Surah Maryam: Ayat 22-26
Maryam Hamil, Karamat Dan Ajaib Ketika Melahirkan Isa & Berpuasa Tak Bercakap
Maryam Hamil, Karamat Dan Ajaib Ketika Melahirkan Isa & Berpuasa Tak Bercakap
Muqaddimah
Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 22 sehingga ayat 26 dalam juzuk keenam belas.
Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan setelah ditiup roh oleh malaikat – Maryam pun hamil.
Dia pun keluar membawa diri ke tempat sunyi untuk mengelakkan kecaman orang ramai.Apabila tiba masa untuk melahirkan dan sakit perut; Maryam mengeluh seorang diri di bawah pokok tamar yang kering.
Tetapi berlakulah karamat dan ajaib ketika melahirkan Isa, pokok tamar yang kering menggugurkan buahnya yang segar dan manis serta keluar air untuk minumannya, bagi menyegarkan diri Maryam.Kemudian Allah perintahkan Maryam untuk berpuasa tak bercakap apabila berjumpa orang ramai nanti sebagai nazarnya.
Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kedatangan malaikat Jibril yang datang membawa berita dari Allah bahawa Maryam akan dapat seorang anak sebagai tanda keagungan & kekuasaan Allah s.w.t kepada manusia. Maryam pun akur dengan ketetapan Allah s.w.t. Dikatakan malaikat meniup ruh melalui lengan atau poket baju Maryam dan masuk ruh itu ke dalam rahimnya.
- ayat ini pula menyambung kisahnya – setelah hamil Maryam lalu membawa dirinya ke tempat terpencil yang jauh untuk mengelakkan pandangan buruk orang ramai!
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 22 ۞ فَحَمَلَتْهُ فَانتَبَذَتْ بِهِ مَكَانًا قَصِيًّا ﴿٢٢﴾ {Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.} [Maryam 19:22]
Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa Maryam pun hamillah lalu dia membawa diri ke tempat yang jauh dan terpencil daripada orang ramai kerana tidak mahu mendengar tuduhan dan percakapan mereka ke atasnya nanti!
Yakni dia mengelakkan diri dari kontroversi pada awal lagi.Kata ulama' berapa lama Maryam hamil, al-Quran tidak sebut apakah sama seperti perempuan lain atau hanya sebentar maka kita tak perlu mencarinya.
Mengikut pandangan ulama' dalam Tafsir al-Munir: Hamilnya seperti wanita lain juga iaitu sembilan bulan qamariyah!
Mengikut Adwa’ ul-Bayan- jumhur ulama' mengatakan tempat Maryam bersalin itu dikatakan di Baitul Lahmi (Bethlehem) di Palestin sekarang.
Jika sesiapa melawat Palestin akan dapat melihat tempat itu yang masih ada & ditanda.
Ayat 23 فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ إِلَىٰ جِذْعِ النَّخْلَةِ قَالَتْ يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا وَكُنتُ نَسْيًا مَّنسِيًّا ﴿٢٣﴾ {(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!} [Maryam 19:23]
Apabila kesakitan nak melahirkan telah menyerang Maryam – memaksanya mencari tempat untuk bersandar lalu didapati sebatang batang tamar yang boleh dijadikan tempat bersandar!
Kata al-Wahidi: Ulama' tafsir mengatakan batang tamar itu adalah satu batang tamar yang telah kering – yang ada hanya batang saja tidak ada daun dan dahan-dahannya lagi.
Maka ini termasuk dalam mukjizat Nabi Isa & karamah bagi ibunya yang nak melahirkan dia batang tamar yang kering menjadi hidup kembali!
Dalam kesakitan nak melahirkan anak itu – keluarlah keluhan dari mulut Maryam – alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!
Yakni jika dia mati sebelum mengandungkan anak yang tanpa bapa ini, orang tidak akan hiraukan aku, tidak mengetahui hal aku dan membicarakan halnya!
Persoalannya kata ulama' tafsir bolehkah begitu?
Seseorang merayu minta mati jika ditimpa kesusahan & kesakitan?Kata as-Sa’di: Oleh kerana Maryam dalam keadaan kesakitan nak bersalin seorang diri, tanpa ada sesiapa yang dapat menolongnya – hatinya sangat sakit & sedih maka dia keluarkan kata-kata itu kerana terlalu stress dengan tekanan dan ujian yang dihadapinya itu.
Dia tahu dia akan dikecam dikutuk keji nanti – dia pula berseorangan menghadapi semua itu.
*Biasalah manusia ini keluhan dan rintihan pasti ada terkeluar dari mulutnya!Jawapannya – kata Ibnu Kathir:
- Dibolehkan jika kita takut sangat akan menghadapi ujian fitnah yang besar dalam agama yang kita tak mampu nak sabar!
- tetapi jika mudharat kesakitan & dalam bab lain tidak boleh kerana tidak ada kecaman terhadapnya.
Bahkan orang sekeliling akan simpati dan kesian kepadanya, pakat ucapkan Syafakallah atau syafakillah!
Maka tidak boleh kita minta mati bahkan kita kena sabar dalam menghadapi ujian ini.
Sebagaimana dalam hadis Nabi s.a.w yang panjang bahawa Rasulullah S.A.W pernah berdoa sebagaimana dipetik daripada hadith tersebut:
{[عن عبدالله بن عباس:] ... وإذا أردت بعبادِك فتنةً فاقبضْني إليك غيرَ مفتونٍ.
الألباني، إرواء الغليل (٦٨٤) • صحيح • أخرجه الترمذي (٣٢٣٣) بلفظ}{Maksudnya: “Ya Allah… dan apabila Engkau menghendaki fitnah (ujian/kesesatan) menimpa hamba-hamba-Mu, maka wafatkanlah aku (ambillah nyawaku) untuk kembali kepada-Mu dalam keadaan tidak terfitnah (tidak sesat/terpesong).”} [HR al-Tirmizi (3233)]
Ini beza doa minta mati kerana takut kena fitnah dalam agama dengan doa minta mati kerana tidak tahan menghadapi ujian kesakitan dan kesusahan hidup!
Ayat 24 فَنَادَاهَا مِن تَحْتِهَا أَلَّا تَحْزَنِي قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا ﴿٢٤﴾ {Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya: "Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai."} [Maryam 19:24]
Setelah melahirkan anak, masih dalam keadaan kesakitan & kepenatan tiba-tiba Maryam terdengar satu suara menyeru dari bawahnya.
Ulama' berbeza pendapat pula tentang siapa yang menyeru ini:
- pendapat pertama & majoriti ulama' mengatakan bahawa anaknya yang baru lahir itu – Nabi Isa sendiri yang memanggil dan memujuk ibunya agar jangan sedih dan berdukacita.
*Asy-Syanqiti antara yang memilih pendapat ini. - ada juga pendapat yang mengatakan itu suara malaikat.
- pendapat pertama & majoriti ulama' mengatakan bahawa anaknya yang baru lahir itu – Nabi Isa sendiri yang memanggil dan memujuk ibunya agar jangan sedih dan berdukacita.
Suara itu mengatakan bahawa Tuhan telah menjadikan dekatmu mata air atau anak sungai kecil yang mengalir untuk kegunaannya.
Sama ada untuk minum, membersihkan dirinya dan bayi yang baru lahir itu!Ini adalah karamah untuk Maryam, dia tidak perlu bangun berjalan pergi mencari air lagi, air sudah tersedia dekat dengannya, tinggal untuk diceduk mengambil air itu semahunya!
Ayat 25 وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا ﴿٢٥﴾ {Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.} [Maryam 19:25]
Kemudian suara itu mengarahkan Maryam untuk menepuk batang tamar yang telah kering itu – akan gugur buah tamar ruthab yang telah masak untuknya!
Maka gugurlah buah tamar yang segar lagi manis (رطب) yang banyak sekali kebaikannya bagi ibu yang baru bersalin!
Ini semua adalah karamah yang Allah berikan kepada Maryam.Kata Asy-Syanqiti yang dinukilkan dari Ibnu Kathir: Ini adalah sesuatu yang mencarik adat – kerana pokok tamar yang telah mati berbuah dan sungai itu tidak ada pun di tempat itu sebelum ini!
Ayat 26 فَكُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا ۖ فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنسِيًّا ﴿٢٦﴾ {"Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini".} [Maryam 19:26]
Kemudian Maryam disuruh makan dan minum dengan sepuas hatinya serta bertenang hatinya dari memikirkan segala perkara yang merunsingkan.
Yakni jangan stress-stress nanti membahayakan kepada dirinya.
Jika orang kita – ibu baru bersalin kena tenang, tak boleh stress nanti meroyan!Setelah melihat karamah dan mukjizat yang pelik-pelik berlaku kepadanya - tenanglah hati Maryam – kerana dia tahu & yakin bahawa bayinya itu bukan manusia biasa tetapi lahir dengan wahyu dari Allah, ditiup ruhnya oleh malaikat.
Maka Maryam yakin selepas daripada ini dia akan menghadapi semua cabaran dengan berani kerana dia tahu semua yang berlaku ini sesuatu yang pelik dari Tuhan!
Kemudian Allah ajar lagi kepada Maryam jika berjumpa dengan orang dan mereka bertanya jangan jawab!
Tetapi katakan bahawa sesungguhnya aku tidak boleh bercakap kerana aku telah bernazar kepada Tuhanku untuk berpuasa dari bercakap.
*Yakni Maryam diperintahkan untuk diam membisu jangan menjawab apa saja soalan & tuduhan pertanyaan orang ramai kepadanya!Nota [803] Siti Maryam diperintahkan supaya diam membisu jika orang ramai bertanyakan halnya, ialah kerana mengelakkan dari bersoal-jawab dengan orang-orang yang celupar mulutnya dan juga kerana segala pertanyaan mereka akan dijawab oleh anaknya yang masih kecil, dengan kuasa Allah ‘Azza wa Jalla.
Ini menunjukkan bahawa puasa itu boleh digunakan juga untuk puasa dari bercakap!
Seperti Maryam yang mengatakan bahawa dia berpuasa yakni tidak akan bercakap dengan sesiapa pun pada hari itu!Kata Ibnu Athiyah: Arahan ini melalui lidah Jibril atau kata-kata Nabi Isa untuk ibunya agar diam jangan bercakap dan menjawab kata-kata orang ramai!
Yang penting ia adalah arahan Allah s.w.t kepada Sayyidah Maryam agar jangan bercakap! Wallahu a'lam.
Penutup & Faedah
Ayat 22- {Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.} – selepas malaikat datang dan menyatakan kepada Maryam bahawa dia akan dapat anak – maka terjadilah apa yang Allah kehendaki dengan kuasa-Nya.
Iaitu dikatakan caranya dengan malaikat meniup ruh Nabi Isa melalui lengan baju Maryam dan ia masuk ke dalam rahim Maryam – maka hamillah dia!
Tak perlu kita fikir banyak bagaimana ia – cuma kita kena fikirkan bagaimana nak naikkan darjat keimanan & keyakinan kita kepada kuasa Allah s.w.t. yang sangat zahir ini.
Maka hamillah Maryam, berapa lama dia hamil wallahu a'lam – apakah sama seperti wanita lain juga 9 bulan atau automatik hamil & terus melahirkan kerana al-Quran tidak menyatakannya kita tidak perlu mengorek reka cerita sebagaimana kata Tafsir al-Munir.
Berdasarkan zahir ayat ramai ulama' kata dia hamil seperti kebiasaan wanita biasa!
Tetapi ada juga ulama' kata dia hamil dan melahirkan dalam masa yang sama & singkat itu saja!Ayat 23- {(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!}
Apabila datang rasa sakit nak bersalin kepada Maryam dia mencari batang tamar sebagai tempat bersandar.
Allah ceritakan pula tentang keadaan Maryam yang berseorangan menghadapi kesakitan nak bersalin itu!
Dia mengeluh dan merintih sendirian, berasa sangat tertekan, malu & takut untuk menghadapi masyarakat nanti dengan anak yang tiada bapa itu – pasti mereka akan bising bertanya, menuduh dan bermacam persoalan lagi; maka keluarlah rintihan itu dari mulutnya!
Maryam meminta mati kerana takut akan fitnah dan kecaman manusia terhadap agama & dirinya!
Kerana itulah keluar dari mulutnya alangkah baiknya jika dia mati sebelum hamil ini!
Sebagaimana yang telah kita bincangkan tadi – dibolehkan minta mati jika kita takut akan kena fitnah dalam agama!
Sebagaimana doa Nabi s.a.w dalam hadis ini:
Rasulullah S.A.W pernah mengajarkan doa supaya dimatikan sekiranya kehidupan itu terkena fitnah agama sebagaimana dalam hadith panjang yang diriwayatkan oleh Mu’az bin Jabal R.A, bahawa Rasulullah S.A.W pernah berdoa sebagaimana dipetik daripada hadith tersebut:{اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ فِعْلَ الخَيْرَاتِ، وَتَرْكَ الْمُنْكَرَاتِ، وَحُبَّ الْمَسَاكِينِ، وَأَنْ تَغْفِرَ لِي وَتَرْحَمَنِي، وَإِذَا أَرَدْتَ فِتْنَةً فِي قَوْمٍ فَتَوَفَّنِي غَيْرَ مَفْتُونٍ.}
{Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta kepada-Mu untuk aku berbuat kebaikan, meninggalkan kemungkaran, mencintai orang-orang miskin, ampunilah aku dan rahmatilah aku dan apabila Engkau menghendaki fitnah pada hamba-hamba-Mu, wafatkanlah aku dalam keadaan tidak terkena fitnah.”} [HR al-Tirmizi (3235)]
Kerana ditakuti jika kita berdepan situasi yang boleh merosakkan pegangan agama serta keimanannya – kita kalah dan tidak dapat menjaga keselamatan akidah dan agama akibat fitnah (ujian besar) yang mengancam keimanan.
Secara umum, Islam melarang umatnya daripada meminta atau mengharapkan kematian semata-mata kerana kesusahan dunia.
Kesusahan itu termasuklah kemiskinan, masalah kewangan, penyakit atau tekanan hidup biasa.Imam al-Nawawi berkata: “dimakruhkan mengharapkan kematian kerana ada bahaya yang menimpa dirinya seperti penyakit, kemiskinan, cubaan hidup ataupun yang sejenisnya daripada ujian dunia.”
Hadis di mana Nabi s.a.w melarang orang Islam untuk minta mati jika kerana mudharat yang menimpa atas batang tubuhnya!
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:{لاَ يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمُ المَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ، فَإِنْ كَانَ لاَ بُدَّ مُتَمَنِّيًا لِلْمَوْتِ فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الوَفَاةُ خَيْرًا لِي.}
{Maksudnya: “Janganlah salah seorang di antara kalian mengharapkan untuk mati kerana musibah yang menimpanya. Jikalau benar-benar mengharapkan kematiannya, hendaknya dia mengatakan, “Ya Allah, hidupkanlah aku jika kehidupan itu baik untukku. Dan matikanlah aku jika kematian itu baik bagiku”.”} [HR al-Bukhari (6351) dan Muslim (2680)]
Ayat 25-
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.}
Tuhan perintahkan Maryam untuk menepuk batang tamar tempat dia bersandar lalu gugurlah buah tamar yang masak lagi manis!
Sebagaimana dalam Kitab Tafsir Adhwa’; Ini adalah salah satu karamat Maryam iaitu:- pokok tamar kering yang sudah mati hidup balik.
- Maryam yang masih lemah mampu menepuknya.
Kata ulama' lagi kenapa diberi rutob (رُطَب- tamar segar yang baru masak) bukan tamar atau kurma – tamar yang telah kering dan keras.
Kerana rutob itu lembut dan sedap elok untuk diberi kepada orang bersalin juga orang berpuasa rutob dulu jika tiada baru makan tamar sebagaimana yang disukai oleh Nabi s.a.w, tiada rutob baru kurma.
Kata ulama': Kisah Maryam ini ada karamat – kerana Maryam bukan nabi maka perkara pelik yang Allah berikan kepadanya itu dipanggil karamat bukan dipanggil mukjizat.
*Tetapi bagi Nabi Isa ia adalah satu mukjizat kerana dia seorang nabi.
Antara karamah yang diberi kepada Maryam ialah:
- mampu menepuk batang tamar yang besar dan kuat itu.
- rutob itu gugur kepadanya dalam keadaan segar dan elok – tidak rosak walaupun jatuh gugur sendiri.
- kejadian itu berlaku pada musim sejuk sedangkan tamar tidak akan masak kecuali pada musim panas yakni tidak akan ada rutob pada musim sejuk biasanya.
Ayat 26- {Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini.}
Allah ajar kepada Maryam jika bertemu orang nanti – jangan bercakap, jangan jawab dan layan perkataan mereka!
Dua sebab Allah perintahkan Maryam jangan bercakap supaya:- biar anaknya Isa saja yang bercakap.
Kerana itu boleh menutup mulut orang yang pada asalnya mahu menuduh dan mempertikaikannya.
Selepas mendengar bayi bercakap mereka pun kebingungan pula – yang tadinya menuduh mengata Isa sebagai anak yang tidak sah taraf sekarang mereka mengaguminya pula dengan melampau! - supaya Maryam tak perlu melayan, berdebat menjawab persoalan yang akan mereka timbulkan.
Ini kerana kita apabila melihat orang jahil atau bodoh bercakap jangan layan.
Jika tidak akan jadi panjang cerita dan kita pun ikut jahil dan bodoh juga!
- biar anaknya Isa saja yang bercakap.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.