Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Maryam · Nota 11/16

Surah Maryam: Ayat 46-50

Nabi Ibrahim A.S Dimarahi Ayahnya, Ibrahim Tetap Sabar & Dapat Anugerah Anak Ishak Dan Ya'qub 2 Orang Nabi

Nabi Ibrahim A.S Dimarahi Ayahnya, Ibrahim Tetap Sabar & Dapat Anugerah Anak Ishak Dan Ya'qub 2 Orang Nabi

Nabi Ibrahim A.S Dimarahi Ayahnya, Surah Maryam ayat 46-50

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 46 sehingga ayat 50 dalam juzuk keenam belas.
  2. Ini adalah episod kedua sambungan dari kisah Nabi Ibrahim A.S.
    Allah s.w.t nyatakan dalam ayat-ayat ini Ibrahim dimarahi ayahnya akibat berdakwah kepadanya.
    Ibrahim telah menyeru dan memanggil bapanya dengan cukup lunak sebanyak 4 kali tetapi balasan bapanya sebaliknya!
  3. Ibrahim tetap sabar atas kecaman dan perkataan kasar bapanya.
    Ibrahim tak putus asa & harapan tetap berdakwah dan berdoa untuk kebaikan bapanya.
    Akhirnya Ibrahim ambil keputusan untuk keluar dari kampungnya yang penuh dengan syirik & penyembahan berhala itu kerana Allah.
  4. Keluar saja dari situ dia mendapat anugerah dari Allah dengan seorang anak bernama Ishak dan cucunya Ya'qub – yang mana keduanya juga dilantik sebagai seorang nabi.
    Dari keturunan Ya'qublah lahirnya bani Israil.
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang Nabi Ibrahim yang berdakwah dengan penuh lunak & kasih sayang kepada ayahandanya yang tersayang!
    2. datang ayat ini menyatakan apa boleh buat respon bapanya penuh dengan kemarahan dan kebencian!
      Bukannya nak terima dan fikirkan tentang ajakan & ajaran Ibrahim yang suci itu malah marah dan mengancam!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 46 قَالَ أَرَاغِبٌ أَنتَ عَنْ آلِهَتِي يَا إِبْرَاهِيمُ ۖ لَئِن لَّمْ تَنتَهِ لَأَرْجُمَنَّكَ ۖ وَاهْجُرْنِي مَلِيًّا ‎﴿٤٦﴾‏ {(Bapanya) menjawab: "Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku akan meluntarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa".} [Maryam 19:46]

  1. Reaksi bapanya terhadap dakwah Ibrahim amat negatif & menyedihkan!
    Dia marah kerana katanya Ibrahim benci akan tuhan berhalanya.
  2. Bahkan bapanya mengancam untuk merejam {لَأَرْجُمَنَّكَ} Ibrahim jika dia masih tidak berhenti dengan dakwahnya itu!
  3. Kata ulama' maksudnya rejam ini samada:
    1. rejam secara fizikal dengan batu atau;
    2. ada ulama' kata dengan makna cela dan kutuk.
      Boleh saja kita ambil kedua-duanya.
    3. bahkan ada yang kata dengan maksudnya aku akan bunuhmu!
  4. Bapanya juga memberi amaran agar Ibrahim meninggalkannya terus yakni Ibrahim telah dihalau oleh bapanya untuk keluar dari rumah atau dari kampung mereka itu!

Ayat 47 قَالَ سَلَامٌ عَلَيْكَ ۖ سَأَسْتَغْفِرُ لَكَ رَبِّي ۖ إِنَّهُ كَانَ بِي حَفِيًّا ‎﴿٤٧﴾ {Nabi Ibrahim berkata: "Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.} [Maryam 19:47]

  1. Ibrahim tidak marah bahkan dengan sedih dan lunak mengucapkan selamat tinggal kepada bapanya kerana dia telah dihalau.
  2. Bahkan dia cuba lagi memujuk (Kelate kata kecek) bapanya dengan menyatakan bahawa dia tidak akan putus asa dari berdoa kepada Tuhan agar bapanya mendapat hidayah dan agar Tuhan mengampuni dosa-dosa bapanya!
  3. Yakni Ibrahim tidak kecam dan marah kepada bapanya kerana dia sayang kepada bapanya.
    Tujuan dakwahnya adalah untuk kebaikan dan keselamatan bapanya dari api neraka!
    Ibrahim sesekali tidak merajuk dan lari dengan marah atau mengeluarkan perkataan buruk (atau mmecak – Kelate).
    *Begitulah uslub dakwah ada ketika perlu menerangkan ada ketika perlu lawan juga!
  4. Nabi Ibrahim menggunakan pendekatan yang diajar oleh Allah ini:
    {Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;} [Al-Furqan: 63].
  5. Tentang doa Ibrahim agar Allah mengampuni dosa-dosa bapanya ini kata ulama':
    1. samada bermaksud agar Allah beri hidayah kepada bapanya untuk masuk Islam lalu diampunkan Allah dosa-dosanya yang lalu.
    2. ini pada awal dakwahnya – masih boleh memohon keampunan kepada orang kafir dari kalangan kaum keluarga.
      Inilah yang dibuat oleh orang Islam para sahabat Nabi s.a.w juga pada awal Islam dulu.
      Memohon keampunan kepada kaum keluarga mereka yang kafir tidak Islam sebagaimana yang dibuat oleh Ibrahim.
  6. Sehinggalah turunnya ayat al-Quran ini:
    {Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya- i- contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata",
    ii- tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): "Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu".} [Al-Mumtahanah: ayat 4].
  7. Kata ulama' ayat ini membawa pengajaran:
    1. kamu kena ikut sifat Ibrahim yang tegas dalam iktiqad pegangannya, suci murni dalam tauhid.
    2. tetapi kamu jangan ikut perbuatan Ibrahim dalam berdoa kepada bapanya yang bukan Islam!
      *Yakni Allah tidak benarkan lagi orang Islam berdoa minta ampun kepada orang bukan Islam kerana mereka syirik & kufur kepada Allah.
      Berdoa minta hidayah boleh!
  8. Dalilnya firman Allah ini:
    1. {Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.} [At-Taubah: 113].
    2. {Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.} [At-Taubah: 114]
  9. Yakni boleh memohon berdoa kepada Allah agar beri hidayah kepada kaum keluarga kita yang bukan Islam jika ada – agar terbuka hati mereka untuk menerima Islam.
    Kita pun kena ikut jejak Ibrahim yang lembut hati lagi penyabar, tetapi dalam bab tauhid & ibadat tiada kompromi!
  10. Di akhir ayat Ibrahim berdoa lagi mengatakan dia sangat sayang kepada Allah & Allah juga sayang kepadanya dan sesungguhnya Allah sentiasa melimpahkan kemurahan ihsan-Nya kepadanya.

Ayat 48 وَأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ وَأَدْعُو رَبِّي عَسَىٰ أَلَّا أَكُونَ بِدُعَاءِ رَبِّي شَقِيًّا ‎﴿٤٨﴾ {Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas; mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti kamu)".} [Maryam 19:48]

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    1. apabila bapanya buat keputusan untuk menghalau Ibrahim keluar dari rumah meninggalkannya!
    2. maka nabi Ibrahim pun akur dengan keputusan bapanya untuk keluar meninggalkan bapa & kaumnya yang kafir itu!
  2. Ibrahim mengatakan dengan berdoa lagi:
    1. Aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah;
    2. dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas;
    3. mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa dan derhaka seperti kamu! Iaitu ikhlas, tidak terjebak dengan syirik & segala kemungkaran!

Ayat 49 فَلَمَّا اعْتَزَلَهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ وَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ ۖ وَكُلًّا جَعَلْنَا نَبِيًّا ‎﴿٤٩﴾ {Maka apabila ia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya) dan Yaakub (cucunya); dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi.} [Maryam 19:49]

  1. Apabila nabi Ibrahim ambil keputusan untuk berhijrah dan membawa diri keluar dari negerinya meninggalkan kaumnya yang kafir & syirik menyembah berhala selain dari Allah!
    *Inilah hijrah yang sebenar-benar kerana Allah!
  2. Maka kerana Ibrahim ikhlas berhijrah kerana Allah-Allah terus kurniakan anugerah yang besar kepadanya.
    Iaitu dia mendapat seorang anak pula di penghujung usia tuanya.
    Iaitu Ishak yang dilantik menjadi nabi juga.
    Dari Ishak lahir pula seorang anak yang diberi nama Ya'qub – juga dilantik menjadi seorang nabi!
    *Ya'qub inilah yang dipanggil Israil dan bani Israil berasal darinya!
  3. Nota [817] Yakni setelah Nabi Ibrahim a.s, berhijrah meninggalkan bapanya dan kaumnya yang menyembah berhala, serta tanahair – Babylon (negeri Iraq tua), lalu ia membawa diri bersama-sama pengikut-pengikutnya ke negeri Syaam (Syria termasuk Palestin), maka terkembanglah keturunannya di sana dari anaknya Nabi Ishaq a.s dan cucunya – Nabi Ya’qub a.s.
    Tentang Nabi Ismail a.s anak sulung Nabi Ibrahim a.s, yang telah kembang-biak keturunannya di Makkah Al-Mukarramah, tidak disebutkan dalam ayat ini, kerana perihalnya ada disebutkan secara khusus dalam ayat-ayat 54 dan 55 yang akan datang.
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    1. {Dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar).”
      "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!"} [As-Sofaat 99-100].
      *Inilah pentingnya kita berhijrah kerana Allah meninggalkan tempat atau sesuatu yang tidak bertepatan dengan Syari'ah.
    2. {Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.
      Dan Kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya) dan Yaakub (cucunya) sebagai tambahan; dan tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami jadikan orang yang soleh.} [al-Anbiyaa’: 71-72].
      *Pengikut Nabi Ibrahim hanyalah isterinya Sarah dan anak saudaranya Nabi Lut.
      Nabi Lut kemudian diutus menjadi rasul kepada puak Qura Sadum dan pergilah dia ke sana. Kisah kaum Lut yang keji sebagaimana telah dimaklumi.
    3. {Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak dan sesudah Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub.} [Hud: 71].
      *Kisah ini berlaku apabila malaikat yang dalam perjalanan untuk membinasakan kaum Lut yang terlaknat di Qura Sadum singgah dulu di rumah Ibrahim di Palestin untuk memberinya khabar gembira ini.
  5. Kemudian Allah nyatakan: {وَكُلًّا جَعَلْنَا نَبِيًّا} – dan kedua-duanya (anak & cucu Ibrahim itu) Kami jadikan berpangkat Nabi.
    Begitu besar anugerah Allah kepadanya!

Ayat 50 وَوَهَبْنَا لَهُم مِّن رَّحْمَتِنَا وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا ‎﴿٥٠﴾‏ {Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia.} [Maryam 19:50]

  1. Allah kata Dia akan kurniakan kepada mereka ini iaitu Ibrahim dan anaknya Ishak, cucunya Ya'qub dan anak cucu keturunannya rahmat Allah – iaitu; ilmu yang bermanfaat, amalan yang soleh, rezeki yang luas, keturunan yang ramai, kemuliaan yang besar dan pelbagai rahmat lagi.
  2. Ibrahim juga akan menjadi sebutan dan pujian dalam kalangan umat manusia sehingga ke hari Kiamat.
  3. Ini terbukti kerana nama Nabi Ibrahim termasuk dalam lafaz selawat bersama Rasulullah s.a.w yang menjadi bacaan wajib dalam solat! Selawat dan tahiyyat yang seluruh umat Islam seluruh alam ini membacanya dalam solat mereka!
  4. Untuk memahami lafaz selawat dan kelebihannya boleh dapatkan buku Fadhilat Selawat ini yang menghurai setiap satu lafaz selawat.

Penutup & Faedah

  1. Ayat 46- {(Bapanya) menjawab: "Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim?…} – bapa Ibrahim memberi respon yang amat negatif dan kasar!
    Kata ulama' dalam ayat ini menunjukkan:
    1. Apabila Nabi Ibrahim memberi nasihat kepada bapanya dengan penuh kasih sayang & lunak, menjelaskan hakikat tauhid dan aqidah yang murni:
    2. Bapanya membalas dengan penuh kemarahan dan kekerasan tiada langsung sifat mahu berunding dan berbincang!
      Bahkan bapanya memberi ancaman dan amaran yang begitu keras serta menghalaunya keluar dari rumah atau kampung halamannya!
      Begitulah sedihnya keadaan Ibrahim – teguran & nasihatnya yang penuh kasih-sayang dan lunak ditolak oleh bapanya bahkan dibalas dengan penuh kemarahan dan kebencian!
      Inilah yang kita bimbang jika ada anak-anak bawah umur yang nak masuk Islam – kerana jika keluarga mereka menghalau mereka – kita tak boleh nak ambil lindungi mereka secara mudah, kerana anak di bawah umur masih di bawah hak jagaan ibu bapanya!
  2. Ayat 47- {Nabi Ibrahim berkata: "Selamat tinggallah ayah;…} – Ibrahim mengundur diri dengan lembut meninggalkan bapanya yang telah menghalaunya!
    Begitulah uslub dakwah – jika kita nampak keras sangat penentangan dari orang didakwah; tak ada tanda dia nak terima maka kita tinggalkan dulu orang itu atau tukar tajuk itu.
    Ini kerana dikhuatiri akan:
    1. membawa mudharat ke atas diri pendakwah itu sendiri;
    2. merugikan masa – lebih baik kita pergi kepada orang yang mahu menerima dan belajar sungguh!
      Kerana duduk tunggu orang yang memang degil tak dengar kata ini akan membuang masa & tenaga pendakwah.
      Baik kita tumpukan kepada orang yang nak!
      Sebagaimana kata pepatah: Di mana bumi subur di situlah benih ditabur!
      Inilah uslub dakwah yang kita kena belajar. Adakalanya orang yang kita dakwah; samada di alam maya atau di depan mata, ada yang mudah terima ada yang susah terima.
      Mesti ada pro & kontranya – ada yang bercakap di belakang kita pun ada!
      Jadi kita pandailah menilai keadaan agar tenaga dakwah tidak rugi dan sia-sia!
      Biar lebih ramai yang mendapat manfaatnya!
      Hidayah itu kuasa Allah – kita hanya nyatakan yang benar semoga pada suatu hari tercuit pintu hati orang untuk mencari kebenaran!
      Ada orang walaupun duduk di bawah dagu ustaz tetapi tetap mengata di belakang semata-mata kerana tak kena dengan nafsu orang ramai.
      Maka Ibrahim kata – Salamun – tak mengapalah ayah, aku pergi dulu mengundur diri – semoga kamu selamat dan mendapat hidayah!
  3. Ayat 47- {Nabi Ibrahim berkata: "Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu;…}
    Ibrahim mengatakan dia akan terus berdoa kepada bapanya.
    Sebagaimana yang telah kita katakan di atas tadi:
    1. doa kepada orang bukan Islam hanya dibenarkan doa hidayah.
      Iaitu boleh berdoa kepada orang bukan Islam memohon agar diberi taufiq hidayah kepada mereka.
      *Betapa ramai kawan-kawan para pendakwah kita yang ibu bapanya masih belum Islam, maka mereka tidak putus asa berdoa agar keluarganya diberi hidayah lalu selamat ibu bapa mereka daripada api neraka!
      Juga jika mereka sakit boleh kita berdoa agar mereka sihat dan bila sihat sempat bertaubat!
    2. tetapi ingat – sesekali tak boleh kita orang Islam berdoa minta ampun – istighfar kepada orang yang bukan Islam walaupun ibu bapa dan kaum keluarga sendiri!
      Sempena maulid ini timbul macam-macam kekarutan dan kesesatan yang timbul.
      Terbaru – ada orang yang memanggil Abu Lahab sebagai Sayyidina Abu Lahab kerana dia bergembira menyambut kelahiran Nabi s.a.w, juga Sayyidina Abu Talib kerana dia membela Nabi s.a.w.
      Juga ada orang yang melarang dari membaca Surah Tabbat Yada kerana kononnya menghina bapa saudara Nabi s.a.w!
      Betul-betul satu kesesatan!
      Kita kata alhamdulillah semua orang Islam sayang & cintakan Nabi s.a.w tetapi jangan pula terlalu berlebihan dalam perkara ini!
      Kita hendaklah buat sesuatu itu berdasarkan nas dan dalil yang jelas!
      Allahu al-Musta’an!
      Jadi jelaslah dapat kita fahami bahawa tak boleh istighfar meminta ampun kepada orang kafir!
  4. Ayat 49- {Maka apabila ia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya) dan Yaakub (cucunya); dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi.} – apabila Nabi Ibrahim tinggalkan negerinya, tinggalkan keluarga, tinggalkan semua perkara kerana Allah – lalu Allah berikan kepadanya:
    وَوَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ
    “Kami anugerahkan kepadanya Ishaq dan Ya‘qub.”
    Tuhan anugerahkan kepadanya seorang anak yang menjadi nabi juga iaitu Nabi Ishak dan anaknya Ya'qub (cucu Ibrahim) juga seorang nabi.
    Kedua-duanya menjadi nabi. Berapa ramai lagi nabi daripada kalangan keluarga Ibrahim?
    Ramai lagi nabi dari keturunannya dan kita lihat dalam buku ini, siapakah Aal Ibrahim dan siapakah keluarga para nabi – insya' Allah ada:
    Fadhilat Selawat
    Maka kita jangan sesekali lupa, lalai & lagha!
    Ada kaedah yang menyebut:
    مَنْ تَرَكَ شَيْئًا لِلّٰهِ عَوَّضَهُ اللهُ خَيْرًا مِنْهُ
    “Sesiapa meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik.”
    Nabi Ibrahim meninggalkan keluarga & kampung halaman kerana Allah-Allah beri anugerah kepadanya.
    Begitulah juga para mak-ayah kita yang meninggalkan semua itu – meninggalkan pokok-pokok tanaman, meninggalkan kucing, meninggalkan haiwan belaan dan segala perkara di kampung; kerana mahu hidup di pondok, solat jemaah, mahu mengaji, mahu beribadah 24 jam, mahu datang talaqqi dan belajar.
    Insya-Allah Allah akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.
    Jangan fikir kita akan rugi atas dunia ini – tetapi fikirkan apa yang akan kita dapat dari keuntungan di Akhirat kelak!
    Kita fikirkan kita akan keseorangan dalam kubur kelak!
    Tambahan:
    Tetapi sekarang ini kita lihat perkara yang sangat menyedihkan.
    Kubur tidak lagi menjadi tempat untuk mengingati mati.
    Kubur telah dijadikan tempat untuk bergambar dan berselfie.
    Ramai anak muda pergi ke kubur, memegang batu nisan sambil bergambar untuk dimuat naik di media sosial dan sebagainya.
    Berdoa kepada si mati tak pandai pula!
    Kita perlu mengembalikan fungsi kubur sebagai tempat mengingati mati dan tempat kita mendoakan orang yang telah meninggal dunia, bukan pergi ke kubur untuk meminta kepada orang yang telah meninggal dunia.
    Itu sudah terbalik, orang sudah meninggal, mengapa pula kita meminta kepadanya?
    Sebab itulah Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri tidak membenarkan membuat binaan di atas kubur. Nabi sendiri sudah melarang – jangan kita berkata, “Apa salahnya?”
    Ingatlah selalu bahawa:
    مَنْ تَرَكَ شَيْئًا لِلّٰهِ عَوَّضَهُ اللهُ خَيْرًا مِنْهُ
    “Sesiapa meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik.”
    Marilah kita meninggalkan perkara-perkara yang tidak baik dan kembali kepada Allah عز وجل.
  5. Ayat 50- {Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia-
    وَوَهَبْنَا لَهُمْ مِنْ رَحْمَتِنَا وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا.}
    Allah Ta‘ala menjadikan mereka itu sebagai sebutan ke seluruh alam.
    Sebutan sepanjang zaman: Ibrahim, Ibrahim.
    اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ
    Sebagaimana selawat ke atas Ibrahim dan ahli keluarga dia.
    Siapa keluarga dia? Nabi Ishaq, Nabi Ya‘qub, Nabi Musa, Nabi Isa, Nabi Ismail dan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Semuanya termasuk dalam doa kita:
    اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ.
    Jadi, itulah yang dikatakan bahawa apabila seseorang itu jujur dengan Allah, Allah Ta‘ala akan mengangkat darjatnya.
    Allah Ta‘ala mengangkat darjat dengan begitu besar.

Alhamdulillah tamatlah perbincangan kita secara ringkas.

Ayat ini sebenarnya boleh dipanjangkan lagi, tetapi oleh kerana masa sudah tamat, insya-Allah kita sambung esok tentang kisah Nabi Musa a.s:

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مُوسَىٰ

Maka tamatlah episod Ibrahim.

Insya-Allah, mudah-mudahan Allah Ta‘ala memberikan yang terbaik untuk kita sekalian, memberi kefahaman, menjadikan kita suka mengaji al-Quran, mencintai Allah dan Rasul, serta meninggalkan perkara-perkara yang karut-marut semata-mata kerana Allah.

Sekali lagi ingat:

مَنْ تَرَكَ شَيْئًا لِلّٰهِ عَوَّضَهُ اللهُ خَيْرًا مِنْهُ

Jika kita tinggalkan sesuatu kerana Allah-Allah Ta‘ala akan menggantikan dengan yang lebih baik untuk kita, insya-Allah.

وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas