Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Taha · Nota 10/15

Surah Taha: Ayat 60-64

Fir'aun Mengumpul Ahli Sihir, Nabi Musa A.S Beri Amaran, Ahli Sihir Berbisik Dan Membuat Tuduhan

Fir'aun Mengumpul Ahli Sihir, Nabi Musa A.S Beri Amaran & Ahli Sihir Berbisik Dan Membuat Tuduhan

Live Kuliah Pagi Isnin 19/10/2026 - 08 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (10) Ayat [60-64]

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 60 sehingga ayat 64 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Fir'aun mengumpul ahli sihir dari kalangan ketua-ketua atau pakar yang hebat untuk berlawan dengan Nabi Musa a.s.
  3. Apabila berhadapan dengan ahli sihir, sebagai seorang nabi dan pendakwah Nabi Musa a.s beri amaran & peringatan kepada mereka agar jangan mendustakan ayat-ayat Allah dengan mengatakan mukjizatnya sebagai sihir juga!
  4. Mendengar peringatan Musa – para ahli sihir mulai goyah & berbisik-bisik sesama mereka tentang apakah yang patut mereka buat!

Tetapi akhirnya mereka tetap membuat tuduhan bahawa Musa & Harun adalah dua ahli sihir.

5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

  1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bahawa Nabi Musa & Fir'aun telah sepakat bersetuju untuk bertemu pada hari Perayaan yang telah dimaklumkan semua orang!

    Kerana Fir'aun nak bawa ahli sihirnya untuk melawan Musa.

  2. maka datang ayat ini menceritakan Fir'aun keluar untuk buat persiapan dengan mencari ahli sihir yang dianggap pakar yang hebat, diberi taklimat untuk berlawan dengan Nabi Musa.

Mereka pun hadir dalam majlis itu dengan penuh keyakinan!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 60 فَتَوَلَّىٰ فِرْعَوْنُ فَجَمَعَ كَيْدَهُ ثُمَّ أَتَىٰ ‎﴿٦٠﴾ {Maka Firaun pun berangkat dari majlis itu. Ia mengumpulkan ahli-ahli sihir untuk menjalankan tipu-dayanya, kemudian ia datang ke tempat perlawanan.}

  1. Maka selesai menetapkan perjanjiannya dengan Nabi Musa, Fir'aun lalu:

    1. bangun keluar dari majlis pertemuannya dengan Nabi Musa;
    2. untuk membuat persiapan dengan mengumpulkan ahli-ahli sihir untuk menjalankan tipu-dayanya.
    3. kemudian ia datang ke tempat perlawanan dengan penuh yakin.
  2. Nota [880] Yakni majlis pertemuannya dengan Nabi Musa, semasa nabi Musa berhujjah dengannya dan membuat perjanjian itu.
  3. Fir'aun beri arahan kepada pegawainya untuk mengumpulkan ahli sihir yang dianggap paling hebat dalam negeri Mesir pada waktu itu!
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini: وَقَالَ فِرْعَوْنُ ٱئْتُونِى بِكُلِّ سَـٰحِرٍ عَلِيمٍ
  1. {Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): "Bawalah kamu kepadaku segala ahli sihir yang mahir".} [Yunus: 79]
  2. tafsir secara panjang dalam surah ini:

{قَالُوٓا۟ أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَٱبْعَثْ فِى ٱلْمَدَآئِنِ حَـٰشِرِينَ) ٣٦

Mereka berkata: "Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir),

يَأْتُوكَ بِكُلِّ سَحَّارٍ عَلِيمٍ )(٣٧

"Supaya mereka membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir".

فَجُمِعَ ٱلسَّحَرَةُ لِمِيقَـٰتِ يَوْمٍ مَّعْلُومٍ ()٣٨

Lalu dikumpulkanlah ahli-ahli sihir itu pada satu masa yang ditentukan, pada hari (perayaan) yang termaklum.

وَقِيلَ لِلنَّاسِ هَلْ أَنتُم مُّجْتَمِعُونَ )(٣٩

Dan dikatakan kepada orang ramai: "Berkumpulah kamu semuanya;.

لَعَلَّنَا نَتَّبِعُ ٱلسَّحَرَةَ إِن كَانُوا۟ هُمُ ٱلْغَـٰلِبِينَ )(٤٠

"Semoga kita (tetap) mengikut (ugama) ahli-ahli sihir itu kiranya merekalah orang-orang yang menang".

فَلَمَّا جَآءَ ٱلسَّحَرَةُ قَالُوا۟ لِفِرْعَوْنَ أَئِنَّ لَنَا لَأَجْرًا إِن كُنَّا نَحْنُ ٱلْغَـٰلِبِينَ )(٤١

Maka ketika ahli-ahli sihir itu datang, berkatalah mereka kepada Firaun: "Benarkah kami akan beroleh upah, kiranya kamilah orang-orang yang menang?"

قَالَ نَعَمْ وَإِنَّكُمْ إِذًا لَّمِنَ ٱلْمُقَرَّبِينَ ()٤٢

Firaun menjawab: "Benar, (kamu akan mendapatnya) dan sesungguhnya kamu dengan itu akan menjadi dari orang-orang yang dekat kepadaku".} [Asy-Syu’araa’: 36- 42].

5. Kemudian Fir'aun tunai janjinya, hadir sendiri di tempat perjanjian mereka dengan yakin akan menang, bahawa ahli sihirnya akan mengalahkan Musa!

Ayat 61 قَالَ لَهُم مُّوسَىٰ وَيْلَكُمْ لَا تَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا فَيُسْحِتَكُم بِعَذَابٍ ۖ وَقَدْ خَابَ مَنِ افْتَرَىٰ ‎﴿٦١﴾ {Nabi Musa berkata kepada mereka: "Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Ia akan membinasakan kamu dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa".}

  1. Sebelum perlawanan Nabi Musa memberi peringatan dan amaran kepada para ahli sihir itu!

    Celakalah kamu jika kamu berdusta terhadap Allah – jangan buat rekaan & pembohongan ke atas Allah!

  2. Maksudnya pendustaan itu ialah membuat sihir sehingga menipu dan mengelabui mata manusia sehingga percaya dan kagum kepada mereka!

Yakni guna sihir untuk menipu orang dan mendakwa sesuatu yang sebenarnya tidak ada!

  1. Begitulah sepatutnya para pendakwah memberi tazkirah peringatan kepada masyarakat atau orang ramai pada setiap masa dan di mana saja ada peluang & kesempatan!
  2. Nota [881] Yakni berkatalah ia kepada ahli-ahli sihir Fir’aun: Janganlah kamu mengatakan mukjizat-mukjizat yang aku tunjukkan itu sebagai sihir dan janganlah kamu gunakan sihir kamu yang dusta itu untuk mengabui pandangan orang ramai dari melihat kebenaran.
  3. Ada juga pendapat kedua yang mengatakan ayat ini Nabi Musa tuju kepada Fir'aun dan ahli sihir – yakni kepada semua yang ada dalam majlis itu!

    Nabi Musa sudah ada keberanian dan keyakinan untuk terus berdakwah dengan tegas dan keras!

  4. Nabi Musa memberi amaran lagi sesiapa yang berbuat demikian iaitu mendustakan Allah akan kecewa dan binasa!
  5. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

{Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya".} [Yunus: 69].

Ayat 62 فَتَنَازَعُوا أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ وَأَسَرُّوا النَّجْوَىٰ ‎﴿٦٢﴾ {Maka merekapun berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara sihir mereka dan mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan.}

  1. Mendengar peringatan & amaran Nabi Musa – ahli sihir mulai goyah pegangan & keyakinan mereka.

    Mereka berbantahan dan berunding sesama sendiri tentang apa yang perlu mereka lakukan.

  2. Hasil perbincangan itu mereka berpecah kepada dua pandangan samada nak teruskan lawan atau sebaliknya terus ikut Musa!

    *Yakni sudah ada kecenderungan di kalangan mereka untuk percaya kepada Nabi Musa.

  3. Akhirnya mereka berbisik dan buat keputusan sesama mereka dengan rahsia – tidak maklumkannya kepada Fir'aun, iaitu:
    1. jika Nabi Musa benar-benar seorang ahli sihir – mereka akan melawannya dengan sihir mereka juga sehingga dia kalah.
    2. jika terbukti kebenaran Nabi Musa & mereka kalah; mereka akan ikut Nabi Musa!

Ayat 63 قَالُوا إِنْ هَٰذَانِ لَسَاحِرَانِ يُرِيدَانِ أَن يُخْرِجَاكُم مِّنْ أَرْضِكُم بِسِحْرِهِمَا وَيَذْهَبَا بِطَرِيقَتِكُمُ الْمُثْلَىٰ ‎﴿٦٣﴾ {Mereka berkata: "Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka dan hendak melenyapkan kepercayaan serta adat peraturan kamu yang utama.}

1. Munasabah ayat:

  1. apabila Allah nyatakan mereka berbisik-bisik berunding sesama ahli sihir;
  2. maka Allah ceritakan apa yang mereka zahirkan – apa yang ada dalam hati mereka tak kira!

Secara zahirnya mereka nak lawan Musa dan tuduh dia & Harun ahli sihir juga!

  1. Yakni walaupun begitu – mereka tetap mengeluarkan kenyataan untuk menunjukkan kekuatan & menjaga kedudukan mereka di mata Fir'aun dulu – yakni secara zahirnya!
  2. Mereka membuat tuduhan dengan mengatakan bahawa Musa & Harun adalah dua orang ahli sihir yang datang bawa sihir & tujuan sebenarnya ialah:
    1. hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka, yakni nak rebut takhta kerajaan Mesir.
    2. dan hendak melenyapkan kepercayaan serta adat peraturan kamu yang utama – iaitu nak hapuskan agama & pegangan tok nenek kamu.

3. Nota [882] Yakni Nabi Musa a.s dan saudaranya: Nabi Harun a.s.

Ayat 64 فَأَجْمِعُوا كَيْدَكُمْ ثُمَّ ائْتُوا صَفًّا ۚ وَقَدْ أَفْلَحَ الْيَوْمَ مَنِ اسْتَعْلَىٰ ‎﴿٦٤﴾‏ {"Oleh itu, satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang pada hari ini".}

  1. Ahli sihir buat keputusan untuk bersatu bersama-sama menentang Nabi Musa dengan sihir mereka!

    Kumpulkan segala ilmu & peralatan mereka untuk kalahkan Musa!

  2. Ayat ini ada dua bacaan qiraatnya:

    1. jika huruf mim baris di atas seperti {فَأَجْمَعُوا۟} – maknanya kumpulkan segala idea, ilmu, kuasa tenaga & peralatan kamu yang kamu ada untuk kita lawan Musa!
    2. jika huruf mim baris dibawah seperti dalam ayat kita ini {فَأَجْمِعُوا۟} – maknanya teguhkan semangat & pendirian kamu – mantapkan kekuatan!

    2. Kata asy – Syanqiti: Yang masyhurnya ayat ini ialah kata-kata ahli sihir sesama mereka – untuk bersatu hati & ilmu nak kalahkan Musa!

  3. Mereka memberi motivasi sesama mereka bahawa akan beruntunglah jika mereka menang kerana mereka akan menjadi orang rapat Fir'aun & akan diberi pangkat jawatan!
  4. Nota [883] Yakni beruntunglah orang yang dapat mengalahkan Musa dan saudaranya, dengan pangkat kebesaran yang dijanjikan oleh Fir’aun.

Penutup & Faedah

  1. Ayat 60- {Maka Firaun pun berangkat dari majlis itu. Ia mengumpulkan ahli-ahli sihir untuk menjalankan tipu-dayanya, kemudian ia datang ke tempat perlawanan.} – apabila selesai perbincangan dengan Nabi masa – iaitu lawan tetap lawan maka Fir'aun pun beredarlah dari majlis itu!

    Serta panggil mesyuarat tergempar dengan para menteri & pembesarnya untuk merancang strategi nak kalahkan Musa!

    Jangan habiskan masa, jangan tangguhkan lagi – sekarang juga mereka buat persiapan seperti kumpulkan semua ahli sihir yang pakar & terkenal hebat di kalangan mereka!

    *Kata Ibnu Abbas – diriwayatkan terdapat 70 orang ahli sihir yang hebat & setiap mereka ada tali & tongkat!

    Di akhir ayat Allah kata: Kemudian {ثُمَّ أَتَىٰ} datanglah Fir'aun ke tempat yang dijanjikan itu!

    Ayat ini menunjukkan bahawa Fir'aun tidak memandang kecil & lekeh terhadap Nabi Musa & Harun – kerana itu dia membuat persiapan yang rapi & teguh – cari ahli sihir yang hebat & bijak!

  2. Ayat 61- {Nabi Musa berkata kepada mereka: "Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Ia akan membinasakan kamu dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa".}

Nabi Musa beri amaran keras dan peringatan dari awal lagi kepada para ahli sihir itu!

Timbul persoalan di sini kenapa begitu keras sekali Nabi Musa memberi amaran kepada mereka?

Jawapan: Keras sekali amaran ini kerana nabi Musa nampak ahli sihir ini berdolak-dalih, sedang mencari helah untuk membuat tuduhan ke atasnya.

Maka Musa terus memberi amaran keras dari awal lagi – jangan kamu buat begitu – jangan kamu mendustakan atas nama Allah dengan mengatakan tongkat & tangan aku ini sihir, jangan kamu salah guna sihir untuk memperdayakan manusia, jangan kamu berbohong kelak apabila kamu kalah – kamu akan malu!

Timbul persoalan kedua pula kepada siapa Musa tujukan amaran itu:

  1. jika amaran ini Musa tujukan kepada ahli sihir – tidak ada masalah & amat sesuai!

    Nabi Musa mahu menunjukkan ketinggian & izzahnya kepada mereka!

  2. tetapi jika khitab ini kepada Fir'aun – apakah Nabi Musa sudah lupa pesanan Allah agar dia bercakap & berdakwah dengan lembut kepada Fir'aun?

Jawapan:

Tidak mengapa lagi Nabi Musa berkasar kerana Fir'aun tidak menunjukkan sebarang tanda untuk menerima kebenaran selepas Nabi Musa berdakwah kepadanya dengan penuh lembut & berhemah!

Inilah uslub dakwah – kita kena berlembut pada pemulaan dakwah untuk mejinakkan hati manusia yang didakwah – berunding berbincang beri nasihat dengan baik!

Pada akhirnya selepas kita sampaikan mereka masih tidak mahu terima – seperti Fir'aun ini yang tidak ada harapan lagi nak beriman – maka bolehlah kita berkeras dan beri amaran pula untuk menakutkannya.

Yakni jangan sentiasa berlembut sehingga dipijak kepala & jangan sentiasa keras nanti orang benci pula!

Contoh seperti kita lihat orang tak berapa nak solat – Kita bertanya khabar & nasihat dengan lembut dulu – kemudian jika tak dengar juga baru boleh ingatkan bahawa nerakalah balasan bagi orang yang tak solat!

Bukan kata terus masukkannya ke dalam neraka!

Jadi Allah ajar kepada Nabi Musa, apabila Fir'aun tak nampak jalan lagi nak beriman maka bolehlah beri peringatan & amaran keras.

Inilah uslub dakwah yang sangat penting untuk kita belajar!

3. Ayat 62- {Maka merekapun berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara sihir mereka dan mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan-

فَتَنَـٰزَعُوٓا۟ أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ وَأَسَرُّوا۟ ٱلنَّجْوَىٰ.}

para ahli sihir sendiri mula berpecah sesama mereka – sepatah nabi Musa beri kata-katanya!

Ada yang kata perbuatan nabi Musa bukan sihir & ada yang tetap kata sihir! Maka mereka berpecah!

Ini kerana mereka tahu tongkat Nabi Musa bukan sihir seperti tali-tali mereka yang nampak seolah ular pada pandangan mata manusia itu!

Fakta: Bagaimana tali ahli sihir nampak seperti ular?

Hakikatnya mereka bubuh atau letak raksa pada tali mereka yang apabila kena panas atau sejuk akan mengecut mengembang maka ia seolah ular yang bergerak-gerak.

Raksa ialah satu logam cair yang berwarna perak.

Raksa atau dikenali juga sebagai merkuri; satu-satunya unsur logam yang secara semulajadi berada dalam keadaan cecair pada suhu bilik.

Dahulu digunakan secara meluas dalam termometer (penyukat suhu), barometer, manometer dan Sfigmomanometer (alat pengukur tekanan darah).

Lalu Nabi Musa terus ambil kesempatan beri amaran dan peringatan.

Ini kerana kata-kata yang benar akan dapat menggoncang hati manusia – maka beritahulah kebenaran!

Sentap pada saat akhir ini amat perlu – agar dapat memberi kesan kepada hatinya untuk mengubah pendirian dan menerima petunjuk.

Jadi ahli sihir ini selepas mendengar kata-kata Musa mereka mula goyah & tak tetap lagi pendirian mereka – bahkan mereka bersetuju jika Musa menang mereka akan ikut Musa!

4. Ayat 63- {Mereka berkata: "Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka,…} – ahli sihir mengeluarkan kenyataan untuk menunjukkan perlawanan mereka kepada Nabi Musa.

Ini agar Fir'aun yakin & percaya kepada mereka!

Walaupun tadi mereka telah mula koyak – berbisik-bisik dan telah berpecah pendapat, macam nak insaf & telah mula hilang keyakinan akan sihir mereka.

Tetapi begitulah ahli sihir walaupun dia tahu Musa mungkin benar tetapi apabila mengeluarkan kenyataan mereka mula nak spinnya!

Mereka nak menunjukkan kekuatan terhadap Musa dan dalam masa yang sama nak menjatuhkan Musa dengan buat tuduhan terhadapnya!

Selagi ada perlawanan pasti ada tohmahan, tuduhan dan kata-kata buruk terhadap lawannya!

Begitulah berhati-hati; apabila nak puji orang biar berpada – nak keji pun biar berpada!

Nak bercakap tolong tengok kiri kanan dulu!

Kerana orang yang kita benci dan kata dulu mungkin suatu hari akan jadi kawan kita begitu juga sebakiknya!

Jika tidak kita akan kesipuan nanti!

5. Ayat 64- {"Oleh itu, satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang pada hari ini".} – ini pesanan dan peringatan terakhir Fir'aun kepada para ahli sihir – atau pesanan ahli sihir sesama mereka.

Iaitu keputusan akhir para ahli sihir selepas perundingan mereka: Set kita jangan berpecah – satukan hati & tenaga kemahiran kamu untuk melawan Musa sehingga dia kalah!

Sepatutnya sesama pendakwah pun begitu juga; hendaklah bersatu dan bersama dalam menangani & melawan sesuatu isu kerosakan yang sedang timbul dalam masyarakat!

Lihatlah kepada isu yang sedang timbul & fokuskan kepada satu point tertentu dulu – contoh sekarang masalah LGBT berleluasa; maka apabila orang lain sedang cuba menangani dan memberi kesedaran tentang masalah ini jangan kita jadi pengubah isu pula – divert perhatian kepada masalah lain.

Seperti dok bangkit hal surau, hal arak atau judi dan seumpamanya!

Kita tumpukan kepada satu isu dan tujukan anak panah kita kepada perkara yang sama barulah dapat mengalahkan atau melemahkannya!

Para ahli sihir Fir'aun pun boleh berpakat untuk bersatu mengembeleng tenaga & kemahiran untuk melawan Nabi Musa – kenapa kita tidak boleh!

Kita boleh belajar dari ahli sihir ini bagaimana mereka nak kesatuan!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga mendapa manfaatnya!

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas