Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Maryam · Nota 12/16

Surah Maryam: Ayat 51-53

Pujian Buat Nabi Musa A.S, Berkata-kata Dengan Allah S.W.T Di Tursina & Abangnya Harun Juga Nabi

Pujian Buat Nabi Musa A.S, Berkata-kata Dengan Allah S.W.T Di Tursina & Abangnya Harun Juga Nabi

Pujian Buat Nabi Musa A.S, Surah Maryam ayat 51-53

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 51 sehingga ayat 53 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan pujian buat Nabi Musa a.s, serta 5 sifat atau kelebihan yang Allah anugerahkan kepadanya!
  3. Antara kelebihannya ialah dia dilantik sebagai seorang rasul & nabi dan Nabi Musa berkata-kata dengan Allah S.W.T di Tursina.
  4. Hasil dari permohonan Nabi Musa a.s- saudaranya Harun juga dilantik sebagai nabi.
    Kerana Nabi Musa berasa berat untuk melawan Fir'aun seorang diri.
    Mengikut Tafsir Ibnu Abbas r.a- Harun ini adalah abang kepada Musa.
  5. Ini merupakan kisah keempat kerana Allah nak ceritakan kepada kaum Arab Quraisy bahawa Nabi Musa seperti datuknya Nabi Ibrahim juga – seorang yang ikhlas & murni tauhidnya kepada Allah Azza wa Jalla.
  6. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kisah Ibrahim yang dapat anak Ishaq dan cucunya Ya'qub serta anak cucunya yang mulia & para nabi.
      Zakaria & anaknya Yahya, kisah kedua tentang Sayyidah Maryam & anaknya Isa kemudian kisah ketiga terbaru ialah kisah Ibrahim yang berdepan dengan bapanya yang syirik.
    2. maka dalam ayat ini datang kisah yang keempat iaitu kisah nabi Musa a.s.
      Kisah Musa datang selepas Nabi Ibrahim kerana nabi Musa a.s adalah antara nabi yang termulia dan paling besar di kalangan zuriat bani Israil iaitu dari Ishak dan Ya'qub – anak cucu Ibrahim a.s.

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 51 وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مُوسَىٰ ۚ إِنَّهُ كَانَ مُخْلَصًا وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا ‎﴿٥١﴾‏ {Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya ia adalah orang pilihan dan adalah ia seorang Rasul, lagi Nabi.} [Maryam 19:51]

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kisah Ibrahim yang dapat anak Ishaq & Ya'qub serta anak cucunya yang mulia & para nabi dari zuriat Israil (Ya'qub).
    2. maka dibawa pula kisah Nabi Musa sebagai salah seorang nabi dari keturunan bani Israil ini, dari zuriat Nabi Ibrahim a.s.
  2. Allah perintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk membaca & ceritakan kepada kaumnya kisah Nabi Musa a.s di dalam al-Quran.
    Musa adalah seorang rasul yang hebat salah seorang dari rasul Ulul-Azmi.
  3. Nota [818] Mulai ayat ini Allah Ta’ala menceritakan secara ringkas perihal Nabi Musa a.s yang telah diberi penghormatan “bermunajat” dengan Allah Ta’ala di Gunung Tursina serta dikurniakan seorang saudara lelaki: Nabi Harun a.s, sebagai penolongnya.
  4. Allah nyatakan sifat Musa yang pertama iaitu seorang yang ikhlas {مُخْلَصًۭا}.
  5. Dalam ayat ini ada dua qiraat (bacaan) iaitu:
    1. dibaca dengan baris atas mukhlasan {مُخْلَصًۭا} – dengan makna seorang hamba yang dipilih Allah menjadi nabi & rasul, seorang yang suci bersih daripada segala kotoran maksiat & dosa.
      Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam ayat ini:
      {Allah berfirman: "Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur".} [Al-A’raaf: 144].
    2. jika dibaca dengan baris bawah iaitu mukhlisan {مُخْلِصًۭا} – dengan makna Nabi Musa itu sendiri – sifat & wataknya ikhlas dalam beribadat kepada Allah, tiada riya’ dalam ibadatnya sedikitpun!
      *Kedua-dua makna ini betul & boleh diterima kerana Musa memang seorang yang ikhlas, yang ikhlaskan sucikan & murnikan ibadatnya semata-mata kepada Allah s.w.t!
  6. Sifatnya yang kedua; dia adalah seorang rasul & nabi {رَسُولًۭا نَّبِيًّۭا}.
    Iaitu Allah kumpulkan kepada Nabi Musa dua sifat & jawatan.
    1. pertama dia adalah seorang rasul yang kanan yang terdiri daripada 5 orang rasul ulul-Azmi yang terpilih: Nuh, Ibrahim, Musa, Isa & Muhammad s.a.w.
      Allah mengutusnya sebagai pembawa Syari'ah Allah s.w.t pembawa berita gembira dan ancaman kepada kaumnya!
    2. kedua dia juga seorang nabi.
  7. Nabi Musa ini ialah rasul yang diutuskan kepada bani Israil keturunannya sendiri bermula dari nabi Ya'qub sebagai Israil sendiri.
    Juga kepada kaum Qibti iaitu puak Fir'aun. Puak ahli sihir yang berlawan dengan Nabi Musa dan beriman itu ialah puak Qibti.
  8. Apa perbezaan antara dua sifat ini:
    1. rasul ialah seseorang yang diberi wahyu oleh Allah s.w.t & dia diperintahkan untuk menyampaikannya.
      Dia juga diberi Kitab sebagai perundangannya sebagai ajaran.
      Seperti nabi Musa Allah anugerahkan Kitab Taurat.
      Atau jika dia tiada Kitab dia sambung Kitab rasul seperti Harun yang menggunakan kitab Taurat juga.
    2. manakala nabi pula ialah mereka yang Allah wahyukan kepadanya dengan Syari'at Allah, dia sampaikan kepada manusia juga Syari'ah itu tetapi dia tiada kitab & menyambung kitab rasul sebelumnya.
      Sebagaimana Nabi Yusha’ yang menyambung Kitab Taurat Nabi Musa a.s. Mereka juga tidak diperintahkan untuk pergi melawan atau menyampaikan dakwahnya kepada kaum tertentu.
      *Setiap rasul wajib seorang nabi tetapi seorang nabi itu tidak semestinya seorang rasul.
      Mereka semua adalah orang mulia yang dipilih Allah s.w.t cuma berbeza jawatan dan skop tugas yang diberikan.
  9. Jadi perbezaan di antara Nabi dengan Rasul dari sudut penjawatan ataupun peranan tugas:
    1. Kerana itu para ulama mengatakan rasul 313 atau ada riwayat kata 315 orang saja daripada awal dulu sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w.
    2. Tapi kalau nabi ramai, dalam hadis yang ada walaupun riwayat dia dipertikaikan ada masalah – nabi ada 124,000 orang. Jadi daripada 124 ribu orang nabi itu hanya 313 yang terpilih sebagai rasul pula.
  10. Fakta atau Kesimpulan:
    1. Nabi 124,000 orang & rasul hanya 313.
    2. bilangan rasul yang disebut dalam al-Quran ada 25 orang.
    3. kemudian lima orang darinya adalah rasul Ulul Azmi yang kanan.
    4. akhirnya yang terpilih lagi Sayyidul Anbiya’ wal Mursalin, ketua bagi segala rasul dan nabi-nabi, ialah Sayyidina Muhammad s.a.w.
  11. Sebagai ulangkaji kita kena ingat semua ini beza rasul dengan nabi, tugas nabi, tugas rasul, bilangan nabi & rasul serta kedudukan mereka.
    Ini di antara perkara yang asas, yang basic kita kena belajar dalam ilmu akidah, ilmu tauhid kepada Allah Azza wa Jalla.

Ayat 52 وَنَادَيْنَاهُ مِن جَانِبِ الطُّورِ الْأَيْمَنِ وَقَرَّبْنَاهُ نَجِيًّا ‎﴿٥٢﴾‏ {Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami.} [Maryam 19:52]

  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa Dia telah menyeru Nabi Musa a.s di Gunung Tursina.
    Inilah yang dikatakan Allah s.w.t berkata-kata atau menyeru Nabi Musa dengan suara yang didengar & difahami olehnya.
  2. Nota [819] Yakni dengan tidak ada perantaraan, menurut cara yang layak bagi Allah Ta’ala.
    Sebab itulah Nabi Musa a.s bergelar “Kalimullah” (yang mendapat penghormatan berkata-kata dengan Allah).
  3. Kisah ini berlaku apabila Musa keluar dari Mesir dan tiba di Madyan (Jordan sekarang ini) serta tinggal di situ buat beberapa lama.
    Apabila habis tempohnya dia nak kembali ke Mesir bersama keluarganya dan dalam perjalanan itulah Musa diseru Allah di bukit Tursina & dia berkata-kata dengan Allah!
  4. Kisah ini dapat dibaca dengan jelas dalam firman Allah ini:
    {Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?
    Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalan.
    Maka apabila ia sampai ke tempat api itu (kedengaran) ia diseru: "Wahai Musa!"
    "Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci.
    "Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.
    "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
    "Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan.
    "Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa.} [Taha: 9-16].
  5. Kemudian nabi Musa a.s juga bercakap dengan Tuhan, yakni apabila Allah bertanya kepadanya nabi Musa bercakap dan ambil peluang untuk bercakap dengan Allah lebih panjang.
    Kerana itulah Nabi Musa digelar Kalimullah- (كليم الله) iaitu orang yang berkata-kata dengan Allah!
    *Nabi Ibrahim pula digelar Khalilullah- (خليل الله) iaitu kekasih Allah.
    Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).} [An-Nisaa’: 164].

Ayat 53 وَوَهَبْنَا لَهُ مِن رَّحْمَتِنَا أَخَاهُ هَارُونَ نَبِيًّا ‎﴿٥٣﴾ {Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi.} [Maryam 19:53]

  1. Kemudian Allah kata Musa diberi rahmat oleh Allah dengan perkenankan doanya untuk melantik saudaranya Harun menjadi nabi juga.
    Iaitu bagi membantunya melawan Fir'aun yang zalim itu dan menjaga bani Israil!
  2. Manusia yang paling cerdik dalam dunia ini ialah Nabi Musa.
    Kata ulama' salaf: Tiada seseorang yang minta syafaat yang lebih besar atas dunia ini selain daripada permintaan Musa kepada Allah untuk menjadikan saudaranya Harun sebagai nabi & rasul juga!
    *Dalam tafsir riwayat Ibnu Abbas – Nabi Harun lebih tua empat tahun daripada adiknya Musa.
  3. Ayat ini ditafsirkan sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
    {"Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.
    "Iaitu Harun saudaraku;
    "Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku,
    "Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku,
    "Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu,
    "Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;
    "Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami".} [Taha: 29-35].
    Allah s.w.t terus menjawab & memperkenankan permohonan nabi Musa ini:
    {Allah berfirman: "Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!”} [Taha: 36].
  4. Apabila Allah hantar Nabi Musa untuk berdakwah kepada Fir'aun – Musa minta 7 perkara – yang utamanya Nabi Musa minta supaya Allah lantik saudaranya Harun sebagai Nabi juga untuk membantunya supaya mereka boleh bertasbih dan berzikir kepada Allah dengan lebih banyak!
  5. Dalam ayat ini pula nabi Musa nyatakan sebab kenapa dia pilih Harun untuk membantunya – sebagaimana dalam firman Allah ini:
    {"Dan saudaraku - Harun, ia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong yang mengakui kebenaranku; sesungguhnya aku bimbang bahawa mereka akan mendustakan daku".} [Al-Qasas: 34].
    *Iaitu kerana Harun lebih fasih dan lancar percakapannya daripada Nabi Musa.
  6. Ini adalah sifat Musa yang kelima!
    Dia minta Allah lantik Harun kerana dia ada kelebihan & kepakaran untuk berdakwah bersamanya bukan hanya semata-mata kerana kronisme!

Penutup & Faedah

  1. Ayat 51- {Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa;} – dalam ayat ini menyatakan bacalah kisah Musa.
    Jika ikut turutan sepatutnya selepas kisah Ishak dan Ya'qub sepatutnya disebut kisah Ismail pula iaitu anak nabi Ibrahim yang satu lagi, tetapi terus disebut kisah nabi Musa yang lebih bawah kedudukannya – kita kata pangkat cucu sedangkan Ismail pangkat anak.
    Hikmahnya disebut kisah Musa dulu sebelum Ismail kerana sekarang ini adalah kisah yang membincangkan tentang bani Israil, maka sesuailah datang kisah Musa selepas Ya'qub kerana nabi Musa adalah nabi bani Israil yang paling hebat.
    Begitulah al-Quran ini, ayat-ayatnya tersusun indah kisahnya pula diatur dengan begitu rapi & tertib – makin dikorek makin dibongkar kita akan nampak jelas betapa agungnya Kalamullah ini.
    Itulah sebab didahulukan kisah Musa ini kerana mereka semua dari keturunan bani Israil manakala Ismail dari ibu yang berlainan iaitu Hajar.
  2. Ayat 51- {Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya ia adalah orang pilihan…}
    Allah nyatakan Musa ini adalah seorang yang dipilih oleh Allah s.w.t.
    Ini kerana nabi Musa ini seorang yang {مُخْلَصًۭا} dipilih oleh Allah dan juga seorang {مُخْلِصًۭا} iaitu yang ikhlas kepada Allah.
    Untuk pergi berlawan menghadapi Fir'aun penguasa yang zalim pada masa itu bukan mudah!
    Itupun Musa minta Allah lantik Harun juga untuk membantunya!
    Nabi Musa seorang yang sangat ikhlas dan banyaklah sifat mukhlis yang ada pada diri beliau.
    Tentang keikhlasan Musa ini para ulama’ sering mengaitkannya dengan kisah semasa Nabi Musa di Madyan dan bertemu dengan keluarga nabi Syu’aib.
    Ketika anak Nabi Syu‘aib datang menjemput Nabi Musa untuk pergi ke rumahnya, Musa berkata: Tidak elok perempuan duduk di hadapan.
    Berjalanlah di belakang aku. Jika ada simpang jalan, kanan atau kiri, beri isyarat.
    Ambillah batu, campakkan ke kanan jika hendak ke kanan dan ke kiri jika hendak ke kiri. Aku akan ikut petunjuk itu.
    Ini benar sekali jika seorang lelaki berjalan sambil melihat belakang anak perempuan ini, nanti jadi perkara yang tidak baik.
    Tengoklah ihsan dan penjagaan diri Nabi Musa. Baginda tidak mahu melihat kepada perempuan.
    Peringatan atau teguran tambahan:
    Pada zaman kita hari ini ramai anak-anak perempuan, pelajar-pelajar kita hari ini, yang suka memakai purdah. Kita suka orang yang memakai purdah dan tidak anti sama sekali. Bahkan kita juga menyuruh keluarga kita berpurdah.
    Tetapi anak-anak apabila menutup muka; jangan buat perkara yang bercanggah.
    Apa perkara yang bercanggah itu?
    Bila seseorang memakai purdah, tetapi menjadi gedik pula. Berpurdah, tetapi aktif media sosial, bergedik kuat di TikTok, bermain Facebook dan sebagainya.
    Dengan muslimat sama-sama dia tidak mahu menunjukkan muka, tetapi di alam maya dia berkelakuan gedik.
    Ini kita kata jangan. Ini semua talbis iblis, permainan syaitan kepada anak-anak kita. Perkara ini besar, kita perlu perbetulkan bagaimana keadaan ini.
    Ayah-ayah dan suami-suami perlu mengambil tanggungjawab untuk melihat keadaan.
    Isteri memakai purdah, tetapi hidupnya gedik di alam maya.
    Menulis pula dengan pelbagai perkara yang tidak sepatutnya. Kita kata semua itu adalah talbis iblis.
    Lihatlah kisah Nabi Musa. Baginda seorang yang ikhlas. Baginda menyuruh perempuan itu berjalan di belakang kerana tidak mahu melihatnya. Itulah sifat Nabi Musa AS.
    Maka Nabi Musa memiliki dua sifat:
    1. Mukhlis — dia sendiri seorang yang ikhlas.
    2. Mukhlas — dia sendiri dipilih oleh Allah Azza wa Jalla.
      Ini adalah dua qiraat yang menarik.
  3. Ayat 51- {…dan adalah ia seorang Rasul, lagi Nabi- وَكَانَ رَسُولًا نَبِيًّا.}
    Musa ini seorang rasul & juga seorang nabi.
    Ini adalah sifat nabi Musa yang ketiga.
    Kenapa Allah sebut rasul dahulu kemudian nabi?
    Dalam ayat ini Allah sebut nabi Musa sebagai rasul dulu sebelum nabi kerana:
    1. jawatan atau sifat rasul lebih besar daripada jawatan nabi.
    2. nabi bersifat setempat dan tidak diutus kepada mana-mana kaum dan tidak ada kitab.
    3. seorang nabi tidak semestinya seorang rasul! Dari 124,000 kalangan nabi hanya 313 saja yang dipilih menjadi rasul.
      Allah Taala menyebut dia sebagai rasul kemudian nabi kerana Allah mengutuskan Nabi Musa kepada makhluk.
      Jawatan rasul lebih besar daripada nabi.
      Nabi ialah seseorang yang menerima wahyu daripada Allah dan menyampaikan kepada kaumnya berdasarkan wahyu tersebut.
      Tetapi rasul lebih khusus, lebih-lebih lagi rasul daripada kalangan ulul ‘azmi.
      Mereka diutuskan untuk berhadapan secara langsung dengan kaum yang menentang. Nabi Musa A.S diutuskan kepada Firaun kerana baginda seorang rasul.
      Apabila dihimpunkan antara rasul dan nabi, ia adalah untuk menguatkan sifat tersebut:
      وَالجَمْعُ بَيْنَ رَسُولٍ وَنَبِيٍّ لِتَأْكِيدِ الْوَصْفِ
      Kerana ada nabi yang bukan rasul.
      Bilangan nabi sangat ramai.
      Ada riwayat menyebut seratus dua puluh empat ribu orang nabi.
      Adapun rasul, bilangannya lebih sedikit.
      Ada riwayat menyebut tiga ratus tiga belas atau tiga ratus lima belas orang.
      Maka semua rasul adalah nabi, tetapi bukan semua nabi adalah rasul.
      Kerana itu jika disebut rasul saja sudah cukup kerana adalah nabi juga.
  4. Ayat 52- {Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami.}
    Allah kata Kami panggil nabi Musa pada waktu malam yang gelap gelita dari sebelah kanan gunung Tursina!
    Allah panggil Musa untuk bermunajat untuk berkata-kata dengannya sebagaimana panjang kisahnya dalam surah Taha yang kita bawakan di atas tadi.
    Kemudian Nabi Musa juga ambil peluang itu bercakap dengan Allah panjang lebar jawapannya apabila ditanya Allah tentang tongkat di tangannya!
    Alhamdulillah tentang munajat nabi Musa ini ada di beberapa tempat di dalam al-Quran.
  5. Ayat 53- {Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi.}
    Allah anugerahkan kepada nabi Musa lagi selepas munajatnya memohon kepada Allah!
    Tujuh permohonan yang Nabi Musa minta dari Allah untuk pergi menghadapi Fir'aun – salah satunya ialah meminta Allah lantik saudaranya Harun sebagai nabi juga untuk membantunya!
    Lalu Allah memberi anugerah kepadanya dengan memperkenankan doanya untuk melantik Harun sebagai nabi juga.
    Anugerah ini kerana Allah beri rahmat kepada Nabi Musa yang percakapannya kurang fasih dan gugup lalu diberinya Harun yang fasih dan lancar ucapannya untuk menemaninya dalam berdakwah dan berdepan dengan Fir'aun.
    Begitulah kata ulama' orang yang paling baik syafaatnya kepada keluarganya atas dunia ini ialah Nabi Musa a.s- yang minta syafaat agar Allah lantik saudaranya Harun sebagai nabi juga!
    Inilah keadaan dunia ini yang akan Kiamat kelak – siapa duduk di atas dia dapat siapa duduk di bawah maka berputih mata sajalah!
    Jangan kita kata nabi Musa mengamalkan kronisme dengan lantik Harun sebagai nabi juga – tidak sesekali!
    Itu tidak beradab dengan para nabi dan kisah dari al-Quran.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas