Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Maryam · Nota 14/16

Surah Maryam: Ayat 56-58

Kisah Nabi Idris A.S, Benar Pada Janji, Kedudukan Yang Tinggi & Para Nabi Diberi Nikmat Ilmu Dan Khashyah

Kisah Nabi Idris A.S, Benar Pada Janji, Kedudukan Yang Tinggi & Para Nabi Diberi Nikmat Ilmu Dan Khashyah

Kisah Nabi Idris A.S, Surah Maryam ayat 56-58

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 56 sehingga ayat 58 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kisah Nabi Idris A.S, seorang nabi yang terawal selepas daripada nabi Adam a.s.
  3. Nabi Idris ini juga sama seperti nabi yang lepas seorang yang benar pada janji dan Allah letakkannya pada kedudukan yang tinggi, tinggi maqam & tinggi tempatnya.
    Ketika Nabi s.a.w Mikraj Baginda berjumpa dengan nabi Idris yang berada di langit ke-4.
  4. Kemudian Allah sebut di dalam al-Quran beberapa para nabi yang diberi nikmat ilmu dan khashyah dari zuriat keturunan Adam & dari keturunan mereka yang selamat dari bahtera nabi Nuh a.s.
  5. Sifat mereka ini apabila membaca ayat-ayat Allah dari Kitab Taurat atau apa Kitab yang Allah turunkan; mereka akan tunduk sujud sambil menangis kerana takut kepada Allah.
    *Pada ayat 58 nanti ada sujud tilawah – bersedia untuk sujud semuanya yang dengar live ini di masjid atau di alam maya.
  6. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kisah beberapa orang nabi dan yang terakhir ialah tentang Nabi Ismail a.s.
    2. maka datang ayat ini cerita Nabi Idris – ia adalah kisah yang keenam dalam surah Maryam.
      Allah sebut untuk kita ambil pengajaran kerana dia berdakwah kepada tauhid dan membebaskan manusia dari azab di Akhirat dengan beriman.
      Nabi Idris dipanggil sedemikian kerana dikatakan dia banyak belajar.
  7. Diriwayatkan dia ada 30 suhuf yang Allah turunkan, dia orang pertama yang menulis dengan pen, orang pertama yang pandai menjahit & memakai pakaian yang berjahit.
    Dia juga orang yang pertama belajar tentang ilmu hisab & ilmu falaq, orang pertama yang mengadakan sukatan & timbangan untuk berjual-beli dan yang pertama juga menggunakan senjata!
  8. Sifat Nabi Idris lagi ialah:
    1. berdakwah kepada tauhid,
      الدعوة إلى دين التوحيد وعبادة الله.
      Beliau menyeru manusia agar menyembah Allah semata-mata dan membebaskan diri daripada azab di akhirat dengan melakukan amal soleh di dunia.
    2. Beliau menggalakkan umatnya supaya bersifat zuhud- وحثَّ على الزهد —dan beramal dengan keadilan.
    3. Beliau juga menyuruh mereka menunaikan solat, berpuasa beberapa hari pada setiap bulan serta menggalakkan umatnya berjihad menentang musuh dan mengeluarkan zakat ataupun memberikan bantuan kepada golongan yang lemah.
    4. Beliau agak tegas dalam bab bersuci, وغلَّظ في الطهارة —termasuk bersuci daripada junub serta membersihkan diri daripada najis anjing dan keldai.
      Beliau juga mengharamkan perkara-perkara yang memabukkan.
      Ini antara ringkasan yang dibuat dalam tafsir kita ini. Wallahu a‘lam.

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 56 وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِدْرِيسَ ۚ إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا ‎﴿٥٦﴾ {Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi.} [Maryam 19:56]

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t perintahkan Nabi s.a.w untuk membaca kisah perihal Nabi Idris a.s ini kepada kaumnya.
    Idris ialah nama Arab bagi Enoch yang bermaksud orang yang banyak belajar dari perkataan darasa (درس).
  2. Dalam ayat ini Allah bawa 3 sifat atau kelebihan Nabi Idris a.s iaitu:
    1. Dia seorang yang ia amat benar (tutur katanya dan imannya). Begitulah para nabi sifat mereka benar bukan seorang pembohong!
      Pembohong yang paling besar atas dunia ini ialah munafiq!
      Atas dunia hari ini amat sukar untuk kita mengetahui siapa sebenarnya yang benar & tiada siapa yang salah; kerana tiada siapa yang mahu mengaku salah.
      Walaupun jelas terang di mahkamah dia yang bersalah tetapi mengaku tidak bersalah!
      Cari peguam yang paling bijak untuk pusing fakta akhirnya dilepaskan tanpa bebas – istilah yang mengelirukan semua itu!
      Bukan seperti zaman Nabi s.a.w apabila bersalah orang bersegera datang mengaku dan menyerahkan diri kepada Rasulullah s.a.w untuk dijatuhkan hukuman walaupun tiada orang yang tahu perbuatan mereka itu!
      Orang yang bohong bukan daripada sifat orang muslim!
      Kerana para nabi, Allah tidak pilih dari kalangan pembohong!
    2. Idris seorang yang benar dalam perbuatan & perkataannya.
      Benar dalam menyampaikan ajaran Allah s.w.t dari wahyu.
      Dia membenarkan dengan satu kebenaran yang sempurna bahawa apa yang dibawanya itu adalah benar dari Allah Azza wa Jalla.
      Dia seorang Nabi yang tinggi kedudukannya, yang diberi wahyu Allah kepadanya – itulah Idris a.s.
  3. Nota [822] Setelah itu Allah Ta’ala ceritakan pula perihal Nabi Idris a.s yang mempunyai sifat-sifat yang terpuji yang telah ditinggikan pangkatnya ke peringkat yang tinggi darjatnya.
    Nabi Idris a.s terdahulu zamannya dari zaman Nabi-nabi yang tersebut itu, bahkan terdahulu zamannya dari zaman Nabi Nuh a.s.

Ayat 57 وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا ‎﴿٥٧﴾‏ {Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.} [Maryam 19:57]

  1. Allah nyatakan bahawa Dia telah mengangkat Idris ke tempat yang tinggi.
  2. Yakni nabi Idris ini tinggi tempat duduknya (مكان) & kedudukannya (مكانة) di sisi Allah!
  3. Kata ar-Razi iaitu terdapat dua tafsiran tentang makna {مَكَانًا عَلِيًّا}:
    1. tinggi kedudukannya sebagaimana Allah puji Rasulullah s.a.w kedudukannya:
      {Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?} [Al-Insyiraah: 4].
      *Hari ini nama Nabi s.a.w berkumandang di dalam azan 5 kali sehari di seluruh dunia – hanya orang yang tak reti bahasa saja tak sahut seruan azan itu.
    2. Allah angkatnya ke tempat yang tinggi sebagaimana hadis Nabi s.a.w:
    1. Dalam riwayat panjang Sahih al-Bukhari, disebut:
      ثُمَّ صَعِدَ بِي حَتَّى أَتَى السَّمَاءَ الرَّابِعَةَ ... فَلَمَّا خَلَصْتُ إِلَى إِدْرِيسَ قَالَ: هَذَا إِدْرِيسُ، فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ، فَرَدَّ، ثُمَّ قَالَ: مَرْحَبًا بِالْأَخِ الصَّالِحِ وَالنَّبِيِّ الصَّالِحِ
      Maksud: “Kemudian aku dibawa naik sehingga sampai ke langit keempat…
      Setelah aku sampai kepada Idris, Jibril berkata: ‘Ini ialah Idris, maka berilah salam kepadanya.’
      Lalu aku memberi salam kepadanya dan beliau menjawab salam, kemudian berkata: ‘Selamat datang wahai saudara yang soleh dan nabi yang soleh.’”
    2. Sabda Nabi s.a.w:
      لَمَّا عُرِجَ بِي رَأَيْتُ إِدْرِيسَ فِي السَّمَاءِ الرَّابِعَةِ
      Maksud: “Ketika aku dibawa naik dalam peristiwa Mi‘raj, aku melihat Nabi Idris عليه السلام di langit yang keempat.” [HR at-Tirmizi, no. 3157]

Ayat 58 أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مِن ذُرِّيَّةِ ءَادَمَ وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ وَمِن ذُرِّيَّةِ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْرَٰٓءِيلَ وَمِمَّنْ هَدَيْنَا وَٱجْتَبَيْنَآ ۚ إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُ ٱلرَّحْمَـٰنِ خَرُّوا۟ سُجَّدًا وَبُكِيًّا ۩ {Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi [823] yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka [824] dari keturunan Nabi Adam [825] dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh [826] dan dari keturunan Nabi Ibrahim [827] dan (dari keturunan) Israil [828]- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.} [Maryam 19:58]

  1. Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
    1. Allah sebut bahawa para nabi itu mempunyai kedudukan yang tinggi dan sifat mereka yang mulia – benar belaka.
    2. maka datang ayat ini Allah nyatakan pula keturunan mereka yang mulia dan baik-baik ini!
      Allah nyatakan nikmat-nikmat yang anugerahkan kepada keturunan para anbiya’ yang baik-baik ini.
  2. Dalam ayat ini Allah menyebut sebahagian dari nabi-nabi yang ada dalam al-Quran iaitu 25 orang kesemuanya.
    Kemudian sebahagian nabi yang Allah telah ceritakan dalam surah Maryam ini.
    *Nota [823] Yakni yang telah diceritakan perihalnya dalam surah Maryam ini.
  3. Mereka & zuriat keturunannya telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka.
    *Nota [824] Yakni dikurniakan pangkat Nabi, hidayah petunjuk dan kedudukan yang tinggi dalam kalangan umat manusia.
  4. Kemudian Allah sebutkan lagi nabi itu mengikut zaman & keturunannya pula:
    1. kumpulan pertama: {…dari keturunan Nabi Adam} iaitu:
      Nota [825] iaitu nabi dari keturunan nabi Adam yang tidak ada atas bahtera Nabi Nuh a.s. Iaitu Nabi Idris a.s. yang hidup sebelum zaman Nabi Nuh a.s.
      Kata ulama': Atas dunia ini manusia terbahagi kepada dua:
    1. Zaman nabi Adam, anaknya Sith dan nabi Idris ini.
      Kemudian manusia kafir semuanya musnah dalam banjir Nabi Nuh.
    2. selepas taufan Nabi Nuh datanglah keturunannya nabi Ibrahim a.s.
      Kerana itu kata ar-Razi: Allah khususkan keturunan nabi Adam yang tidak duduk atas bahtera nabi Nuh iaitu Nabi Idris dan masyhur riwayat bahawa Nabi Idris datang sebelum Nabi Nuh.
      Kata Ibnu Kathir pula: Analisanya yang zahir Idris adalah dari keturunan Nabi Nuh.
      Ada juga yang menyatakan dia juga keturunan bani Israil – ini bertambah jauh!
      *Kita memilih pendapat pertama iaitu Idris datang sebelum Nuh!
    1. kumpulan nabi yang kedua ialah dari keturunan: {orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh} iaitu:
      *Nota [826] Yakni Nabi Ibrahim a.s itu dari keturunan mereka.
      Iaitu kumpulan yang Allah bawa tok nenek mereka atas bahtera nabi Nuh.
    2. kumpulan ketiga: {dan dari keturunan Nabi Ibrahim} iaitu:
      *Nota [827] Yakni Nabi Ismail a.s, Nabi Ishaq a.s dan Nabi Ya’qub a.s. Ini adalah dari keturunan nabi Ibrahim.
    3. kumpulan keempat: {… dan (dari keturunan) Israil} iaitu:
      *Nota [828] Isra’il (إسرائيل): ialah gelaran nabi Ya’qub a.s dan keturunannya yang tersebut dalam surah ini ialah: Nabi Musa a.s, Nabi Harun a.s, Nabi Zakariya a.s, Nabi Yahya a.s, Nabi ‘Isa a.s dan ibunya Siti Maryam.
      *Ada yang tambah nabi Daud, Sulaiman, Yusuf dan semua nabi dari keturunan bani Israil.
  5. Mereka ini adalah dari orang-orang yang Allah beri hidayah petunjuk dan Allah pilih menjadi nabi & rasul.
  6. Sifat para nabi ini apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.
  7. Pada akhir ayat ini ada ayat sujud tilawah.
    Kerana Nabi s.a.w sujud maka kita pun ikut bersujud ikut jejak & Sunnah mereka.
    *Jika kita mampu menangislah kita juga seperti para nabi dan Salafus-Soleh yang menangis kerana takutkan Allah s.w.t!
    Biar sebak dada kita apabila baca al-Quran.

Penutup & Faedah

  1. Ayat 56- {Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris…}
    Allah perintahkan Nabi Muhammad s.a.w untuk baca dalam al-Quran akan kisah nabi Idris a.s. Seorang nabi yang benar lagi soleh.
    Mengikut riwayat yang masyhur Idris ini datang melalui keturunan Sith bin Adam.
    Dia adalah orang yang terawal menjadi nabi selepas Adam & Sith – yakni dekat lagi keturunannya dengan Adam.
    Dikatakan juga dia adalah datuk kepada Nabi Nuh.
    Manakala Nabi Ibrahim adalah dari keturunan orang yang selamat turun dari bahtera nabi Nuh.
    Nabi Nuh adalah dari keturunan Adam melalui anaknya yang bernama Sith.
    Nabi Idris ini dikatakan berdakwah di Mesir – kerjanya mengajak orang untuk tauhid menyembah Allah yang Esa.
    Dia juga orang yang pertama membina tamadun – menulis dengan pen, menjahit baju, membina bandar dan seumpamanya!
    Dia hidup selama 82 tahun dan kata-katanya yang masyhur ialah yang ditulis di atas cincinnya ialah:
    الصَّبْرُ مَعَ الإِيمَانِ بِاللَّهِ يَقُودُ إِلَى النَّصْرِ
    Kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kepada kemenangan.
  2. Dalam surah ini Allah bawa tiga sifat nabi Idris a.s. Iaitu:
    1. Ayat 56- {sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imannya)} – dia seorang yang amat benar sifatnya dan dia juga membenarkan ayat-ayat Allah!
    2. {serta ia seorang Nabi.} – Idris seorang Nabi yang menerima wahyu dari Allah dan dia telah menyampaikannya kepada kaumnya.
      Juga sebagaimana hadis Abi Zar yang mengatakan Allah telah turunkan kepadanya 30 Suhuf atau lembaran kitab.
  3. Ayat 57- {Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.}
    Allah angkatnya ke darjat & tempat yang tinggi.
    Ini adalah sifatnya yang ketiga.
    Sebagaimana kita telah bahaskan tadi {مَكَانًا عَلِيًّا} boleh membawa maksud:
    1. tempat (مكان) yang tinggi sungguh seperti langit duduk di langit keempat seperti dalam hadis Isra’ Mikraj – atau;
    2. kedudukan (مكانة) martabat yang tinggi di sisi Allah!
      Sebagaimana firman Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w:
      {Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?-
      وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ}
      Sudah menjadi ketetapan apabila Allah angkatnya ke langit yang tinggi menunjukkan tinggi pangkatnya & tinggi kedudukannya.
      Sebab Allah angkat kedudukannya ialah kerana Nabi Idris seorang yang banyak ibadat & amal solehnya!
  4. Ayat 58- {Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat
    ... أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ}
    dalam ayat ini Allah menggunakan kata tunjuk (اسم اشارة) untuk jauh – itulah: {أُو۟لَـٰٓئِكَ}.
    Ini adalah isyarat kepada nama-nama para nabi yang Allah telah sebut pada awal surah lagi iaitu Zakaria, Yahya, Isa, Maryam, Ibrahim sehingga kepada Idris hari ini.
    Isyarat untuk menunjukkan bahawa telah jauh mereka itu – juga menunjukkan tinggi darjat, kelebihan mereka & mulia kedudukan mereka!
    Iaitu mereka yang Allah telah beri nikmat kepada mereka dengan hidayah taufiq, dengan pangkat kenabian dan Allah angkat darjat mereka!
    Dalam ayat ini juga Allah bezakan antara nabi yang datang dari keturunan nabi Adam secara direct & dekat serta yang datang dari Adam juga tetapi jauh!
    Memang kita semua manusia ini dari keturunan nabi Adam tetapi ada yang dekat seperti nabi Idris a.s dan yang dikira jauh selepas lahir dari taufan nabi Nuh a.s. bermula dari nabi Ibrahim dan semua keturunan selepasnya.
    Ini menunjukkan tingginya darjat mereka.
    Satu lagi ulama' buat istinbat tentang Nabi Isa a.s yang tiada keturunan melalui bapa tetapi lahir melalui ibunya!
    Maka cucu kita melalui anak perempuan juga dikira zuriat kita.
    Jika kita kata kita waqafkan kebun ini kepada zuriat kita: Maka semua anak-cucu samada dari anak lelaki & anak perempuan termasuk dan dikira zuriat juga!
    Nama-nama 25 orang rasul:
    Dalam ayat ini Allah s.w.t sebut sebanyak 18 orang nama rasul:
    Firman Allah s.w.t:
    {وَتِلْكَ حُجَّتُنَآ ءَاتَيْنَـٰهَآ إِبْرَٰهِيمَ عَلَىٰ قَوْمِهِۦ ۚ نَرْفَعُ دَرَجَـٰتٍۢ مَّن نَّشَآءُ ۗ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌۭ ٨٣
    Dan itulah hujah (bukti) Kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya. Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
    وَوَهَبْنَا لَهُۥٓ إِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ ۚ كُلًّا هَدَيْنَا ۚ وَنُوحًا هَدَيْنَا مِن قَبْلُ ۖ وَمِن ذُرِّيَّتِهِۦ دَاوُۥدَ وَسُلَيْمَـٰنَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ ٨٤
    Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah) dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud dan Sulaiman dan Ayub dan Yusuf dan Musa dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.
    وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَىٰ وَعِيسَىٰ وَإِلْيَاسَ ۖ كُلٌّۭ مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ٨٥
    Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria dan Yahya dan Isa dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh.
    وَإِسْمَـٰعِيلَ وَٱلْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًۭا ۚ وَكُلًّۭا فَضَّلْنَا عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ ٨٦
    Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail dan Alyasak dan Yunus dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).} [Al-An’aam: Ayat 83 sehingga 86]
    Yakni dalam ayat ini telah disebut 18 orang nama rasul iaitu:
    Nabi Ibrahim, Ishak, Yaakub, Nuh, Daud dan Sulaiman dan Ayub dan Yusuf dan Musa dan Harun. Zakaria dan Yahya dan Isa dan Ilyas; Ismail dan Alyasak dan Yunus dan Lut;
    Sepenuhnya sebagaimana dalam syair yang terkenal ini:
    عدد الانبياء في القرآن
    حَتْمٌ عَلَى كُلِّ ذِي التَّكْلِيفِ مَعْرِفَةٌ ...
    بِأَنْبِيَاءٍ عَلَى التَّفْصِيلِ قَدْ عُلِمُوا
    فِي تِلْكَ حُجَّتُنَا مِنْهُمْ ثَمَانِيَةٌ ...
    مِنْ بَعْدِ عَشْرٍ وَيَبْقَى سَبْعَةٌ وَهُمُو
    إِدْرِيسُ هُودٌ شُعَيْبٌ صَالِحٌ وَكَذَا ...
    ذُو الكِفْلِ آدَمُ بِالمُخْتَارِ قَدْ خُتِمُوا
    Maksudnya kita pecahkan bait demi bait:
    حَتْمٌ عَلَىٰ كُلِّ ذِي تَكْلِيفِ مَعْرِفَةٌ,
    wajib kepada setiap orang mukallaf tahu, belajar.
    بِأَنْبِيَاءَ عَلَى التَّفْصِيلِ قَدْ عُلِمُوا,
    nama-nama Nabi yang telah disebut oleh Allah Taala dalam Quran ada 25 orang Nabi.
    فِي تِلْكَ حُجَّتُنَا-
    Dalam ayat ini (iaitu Surah al-An‘am ayat 83 tadi sampai ke ayat 86)
    مِنْهُمْ ثَمَانِيَةٌ مِنْ بَعْدِ عَشْرٍ,
    dari mereka ada 8 selepas 10– iaitu 18 orang.
    وَيَبْقَىٰ سَبْعَةٌ,
    maka baki lagi mereka ialah tujuh iaitu;
    ذُو الكِفْلِ آدَمُ.. إِدْرِيسُ هُودٌ شُعَيْبٌ صَالِحٌ وَكَذَا..-
    Idris, Hud, Syu‘aib, Soleh dan juga Zul-Kifl, Adam,
    بِالْمُخْتَارِ قَدْ خُتِمُوا
    dengan Nabi S.A.W yang terpilih inilah ditutup sekalian Nabi.
    Pelajar-pelajar yang hafal Quran, mudah nak ingat nama Nabi 25 orang- 18 dalam ayat tadi manakala bakinya sebagaimana dalam syair ini.
  5. Ayat 58- {Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.}
    {إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَٰنِ خَرُّوا سُجَّدًا}
    sifat mereka para nabi yang soleh, orang yang baik, orang yang jujur ini, apabila dibaca ayat-ayat Allah mereka akan bersujud dan menangis.
    Allah sandarkan kepada Dia ayat-ayat ini- {آيَاتُ الرَّحْمَٰن} ayat ar-Rahman kerana menunjukkan ayat Allah ini penuh dengan rahmat dan kasih sayang kepada hamba-Nya.
    Sama ada ayat rahmat, ayat syurga, ayat neraka, ayat hukum, ayat kesihatan, semuanya rahmat daripada Allah untuk menyelamatkan kita daripada bencana besar di hari kiamat esok.
    Untuk menyelamatkan kita daripada kejahilan di atas dunia ini, itu daripada ayat-ayat rahmat Allah.
    Kata al-Jassas dalam Ahkam al-Quran:
    Ayat ini menjadi dalil bahawa
    حُجَّةٌ فِي جَوَازِ الْبُكَاءِ:
    Harus kita berdoa dan menangis dalam sujud & tidak membatalkan solat kerana waktu sujud adalah waktu kita paling hampir dengan Allah Azza wa Jalla dalam solat kita.
    Tak kiralah sujud solat ke, sujud tilawah ke, sujud syukur ke, harus kalau kita solat kita boleh menangis dalam sujud kita. Alhamdulillah.
    Ayat ini juga menjadi dalil bahawa disyari’atkan sujud tilawah!
    Apabila kita baca ayat-ayat sujud, kita hendaklah sujud.
    Ia juga menjadi dalil untuk kita menjiwai setiap ayat yang kita baca agar terasa menusuk ke dalam hati!
    Bila kita baca Quran, biar kita boleh menangis dengan ayat-ayat azab, ayat-ayat yang Allah Ta‘ala janjikan kepada kita supaya kita terasa.
    Orang panggil respon, infi‘al.
    Setiap kita baca ayat tu, kita menjiwai apa yang kita baca.
    Diriwayatkan daripada Sayyidina Umar r.a:
    Apabila dia membaca surah Maryam dan sampai pada ayat ini dia pun sujud kemudian berkata:
    Kita sudah sujud – tetapi di mana tangisan فَأَيْنَ الْبُكَاءُ؟ Mana tangisan?
    Orang yang soleh apabila sujud, sekali dengan tangisan.
    Kita ni sujud saja, tetapi tidak terasa apa.
    Allahu Akbar.
    Ada orang kata macamana kita nak menangis kerana tak faham makna ayatnya.
    Kata AAM: Inilah yang kita usaha duduk ajar seperti apabila sampai pada ayat-ayat azab, kita cuba jelaskan, tekankan sikit supaya para jemaah paling tidak pun dalam beberapa ayat yang kita baca, boleh faham & terasa, biarlah ada tangisan kita supaya termasuk dalam kumpulan ini:
    {خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا-
    orang yang tunduk sujud dan menangis}.
    Jadi orang yang baca Quran, sampai ayat sujud kena sujud dan orang yang dengar juga.
    Contohnya tuan-tuan yang dengar sahaja, apabila dengar ayat sujud, bila orang sujud, kita pun boleh ikut sujud.

Dengan tamatnya ayat 58 ini tamatlah kisah para nabi dalam surah Maryam ini! Kita akan masuk dalam tajuk lain dalam ayat berikutnya insya' Allah!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.

Teks al-Quran dalam kotak ayat: Tanzil Project (Rasm Uthmani).

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas