurat itu sudah nasib nak buat macamana – yang tak bolehnya cukur atau cabut janggut yang ada!
- Lelaki memang tabiatnya berjanggut – yang tidak berjanggut ini hanya kanak-kanak & wanita!
Ini menunjukkan cinta kita kepada Sunnah para nabi a.s dengan memelihara janggut – simpanlah jika ada janggut jangan dok cukurnya sampai licin!
Cuma ulama' khilaf tentang boleh atau tidak untuk andam/trim janggut.
Boleh trim sedikit untuk nampak kemas dan bersih separuh jika panjang sangat.
Manakala misai pun jangan dicukur licin hanya boleh gunting & andam biar kemas.
Wallahu a'lam.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga mendapa manfaatnya!
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.