Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Maryam · Nota 21/21

Surah Maryam: Ayat 96-98

Orang Mukmin Disayangi, Al-Quran Mudah Dihafaz Dan Difahami & Umat Dulu Binasa Kerana Kufur

Orang Mukmin Disayangi, Al-Quran Mudah Dihafaz Dan Difahami & Umat Dulu Binasa Kerana Kufur

Orang Mukmin Disayangi, Surah Maryam ayat 96-98

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 96 sehingga ayat terakhir iaitu 98 dalam juzuk keenam belas.
    Inilah siri terakhir dan kita akan khatam surah ini sebanyak 21 siri kuliah.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa orang mukmin akan disayangi; akan mendapat kasih-sayang Allah, sesama mukmin juga akan sayang kepadanya.
    Ini kerana dia taat kepada Allah & ikut Sunnah Nabi s.a.w. maka dia akan mendapat mahabbah Allah.
  3. Allah nyatakan bahawa Dia permudahkan al-Quran untuk dihafaz dan juga mudah untuk difahami.
    Sejak dari zaman Nabi s.a.w lagi para sahabat menghafaznya sehingga ke zaman kita ini ramai yang menghafaznya!
    Nak faham ayat-ayat al-Quran juga tidak payah secara asasnya cuma ada beberapa ayat perlu penjelasan dan kefahaman dari ulama' Islam untuk orang awam faham.
    *Semoga para pelajar yang pernah menghafaz al-Quran sentiasa murajaah mengulang & menjaga hafazan mereka jangan jadi alhabis saja – biarlah jadi al-Hafiz yang sebenarnya!
  4. Kemudian Allah nyatakan amaran kepada puak kafir bahawa umat dulu binasa kerana kufur.
    Iaitu kebinasaan mereka dengan sebab kekufuran, maksiat & kejahatan mereka!
    Bukan yang mati biasa – tetapi kematian yang kena binasa, datang azab dari Allah!
    *Inilah bahayanya maksiat dianggap biasa & remeh – normalisasi maksiat dalam masyarakat!
    Contoh jelas – tak tutup aurat – tiada siapa yang malu.
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang keadaan manusia akan dibangkitkan di Akhirat kelak dalam keadaan seorang diri tiada teman & penolong.
    2. Allah nak tutup ayat ini dengan menyatakan apa yang disediakan bagi hamba-Nya yang soleh iaitu yang beriman & beramal soleh.
      Orang beriman akan disayangi oleh Allah ar-Rahman & Allah akan campakkan ke dalam hati manusia beriman lain juga perasaan mahabbah & kasih sayang.
      Terdapat 10 sebab yang boleh meraih cinta & kasih-sayang Allah.
      Boleh baca buku Musafir Menuju Allah.
      *Kita nak suruh Allah sayang pastilah kena buat perkara yang Allah sayang, bukan buat yang Allah benci!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 96 إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمَٰنُ وُدًّا ‎﴿٩٦﴾‏ {Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.} [Maryam 19:96]

  1. Allah nyatakan bahawa sesiapa yang beriman dan beramal soleh, dua ini kembar siam yang tidak dapat dipisahkan – inilah pegangan kita ahli Sunnah wal Jamaah.
    Nescaya Allah akan limpahkan Rahmat-Nya kepada mereka dengan disayangi Allah ar-Rahman dan oleh sesama orang yang beriman.
  2. Iaitu syaratnya mestilah mereka:
    1. yang beriman dengan kesemua rukun iman yang enam, beriman dengan apa yang Allah perintahkan dalam al-Quran & beriman dengan apa yang Nabi s.a.w bawa dalam Sunnahnya.
      *Adapun cerita dan mimpi orang tertentu bukan asas atau tonggak ajaran dalam agama!
      Hati-hati juga dengan ajaran new age sekarang ini yang dikosmetikkan atas nama motivasi atau ajaran agama!
      Kita jangan lihat kepada siapa yang berkata tetapi lihatlah kepada apa yang mereka katakan!
      Jika tidak semua orang boleh goreng dan jual fahamannya!
      Bila dah taksub akan percaya apa saja tok syeikh kata!
    2. yang melakukan amal soleh. Iaitu amalan yang Allah redha dari perkataan seperti ucapan zikir kepada Allah atau nasihat & perkataan baik sesama manusia, perbuatan baik dan amal ibadat kepada Allah.
      *Sebagaimana sering kita kata dua syarat qabul amal ialah ikhlas kepada Allah & ikut ajaran Nabi s.a.w.
  3. Maka mereka ini akan:
    1. diredhai & disayangi Allah ar-Rahman.
    2. serta Allah akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.
      Kita tak perlu minta orang sayang kepada kita kerana Allah telah campakkannya ke dalam hati!
  4. Nota [843] Yakni Allah Ta’ala akan menanamkan perasaan kasih sayang dalam hati orang ramai di dunia ini terhadap mereka dan akan diberikan apa yang mereka ingini pada hari akhirat kelak.
  5. Hadis:
    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا دَعَا جِبْرِيلَ فَقَالَ: إِنِّي أُحِبُّ فُلَانًا فَأَحِبَّهُ، قَالَ: فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ، ثُمَّ يُنَادِي فِي السَّمَاءِ فَيَقُولُ: إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ، فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ، قَالَ: ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الْأَرْضِ.
    وَإِذَا أَبْغَضَ عَبْدًا دَعَا جِبْرِيلَ فَيَقُولُ: إِنِّي أُبْغِضُ فُلَانًا فَأَبْغِضْهُ، قَالَ: فَيُبْغِضُهُ جِبْرِيلُ، ثُمَّ يُنَادِي فِي أَهْلِ السَّمَاءِ: إِنَّ اللَّهَ يُبْغِضُ فُلَانًا فَأَبْغِضُوهُ، قَالَ: فَيُبْغِضُونَهُ، ثُمَّ تُوضَعُ لَهُ الْبَغْضَاءُ فِي الْأَرْضِ» (رواه مسلم)
    Daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:
    "Sesungguhnya apabila Allah mencintai seseorang hamba, Dia akan memanggil Jibril lalu berfirman: 'Sesungguhnya Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia.' Jibril pun mencintainya.
    Kemudian Jibril menyeru kepada penduduk langit: 'Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah kamu semua akan dia.'
    Maka penduduk langit pun mencintainya.
    Seterusnya, diletakkan bagi hamba itu penerimaan (rasa kasih dan senang) di kalangan penduduk bumi.
    Dan sebaliknya, apabila Allah membenci seseorang hamba, Dia akan memanggil Jibril lalu berfirman: 'Sesungguhnya Aku membenci si fulan, maka bencilah dia.' Jibril pun membencinya.
    Kemudian Jibril menyeru kepada penduduk langit: 'Sesungguhnya Allah membenci si fulan, maka bencilah kamu semua akan dia.'
    Maka penduduk langit pun membencinya. Seterusnya, diletakkan bagi hamba itu kebencian di kalangan penduduk bumi."
    [Hadis Riwayat Muslim]
    *Ingat ramai pengikut dan orang minat itu bukan tanda dia betul & Tuhan sayang!
    Jika tidak para artislah yang paling benar!
    Ya Allah jadikan kami orang yang disayangi Allah & penduduk langit dan bumi.

Ayat 97 فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لِتُبَشِّرَ بِهِ الْمُتَّقِينَ وَتُنذِرَ بِهِ قَوْمًا لُّدًّا ‎﴿٩٧﴾‏ {Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.} [Maryam 19:97]

  1. Munasabah ayat:
    1. surah ini penuh dengan pengajaran dan cerita.
    2. maka Allah nyatakan sumber kita yang asas – Allah nyatakan tujuan diturunkan al-Quran itu adalah dengan penuh hikmah iaitu menjadi khabar gembira kepada orang beriman & amaran kepada orang yang kufur & maksiat!
    3. lalu Allah nyatakan nak turun al-Quran itu berat.
      Allah suruh Nabi s.a.w bangun tahajjud pada waktu malam sebagai persediaannya.
      Kata sahabat apabila al-Quran turun walaupun pada musim sejuk Nabi s.a.w berpeluh.
      Jika berada di atas unta terduduk unta kerana berat.
  2. Tetapi walaupun al-Quran itu berat turunnya tetapi untuk faham mudah untuk dihafaz mudah – yang menyebabkan orang sayang & suka kepada al-Quran.
  3. Allah kata Dia permudahkan al-Quran ini dengan diturunkan dengan lidah (bahasa) Nabi s.a.w supaya mudah Baginda s.a.w menyampaikan kepada kaumnya tentang tujuan utama al-Quran iaitu:
    1. memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa,
    2. dan juga untuk memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Quran dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya).} [Ad-Dukhan: 58].
  5. Allah menceritakan dalam ayat ini tentang kumpulan yang suka berbalah membantah apa saja iaitu kumpulan ludda {قَوْمًا لُدًّا} yang keras kepala suka berbalah tak mahu ikut kebenaran!
    Jangan jadi seperti mereka ini!
  6. Nota [844] Yakni Al-Qur’an diturunkan oleh Allah Ta’ala dalam bahasa Arab, bahasa Nabi Muhammad s.a.w, ialah supaya Baginda membacakannya kepada umat manusia dan menyampaikan berita gembira (dengan balasan Syurga) kepada orang-orang yang beriman, yang menjunjung perintah Allah dan meninggalkan laranganNya, sebagaimana yang dijanjikan di dalam Al-Quran; dan juga supaya Baginda memberi amaran kepada orang-orang kafir sebagaimana yang ditegaskan di dalamnya, bahawa mereka akan diseksa dalam neraka jika mereka masih berdegil dalam kekufuran.
    Dengan ini juga dapat difahami bahawa alim ulama’ Islam yang mengetahui bahasa Arab dan bahasa-bahasa asing berkewajipan menterjemahkan dan mentafsirkan Al-Qur’an ke dalam berbagai bahasa dunia untuk diketahui isinya oleh umat manusia umumnya.

Ayat 98 وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّن قَرْنٍ هَلْ تُحِسُّ مِنْهُم مِّنْ أَحَدٍ أَوْ تَسْمَعُ لَهُمْ رِكْزًا ‎﴿٩٨﴾‏ {Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka; engkau tidak menyedari ataupun mendengar suara yang sayup bagi seseorangpun dari orang-orang yang telah dibinasakan itu} [Maryam 19:98]

  1. Munasabah ayat:
    1. apabila Allah nyatakan tugas al-Quran itu sebagai berita gembira kepada orang yang beriman & amaran ancaman kepada orang kafir!
    2. maka datang ayat terakhir ini sebagai ancaman & amaran keras – wahai manusia kamu lihatlah apa yang terjadi kepada kaum terdahulu yang telah hancur binasa kerana mereka lawan Tuhan, ingkari rasul.
      Kamu tak nak jadi begitu juga maka jangan buat seperti mereka!
  2. Boleh pergi ke tempat orang yang dibinasakan ini tetapi bukan dengan tujuan healing sesaja tetapi dengan tujuan ibrah dan pengajaran.
  3. Ayat ini adalah satu amaran keras kepada orang yang terkemudian. Allah nyatakan kaum terdahulu telah dibinasakan akibat perbuatan kufur mereka dan ingkar kepada Tuhan dengan melakukan maksiat.
  4. Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) yang terdahulu daripada orang-orang musyrik Makkah itu Kami telah binasakan. Kaum-kaum itu lebih kekuatannya (dan kehandalannya) daripada mereka, lalu kaum-kaum itu keluar mencari perlindungan di merata-rata negeri. (Meskipun demikian keadaannya) dapatkah (mereka) menyelamatkan diri?} [Qaaf: 36].
  5. Kaum yang binasa ini tiada tertinggal kesannya hatta kamu tidak tahu tentang mereka dan tidak mendengar pun suara yang sayup bagi seseorangpun dari orang-orang yang telah dibinasakan itu.
  6. Nota [845] Allah Ta’ala mengakhiri surah ini dengan satu pengajaran yang memberi keinsafan, terutama kepada golongan yang masih berdegil dalam melakukan perbuatan-perbuatan yang dimurkai Allah, kerana amatlah banyaknya kaum-kaum yang seperti mereka telah dibinasakan oleh Allah Ta’ala pada masa yang lalu sehingga punah-ranah semuanya.

Penutup & Faedah

  1. Ayat 96- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,} – inilah dua tonggak kebahagiaan & keselamatan manusia. Iaitu iman & amal soleh!
    Iman saja tanpa amal adalah dakwaan tiada bukti akan ketaatan & ketakutan kepada Tuhan.
    Ini juga menolak fahaman puak murjiah yang mengatakan jika kita sudah beriman – tak beramal pun sudah cukup!
    Fahaman murjiah ini telah ditarik ambil sedikit demi sedikit oleh puak sekular & liberal – di mana dikatakan kerana kita dah beriman dan solat – yang lain tu cukup dah!
    Tak tutup aurat ke, tak laksanakan hukum Tuhan ke semua beres, ambil riba terima rasuah pun tak apa – mereka tak takut lagi kepada Tuhan – kalau ada takut pun kepada akta saja!
    Inilah bahayanya apabila nama-nama maksiat ditukar kepada nama yang berbunyi baik – begitulah syaitan kerja menyolek dan menampakkan semua perbuatan dosa maksiat itu sebagai elok!
    Apabila cukup dua syarat ini – iman & amal – barulah kita akan mendapat kasih-sayang Allah!
    Kata ulama': Apabila Allah sayang kepada hamba-Nya maka akan dibuka pelbagai pintu kebaikan kepada hamba-Nya; taqwa, taat, suka buat amal soleh, benci kepada dosa maksiat, benci kepada bid'ah dan seumpamanya.
    Begitulah apabila Allah sayang kepada seseorang – habis penduduk langit & bumi akan sayang kepadanya juga.
    Kata seorang ulama': Harim bin Hayyan: Sesiapa yang betul-betul hadapkan hatinya kepada Allah (beramal dengan ikhlas semata-mata kepada Allah)- Allah akan palingkan hati makhluk menghadap (sayang) kepadanya!
    Sebagaimana Rasulullah s.a.w yang pada awalnya dibenci dan ditentang oleh kaumnya – akhirnya menjadi kecintaan seluruh umat Islam atas dunia ini!
    Habis satu dunia menyayangi Rasulullah s.a.w kecuali orang kafir dan mereka yang ada penyakit dalam hatinya!
    Maka jelaslah wajib seiring dan serentak iman & amal!
    Tak boleh iman saja atau amal saja kerana tidak kredit & tidak ada akaun!
  2. Ayat 96- {Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.}
    Allah kata – Dia akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.
    Kita lihat dalam ayat ini ulama' kata Allah guna kalimah: akan letakkan {سَيَجْعَلُ لَهُمُ} sebagai 'akan'!
    Kenapa?
    Setengah ulama dia kaji, dia kata: Kerana surah itu surah Makkiyah yang diturun di Makkah.
    Masa tu orang mukmin tak ramai.
    Yang ikut & sayang Nabi pun golongan yang lemah & tertindas, yang ditekan oleh orang kafir.
    Kecuali sedikit yang kuat seperti Sayyidina Abu Bakar, Umar dan beberapa orang lagi yang berani kata sayang kepada Nabi.
    Tapi orang lain tak boleh kata begitu – takut kepada kafir!
    Maka Allah janjikan apabila Islam dah tersebar nanti pada hari dunia lagi - sebab ada setengah ulama tafsir dia kata benda ini akan berlaku di akhirat.
    Tapi kita pilih perkara ni akan berlaku di dunia lagi, sebelum akhirat.
    Maka Allah Ta‘ala jadikan manusia ini sayang kepada kamu wahai Muhammad s.a.w.
    Jadi betullah pada peringkat awalnya ramai yang benci-benci, bila Nabi S.A.W hijrah, habis satu dunia menyayangi Rasulullah S.A.W, kecuali orang yang kafir.
    Orang kafir sampai bila pun dia tak sayang, sebab dia kafir, kenapa nak sayang.
    Maka kita tak pelik kalau kafir tak sayang – yang kita peliknya kalau orang Islam tak sayang kepada Nabi s.a.w. Itu ajaib & pelik besar.
    Maka Allah Ta‘ala akan memasukkan, mewujudkan rasa sayang, cinta orang Islam kepadanya. Alhamdulillah.
    Kita pula kena berusaha, cari sepuluh sebab yang boleh menjadikan Allah sayang kepada kita. Kita kena usaha dulu baru Allah akan beri. Allahu Akbar.
  3. Ayat 97- {Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad),} – dalam ayat ini Allah tegaskan bahawa al-Quran telah dipermudahkan dengan lidah Nabi s.a.w.
    Allah nyatakan bahawa al-Quran itu menjadi sebab mudahnya orang bertaqwa nak baca, nak faham & nak amal!
    Sebaliknya orang kafir bencikan al-Quran- apabila dengar al-Quran menjadi stress sakit kepala.
    Tapi jangan salah-sangka- tentang ada juga orang Islam yang rasa terganggu dengan bacaan al-Quran dari masjid yang terlalu kuat – itu bukan salah al-Quran tetapi salah AJK atau pihak masjid yang tidak peka dengan keadaan sekeliling, dengan para jiran masjid – kenapa buka kuat-kuat guna speaker besar.
    Buka perlahan sudah cukup – orang nak dengar dia akan datang ke masjid.
    Kerana manusia di dalam rumah masing-masing ada pelbagai urusan yang kita tak tahu, mungkin orang ada anak kecil, ada orang tua yang sakit, ada pelajar yang nak study, pekerja shift yang baru balik nak berehat & tidur, pekerja yang work from home secara online atau orang non muslim dan 1001 lagi sebabnya!
    Maka ingatlah Allah permudahkan urusan ayat al-Quran ini kerana Dia nak suruh kita faham.
    Kerana itu kata ulama' tadabbur: Tidak ada ayat yang tidak difahami oleh ulama' Islam untuk dijelaskan pula kepada masyarakat awam.
    Jika masih ada yang tak faham juga itu bukan salah al-Quran tetapi salahnya kita kerana tidak mengaji!
  4. Ayat 97- {… ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.}
    Allah nyatakan peranan al-Quran ialah:
    1. memberi khabar gembira kepada orang-orang yang bertaqwa,
    2. dan memberi amaran keras kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.
      Kata ulama' ini adalah seumpama khulasah atau penutup untuk memberitahu bahawa surah ini akan tamat!
      Rumusan atau khulasah bahawa al-Quran walaupun ia pendek tetapi ada iktibar, ada pengajaran, ada kisah, ada khabar gembira ada amaran!
      Itulah namanya al-Quran.
      Al-Quran itu mukjizat yang tidak mampu untuk orang tiru, kacau atau nak ikut sepertinya kerana ia datang dari Allah Azza wa Jalla!
      Al-Quran diturunkan dengan bahasa Nabi s.a.w, Allah satukan seluruh umat Islam dari seluruh pelusuk dunia dengan bahasa al-Quran.
      Kita lihat saja semasa solat di Makkah & Madinah – berjuta manusia dari seluruh pelusuk dunia dengan pelbagai bahasa asal; solat dengan imam yang satu dengan bacaan al-Quran yang satu bahasa & menghadap ke arah kiblat yang satu!
      Ka'bah adalah sebagai kiblat atau mercu tanda untuk kita menghadap ke sana sebagai kesatuan ummah!
      Kita bukan sembah Ka'bah kita sembah Allah tetapi sebagai kesatuan ummah, di bawah agama yang satu, menghadap ke arah kiblat yang satu.
  5. Ayat 98- {Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka;} – ini adalah amaran kepada orang yang keras kepala tak dengar kata – kamu lihatlah apa yang terjadi kepada umat dahulu yang telah dibinasakan.
    Jangan berjalan sana sini healing saja – tanpa ambil iktibar pengajaran!
    Kerana itu apabila mahu pergi melawat ke tempat sejarah umat terdahulu yang telah binasa seperti kaum Ad kaum Thamud dan lain-lain; hendaklah kita pergi dengan hati yang insaf & takut, dengan tujuan mahu mengambil iktibar pengajaran!
    Jika sekadar nak pergi healing saja maka rugilah kita!

Sebagai penutup marilah kita berdoa:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ.
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

Ya Allah, ya Tuhan kami, kami mohon dengan nama-Mu yang Maha Indah, dengan sifat-Mu yang Maha Tinggi, Engkau anugerahkanlah kepada kami kefahaman yang jelas, kefahaman yang murni, kefahaman yang bersih, yang nyata terhadap kitab-Mu, ya Allah, ya Tuhan kami.

Maka jadikanlah apa yang kami belajar ini menguatkan keimanan kami, menambahkan semangat kami, dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada kebaikan-kebaikan umat dahulu dan juga mengambil pengajaran dan iktibar daripada kerosakan-kerosakan yang dibuat oleh umat dahulu dan kebinasaan mereka dengan sebab kufur mereka terhadap-Mu.

يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ،.

Ya Allah, curahkanlah ke dalam hati kami sifat takwa, sifat iman, sifat penuh dengan kasih sayang, kasih kepada Allah, cinta kepada Al-Quran, sayang kepada Nabi, berpegang dengan Sunnahnya.

Ya Allah, jauhkan kami daripada maksiat, mungkar, bidaah dan khurafat.

يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، يَا مُجِيبَ السَّائِلِينَ.

Serta berikanlah kepada kami istiqamah untuk terus belajar Al-Quran, terus tadabbur Al-Quran, terus beramal dengan Al-Quran, supaya kami hidup dalam keadaan di bawah keredaan-Mu.

Ya Allah matikan kami dengan husnul khatimah, bangkitkan kami di bawah panji Nabi s.a.w, berjalan kami ke kolam Nabi s.a.w dan melintasi sirat seperti kilat yang menyambar dan sampaikan kami ke syurga dengan keredaan-Mu, dengan rahmat-Mu,

يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، يَا مُجِيبَ السَّائِلِينَ.
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً، إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ.

Ya Allah, berilah keampunan kepada kami.

Ampunkanlah dosa kedua ibu bapa kami, guru-guru kami, orang-orang yang kami sayangi dalam kalangan keluarga kami, yang dekat dan yang jauh, yang kami kenal dan yang tidak kami kenal, murid-murid kami yang ada di hadapan dan juga di alam maya.

Berilah keampunan dan rahmat kepada kami semua,

يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ،
وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.
وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk surah Maryam secara ringkas bagi kali kedua, semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas