Surah Maryam: Ayat 34-36
Demikianlah Sifat Nabi 'Isa A.S, Perintah Kun Fayakun & Sembahlah Allah S.W.T Dan Ikuti Sirat Al-Mustaqim
Demikianlah Sifat Nabi 'Isa A.S, Perintah Kun Fayakun & Sembahlah Allah S.W.T Dan Ikuti Sirat Al-Mustaqim

Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 34 sehingga ayat 36 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan demikianlah sifat Nabi 'Isa A.S, jika kamu nak kenalnya seperti dia nyatakan sendiri dalam al-Quran jangan cari atau reka yang lain.
- Serta jangan sesiapa kata Isa adalah anak Tuhan kerana Allah itu tidak beranak & tidak diperanakkan {لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ}.
- Allah juga nyatakan kekuasaan-Nya apabila hendakkan sesuatu – Allah akan perintahkan: kun fayakun – jadi maka jadilah ia!
Maka kita hendaklah sembah Allah S.W.T dan ikutlah Sirat Al-Mustaqim iaitu jalan yang lurus! - Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang Nabi Isa yang menyatakan sendiri tentang 9 sifatnya yang ada dalam ayat-ayat ini;
- maka datang ayat ini Allah nyatakan itulah sifat Nabi Isa a.s yang sebenarnya jangan kamu ragu-ragu atau cari yang lain, yang tidak benar!
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 34 ذَٰلِكَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ ۚ قَوْلَ الْحَقِّ الَّذِي فِيهِ يَمْتَرُونَ ﴿٣٤﴾ {Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.} [Maryam 19:34]
- Allah menegaskan yang demikian itulah sifat Nabi Isa bin Maryam yang sebenarnya, yang begitu besar & tinggi kedudukan dan keperibadiannya!
Sebagaimana yang disifatkannya sendiri dalam ayat-ayat yang lepas. - Keterangan itulah yang sebenarnya – janganlah kamu ragu, waswas dan cari atau berikan sifat yang lain yang tidak benar kepadanya!
Isa anak kepada Maryam, seorang manusia hamba Allah yang dilantik menjadi rasul Allah.
Bukan seperti yang didakwa:- yahudi kata anak tak sah taraf;
- nasrani pula kata anak Tuhan!
- Nota [807] Yakni perihal Nabi ‘Isa a.s yang telah diceritakan oleh Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lalu, itulah yang sebenar-benarnya, bukan seperti didakwakan oleh kaum Yahudi dan kaum Kristian atau puak-puak sesat yang lain.
- Siapakah Isa ini – sedikit tentangnya sebagaimana dalam tafsir al-Munir:
- ia adalah seorang hamba Allah dan rasul pesuruh-Nya- dan roh dari Allah Azza wa Jalla yang Allah anugerahkan kepada Maryam dengan kalimah {kun} yang Allah campakkan kepadanya.
- dia merupakan nabi terakhir dari kalangan bani Israil.
- namanya Isa (عيسى) di dalam Islam.
*Manakala di kalangan yahudi dikenali sebagai Yeshua;
**atau sebagai Yesus dari Nazareth (Jesus of Nazareth) atau Yesus Kristus (Jesus Christ) di kalangan Nasrani. - Allah sebut Isa dalam al-Quran dengan beberapa lafaz seperti al-Masih (المسيح) kerana tangannya seolah magic, apabila disapu tangannya boleh menyembuhkan beberapa penyakit tertentu.
- nabi Isa & Nabi Yahya adalah dua orang nabi yang dipercepatkan kenabiannya.
Biasanya nabi lain apabila sampai umur 40 tahun tetapi dua orang ini lebih awal lagi. - nabi Isa belum mati, sekarang berada di langit akan turun sebagai salah satu tanda besar Kiamat dengan izin Allah s.w.t.
- Di dalam al-Quran; nama nabi Isa disebut dalam 13 surah, di dalam 33 ayat.
Dalam surah al-Baqarah saja ada banyak kali namanya disebut. - Begitulah Allah uji setiap kaum itu dengan sesuatu yang menjadi kecenderungan atau kegilaan mereka pada waktu itu – Contoh:
- Nabi Musa diberi mukjizat tongkat yang boleh berubah seolah sihir yang menjadi kegilaan kaum Fir'aun pada masa itu.
- manakala Nabi Isa yang dikatakan mereka sebagai anak Tuhan – Allah beri mukjizat dapat memberitahu apa perbuatan orang, menyembuhkan penyakit, menghidupkan orang mati buat sementara dan sebagainya!
Ini membuatkan mereka bertambah yakin dia adalah anak Tuhan. - zaman Nabi Muhammad s.a.w pula manusia cintakan dan agungkan sastera dan bahasa lalu Allah bawakan al-Quran begitu indah & tinggi bahasanya sehingga tidak dapat dicabar oleh sesiapapun!
- Apakah maksudnya perkataan yang benar {قَوْلَ ٱلْحَقِّ} dalam ayat ini?
Terdapat beberapa pandangan ulama' tentangnya:- sesuatu yang benar, yang berlawan dengan yang batil atau palsu.
Seperti firman Allah ini:
{Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Quran), padahal ia adalah benar- [Al-An’am: 66]. - dengan makna kata-kata Tuhan yang benar & yang jelas.
Kerana salah satu nama Allah yang indah ialah al-haq (ٱلْحَقُّ).
Seperti firman Allah ini:
{… bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya- أَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْحَقُّ ٱلْمُبِينُ.} [An-Nur: 25].
- sesuatu yang benar, yang berlawan dengan yang batil atau palsu.
Ayat 35 مَا كَانَ لِلَّهِ أَن يَتَّخِذَ مِن وَلَدٍ ۖ سُبْحَانَهُ ۚ إِذَا قَضَىٰ أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُن فَيَكُونُ ﴿٣٥﴾ {Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: "Jadilah engkau", lalu menjadilah ia.} [Maryam 19:35]
- Munasabah ayat ini jelas:
- apabila Allah nyatakan sifat nabi Isa sebagai hamba Allah & Rasul-Nya.
- maka datang ayat ini Allah s.w.t sucikan dan bersihkan dirinya sendiri daripada sifat yang lemah & tidak layak dengan kesempurnaan Allah s.w.t iaitu inginkan zuriat & keturunan.
- Allah menegaskan bahawa sesekali tidak layak bagi Allah untuk mempunyai anak.
Maha suci Allah daripada sifat lemah dan kekurangan ini! - Ini kerana ia adalah satu sifat yang lemah, hanya kita manusia yang memerlukan dan menginginkan anak untuk menolong membantu kita nanti.
Memerlukan orang lain menunjukkan kelemahan. - Maha Suci Allah daripada apa yang didakwa oleh golongan kafir yang sesat yang berebut nak berikan anak kepada Tuhan:
- seperti puak Nasrani yang kata Isa anak Tuhan.
- yahudi kata Uzair anak Tuhan.
- kafir musyrikin Makkah pula kata malaikat anak perempuan Tuhan!
- Nota [808] Yakni Allah Ta’ala yang demikian sifatNya dan kekuasaanNya, maha Sucilah Ia daripada anak-pinak sebagaimana yang didakwakan oleh orang-orang kafir itu.
- Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).} [An-Nisaa: 171] Banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menafikan dakwaan ini seperti ayat di akhir surah Maryam ini:
{وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَٰنُ وَلَدًا ﴿٨٨﴾}
{Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak."}
{لَّقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا ﴿٨٩﴾}
{Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!}
{تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا ﴿٩٠﴾}
{Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, -}
{أَن دَعَوْا لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدًا ﴿٩١﴾}
{Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.}
{وَمَا يَنبَغِي لِلرَّحْمَٰنِ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا ﴿٩٢﴾}
{Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak.} [Maryam: ayat 88-92]
- Kemudian apabila Allah s.w.t nak buat sesuatu – Allah akan berfirman memerintahkan kepada benda itu Kun {كُن} maka jadilah {فَيَكُونُ}.
Sebagaimana Allah nak cipta Isa ini tanpa bapa amatlah mudah baginya – apabila Allah kata jadi maka jadilah ia! - Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{إِنَّ مَثَلَ عِيسَىٰ عِندَ ٱللَّهِ كَمَثَلِ ءَادَمَ ۖ خَلَقَهُۥ مِن تُرَابٍۢ ثُمَّ قَالَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ.}
{Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia.} [Aal Imran: 59]
Ayat 36 وَإِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ ۚ هَٰذَا صِرَاطٌ مُّسْتَقِيمٌ ﴿٣٦﴾ {Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan yang betul - lurus".} [Maryam 19:36]
- Ayat ini adalah penegasan dan penafian Nabi Isa a.s terhadap mereka, kaumnya yang mendakwa dia anak Tuhan dan sebagainya kepercayaan yang sesat & karut.
Ini adalah kata-kata nabi Isa ketika dia masih di dalam buaian, masih bayi tadi. - Nota [809] Yakni Nabi ‘Isa a.s menegaskan demikian kepada kaumnya.
- Nabi Isa berdakwah, berceramah kepada kaumnya bahawa:
- Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku;
- dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia;
- inilah jalan yang betul – yang lurus yang wajib kita ikuti!
- Nabi Isa berdakwah lagi bahawa sesiapa yang ikut jalan yang lurus ini maka dia akan selamat; manakala siapa yang menyeleweng dari jalan dia akan sesat & terpesong!
- Maka kita tunggulah kedatangan Nabi Isa di akhir zaman nanti dan lihat siapa yang membunuh Dajjal!
Kita telah bincangkannya dalam Tafsir surah al-Kahfi dulu dan boleh baca buku ini untuk kisah Dajjal dan tanda Kiamat: DAJJAL: Hakikat dan Jalan-jalan Kejayaan daripada Fitnah Dajjal - Manakala kitab yang ada di tangan nasrani sekarang seperti Bible dan seumpamanya itu; kita kata bukan kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa dulu – ia adalah kitab yang tak tahu dari mana asal dan sumbernya!
Kebanyakan adalah rekaan tulisan pendeta-pendeta mereka setelah ketiadaan Nabi Isa a.s.
Penutup & Faedah
Ayat 34- {Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.} – inilah sifat Nabi Isa a.s yang sebenarnya.
Jika kamu nak kenal siapa nabi Isa maka kamu bacalah sifatnya sepertimana yang disifatkannya sendiri di dalam al-Quran.
Ayat ini datang untuk menguatkan ayat semalam yang menyatakan sifat Nabi Isa a.s.
Sifat Nabi Isa yang sebenar hanya seperti yang disifatkan Allah di dalam al-Quran- hanya itulah yang benar dan yang tidak ada sebarang keraguan padanya!
Manakala apa yang didakwa oleh puak yahudi bahawa Isa adalah anak tak sah taraf & dakwaan Nasrani bahawa Isa adalah anak Tuhan; semua itu adalah fahaman sesat & batil!
Maka kita sebagai orang yang beriman – jangan syak ragu sesekali – bahawa Isa adalah seorang manusia biasa yang dilantik menjadi rasul yang istimewa.
Ini adalah perkataan yang benar yang tiada sebarang keraguan baginya!- Ayat 35- {Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia.} – ayat ini nak menetapkan makna kita sebagai hamba kena mengabdikan diri kepada Allah dan hanya menyembah Allah!
Nabi Isa juga hamba Allah cuma Allah beri dia mukjizat dan dilahirkan dengan keadaan yang begitu pelik iaitu tanpa seorang bapa.
Ayat ini menguatkan lagi ayat yang sebelumnya – jangan ada sebarang keraguan bahawa Tuhan ada anak – kerana Allah telah menafikannya dengan segala penafian yang boleh kita lihat di dalam al-Quran.
Ini adalah satu tuduhan atau dakwaan yang sangat dahsyat! - Ayat 35- {Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: "Jadilah engkau", lalu menjadilah ia.} – yakni Allah yang Maha Berkuasa – apabila Allah nak buat sesuatu lalu Dia berkata jadi {كُن} maka jadilah ia {فيكون}.
Kadang-kadang puak ajaran sesat ambil ayat ini dan tafsirkannya ikut nafsu mereka!
Jika kita kaji tentang Allah dan kuasa Allah dengan otak & logik akal kita-kita akan jadi manusia yang pening & bingung!
Macamana kita nak faham tentang Allah melalui otak kita!
Kita boleh faham tentang Allah melalui wahyu dari Allah yang disampaikan kepada Nabi s.a.w.
Kita dapat melihat kekuasaan dan keagungan Allah melalui makhluk-makhluk-Nya.
Begitu juga apabila menghendaki sesuatu Allah akan melakukannya – Jadi maka jadilah- {قَالَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ} yakni terjadi terus perkara yang Allah kehendaki itu dalam masa yang sama, bukan kata kena tangguh atau kena tunggu dulu! - Ayat 36- {Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan yang betul - lurus".}
Nabi Isa kata sesungguhnya Tuhan aku & Tuhanmu adalah Allah!
Kita lihat dalam ayat ini Nabi Isa guna kalimat Rabb untuk Allah- {وَإِنَّ ٱللَّهَ رَبِّى وَرَبُّكُمْ} sebagai Tuhanku & Tuhanmu. Kenapakah?
Jawapannya kata ulama':
Perkataan Rabb membawa erti Tuhan Pencipta alam ini, Pentadbir, Pengatur dan penyusun alam & hidup kita!
Apabila Tuhan yang susun dan atur sendiri maka pastilah lebih teratur tersusun dan ada matlamat hidup kita!
Jika kita memikirkan dengan otak atau logik akal kita bukan dengan wahyu Allah maka kita akan jadi manusia yang pening & kebingungan dan kita tidak akan bertemu dengan jawapannya.
Maka tak perlu kita fikir semua yang tidak membawa manfaat dan kebaikan tetapi kita fikirkan bagaimana kita nak mengabdikan diri kepada Allah sebagaimana sepatutnya seperti yang Allah nak kita sembah Allah dengan sebenarnya. - Ayat 36- {… inilah jalan yang betul - lurus"- هَـٰذَا صِرَٰطٌۭ مُّسْتَقِيمٌۭ}
Allah kata inilah yang lurus, inilah jalan yang benar!
Ini {هَـٰذَا} menunjukkan dekat saja dengan kita.
Yakni selepas menceritakan tentang Nabi Isa itu siapa, kuasa Allah itu bagaimana; maka kamu tak perlu pergi jauh lagi – inilah jalan yang benar – ada dekat kita di sini!
Untuk nabi Isa Allah kata itulah!
Ini kerana Nabi Isa bukan pada zaman kita ini tetapi zaman dulu yang telah jauh!
Dalam ayat ini Allah guna {ذَٰلِكَ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ ۚ} iaitu itu {ذَٰلِكَ} kata isyarat menunjukkan jauh daripada ini.
Kata ulama' tadabbur: Kata isyarat atau kata tunjuk ini ada dua keadaan sama ada menunjukkan kepada dekat atau jauh!
Jalan yang lurus pula {صِرَٰطٌۭ مُّسْتَقِيمٌۭ} – ialah jalan yang benar iaitu pegangan yang benar yang ada di depan mata kita – kamu jangan pergi lain.
Perjalanan hati kita menuju kepada Allah dengan hati seolah perjalanan dengan kaki yang melangkah secara fizikal!
Jika kita tak jumpa jalan langkah kita tak akan sampai ke destinasi.
Marilah kita semua duduk di atas jalan yang benar ini.
Jalan yang benar ialah jalan atau ajaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w.
Jangan dok cari yang pelik-pelik yang tidak diajar oleh Nabi s.a.w tetapi yang direka dikorek cari entah dari mana!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.