Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Maryam · Nota 9/9

Surah Maryam: Ayat 37-40

Khilaf Ahli Kitab Tentang Nabi 'Isa A.S, Amaran Huru-hara Kiamat & Sempurna Qudrat Allah S.W.T

Khilaf Ahli Kitab Tentang Nabi 'Isa A.S, Amaran Huru-hara Kiamat & Sempurna Qudrat Allah S.W.T.

Khilaf Ahli Kitab Tentang Nabi 'Isa A.S, Surah Maryam ayat 37-40

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 37 sehingga ayat 40 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan khilaf ahli kitab Yahudi & Nasrani tentang kedudukan Nabi Isa a.s.
    1. Yahudi yang melampau & jahat kata Nabi Isa anak tak sah taraf;
    2. manakala Nasrani juga ghuluw melampau mendakwa Isa adalah anak Tuhan atau Tuhan sendiri!
    3. yang benarnya kita orang Islam mengatakan Nabi Isa adalah hamba Allah & Rasul-Nya, lahir melalui ruh yang Allah campakkan kepada ibunya Maryam.
  3. Kemudian Allah nyatakan amaran tentang apa yang akan berlaku pada hari kiamat kelak.
    Pada waktu itu orang kafir lihat sendiri azab & huru-haranya yang akan menimpa mereka – maka nak lari tak boleh, nak undur juga tak boleh!
    Maka berdepanlah dengan hukuman azab yang disediakan itu!
  4. Kemudian Allah nyatakan sempurnanya kuasa & qudrat Allah s.w.t. Semua makhluk akan dibalas & tiada siapa yang akan terlepas.
    Yang baik akan menerima balasan yang baik manakala yang jahat & celaka pastilah keburukan & azab yang akan mereka terima!
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang sifat Nabi Allah Isa a.s dengan sangat jelas dan nyata.
      Isa lahir melalui ibunya Maryam tanpa bapa dengan karamat dan mukjizat yang jelas.
    2. tetapi begitulah mereka yang dari kalangan ahli kitab Bani Israil tetap berselisih pendapat tentang Isa – mereka mengatakannya dengan pelbagai kedudukan yang tidak tepat dan tuduhan sesat.
      Begitulah apabila tidak beriman walaupun telah jelas keterangan tentangnya – mereka tetap akan jadi keliru dan haru-biru.
      *Kita umat Islam – umat wasatho tidak akan mengatakan kepada Nabi Isa a.s kecuali apa yang Allah sendiri nyatakan dan sifatkan tentangnya!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 37 فَاخْتَلَفَ الْأَحْزَابُ مِن بَيْنِهِمْ ۖ فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا مِن مَّشْهَدِ يَوْمٍ عَظِيمٍ ﴿٣٧﴾ {Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri [810]. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.} [Maryam 19:37]

  1. Golongan ahli kitab seperti kaum Yahudi & Nasrani tetap berselisih pendapat sesama sendiri tentang kenyataan dan kedudukan Nabi Isa a.s walaupun dia sendiri telah menjelaskan sifatnya sebagai seorang hamba Allah & Rasul-Nya.
  2. Mereka telah berpecah kepada banyak pendapat & perselisihan; begitulah ahli kitab ini adalah ahli furqah (أهل الفرقة)- kumpulan yang suka berpecah & berbantah-bantah!
  3. Nota [810] Yakni meskipun telah dijelaskan bahawa Nabi ‘Isa ialah hamba Allah dan PesuruhNya, tetapi kaum Yahudi berselisihan mengenainya.
    Sebahagian besar dari kaum Yahudi enggan beriman kepadanya serta menuduhnya sebagai anak zina.
    Yang sebahagian lagi menjadi pengikutnya dan terkenal sebagai kaum Nasrani (Kristian).
    Tetapi mereka (kaum Kristian itu) beriman kepadanya secara sesat dan berpecah kepada beberapa golongan.
    Ada yang mensifatkannya sebagai “Tuhan”, ada yang mensifatkannya sebagai “Anak Tuhan” dan ada pula yang mensifatkannya sebagai “salah satu dari tiga Tuhan”.
    Kesemuanya kufur dan syirik belaka.
    Dalam pada itu, ada segolongan pada zamannya yang menegaskan bahawa ia hanyalah hamba Allah dan pesuruhNya.
    Golongan inilah yang benar, sesuai dengan iktiqad dan ajaran Islam.
  4. Maka celaka & kebinasaanlah {فَوَيْلٌۭ} bagi puak kafir yang berselisih dan dengan pegangan yang sesat ini.
    Iaitu selepas kematian mereka di Akhirat kelak apabila mereka akan melihat huru-hara hari Kiamat & azab neraka yang tersedia di hadapan mata mereka.
    *Kalimah wail ini {وَيْلٌۭ} menunjukkan azab & kebinasaan.
    Ada juga ulama' kata Wail ialah nama satu wadi (lembah) dalam neraka!
  5. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

{وَلَمَّا جَآءَ عِيسَىٰ بِٱلْبَيِّنَـٰتِ قَالَ قَدْ جِئْتُكُم بِٱلْحِكْمَةِ وَلِأُبَيِّنَ لَكُم بَعْضَ ٱلَّذِى تَخْتَلِفُونَ فِيهِ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ ٦٣}

{Dan ketika Nabi Isa datang (kepada kaumnya) dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, berkatalah ia: "Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat (ajaran Tuhan) dan untuk menerangkan kepada kamu: sebahagian dari (perkara-perkara ugama) yang kamu berselisihan padanya. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.}

{إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ رَبِّى وَرَبُّكُمْ فَٱعْبُدُوهُ ۚ هَـٰذَا صِرَٰطٌۭ مُّسْتَقِيمٌۭ ٦٤

"Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Dia; inilah jalan yang lurus".}

{فَٱخْتَلَفَ ٱلْأَحْزَابُ مِنۢ بَيْنِهِمْ ۖ فَوَيْلٌۭ لِّلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنْ عَذَابِ يَوْمٍ أَلِيمٍ ٦٥

Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu, dari (paluan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya, pada hari pembalasan.}

{هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا ٱلسَّاعَةَ أَن تَأْتِيَهُم بَغْتَةًۭ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ ٦٦

(Mereka yang menentang Nabi Muhammad) tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut dan dalam keadaan mereka lalai leka dengan perkara-perkara keduniaan.} [Az-Zukhruf: 63-66]

*Kedua ayat ini dekat-dekat; inilah tafsir al-Quran dengan al-Quran.

Ayat 38 أَسْمِعْ بِهِمْ وَأَبْصِرْ يَوْمَ يَأْتُونَنَا ۖ لَٰكِنِ الظَّالِمُونَ الْيَوْمَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٣٨﴾ {Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka yang kafir itu semasa mereka datang mengadap Kami pada hari akhirat. Tetapi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan kufur dan maksiat) pada masa di dunia ini, berada dalam kesesatan yang nyata.} [Maryam 19:38]

  1. Nota [811] Yakni semasa mereka hidup di dunia, bersikap pekak dan buta tidak mahu mendengar perintah-perintah Allah s.w.t dan tidak mahu melihat tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah dan keesaanNya.
    Orang-orang yang demikian, akan dapat mendengar dan melihat dengan sejelas-jelasnya azab yang mengerikan, yang disediakan untuk mereka pada hari kiamat.
  2. Allah nyatakan puak kafir yang tidak mahu mendengar dan melihat kebenaran semasa diberi nasihat & didakwah di dunia dulu – mata celik tetapi buta mata hati – maka di Akhirat kelak;
  3. Pendengaran dan penglihatan orang kafir akan nampak dengan jelas di depan mata mereka segala azab seksa yang mereka kufur & ingkari dulu – mereka telah terima dan percaya dengan yakin semuanya sekarang pada hari Kiamat kelak!
  4. Tetapi melihat dengan mata kepala dan percaya pada waktu itu tidak dikira beriman lagi – bahkan semua itu telah termasuk dalam azab untuk mereka!
    Masa telah tamat, tempoh telah berakhir – sekarang di Akhirat adalah waktu untuk dihisab & dibalas!
  5. Maka jika rasa takut rasa gerun akan semua ini maka berimanlah dan beramal semasa atas dunia ini lagi, ubahlah sikap kamu, menyesal dan bertaubat semasa pintu taubat masih terbuka ketika kamu hidup atas dunia ini! Bukan kata penyesalan yang tidak berguna di Akhirat kelak!
  6. Apakah makna iman?
    Iman itu ialah apa yang kita percaya di dalam hati dan diikuti dengan amal iaitu yang zahir.
    Tahap keimanan manusia itu boleh berbeza tak sama, ada yang tinggi ada yang rendah! Kerana itulah kita kena gilap dan upgrade selalu iman kita agar sentiasa mantap & kuat.
  7. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

    {Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".} [As-Sajdah: 12]

    *Tetapi apa boleh buat – nasi telah menjadi kufur.

  8. Allah tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa orang-orang yang zalim dengan perbuatan kufur dan maksiat pada masa atas dunia ini, mereka berada dalam kesesatan yang nyata!
    Habis dahlah dia – di dunia sesat di Akhirat pun sesat – sekarang azab sudah di depan mata!

Ayat 39 وَأَنذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الْأَمْرُ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ وَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ ﴿٣٩﴾ {Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan [812] iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman.} [Maryam 19:39]

  1. Munasabah ayat:
    1. dalam ayat yang lepas Allah nyatakan tentang azab di Akhirat.
    2. maka datang ayat ini Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk beri amaran kepada manusia tentang hari Kiamat.
      Pada hari penyesalan orang yang zalim, mereka cuai lalai & lagha dari beriman dan beramal soleh.
      Mereka telah terlepas banyak pahala kebaikan & mereka akan diazab di Akhirat kelak!
  2. Orang yang paling zalim atas dunia ini ialah orang yang syirik kepada Allah!
    Maka menyesallah kita sebelum hari penyesalan yang tiada guna lagi.
  3. Nota [812] “Hari Penyesalan” ialah hari kiamat. Orang-orang yang tidak beriman dan yang jahat amalnya akan menyesal pada hari itu.
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

    {"(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: 'Sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)!'"} [Az-Zumar: 56]

  5. Pada hari Kiamat kelak apabila Allah selesaikan kira-kira, hisab perhitungan manusia semuanya, maka:
    1. orang beriman akan dimasukkan ke dalam syurga, yang Allah jadikan kami dari golongan ahli syurga.
    2. orang kafir akan dimasukkan ke dalam neraka.
    • Ya Allah jauhkan kami dari neraka!
    1. mati juga telah disembelih. Yakni tiada lagi kematian selepas itu!
  6. Hadis mati disembelih:

    1. dari sahabat Abu Sa’id Al-Khudri r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda:

      {يُؤْتَى بِالْمَوْتِ كَهَيْئَةِ كَبْشٍ أَمْلَحٍ فَيُنَادِي بِهِ مُنَادٍ : يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ ! فَيَشْرَئِبُوْنَ وَيَنْظُرُوْنَ, فَيَقُوْلُ : هَلْ تَعْرِفُوْنَ هَذَا ؟ فَيَقُوْلُوْنَ : نَعَمْ, هَذَا الْمَوْتُ, وَكُلُّهُمْ قَدْ رَآهُ, ثُمَّ يُنَادِي مُنَادٍ : يَا أَهْلَ النَّارِ فَيَشْرَئِبُوْنَ وَيَنْظُرُوْنَ, فَيَقُوْلُ : هَلْ تَعْرِفُوْنَ هَذَا ؟ فَيَقُوْلُوْنَ : نَعَمْ, هَذَا الْمَوْتُ وَكُلُّهُمْ قَدْ رَآهُ فَيُذْبَحُ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ ثُمَّ يَقُوْلُ : يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ خُلُوْدٌ فَلاَ مَوْتَ, وَيَا أَهْلَ النَّارِ خُلُوْدٌ فَلاَ مَوْتَ.}

      {Maksudnya: “Kematian didatangkan dalam bentuk kambing berkulit hitam putih. Lalu, ada penyeru yang memanggil, ‘Wahai penduduk syurga!’ Mereka menengok dan melihat. Penyeru itu berkata, ‘Apakah kalian mengenal ini?’ Mereka menjawab, ‘Ya, itu adalah kematian.’ Mereka semua telah melihatnya. Kemudian penyeru memanggil, ‘Wahai penduduk neraka!’ Mereka menengok dan melihat. Penyeru itu berkata, ‘Apakah kalian mengenal ini?’ Mereka menjawab, ‘Ya, itu adalah kematian.’ Mereka semua telah melihatnya. Kemudian kematian disembelih di antara syurga dan neraka. Lalu penyeru berkata, ‘Wahai penduduk syurga, kekekalan dan tiada lagi kematian setelahnya dan wahai penduduk neraka, kekekalan dan tiada lagi kematian setelahnya.’”} [HR Bukhari dan Muslim]

    2. daripada Ibnu Umar r.a, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
      Apabila ahli syurga masuk ke syurga dan ahli neraka masuk ke neraka, maka didatangkan kematian sehingga diletakkan di antara syurga dan neraka, kemudian ia disembelih.
      Kemudian seorang penyeru menyeru: Wahai ahli syurga, tiada kematian; dan wahai ahli neraka, tiada kematian.
      Maka bertambahlah kegembiraan ahli syurga di atas kegembiraan mereka dan bertambahlah kesedihan ahli neraka di atas kesedihan mereka. [HR Sahih Bukhari No. 6066]

    *Amat menakutkan sekali bagi ahli neraka walaupun diazab setara mana mereka tidak akan mati-mati- yakni azab yang tidak akan ada pengakhirannya!
    Kita minta berlindung dengan Allah dari neraka, azabnya dan segala perbuatan yang boleh membawa kepadanya!

  7. Kerana lalai dan lagha atas dunia maka pada hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia mereka akan menyesal dengan penyesalan yang tidak ada gunanya.
  8. Timbul persoalan – macam mana mati boleh menjadi seekor kibasy?
    Kata ulama', dalam kitab Hadi al-Arwah disebutkan: ذلك حقيقة لا خيال ولا تمثيل
    Maksudnya: perkara tersebut adalah suatu hakikat, bukan khayalan dan bukan juga perumpamaan.
    Allah Taala berkuasa untuk menjadikan kematian itu dalam bentuk seekor kibasy. Ia bukan suatu khayalan, bukan gambaran perbandingan, tetapi benar-benar berlaku. Kemudian kibasy tersebut disembelih.
    Apa yang menjadi masalah?
    Allah Taala berkuasa untuk menjadikan sesuatu itu sebagaimana yang Dia kehendaki.

  9. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

    {(Serta dikatakan kepada mereka): "Inilah yang dijanjikan kepada kamu, - kepada tiap-tiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat), lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah);} [Qaf: 32]

    *Ini semua kerana mereka tidak mahu beriman semasa di dunia dulu! Ini untuk orang kafir!

  10. Manakala orang yang beriman pula – percaya dan yakin tetapi malas nak beribadat atau jika buat tak ikut apa Sunnah yang diajar oleh Nabi s.a.w.
    Nanti kita akan menyesal juga di Akhirat kerana tidak banyak buat amal ibadat, amal kebaikan seperti amalan sunat dan berbaik sesama muslim.

Ayat 40 إِنَّا نَحْنُ نَرِثُ الْأَرْضَ وَمَنْ عَلَيْهَا وَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ ﴿٤٠﴾ {Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.} [Maryam 19:40]

  1. Allah kata semua bumi di dunia & Akhirat ini milik Allah.
    Semuanya di bawah kuasa Allah tidak ada orang yang boleh menguasainya.
    Maka Allah akan jaga bumi ini selepas semua makhluk mati tiada siapa boleh menguasainya.
  2. Nota [813] Yakni janganlah engkau merasa dukacita wahai Muhammad terhadap orang-orang kafir yang ingkar itu, kerana Kamilah yang menjadikan sekalian makhluk dan Kamilah yang mewarisi bumi dan segala yang ada di atasnya setelah semuanya dibinasakan dan Kamilah jua mereka akan dikembalikan untuk menerima balasan.
  3. Kita manusia semuanya, tidak kira kecil atau besar, semuanya akan diletakkan di bawah mizan, iaitu neraca atau timbangan yang Allah sediakan untuk menyukat amalan kita sama ada baik atau buruk.
  4. Ayat ini juga ditafsirkan dengan firman Allah ini:

    {وَإِنَّا لَنَحْنُ نُحْيِي وَنُمِيتُ وَنَحْنُ الْوَارِثُونَ}

    {Maksudnya: Allah menyatakan bahawa Dialah yang menghidupkan, yang mematikan dan Dialah yang menerima segala pusaka. Segala yang ada di dunia ini berada di bawah milik dan kekuasaan Allah Azza wa Jalla.} [Al-Hijr: 23]

  5. Di akhir ayat Allah menegaskan: {وَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ} – yakni semua kita akan kembali kepada Allah untuk menerima balasan. Yang baik terimalah balasan baik, yang buruknya wal ‘iyazubillah – celakalah orang itu!

Penutup & Faedah

  1. Ayat 37- {Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri…}
    Puak ahli kitab berbalah dan berselisih pendapat sesama mereka tentang Nabi Isa a.s walaupun Allah telah nyatakan sifatnya dengan nyata.
    Telah dinyatakan siapakah Isa itu dan kedudukannya di sisi Allah.
    Ini kerana mereka ahli kitab Yahudi & Nasrani tidak beriman dengan Allah!
    Kita orang yang beriman yakin & percaya dengan apa yang dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran.
  2. Kita lihat dua perbezaan lafaz antara dua ayat ini:

    1. Di akhir ayat ini Allah kata:
      {فَوَيْلٌۭ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن مَّشْهَدِ يَوْمٍ عَظِيمٍ-
      Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.}
    2. Manakala dalam Surah az-Zukhruf ayat 65 Allah kata:
      {فَوَيْلٌۭ لِّلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنْ عَذَابِ يَوْمٍ أَلِيمٍ-
      Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu, dari (paluan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya, pada hari pembalasan.}
      Penjelasan:
    3. Dalam ayat Surah Maryam ini, Allah Taala menyebut: فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ كَفَرُوا Maksudnya, celakalah bagi orang-orang kafir.
      Dalam ayat yang kedua, dalam Surah al-Zukhruf, Allah Taala menyebut: فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا Maksudnya, celakalah bagi orang-orang yang zalim.
    4. Kedua-dua ayat ini menceritakan tentang Nabi Isa عليه السلام.
      Oleh kerana kufur lebih berat daripada zalim, maka ungkapan dalam ayat ini juga lebih dahsyat.
      Kisah Nabi Isa عليه السلام dalam Surah Maryam disebut dengan lebih terperinci, berbanding kisah dalam Surah al-Zukhruf yang disebut secara lebih umum.
      Maka Allah Taala menyebut: فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ مَشْهَدِ يَوْمٍ عَظِيمٍ
      Manakala dalam Surah al-Zukhruf: فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْ عَذَابِ يَوْمٍ أَلِيمٍ.
      Itulah perbezaannya; cerita di sana tidak disebut secara terperinci, sedangkan di sini kisahnya lebih terperinci dan ungkapannya juga lebih dahsyat.
  3. {فَوَيْلٌۭ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن مَّشْهَدِ يَوْمٍ عَظِيمٍ-
    Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.}
    Allah kata celaka & nerakalah bagi puak kafir!
    Ayat ini datang selepas Allah katakan bahawa ahli kitab telah berpecah dan berselisih pendapat tentang Nabi Isa a.s.
    Kemudian Allah kata celakalah bagi mereka yang kafir!
    Allah tidak kata celakalah semua ahli kitab – tetapi hanya ahli kitab yang kafir saja akan celaka!
    Ini kerana; ada ahli kitab yang tidak kafir dan mereka beriman dengan Nabi Isa a.s, beriman dengan kitab Injil secara jujur; dan ada ahli kitab yang memang kafir.
    Kerana itulah Allah tidak guna uslub yang umum atau secara zahir saja!
    Kenapa kita nak celakakan semua orang hatta yang tidak kafir atau jahat pun!
    Begitulah uslub al-Quran begitu halus, teliti dan tepat sekali dalam setiap maksud dan tujuannya!
  4. {فَوَيْلٌۭ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن مَّشْهَدِ يَوْمٍ عَظِيمٍ-
    Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.}
    Ulama' tadabbur kata ayat ini adalah amaran (تهديد) dan janji azab yang keras (وعيد) terhadap puak kafir yang berdusta ke atas Allah s.w.t & buat rekaan tuduhan ke atas Allah.
    Mereka berani kata Tuhan ada anak, berani mengata dan menuduh Tuhan!
    Kerana apakah dosa yang lebih besar daripada membuat tuduhan dan mengata Tuhan ada anak dan lain-lain.
    Rekaan & tuduhan ke atas Allah ini sangat dahsyat tetapi Allah tidak terus ambil tindakan ke atas mereka.
    Hadis – Rasulullah S.A.W bersabda:
    “Tidak ada siapa pun yang lebih bersabar atas gangguan yang ia dengar melebihi Allah 'Azza wa Jalla, ia disekutukan dan dianggap punya anak kemudian Ia memaafkan dan memberi mereka rezeki.” [HR Bukhari & Muslim]
    Sepatutnya Allah terus jatuhkan azab ke atas mereka ini tetapi Allah masih biarkan mereka hidup atas dunia ini, makan minum, beranak-isteri, mabuk-mabuk, pakai salib merayakan krismas mereka!
    Rekaan terhadap Allah ini amat dahsyat tetapi Allah tetap lagi bersifat kasihan-belas terhadap hamba-Nya, Dia tidak musnahkan mereka terus.
    Jika kita manusia ini pastilah akan terus membalas dan berdendam jika orang buat jahat kepada kita sedikit saja pun!
    Sedangkan Allah ini zahir-zahir orang kafir kata kepada Allah!
    Maka inilah bahayanya kerana puak kafir & puak zalim ingatkan mereka betul kerana Allah tidak ambil tindakan segera ke atas mereka!
    Tetapi ingatlah semua itu ada tempohnya; jangan dok sedap hati puak kafir puak zalim – jika kamu tidak bertaubat segera maka tunggulah akibatnya!
    Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy'ari R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

    {إِنَّ اللَّهَ لَيُمْلِي لِلظَّالِمِ حَتَّى إِذَا أَخَذَهُ لَمْ يُفْلِتْ}

    {Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memberi tempoh kepada orang yang zalim, sehingga apabila Dia mengambilnya (mengazabnya), Dia tidak akan melepaskannya lagi.”} [Sahih al-Bukhari & Muslim]

  5. Ayat 39- {Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan…}
    Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk beri peringatan kepada umatnya sebelum mereka menyesal di Akhirat kelak!
    Berilah mereka peringatan tentang Allah, tentang Rasulullah, tentang azab, tentang syurga tentang neraka dan sebagainya supaya mereka sedar bahawa kita hidup atas dunia hanya sementara.
    Mati kita tak tahu & bila ia datang maka kita akan tinggalkan segalanya atas dunia ini.
    Sentiasalah bagi tazkirah kerana menyesal atas dunia ini kita masih ada peluang untuk bertaubat.
    Penyesalan di Akhirat tiada guna lagi kerana nasi sudah menjadi bubur atau hancur!
    Kemudian Allah tutup perbincangan ini dengan firman-Nya:
    {Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.}
    Yakni milik Allah semua langit dan bumi ini & kamu semua akan kembali kepada Allah!

وَصَلَّى اللهُ وَسَلَّمَ وَبَارَكَ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas