Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Maryam · Nota 10/14

Surah Maryam: Ayat 41-45

Kisah Nabi Ibrahim A.S, Seorang Siddiq Dan Alim & Munaqasyah Ayahnya Tentang Tauhid

Kisah Nabi Ibrahim A.S, Seorang Siddiq Dan Alim & Munaqasyah Ayahnya Tentang Tauhid

Kisah Nabi Ibrahim A.S, Surah Maryam ayat 41-45

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 41 sehingga ayat 45 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t ingatkan kita tentang kisah nabi Ibrahim a.s, yakni bacalah kisahnya yang ada dalam al-Quran ini.
    Kata ulama' tadabbur apabila Allah suruh ingat & baca menunjukkan bahawa kisah itu besar & penting.
  3. Allah nyatakan sifatnya bahawa Ibrahim ini adalah seorang yang benar (siddiq- صِدِّيقًۭا) dan nabi {نَّبِيًّا} yang alim dalam agama.
  4. Kemudian Allah bawa munaqasyah atau dialog antara nabi Ibrahim dengan ayahnya tentang tauhid kepada Allah s.w.t. iaitu menyerunya kepada tauhid dan agar meninggalkan penyembahan berhala!
    Berhala & syirik berleluasa pada waktu itu.
  5. Ini adalah kisah yang ketiga dalam surah Maryam ini selepas kisah Zakaria & anaknya Yahya dan Sayyidah Maryam & anaknya Isa.
    Ini adalah kisah yang ketiga iaitu Ibrahim dan bapanya.
  6. Nabi Ibrahim fokus dalam tajuk ini kepada tauhid.
    Oleh kerana itu, dikatakan bahawa objektif surah ini ialah:
    إثبات التوحيد والنبوة والبعث والحشر
    iaitu menetapkan tauhid, kenabian, kebangkitan semula dan perhimpunan manusia di akhirat nanti.
  7. Kemudian puak-puak kafir yang menentang tauhid ini terbahagi kepada dua kumpulan:
    1. Menyembah sesuatu yang hidup, seperti golongan Nasara yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام itu Tuhan atau anak Tuhan dan Yahudi yang mengatakan Uzair anak Tuhan.
    2. Menyembah benda tak hidup, seperti batu, kayu dan berhala-berhala yang mereka bina dalam bentuk patung.
  8. Antara objektif dibawakan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام kepada orang Arab pada ketika itu adalah kerana orang Arab Makkah mengiktiraf Nabi Ibrahim.
    Mereka mendakwa bahawa mereka mengikuti ajaran Ibrahim, kerana Nabi Ismail عليه السلام, anak Nabi Ibrahim, yang membina asas Baitullah di Makkah.
  9. Maka Allah bawakan kisah Nabi Ibrahim untuk mengingatkan mereka.
    Jika mereka benar-benar mahu berbangga dengan Nabi Ibrahim, maka ini ajaran Nabi Ibrahim yang sebenar.
    Nabi Ibrahim bukan menyembah batu dan kayu.
  10. Begitulah manusia ini kadang-kadang mereka membesarkan seseorang kerana keturunannya atau kedudukannya, tetapi tidak mengikut ajaran yang dibawa olehnya.
    Begitu juga puak-puak Arab ketika itu, mereka berbangga dengan Nabi Ibrahim tetapi tidak mengikuti ajaran tauhid yang dibawanya.
  11. Manakala jika mengikut analisa Imam as-Suyuti, yang direkodkan oleh Tafsir Munir – Nabi Ibrahim ini:
    1. telah sebut dalam Surah al-Baqarah dahulu, Nabi Ibrahim عليه السلام mengikut Imam as-Suyuti, umur Nabi Ibrahim panjang iaitu sekitar 150 atau 175 tahun.
    2. jarak di antara Nabi Ibrahim dengan Nabi Adam ialah 2,000 tahun & jarak Ibrahim dengan nabi Nuh ialah 1000 tahun.
    3. Daripada Nabi Ibrahimlah berkembang dan melebar cabang-cabang para nabi bani Israil melalui anaknya, Ishaq, cucunya Ya‘qub dan Ya‘qub itu ialah Israil.
      Manakala melalui jalur Nabi Ismail, hanya Nabi kita Muhammad S.A.W seorang sahaja.
    4. Di antara anak Nabi Ibrahim itu ialah Ishaq, anak kepada Sarah.
      Allah Ta‘ala tidak banyak menyebut kisah Ishaq dalam al-Quran kecuali beberapa tempat iaitu:
    5. apabila malaikat datang membawa berita gembira kepada Sarah bahawa dia akan mendapat anak bernama Ishaq.
    6. dia adalah bapa kepada nabi Ya'qub:
      {وَمِنْ وَرَاءِ إِسْحَاقَ يَعْقُوبَ}
      Selepas Ishaq, datang Nabi Ya‘qub.
    7. Allah Ta‘ala juga menyebut Ishaq sebagai غُلَامٌ عَلِيمٌ, seorang kanak-kanak yang berilmu dan وَإِنَّهُ لَنَبِيٌّ مِنَ الصَّالِحِينَ, serta bahawa Allah Ta‘ala memberkati ke atasnya.
      *Kisah Ishaq ini tidak banyak diceritakan.
  12. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang sesatnya golongan yang menetapkan sembahan yang lain selain daripada Allah yang hidup.
      Seperti nasrani yang ambil Isa dan yahudi yang ambil Uzair.
    2. maka datang ayat ini Allah nyatakan pula tentang penyembahan sesuatu yang tidak hidup pula seperti patung berhala.
      Maka dibawa kisah Nabi Ibrahim a.s dengan bapanya untuk mengingatkan kaum musyrikin Makkah bahawa inilah ajaran sebenar datuk kamu Ibrahim iaitu tauhid kepada Allah.
      Manakala penyembahan berhala di Makkah dibawa oleh Amru bin Luhay al-Khuza’i yang bawa masuknya lalu mengubah perjalanan agama Ibrahim.
      Kisah ini tak banyak kisah hanya tentang perdebatan atau dialog antara Ibrahim & bapanya bukan kisahnya yang lain.

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 41 وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِبْرَاهِيمَ ۚ إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا ‎﴿٤١﴾ {Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.} [Maryam 19:41]

  1. Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk bacakan kepada mereka kaum musyrikin Quraisy di Makkah tentang kisah Nabi Ibrahim.
  2. Dalam ayat ini Allah perintahkan agar:
    1. dengan guna perkataan: {Sebutlah atau ingatkan kepada mereka- وَٱذْكُرْ}.
    2. Manakala dalam surah lain iaitu Surah asy-Syu'ara' ayat 69 Allah sebut:
      {وَٱتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ إِبْرَٰهِيمَ-
      Dan bacakanlah pula kepada mereka perihal Nabi Ibrahim.} [Asy-Syu'ara': 69]
  3. Nota [814] Mulai ayat ini Allah Ta’ala menceritakan perihal Nabi Ibrahim a.s dan hujjah-hujjahnya dengan bapanya dalam menegakkan dasar tauhid, dengan cara lemah-lembut dan sopan-santun, disertakan dengan alasan-alasan yang ma’qul.
  4. Siapakah Ibrahim ini?
    Allah nyatakan bahawa dia adalah seorang yang amat benar bukan pembohong, jujur dalam dakwahnya & tidak khianat dalam janjinya.
    Dia juga telah dilantik sebagai seorang nabi Allah.
    *Pada zaman kita ramai pembohong dan yang peliknya orang lebih percaya kepada pembohong daripada orang yang mengatakan kebenaran!
  5. Orang yang berani kerana benar pun susah nak cari sekarang – kerana silap tegur & komplen sikit terus akan dijawab dikomen dengan tidak beradab dan menjawab dengan akhlak yang buruk sekali!
    Allahu al-Musta’an.
  6. Begitulah orang sekarang – bukan kata nak jadikan teguran itu sebagai satu muhasabah atau motivasi untuk memperbaiki diri.
    Maka akan susah nak dapat ilmu & kebaikan jika dalam diri penuh dengan sikap sombong, berasa kita benar & teguran dianggap sebagai kecaman – maka inilah kerosakan yang berlaku!

Ayat 42 إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لَا يَسْمَعُ وَلَا يُبْصِرُ وَلَا يُغْنِي عَنكَ شَيْئًا ‎﴿٤٢﴾ {Ketika ia berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?} [Maryam 19:42]

  1. Iaitu kisah Ibrahim berdialog dengan bapanya tentang agama.
    Ibrahim memanggil bapanya dengan penuh hormat dan kasih sayang: Wahai ayahku {يَا أَبَتِ}. Ini adalah panggilan pertama Ibrahim kepada bapanya itu!
  2. Ibrahim bertanya kepada bapanya kenapa dia menyembah:
    1. sesuatu yang tidak hidup tidak dapat bergerak, mendengar dan melihat.
    2. serta pastilah tidak akan dapat menolongnya sedikitpun!
      *Ibrahim guna hujjah aqli – kenapa sembah sesuatu yang tidak dapat bergerak melihat mendengar?

Ayat 43 يَا أَبَتِ إِنِّي قَدْ جَاءَنِي مِنَ الْعِلْمِ مَا لَمْ يَأْتِكَ فَاتَّبِعْنِي أَهْدِكَ صِرَاطًا سَوِيًّا ‎﴿٤٣﴾ {"Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu [815]; oleh itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.} [Maryam 19:43]

  1. Munasabah ayat:
    1. apabila Ibrahim nyatakan bahawa berhala yang bapanya sembah itu sesuatu yang tidak memberi faedah;
    2. lalu dalam ayat ini Ibrahim nyatakan kenapa dia menentang melawan menasihat bapanya.
      Dia bukan mahu derhaka tetapi mahu menasihati dan menyelamatkan bapanya dengan ilmu yang dia dapat.
  2. Ibrahim menyatakan dia ada ilmu yang diberi Allah, ilmu yang tiada pada bapanya. Iaitu untuk tauhid – menyembah Allah sebagai Tuhan yang Esa.
    Bukan untuk memperlekehkan bapanya kerana ilmu itu adalah wahyu dari Allah!
    Inilah bahasa dan uslub dakwah yang bijak.
  3. Maka ikutlah aku dan ikutlah ajaranku yang benar ini & aku akan membawamu ke jalan yang betul & selamat!
    *Begitulah Ibrahim menasihati bapanya dengan penuh berhemah dan hikmah!
  4. Nota [815] Nabi Ibrahim a.s menegaskan kepada bapanya bahawa ia telah diwahyukan oleh Allah Ta’ala dengan ilmu yang membawa ke jalan yang benar, lalu menyeru bapanya supaya menurut ajarannya untuk mendapat keselamatan hidup di dunia dan di akhirat kelak.

Ayat 44 يَا أَبَتِ لَا تَعْبُدِ الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلرَّحْمَٰنِ عَصِيًّا ‎﴿٤٤﴾ {"Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan [816], sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.} [Maryam 19:44]

  1. Ibrahim memanggil bapanya lagi dengan penuh lunak: {Wahai ayahku- يَـٰٓأَبَتِ}
  2. Ibrahim menasihati bapanya agar jangan menyembah Syaitan – yakni menyembah berhala adalah ikut kata syaitan maka seolah menyembah syaitan juga walaupun bukan secara fizikal.
  3. Ibrahim menyatakan sebabnya agar tidak menyembah syaitan; iaitu kerana sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya.
    Allah buat baik kita nak balas dengan syirik kepada-Nya.
  4. Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!} [Yaa Sin: 60].
  5. Nota [816] Menyembah berhala bermakna menyembah Syaitan, kerana Syaitanlah yang menghasut manusia kepada penyembahan yang sesat itu.

Ayat 45 يَا أَبَتِ إِنِّي أَخَافُ أَن يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِّنَ الرَّحْمَٰنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَانِ وَلِيًّا ‎﴿٤٥﴾‏ {"Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka".} [Maryam 19:45]

  1. Ibrahim memanggil bapanya lagi – ini {يَا أَبَتِ} yang keempat.
    Ibrahim menyatakan lagi sebabnya dia mengajak bapanya menyembah Allah bukan menyembah berhala atau apa saja selain Allah.
  2. Iaitu dia bimbang dan tak mahu bapanya kena azab dari Allah Tuhan Ar-Rahman disebabkan dia syirik – menyembah yang selain-Nya.
  3. Maka dengan sebab syirik itu bapanya akan menjadi rakan bagi Syaitan di dalam neraka!
    Pada waktu itu dia tidak akan dapat menolong bapanya lagi!
    Bapa tak boleh tolong anak, anak tak boleh bapa, suami anak isteri semuanya masing-masing akan bawa diri sendiri dan ikut nasib sendiri juga!

Penutup & Faedah

  1. Ayat 41- {Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.}
    Allah nyatakan bacalah tentang kisah nabi Ibrahim a.s di dalam al-Quran.
    Allah sebut di sini sifat pertama Ibrahim ialah seorang yang benar.
    Itulah sifat yang wajib bagi para anbiya’ semuanya!
    Tidak ada seorang nabi pun yang kelentong atau pembohong!
    Mereka bersifat siddiqan – semua yang mereka ceritakan adalah wahyu yang benar dari Allah.
    Allah s.w.t sendiri yang membenarkan dakwahnya maka benarlah dia!
    Apabila sebut kisah para nabi Allah akan kata {وَٱذْكُرْ} sebagaimana dalam ayat-ayat akan datang ini:
    1. ayat 41 ini: {وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِبْرَاهِيمَ}
    2. Maryam: 51: {وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ مُوسَىٰٓ ۚ}
    3. Maryam: 54: {وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ إِسْمَـٰعِيلَ}
    4. Maryam: 56: {وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ إِدْرِيسَ}
      Kata ulama': Ayat ini menjadi dalil bahawa membaca & mengingati kisah nabi-nabi terdahulu adalah salah satu cara untuk menguatkan iman dan pemurnian tauhid.
      Kerana semua nabi itu membawa ajaran tauhid yang sama cuma berbeza uslub & pendekatan serta sedikit Syari'ah perundangan.
  2. Ayat 42- {Ketika ia berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?}
    Ibrahim mulakan dakwahnya kepada bapanya dengan sesuatu yang ringan dulu.
    Begitulah uslub dakwah – mula & ajar yang ringan dulu baru bertambah keras dan berat, meningkat naik sedikit demi sedikit jangan terus keras & berat!
    Iaitu uslub dakwah Ibrahim ini:
    1. pertama ceritakan tentang keburukan perkara itu sebagai satu nasihat dan peringatan.
    2. nyatakan tugas atau jawatannya – yakni hak dan kelayakannya untuk memberi nasihat dan teguran itu.
      Ibrahim juga menunjukkan penghormatan dan kasih-sayang terhadap bapanya dengan memanggilnya dengan penuh hormat dan lembut – wahai bapaku {يَا أَبَتِ}.
  3. Ayat 42- {Ketika ia berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah…}
    Ibrahim terus memanggil dan menasihati bapanya dengan penuh lunak dan hikmah.
    Ibrahim gunakan uslub hiwar atau dialog – dengan bertanya khabar – kenapa; bukan terus berkeras melarang – jangan!
    Dia juga menyatakan bahawa dia ada ilmu yang diberi Allah, ilmu yang bapanya tiada – bukan dia katanya seorang yang jahil yang tak tahu apa!
    Begitulah sepatutnya; apabila kita bercakap atau menegur orang yang lebih tua kena ada penghormatan.
    Kita nak marah setaramana sekalipun kena sabar – tegur baik-baik dan penuh dengan hikmah!
    Kena ada uslub nak tegur mereka agar dakwah atau teguran tidak tersekat dari awal lagi!
    Kata ulama': Nasihat seorang anak kepada ibu bapa atau sesiapa yang lebih tua daripadanya tidak akan dianggap sebagai derhaka atau tidak hormat atau memutuskan silaturrahim.
    Bahkan dianggap sebagai satu Birr Walidaini iaitu berbuat baik kepada ibu bapa & orang tua.
    Ini kerana menunjukkan kasih sayang kepada mereka, nak selamatkan mereka, tidak mahu mereka masuk neraka & diazab Allah kelak!
    Bahkan Allah telah perintahkan untuk berdakwah kepada kaum keluarga atau orang yang terdekat dulu:
    {وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ ٱلْأَقْرَبِينَ-
    Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.} [Asy-Syu'ara': 214]
    Tetapi bukan senang untuk seorang anak menegur atau menasihati orang tua – perlukan keberanian, yang penting kena penuh hikmah, gaya & uslub yang baik sekali!
  4. Ayat 42- {Ketika ia berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?}
    Gaya dakwah Ibrahim yang pertama kepada ayahnya selepas memanggilnya dengan lembut dia bertanya – kenapa?
    Iaitu kenapa bapa menyembah sesuatu benda yang:
    1. tidak mendengar,
    2. dan tidak melihat,
    3. serta tidak dapat menolongmu sedikitpun.
      Yakni Ibrahim tunjukkan 3 sifat berhala yang lemah, tidak berfungsi, tidak boleh memberi apa-apa manfaat mahupun mudharat!
      Ini untuk membatalkan sifat ketuhanan berhala itu!
      Ini kerana apabila kita menyembah sesuatu ia adalah:
    4. ibadat – iaitu membesarkannya!
    5. ada kuasa – jika berhala itu buta tuli bisu tiada kuasa faedah apa kita menyembahnya!
    6. doa itu adalah ibadat.
      Jika kita berdoa & bercakap kepada berhala itu apa faedahnya dia bukan dengar & bukan tahu pun!
    7. juga kerana orang yang dengar & celik pastilah lebih baik daripada orang buta & tak dengar seperti berhala itu!
    8. jika ia tidak boleh memberi manfaat & mudharat kepadamu kenapa dia jadi Tuhannya?
    9. jika dirinya sendiripun ia tidak boleh jaga – macamana ia nak jaga kamu para penyembahnya!
      Ini adalah guna hujjah atau logik akal!
      Jadi Ibrahim bukan cela atau kutuk berhala secara direct tetapi membawa fakta keadaan & sifat berhala itu yang tidak dapat dinafikan.
  5. Ayat 44- {"Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan…}
    Pada akhirnya barulah Ibrahim guna uslub larangan.
    Dari bertanya, memaklumkan fakta, tunjukkan logik hujjah barulah Ibrahim guna uslub larangan.
    Dia tidak terus melarang dan menghalang!
    Larangan inilah yang susah, jadi Ibrahim selepas beritahu (royat) semuanya baru dia larang!
    Iaitu jangan sesekali kamu sembah syaitan – yakni apabila kamu ikut bisikan atau ajaran syaitan itu bermakna kamu sudah sembah dia! Maka sembah berhala itu samalah dengan sembah syaitan sebab syaitan yang ajar kamu untuk sembah berhala!
    Syaitan ini penderhaka kepada Allah s.w.t- maka jika kamu ikut syaitan bermakna kamu juga derhaka kepada Allah!
    Kita tak mahu ikut syaitan – kita nak ikut yang baik & yang soleh!
    Kata Ibrahim di akhir ayat: Ini kerana dia takut bapanya kena azab Allah nanti – dengan sebab ikut syaitan kerana syaitan itu macam-macam karenahnya!
    Apabila kita berkumpul dengan orang jahat kita akan kena kejahatan juga.
    Maka marilah kita jadi orang yang baik, berkawan dengan orang yang soleh, insya' Allah kita akan selamat!
    Ibrahim kata dia bimbang bapanya akan kena azab.
    Ini adalah beradab dengan Allah – Ibrahim bukan kata dia yang beri azab itu tetapi dia bimbang takut bapanya akan kena azab Allah dengan sebab derhaka & syirik ini!
    Pada waktu itu Ibrahim tidak akan dapat menolong menyelamatkan bapanya nanti.

Setakat ini dulu kisah nabi Ibrahim & bapanya untuk kuliah hari ini – ayat seterusnya kita lihat apakah respon & reaksi bapanya terhadap teguran & dakwah Ibrahim ini!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini. Semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.

Tandakan selesai dibaca Simpan nota

Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas