Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Maryam · Nota 20/21

Surah Maryam: Ayat 85-95

Semua Akan Dikumpulkan, Makhluk Membantah Tuduhan Tuhan Ada Anak & Kita Datang Seorang Diri

Semua Akan Dikumpulkan, Makhluk Membantah Tuduhan Tuhan Ada Anak & Kita Datang Seorang Diri

Semua Akan Dikumpulkan, Surah Maryam ayat 85-95

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 85 sehingga ayat 95 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa semua manusia yang muttaqin atau mujrimin akan dikumpulkan pada hari Kiamat nanti.
    Bezanya hala tuju atau pengakhiran mereka; yang baik ke syurga & yang jahat ke neraka!
  3. Allah nyatakan makhluk-makhluk Allah yang besar seperti langit, bumi & bukit membantah tuduhan golongan yang mendakwa Tuhan ada anak dan mereka geram nak marah!
  4. Pada hari Kiamat kita datang seorang diri, tiada orang yang akan menemani yang ada hanya amal sendiri!
    Suami atau isteri, anak-pinak, kaum keluarga atau sahabat; masing-masing sibuk cuba menyelamatkan diri sendiri daripada huru-hara yang besar pada hari Kiamat itu!
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bahawa orang kafir dikuasai syaitan, ahli maksiat pula terjebak dengan syaitan.
      Maka kamu tak perlu minta Allah segerakan azab ke atas mereka kerana tempoh mereka Allah telah hitung & tetapkan.
    2. maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa kumpulan yang baik akan datang bertemu dengan Allah dalam keadaan yang baik!
      Ya Allah jadikan kami dari golongan muttaqin yang datang bertemu dalam keadaan baik & diredhai Allah!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 85 يَوْمَ نَحْشُرُ الْمُتَّقِينَ إِلَى الرَّحْمَٰنِ وَفْدًا ‎﴿٨٥﴾ {(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa untuk mengadap (Allah) Ar-Rahman, dengan berpasuk-pasukan.} [Maryam 19:85]

  1. Allah suruh Nabi Muhammad s.a.w mengingatkan kita bahawa pada hari Kiamat kelak golongan manusia yang baik & bertaqwa akan masuk mengadap Allah dalam pasukan atau kumpulan demi kumpulan.
  2. Mereka kemudian akan diberi penghormatan & dibawa masuk ke tempat tinggal yang kekal abadi iaitu syurga yang penuh nikmat!
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata: "Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya" (mereka pun masuk).} [Az-Zumar: 73]

Ayat 86 وَنَسُوقُ الْمُجْرِمِينَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ وِرْدًا ‎﴿٨٦﴾ {Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga.} [Maryam 19:86]

  1. Munasabah ayat ini jelas apabila Allah sebut yang baik akan dibawa pula contoh yang buruk atau sebaliknya!
  2. Yakni orang yang jahat & bersalah pula akan dihalau ke neraka Jahannam dalam keadaan terhuyung-hayang kerana dalam keadaan dahaga yang amat sangat!
  3. Nota [839] Pada hari kiamat orang-orang yang bertaqwa akan dibangkitkan dari kubur dan dihimpunkan untuk mengadap Allah yang melimpah rahmat-Nya dengan berpasuk-pasuk dan diberi segala penghormatan serta ditempatkan di dalam Syurga.
    Sebaliknya orang-orang yang kufur derhaka akan dihalau ke neraka Jahannam dengan hinanya dalam keadaan dahaga.
  4. Amat menakutkan keadaan itu; maka orang mukmin akan takut kepada Allah dengan sesungguh hati dan buat persiapan yang sepatutnya!
    Bukan hanya takut tetapi tetap malas beribadat dan tidak meninggalkan maksiat!

Ayat 87 لَّا يَمْلِكُونَ الشَّفَاعَةَ إِلَّا مَنِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحْمَٰنِ عَهْدًا ‎﴿٨٧﴾ {Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.} [Maryam 19:87]

  1. Allah nyatakan orang kafir tidak boleh memberi syafaat sesama mereka & kawan mereka yang beriman juga tidak boleh menolong mereka!
    Manakala orang beriman sesama mereka mungkin boleh memberi syafaat – tetapi sebelum itu pada peringkat awal masing-masing seorang diri dulu!
  2. Orang yang boleh memberi syafaat hanya orang yang beriman dan beramal soleh, yang taat kepada janji dengan Allah untuk beriman & taat!
    Dia boleh memberi syafaat kepada orang lain dan dia juga boleh menerima syafaat dari orang lain!
    Ini syafaat yang kecil & biasa manakala Syafaat al-‘Uzma (Yang besar) hanya milik Nabi s.a.w.
  3. Hatta orang yang pernah masuk neraka pun setelah keluar akan ke syurga pula – orang yang beriman akan cari kawannya!
    Inilah pentingnya kita bersahabat & berteman dengan orang-orang yang soleh!
    *Sahabat yang beriman ahli syurga akan mencari kawannya yang beriman juga hatta di dalam neraka – dan minta mereka keluar setelah habis hukumannya!
  4. Nota [840] Yakni tidak ada di antara umat manusia yang berhak mendapat syafaat atau memberi syafaat kepada orang lain, kecuali orang yang beriman dan beramal salih serta diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.
  5. Ayat ditafsirkan dengan firman Allah:
    {Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada mereka tentang (hari kiamat) yang dekat (masa datangnya), iaitu ketika hati seseorang merasa resah gelisah, kerana cemas takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu. (Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh membelanya dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya.} [Ghafir: 18]
  6. Jangan bergurau minta kita dicari dalam neraka!
    Hati-hati jangan terpengaruh dengan ajaran-ajaran baru seperti new-age dan seumpamanya yang berselindung di sebalik nama motivasi dan sebagainya!

Ayat 88 وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَٰنُ وَلَدًا ‎﴿٨٨﴾ {Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak."} [Maryam 19:88]

  1. Munasabah ayat:
    1. dalam ayat-ayat yang lepas Allah telah jelaskan dan tekankan bahawa Nabi Isa itu adalah hamba Allah!
      Dia adalah anak kepada seorang ibu, Maryam tanpa seorang bapa.
    2. maka datang ayat ini bermula ayat 88 dan selepasnya Allah bawa pengingkaran tentang dakwaan mereka yang mengatakan Tuhan ada anak!
  2. Ini adalah ayat bantahan terhadap golongan kafir yang jahat yang mujrim mendakwa Tuhan ada anak!
  3. Allah Maha Suci daripada dakwaan jahat puak ini:
    1. Yahudi kata Uzair anak Allah.
    2. Nasrani kata Isa anak Allah.
    3. musyrikin Quraisy pula kata malaikat anak Tuhan.

Ayat 89 لَّقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا ‎﴿٨٩﴾ {Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!} [Maryam 19:89]

  1. Mereka telah mengeluarkan satu perkataan mungkar yang amat tidak baik terhadap Allah!
  2. Iaitu mereka itu telah membuat tuduhan jahat, dakwaan mungkar bahawa Tuhan ada anak!
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
    {(Jika demikian wajibnya mengesakan Allah, maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak dan anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai? Adakah Tuhan kamu telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk diri-Nya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat besar.} [Al-Israa’: 40].

Ayat 90 تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا ‎﴿٩٠﴾‏ {Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, -} [Maryam 19:90]

  1. Ayat ini menyatakan keadaan tiga makhluk Allah yang besar bantah dan geram dengan tuduhan jahat kafir terhadap Tuhan ini:
    1. langit yang besar, kuat & kukuh bergoncang nyaris pecah apabila mendengar perkataan jahat puak Nasrani yang kata Tuhan ada anak! Langit marah kerana dia mengagungkan Allah s.w.t!
    2. bumi pula nyaris terbelah kerana membesarkan Allah s.w.t!
    3. bukit juga hampir runtuh ranap kerana geram nak marahnya kepada mereka itu!
  2. Yakni tiga makhluk besar ini geram, menggeletar dan bergoncang nak marah kerana kafir mendakwa Tuhan ada anak!

Ayat 91 أَن دَعَوْا لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدًا ‎﴿٩١﴾ {Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.} [Maryam 19:91]

  1. Iaitu tiga makhluk tadi geram nak marah kepada golongan itu kerana mereka mendakwa Allah – Tuhan Ar-Rahman mempunyai anak!
  2. Kerana itu nasihat kita setiap kali tiba perayaan Krismas – jangan kita ikut bergembira dengan puak ini yang mendakwa Tuhan ada anak dan merayakannya!
    Jangan sesekali bergembira, turut bergambar suka-suka dengan segala perhiasan mereka sedangkan ia terlibat dengan aqidah!
  3. Tidak peka kita, tidak ada sensitiviti & perasaan akan sebab perayaan puak ini yang langit bumi & bukit pun semuanya bergegar nak marah!
  4. Ada yang ambil tarikh itu untuk buat kenduri kahwin, aqiqah anak dan seumpamanya!
    Jangan dok cari hari yang sempena perayaan kafir ini!
  5. Nota [841] Dengan ini Allah Ta’ala menerangkan bagaimana salahnya dakwaan kaum kafir yang mengatakan Allah mempunyai anak, sehinggakan alam langit dan bumi serta gunung-ganangnya nyaris-nyaris pecah dan hancur lebur kerana ngerinya dan besarnya dakwaan yang dusta dan tidak berasas itu.

Ayat 92 وَمَا يَنبَغِي لِلرَّحْمَٰنِ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا ‎﴿٩٢﴾‏ {Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak.} [Maryam 19:92]

  1. Maha Suci Allah Tuhan ar-Rahman daripada mempunyai anak seperti dakwaan mereka itu!
  2. Sesekali tidak layak Allah yang Maha Berkuasa untuk mempunyai anak – hanya kita manusia yang lemah memerlukan anak.
    Allah tidak lemah & tidak memerlukan bantuan & kehadiran yang lain.
    *Kita doakan agar pasangan-pasangan yang masih belum dikurniakan anak agar diberikan rezeki zuriat dengan segera dari Allah!
  3. Firman Allah s.w.t:
    {"Ia tiada beranak dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".} [Al-Ikhlas: 3-4].
  4. Hadis qudsi: Daripada Ibnu Abbas radhiyallahu 'anhuma, daripada Nabi صلى الله عليه وسلم, Baginda bersabda:
    "Allah Ta'ala berfirman: 'Anak Adam (manusia) telah mendustakan Aku, padahal tidak sepatutnya (tidak ada hak) baginya berbuat demikian.
    Dan dia telah mencaci (menghina) Aku, padahal tidak sepatutnya baginya berbuat demikian.
    Adapun pendustaannya terhadap-Ku:
    Adalah dakwaannya bahawa Aku tidak mampu menghidupkannya semula (selepas mati) seperti sediakala.
    Adapun caciannya terhadap-Ku:
    Adalah perkataannya bahawa Aku mempunyai anak. Maha Suci Aku daripada mengambil isteri atau mempunyai anak.'" (HR al-Bukhari).

Ayat 93 إِن كُلُّ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ إِلَّا آتِي الرَّحْمَٰنِ عَبْدًا ‎﴿٩٣﴾ {Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.} [Maryam 19:93]

  1. Semua makhluk sama ada yang berada di langit atau di bumi akan datang menghadap Allah dalam penuh kehinaan sebagai hamba-Nya.
  2. Orang yang beriman dan baik akan datang dalam keadaan redha, ahli maksiat diterima dengan hukuman, manakala orang kafir akan ditendang masuk ke dalam neraka tanpa belas kasihan!

Ayat 94 لَّقَدْ أَحْصَاهُمْ وَعَدَّهُمْ عَدًّا ‎﴿٩٤﴾‏ {Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu.} [Maryam 19:94]

  1. Hitungan Allah tepat tiada kesilapan!
    Tiada yang terlepas dari pengetahuan Allah dan Allah sesekali tidak akan lupa!
  2. Sama ada yang lama atau yang baru, yang telah lama mati masuk dalam kubur atau yang baru mati semuanya tidak akan tertinggal atau terlepas.

Ayat 95 وَكُلُّهُمْ آتِيهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَرْدًا ‎﴿٩٥﴾‏ {Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.} [Maryam 19:95]

  1. Semua manusia yang dulu & yang kemudian, yang muda yang tua; semuanya akan dibangkitkan di Akhirat seorang diri!
    Tiada keluarga tiada teman, tiada penyokong, tiada peguam untuk membantunya!
  2. Mereka semua akan berjalan datang menghadap Allah seorang diri dan tidak akan peduli atau memikirkan hal orang lain!
    Setiap manusia berjalan seorang diri menghadapi pengadilan dan menunggu pembalasan!
  3. Nota [842] Sekelian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hamba-hamba Allah belaka yang terletak di bawah tadbir-Nya dan diketahui hal mereka satu persatu.
    Pada hari kiamat kelak, masing-masing akan datang mengadap-Nya dengan tidak berteman dan hanya mengharapkan pertolongan dan belas kasihan-Nya.
    Maka bagaimanakah golongan yang kufur ingkar itu tergamak menderhaka dan mempersekutukan Allah ‘Azza wa Jalla dengan makhluk-makhluk yang lain?
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka) dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).} [Al-An’aam: 94]
  5. Pada hari Akhirat tiada siapa peduli akan keadaan orang lain walaupun tidak berbaju tidak berselipar tidak berkhitan – masing-masing tak tengok mu aku – sibuk hal masing-masing.
  6. Sebagaimana hadis riwayat daripada Sayyidah Aisyah R.A, katanya: ‘Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
    يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا. قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ النِّسَاءُ وَالرِّجَالُ جَمِيعًا يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ قَالَ: يَا عَائِشَةُ الأَمْرُ أَشَدُّ مِنْ أَنْ يَنْظُرَ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ.
    Maksudnya: “Pada hari kiamat, manusia akan dihimpunkan dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang bulat dan tidak berkhatan.”
    Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah lelaki dan perempuan akan dihimpunkan bersama-sama dan saling melihat satu sama lain?”
    Rasulullah menjawab: “Wahai Aisyah! Perkara (yang dihadapi ketika itu) lebih besar daripada sekadar melihat aurat satu sama lain.”
    [HR al-Bukhari (6527) dan Muslim (2859)].

Penutup & Faedah

  1. Ayat 85- {(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa untuk mengadap (Allah) Ar-Rahman, dengan berpasuk-pasukan.}
    Orang yang beriman akan dipandu dibawa masuk ke dalam syurga dalam keadaan yang berbeza juga.
    Mereka ikut kumpulan masing-masing, ikut kepada amalan kebaikan mereka!
    Darjatnya tidak sama, ada yang sepantas kilat, ada yang selaju kuda berlari dan sebagainya!
    Ada yang masuk awal ada masuk lewat sikit!
    Orang yang soleh dan baik-baik pastilah awal lagi akan dipanggil dan diiring masuk oleh malaikat ke dalam syurga.
    Kita buat bandingan seperti orang yang naik kapal terbanglah – ikut kelas tiketnya – pastilah tiket yang mahal akan dipanggil masuk dulu, duduk di hadapan dan dapat banyak keistimewaannya!
    Semoga amalan kita melayakkan kita untuk masuk dalam kumpulan ini, masuk ke dalam syurga dengan aman!
  2. Ayat 86- {Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga.} – orang jahat yang derhaka akan dihalau masuk ke dalam neraka dalam keadaan dahaga!
    Ayat ini kata ulama' tadabbur menunjukkan orang yang derhaka ditarik masuk, ditendang dan dihumban ke dalam neraka dalam keadaan yang hina.
    Seolah kumpulan haiwan yang ditarik ke kolam air minuman – bertempiaran lari seperti unta kehausan.
    Mereka sesama kafir tidak ada syafaat – tidak boleh saling bantu-membantu!
    Peringatan: Jangan sesekali dok pesan suruh kawan yang soleh atau ustaz cari kita dalam neraka!
    Apakah kamu telah berniat untuk masuk neraka?
    Ini adalah percakapan yang negatif dan buruk sekali – jangan dok kecek bodo begitu!
    Sepatutnya kita minta didoakan yang baik-baik; agar mati dalam husnul khatimah dan mendapat keredhaan Allah & balasan syurga!
  3. Ayat 88- {Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak."} – mereka yang kafir kata Tuhan ada anak!
    Tuduhan jahat ini selain mendapat kemurkaan Allah & para malaikat – juga mendapat respon kemurkaan makhluk-makhluk Allah yang lain!
    Ayat 90- {Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, -}
    Dalam ayat ini Allah sebut keadaan tiga makhluk-Nya yang besar apabila mendengar tuduhan jahat terhadap Allah!
    Iaitu disebabkan anggapan mereka itu:
    1. Langit nyaris-nyaris pecah,
    2. bumi pula nyaris-nyaris terbelah,
    3. serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap.
      Sebab jahatnya tuduhan & perkataan orang yang mengatakan Tuhan ada anak!
      Allah kata mereka telah membuat satu perkataan atau tuduhan yang buruk!
      Kerana itu pesanan sentap DDAAM:
      Jangan dok bergembira dan ikut sama join kumpulan topi merah & loceng yang bergembira menyambut perayaan kelahiran anak Tuhan mereka!
      Jika nak buat kenduri apapun jangan dok pilih tarikh mereka!
  4. Ayat 93- {Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.} – semua makhluk ini hamba Tuhan belaka – ini kamu kena akur!
    Al-Ubudiyyah العُبُودِيَّة atau Perhambaan itu ada dua:
    1. Pertama, Ubudiyyah umum العُبُودِيَّة العَامَّة- perhambaan yang umum.
      Semua kita, semua makhluk di atas dunia ini, semuanya hamba Allah.
      Yang kafir pun hamba Allah, dia tetap kena ikut peraturan Tuhan.
      Peraturan Tuhan kata malam, maka malamlah. Kalau Tuhan kata siang, dia tidak boleh menolak hendak jadikan malam.
      Macam dalam dunia ini, tidak boleh ada dua pemerintah dalam satu negeri. Bahaya, yang mana satu berkuasa?
      Jadi orang boleh bertikai: yang ini kata pemerintah ini berkuasa, yang itu kata pemerintah itu berkuasa.
      Yang ini hendak tunjuk kuasa, yang itu pun hendak tunjuk kuasa.
      Jadi tidak boleh begitu, kena tentukan yang mana satu.
      Maka dalam dunia ini, yang berkuasa ialah Allah ‘Azza wa Jalla.
      Jadi semua manusia, semua makhluk, yang beriman dan yang kafir, semuanya hamba kepada Tuhan.
      Tak boleh nak lawan & ingkar kekuasaan & ketetapan yang Allah tetapkan!
      Ini dipanggil:
      عُبُودِيَّةُ الْقَهْرِ وَالْمُلْكِ
      Semua kita berada di bawah kekuasaan Allah Ta‘ala dan di bawah milik Allah-
      {إِن كُلُّ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ إِلَّا آتِي الرَّحْمَٰنِ عَبْدًا}
      Semua makhluk ini hamba Tuhan – kena akur.
      Itulah yang dipanggil al-‘ubudiyyah al-‘ammah- العُبُودِيَّة العَامَّة.
    2. Yang kedua Ubudiyyah khusus العُبُودِيَّة الخَاصَّة, iaitu:
      Ketaatan, kecintaan dan mengikuti segala perintah Allah-
      الطَّاعَةُ وَالْمَحَبَّةُ وَاتِّبَاعُ الْأَوَامِرِ
      ‘Ubudiyyah ini khusus bagi orang beriman yang beribadat dan taat kepada Allah ‘Azza wa Jalla sahaja.
      Maka kita termasuk dalam ‘ubudiyyah yang khusus ini, iaitu mereka yang taat kepada Allah ‘Azza wa Jalla.
      Manakala ubudiyyah umum – semua orang kena taat kepada Allah Azza wa Jalla.
  5. Ayat 95- {Dan mereka masing-masing akan datang mengadap-Nya pada hari kiamat dengan seorang diri.} – dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa semua kita akan datang menghadap Allah seorang diri!
    Tiada teman, tiada peguam, tiada penyokong atau follower tiada apa-apa- yang ada hanya amalan!
    Maka jom kita perbanyakkan amal ibadat yang soleh sebagai bekalan peneman kita di Akhirat kelak!
    Tingkatkan amalan yang berdasarkan al-Quran & Sunnah – jangan dok reka ibadat & jangan tunjuk pandai kepada Tuhan dengan tambah ibadat yang Dia tak suruh!
    Nak cakap apa dengan Nabi s.a.w jika kita tambah amalan yang Nabi tak ajar!
    Sekarang ini macam-macam orang buat atas alasan nak tarik minat orang beribadat atau nak tarik sokongan orang.
    Biarlah kita kekal dengan Sunnah – hati tenang pahala confirm insya' Allah!
    Kita berdoa semoga kita layak mendapat syafaat Nabi s.a.w!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas