Surah Maryam: Ayat 77-84
Musyrikin Perli Hari Kiamat, Berhala Sembahan Bantah & Syaitan Menguasai Puak Kafir
Musyrikin Perli Hari Kiamat, Berhala Sembahan Bantah & Syaitan Menguasai Puak Kafir

Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 77 sehingga ayat 84 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kata-kata musyrikin tentang kebangkitan semula, mereka perli hari Kiamat dan mengolok-olokkannya. Ini kerana mereka tidak mempercayainya.
Kita yang percaya tak akan kata begitu cuma persiapan saja tak mantap.
Jika betul-betul yakin pasti persiapannya kuat! - Kemudian Allah nyatakan berhala sembahan kafir itupun tak mengaku & membantah perbuatan mereka.
Di Akhirat kelak masing-masing berlepas diri. - Golongan yang tidak beriman, puak kafir akan dikuasai oleh syaitan.
Biarkan mereka kerana Allah sudah menghitung perjalanan hidup mereka, di mana malaikat tunggu masa saja untuk sentap humban mereka ke neraka! - Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang dalil-dalil kebangkitan semula kemudian Allah bawa pula syubhat keraguan yang ditimbulkan oleh puak kafir yang mengatakan mereka kaya & senang tanda Allah sayang!
Lalu Allah suruh Nabi s.a.w menjawab & menolak hujjah batil mereka itu. - datang ayat ini pula Allah nyatakan puak kafir masih main-main, memerli dan tak percaya akan kebangkitan semula.
Ayat ini menunjukkan keangkuhan dan terpedayanya puak kafir yang menyangka mereka benar kerana mereka kaya, tinggi kedudukan dan ramai pengikut dan penyokong!
*Jadi kita tak boleh ukur betul atau salah ajaran itu dengan ramainya pengikut, tetapi apakah ajaran itu berdasarkan al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang dalil-dalil kebangkitan semula kemudian Allah bawa pula syubhat keraguan yang ditimbulkan oleh puak kafir yang mengatakan mereka kaya & senang tanda Allah sayang!
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 77 أَفَرَءَيْتَ ٱلَّذِى كَفَرَ بِـَٔايَـٰتِنَا وَقَالَ لَأُوتَيَنَّ مَالًا وَوَلَدًا {Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan (wahai Muhammad), akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami serta ia berkata: "Demi sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat?"} [Maryam 19:77]
- Sabab nuzul ayat ini – riwayat dari Khabbab r.a:
Maksudnya:
"Aku dahulunya adalah seorang pandai besi (pembuat pedang) pada zaman Jahiliyah.
Al-'Ash bin Wa'il mempunyai hutang kepadaku, lalu aku mendatanginya untuk menagih hutang tersebut.
Dia berkata: 'Aku tidak akan membayar hutangmu sampai kamu mengingkari (kafir kepada) Muhammad صلى الله عليه وسلم.'
Maka aku menjawab: 'Aku tidak akan mengingkari Muhammad صلى الله عليه وسلم sampai Allah mematikanmu, kemudian kamu dibangkitkan semula.'
Al-'Ash berkata: 'Kalau begitu biarkan aku sehingga aku mati dan dibangkitkan kembali. Nanti aku pasti akan diberikan harta dan anak, lalu pada waktu itulah aku akan melunasi hutangku kepadamu.'
Maka Allah Tabaraka wa Ta'ala menurunkan ayat:
{Maka apakah engkau telah melihat orang yang mengingkari ayat-ayat Kami dan dia mengatakan: 'Pasti aku akan diberi harta dan anak'} (QS. Maryam: 77)."
[Sahih al-Bukhari, no. 4733/4734].
* Al-'Ash bin Wa'il – seorang bapa kafir – penyangak Quraisy. - Allah s.w.t menyatakan kepada Nabi s.a.w tidakkah kamu berasa pelik akan dakwaan puak kafir yang mengatakan mereka akan dibangkitkan semula di Akhirat dengan segala harta dan kekayaan milik mereka atas dunia ini dulu – sedangkan mereka kufur kepada Allah atas dunia ini!
- Kata ulama': Ayat ini bukan hanya turun kepada Al-'Ash bin Wa'il saja; tetapi untuk semua puak kafir yang tak mahu terima Islam dan angkuh mengatakan mereka kaya lalu jika bangkit semula di Akhirat kelak pastilah bersama harta kekayaan mereka itu juga!
- Nota [834] Dalam ayat ini Allah Ta’ala menerangkan satu contoh perbandingan mengenai seorang kafir yang degil dalam kekufurannya dan mendakwa – bahawa walaupun ia tetap kafir tetapi ia juga akan mendapat kesenangan di akhirat.
Ayat 78 أَطَّلَعَ الْغَيْبَ أَمِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحْمَٰنِ عَهْدًا ﴿٧٨﴾ {Adakah ia telah mengetahui akan perkara yang ghaib atau adakah ia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?} [Maryam 19:78]
- Jadi Allah mematahkan hujjah mereka itu dengan bertanya balik kepada mereka – apakah puak kafir yang kufur dan sombong kepada Allah itu, dengan dakwaan mereka itu;
- telah mengetahui akan perkara yang ghaib, bahawa harta mereka akan bangkit sekali dengan mereka di Akhirat kelak;
- atau adakah ia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?
- Jawabnya pastilah tidak, itu semua hanya sangkaan dan hujjah sesat mereka.
Ia hanya kata-kata perlian dan ejekan puak kafir terhadap Islam.
Ayat 79 كَلَّا ۚ سَنَكْتُبُ مَا يَقُولُ وَنَمُدُّ لَهُ مِنَ الْعَذَابِ مَدًّا ﴿٧٩﴾ {Tidak sekali-kali! Kami akan menulis apa yang dikatakannya dan Kami akan tambahi baginya dari azab seksa, berganda-ganda.} [Maryam 19:79]
- Allah menegaskannya dalam ayat ini bahawa tidak sesekali!
Yakni mereka tak tahu pun perkara ghaib & tiada perjanjian dengan Allah! - Nota [835] Yakni tidak benar dan tidak sepatutnya dia mendakwa demikian.
- Kemudian malaikat penulis akan mencatat semua apa yang dikatakan oleh puak kafir yang penuh pendustaan itu!
Atas rekaan mereka ke atas Allah-Allah akan membalas pembohongan mereka di Akhirat kelak walaupun selamat atas dunia ini! - Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
- {Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka dengan serta-merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat keterangan Kami dengan mendustakannya dan mengingkarinya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah lebih cepat melakukan rancangan menentangnya!" Sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu daya yang kamu jalankan itu.} [Yunus: 21]
- {Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,} [Al-Infitaar: 10].
- Kemudian Allah akan tambah azab yang berganda-ganda ke atas mereka.
Sebagai kafir kena satu azab dah, kemudian jika dia buat kejahatan pula seperti merompak, berzina, mencuri, membunuh apa saja jenayah – akan kena pula azab sebagai azab atas jenayah itu! Maknanya azab itu bertingkat-tingkat!
*Kita minta perlindungan dengan Allah daripada kesesatan yang sangat buruk itu!
Ayat 80 وَنَرِثُهُ مَا يَقُولُ وَيَأْتِينَا فَرْدًا ﴿٨٠﴾ {Dan Kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang dikatakannya itu dan ia akan datang kepada Kami dengan seorang diri.} [Maryam 19:80]
- Tak perlu kamu besar kepala wahai kafir – kerana hakikatnya segala hartanya akan ditinggalkan apabila dia mati, akan ditarik dan menjadi hak orang! Samada menjadi harta pusaka untuk anak-pinaknya atau jika dia mati dalam perang menjadi harta rampasan perang (ghanimah).
- Kemudian di Akhirat kelak setiap orang akan bangkit seorang diri, menghadapi pengadilan dan melalui urusan Akhirat sebatang kara, tiada teman, keluarga, anak beranak atau peguam dan penyokong!
- Yakni setiap orang bawa diri tiada anak beranak kaum kerabat sahabat handai – selepas selesai pengadilan jika masuk syurga akan berjumpa dengan seluruh kaum keluarga pula insya Allah!
- Nota [836] Yakni segala hartabenda dan anak-pinak yang Kami berikan kepadanya di dunia akan lenyap dan ia akan datang kepada Kami pada hari akhirat dengan sebatang kara, terputus dari segala-galanya dan hampalah dia dari mendapat pertolongan.
- Bahkan mulut pun akan ditutup dan segala anggota badan menjadi saksi atas segala perbuatannya atas dunia dulu!
Begitulah keadaan di Akhirat kelak amat menakutkan!
Ayat 81 وَاتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ آلِهَةً لِّيَكُونُوا لَهُمْ عِزًّا ﴿٨١﴾ {Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.} [Maryam 19:81]
- Puak kafir mengambil berhala menjadi sembahan mereka, mendakwanya sebagai perantaraan antara mereka & Tuhan, yang akan mendekatkan mereka dengan Tuhan!
- Mereka dakwa sembahan mereka itu akan menjadi penolong yang akan memberi pengaruh dan kemuliaan kepada mereka, yang memberi syafaat dan menyekat azab dari mereka!
- Sama juga dengan semua ajaran sesat hari ini yang menyeru memanggil apa yang mereka sangka boleh menolong mereka!
Jika syiah dok seru ya Husin ya Husin, pengikut lain dok panggil tok Syeikh ni tok Syeikh itu!
Ayat 82 كَلَّا ۚ سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا ﴿٨٢﴾ {Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.} [Maryam 19:82]
- Sedangkan tidak sesekali seperti yang mereka sangkakan itu!
Bahkan sembahan mereka itu juga menafikan mereka Tuhan & memarahi kafir yang menyembah mereka menyebabkan mereka masuk neraka juga! - Iaitu berhala-berhala, batu kayu yang mereka sembah, batu nisan yang mereka gosok, dewa dan roh yang mereka puja semuanya mengingkari tidak mengaku Tuhan dan akan menjadi musuh yang akan memarahi dan menghina mereka di dalam neraka kelak!
*Ini kerana semua sembahan puak kafir akan masuk ke dalam neraka kecuali malaikat, Nabi Isa & Uzair. - Nota [837] Dalam ayat ini Allah Ta’ala menceritakan perihal orang-orang kafir secara umum.
Yakni apa yang mereka sembah itu akan menentang mereka pada hari akhirat dan tidak mengakui perbuatan mereka menyembahnya.
Kerana Allah jualah yang berhak disembah.
Benda-benda itu, dengan kuasa Allah Ta’ala, dapat berkata-kata pada hari akhirat untuk menyalahkan perbuatan orang-orang yang menyembahnya. - Ayat ini banyak ditafsirkan dengan beberapa ayat-ayat al-Quran lain.
Ayat 83 أَلَمْ تَرَ أَنَّا أَرْسَلْنَا الشَّيَاطِينَ عَلَى الْكَافِرِينَ تَؤُزُّهُمْ أَزًّا ﴿٨٣﴾ {Tidakkah engkau mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?} [Maryam 19:83]
- Munasabah ayat:
- dalam ayat yang sebelumnya Allah telah sebut cerita puak kafir dengan berhala-berhalanya di Akhirat kelak;
- maka dalam ayat ini Allah ceritakan pula tentang keadaan syaitan & pengikutnya di dunia ini!
- Yakni siapa yang ikut syaitan seolah telah menabalkannya, mengangkat syaitan sehingga dia berkuasa jadi bertambah kuat & berkuasa!
- Manakala siapa yang lawan syaitan dengan ikut ajaran al-Quran dan beramal ikut Sunnah Nabi s.a.w; akan melemahkan syaitan!
Kita lemahkan syaitan dengan zikir-zikir dan bacaan yang ma’thur, isti’azah (minta perlindungan darinya dengan Allah), kita belajar ilmu yang benar – semua itu dapat melawan syaitan! - Kita bacalah zikir & bacaan yang ma’thur dari Nabi s.a.w dengan rujuk kitab Perisai Muslim.
- Yakni Allah nyatakan kepada Nabi s.a.w bahawa syaitan telah berjaya menguasai orang kafir, ia telah menghiasi perbuatan & fahaman seolah satu perbuatan yang benar sehingga mereka berani memerli kebangkitan semula!
Berani mendakwa bahawa mereka akan bangkit semula di Akhirat kelak dengan segala harta kekayaan yang mereka ada! - Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.} [Az-Zukhruf: 36]. - Syaitan akan menjadi penguasa mereka, ke mana dia pergi tali hidungnya ditarik oleh syaitan!
Di mana ada maksiat dia berlari pergi, di mana ada masjid & majlis kebaikan dia berlari menjauh! - Maka marilah kita lawan syaitan samada syaitan jin iblis atau syaitan manusia yang cuba menghalang kita dari beramal dengan ajaran al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w yang sahih!
Ayat 84 فَلَا تَعْجَلْ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّمَا نَعُدُّ لَهُمْ عَدًّا ﴿٨٤﴾ {Oleh itu, janganlah engkau segera marah terhadap mereka yang ingkar itu, kerana sesungguhnya Kami hanya menghitung hari yang sedikit sahaja bilangannya untuk mereka.} [Maryam 19:84]
- Allah menasihati Nabi s.a.w agar bersabar, jangan gopoh minta Allah terus binasakan puak kafir itu.
Biarlah mereka angkuh, sombong, besar kepala berterusan dalam kekufuran dan kesesatan mereka itu atas dunia ini. - Ini kerana Allah telah menghitung hari dan menyiapkan tempoh hidup mereka atas dunia ini yang tidak lama.
Ajal & kebinasaan mereka telah ditetapkan Allah!
Di Akhirat kelaklah hari perhitungan dan balasannya. Tunggulah kamu wahai puak kafir! - Nota [838] Yakni golongan kafir yang tenggelam dalam kekufuran dan maksiat adalah disebabkan mereka telah dipengaruhi oleh hasutan Syaitan-syaitan dan galakannya yang tidak putus-putus.
Oleh itu, janganlah dirisaukan hal mereka, kerana hari mereka menerima azab telahpun ditentukan.
Penutup & Faedah
- Ayat 77- {Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan (wahai Muhammad), akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami serta ia berkata: "Demi sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat?"}
Allah tanya Nabi s.a.w tidakkah kamu berasa hairan memikirkan dengan perbuatan & fahaman puak kafir yang sombong itu!
Walaupun sebab nuzul untuk kisah Khabbab tetapi ayat ini juga umum untuk semua kafir yang tidak percaya kebangkitan semula itu!
Puak kafir amat sombong dan perli main saja akan kebangkitan semula di Akhirat kelak.
Mereka kata jika betul kita bangkit semula di Akhirat – akan dibawa segala hartanya!
Kata ulama': Seseorang nak tahu masa depan ini kena ada dua syarat:- dia tahu perkara ghaib.
- dia sudah buat MOU perjanjian dengan Tuhan!
- Ayat 78- {Adakah ia telah mengetahui akan perkara yang ghaib atau adakah ia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?}
Allah tanya apakah mereka tahu perkara ghaib atau buat perjanjian dengan Tuhan?
Ayat 79- {Tidak sekali-kali!} – Allah jawab terus tidak sama sekali!
Itu hanya bual besar, angan-angan kosong puak kafir yang tidak berpijak di bumi nyata!
Kata ulama'- dalil besar untuk tolak hujjah sesat puak kafir itu ialah dua syarat tadi.
Ini kerana kita tidak akan tahu perkara ghaib kecuali dengan wahyu Allah s.w.t!
Puak kafir ini bertambah berat azab mereka kerana mereka telah buat tuduhan jahat terhadap Allah s.w.t & mereka-reka cerita.
Ini adalah satu masalah yang berat! - Ayat 79- {Kami akan menulis apa yang dikatakannya dan Kami akan tambahi baginya dari azab seksa, berganda-ganda.}
Tuhan kata Kami akan tulis apa yang mereka kata & azab akan menunggu di sana!
Persoalan: Kenapa dalam ayat ini Allah kata: {Kami AKAN tulis} iaitu ada perkataan sa/sin- (سَنَكْتُبُ) yang menunjukkan pada masa akan datang – sedangkan tidakkah malaikat tulis terus apa saja yang kita buat & kata sekarang ini?!
Jawapan:
Kata ulama': Maksudnya kamu akan tahu kelak! Sekarang ini kamu tak tahu & tak terasa pun malaikat sedang tulis!
Tetapi di Akhirat kelak kita AKAN tahu – kerana itu Allah kata semuanya AKAN ditulis kerana ketika itu Allah akan zahirkan semuanya & baru kamu tahu.
Inilah uslub al-Quran- Allah kata juga dia akan ambil tindakan ke atas kamu jika tidak di dunia – di Akhirat kelak!
Juga untuk mentahqiqkan (merealisasikan) bahawa balasan Allah s.w.t pasti akan terjadi tiada siapa yang dapat menghalangnya!
Kerana itu Allah tak kata Kami TELAH tulisnya tetapi akan tulisnya!
Begitulah uslub al-Quran semakin difahami semakin menarik. - Ayat 81- {Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.} – kafir buat benda syirik dengan ambil sembahan dan mendakwa semua Tuhan.
Semua itu adalah kata-kata dan dakwaan manusia yang tidak berpaksi kepada dalil kebenaran, tidak berpijak di bumi nyata – maka jadilah semua sembahan itu sesuatu yang tidak berguna tidak berfaedah seperti kayu batu dewa semua yang tidak berguna.
Tidak berguna kerana Allah telah katakan semua manusia akan bangkit seorang diri di Akhirat kelak!
Kata ulama': Sesiapa yang letakkan pergantungan hatinya & tawakkal kepada yang lain selain daripada Allah; semuanya akan kecewa!
Berhala nak kata apa ia bergerak pun tidak!
Malaikat, Isa dan Uzair pula bukan nak tolong mereka bahkan marah & tidak redha dengan perbuatan mereka itu!
Orang yang bergantung hatinya dengan makhluk akan kecewa di Akhirat kelak.
Sebagaimana orang yang buat amal kerana riya’ akan kecewanya kerana tiada pahalanya!
Kata ulama' juga: Tanda keimanan kita ialah apa yang lidah kita sebut ketika terkejut atau terdesak.
Bila datang bencana apa yang keluar dari mulut – Ya Allah atau ya apa yang diseru!
Di Akhirat kelak tiada siapa yang dapat membantu kita kecuali iman kita yang ikhlas kepada Allah! - Ayat 83- {Tidakkah engkau mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?} – sesiapa yang derhaka kepada Allah maka dia adalah pengikut syaitan!
Di Akhirat kelak tiada tempat untuk dia selamat kecuali bersama syaitan-syaitan masuk neraka dia terjun neraka juga, syaitan kena hina kena laknat dia kena juga!
Apa saja yang berlaku tiada siapa yang boleh beri pertolongan kepadanya kerana dia telah ikut ajakan syaitan!
Na’uzubillah!
Inilah yang kita kena belajar, kita dah bincangkan dulu tentang hakikat syaitanirrajim dalam buku Hakikat Syaitan supaya kita kenal dia & tak akan ikut ia!
Di akhir ayat Allah kata kamu tak perlu gopoh untuk ambil tindakan ke atas mereka puak kafir itu; kerana malaikat telah mencatat semuanya dan Allah telah menghitung masa untuk ambil tindakan ke atas mereka!
Penutup
Ya Allah kurniakanlah kepada kami istiqamah di atas al-Kitab wa as-Sunnah dan akhirilah hidup kami di dunia dengan husnul khatimah.
Peliharalah kami, keluarga kami, pelajar-pelajar kami dan anak cucu kami daripada terjebak dengan perangkap-perangkap syaitan, sama ada syaitan jin atau syaitan manusia.
وَصَلَّى اللهُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
Teks al-Quran dalam kotak ayat: Tanzil Project (Rasm Uthmani).
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.