Surah Maryam: Ayat 27-33
Maryam Bawa Balik 'Isa, Dimarah Oleh Kaumnya & Nabi 'Isa A.S Nyatakan 9 Sifatnya
Maryam Bawa Balik 'Isa, Dimarah Oleh Kaumnya & Nabi 'Isa A.S Nyatakan 9 Sifatnya

Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 27 sehingga ayat 33 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini sambungan kepada kisah Maryam selepas melahirkan anaknya.
Allah nyatakan Maryam mendukung bawa anaknya balik ke kampung atau di kalangan kaumnya! - Setibanya di sana dia disoal & dimarah oleh kaumnya yang terkejut dengan keadaannya bawa balik anak tanpa seorang bapa sedangkan dia dari kalangan keluarga yang mulia!
Maryam hanya diam tidak bercakap sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t kepadanya! - Kemudian Allah beri mukjizat kepada Nabi Isa a.s bercakap nyatakan 9 sifatnya sebagai mukjizat keajaiban yang diberikan Allah kepadanya.
Kita orang Islam percaya dengan keimanan yang jitu bahawa Isa adalah seorang manusia & rasul yang mulia yang Allah lantik. - Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kelahiran Nabi Isa a.s dengan beberapa mukjizat & karamahnya.
Maryam telah menyaksikan semua tanda, bukti kekuasaan & keagungan Allah yang menyebabkan hatinya tenang dan berani untuk kembali membawa anaknya yang ajaib itu! - maka dalam ayat ini – kembalilah Maryam membawa anaknya tanpa sembunyi lagi.
Kaumnya seperti yang dijangkanya terus menyerang, menuduh dan mengatanya tanpa soal-siasat dulu!
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kelahiran Nabi Isa a.s dengan beberapa mukjizat & karamahnya.
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 27 فَأَتَتْ بِهِ قَوْمَهَا تَحْمِلُهُ ۖ قَالُوا يَا مَرْيَمُ لَقَدْ جِئْتِ شَيْئًا فَرِيًّا ﴿٢٧﴾ {Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!} [Maryam 19:27]
- Setibanya Maryam di kalangan kaumnya dengan membawa seorang bayi iaitu anaknya Isa tanpa menyembunyikannya – dia terus ditempelak, dituduh dan dilabel oleh kaumnya.
- Pastilah mereka terkejut kerana Maryam dikenali sebagai seorang gadis suci, ahli ibadat dari kalangan kaum keluarga yang mulia dan soleh!
- Apa yang salahnya mereka terus menuduh dengan tuduhan jahat dan cepat menjatuhkan hukuman ke atas Maryam.
Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya {لَقَدْ جِئْتِ شَيْـًۭٔا فَرِيًّۭا}!
*Begitulah puak yahudi menuduh nabi Isa sebagai seorang anak zina! - Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Demikian juga (Kami laknatkan mereka) dengan sebab kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap Maryam (dengan tuduhan yang amat dustanya).} [An-Nisaa’ 4:156]
Ayat 28 يَا أُخْتَ هَارُونَ مَا كَانَ أَبُوكِ امْرَأَ سَوْءٍ وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا ﴿٢٨﴾ {"Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!"} [Maryam 19:28]
- Mereka juga mengata lagi kepada Maryam dengan memanggilnya sebagai saudara perempuan Harun.
Harun manakah ini?
Sedangkan telah dinyatakan bahawa Maryam ini dari keturunan Nabi Daud a.s. - Kata Ibnu Abbas r.a: Harun ini adalah seorang lelaki soleh & warak di kalangan bani Israil pada waktu itu.
Pada zaman Maryam itu Harun menjadi ikon bani Israil sebagai seorang yang baik & soleh! - Jadi Maryam diumpamakan seperti saudara perempuan Harun kerana dia juga dikenali seorang yang solehah, suci dan terpelihara, dari keluarga yang baik-baik!
- Nota [804] Harun ini bukan Nabi Harun a.s, tetapi seorang yang salih pada zaman itu.
Yakni wahai Maryam yang terkenal salihnya dan banyak ibadatnya seperti Harun, tidak patut engkau lakukan yang demikian, dengan melahirkan anak yang tidak berbapa. Begitulah uslub al-Quran sebagaimana firman Allah ini:
{إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ}
{Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan.} [Al-Israa’ 17:27]
Yakni apabila perbuatan atau sifat yang sama dua orang itu akan diumpamakan seolah bersaudara.
- Hadis Nabi s.a.w- Dari Mughirah bin Syu'bah r.a berkata:
'Ketika aku tiba di Najran, penduduknya bertanya kepadaku, "Kalian membaca (Quran), "Wahai saudara perempuan Harun", padahal Musa hidup sebelum Isa selama sekian dan sekian tahun."
Ketika bertemu Rasulullah S.A.W aku tanyakan hal itu dan baginda menjawab, "Sesungguhnya mereka biasa menamakan anak mereka dengan nama nabi dan orang-orang soleh yang hidup sebelum mereka." (HR Muslim) - Maka jelaslah apa yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W, bahawa nama Harun dalam ayat ini bukan Nabi Harun saudara Musa, melainkan Harun orang soleh pada zaman Maryam.
Lantaran kebiasaan mereka untuk menamakan anak-anak mereka dengan nama nabi atau nama orang soleh. - Mereka mengungkit dan mengkritik Maryam lagi dengan mengatakan: Bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!
Jadi sebagai seorang gadis dari keturunan baik-baik bagaimana kamu boleh melahirkan anak luar nikah ini? - Ini yang kita bimbang dan takut para jemaah sekalian – jika masih ada dosa-dosa yang lepas, yang masih kita bergelumang di dalamnya tidak bertaubat darinya; maka ditakuti akan ada anak-cucu dalam keturunan itu akan menjadi tak baik seperti tok nenek mereka dulu!
- Maka marilah kita bersihkan hati kita, bertaubat nasuha, tidak mahu dan meninggalkan terus semua dosa & perbuatan tidak baik itu – agar tidak menurun pula kepada anak cucu!
Semoga zuriat keturunan kita selamat daripada segala keadaan yang buruk & tidak baik! - Sedangkan Maryam ini bapanya orang soleh dan baik, ibunya juga orang solehah dan baik, maka dari mana datang perbuatan buruk itu?
Yakni mereka membuat andaian dan pelbagai kemungkinan.
Ayat 29 فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ ۖ قَالُوا كَيْفَ نُكَلِّمُ مَن كَانَ فِي الْمَهْدِ صَبِيًّا ﴿٢٩﴾ {Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): "Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?"} [Maryam 19:29]
- Mendengar pelbagai tuduhan dan cacian itu – Maryam yang telah bernazar untuk berpuasa dari bercakap hanya diam tidak menjawab segala tohmahan dan tuduhan yang dilontarkan mereka.
- Maryam kemudian menunjukkan kepada anaknya memberi isyarat agar mereka bertanya kepada anaknya!
- Kaumnya makin hairan dan marah lalu berkata: "Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?"
Kita tanya dia, dia suruh tanya anaknya pula!
Ayat 30 قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا ﴿٣٠﴾ {Ia menjawab: "Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.} [Maryam 19:30]
- Tiba-tiba bayi itu menjawab menjelaskan tentang siapa dirinya dan terus berdakwah kepada kaumnya itu!
- Nota [805] Yakni Nabi ‘Isa a.s, yang masih kanak-kanak dalam buaian, menjawab tuduhan mereka dengan petahnya.
- Jawapan Nabi Isa kepada kaumnya itu ialah:
- sesungguhnya aku ini hamba Allah {إِنِّى عَبْدُ ٱللَّهِ}.
*Masalahnya kaum nasrani yang taksub mendengarnya sebagai: sesungguhnya aku anak Allah!
Kerana itu mereka memanggil Isa sebagai anak Tuhan. - aku akan diberi kitab oleh Tuhanku iaitu kitab Injil nanti.
- Allah telah menjadikan aku seorang nabi {وَجَعَلَنِى نَبِيًّۭا}.
- sesungguhnya aku ini hamba Allah {إِنِّى عَبْدُ ٱللَّهِ}.
Ayat 31 وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا ﴿٣١﴾ {Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.} [Maryam 19:31]
- Munasabah ayat ini jelas:
- tadi Isa kata dia seorang nabi;
- maka pastilah dia seorang yang diberkati & membawa berkat kepada manusia.
Menjadi guru, pendakwah dan pembimbing kepada manusia.
- Yakni Nabi Isa menyatakan sifatnya yang seterusnya:
- sifat ketiga – dia diberkati Allah dengan membawa manfaat dan kebaikan kepada manusia sekelilingnya dengan berdakwah kepada tauhid dan menyembah Allah.
- Allah telah memerintahkannya untuk mengerjakan solat.
Bagaimana bentuk solat itu wallahu a'lam. - dan memberi zakat.
- Kata ulama' zakat yang dimaksudkan di sini ialah zakat hati dan pembersihan jiwa.
Ini kerana Nabi Isa ini tidak ada harta – setiap kali dapat harta terus disedekahkan dan dibahagikan kepada orang ramai!
Jadi mengeluarkan zakat adalah sedekah sebagai penyucian jiwa & harta adalah sifat Nabi Isa a.s.
Ayat 32 وَبَرًّا بِوَالِدَتِي وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا شَقِيًّا ﴿٣٢﴾ {"Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.} [Maryam 19:32]
- Nabi Isa menyatakan lagi sifatnya:
- sifat keenam; taat dan berbuat baik kepada ibuku.
Ini kerana pada zaman itu ramai manusia yang menderhaka kepada ibu bapa mereka. - ketujuh dia seorang yang lemah-lembut, amat sayang & menghormati ibunya.
- sifat kelapan; dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.
- sifat keenam; taat dan berbuat baik kepada ibuku.
Ayat 33 وَالسَّلَامُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدتُّ وَيَوْمَ أَمُوتُ وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا ﴿٣٣﴾ {Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)". [806]} [Maryam 19:33]
- Kemudian nabi Isa nyatakan lagi sifat istimewanya:
- iaitu Allah berikan selamat & sejahtera, limpahkan keamanan kepadanya pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).
- Ini adalah sama sebagaimana kurniaan yang diberikan Allah kepada nabi Yahya a.s.
Cuma dalam ayat tentang Nabi Yahya – Allah yang nyatakan kelebihan itu manakala dalam kisah Nabi Isa ini – dia sendiri yang menyatakan kelebihan & keistimewaannya ini! - Yakni nabi Yahya dan nabi Isa dijaga dipelihara Allah pada waktu mereka lahir lagi daripada diusik syaitan sebagaimana bayi-bayi lain.
Hadis Nabi setiap bayi akan dicucuk syaitan diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
{مَا مِنْ مَوْلُودٍ يُولَدُ إِلَّا نَخَسَهُ الشَّيْطَانُ فَيَسْتَهِلُّ صَارِخًا مِنْ نَخْسَةِ الشَّيْطَانِ إِلَّا ابْنَ مَرْيَمَ وَأُمَّهُ}
{Maksudnya: “Tidak ada seorang bayi pun yang dilahirkan melainkan ia pasti dicucuk (disentuh) oleh syaitan, lalu bayi itu akan mengeluarkan suara jeritan (menangis) disebabkan tusukan syaitan itu, kecuali (Nabi Isa) anak lelaki Maryam dan ibunya.”} [HR Bukhari & Muslim]
- Nota [806] Yakni oleh kerana Nabi ‘Isa a.s dikurniakan dengan keadaan aman dan selamat sentosa semasa ia lahir dan semasa ia mati dan juga semasa ia dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat – maka sebaliknya sekalian musuhnya dimurkai Allah dan ditimpakan dengan bala bencana sepanjang masa di dunia dan azab yang kekal di akhirat kelak.
- Ada riwayat yang mengatakan Nabi Isa a.s & Nabi kita Muhammad s.a.w berasal dari sumber tanah yang sama – maka dikuburkan di tanah yang sama – yakni mungkin mati & akan dikebumikan di Madinah juga.
Penjelasan kisah ini boleh dibaca dalam buku ini: Madinah al-Munawwarah: Kelebihan & Sejarah
Penutup & Faedah
- Ayat 27- {Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya…}
Allah nyatakan bahawa Maryam bawa balik anaknya dengan mendukungnya.
Kenapa perlu diberitahu bahawa dia mendukung anaknya itu – dah dibawa balik cukuplah!
Jawapan:- Kita sudah mendengar pelbagai karamah & mukjizat nabi Isa a.s sejak dari awal lagi jadi mungkin timbul sangkaan bahawa Isa ini sudah membesar dan bebas berjalan dan buat apa saja yang dia kehendaki!
- ini untuk menjelaskan bahawa Isa masih tetap seperti bayi lain yang biasa – masih kecil dan tidak dapat berjalan – untuk menolak gambaran orang apabila dengar Isa sudah bercakap pasti akan dapat berjalan juga.
- maka selesai masalah – jelaslah dia masih kecil seperti bayi lain cuma Allah beri mukjizat kepadanya dapat bercakap seperti orang dewasa.
Ayat 28- {"Wahai saudara perempuan Harun,…} – mereka menggelar Maryam sebagai saudara perempuan Harun – seorang yang soleh.
Kenapa jadi begitu?
Jawapannya kata ulama':- ini kerana apabila seseorang itu pernah sesuatu yang tidak baik pada zaman lampaunya maka mungkin dia akan diuji dengan perkara yang tidak baik dalam keturunannya.
- keturunan Maryam adalah keturunan yang baik & soleh, bukan keturunan orang jahat.
- perbuatan buruk oleh anak orang yang soleh dan dikenali sebagai orang baik – akan lebih buruk & teruk kesannya!
Maka orang yang baik tak boleh buat perkara yang tidak baik!
Ayat 29- {Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya…}
Maryam kerana telah bernazar untuk tidak bercakap maka dia tidak bercakap cuma memberi isyarat menunjuk kepada bayinya!- Ayat 30- {Ia menjawab: "Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.}
Nabi Isa mula bercakap dengan memperkenalkan dirinya seorang sebagai hamba Allah.
Kemudian Nabi Isa bawa 9 sifatnya dan dia mulakannya dengan tauhid kepada Allah – aku ini hamba Allah, aku dilantik sebagai seorang nabi dan akan diberi kitab Injil.
Ayat ini dari awal lagi mahu menyekat fahaman dan kepercayaan sesat manusia terhadapnya.
Tetapi apa boleh buat puak nasrani yang kufur lagi sesat tetap mengatakan Isa adalah anak Tuhan!
Begitulah dalam dakwah kita ini kena mulakan dengan tauhid sebelum yang lain!
Sembilan sifat Nabi Isa ini sebagaimana yang dia sendiri sebut di dalam ayat-ayat al-Quran ini:- sesungguhnya aku ini hamba Allah {إِنِّى عَبْدُ ٱللَّهِ}.
- aku akan diberi kitab ٱللَّهِ ءَاتَىٰنِىَ ٱلْكِتَـٰبَ oleh Tuhanku iaitu kitab Injil nanti.
- Allah telah menjadikan aku seorang nabi {وَجَعَلَنِى نَبِيًّۭا}.
- aku diberkati oleh Allah dengan membawa manfaat dan kebaikan kepada manusia sekelilingnya dengan berdakwah kepada tauhid dan menyembah Allah. وَجَعَلَنِى مُبَارَكًا
- Allah telah memerintahkan aku untuk mengerjakan solat dan memberi zakat وَأَوْصَـٰنِى بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱلزَّكَوٰةِ.
Bagaimana bentuk solat itu wallahu a'lam. - sifat keenam; taat dan berbuat baik kepada ibuku وَبَرًّۢا بِوَٰلِدَتِى.
Ini kerana pada zaman itu ramai manusia yang menderhaka kepada ibu bapa mereka. - ketujuh aku seorang yang lemah-lembut, amat sayang & menghormati ibunya وَلَمْ يَجْعَلْنِى جَبَّارًۭا
- sifat kelapan; dan Tuhan tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka dan jahat شَقِيًّۭا dalam beribadat kepadanya.
- Allah berikan selamat & sejahtera وَٱلسَّلَـٰمُ عَلَىَّ limpahkan keamanan kepadaku dalam tiga keadaan – iaitu: pada hari aku diperanakkan, pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).
*Ayat 32- {"Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.}
Nabi Isa sebut tentang berbuat baik kepada ibu (juga bapa)- kerana bani Israil pada masa itu amat tidak menghormati ibu bapa dan derhaka.
- Ayat 33- {Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).} – nabi Isa menyatakan keamanan yang Allah berikan kepadanya!
Allah berikan 3 kurniaan kepada Nabi Isa a.s sebagaimana yang diberinya kepada Nabi Yahya sebelum ini!
Mereka mendapat 3 keamanan dalam tiga keadaan – iaitu:- pada hari diperanakkan, keluar dari perut ibu ke alam baru yang asing!
- pada hari dimatikan, kita masuk kubur tinggalkan semua atas dunia ini duduk seorang diri.
- serta pada hari dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)- setiap orang tidak hirau satu sama lain masing-masing bawa diri nak selamatkan diri masing-masing.
Ini adalah semasa setiap manusia melalui perpindahan dari alam lama ke alam baru yang penuh kejutan dan huru-hara.
Kita juga berdoa Ya Allah, amankanlah kami ketika kami mati.
Amankanlah kami ketika kami keluar dari kubur. Berilah kami syafaat Nabi S.A.W dan layakkanlah kami memasuki syurga-Mu.
Amin ya Rabbal ‘alamin, ya Mujibas sa’ilin.
Kata ulama' tafsir & tadabbur: Nabi Isa hanya bercakap pada waktu itu saja – untuk menyelesaikan masalah tuduhan kaumnya kepada ibunya & menunjukkan mukjizatnya.
Selepas daripada itu Nabi Isa tidak bercakap lagi, kembali menjadi seperti bayi lain – sehingga cukup umur untuk bercakap barulah dia bercakap pula!
*Inilah analisa para ulama' tafsir, Tuhan juga tak ada ceritakan selebihnya.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga Allah memberi kita fahaman yang baik lalu mendapat faedah & berkatnya dari apa yang kita belajar.
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.