Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Maryam · Nota 4/4

Surah Maryam: Ayat 12-15

Kisah Nabi Yahya

Kisah Nabi Yahya, Seorang Nabi Dan Hikmah Dari Kecilnya & 9 Sifatnya Yang Mulia

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 12 sehingga ayat 15 dalam juzuk keenam belas.

  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kisah Nabi Yahya bin Zakaria a.s.
    Dia adalah seorang nabi yang Allah berikan hikmah & kenabian semenjak dari kecilnya.
    Jika dikumpulkan semua dalam ayat-ayat ini terdapat 9 sifat istimewa yang Allah anugerahkan kepada nabi Yahya.

    *Nabi Yahya adalah sepupu kepada Nabi Isa a.s, anak kepada ibu saudaranya.

  3. Kemudian Allah berikan kepadanya beberapa sifat yang mulia.
    Sebahagian sifat ini ada juga pada nabi-nabi lain dan ada sifat yang khas untuk nabi Yahya sahaja.

  4. Setiap rasul itu ada kelebihan & keistimewaan tersendiri yang Allah anugerahkan kepada mereka, ada yang dilebihkan daripada yang lain.

  5. Nama Nabi Yahya a.s. disebut di dalam al-Quran sebanyak 5 kali di dalam 4 surah.
    Surah-surah tersebut ialah:

    1. Surah Ali 'Imran (ayat 39 - 1 kali)
    2. Surah al-An'am (ayat 85 - 1 kali)
    3. Surah al-Anbiya' (ayat 90 - 1 kali)
    4. Surah Maryam (ayat 7 dan 12 - 2 kali)
  6. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang doa nabi Zakaria minta zuriat diqabulkan dan Allah mengurniakan kepadanya seorang anak yang soleh bernama Yahya.
    2. maka dalam ayat ini diceritakan pula tentang anaknya Yahya itu, seorang nabi juga yang mempunyai beberapa sifat keistimewaan dan kurniaan Allah.

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 12 يَـٰيَحْيَىٰ خُذِ ٱلْكِتَـٰبَ بِقُوَّةٍۢ ۖ وَءَاتَيْنَـٰهُ ٱلْحُكْمَ صَبِيًّۭا ١٢ {"Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya Hikmat kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.} [Maryam 19:12]

  1. Allah menyeru nabi Yahya dan memerintahkannya untuk menerima kitab yang diberikan kepadanya dengan bersungguh-sungguh yakni mengamalkannya.
    Bukan kata ambil kitab simpan tak belajar & guna.

    *Sekali lagi kita lihat di sini Allah menyeru nabi Yahya dengan namanya- {يَـٰيَحْيَىٰ}, begitulah Allah memanggil para nabi dengan nama mereka di dalam al-Quran ini.
    Tetapi tidak kepada Rasulullah s.a.w. yang diseru dengan jawatannya di dalam al-Quran.

  2. Ijma’ ulama' tafsir mengatakan maksud kitab {ٱلْكِتَـٰبَ} di sini ialah Kitab Taurat.
    Ini kerana Yahya tiada kitab sendiri tetapi menyambung Kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s sebelum ini.

  3. Wahai Yahya; Kamu terimalah kitab Taurat dengan bersungguh, dengan keazaman yang tinggi, dengan ijtihad yang besar, fahaminya dan kamu amalkannya, serta ajarkan kepada manusia untuk mengikut & beramal dengannya– inilah sifat istimewa pertamanya.

  4. Nota [792] Setelah Nabi Yahya a.s dilahirkan dan ketika ia masih kanak-kanak lagi, Allah Ta’ala wahyukan kepadanya, seperti yang tersebut di dalam ayat ini.

  5. Sifat istimewa kedua: Allah juga anugerahkan kepada nabi Yahya hikmah kebijaksanaan {ٱلْحُكْمَ} semasa dia masih {صَبِيًّۭا} kecil atau muda lagi.
    Iaitu kefahaman tentang kitab Allah Taurat ini, ilmu tentang hukum-hakamnya dan beramal dengannya.
    Nabi Yahya telah bertugas dengan semua ini ketika masih kanak-kanak sebelum baligh lagi!

  6. Nota [793] “Hikmah Kebijaksanaan” ertinya: pengertian yang mendalam tentang hukum-hukum ugama.

  7. Kata ulama' apa makna hikmah di sini dengan beberapa pandangan:

    1. kebijaksanaan, iaitu kefahaman tentang kitab Taurat.
    2. ilmu tentang kitab Taurat.
    3. ilmu dan beramal dengannya.
    4. ada juga yang kata dengan makna kenabian.

    *Kata asy-Syanqiti semua pendapat ulama' yang pelbagai ini kembali kepada satu saja iaitu kefahaman & ilmu – yang menyebabkan Yahya faham kitab Taurat, beramal dan mengajar dengannya.

  8. Kata Ibnu Asyur: Amat jauh pendapat yang mengatakan hikmah ini ialah nabi Yahya menerima jawatan kenabian ketika kecil lagi.
    Ini kerana jawatan nabi itu satu tugas yang besar dan tinggi hanya diberi apabila seseorang itu sudah matang dan aqil.

  9. Yang penting para ulama' ittifaq setuju bahawa nabi Yahya menerima jawatan semasa masih muda lagi iaitu sebelum berusia 40 tahun tetapi tidaklah semasa kecil sebelum baligh lagi. Dia diberikan jawatan nabi lebih awal kerana dia mati muda lagi.

Ayat 13 وَحَنَانًۭا مِّن لَّدُنَّا وَزَكَوٰةًۭ ۖ وَكَانَ تَقِيًّۭا ١٣ {dan (Kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta kelebihan yang kembang manfaatnya; dan ia seorang yang bertaqwa.} [Maryam 19:13]

  1. Dalam ayat ini pula ada beberapa sifat yang Allah kurniakan kepadanya:

  1. diberi rahmat kasih sayang dari sisi Allah {وَحَنَانًۭا}.
  2. Allah bersihkannya {وَزَكَوٰةًۭ} daripada segala dosa dan perkara buruk, Allah sucikannya daripada sifat tercela.
  3. Yahya juga seorang yang bertaqwa kepada Allah {وَكَانَ تَقِيًّۭا}, iaitu seorang yang taat akur kepada semua perintah Allah dan menjauhi segala larangan Allah!
  1. Kata Syeikh al-Biqa’i: Yakni perangai yang telah sebati dalam jiwanya untuk bersifat dengan sifat taqwa.

Ayat 14 وَبَرًّۢا بِوَٰلِدَيْهِ وَلَمْ يَكُن جَبَّارًا عَصِيًّۭا ١٤ {Dan ia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya dan ia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.} [Maryam 19:14]

  1. Sifat baik Nabi Yahya lagi ialah:

  1. taat, yakni bersegera dalam mentaati kedua ibu bapa.
    Sangat memuliakan ibu bapa dan berbuat baik (وَبَرًّۢا) kepada mereka sama ada melalui perkataan & perbuatan.
    Lebih-lebih lagi kedua ibu bapanya sudah tua, lemah dan tidak kuat lagi.
    *Begitulah anak yang soleh, yang baik menyayangi kedua ibu bapa, menjaga dan melayani, sama ada ketika mereka sihat atau sakit.
  2. nabi Yahya juga seorang tawadhuk, tidak sesekali angkuh sombong {جَبَّارًا}.
    Dia tidak sombong untuk beribadat kepada Allah;
  3. dia tidak derhaka {عَصِيًّۭا} kepada Allah & tidak derhaka kepada kedua ibu bapanya.
    Dia tidak merengus angkat suara kepada ibu bapanya juga tidak menzalimi hamba-hamba Allah yang lain.

Ayat 15 وَسَلَـٰمٌ عَلَيْهِ يَوْمَ وُلِدَ وَيَوْمَ يَمُوتُ وَيَوْمَ يُبْعَثُ حَيًّۭا ١٥ {Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari ia diperanakkan dan pada hari ia mati, serta pada hari ia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).} [Maryam 19:15]

  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa nabi Yahya dianugerahkan & dilimpahkan kepadanya selamat sejahtera {وَسَلَـٰمٌ عَلَيْهِ}, iaitu keamanan dalam 3 keadaan atau tempat – inilah sifat yang kesembilan:

    1. pada hari ia diperanakkan {يَوْمَ وُلِدَ}; iaitu dia lahir dengan mudah, aman dari gangguan syaitan dan selamat dari perkara yang tidak baik!
    2. dan pada hari ia mati {وَيَوْمَ يَمُوتُ}, Allah ucapkan selamat datang kepada Yahya sewaktu dia mati & masuk dalam kubur, selamat dari sakit sakaratul-maut serta selamat daripada fitnah dan azab kubur.
      Semua itu tidak berlaku kepada Yahya.
    3. serta pada hari ia dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat- {وَيَوْمَ يُبْعَثُ حَيًّۭا} yakni ketika dibangkitkan di Akhirat pada hari Kiamat kelak – nabi Yahya selamat dan aman daripada terkejut dan huru-hara pada hari yang dahsyat itu.
  2. Kata ulama'- kenapa Allah nyatakan tiga tempat ini diberi keamanan kepada nabi Yahya?
    Jawapan:
    Yakni Allah kata Dia amankan nabi Yahya dalam tiga alam yang pasti akan dilalui oleh semua manusia.
    Tetapi nabi Yahya Allah telah jamin keamanan dan kesejahteraan untuknya!
    Inilah tiga tempat atau alam baru yang kita manusia amat perlukan keamanan!

Penutup & Faedah

  1. Ayat 12- {"Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya Hikmat kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.} – setelah Yahya dilahirkan dari bapa yang tua, ibu yang mandul – maka datanglah seorang anak yang cantik & sempurna!
    Maka Allah berfirman kepada Yahya untuk ambil kitab Taurat ini lalu belajarnya dengan betul-betul kemudian amal dan sebarkannya kepada manusia iaitu berdakwah meneruskan legasi kenabian bapanya dan nabi Musa yang sebelum itu!

    Kata Imam as-Suyuti dalam kitabnya Al-Iklil: Ayat ini menolak pandangan yang mengatakan kenabian atau jawatan nabi tidak mungkin kecuali selepas umur 40 tahun.
    Memang majoriti para nabi dilantik menjadi nabi selepas berusia 40 tahun kecuali nabi Yahya ini & nabi Isa.
    Ini kerana mereka mati atau berhenti awal lagi.

    Kata ar-Razi: Allah beri dua orang sepupu ini (nabi Yahya & Isa a.s) jawatan kenabian lebih awal.
    Kerana itu baginya maksud hikmah di sini ialah jawatan kenabian.
    Dalilnya kerana dua sebab iaitu:

    1. Allah sifatkannya dengan sifat yang mulia, manakala kenabian (nubuwwah) adalah jawatan yang mulia.
    2. hukum untuk diputuskan antara dua orang – maka menunjukkan bahawa tak mungkin seseorang itu kecuali dengan jawatan nabi!
  2. Ayat 13- {dan (Kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta kelebihan yang kembang manfaatnya; dan ia seorang yang bertaqwa.}
    Allah kata Dia curahkan kasih-sayang, bersihkan jiwa Nabi Yahya dan berikan rahmat dari sisi Allah kepadanya!
    Ini menunjukkan bahawa perbuatan & sifat kita ini adalah hasil dari atau kehendak Allah s.w.t, bukan pandai-pandai kita sendiri.
    Cuma kita yang memilih jalan yang nak dilalui baik atau buruk.
    Ada orang pilih jalan yang betul ada yang pilih yang tidak betul!
    Yakni Allah bersihkan jiwa Nabi Yahya, Allah tinggikan darjatnya – itulah kelebihan & anugerah yang Allah berikan kepadanya!

  3. Ayat 14- {Dan ia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya dan ia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.} – sifat ketiga ialah berbuat baik, hormat & khidmat kepada dua ibu bapa.

  4. Ayat 15- {Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari ia diperanakkan dan pada hari ia mati, serta pada hari ia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).}
    Allah kata Dia beri 3 keamanan kepada Nabi Yahya – iaitu;
    Kata ulama' kenapa kita perlu 3 keamanan ini?
    Jawapan – ini kerana apabila kita masuk ke tempat atau alam baru pastilah kita akan terasa terasing, tidak biasa dan terkejut pada awalnya.
    Lalu Allah berikan kepada nabi Yahya keamanan setiap kali dia masuk ke alam baru:

    1. dari alam rahim ibunya apabila lahir ke dunia ini – Allah berikannya ketenangan pada hari lahirnya, keluar dengan mudah dan selamatkannya daripada gangguan syaitan!
      Urusan kelahiran ini bermacam cara, kita doakan agar Allah permudahkan semua ibu-ibu yang sedang hamil!
    2. kemudian apabila dia mati dan berpindah dari alam dunia memasuki alam kubur – Allah berinya ketenangan dan keamanan daripada siksa & azab kubur.
      Jumpa kawan baru dalam kubur yang akan menjadi peneman iaitu amalan & ibadat yang baik.

    3. kemudian pada hari dia dibangkitkan iaitu apabila keluar dari kubur kelak pada hari Kiamat.
      Allah berikan kepada Nabi Yahya keamanan pada hari yang dahsyat & penuh huru-hara ini!
      Keluar dari kubur manusia tak tahu nak ke mana – semoga kita juga mendapat keamanan, panduan dan jagaan Allah pada hari itu!
      Mendapat teduhan bayangan arasy, mendapat syafaat Nabi s.a.w, melintas Sirat dengan lancar dan akhirnya masuk syurga.
      Ayat ini sama juga seperti apa yang diucapkan Allah kepada nabi Isa a.s dalam ayat 33 nanti – iaitu Nabi Isa yang ceritakan bahawa dia diberi 3 keamanan ini:

    Firman Allah s.w.t:

    {وَٱلسَّلَـٰمُ عَلَىَّ يَوْمَ وُلِدتُّ وَيَوْمَ أَمُوتُ وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّۭا ٣٣}

    {Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)".} [Maryam 19:33].

    Kita berdoa kepada Allah agar kita selamat dari segala perkara yang tidak baik.

    Seorang ulama' salaf – Sufyan bin Uyainah berkata: Seorang manusia itu akan berasa sunyi atau kesit (Kelate) ketika dia berada di 3 tempat.
    Iaitu ketika dia dilahirkan dia tengok alam baru, ketika dia masuk ke dalam kubur dia tengok alam baru & ketika dibangkitkan di Akhirat kelak dia tengok alam baru juga, ada sungguh.
    Maka Allah muliakan Nabi Yahya a.s dengan diberi keamanan kepadanya pada 3 tempat ini, begitu juga kepada Nabi Isa a.s.

  5. Kesimpulan daripada ayat yang kita baca ini & dari ayat lain juga, terdapat 9 sifat mulia Nabi Yahya a.s yang Allah kurniakan kepadanya, iaitu:

    1. Allah jadikannya bersifat bersungguh & sabar {الجد والصبر} ketika menjalankan tugas sebagai seorang nabi.
      Sebagaimana yang difirmankan Allah kepadanya!
    2. Yang kedua; Allah Taala beri jawatan kepada dia waktu dia masih muda ataupun masih kanak-kanak.
      Jadi Allah Taala bangkitkan Nabi Yahya dengan Isa, dua sepupu ni, sobiyyan iaitu masih kanak-kanak.
      Sebagaimana Allah bangkitkan Nabi Musa dengan Nabi kita Muhammad S.A.W ketika cukup genap 40 tahun.
      Dalam buku sirah Nabi s.a.w sudah dihuraikan tentang umur Nabi ketika menerima jawatan Nabi & menerima wahyu.
    3. Sifat yang ketiga; Allah Taala jadikan dia mempunyai sifat kesihan belas, kasih sayang kepada manusia, sebagaimana Allah beri sifat Ra'ufur rahim kepada Nabi kita Muhammad S.A.W.
    4. Yang keempat; Allah jadikan dia mempunyai berkat, memberi manfaat kepada orang, sebagaimana Allah Taala nyatakan Nabi Isa A.S:

      {وَجَعَلَنِى مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنتُ}

      {Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada} [Maryam ayat 31].

      Insya-Allah nanti kita sampai sana.

    5. Yang kelima; sifatnya sebagai seorang yang bertaqwa, tak buat dosa, tak buat maksiat, takut kepada Allah Azza wa Jalla semata-mata, menjalankan tugas dengan sempurna.
    6. Sifat yang keenam; seorang yang sangat berbakti pada mak ayah.
      Inilah anak-anak yang baik, berbakti pada ibu bapa, anak yang soleh, anak yang hormat ibu bapa, anak yang sayang pada ibu bapa.

      Allahu Akbar.

    7. Yang ketujuh; bukan seorang yang sombong, angkuh, tidak.
      Dengan orang ramai, lebih-lebih lagi dengan mak ayah.
      Sangat tawaduk dia, mak panggil mari selalu. Ayah tegur dengar kata, ni budak-budak zaman sekarang, mak tegur terus mengamuk & mmecok orang Kelate kata, maknanya merajuk.
      Tak boleh tegur lebih-lebih lagi kalau dia duk pegang handphone.
      Kita minta selamatlah anak-anak cucu kita jangan duk terjebak dengan perangai begitu.
      Sebagai ibu bapa kita kena berdoa banyak-banyak biar anak kita menjadi penenang mata hati, penyejuk dan pelapang dada, penenang jiwa.
    8. Yang kelapan; dia tidak derhaka pada Allah dan tak derhaka pada ibu bapa.
    9. Yang kesembilan; tiga keamanan diberi kepada Nabi Yahya iaitu:
      1. pada hari dia dilahirkan,
      2. pada hari dia mati,
      3. dan pada hari dia dibangkitkan.

Ya Allah jadikan kami orang yang diberi keamanan-

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ الآمِنِينَ.

Jadikan kami orang yang baik kepada ibu bapa, taat dan berbakti kepada dua ibu bapa semasa mereka masih hidup.
Sekiranya ibu bapa kita sudah meninggal, kita banyakkanlah berdoa pada dia.
Jangan lupa pagi, petang, siang, malam, setiap kali ada masa pergi jenguk kubur mak ayah, beri salam pada mereka.
Doakan agar Allah jadikan kubur mak ayah kita taman syurga, supaya Allah Taala jadikan kubur kita esok juga sama dan anak-anak kita juga berbakti kepada kita.

Amin ya rabbal alamin.

وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas