← Surah Maryam
· Nota 16/16 · Ayat 64–65
Surah Maryam: Ayat 64-65
Jibrail Turun Dengan Arahan Allah S.W.T, Tuhan Tidak Lupa & Sabarlah Beribadat Kepada-Nya
Jibrail Turun Dengan Arahan Allah S.W.T, Tuhan Tidak Lupa & Sabarlah Beribadat Kepada-Nya

Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 64 sehingga ayat 65 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang tugasan malaikat Jibrail iaitu dia turun ke bumi hanya dengan arahan Allah s.w.t.
Dia tidak akan turun saja-saja atau suka-suka kecuali dengan perintah Allah. - Kemudian Allah nyatakan bahawa Dia-lah Pencipta, Pemilik, Pentadbir dan pengatur alam ini!
Serta Tuhan sesekali tidak lupa jika malaikat tidak turun itu bukan sebab lupa tetapi kerana Allah tak beri arahan. - Oleh kerana Allah adalah Pemilik langit & bumi ini serta apa di antara keduanya – maka kamu sembahlah Allah yang Esa serta bersabarlah dalam beribadat kepada-Nya, sabar dalam melakukan tanggung-jawab dan taklif.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang cerita beberapa orang nabi seperti Nabi Zakaria & Yahya, Isa dan ibunya Maryam, Ibrahim, Musa, Ismail & Idris – untuk apa disebut – untuk menguatkan semangat Rasulullah s.a.w bagi berdepan dengan kaumnya yang keras kepala tak dengar kata.
Allah sebut tentang anugerah-Nya yang besar kepada para rasul-Nya a.s.
Kemudian Allah sebut sekumpulan manusia yang melanggar perintah Allah & melanggar dakwah nabi mereka – secara total atau langgar separuh – semua itu untuk menyatakan kepada Quraisy bahawa semua itu berlaku dengan kuasa Allah s.w.t. - kemudian datang ayat ini Allah nyatakan sebab kelewatan turunnya wahyu kepada Nabi s.a.w untuk menguji Baginda s.a.w seperti dalam kisah surah al-Kahfi.
Serta antara kisah yang menyayatkan hati ialah kisah Hadis al-Ifki (fitnah) terhadap UM Sayyidah Aisyah r.a. Sebulan wahyu tak turun sedangkan pada waktu itu Nabi s.a.w begitu mengharapkan turunnya wahyu bagi membersihkan tuduhan jahat terhadap isterinya yang tercinta.
Ini untuk menegaskan bahawa wahyu dan malaikat Jibril turun dengan kuasa dan kehendak Allah s.w.t- bukan sebab Nabi s.a.w mengkehendakinya!
Juga kerana Allah s.w.t mahu mengangkat darjat Sayyidah Aisyah bahawa Allah sendiri yang membersihkan namanya & membebaskan tuduhan terhadapnya bukan manusia biasa.
Tetapi celakanya, setelah Allah sendiri yang memuliakan Sayyidah Aisyah – datang golongan Syiah yang mulut busuk mencerca dan menuduh Ummul Mukminin dengan pelbagai tuduhan jahat!
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang cerita beberapa orang nabi seperti Nabi Zakaria & Yahya, Isa dan ibunya Maryam, Ibrahim, Musa, Ismail & Idris – untuk apa disebut – untuk menguatkan semangat Rasulullah s.a.w bagi berdepan dengan kaumnya yang keras kepala tak dengar kata.
- Sebab Nuzul ayat:
- Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bertanya kepada Jibril, “Mengapa engkau tidak mengunjungi kami lebih sering?”
Maka turunlah ayat ini, “Dan tidaklah kami (Jibril) turun, kecuali dengan perintah Tuhanmu.” (Riwayat Al-Bukhari) - Riwayat dari Ibnu Abbas juga bahawa ketika orang-orang Quraisy bertanya tentang Ashabul Kahfi, Rasulullah s.a.w selama lima belas hari menunggu tapi Allah tidak menurunkan wahyu sama sekali.
Maka apabila Jibril datang, Baginda s.a.w berkata kepadanya, “Lama sekali engkau baru datang!”
Lalu ia menyebutkan kisah di atas iaitu jawapan Jibril dalam ayat ini.
- Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bertanya kepada Jibril, “Mengapa engkau tidak mengunjungi kami lebih sering?”
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 64 وَمَا نَتَنَزَّلُ إِلَّا بِأَمْرِ رَبِّكَ ۖ لَهُ مَا بَيْنَ أَيْدِينَا وَمَا خَلْفَنَا وَمَا بَيْنَ ذَٰلِكَ ۚ وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا ﴿٦٤﴾ {Dan (berkatalah malaikat): "Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad) [831]; Dia lah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, -} [Maryam 19:64]
- Ayat ini adalah jawapan malaikat Jibril yang Allah perintahkannya untuk menjawab kepada soalan Nabi s.a.w kenapa dia lama tidak turun dan membawa wahyu.
- Jibril mengatakan bahawa kami para malaikat tidak akan turun dari semasa ke semasa kecuali dengan perintah Allah s.w.t.
Kami hanyalah hamba yang menurut perintah Allah – kami tiada kuasa apapun sekadar pelaksana perintah Allah.
Maka kamu jangan rasa lambat atau dilupakan. - [831] Pada suatu masa Nabi Muhammad s.a.w bersusah hati kerana lama menunggu turunnya wahyu yang telah terhenti turunnya dari biasa, sehingga kaum musyrik mengejeknya dan mengatakan Tuhan telah membencinya.
Tidak lama kemudian turunlah malaikat Jibril menerangkan kepada Baginda bahawa ia turun dari semasa ke semasa membawa wahyu kepadanya ialah setelah ia diperintahkan oleh Allah Ta’ala yang menguasai segala-galanya, bukan sebagaimana yang dikatakan oleh kaum kafir musyrik itu. - Kata Ibnu Asyur rhm: Tidak syak lagi; Soalan Nabi s.a.w kepada Jibril menamatkan kisah nabi-nabi yang Allah ceritakan dalam surah ini.
Ayat ini turun memberi ketenangan kepada Nabi s.a.w bahawa malaikat turun dengan perintah Allah. Tertib susunan ayat ini adalah sebagaimana yang diberitahu oleh Jibril a.s & Nabi s.a.w mengajar kepada para sahabat yang menyusun ayat-ayat al-Quran. - Ayat ini menyatakan bahawa bagi Allah-lah kekuasaan segenap sudut & tempat.
Dia lah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang di antara itu; - Ulama' menafsirkan maksudnya ayat ini
iaitu apa yang ada sekarang, yang kita sedang hadapi – apa yang telah berlaku yang telah lepas & apa yang akan datang iaitu pada hari Kiamat nanti – semuanya dibawah kuasa & ilmu Allah s.w.t!
*Ada juga ulama' menafsirkan dengan makna waktu antara tiupan dua serunai sangkakala! - Apapun tafsirannya; Yakni semua yang ada di langit dan bumi ini di bawah kuasa & ilmu Allah tiada siapa boleh lari & keluar dari kuasa Allah!
Kerana itu dikatakan jika kamu derhaka tak mahu ikut perintah Allah – maka kamu pergilah cari bumi lain yang bukan kepunyaan Allah! - Kemudian Allah tegaskan bahawa: {…dan tiadalah Tuhanmu itu lupa}.
Yakni jika wahyu lambat turun pun; bukan kerana Tuhan lupakan kamu sebagaimana dakwaan puak kafir Quraisy itu tetapi kerana Allah nak angkat darjat Nabi s.a.w dan nak uji manusia.
Mereka mula memerli mengata Nabi s.a.w bahawa Tuhan & malaikat sudah lupakannya!
*Kerana itulah jika orang ditimpa ujian atau susah kita jangan sesekali memerli dan mengata tetapi kena pakat tolong dan beri sokongan.
Ingatlah dunia ini berputar. - Maka Allah tegaskan bahawa Allah sesekali tidak akan lupa dan biarkan Baginda s.a.w- bahkan tetapi kerana adalah hikmah yang Allah mahukannya begitu.
Allah sentiasa jaga & ingat akan Nabi s.a.w maka kamu jangan sedih dan dukacita!
Tuhan nak begitu maka begitulah keadaannya! - Ini sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Nabi Musa menjawab: "Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, tertulis di dalam sebuah Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan Ia juga tidak pernah lupa".} [Taha: 52].
Ayat 65 رَّبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا فَاعْبُدْهُ وَاصْطَبِرْ لِعِبَادَتِهِ ۚ هَلْ تَعْلَمُ لَهُ سَمِيًّا ﴿٦٥﴾ {"Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadaNya; adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding denganNya?"} [Maryam 19:65]
- Munasabah ayat ini jelas:
- apabila Allah s.w.t disifatkan sebagai pemegang kuasa mutlak dalam alam ini serta tiada sesuatu perkara yang akan berlaku tanpa izin & kehendak-Nya;
- maka datang ayat ini menyatakan bahawa ilmu Allah & kuasa Allah tiada selain-Nya, maka tiada yang berhak disembah kecuali Allah yang Maha Berkuasa itu!
Jangan dok cari yang karut-marut selain Allah.
- Allah – Tuhan yang mencipta langit & bumi serta Pemilik keduanya serta Tuhan bagi apa yang ada di antara keduanya!
- Semua itu di bawah kuasa & ilmu Allah – jika Tuhan lupa pasti akan rosak & binasa banyak makhluk!
Allah tidak akan lupa – selagi hayat dikandung badan, selagi ada nyawa – rezeki setiap makhluk itu pasti ada. - Maka Allah perintahkan kepada kita untuk sembah beribadat Allah dengan ikhlas, murnikan tauhid kepada Allah – sabar atas segala taklif – tanggung-jawab yang Allah kenakan ke atas kita.
Kerana Allah itu tidak ada perbandingan & perumpamaan yang sebanding dengan-Nya dalam sifat & nama-Nya.
Maka hanya Allah yang memiliki nama-nama yang indah (الأسماء الحسنى) dan sifat-sifat yang tinggi! - Maka Allah perintahkan kepada kita kena tutup dan pegang ayat ini dalam berinteraksi dan membincangkan tentang sifat & nama-nama Allah agar tidak keliru:
- {Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya)- لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌۭ ۖ} [Asy-Syura: 11].
- {"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya"- وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ} [Al-Ikhlas: 4].
*Inilah yang kita kena letak di depan mata apabila kita membincangkan tentang Allah & sifat-Nya.
- Ayat-ayat Allah itu turun untuk kita fahami bukan untuk dijadikan polemik!
Apabila bercakap tentang hak Allah kita kena yakin bahawa itu hak Allah bukan hak kita baru kita tidak akan pening & keliru!
*Jika kita ikhlas belajar insya' Allah kita akan faham & tidak akan keliru.
Penutup & Faedah
- Ayat 64- {Dan (berkatalah malaikat): "Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad)…}
Allah ceritakan jawapan malaikat kepada Nabi Muhammad s.a.w menyatakan bahawa mereka tidak turun kecuali dengan perintah Allah s.w.t!
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr r.a:
Rasulullah S.A.W pernah menangis di hadapannya, Abdullah bin Amr bin al-Ash ketika membaca Surah Ibrahim ayat 36: "Sesungguhnya berhala tersebut banyak menyesatkan manusia dan siapa yang mengikutiku mereka adalah golonganku."
Rasulullah kembali menangis ketika membaca ayat Allah yang lain, "Jika Engkau mengazab mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu. Dan jika Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Engkau memang Maha Pengampun lagi Maha Bijaksana." (Al-Maidah: 118)
Kemudian Rasulullah S.A.W mengangkat tangan sambil menangis.
Baginda mengatakan, "Ya Allah, umatku… umatku…!"
Akhirnya Allah S.W.T mengutus Malaikat Jibril untuk menemui Nabi Muhammad, menanyakan mengapa dirinya menangis.
Jibril pun datang menemui Nabi S.A.W dan menanyakan apa yang membuatnya menangis. Jibril pun mengetahui alasannya lalu naik kembali mengadap Allah dan Allah S.W.T mengatakan:
"Jibril, datang temuilah Muhammad S.A.W. Katakan kami akan membuatnya redha dengan apa yang kami takdirkan untuk umatnya dan kami tidak akan menzalimimu." (HR Muslim)
Ini menunjukkan bahawa malaikat Jibril itu boleh turun naik bila-bila masa saja dengan kehendak Allah!
Timbul persoalan:- Dalam ayat 63 yang lepas Allah berfirman bahawa: {Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami.} [Maryam 19:63]
- maka dalam ayat 64 ini pula tentang kata-kata Jibril: {Dan (berkatalah malaikat): "Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad)}
Bolehkah kita nak sambung (‘atafkan) kata-kata makhluk kepada kata-kata Allah tanpa ayat pemisah?
Kata ulama': Semua ini adalah ayat-ayat Allah semuanya – Allah yang firmankan cuma dalam ayat ini Allah ceritakan kata-kata malaikat.
Kata Ibnu Asyur rhm: Jika susunan ayat itu jelas zahir pemisah antara dua kata-kata itu tiada masalah.
Yakni sepertimana dalam ayat sebelumnya: - ini adalah kata-kata Allah: {Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: "Jadilah engkau", lalu menjadilah ia.} [Maryam 19:35]
- kemudian ayat selepasnya datang kata-kata Nabi Isa a.s: {Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan yang betul - lurus ".} [Maryam 19:36]
Yakni kata ar-Razi juga: Jika zahir qarinah tak jadi masalah walaupun ini kata-kata Allah; ini hikayat dari Allah kepada kata-kata hamba-Nya seperti ayat kita – kata-kata Jibril dan ayat 36 sebelumnya dari kata-kata Nabi Isa a.s.
- Ayat 64- {Dia lah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa,-} – bagi Allah segalanya – yang lepas yang akan datang yang sedang berlaku sekarang – semuanya duduk di bawah kuasa Allah.
Maka berdalilkan ayat ini ulama' menyatakan bahawa masa itu terbahagi kepada tiga:- yang telah lepas (past- الماضي)- tidak akan berulang atau berlaku lagi.
- yang sedang berlaku sekarang (present- الحاضر).
- yang akan datang (future- المستقبل)- belum berlaku lagi.
Kerana benda ghaib tiada siapa yang tahu kecuali Allah s.w.t!
Maka sesiapa yang mengaku perkara ghaib maka dia dikira telah melanggar hak Allah s.w.t!
Hadis – Nabi S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang mendatangi tukang tilik lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu maka tidak diterima darinya solat selama empat puluh malam.” (HR Muslim)
*Ini baru pergi tanya – tak tahu lagi nak percaya atau tidak, manakala jika percaya pula:
Nabi s.a.w bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang mendatangi tukang tilik lalu membenarkan kata-katanya maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad.” (HR Bazzar)
Ini kerana semua perkara ghaib & akan datang ini kita hanya tahunya melalui ilmu Allah yang diturunkan melalui wahyu-Nya kepada Nabi s.a.w.
Semua di bawah ilmu Allah, jangan ada sesiapa yang tunjuk pandai.
- Ayat 64- {… dan tiadalah Tuhanmu itu lupa,-} – Yakni Allah nyatakan jika wahyu tertunda kamu jangan susah hati wahai Muhammad s.a.w.
Jika wahyu terlambat sedikit jangan bimbang kerana ada hikmahnya yang Allah kehendaki bukan kerana Allah lupa!
Sama seperti bila kita ada masalah atau ditimpa susah – kemudian berdoa merayu bermunajat kepada Allah – tapi belum lagi dapat pertolongan Allah! Maka jangan kata lambatnya, Allah tak terima tak makbul doa kita – ada hikmahnya.
Kerana Allah nak dengar kita merayu merintih angkat tangan memohon dengan penuh khusyuk dan ikhlas kepada-Nya, bermunajat Allah.
Setiap kali kita angkat tangan berdoa: Ya Rabb – kita akan dapat pahala.
Allah angkat darjat – bila kita sabar akan dapat banyak pahala!
Allah menegaskan bahawa Allah sesekali tidak lupa – semua ada bajet & dalam kira-kira cuma waktu belum sampai lagi!
Persoalan pula:- dalam ayat 64 ini Allah menyatakan Allah sesekali tidak lupa.
- Tetapi kenapa dalam ayat ini Allah menyatakan Dia lupa:
{Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka.} [At-Taubah: 67].
*Apakah ada waktu tuhan lupa juga?
Jawapannya:
Ayat ini bukan makna Allah terlupa tetapi Allah biarkan mereka seolah lupakan, biarkan mereka di dalam neraka itu untuk menghadapi azab siksaan yang disediakan kepada mereka, biarkan mereka tidak mendapat kebaikan sedikit pun.
Kerana atas dunia dulu mereka lupakan Allah, lupa untuk beribadat kepada Allah dan seumpamanya.
Ini maknanya Allah biarkan mereka – bukan bermakna Allah itu lupa!
- Ayat 65- {… sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadaNya;}
Allah kata kamu beribadat kepada Allah & sabar atas tanggung-jawab itu.
Kata ulama' tadabbur – al-Qassab: Ayat ini menjadi dalil bahawa dalam ibadat & ketaatan itu ada masyaqqah atau kesusahan.
Tetapi bagi setiap kesusahan dalam ibadat itu ada hikmah yang Allah nak anugerahkan kepada kita.
*Contoh pada musim panas atau sejuk!
Tetapi semua kesusahan itu ada hikmah; Tuhan nak tengok kita istiqomah, Tuhan nak tengok kita sabar dan setara mana kita kuat!
Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam ayat ini:
{Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.} [Taha: 132].
Memang realiti – para ibu yang mahu mengejutkan anak-anak bangun solat
Maka dalam ibadat ini kena sabar – kerana apabila kata sabar – di situ pasti ada kesusahan & kepayahan.
Sabar itu ada 3 kategori:- sabar dalam melakukan ibadat;
- sabar untuk meninggalkan dosa maksiat;
- sabar dalam menghadapi ujian – ini paling besar & sering nampak biasanya.
Ya Allah bersihkan mulut kita daripada mengumpat, daripada mengata orang dan daripada asap rokok!
- Ayat 65- {… adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding denganNya?"}
Apakah kamu tahu adakah yang sebanding dengan Allah?
Jawapannya: Tidak ada sesekali – tiada yang sebanding dengan Allah.
Allah-lah Yang Maha kaya yang Maha berkuasa dan maha sempurna.
Sebagaimana firman Allah:- {Oleh itu, janganlah kamu mengadakan sesuatu yang sebanding dengan Allah, kerana sesungguhnya Allah mengetahui (setakat mana buruknya perbuatan syirik kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.} [An-Nahl: 74]
- {Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.} [Asy-Syura: 11].
Dalam ayat-ayat ini Allah mengajar kepada kita dalam memahami ayat-ayat Allah & memahami sifat-sifat Allah.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
Tandakan selesai dibaca
Simpan nota
Ikut siri ini
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.