← Surah Maryam
· Nota 13/16 · Ayat 54–55
Surah Maryam: Ayat 54-55
Kisah Nabi Ismail A.S, Benar Pada Janji, Menyuruh Keluarganya Solat & Kisah Pembangunan Makkah
Kisah Nabi Ismail A.S, Benar Pada Janji, Menyuruh Keluarganya Solat & Kisah Pembangunan Makkah

Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 54 sehingga ayat 55 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kisah Nabi Ismail bin Ibrahim A.S. Dia juga seorang rasul & nabi yang dipilih Allah.
- Dalam surah ini disebut 4 sifat Nabi Ismail. Antaranya dia seorang yang amat benar pada janji & antara agenda utamanya ialah menyuruh keluarganya mengerjakan solat.
- Allah juga menceritakan kisah sejarah pembangunan Makkah.
Iaitu apabila Ismail dibawa oleh bapanya Ibrahim ke Makkah dan ditinggalkan di situ bersama ibunya Hajar di negeri yang tiada penduduk & tiada air.
Kisah penuh sejarah ini boleh dibaca dalam buku ini:
Makkah Al-Mukarramah - Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kisah nabi Musa a.s, salah seorang rasul dari anak cucu Nabi Ibrahim a.s.
- maka datang ayat ini membawa kisah nabi Ismail a.s seorang lagi anak kepada nabi Ibrahim tetapi dia bukan dari keturunan Israil iaitu nabi Ya'qub -anak kepada saudaranya Ishak.
*Nabi Ismail mempunyai satu persamaan dengan nabi Musa a.s iaitu apabila mereka memerlukan air – Allah hantar mata air yang terpancar untuk menjadi minuman dan kegunaan bagi mereka.
Bezanya dua mukjizat ini; air pancuran Nabi Musa terhenti di Padang Sinai pada waktu itu sahaja tetapi mata air Nabi Ismail iaitu Zamzam memancar keluar sehingga ke hari ini menjadi minuman umat manusia seluruh dunia.
- Jangan kita terpengaruh dengan dakyah & propaganda yang mengatakan air Zamzam sekarang ini tidak asli, sudah dicampur dan pelbagai konspirasi lagi yang boleh menjadi satu fitnah!
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 54 وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ ۚ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا ﴿٥٤﴾ {Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.} [Maryam 19:54]
- Dalam ayat ini Allah s.w.t perintahkan Nabi s.a.w untuk membaca kisah perihal Nabi Ismail a.s. anak kepada nabi Ibrahim a.s dan ibunya Sayyidah Hajar yang ditinggalkan bapanya di Makkah yang kering dan kosong.
*Kerana Ismail Allah hantar telaga Zamzam dan terbinanya Ka'bah. - Nota [820] Setelah Allah Ta’ala menceritakan perihal Nabi Ibrahim a.s, anaknya: Nabi Ishaq a.s, cucunya: Nabi Ya’qub a.s dan nabi Musa a.s yang juga berasal dari keturunan Nabi Ya’qub maka dalam ayat ini diceritakan secara khusus perihal Nabi Ismail a.s, anak sulung Nabi Ibrahim a.s, kerana beberapa keistimewaannya.
Di antaranya ialah sifat menepati janji.
Ia juga telah berkembang keturunannya di Makkah Al-Mukarramah dan dari keturunannya lahirlah junjungan Nabi Muhammad s.a.w. - Ya'qub itu sendiri yang bernama Israil kerana itu zuriat keturunannya dipanggil bani Israil.
*Israil hari ini bukan bani Israil keturunan Nabi Ya'qub tetapi Zionis! - Sedangkan Ismail bukan keturunan bani Israil dan dia mempunyai keistimewaan & kehebatan tersendiri kerana itu disebut secara sendiri tidak disebut kisah bersama bapanya seperti lain-lain nabi.
Ismail mempunyai kedudukannya yang istimewa yang dianugerahi Allah. - Ini adalah kisah kelima dalam surah Maryam dan Allah ulang selalu kisah ini kerana Arab jahiliyyah ini kenal Ibrahim & Ismail.
Lalu Allah supaya orang Arab musyrikin tahu bahawa agama yang mereka ikut sekarang ini salah – tidak betul, tidak bertepatan dengan ajaran tok nenek mereka dulu iaitu Ibrahim & Ismail yang membawa ajaran tauhid sama seperti ajaran nabi Muhammad s.a.w yang mereka tentang & tolak itu! - Nabi Ismail digelar sebagai (الذَّبِيح) iaitu orang yang diperintah oleh Allah untuk disembelih atau dikorbankan.
Allah tidak sebut nama siapa anak yang Allah suruh Ibrahim sembelih itu.
Tetapi pendapat yang rajih yang dipilih ramai oleh ulama' & ahli sejarah anak itu ialah Ismail. Ada ahli tafsir mengatakan Ismail lebih tua 14 tahun daripada Ishak.
*Manakala yahudi mendakwa yang nak kena sembelih itu ialah Ishak – kerana mereka nak berbangga dengan keturunan Israil mereka. - Tidak lama kemudian Allah perintahkan Ibrahim untuk bawa & tinggalkan Ismail di Makkah pula.
Terdapat hadis riwayat Bukhari yang panjang terdapat kisah Ismail ini semasa dibawa ke Makkah oleh bapanya dan lain-lain kisah.
Boleh baca kisah ini dan tentang telaga Zamzam dalam buku Makkah ini. - Sejarah Ismail: Kehidupan Nabi Ismail عليه السلام, setelah baginda berkahwin dengan anak puak Jurhum di Makkah, beberapa maklumat:
- Ismail mempunyai dua belas orang anak.
Mereka menjadi ketua-ketua kabilah selepas Nabi Ismail عليه السلام. - Ismail dikatakan hidup selama 137 tahun. Baginda wafat di Makkah dan dikebumikan di Hijr, berdekatan dengan Kaabah, bersama ibunya Sayyidah Hajar. Wallahu a'lam.
*Ini cerita dalam kitab tafsir al-Munir & itu sahaja maklumat yang ada. - Jika nak baca cerita yang panjang lagi boleh cari kitab القصص القرآني oleh Syeikh Ṣalaḥ al-Khalidi رحمه الله.
Ada empat jilid.
Kitab ini menarik sebab dia kumpul cerita-cerita dalam al-Quran. Macam cerita Ismail dalam surah ini ada dua ayat, kemudian ada lagi kisahnya di dalam surah lain pula.
Jadi dia kumpul dari semua surah maka jadilah satu cerita yang lengkap. - manakala kita nak fokus di sini tentang empat sifat Nabi Ismail yang disebut dalam dua ayat ini bukan sejarah kisahnya yang panjang!
- Ismail mempunyai dua belas orang anak.
- Dalam surah ini dinyatakan beberapa sifat Nabi Ismail – pertama dia adalah seorang yang benar & jujur lagi menepati janji {كَانَ صَادِقَ ٱلْوَعْدِ}, bukan seorang yang suka berdusta (belawok – Kelantan).
- Beberapa ayat al-Quran yang menyebut bahawa Ismail adalah seorang yang amat benar jujur, benar & menepati janji ialah:
- ketika dia berjanji untuk sabar apabila bapanya bermimpi diperintahkan untuk menyembelihnya.
Dia telah menunaikan janji ini dengan sabar tanpa berdolak-dalih, tanpa sebarang helah dan alasan.
Apabila seseorang mampu menunaikan janji untuk rela disembelih tanpa lari pastilah dalil yang paling besar menunjukkan seorang yang amat jujur dan benar janjinya! - ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?".
Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".} [As-Saaffaat: 102]. - kemudian Allah nyatakan bahawa Ismail tunaikan janji itu sehingga ke akhirnya dalam ayat ini pula:
{Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami).} [As-Saaffaat: 103].
*Maka apabila berjanji jangan berhelah lagi kerana orang yang tidak tunaikan janji ini adalah sifat munafiq!
Inilah bahayanya apabila janji tidak ditunaikan.
- Sifat Nabi Ismail yang kedua dia juga seorang rasul & nabi {وَكَانَ رَسُولًۭا نَّبِيًّۭا}.
- Dia dihantar sebagai rasul kepada Kabilah Jurhum.
- Allah kumpulkan dua sifat rasul & nabi ini kepada nabi Ismail sebagaimana diberi kepada bapanya Ibrahim dan nabi Musa.
- nabi Ismail tidak ada kitab dia menyambung Syari'ah & Kitab ajaran bapanya Ibrahim iaitu Suhuf Ibrahim.
- ayat ini juga menjadi dalil bahawa tidak syarat semua rasul itu mempunyai Kitab yang khas.
- ayat ini juga menunjukkan kelebihan Ismail ke atas adiknya Ishak.
- Hadis – tentang kelebihan Ismail, sabda Nabi s.a.w:
"Sesungguhnya Allah telah memilih daripada anak-anak Ibrahim – Ismail; dan pilih bani Kinanah dari keturunan Ismail dan Allah memilih Quraisy dari bani Kinanah dan memilih Bani Hashim dari kalangan kaum Quraisy dan memilihku dari Bani Hashim." (HR Sahih Muslim, no. 2276)
Ayat 55 وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِندَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا ﴿٥٥﴾ {Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!} [Maryam 19:55]
- Dalam ayat ini Allah sebut dua lagi sifat Nabi Ismail iaitu yang ketiga dia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat.
*Zakat ini kata ulama' sebagaimana yang telah kita bincangkan dulu samada dengan makna zakat harta atau zakat pembersihan jiwa. Keduanya boleh diterima. - Nota [821] Yakni ia menyuruh kaum keluarganya lebih dahulu mengerjakan amal-amal yang soleh supaya menjadi ikutan yang baik bagi orang lain.
- Ini adalah sifat mulia Ismail iaitu dia menjaga solat dan menyuruh keluarganya menjaga solat juga, ini sebagaimana perintah Allah s.w.t:
- Firman Allah s.w.t:
{Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.} [Taha: 132]. - Hadis Nabi s.a.w:
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
“Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang bangun pada waktu malam lalu dia menunaikan solat, kemudian dia membangunkan isterinya lalu isterinya turut menunaikan solat. Jika isterinya enggan, dia merenjiskan air ke wajah isterinya.
Semoga Allah merahmati seorang wanita yang bangun pada waktu malam lalu dia menunaikan solat, kemudian dia membangunkan suaminya lalu suaminya turut menunaikan solat. Jika suaminya enggan, dia merenjiskan air ke wajah suaminya.” [HR Abu Daud & Ibnu Majah] - hadis:
“Apabila seorang lelaki bangun pada waktu malam dan membangunkan isterinya, lalu mereka berdua menunaikan solat dua rakaat, nescaya mereka berdua dicatat dalam kalangan lelaki dan wanita yang banyak mengingati Allah.” [HR Abu Daud & Ibnu Majah].
- Firman Allah s.w.t:
- Jadi kena ingat baik-baik sebelum kita nak berdakwah kepada umum & masyarakat – kita kena dakwah dan beri nasihat peringatan untuk kaum keluarga terdekat sendiri dulu!
Jika tak berjaya kita kena sedih & usaha lagi! - Sifatnya yang keempat pula: Ismail adalah seorang yang sangat taat kepada Allah sehinggalah dia diredhai di sisi Tuhannya
- Maka wajib kepada kita untuk mencari keredhaan Allah dengan beriman dan beramal soleh seperti yang diperintahkan Allah – barulah kita selamat insya' Allah!
Penutup & Faedah
- Ayat 54- {Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail…} – bacalah cerita nabi Ismail dalam al-Quran.
Ulama' bertanya: Kenapa tidak disebut kisah nabi Ismail bersama kisah bapanya Ibrahim dan adiknya Ishak dan keturunannya.
Jawapan:
Kata ulama' ini kerana Allah nak zahirkan nabi Ismail itu sendiri seorang yang hebat dan istimewa!
Bukan bergantung kepada bapanya sahaja!
Sebagaimana kata ahli Syair:
Bukanlah orang yang hebat itu – yang mengatakan bapanya hebat;
tetapi yang mengatakan dirinya sendiri hebat!
*Tidak salah mempunyai bapa yang hebat – tetapi dia sendiri pun biarlah hebat juga baru boleh berbangga – bukan hanya dengan bersandar kepada nama atau kehebatan bapa saja!
Maka dikhususkan ayat ini kepada nabi Ismail bahawa dia patut diberi satu penghargaan dan kisah khas selepas kisah bapanya Ibrahim yang memang hebat juga!
Nabi Ismail menjadi ketua kepada umat yang tersendiri sebelum nabi Ya'qub menjadi ketua bagi umatnya bani Israil.
Ismaillah yang membina Ka'bah bersama bapanya Ibrahim serta munculnya telaga Zamzam.
Ismail mempunyai beberapa keistimewaan yang disebut oleh Allah s.w.t termasuk dikenali sebagai (الذَّبِيح) iaitu orang yang diperintah oleh Allah untuk disembelih atau dikorbankan. - Ayat 54- {… ini perihal Nabi Ismail sesungguhnya ia adalah benar menepati janji…} – ini adalah sifat pertama yang Allah sebut akan nabi Ismail a.s.
Iaitu Ismail adalah seorang yang benar dalam janjinya.
Apabila bapanya nabi Ibrahim memberitahu bahawa dia bermimpi menyembelih Ismail maka Ismail terus akur bersetuju dan berjanji bahawa dia akan sabar.
Kisah ini dirakamkan dalam firman Allah ini:
{Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?"
Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar"-
Yakni Ismail tidak terkejut, tidak mengamuk, tidak mahu menyerahkan dirinya bahkan dia berjanji akan sabar untuk melalui semua ujian itu.
Sifat menunaikan janji ini ialah sifat yang mulia sepanjang zaman.
Manakala orang yang tak tunaikan janji ialah sifat yang tercela dan terkeji.
Kerana itu Nabi s.a.w sifatkan orang yang tak tunaikan janji ialah sifat munafiq!
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Ciri-ciri orang munafik itu tiga. Apabila dia bercakap dia berdusta, apabila dia berjanji dia memungkiri janji dan apabila dia diberikan amanah dia mengkhianatinya.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Oleh itu berhati-hatilah- janganlah kita mudah-mudah menabur janji jika tak yakin atau tiada kemampuan untuk menunaikannya!
Lebih-lebih lagi zaman kita hari ni, samada peniaga-peniaga yang tipu atau janji kontraktor yang tak jujur.
Janji siap dalam masa dua tahun tetapi dah masuk dua puluh tahun pun tak siap lagi.
Tak kira janji orang politik lagi.
Realiti orang politik zaman kita hari ini semuanya bohong, kecuali saja terbukti dia betul, baru boleh dipercayai.
Sepatutnya orang mukmin ni semuanya benar, kecuali terbukti bohong – tetapi sekarang ini terbalik.
Janji mereka tak boleh pakai lagi, sehingga dia buktikan dia buat, barulah betul.
Jangan marahlah kita sebut hakikat sebenar. Setengah jemaah ni bila sebut bab politik, terus koyak.
Kita cakap siapa saja, siapa saja yang janji tak betul, inilah sifat dia. Jangan buat main-main.
Itu dia panggil benda yang rosak, kerosakan yang berlaku sebab kita yang jadikannya pelik. - Ayat 54- {… dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.}
Ismail ini adalah seorang nabi & rasul – ini adalah sifat ketiganya dalam kisah ini.
Walaupun Ismail tidak termasuk dalam kalangan rasul Ulul-Azmi yang 5 itu, dia tetap mempunyai kedudukan yang tinggi.
Kata ulama' seperti al-Baidhawi: Ayat ini menjadi dalil bahawa tidak menjadi syarat untuk seorang rasul itu mempunyai kitab atau Syari'ahnya yang sendiri yang Allah turunkan!
Anak-anak Ibrahim semuanya sebagai seorang rasul ikut Kitab & Syari'ah yang diturunkan kepada bapa mereka Ibrahim.
Ismail adalah seorang rasul juga seorang nabi juga – maka dua sifat ini ada pada nabi Ismail yang menunjukkan kedudukannya yang besar.
Kita berusahalah agar sentiasa berada di atas landasan yang benar, yang dibawa oleh para nabi & rasul a.s. - Ayat 55- {Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat…}
Nabi Ismail ambil berat dan cakna akan keluarganya dengan menyuruh mereka agar menjaga solat & mengeluarkan zakat.
Kita berpeganglah dengan perintah Allah ini:- {Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.} [Asy-Syu'araa': 214].
- {Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala);} [At-Tahrim: 6].
Nabi Ismail telah menunjukkan model dan contoh yang amat besar iaitu ikut perintah Allah untuk jaga keluarga & keturunannya supaya jaga solat!
- Ayat 55- {…dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!} – sifat Ismail lagi ialah dia seorang yang diredhai Allah!
Apabila seorang hamba itu mempunyai sifat yang mulia dan besar seperti jaga tauhid, jujur, menjaga janji, jaga solat jaga keluarga, berdakwah kepada umatnya dan lain-lain kebaikan; maka dia akan diredhai Allah s.w.t.
Ini adalah kemuncak pujian Allah ke atas Ismail.
Apabila seseorang itu diredhai Allah – dia akan mendapat kelebihan yang besar.
Apabila kita masuk ke dalam syurga nanti – amin ya Rabb – Allah telah beri bermacam nikmat kemudian Allah tanya lagi wahai ahli syurga apa lagi yang kamu mahu!
Ahli syurga terkejut dan menjawab: “Ya Rabbi, apa lagi yang kami mahu?
Semua sudah ada, tidak ada apa lagi yang kurang.”
Ketika itu Allah Taala membuka hijab-Nya.
Ahli syurga dapat melihat Allah ‘Azza wa Jalla. Kemudian Allah Taala menyatakan bahawa kamu semua yang berada di dalam syurga ini mendapat keredhaan Allah ‘Azza wa Jalla-
{“Aku telah redha kepada kamu, maka selepas ini Aku tidak akan murka kepada kamu selama-lamanya.”}
Kata para ulama, begitu tingginya darjat dan nikmat yang diperolehi oleh ahli syurga.
Selain daripada segala nikmat yang tersedia di dalam syurga, ada nikmat yang jauh lebih besar, iaitu nikmat dapat memandang wajah Allah سبحانه وتعالى dan mendapat keredhaan-Nya.
Sebagaimana firman Allah lagi:
{“Dan dia adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya.”}
Jadi, kita berdoa kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sifat-sifat-Nya Yang Maha Tinggi dan nama-nama-Nya Yang Maha Indah, supaya Allah Taala memasukkan kita ke dalam syurga.
Semoga Allah Taala menganugerahkan kepada kita nikmat dapat memandang wajah-Nya dan semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang diredhai oleh-Nya di dunia dan di akhirat.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. Insya-Allah, kita sambung lagi esok dengan kisah yang seterusnya iaitu kisah nabi Allah Idris.
Wallahu a’lam.
Tandakan selesai dibaca
Simpan nota
Ikut siri ini
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.