Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Maryam · Nota 5/5

Surah Maryam: Ayat 16-21

Kisah Sayyidah Maryam

Kisah Sayyidah Maryam, Minta Berlindung Dari Lelaki & Malaikat Datang Bawa Khabar Dia Dapat Anak

Kisah Sayyidah Maryam, Surah Maryam ayat 16-21

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 16 sehingga ayat 21 dalam juzuk keenam belas.

  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kisah Sayyidah Maryam, semasa dia berada di tempat ibadatnya tiba-tiba muncul seorang lelaki yang kacak.

  3. Terus Maryam minta berlindung dengan Allah dari lelaki itu, jika dia seorang yang baik takutlah kepada Allah.

  4. Melihat Maryam ketakutan, lelaki itu terus perkenalkan dirinya sebagai malaikat utusan Tuhan yang datang bawa khabar bahawa dia akan dapat seorang anak yang bersih dan baik.

  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kisah Zakaria dan setelah selesai kisahnya yang menjaga Maryam dan melihat karamahnya, dia pun sedar akan kekuasaan Allah s.w.t. Lalu dia berdoa meminta anak walaupun sudah tua & isterinya mandul. Kemudian dibawa kisah Nabi Yahya seorang yang soleh dan nabi yang benar.
    2. dalam ayat ini Allah bawa pula kisah Sayyidah Maryam yang mendapat anak tanpa seorang bapa.

    Antara kisah ini ada munasabahnya, kerana itu Allah kembarkan 2 kisah dalam satu surah apabila disebut seperti dalam Surah Aali 'Imran, Maryam dan Surah al-Anbiya' juga. Kerana kedua kisah ini menunjukkan keagungan Allah s.w.t- tiada siapa boleh halang apabila Allah kehendaki sesuatu itu terjadi.

  6. Munasabah kedua:

    1. apabila kita nak mengajar atau memberitahu sesuatu ajaran biasanya akan diajar atau disebut sesuatu yang lebih mudah, lebih ringan, lebih mudah difahami. Lalu diceritakan kisah Yahya yang lahir daripada seorang bapa yang tua & ibu yang mandul.
    2. lalu dibawa pula kisah Maryam yang melahirkan seorang anak tanpa kewujudan seorang bapa. Maka kes Nabi Isa ini pastilah lebih pelik & ajaib daripada Nabi Yahya! Menunjukkan kuasa Allah s.w.t yang sangat jelas dan lagi ajaib kesnya!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 16 وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مَرْيَمَ إِذِ انتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا مَكَانًا شَرْقِيًّا ﴿١٦﴾ {Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.} [Maryam 19:16]

  1. Allah s.w.t perintahkan Nabi s.a.w untuk membaca dari al-Quran khabar yang menceritakan kisah Sayyidah Maryam, seorang gadis suci yang bernama Maryam binti Imran, dari keturunan Nabi Daud a.s.
    Allah pilih dia daripada keturunan yang mulia dan baik.

  2. Nota [794] Mulai ayat ini, Allah Ta’ala menceritakan perihal Siti Maryam binti ‘Imraan, seorang gadis suci, yang telah melahirkan seorang anak – Nabi ‘Isa a.s dengan tidak berbapa.
    Kejadian yang luar biasa ini membuktikan kekuasaan Allah Ta’ala yang menciptakan sekalian makhluk menurut cara yang dikehendaki-Nya.

  3. Maryam ini adalah adik-beradik kepada ibu Nabi Yahya – yakni Nabi Yahya & Isa adalah sepupu sebagaimana dinyatakan dalam hadis ketika Nabi Muhammad s.a.w bertemu dengan Nabi Yahya dan Nabi Isa di langit kedua pada malam Isra' Mi'raj, Malaikat Jibril mengenalkan keduanya dengan ungkapan bahawa mereka berdua adalah saudara sepupu (ibnu khalah yakni dari pihak ibu). [Sahih Bukhari No. 3176.]

  4. Ulama' khilaf pendapat apakah Maryam ini seorang nabi atau bukan:

    1. ijma’ ulama' kata Maryam bukan nabi – kerana tidak ada seorang nabi yang dilantik dari kalangan wanita. Kata Ibnu Kathir ini adalah pandangan ulama' ahli Sunnah wal Jama’ah. Dia adalah seorang perempuan yang soleh & benar (الصديقة). Sebagaimana dinukilkan oleh Imam Abul Hasan al-Asy’ari bahawa tiada wanita dari kalangan nabi.
    2. ada juga pendapat kecil yang mengatakan dia seorang nabi. Pendapat ini dibawa oleh Ibnu Hazm, Ibnu ‘Athiyyah & al-Qurtubi.
  5. Iaitu tentang kisah Maryam yang pergi ke sebelah timur untuk beribadat.
    Iaitu sama ada timur Baitul-Maqdis atau timur sebelah rumah keluarganya – wallahu a'lam.

  6. Nota [795] Sebagai seorang gadis yang salih, Siti Maryam mengasingkan diri di sebuah tempat di sebelah timur Bait’ul-Maqdis (بَـيْـت الْـمَـقْـدِس) untuk beribadat.
    *Ini juga pendapat Ibnu Kathir.

  7. Tujuannya ialah untuk keluar beribadat dan menjaga masjid sebagaimana yang telah dinazarkan oleh ibunya dulu!
    *Ada juga yang kata ketika dia haid dia keluar dari masjid dan duduk di sebelah timurnya itu.

  8. Kerana itu puak Nasrani membesarkan sebelah timur ini sebagai tempat naik matahari dan tempat ibadat Maryam.

Ayat 17 فَاتَّخَذَتْ مِن دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَا إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا ﴿١٧﴾ {Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari Kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.} [Maryam 19:17]

  1. Di situ Maryam membuat dinding atau perlindungan sebagai hijab untuknya agar terlindung dari pandangan orang ramai.

  2. Nota [796] Supaya ia tidak dilihat orang dan dapat menjalankan ibadatnya dengan bebasnya di sebalik dinding itu.

  3. Kemudian Allah hantar kepada Maryam {رُوحَنَا} iaitu malaikat Jibril yang menyamar dalam bentuk seorang lelaki yang sempurna dan elok fizikalnya.
    Ini kerana Allah nak menguji keimanan dan peribadi Maryam.

  4. Nota [797] “Ruh” di sini maksudnya: malaikat Jibril a.s.

  5. Kata Abu as-Su’ud: Malaikat datang dalam rupa bentuk yang cantik agar Maryam dengar kata-katanya. Jika dalam bentuk yang pelik-pelik pastilah dia takut.

  6. Tetapi Sayyidah Maryam sebagai gadis yang baik lagi suci tetap takut kepada seorang lelaki ajnabi yang tidak dikenalinya.

Ayat 18 قَالَتْ إِنِّي أَعُوذُ بِالرَّحْمَٰنِ مِنكَ إِن كُنتَ تَقِيًّا ﴿١٨﴾ {Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan)mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.} [Maryam 19:18]

  1. Lalu dia terus berdoa memohon perlindungan dari Allah dan meminta agar selamat dari gangguan lelaki itu dan ditimpa sesuatu yang tidak baik!

  2. Nota [798] Yakni Siti Maryam terkejut melihatnya lalu memohon perlindungan Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya.

  3. Dia juga memohon agar lelaki itu jangan berbuat sesuatu yang tidak baik kepadanya!
    Maryam juga beri tazkirah mengingatkan lelaki itu agar jangan buat benda yang tidak baik jika dia seorang yang bertaqwa – takutlah kepada Allah!

  4. Nota [799] Yakni jika diharap bahawa engkau seorang yang dapat memelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah ‘Azza wa Jalla.

  5. Kata Ibnu ‘Asyur: Maryam menyangka lelaki itu seorang yang tidak baik, datang untuk mengganggunya, kerana itu dia terus minta perlindungan dari Allah daripada kejahatannya.
    Dia tidak tanya siapakah lelaki itu!

Ayat 19 قَالَ إِنَّمَا أَنَا رَسُولُ رَبِّكِ لِأَهَبَ لَكِ غُلَامًا زَكِيًّا ﴿١٩﴾ {Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci".} [Maryam 19:19]

  1. Melihat Maryam yang ketakutan itu – malaikat terus memperkenalkan dirinya!
    Bahawa dia bukan manusia tetapi malaikat utusan Allah.

  2. Malaikat menyatakan bahawa dia diutuskan Tuhan untuk menyatakan bahawa Maryam akan dikurniakan seorang anak yang suci!

  3. Nota [800] Yakni malaikat Jibril a.s menyatakan kepada Siti Maryam supaya ia jangan takut dan cemas, kerana kedatangannya diutus oleh Allah Ta’ala hanya untuk menjadi satu sebab bagi kelahiran seorang anak yang suci, iaitu Nabi ‘Isa a.s.

  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

{إِذْ قَالَتِ الْمَلَائِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ ﴿٤٥﴾ وَيُكَلِّمُ النَّاسَ فِي الْمَهْدِ وَكَهْلًا وَمِنَ الصَّالِحِينَ ﴿٤٦﴾}

{(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah). Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian dan semasa ia dewasa dan ia adalah dari orang-orang yang soleh."} [Aali Imran 3:45-46].

Ayat 20 قَالَتْ أَنَّىٰ يَكُونُ لِي غُلَامٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِي بَشَرٌ وَلَمْ أَكُ بَغِيًّا ﴿٢٠﴾ {Maryam bertanya (dengan cemas): "Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun dan aku pula bukan perempuan jahat?"} [Maryam 19:20]

  1. Mendengar perkhabaran malaikat ini bertambah cemas dan panik Maryam!

  2. Dia bertanya dengan terkejut bagaimana dia akan dapat melahirkan anak sedangkan:

    1. dia seorang gadis suci tanpa disentuh seorang lelaki.
    2. dia juga bukan seorang perempuan liar {بَغِيًّۭا} yang tidak baik!

Ayat 21 قَالَ كَذَٰلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ ۖ وَلِنَجْعَلَهُ آيَةً لِّلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِّنَّا ۚ وَكَانَ أَمْرًا مَّقْضِيًّا ﴿٢١﴾ {Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagi-Ku; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya."} [Maryam 19:21]

  1. Malaikat menjelaskan kepada Maryam dan menasihatinya agar jangan berasa pelik dan hairan kerana perkara itu adalah mudah bagi Allah yang Maha Berkuasa.

  2. Nota [801] Yakni kejadian Nabi ‘Isa a.s tidak berbapa itu menjadi satu tanda yang membuktikan kekuasaan Allah s.w.t.

  3. Malaikat itu juga menyatakan kepada Maryam bahawa tujuan dijadikan keajaiban anak itu adalah sebagai satu tanda keagungan & kekuasaan Allah s.w.t!

  4. Nota [802] Ia juga merupakan satu rahmat dengan melantiknya menjadi Nabi yang menyeru kaumnya supaya mereka beribadat kepada Allah Yang Maha Esa.

  5. Kata ulama': Malaikat Jibril memberitahu kepada Maryam – betul apa yang kamu cakap itu bahawa kamu seorang perempuan suci tidak ada suami – tetapi kerana Tuhan kamu sudah menentukan sedemikian – terimalah; maka semua itu adalah satu perbuatan yang mudah bagi Allah!

  6. Sebagaimana firman Allah s.w.t:

    {Dan Kami jadikan (Nabi Isa) ibni Maryam serta ibunya sebagai satu tanda (mukjizat) dan Kami telah menempatkan keduanya di tanah tinggi, tempat tinggal yang ada tanaman dan mata air yang mengalir.} [Al-Mukminun 23:50]

  7. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:

    {وَرَسُولًا إِلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنِّي قَدْ جِئْتُكُم بِآيَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ ۖ أَنِّي أَخْلُقُ لَكُم مِّنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ فَأَنفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِ اللَّهِ ۖ وَأُبْرِئُ الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ وَأُحْيِي الْمَوْتَىٰ بِإِذْنِ اللَّهِ ۖ وَأُنَبِّئُكُم بِمَا تَأْكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِي بُيُوتِكُمْ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لَّكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿٤٩﴾}

    {Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.} [Aali Imran 3:49]

    {وَمُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعْضَ الَّذِي حُرِّمَ عَلَيْكُمْ ۚ وَجِئْتُكُم بِآيَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ ﴿٥٠﴾}

    {"Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.} [Aali Imran 3:50]

    {إِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ ۗ هَٰذَا صِرَاطٌ مُّسْتَقِيمٌ ﴿٥١﴾}

    {"Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Nya. Inilah jalan yang lurus".} [Aali Imran 3:51]

  8. Maka kamu jangan runsing jangan stress, tak perlu bantah, terimalah ia dengan baik dan redha kerana ia adalah satu ketetapan dari Allah.
    Apabila Tuhan kamu mahu Dia boleh menjadikannya (كُنْ فَيَكُونُ) walaupun tidak disukai atau tidak dikehendaki oleh manusia.

  9. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini:

{Maryam berkata: "Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman; "Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendaki-Nya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: 'Jadilah engkau', lalu menjadilah ia."
فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ} [Aali Imran 3:47].

Penutup & Faedah

  1. Ayat 16- {Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam…}
    Allah suruh Nabi s.a.w baca kisah di atas kisah!
    Kisah Maryam ini adalah kisah ketiga selepas kisah Nabi Zakaria dan anaknya Nabi Yahya!
    Ini adalah cerita di atas cerita.
    Walaupun cerita Yahya tadi sudah pelik kerana lahir dari ibu bapa yang sudah tua & mandul tetapi kisah Maryam dan Isa ini lebih pelik lagi kerana tiada bapa terus!
    Allah bawa kisah pelik yang ringan dulu kemudian baru yang lebih pelik!
    Allah nak ingatkan bahawa semua perkara itu di bawah kuasa Allah – tiada siapa boleh sekat atau halang, mahu atau tak mahu!
    Apabila Allah mahu maka (كُنْ فَيَكُونُ)- "Jadilah, maka terjadilah ia".

    Di dalam ayat ini Allah juga sebut tempat– sebelah timur {مَكَانًۭا شَرْقِيًّۭا} – tetapi Allah tak sebut di mana.
    Allah jadikan tempat itu nakirah – umum agar kita tak cari di mana tempat itu, juga kerana tiada faedah pun untuk kita mencarinya!
    Kerana itu Nasrani menjadikan sebelah timur (arah naik matahari) sebagai kiblat mereka kerana sejarah ini.
    Kata Ibnu Jarir meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a: Kerana itulah sebab orang Nasrani menjadikan kiblat mereka sebelah timur!

  2. Ayat 17- {… maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari Kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.}
    Allah nyatakan Dia hantar Roh Kami {رُوحَنَا} iaitu malaikat Jibril yang berupa manusia.
    Malaikat Jibril ini boleh berupa dengan macam-macam rupa yang Allah kehendaki!
    Jibril ini Allah namakannya dengan beberapa nama & gelaran di dalam al-Quran seperti:

    1. Jibril (جِبْرِيلَ)- Nama asal yang disebut secara jelas. Terdapat dalam Surah al-Baqarah ayat 97.
    2. Ruh al-Amin (الرُّوحُ الْأَمِينُ)- Bermaksud "Roh yang Amanah".
      Terdapat dalam Surah asy-Syu'ara ayat 193 ketika menerangkan turunnya al-Quran.
    3. Ruh al-Qudus (رُوحُ الْقُدُسِ)- Bermaksud "Roh yang Suci". Terdapat dalam Surah an-Nahl ayat 102 dan Surah al-Baqarah ayat 87.
    4. Rasulun Karim (رَسُولٍ كَرِيمٍ)- Bermaksud "Utusan yang Mulia". Terdapat dalam Surah at-Takwir ayat 19 untuk memuji sifat Jibril.

    Kenapa Jibril ini dipanggil Roh?
    Jawapannya: Kerana manusia ini hidup dengan roh atau nyawa.
    Agama ini hidup dengan wahyu maka Jibril sebagai pembawa wahyu & kitab dari Allah yang menghidupkan roh-roh jiwa manusia kepada keimanan kepada Allah.
    Sebagaimana kata-kata syair penyair besar Arab, Ahmad Syauqi, yang memuji Nabi s.a.w:

    أَخُوكَ عِيسَى دَعَا مَيْتًا فَقَامَ لَهُ
    وَأَنْتَ أَحْيَيْتَ أَجْيَالاً مِنَ الرِّمَمِ

    Maksudnya: "Saudaramu (Nabi) Isa menyeru orang yang mati lalu dia bangkit hidup kerananya,
    Manakala engkau (Nabi Muhammad) pula menghidupkan seluruh generasi daripada kehancuran."

    *Bait ini membandingkan mukjizat Nabi Isa a.s yang menghidupkan individu mati dengan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w yang menghidupkan dan membimbing seluruh generasi manusia daripada kejahilan kepada cahaya hidayah Islam.
    Kerana itulah Jibril dipanggil Roh kerana dia pembawa wahyu dari Allah Azza wa Jalla yang menghidupkan hati manusia dengan Islam.

    Maka timbul persoalan sehingga ada yang mengatakan Maryam ini nabi kerana Jibril membawa wahyu kepadanya!
    Kata ulama': Bukan begitu – kerana bagi seorang nabi adalah wahyu khas – manakala percakapan malaikat dengan Maryam hanyalah untuk menyampaikan wahyu perkhabaran dari Allah bahawa dia akan dapat seorang anak!

    Kemudian Allah nyatakan bahawa Jibril ini datang dalam bentuk seorang lelaki yang sempurna dan kacak handsome orangnya!
    Jika datang berjumpa Nabi s.a.w biasanya dia berupa seperti seorang sahabat yang kacak iaitu Dihyah al-Kalbi.
    Ini kerana Allah nak nyatakan bahawa:

    1. malaikat itu boleh berupa menjadi seorang manusia yang indah & elok kejadiannya.
    2. manakala ketika datang berjumpa Maryam pula tujuannya kerana nak nyatakan kesucian dan kejujuran Maryam yang tidak tergoda dengan semua itu.
      Maryam seorang yang iffah (عفة النفس)- menjaga kesucian diri, seorang jujur lagi benar.
  3. Ayat 18- {Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan)mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.}
    Maryam terus berdoa kepada Allah dan minta lelaki itu jangan mengacaunya jika dia seorang yang baik & bertaqwa kepada Allah.

  4. Ayat 19- {Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci".} – malaikat kata dia akan memberikan Maryam seorang anak lelaki yang bersih suci {غُلَـٰمًۭا زَكِيًّۭا}.
    Kata ulama': Kenapa malaikat kata dia yang akan berikan anak itu, bukan Tuhan yang beri?
    Jawapan:
    Kata ulama': Apabila seorang utusan diutuskan dia akan jadi wakil dan jurucakap bagi orang yang mengutusnya!
    Oleh kerana malaikat Jibril utusan dari Allah – maka percakapannya menunjukkan apa yang datang dari perintah Allah!

  5. Ayat 20- {Maryam bertanya (dengan cemas): "Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun dan aku pula bukan perempuan jahat?"}
    Maryam terus cemas bagaimana dia akan dapat anak dan mengatakan bahawa dia seorang gadis yang suci dan tidak pernah disentuh seorang lelaki.
    Maryam juga menyatakan sifatnya bahawa dia bukan seorang wanita yang jahat – dia ulang kenyataan ini untuk menegaskan sifatnya juga agar jika lelaki itu berniat jahat dia akan memikirkannya.

Kenapa Maryam ulang balik – selepas beritahu dia belum kahwin dia nyatakan dia bukan wanita jahat yang suka buat perkara tidak baik pula?
Jawapan: Sebab nak nyatakan bahawa jika lelaki itu betul-betul inginkan dia, jangan buat jahat terhadapnya kerana dia seorang wanita yang baik, ada ibu bapa ada keluarga.
Jika nak gunalah cara yang baik, jalan yang halal.
Yakni Maryam ini betul-betul jujur dan baik, dia telah menyatakan sifatnya dia bukan orang jahat!

Yang mana kepada soalan Maryam malaikat menjawab:
{Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagi-Ku;…} – yakni tak perlu dihairankan kerana apabila Allah s.w.t menghendaki sesuatu ia adalah mudah untuk-Nya.
Allah nak jadikan keajaiban kejadian Maryam dan anaknya Isa sebagai salah satu tanda-tanda keagungan & kekuasaan-Nya.
Allah boleh buat apa saja, Dia boleh buat Adam tanpa ibu bapa, Hawa tanpa ibu, boleh buat Isa tanpa bapa dan Yahya dari ibu bapa yang tua & mandul; Allah boleh buat apa saja yang Dia kehendaki!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas