Surah Maryam: Ayat 66-72
Menolak Syubhat Musyrikin Tentang Kiamat, Semua Akan Melintasi Sirat & Mukmin Selamat
Menolak Syubhat Musyrikin Tentang Kiamat, Semua Akan Melintasi Sirat & Mukmin Selamat

Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 66 sehingga ayat 72 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan & ajarkan kepada kita cara untuk menolak keraguan & syubhat yang ditimbulkan oleh puak kafir musyrikin tentang kiamat.
- Kemudian Allah nyatakan bahawa semua manusia akan melintasi titian Sirat yang dibentang atas neraka Jahannam termasuk para anbiya’ dan orang soleh.
Cuma pastilah berbeza caranya. - Pada ketika itu orang mukmin yang bertaqwa akan selamat, manakala orang kafir akan terguling jatuh dalam neraka!
*Ayat ini amat menakutkan kerana semua kita akan dibangkitkan, amalan kita atas dunia ini akan dibentang & dihisab kelak.
Yang baik amalannya akan selamat; yang jahat pasti akan celaka! - Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t perintahkan agar kita sabar & melawan nafsu serta ikhlas dalam beribadat kepada Allah!
Tetap istiqomah dalam Islam & ibadat. - maka dalam ayat ini Allah nyatakan manusia yang keras kepala pasti menentang lalu Allah ajar cara untuk kita lawan syubhat yang dibawa oleh puak kafir dengan dalil-dalil & hujjah yang dibawa dalam al-Quran & hadis Nabi s.a.w.
Jangan kita lemah biarkan mereka membuat keraguan itu – mesti lawan balik!
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t perintahkan agar kita sabar & melawan nafsu serta ikhlas dalam beribadat kepada Allah!
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 66 وَيَقُولُ الْإِنسَانُ أَإِذَا مَا مِتُّ لَسَوْفَ أُخْرَجُ حَيًّا ﴿٦٦﴾ {Dan manusia (yang kafir) berkata: "Apa! Apabila aku mati, adakah aku akan dibangkitkan hidup semula?"} [Maryam 19:66]
- Puak kafir dengan penuh rasa pelik & takjub bertanya apakah logik kita hidup semula setelah mati atas dunia ini?
Pertanyaan yang menunjukkan pengingkaran & tidak percaya. - Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan jika engkau merasa hairan (wahai Muhammad), maka sungguh menghairankan perkataan mereka yang kafir itu (yang mengatakan): "Adakah apabila kami telah menjadi tanah betulkah kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu?" Mereka itulah orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan mereka dan merekalah yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka; dan merekalah juga ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.} [Ar-Ra’d: 5]. - Begitulah manusia apabila tidak yakin – mereka guna logik otak mereka untuk buat hujjah bagi menunjukkan tidak percayanya!
Ayat 67 أَوَلَا يَذْكُرُ الْإِنسَانُ أَنَّا خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ وَلَمْ يَكُ شَيْئًا ﴿٦٧﴾ {Patutkah manusia itu berkata demikian dan tidak memikirkan bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu sedang ia pada masa itu belum ada sebarang apapun?} [Maryam 19:67]
- Wahai manusia tidak patut sekali kamu berkata begitu – apakah kamu tidak ingat sedangkan kamu dulu tiada pun, tidak wujud & tidak tercipta!
- Ada dua qiraat (bacaan) di sini yang membawa makna yang berbeza:
- bacaan pertama qira’at Nafi’ wa Asim wa Ibnu Amir: {يَذْكُرُ} – yazkuru dengan makna ingat; Maka wahai manusia apakah kamu tidak ingat dulu kamu tiada sekarang ada?
Siapakah yang cipta kamu itu? - bacaan lain-lain ahli qira’at {يَذَّكَّرُ} – yazzakkaru dengan makna tadabbur, terfikir; Maka wahai manusia apakah kamu tidak terfikir, tidak tadabbur tentang kamu dulu tak ada pun, sekarang ada – Allah yang cipta kamu pada awalnya dari tiada kepada ada – maka kamu tak memikir ke?
- bacaan pertama qira’at Nafi’ wa Asim wa Ibnu Amir: {يَذْكُرُ} – yazkuru dengan makna ingat; Maka wahai manusia apakah kamu tidak ingat dulu kamu tiada sekarang ada?
- Kemudian Allah yang berkuasa mencipta kamu daripada tiada kepada yang ada sekarang ini!
Maka pastilah lebih mudah untuk mengembalikan sesuatu atau menghidupkan semula kamu yang telah ada!
Tetapi bagi Allah semua itu mudah & sama saja. - Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
{Dan Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} [Ar-Ruum: 27]. - Kita lihat kecanggihan teknologi hari ini dengan AI yang boleh buat reka balik gambar manusia jadi tua, jadi muda, jadi bayi semula, tukar rupa, tukar baju dan tempat segalanya-
FB yang dok ulang tayang apa yang kita buat setahun dulu, 5 tahun dulu hatta 10 tahun dulu – tak kira lagi CCTV dan seumpamanya; jika kamu manusia boleh buat semua itu apa susahnya bagi Allah! - Makin canggih teknologi makin tinggi ilmu sains; makin besar hujjah Allah ke atas kita!
Semua ini terbukti menunjukkan ia adalah sesuatu yang mudah & tidak mustahil bagi Allah.
Semua kecanggihan teknologi itu menunjukkan alamat Kiamat & tanda-tanda keagungan dan kekuasaan Allah. - Hadis riwayat dari Ibnu Abbas r.a, dari Nabi صلى الله عليه وسلم, beliau bersabda:
“Allah s.w.t berfirman, ‘Anak Adam telah mengatakan kebohongan tentang Aku padahal ia tidak berhak melakukannya. Ia juga mencela-Ku, padahal ia tidak berhak melakukannya. Kebohongan yang ia perbuat tentang-Ku adalah ia menganggap Aku tidak mampu menghidupkannya kembali sebagaimana sebelumnya. Adapun celaannya kepada-Ku, iaitu ia mengatakan bahawa Aku mempunyai anak. Maha Suci Aku, sama sekali Aku tidak memiliki isteri dan juga anak’.” (H.R. Bukhari)
Ayat 68 فَوَرَبِّكَ لَنَحْشُرَنَّهُمْ وَالشَّيَاطِينَ ثُمَّ لَنُحْضِرَنَّهُمْ حَوْلَ جَهَنَّمَ جِثِيًّا ﴿٦٨﴾ {Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka yang kafir itu beserta syaitan-syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka duduk berlutut di keliling neraka Jahannam.} [Maryam 19:68]
- Ayat ini adalah amaran Allah kepada orang kufur!
Apabila Allah nyatakan hujjah lawan hujjah tak dengar juga; maka sekarang ini dibawa pula akta enakmen & hukumannya! - Allah bersumpah dengan nama Tuhanmu wahai Muhammad: Allah kata Dia akan kumpulkan bersama semua syaitan & para pengikutnya – mula-mula di Padang Mahsyar kemudian mereka akan dibawa bersama pula ke neraka Jahannam!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{(Allah berfirman kepada malaikat): "Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah.} [As-Saaffaat: 22]. - Syaitan dan segala sembahannya, batu, kayu, pokok semuanya akan diheret oleh malaikat dalam keadaan hina dengan berlutut dibawa ke neraka Jahannam.
Kita minta perlindungan Allah daripada neraka! - Semua sembahan kafir akan dihumban ke dalam neraka, golongan kafir kecuali Nabi Isa, Uzair & malaikat.
Mereka selamat kerana disembah oleh kafir tanpa kerelaan dan suruhan mereka!
Ayat 69 ثُمَّ لَنَنزِعَنَّ مِن كُلِّ شِيعَةٍ أَيُّهُمْ أَشَدُّ عَلَى الرَّحْمَٰنِ عِتِيًّا ﴿٦٩﴾ {Sesudah itu, sesungguhnya Kami akan cabut dari tiap-tiap golongan, mana-mana orang yang sangat derhaka kepada (Allah) Ar-Rahman, di antara mereka.} [Maryam 19:69]
- Daripada setiap kumpulan kafir yang paling jahat, paling derhaka dari kalangan mereka itu akan ditarik dulu oleh malaikat pertamanya.
Iaitu ikut giliran dan tahap penderhakaan mereka! - Jika bagi orang mukmin di dalam syurga ada darjatnya; orang kafir dalam neraka ada darakat pula iaitu tingkatan azab siksaannya pula!
Ayat 70 ثُمَّ لَنَحْنُ أَعْلَمُ بِالَّذِينَ هُمْ أَوْلَىٰ بِهَا صِلِيًّا ﴿٧٠﴾ {Kemudian, sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang-orang yang lebih patut diseksa dan dibakar dengan api neraka itu.} [Maryam 19:70]
- Munasabah ayat:
- apabila Allah sebut tentang keadaan di Akhirat secara umum; setiap kumpulan saling menuding dan menuduh kumpulan mana yang lebih jahat daripada kalangan mereka;
- datang ayat ini Allah menegaskan bahawa Dia lebih mengetahui akan keadaan mereka.
Iaitu siapakah orang-orang yang lebih jahat, yang lebih patut diseksa dan dibakar dengan api neraka itu – Allah lebih mengetahuinya!
- Yakni Allah mengatakan Allah lebih mengetahui siapa yang lebih jahat siapa yang lebih layak untuk mendapat siksaan & bakaran api neraka terlebih dahulu!
- Maka kamu jangan bimbang, jangan ragu dengan Tuhan.
Allah tahu segalanya siapa paling jahat siapa lebih patut mendapat siksaan yang sepatutnya! - Kita berdoa dengan Allah agar kita semua diselamatkan dari dihumban ke dalam neraka ini.
Jika ada manusia yang mengatakan tidak mengapa masuk neraka sekejap – kita kata kita tidak mahu sama sekali – kita minta jauh dari neraka ini apatah lagi dicampak ke dalamnya!
Ayat 71 وَإِن مِّنكُمْ إِلَّا وَارِدُهَا ۚ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتْمًا مَّقْضِيًّا ﴿٧١﴾ {Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.} [Maryam 19:71]
- Allah tegaskan bahawa semua manusia akan melintasi melalui titian Sirat untuk menuju ke syurga.
Ini tafsiran pertama yang masyhur dan menjadi pilihan ramai ulama'. - Nota [832] Yakni semua orang-orang yang beriman dan yang kafir sudah tetap akan melalui neraka Jahannam dengan meniti titian yang (disebut Sirat’ul-Mustaqim – الصراط المستقيم); maka orang-orang yang beriman yang mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya akan selamat dan masuk Syurga dan orang-orang kafir serta orang yang berdosa besar akan jatuh dalam neraka.
- Hadis tentang sirat ini:
- daripada Abu Said Al-Khudri r.a bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mafhumnya: “Ia ialah sebuah jalan yang sangat licin, kaki sulit sekali berdiri di atasnya.” (HR Imam Muslim)
- Dalam sebuah hadith panjang riwayat daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Dan diletakkan sebuah jambatan di atas neraka jahannam, lalu aku dan umatku menjadi orang pertama yang meniti di atasnya.
Rasul-rasul berdoa pada hari itu: ‘Ya ALLAH, selamatkan, selamatkan.’
Di kanan kirinya ada pengait-pengait seperti duri pokok Sa’dan.
Pernahkah kalian melihat duri pokok Sa’dan?”
Para sahabat menjawab, “pernah, wahai Rasulullah.”
Baginda melanjutkan: “Sesungguhnya pengait itu seperti duri pokok Sa’dan, namun hanya ALLAH yang tahu besarnya.
Maka ramai manusia yang disambar dengan pengait itu sesuai dengan amal perbuatannya di dunia.” [HR Muslim]. - Nabi S.A.W bersabda maksudnya: "Orang Mukmin (berada) di atasnya (sirat), ada yang secepat kedipan mata, ada yang secepat kilat, ada yang secepat angin, ada yang secepat kuda yang amat kencang berlari dan ada yang secepat kenderaan.
Maka ada yang selamat setelah tertatih-tatih dan ada pula yang dilemparkan ke dalam neraka. Mereka yang paling terakhir merangkak secara perlahan." (Muttafaqun 'alaih) - Nabi S.A.W menjelaskan keadaan manusia yang melintasi titian sirat dalam pelbagai cara.
Baginda bersabda maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA ia berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Lalu diutuslah amanah dan rahim (tali persaudaraan) keduanya berdiri di samping kiri kanan sirat tersebut. Orang yang pertama lewat seperti kilat".
Aku bertanya: "Demi bapa dan ibuku (aku korbankan) demi engkau. Adakah sesuatu seperti kilat?"
Rasul S.A.W menjawab: "Tidakkah kalian pernah melihat kilat bagaimana ia lalu dalam sekelip mata?
Kemudian ada yang melaluinya seperti angin, kemudian seperti burung dan seperti kuda yang berlari kencang.
Mereka berjalan sesuai dengan amalan mereka.
Nabi kalian waktu itu berdiri di atas sirat sambil berkata: "Ya Allah selamatkanlah! selamatkanlah!
Sampai hamba yang lemah amalannya, sehingga datang seseorang lalu ia tidak mampu melewati kecuali dengan merangkak."
Beliau menuturkan (lagi): "Di kedua belah pinggir sirat ada besi pengait yang bergantungan menyambar siapa saja yang diperintahkan untuk disambar.
Maka ada yang terpeleset namun selamat dan ada pula yang terjungkir ke dalam neraka." (HR Muslim)
- Tafsiran kedua:
Ada juga ulama' yang menafsirkan maksudnya firman Allah ini: – bahawa yang semua manusia akan melalui atau masuk – adalah neraka!
Wallahu a'lam dan wal ‘iyazu billah minhu. - Contoh seperti kita orang biasa masuk dalam penjara untuk melihat bagaimana hidup para banduan!
Bukan bererti kita masuk untuk dihukum.
Begitulah juga melalui atau melawat neraka oleh orang beriman itu – untuk menambahkan keinsafan dan kesyukuran mereka-
alhamdulillah mujur aku beriman & taat ikut Sunnah dulu; jika tidak celaka begitulah nasibku! - Ya Allah selamatkan kami ya Allah jangan jadikan kami orang yang masuk neraka ini
jadikanlah kami orang yang selamat melintasi titian Sirat ini dan selamat tiba di syurga!
Ayat 72 ثُمَّ نُنَجِّي الَّذِينَ اتَّقَوا وَّنَذَرُ الظَّالِمِينَ فِيهَا جِثِيًّا ﴿٧٢﴾ {Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.} [Maryam 19:72]
- Semua kita akan melalui sirat cuma nasib setiap golongan berbeza – Allah berfirman:
- Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa.
Iaitu yang taat kepada Allah yang jauh dari segala kekufuran, kemungkaran dan dosa maksiat kepada Allah! - dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim dengan kekufurannya dan maksiatnya tinggal berlutut di dalam neraka itu!
- Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa.
- Ya Allah jadikan kami orang yang bertaqwa – selamat melalui Sirat melepasi neraka yang menunggu di bawahnya!
Atau seperti kilat yang menyambar tidak dicangkuk oleh pencangkuknya! - Ayat ini adalah ayat yang menjadi tangisan bagi orang-orang soleh.
Kitapun biarlah terasa takut dan ngeri juga. Berdoalah agar kita termasuk dalam golongan yang soleh. - Ada juga sahabat yang menceritakan bahawa:
Maksudnya: "Telah sampai kepadaku (maklumat) bahawa jambatan (Sirat) itu lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang." (Riwayat Muslim)
*Ini adalah perkataan sahabat Nabi, iaitu Abu Sa'id al-Khudri R.A, bukannya sabda (lafaz langsung) daripada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.
Macamanalah kita nak lalu kecuali dengan pertolongan dan kuasa Allah!
Penutup & Faedah
- Ayat 66- {Dan manusia (yang kafir) berkata: "Apa! Apabila aku mati, adakah aku akan dibangkitkan hidup semula?"}
Allah kata manusia akan membantah.
Iaitu manusia yang kafir!
Kita orang beriman tak bantah & tak ingkar cuma persediaan kita untuk menghadapinya masih lemah!
Ini kerana manusia itu akan ingkar & tak percaya kepada sesuatu yang dia tak yakin dan tak tahu!
Kata pepatah Arab:
Manusia akan menjadi musuh kepada apa yang dia jahil/tak tahu!
Itulah yang menjadi perbalahan dan perbantahan sesama manusia – dia tak tahu lepas tu terus menolak dan membantah!
Kerana itu jika tak tahu kita kena tanya, belajar dan mengaji bukan terus bantah & mengingkari sesuatu yang kita tak tahu! - Ayat 67- {Patutkah manusia itu berkata demikian dan tidak memikirkan bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu sedang ia pada masa itu belum ada sebarang apapun?} – ayat ini mengajak kita untuk berfikir dengan dalil aqli!
Wahai kafir kamu dulu tiada, tak wujud pun – maka apa peliknya jika Allah nak hidupkan semula kamu?
Manusia ini apabila dia tak berfikir, dia tak khabar dia tak sedar – maka banyak perkara akan jadi masalah!
Maka Allah ajar kepada kita untuk ajak orang, jika kita nak berhujjah kita ingatkan mereka apakah kamu tahu apakah kamu ingat dan seumpamanya!
Kita tanya dulu apakah dia tahu jika dia kata tak tahu kita ajar – jika dia kata dia dah tahu kita perbetulkan kefahamannya!
Kata ulama', Abu Hayyan: Ayat ini ringkas tetapi dia boleh membalas hujjah orang kafir dengan mantap sekali!
Jika semua manusia ini berkumpul untuk membantah hujjah orang kafir dengan ringkas; tak akan jumpa sebagaimana Allah ringkaskan hujjah jawapan ke atas orang kafir dengan ayat ini!
Wahai kafir kamu dulu tiada tak wujud pun – maka apa peliknya jika Allah nak hidupkan semula kamu?
Ayat ini ringkas tetapi dapat menutup mulut & hujjah si kafir! - Ayat 67- {Patutkah manusia itu berkata demikian dan tidak memikirkan bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu sedang ia pada masa itu belum ada sebarang apapun?} – dalam ayat ini Allah suruh manusia kafir yang mendustakan itu untuk ingat & fikirkan.
Kita kata macamana Allah suruh ingat dan fikir sedangkan perkara itu yang belum diketahui atau belum dipelajari lagi!
Jawapan: Maksudnya ayat ini adalah untuk kamu ingat kemudian kamu fikir bahawa kamu tiada sekarang ada!
Kerana itu ayat ini boleh dibaca dengan dua bacaan:- {يَذْكُرُ} – yazkuru dengan makna ingat; apakah kamu tak ingat bahawa kamu dulu tiada pun atas dunia ini – sekarang ada!
- {يَذَّكَّرُ} – yazzakkaru dengan makna tadabbur, terfikir; apakah kamu tak berfikir bahawa dulu kamu tiada – sekarang ada?
Ini menunjukkan pentingnya untuk kita berfikir, bertadabbur – tak perlu pergi jauh – fikirkan tentang kejadian diri kita sendiri saja sudah cukup!
- Ayat 71- {Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya;} – ini adalah ayat yang menakutkan!
Semua kita akan melalui melintasi titian sirat yang mengerikan ini!
Para nabi yang berada di tepi Sirat pun tak diam berdoa minta selamat.
Kita hanya akan selamat dengan iman & amal kita kepada Allah; bukan dengan kepandaian kita seperti ahli sarkas yang pandai meniti tali dan seumpamanya!
Setiap orang pasti akan sampai kepadanya {إِلَّا وَارِدُهَا}; sampai di sini samada melintasi sirat atau masuk melawat ke dalam neraka sepertimana pandangan sebahagian ulama'- wallahu a'lam.
Jika orang mukmin masuk melawat seperti orang awam melawat penjara atas dunia ini.
Kata ulama' pula jika melintasi neraka saja kita faham tetapi masuk dalam neraka itu untuk apa?
Hikmahnya:- Untuk meningkatkan lagi keimanan dan kesyukuran orang mukmin atas keselamatan mereka daripada neraka.
- Ahli neraka pula lagi kecewa dan sedih melihat orang beriman dan baik selamat tidak seperti mereka yang celaka!
- Ayat 72- {Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.} – orang beriman yang bertaqwa akan selamat dari neraka.
Orang kafir pastilah akan dihumban ke dalam neraka & kekal di dalamnya selamanya.
Manakala golongan ketiga iaitu orang yang beriman tetapi derhaka dengan melakukan dosa dan maksiat akan masuk neraka juga tetapi tidak kekal di dalamnya.
Apabila tamat tempoh hukuman azab atas dosa-dosa yang dilakukannya; mereka akan dikeluarkan dari neraka dan setelah melalui proses yang Allah telah tetapkan akhirnya mereka akan dapat masuk syurga juga dengan sebab iman yang ada dalam hati mereka itu!
Ulama' tadabbur mengatakan ayat ini menunjukkan perbezaan pandangan ulama' Islam antara orang kafir dengan orang Islam yang melakukan dosa besar:- ahli Sunnah wal Jamaah berpendapat orang Islam tidak akan kekal di dalam neraka & akan keluar selepas dibakar.
Yakni selagi dia tidak syirik akan selamat akhirnya! - golongan muktazilah pula mengatakan mereka akan kekal di neraka sebagaimana kafir tulen juga!
Kita berpegang dengan pegangan ahli Sunnah wal Jamaah!
- ahli Sunnah wal Jamaah berpendapat orang Islam tidak akan kekal di dalam neraka & akan keluar selepas dibakar.
Kita akhiri kuliah kita hari ini dengan berdoa kepada Allah S.W.T:
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ اللهِ، نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.
Ya Allah, ya Tuhan kami, kami mohon dengan nama-Mu yang Maha Indah, dengan sifat-Mu yang Maha Tinggi, supaya Engkau selamatkan kami, keluarga kami, murid-murid kami di alam nyata, di alam maya ketika kami melalui sirat kelak.
اللَّهُمَّ سَلِّمْ، اللَّهُمَّ رَبِّ سَلِّمْ سَلِّمْ.
Ya Allah, selamatkan kami semua dan orang-orang yang kami sayangi ketika melintasi sirat di akhirat nanti, يا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
Ya Allah, janganlah kami dicangkuk oleh kalalib (كلاليب) ataupun khadasy (خداش) ataupun dilukai oleh alat-alat yang berat ini.
Selamatkan kami dan layakkan kami ke syurga.
Hidupkan kami di atas dunia ini sebagai orang yang muttaqin, orang yang bertakwa pada-Mu, ya Allah, يا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
وَصَلَّى اللهُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. Kita sambung esok dengan ayat 73, إن شاء الله.
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.