Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Maryam · Nota 15/16

Surah Maryam: Ayat 59-63

Golongan Lagha Dan Maksiat, Ada Yang Bertaubat & 3 Sifat Syurga Bagi Mukmin

Golongan Lagha Dan Maksiat, Ada Yang Bertaubat & 3 Sifat Syurga Bagi Mukmin

Golongan Lagha Dan Maksiat, Surah Maryam ayat 59-63

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 59 sehingga ayat 63 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan selepas golongan para nabi & orang soleh dulu – datang golongan yang cuai & lagha.
    Mereka terjebak dengan maksiat, meninggalkan solat dan ikut hawa nafsu.
  3. Ada dari mereka yang beriman, ada yang bertaubat kembali kepada Allah lalu beriman dan beramal soleh!
    Mereka inilah yang layak ke syurga Allah.
  4. Kemudian Allah sifatkan syurga bagi orang mukmin yang bertaqwa kepada Allah.
    Kekal abadi mereka di dalam syurga selamanya.
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan sifat para nabi, pengikut para nabi & rasul a.s dengan sifat yang terpuji, Allah puji mereka kerana mengikut arahan Allah & meninggalkan larangan-Nya- supaya menjadi ikutan orang yang terkemudian.
    2. kemudian Allah nyatakan pengikut itu terbahagi kepada dua iaitu mereka yang cuai dan lagha mereka meninggalkan ajaran yang benar & terperangkap dengan hawa nafsu maka bagi mereka Allah sediakan azab neraka yang pedih!
      Kecuali mereka yang bertaubat dan beramal soleh selepas itu – bagi mereka ini pula syurga yang penuh nikmat Allah sediakan!
      *Itulah uslub al-Quran ia bawa yang baik & buruk untuk kita jadikan iktibar!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 59 ۞ فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا ‎﴿٥٩﴾ {Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),} [Maryam 19:59]

  1. Allah nyatakan dalam ayat ini selepas tiada golongan yang mulia dan soleh sebelum itu– datang pula golongan yang buruk perangai, mereka cuai tidak menjaga solat atau tidak mendirikan solat terus – sama seperti kafir asli.
  2. Kata ulama', yang zahirnya mereka ini adalah golongan yahudi, nasrani & puak kafir yang menyalahi ajaran nabi mereka.
    Ada juga di kalangan kita umat nabi Muhammad s.a.w ini yang cuai tak solat langsung atau solat tapi tak jaga, solat tetapi tak sempurna, tak ikut SOP solat yang sebenarnya!
  3. Mereka ini samada tak pentingkan solat terus atau sudah datang solat di masjid tetapi masih dok main tunggu tiang di belakang atau berebut saf belakang!
    Inilah golongan yang rugi – sudah ada peluang – sudah datang ke masjid tetapi tak manfaatkannya!
    *Begitulah manusia ini sentiasa dalam keadaan lewat, menangguhkan sehinggalah Allah melewatkan juga urusan mereka ke syurga nanti!
  4. Kata ulama': Ayat ini umum untuk semua manusia yang tak mendirikan solat (samada kafir atau mukmin) atau solat tetapi cuai tak jaga & dirikannya dengan sempurna – semua masuk dalam amaran ayat ini!
  5. Mereka ini juga ikut nafsu – apa saja nafsu nak jadi belaka!
    Rugilah kita kerana Allah telah beri kita akal, hantar Rasul, turunkan al-Quran sebagai ajaran; tetapi kita masih ikut syaitan, ikut hawa nafsu, apa yang ia suka tidak kira baik atau buruk, halal atau haram!
  6. Nafsu ini ia akan buat apa yang dia suka saja.
    Menjadi ujian bagi orang Islam – perkara yang Allah perintahkan itu bercanggah dengan kesukaan & kehendak nafsu yang malas, suka bersenang-senang, malas ibadat dan seumpamanya.
  7. Setiap orang yang ikut nafsu itu samada:
    1. tidak mendirikan solat atau cuai tentangnya.
    2. melakukan perbuatan yang pasti haram terus.
    3. atau melakukan perbuatan yang harus tetapi melampau sehingga membawa kepada kerosakan & memberi kesan kepada ibadat & kehidupannya.
      *Contoh seperti main game sehingga tak tidur malam lalu tak bangun solat atau kerja.
      Suka cari makan sehingga tak kira restoran orang bukan Islam dan seumpamanya!
      Apatah lagi jika main game haram atau makan haram juga!
      *Tentang restoran orang bukan Islam atau kafir; jika ada yang berhujjah bahawa ada sijil halal atau seumpamanya – kita kata negara kita ini belum darurat lagi untuk pergi makan kedai bukan Islam kerana kita tahu jelas-jelas mereka tidak beriman kepada Allah, tidak bayar zakat, tidak menyumbang kepada agama Islam dan banyak lagi hujjahnya!
  8. Maka hati-hatilah pengikut hawa nafsu!
    Bagi mereka ini Allah telah ingatkan: maka mereka akan menghadapi azab yang berat di dalam neraka di Akhirat kelak!

Ayat 60 إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْئًا ‎﴿٦٠﴾ {Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, -} [Maryam 19:60]

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    1. apabila Allah ceritakan tentang golongan lagha & cuai:
    2. datang ayat ini menyatakan ada peluang & ruang untuk mereka yang bersalah untuk bertaubat & kembali kepada Allah!
  2. Allah nyatakan bahawa orang yang insaf & taubat dari meninggalkan solat & ikut hawa nafsu lalu beriman dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah & beramal soleh dengan ikhlas kepada Allah – mereka ini akan selamat dari neraka tadi.
  3. Sebagaimana yang sering kita ulang – sesuatu amal untuk menjadi soleh itu wajib:
    1. ikhlas kepada Allah;
    2. bertepatan dengan ajaran & Sunnah Nabi s.a.w.
  4. Maka Allah kata bagi mereka balasannya:
    1. maka mereka itu akan layak ke Syurga,
    2. dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun.
      Yakni setiap perbuatan baik mereka akan mendapat pahala yang tidak akan dikurangkan langsung!
  5. Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {وَٱلَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ ٱلنَّفْسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًۭا ٦٨
    Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak) dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;
    يُضَـٰعَفْ لَهُ ٱلْعَذَابُ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِۦ مُهَانًا ٦٩
    Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, -
    إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ عَمَلًۭا صَـٰلِحًۭا فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يُبَدِّلُ ٱللَّهُ سَيِّـَٔاتِهِمْ حَسَنَـٰتٍۢ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا ٧٠
    Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} [Al-Furqan: 68-70].
    *Yakni orang yang buat baik, Tuhan akan beri kebaikan kepadanya.
    Maka kita jadilah manusia yang baik, Allah akan sediakan pahala yang banyak & syurga yang penuh nikmat!

Ayat 61 جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدَ الرَّحْمَٰنُ عِبَادَهُ بِالْغَيْبِ ۚ إِنَّهُ كَانَ وَعْدُهُ مَأْتِيًّا ‎﴿٦١﴾ {(Iaitu) Syurga "Adn" yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hambaNya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; sesungguhnya Tuhan itu, janjiNya tetap berlaku.} [Maryam 19:61]

  1. Munasabah:
    1. apabila Allah kata mereka yang bertaubat Allah akan beri syurga.
    2. manakala orang celaka balasannya neraka maka kita jadilah orang yang bertaubat & bertaqwa!
  2. Wahai orang beriman apakah balasan yang baik itu? Apakah syurga?
    Jawabnya iaitu syurga Adni yang Allah janjikan untuk hamba-Nya yang beriman dengan segala perintah Allah!
  3. Ada tiga sifat syurga yang Allah sediakan bagi orang beriman.
    Syurga yang Allah sediakan bagi orang yang beriman & mereka yang bertaubat:
    1. Sifat syurga pertama yang dijanjikan itu ialah – Syurga Adni yang penuh dengan taman & kebun yang indah, sebagai tempat tinggal yang kekal bagi mereka di Akhirat kelak.
  4. Mereka beriman dengan janji Allah ini; walaupun semua itu adalah perkara ghaib yang mereka tidak pernah lihat dan tengoknya seperti beriman Allah, Rasul, malaikat dan semuanya.
    Serta perkara yang di masa hadapan seperti hari Kiamat, syurga & neraka!
  5. Kemudian Allah nyatakan bahawa yakinlah sesungguhnya Tuhan itu, janji-Nya tetap berlaku.
  6. Ini kerana apabila kita beriman dengan perkara ghaib – pastilah ada kemungkinan samada ia akan berlaku atau ada sungguh.
    Maka Allah beri jaminan bahawa jangan runsing janji Allah itu adalah janji yang amat benar – bukan seperti janji manusia!
  7. Maka orang yang taat & beriman kepada Allah – kelak akan menghadap bertemu Allah dan akan menerima janji yang Allah sediakan!

Ayat 62 لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَامًا ۖ وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا ‎﴿٦٢﴾ {Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa).} [Maryam 19:62]

  1. Munasabah ayat ini juga jelas:
    1. apabila Allah ceritakan tentang syurga yang begitu indah & penuh nikmat;
    2. maka dalam ayat ini Allah ceritakan keadaan syurga yang tiada hingar-bingar & perkataan buruk!
  2. Maka inilah sifat syurga yang kedua iaitu ahli syurga tidak akan dengar perkataan yang tidak baik, perkataan buruk & keji, sindiran perlian apatah lagi caci maki dan seumpamanya.
    ii- apa yang ahli syurga dengar hanya ucapan selamat sejahtera dan perkataan yang baik-baik dan penuh keindahan!
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam!} [Yunus: 10].
  4. Nota [829] Yakni perkataan yang mulia dan baik-baik, sesuai dengan keadaan dalam Syurga yang aman dan selamat sentosa.
    Atau ucapan salam dari malaikat dan salam yang diucapkan oleh penduduk Syurga itu sesama sendiri.
  5. Sifat syurga yang ketiga: Ahli syurga juga akan mendapat apa saja yang mereka kehendaki & teringinkan.
    Iaitu makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang siang malam – bila saja mereka mahu iaitu sepanjang masa!
  6. Kata ulama' az-Zajjaj: Walaupun di dalam syurga tiada siang atau malam – pagi atau petang kerana tiada matahari & bulan; tetapi Allah sebut begitu untuk memberi gambaran kepada kita yang atas dunia ini akan suasana dan masanya.
    *Ahli syurga tak perlu lagi tahu waktu kerana mereka tak tidur atau penat – itu semua sifat lemah yang tiada pada ahli syurga.
  7. Kata al-Qurtubi: Di dalam syurga tiada siang atau malam tetapi ia mempunyai cahaya abadi yang cerah menerangi pada setiap waktu!

Ayat 63 تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَن كَانَ تَقِيًّا ‎﴿٦٣﴾ {Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami.} [Maryam 19:63]

  1. Allah nyatakan inilah syurga yang tinggi dengan sifatnya yang begitu indah, yang Allah sediakan untuk orang yang bertaqwa!
    *Ya Allah jadikan kami dari golongan yang bertaqwa yang layak ke syurga-Mu.
  2. Para sahabat Nabi – r.anhum apabila membaca ayat ini mereka menangis kerana syurga itu disediakan untuk orang yang bertaqwa – maka mereka takut apakah mereka termasuk dalam golongan yang bertaqwa!
    Allah, jika dibandingkan dengan mereka di manakah kedudukan kita pula!
  3. Nota [830] Dengan ini berakhirlah perihal Nabi-nabi yang diceritakan dalam surah ini dan perihal orang-orang yang datang kemudian sesudah mereka, yang baik dan yang jahat, serta balasan yang akan diterima masing-masing.
    Yang baik: Syurgalah tempatnya dan yang jahat: nerakalah tempatnya.
  4. Maka kita kena berusahalah untuk menjadi orang yang bertaqwa, jauhi segala larangan Allah, jauhi perkara khurafat dan seumpamanya.
    Semoga kita termasuk dalam golongan yang Allah janjikan syurga ini!

Penutup & Faedah

  1. Ayat 59- {Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat);}
    Allah kata selepas golongan yang baik akan datang golongan yang cuai dalam solat & ikut nafsu.
    Samada tak solat terus seperti orang kafir atau orang yang solat tetapi cuai, solat jarang-jarang, solat tetapi tak sempurna pelaksanaannya, solat dengan penuh malas dan terpaksa dan seumpamanya!
    Kata ulama': Punca manusia ini tak mahu solat atau lagha cuai dalam solat ialah kerana ikut hawa nafsu. Tak boleh nak solat baik atau solat dalam keadaan lagha.
    Kerana itulah Allah kembarkan dua sifat ini dalam satu ayat, kerana punca manusia tak solat ialah kerana ikut nafsu!
    Allah nyatakan bahayanya orang yang ikut nafsu kerana mereka akan dihumban dan dicampak ke dalam neraka maka celakalah.
    Begitulah uslub al-Quran selepas diceritakan tentang golongan yang baik – dibawa pula golongan yang sebaliknya yang akan datang selepas itu.
    Na’uzubillah kita minta perlindungan Allah dari sifat buruk ini!
  2. Ayat 59- {Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat);} – beza antara orang yang soleh & golongan pengikut hawa nafsu:
    1. orang yang soleh dia tidak nak besarkan badannya!
    2. pengikut hawa nafsu dok fikir nak besarkan perut ikut nafsu nak makan apa!
      Kata Syeikh dalam Kitab Penawar Bagi Hati: Orang yang soleh sibuk berulang ke masjid manakala pengikut syahwat (mereka yang banyak makan) pula asyik berulang ke tandas!
      *Ini adalah ibarat atau perumpamaan!
      Maka kita didiklah nafsu & syahwat kita agar ikut iman.
      Sebagaimana kata ahli al-Qulub:
      النَّفْسُ كَالطِّفْلِ إِنْ تُهْمِلْهُ شَبَّ عَلَى
      حُبِّ الرَّضَاعِ وَإِنْ تَفْطِمْهُ يَنْفَطِمِ
      Nafsu itu seperti kanak-kanak; jika dibiarkan akan terus menyusu sehingga besar.
      Tetapi jika diajar lepas – dia akan melepaskannya!
      Begitulah nafsu jika kita ikut dan taat kepadanya kita akan jadi pengikut nafsu.
      Tetapi nafsu jika dididik ia akan menjadi nafsu yang tenang – An-Nafsu al-Muthmainnah
      (النَّفْس المُطْمَئِنَّة).
      Tetapi pastilah bukan mudah untuk mendidik nafsu – sebagaimana kata seorang ulama': Aku telah berlawan dengan nafsu aku ini selama 20 tahun barulah aku boleh kawalnya!
      Maka kita kena lawan & didiklah nafsu kita – kena usaha kerana tiada perkara yang akan berlaku dengan sendirinya!
      Kena usaha lawan nafsu – bertekad nyatakan bahawa aku nak solat, aku nak gi masjid, aku nak dengar kuliah & aku akan ke kubur tak lama lagi!
      Insya' Allah bila ada usaha & kehendak yang tinggi – nafsu akan kalah.
      Nak ibadat kepada Allah, nak solat jemaah nak hadir majlis ilmu bukan mudah, mungkin terasa payah pada peringkat awalnya!
      Tetapi apabila kita sudah biasa & berjaya lawan nafsu kita akan rasa tenang dan sayang untuk meninggalkan segala yang disukai nafsu itu!
      Nak lawan nafsu kena ada dua perkara ini:
    3. ikhlaskan niat nak lawan nafsu kerana Allah;
    4. kekuatan jiwa untuk melawannya!
      Yakni kita kena usaha lawan nafsu, nak ibadat kepada Allah kena usaha jika tidak kita akan kecundang kepada nafsu!
  3. Ayat 59- {Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat);} – dalam ayat ini Allah kata ada orang yang meninggalkan solat, ada orang yang mengikut hawa nafsu dan pelbagai perbuatan yang buruk!
    Kata ulama'- hukum orang tinggal solat ini ada dua:
    1. jika dia ingkar kata solat tak wajib maka pastilah akan kafir keluar dari agama.
    2. jika tak solat kerana malas atau cuai tetapi dia tak ingkar solat itu wajib – maka ulama' khilaf di sini.
      Khilaf ulama' tentang orang yang tinggal solat tetapi tak ingkarinya:
    3. setengah ulama' masih belum kafir (mazhab Syafei – fasiq saja).
      Dia tidak terkeluar daripada Islam (murtad), tetapi dikira melakukan dosa yang amat besar.
    4. tetapi ada juga pendapat mengatakan sudah kafir kerana ada hadis Nabi s.a.w yang mengatakan:
      Hadis riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A:
      إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
      Maksudnya: "Sesungguhnya perbezaan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir atau musyrik, ialah meninggalkan solat."— Hadis Riwayat Muslim (No. 82)
      Hadis riwayat daripada Buraidah Al-Aslami R.A:
      الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ الصَّلَاةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
      Maksudnya: "Perjanjian yang mengikat antara kita (orang Islam) dengan mereka (orang kafir) ialah solat. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia telah menjadi kafir."— Hadis Riwayat At-Tirmidzi (No. 2621) & An-Nasa'i (No. 463)
      Wallahu a'lam!
  4. Ayat 60- {Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.} – Allah beri peluang untuk bertaubat.
    Pintu taubat masih terbuka – sebanyak mana dosamu bertaubatlah kepada Allah!
    Jika bertaubat Allah akan ampunkan dosa & lepaskan kamu!
    Syarat taubat adalah insaf menyesal, tinggalkan terus perbuatan itu serta berazam tidak akan buat lagi serta jika berkait dengan hak manusia – tunaikan haknya atau kembalikan barangnya!
    Yakni syarat yang besarnya taubat ada tiga:
    1. menyesal;
    2. tinggalkan perbuatan salah itu;
    3. berazam tidak akan melakukannya lagi!
  5. Ayat 63- {Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami.}
    Allah kata syurga yang Dia janjikan itu yang sifatnya sedemikian adalah untuk orang bertaqwa & beramal soleh dan dengar kata Tuhan.
    Itulah orang yang layak ke syurga!
    Ya Allah jadikan kami semua orang yang layak ke syurga.
    Mudah-mudahan dengan kita semua ikhlas dalam beramal, dengan dok mengaji belajar, Allah tingkatkan keimanan dan taqwa kita, Allah layakkan kita ke syurga!
    Amin ya Rabbal Alamin!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas