Surah Maryam: Ayat 73-76
Kaya Di Dunia Musyrikin Sangka Dia Betul, Kaum Dulu Lagi Hebat Tapi Binasa & Pengikut Hidayah Selamat
Kaya Di Dunia Musyrikin Sangka Dia Betul, Kaum Dulu Lagi Hebat Tapi Binasa & Pengikut Hidayah Selamat

Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 73 sehingga ayat 76 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan satu lagi syubhat kesamaran & kekeliruan yang dibawa oleh puak kafir – berpegang dengan kedudukan atas dunia!
Iaitu kerana mereka kaya, senang di dunia – musyrikin sangka dia betul & tanda Tuhan sayang! - Lalu Allah jawab; jangan kamu sombong & salah sangka musyrikin – kamu lihatlah kepada kaum terdahulu lagi hebat daripada kamu – tetapi mereka tetap binasa akibat kekufuran mereka!
Itu bukan kayu pengukurnya! - Di Akhirat kelak barulah kamu tahu siapa yang betul, siapa yang salah & ternyata pengikut hidayah akan selamat.
Bagi mereka pahala berterusan yang Allah sediakan. - Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan & bawa hujjah untuk menolak kefahaman yang tak betul dari golongan kafir yang menolak kebangkitan semula & apa yang berlaku pada hari Kiamat.
- maka datang ayat ini kaum musyrikin timbulkan syubhat guna hujjah akli lagi mengatakan tanda mereka benar & Tuhan sayang ialah dengan melihat kedudukan mereka di dunia ini.
Mereka terpedaya dengan kaya & senang dan kekuatan mereka dan mengatakan itu tandanya Tuhan sayang!
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 73 وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا بَيِّنَاتٍ قَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلَّذِينَ آمَنُوا أَيُّ الْفَرِيقَيْنِ خَيْرٌ مَّقَامًا وَأَحْسَنُ نَدِيًّا ﴿٧٣﴾ {Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang kafir kepada orang-orang yang beriman: "Puak yang manakah (dari kami dan kamu) yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih elok majlis perhimpunannya?"} [Maryam 19:73]
- Apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran kepada mereka; golongan yang menolak hujjah kepercayaan mereka sebelum ini – mereka menimbulkan keraguan dan syubhat lain pula!
- Mereka menggunakan hujjah aqli mengatakan kedudukan & kesenangan mereka atas dunia ini sebagai tanda bahawa mereka yang benar & disayangi Tuhan!
Bagi mereka senang & ramai itu adalah golongan yang benar manakala kaum muslimin yang sedikit & susah itu golongan yang salah! - Nota [833] Yakni tatkala kaum kafir tidak dapat menolak kebenaran hujjah yang terkandung dalam ayat-ayat Allah yang dibacakan kepada mereka, mereka berdalih dengan membanggakan kekayaannya dan bilangannya yang ramai berbanding dengan orang-orang Islam pada masa itu yang masih belum ramai dan kebanyakannya miskin belaka.
Seolah-olah mereka berkata: Kalau ugama kamu benar, hai orang-orang Islam, mengapa kamu hidup susah di dunia sedang kami senang-lenang?
Maka dalam ayat yang berikutnya, Allah Ta’ala menolak hujjah mereka yang tersebut dengan menegaskan bahawa kekayaan dan kemiskinan tidak melambangkan benar dan salah, kerana berapa banyak kaum-kaum yang lebih kaya dari mereka pada zaman yang lalu telah dibinasakan dan tidak selamat hidupnya. - Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan mereka berkata lagi: "Kami lebih banyak harta benda dan anak pinak dan kami pula tidak akan diseksa".} [Saba’: 35].
*Inilah hujjah aqli yang digunakan oleh puak kafir untuk membetulkan fahaman mereka!
Ayat 74 وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّن قَرْنٍ هُمْ أَحْسَنُ أَثَاثًا وَرِئْيًا ﴿٧٤﴾ {Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) sebelum mereka, kami telah binasakan, sedang mereka lebih elok alat-alat kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan mata.} [Maryam 19:74]
- Allah mengingatkan agar mereka jangan angkuh sombong – kamu lihatlah kepada kaum terdahulu yang juga ingkar & kafir – Allah telah binasakan mereka semuanya!
- Sedangkan mereka lebih hebat alat-alat kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan mata – yakni lebih hebat kekuatan & lebih cantik rupa paras!
- Maka hati-hatilah kamu kaum Quraisy – yang tiada empayar apapun – sedangkan puak kafir dulu amat canggih & tinggi alat teknologinya seperti kaum Ad, Thamud dan lain-lain telah hancur dek azab Allah.
- Ibnu Kathir bawa pandangan ulama' maksudnya ayat {أَحْسَنُ أَثَاثًا وَرِئْيًا} ini ialah: harta benda yang banyak, barang alatan yang hebat & pakaian serta bentuk-rupa yang elok.
Semuanya dekat-dekat & sama. - Tetapi semua itu tidak memberi manfaat & tiada nilai di sisi Allah – kerana mereka kufur terhadap Allah maka mereka dibinasakan hancur musnah – guling banting semuanya!
- Maka kita insaf & sedarlah, ambil iktibar dari ayat ini wahai jemaah sekalian – jika kaya senang, tinggi pangkat kedudukan; jangan besar kepala, tiada faedahnya kerana kita semua akan dimatikan.
- Maka orang kaya jangan sombong, orang yang tinggi kedudukan jangan angkuh, orang yang berpangkat permudahkan urusan orang bawahan!
Jika tidak kita akan dihina di hadapan Allah kelak walaupun gah di dunia!
Ayat 75 قُلْ مَن كَانَ فِي الضَّلَالَةِ فَلْيَمْدُدْ لَهُ الرَّحْمَٰنُ مَدًّا ۚ حَتَّىٰ إِذَا رَأَوْا مَا يُوعَدُونَ إِمَّا الْعَذَابَ وَإِمَّا السَّاعَةَ فَسَيَعْلَمُونَ مَنْ هُوَ شَرٌّ مَّكَانًا وَأَضْعَفُ جُندًا ﴿٧٥﴾ {Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, - sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya."} [Maryam 19:75]
- Munasabah ayat:
- dalam ayat yang lepas Allah dah sebut dalil batil yang digunakan oleh puak kafir yang menunjukkan betapa keras kepala & sesatnya mereka.
- maka Allah nyatakan di sini – mereka diberi tempoh kepada puak jahat ini supaya makin angkuh makin sombong – makin kaya makin sombong makin berpangkat makin zalim – sebagai satu istidraj.
Itu bukan tanda Tuhan sayang tetapi kerana istidraj.
- Makna istidraj ini ialah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhai-Nya tetapi:
- agar mereka makin angkuh & sombong lalu bertambah kekufuran & kejahatan.
- maka apabila tiba tempoh mereka menerima hukuman nanti – makin besar & dahsyat azabnya!
*Sebagaimana Fir'aun yang zalim Allah biarkan dia memerintah berkuasa beberapa lama.
Begitu juga para diktator yang zalim atas dunia ini Allah beri mereka panjang umur dalam kekufuran dan kesenangan dunia.
- Juga apabila puak kafir bangga dan bertanya siapakah antara kita ini lebih hebat?
Maka Allah ajar kepada Nabi s.a.w untuk mengingatkan puak kafir hidup dunia ini jangan sombong – kerana hidup atas dunia hanya sementara, jangan terpedaya dengan pangkat & dunia yang kita miliki.
Maka Allah ajar kepada kita jangan sombong, jangan angkuh – jangan terpalit dengan fahaman puak kafir ini! - Allah suruh Nabi s.a.w menyatakan bahawa sesiapa yang berada dalam kesesatan itu Allah biarkan mereka makin tenggelam dalam kesesatan & kezaliman kesombongan mereka itu untuk beberapa tempoh atas dunia ini.
Mereka bahkan makin kaya makin sihat yang menyebabkan mereka semakin lalai & lagha! - Kemudian apabila tiba tempohnya, masa sudah tamat; mereka akan melihat apa yang dijanjikan Allah itu benar-benar berlaku – sama ada azab sengsara atas dunia ini lagi ataupun azab kiamat kelak!
- Maka pada saat itu mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.
Baru mereka tahu langit itu tinggi atau rendah! Tetapi masa sudah tamat sekarang masa untuk menerima hukuman.
Ayat 76 وَيَزِيدُ اللَّهُ الَّذِينَ اهْتَدَوْا هُدًى ۗ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ مَّرَدًّا ﴿٧٦﴾ {Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk; dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.} [Maryam 19:76]
- Munasabah ayat ini jelas:
- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa orang sesat akan berterusan dalam kesesatan – bergelumang dalam kekufuran mereka.
- maka Allah nyatakan di sini – orang yang baik orang yang selamat itu ialah orang yang mendapat petunjuk dari Allah.
- Amalan yang soleh itulah yang akan berkekalan dan mendapat pahala di sisi Allah.
Maka siapa yang taat & beramal soleh akan mendapat faedah yang kekal.
Itulah ahlul-Haq- orang yang benar! - Semua yang lain pangkat kekayaan itu akan hancur tiada kesan & manfaat bagi mereka!
- Allah akan tambahkan kepada orang yang mendapat petunjuk; keyakinan & keimanan, ilmu yang memberi manfaat, taufiq dan ketetapan iman.
Banyak sekali kelebihan & manfaat orang yang taat dan bertaqwa kepada Allah S.W.T. - Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.} [Al-Kahfi: 46]. - Hadis-
Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Al-baqiyat as-solihat adalah kalimah ini:
(Hadis ini ditakhrij oleh Imam Nasa’i). - Maka pagi petang siang malam – jangan malas, mulut kita hendaklah sentiasa bergerak untuk berzikir dengan kalimah yang amat besar pahala ini.
DDAAM telah usahakan satu pamphlet Zikir Empat Kalimah untuk bacaan & amalan jemaah semua.
Ada PDF nya bagi yang jauh yang dekat boleh ambil pamphlet cetakannya.
Sila ke: abuanasmadani.com
Penutup & Faedah
- Ayat 73- {Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang kafir kepada orang-orang yang beriman: "Puak yang manakah (dari kami dan kamu) yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih elok majlis perhimpunannya?"} – apabila dibaca ayat-ayat al-Quran kepada mereka – puak kafir terus menyombong diri tunjuk dia kaya, dia senang & hebat!
Kita kata tak perlu besar kepala sombong wahai puak kafir kerana tidak lama lagi kamu akan dihumban ke dalam neraka & tiada apa yang dapat menyelamatkan kamu dari azab Allah!
Kata ulama' tadabbur: Ayat ini menunjukkan bahawa sesiapa yang guna hujjah kekayaan, kesenangan dan kedudukan atas dunia ini sebagai tanda benar & tanda Allah sayang – adalah hujjah & dalil yang paling teruk dan tidak benar sama sekali.
Ini adalah jalan yang digunakan puak kafir yang berhujjah bahawa Tuhan sayang & redha kepada mereka atas dunia ini!
Seperti dunia kita hari ini – ahli maksiat buat apa saja pun akan dikagumi dan diminati oleh pengikut & peminatnya kerana mereka ada harta & ada pangkat kedudukan!
Mereka tunjuk duit atau harta banyak pun orang kagum, tunjuk akhlak buruk pun orang sokong, mereka buat mungkar & maksiat pun orang tak marah! Ini ghurur kepada ahli dunia.
Begitu juga pengikut ajaran sesat akan dikagumi & ditakjubi oleh para pengikutnya walaupun tak solat apa – tetap dianggap wali – ini adalah ghurur dalam ibadat.
Kita sebagai orang Islam ukuran kebenaran bukan duduk di situ – jangan terpedaya dengan pangkat dunia & kedudukan manusia.
Siapa salah siapa benar – ukurannya bukan duduk di situ! - Ayat 74- {Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) sebelum mereka, kami telah binasakan, sedang mereka lebih elok alat-alat kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan mata.} – apabila puak kafir guna hujjah kekayaan dan kesenangan itu – Allah ajar kepada Nabi s.a.w untuk jawab hujjah puak kafir tadi dengan ayat ini.
Iaitu kamu jangan bangga jangan sombong – lihatlah kaum terdahulu yang lebih hebat daripada kamu samada dari segi kekayaan, kehebatan alat teknologi, bahkan dari segi rupa pun lebih elok daripada kamu – tetapi kerana mereka juga kufur terhadap Allah – mereka telah hancur binasa dimusnahkan oleh azab Allah!
Ini adalah uslub al-jidal (perdebatan) yang Allah ajar untuk kita jawab kepada puak kafir!
Kamu kaya, ada orang lebih kaya lagi, kamu comel ada orang yang lebih comel lagi – tetapi jika kufur kepada Allah tetap dibinasakan! - Ayat 75- {Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka…}
Allah biarkan orang kafir – orang buat dosa maksiat Allah beri mereka rezeki & nikmat atas dunia ini!
Maka kamu orang beriman jangan terpedaya melihat semua ini – lihat orang kafir orang derhaka kaya & senang – jangan kamu terasa terpedaya nak ikut cara hidup mereka!
Kamu kaya buat maksiat – kamu ada pangkat buat zalim, kamu berjaya sombong angkuh; maka tunggulah kedatangan malaikat bawa laporan atau RCI seperti yang tular di negara kita sehari-dua ini – baru kamu tau.
*Ini hanya sebagai contoh untuk ikut suasana semasa – jangan pula marah & terasa penyokong politik!
Kata ulama' tafsir: Ayat ini hujjah ke atas puak Muktazilah & Qadariyah yang mengatakan bahawa perbuatan hamba – Allah tak campur – manusia sendiri berkuasa penuh!
Kita kata semua itu adalah di bawah kuasa & ketetapan Allah! - Ayat 76- {Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk;} – bagi orang yang mendapat hidayah itu Allah akan tambahkan lagi hidayah petunjuk bagi mereka.
Ayat ini sebagai hujjah yang menolak pandangan murji-ah yang mengatakan iman semua manusia sama – satu level asalkan beriman sama saja. Tiada kurang tiada lebih, tiada naik tiada turun.
Kita ahli Sunnah Wal Jamaah mengatakan tidak begitu – kita kata iman itu bertambah dan berkurang!
Banyak ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan begitu.
Ayat ini salah satunya yang menunjukkan bahawa iman itu boleh bertambah & berkurang!
Ayat ini juga menyatakan bahawa Allah akan memberi hidayah kepada orang yang ikut hidayah petunjuk.
Allah akan beri lagi petunjuk, rahmat, ilmu & keredhaan-Nya.
Maka marilah kita menuntut ilmu yang baik, ilmu ada dua kategori – ilmu yang bermanfaat & tidak bermanfaat!
Antara cara kita nak jaga ilmu & agar ilmu itu memberi manfaat & dapat menjaga kita ialah: Apabila kita belajar kita kena amalkannya!
Allah kata apabila seseorang itu dapat hidayah & dia beramal maka Allah akan tambahkan lagi – begitu juga orang yang berilmu dan beramal – Allah akan tambahkan lagi ilmunya!
Kata ulama':
Sesiapa yang beramal dengan ilmu yang dia tahu nescaya Allah akan berikan kepadanya juga ilmu yang dia tak tahu sebelum ini!
Pahala buat baik akan membawa kebaikan lain pula – Allah akan buka lagi dan lagi!
Kerana itu kita kena usaha sebarkan ilmu ajak orang beramal dengan al-Quran, beramal dengan Sunnah Nabi s.a.w, berwaqaf & infaq fi-sabilillah, ajak buat baik & menjadi jjuruh!
Insya' Allah dengan kita ajak orang & beramal dan sebarkan ilmu yang kita ada, Allah akan tambahkan lagi ilmu & kebaikan serta tingkatkan darjat kita!
Kata orang siapa yang tenggelam dalam ilmu & Sunnah ini – akan terasa kemanisan iman sebagaimana yang telah berlaku kepada orang-orang yang soleh sepanjang zaman. - Ayat 76- {… dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.}
Allah kata amalan yang baik itulah kekal dan mendapat balasan pahala yang baik di sisi Allah.
Apakah maksudnya amalan yang baik ini?
Kata ulama' ia adalah amalan kekal yang baik!
Amalan soleh yang kita buat dengan penuh keikhlasan, yang ikut Sunnah Nabi s.a.w- samada perbuatan atau perkataan kita – semua ini kekal pahalanya di sisi Allah s.w.t dan tempat kembali kita telah disediakan Allah s.w.t!
Antaranya sebagaimana yang disebut dalam hadis tadi – zikir 4 kalimah:
Maka jika kita nak pahala yang banyak, jangan malas gerakkan mulut kita untuk sentiasa berzikir kepada Allah s.w.t!
DDAAM telah usahakan satu pamphlet Kelebihan Zikir Empat Kalimah untuk bacaan & amalan jemaah semua.
Ada PDF nya bagi yang jauh yang dekat boleh ambil pamphlet cetakannya.
Sila ke: abuanasmadani.com
Boleh juga baca dalam Kitab Perisai Muslim:
4 Ucapan Disukai Allah.
Fadhilat Zikir 4 Kalimah.
Lihat keterangan & penjelasan:
*AAM 2019; Syarah Kelebihan Menjaga Masa Berzikir & 12 Kelebihan Zikir 4 Kalimah.
Link: Tonton video di YouTube
AAM Riyadh Solihin, Azkar (81); Fadhilat Zikir Empat Kalimah, Kelebihan Dhuha, Fadhilat Zikir & Tahlil.
Link: Tonton video di YouTube
Semoga ia menjadi satu amalan jariah kita di Akhirat kelak – Allah redha kepada kita, hidup dalam keadaan baik, mati dalam husnul-Khatimah, kemudian Allah letak dalam kubur kita teman-teman yang baik, bangkit di bawah panji Nabi s.a.w, layak mendapat syafaatnya, melintasi Sirat seperti kilat menyambar dan akhirnya sampai di syurga dalam keredhaan Allah Azza wa Jalla!
Amin ya Rabb.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.