Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Taha · Nota 18/24

Surah Taha: Ayat 105-110

Keadaan Bukit Di Mahsyar, Manusia Dalam Ketakutan, Golongan Yang Diizinkan Syafaat

Keadaan Bukit Di Mahsyar, Manusia Dalam Ketakutan & Golongan Yang Diizinkan Syafaat

Live Kuliah Pagi Rabu 28/10/2026 - 17 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (18) Ayat [105-110]

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 105 sehingga ayat 110 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan keadaan bumi & gunung-ganang di Mahsyar, pada hari Kiamat.

Allah nyatakan Dia telah kosongkan bumi ini daripada sebarang bukit-bukau, kayu-kayan dan seumpamanya!

Ini soalan yang ditanya Allah & dijawab-Nya sendiri.

3. Manusia pula bangkit dari kubur dalam ketakutan kecuali mereka yang beriman akan diberi keamanan dan mendapat lindungan Allah.

*Begitulah kata ulama' sesiapa yang takut (kepada Allah) di dunia akan aman di Akhirat manakala sesiapa yang berani (tidak ikut Syari'ah Allah) di dunia akan ketakutan di Akhirat.

4. Kemudian Allah nyatakan pula siapakah golongan yang diizinkan memberi syafaat dan menerima syafaat dengan izin Allah s.w.t!

*Semoga kita termasuk dalam golongan hamba Allah yang layak memberi & menerima syafaat ini!

5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

  1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang keadaan pada huru-hara hari (أهوال) Kiamat.
  2. maka datang ayat ini Allah beri soalan kemudian menjawabnya terus.

    Iaitu soalan bagi orang yang tak percaya – maka Allah suruh Nabi s.a.w menjawabnya – katakan kepada mereka: {فَقُلْ}.

    Ini adalah satu-satunya ayat yang mempunyai perkataan ini di depannya.

  3. juga tentang pemberi & penerima syafaat – tidak akan berlaku kecuali dengan keizinan Allah s.w.t.

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 105 وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْجِبَالِ فَقُلْ يَنسِفُهَا رَبِّي نَسْفًا ‎﴿١٠٥﴾‏ {Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang; maka jawablah: "Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin.}

  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:

    i- dalam ayat yang lepas Allah ceritakan kepada kita tentang keadaan orang terdahulu secara spesikifiknya melalui kisah Nabi Musa a.s.

    Kemudian Allah ceritakan tentang orang yang menentang dan berpaling menolak al-Quran dan keadaan mereka yang berbalah tentang berapa lama mereka berada di dunia dulu!

    1. kemudian datang ayat ini Allah menceritakan bahawa mereka yang menentang dan menolak al-Quran & tidak percaya akan hari Kiamat itu akan bertanya buat-buat nak tahu: Apa yang akan terjadi kepada bukit-bukau pada hari Kiamat kelak!
    2. lalu Allah ajar kepada Nabi s.a.w untuk menjawabnya!

    Iaitu pada hari Kiamat kelak Allah akan hilangkan semua bukit-bukau, dihancur lumat dan berterbangan seperti debu di udara.

  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:

    {Dan apabila gunung-ganang hancur lebur berterbangan;} [Mursalat: 10].

  3. Nota [919] Setelah Allah Ta’ala menerangkan perihal hari kiamat dan apa yang akan berlaku padanya, lalu diterangkan tentang pertanyaan kaum kafir musyrik yang tidak percaya pada hari kiamat itu, yang mengatakan apahal gunung-ganang pada hari itu?

    Lalu diterangkan jawabnya dan disertakan dengan beberapa perkara lagi yang akan berlaku.

  4. Ayat soal – jawab dalam al-Quran ada 3 jenis:
    1. ada soalan yang dijawab dengan- {فَقُلْ}
    2. ada soalan dijawab dengan- {قُلْ}
    3. ada soalan dijawab terus tanpa kedua ini!

*Rahsia & hikmahnya kita lihat dalam faedah nanti.

Ayat 106 فَيَذَرُهَا قَاعًا صَفْصَفًا ‎﴿١٠٦﴾ {"Lalu Ia membiarkan tapak gunung-gunung itu (di bumi) rata lagi licin".}

  1. Allah jadikan bumi ini rata & licin. Bekas atau tapak gunung-ganang dulu diratakan dan dibiarkan sama, kosong, tiada tinggi atau rendah.
  2. Ini kerana Allah nak kumpulkan semua manusia pada satu tempat sahaja!

Cuma mungkin berbeza zon orang yang baik & orang yang celaka!

3. Ya Allah permudahkan urusan kita di Akhirat kelak, bermula dengan husnul khatimah, luas di dalam kubur, mendapat syafaat Nabi s.a.w di Akhirat & berakhir dengan syurga sebagai tempat kembali!

Ayat 107 لَّا تَرَىٰ فِيهَا عِوَجًا وَلَا أَمْتًا ‎﴿١٠٧﴾ {Engkau tidak akan melihat pada tapaknya itu tempat yang rendah atau yang tinggi.}

1. Kamu tidak akan lihat wahai orang yang memandang kepada bumi pada hari Kiamat kelak sesuatu yang tinggi atau rendah iaitu tidak sama!

Kerana bumi telah diratakan menjadi dataran dan tanah rata yang luas dan sama!

*Ini keadaan bumi dan permukaannya!

Ayat 108 يَوْمَئِذٍ يَتَّبِعُونَ الدَّاعِيَ لَا عِوَجَ لَهُ ۖ وَخَشَعَتِ الْأَصْوَاتُ لِلرَّحْمَٰنِ فَلَا تَسْمَعُ إِلَّا هَمْسًا ‎﴿١٠٨﴾ {Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan tidak dapat melencong dari menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.}

  1. Kemudian Allah nyatakan keadaan manusia pula pada hari Kiamat.

    Selepas keluar dari kubur mereka – semua manusia akan dipanggil untuk menuju ke tempat yang telah dikhaskan untuk mereka semua.

  2. Masing-masing akan menurut arahan & panggilan malaikat itu.

Tidak ada sesiapa yang akan dapat lari atau melencong lari daripada tempatnya yang telah ditetapkan!

Setiap orang dikumpulkan mengikut kategori iman & amal mereka.

  1. Nota [920] Yakni panggilan malaikat yang menyeru mereka berhimpun di Padang Mahsyar untuk dihitung amalnya dan menerima balasan.
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:

    ){فَتَوَلَّ عَنْهُمْ ۘ يَوْمَ يَدْعُ ٱلدَّاعِ إِلَىٰ شَىْءٍ نُّكُرٍ ٦

    Oleh itu, berpalinglah dari mereka (wahai Muhammad dan janganlah dihiraukan). (Ingatlah) masa (malaikat) penyeru menyeru (mereka pada hari kiamat) kepada perkara yang tidak diingini (oleh orang yang bersalah);

    خُشَّعًا أَبْصَـٰرُهُمْ يَخْرُجُونَ مِنَ ٱلْأَجْدَاثِ كَأَنَّهُمْ جَرَادٌ مُّنتَشِرٌ )(٧

    (Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.

    مُّهْطِعِينَ إِلَى ٱلدَّاعِ ۖ يَقُولُ ٱلْكَـٰفِرُونَ هَـٰذَا يَوْمٌ عَسِرٌ )(٨

    Masing-masing dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang demikian), orang-orang yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat sukar!} [Al-Qamar: 6-8].

  3. Pada hari itu setiap manusia diam khusyuk, tidak bercakap apa. Diam menunggu mendengar segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya {الرَّحْمَـٰن} sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.
  4. Nota [921] “Amat perlahan”: samada suara bisikan mereka atau bunyi tapak kaki mereka semasa berjalan.
  5. Ini kerana semua manusia dalam ketakutan dan kecemasan menunggu apakah perhitungan dan balasannya masing-masing!

Ayat 109 يَوْمَئِذٍ لَّا تَنفَعُ الشَّفَاعَةُ إِلَّا مَنْ أَذِنَ لَهُ الرَّحْمَٰنُ وَرَضِيَ لَهُ قَوْلًا ‎﴿١٠٩﴾‏ {Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (dari dan kepada sesiapapun) kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmatNya dan kepada orang yang diredai perkataannya.}

1. Allah nyatakan pada hari Kiamat kelak, tiada siapa boleh menolong dan ditolong oleh orang lain kecuali dengan keizinan Allah s.w.t!

Tiada guna lagi kabel, kroni atau rasuah!

  1. Nota [922] Yakni pada hari akhirat tidak ada sesiapapun yang boleh memberi atau mendapat syafaat pertolongan kecuali orang-orang yang diizinkan oleh Allah Ta’ala untuk memberi atau mendapatnya.
  2. Apabila Allah izinkan kepada Rasulullah s.a.w untuk memberi syafaat – ketika itu barulah manusia mendapat pertolongan.

Nabi s.a.w bangun dan sujud di bawah Arasy memuji Allah dengan segala pujian yang layak kepada-Nya.

4. Hadis ketika Nabi s.a.w bangun memberi syafaat pada hari Kiamat:

Rasulullah S.A.W bersabda, “Ketika datang hari kiamat, seluruh manusia akan saling bertembung antara satu sama lain dan bertindihan seperti ombak di lautan.

Kemudian, mereka akan mendatangi Nabi Adam A.S seraya berkata, ‘Berikanlah syafaat kepada keturunanmu!’ Nabi Adam A.S menjawab, ‘Aku tidak diberi kuasa untuk itu, kalian carilah Nabi Ibrahim kerana ia adalah Khalilullah.’

Lalu, mereka mendatangi Nabi Ibrahim A.S, ia pun akan menjawab: ‘Aku tidak diberi kuasa untuk itu, kalian temuilah Nabi Musa A.S kerana ia adalah Kalamullah.’

Ketika mereka mendatangi Nabi Musa A.S, ia pun berkata, ‘Aku tidak diberi kuasa untuk itu, kalian carilah Nabi Isa A.S kerana ia adalah Ruhullah.’

Ketika mereka mendatangi Nabi Isa A.S, ia pun berkata, ‘Aku tidak berkuasa atas hal itu, kalian pergilah ke Nabi Muhammad S.A.W.’

Kemudian, mereka mendatangiku.

Aku berkata kepada mereka, ‘Ya, aku diberi kuasa untuk itu.’ Aku segera meminta izin untuk menghadap ke hadrat Allah S.W.T.

Aku akan diberikan izin. Aku akan berada di hadapan-Nya sambil terus memuji-Nya dengan pujian-pujian yang begitu mulia, bahkan aku tidak dapat mengucapkan pujian tersebut saat ini kerana aku tidak akan mampu, tetapi pada saat itu Allah S.W.T akan memberikan ilham kepadaku.

Kemudian, aku akan bersujud kepada-Nya dan akan dikatakan kepadaku, ‘Ya Muhammad, angkatlah kepalamu. Katakanlah sesuatu, maka kata-katamu akan dikabulkan. Mintalah sesuatu, maka permintaanmu akan diberikan. Mohonlah syafaat, maka hak memberi syafaat akan diberikan kepadamu.’

Aku pun akan berkata, ‘Ya Rabbi, ummatku! Ummatku!’

Allah S.W.T menjawab, ‘Pergilah, siapa sahaja yang memiliki iman di hatinya sebesar biji gandum, keluarkanlah dia dari neraka.’ Aku pun akan pergi untuk melakukannya.

Lalu, aku akan kembali ke hadapan-Nya sambil memuji-Nya, kemudian bersujud.

Kemudian, akan dikatakan kembali kepadaku, ‘Ya Muhammad, angkatlah kepalamu. Katakanlah sesuatu, maka Aku akan kabulkan. Mintalah sesuatu, maka permintaanmu akan diberikan. Mohonlah syafaat, maka hak memberi syafaat akan diberikan kepadamu.’

Aku kembali berkata, ‘Ya Rabbi, ummatku! Ummatku!’ Allah S.W.T menjawab, ‘Pergilah, siapa sahaja yang memiliki iman di hatinya sebesar biji sawi, keluarkanlah dia dari neraka.’ Aku pun akan pergi melakukannya.

Lalu, aku kembali ke hadapan-Nya sambil memuji-Nya, kemudian bersujud.

Allah S.W.T kembali berkata, ‘Ya Muhammad, angkatlah kepalamu. Katakanlah sesuatu, maka perkataanmu akan dikabulkan. Mintalah sesuatu, maka permintaanmu akan diberikan. Mohonlah syafaat, maka hak memberi syafaat akan diberikan kepadamu.’ Aku berkata, ‘Ya Rabbi, ummatku! Ummatku!’

Allah S.W.T menjawab, ‘Pergilah, siapa sahaja yang memiliki iman di hatinya lebih kecil daripada biji sawi, keluarkanlah dia dari neraka.’ Aku pun akan pergi untuk melakukannya.” [HR Sahih Muslim]

*Inilah Syafaat al-Uzma yang Allah berikan kepada Rasulullah s.a.w kemudian diikuti dengan syafaat-syafaat yang lainnya!

Tetapi dengan syarat semuanya beriman kepada Allah!

5. Firman Allah s.w.t juga

{Dan tidak berfaedah syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah…} [Saba’: 23].

Ayat 110 يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِهِ عِلْمًا ‎﴿١١٠﴾ {Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (dari hal-hal dunia) dan apa yang di belakang mereka (dari perkara akhirat); sedang mereka tidak mengetahuinya secara meliputi.}

  1. Allah s.w.t mengetahui semua apa yang telah berlaku di hadapan kita yakni dari amalan dunia – apa perbuatan kita apa yang kita buat di dunia selama ini baik atau tidak! Kalau baik, alhamdulillah.
  2. Allah juga mengetahui apa yang akan berlaku dari perjalanan kita di Akhirat kelak.

Yakni Allah tahu: apabila kita mati & masuk ke dalam kubur – apakah nikmat atau azab menanti kita!

Kubur kamu menjadi taman syurga atau tidak?

3. Ini kerana Allah Taala menyebut:

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ

Kata ar-Razi ada pelbagai tafsir ulama' tentang ayat ini.

4. Pendapat pertama adalah pendapat al-Kalbi tentang {مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ}:

  1. dia kata {مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ} – perkara yang berada di hadapan maksudnya di Akhirat kelak, iaitu perkara yang akan datang.
  2. manakala {وَمَا خَلْفَهُمْ}: apa yang telah ditinggalkan atau di belakang mereka ialah kehidupan & urusan dunia yang telah lepas!

5. Manakala ada juga yang menafsirkan sebaliknya (secara terbalik) iaitu kata Mujahid:

  1. maksudnya {مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ} – perkara yang di hadapan iaitu urusan dunia dan amalan mereka sekarang ini!
  2. manakala {وَمَا خَلْفَهُمْ}: apa yang di belakang mereka ialah di Akhirat kelak, yang akan datang.

Terbalik tafsirannya, ini dipanggil tafsir (العكس).

Sama ada begini atau begitu; Dunia dahulu atau akhirat dahulu?

*Wallahu a'lam yang penting kedua-duanya berada di bawah ilmu Allah!

6. Sedangkan kita manusia tidak mengetahuinya kecuali apa yang diwahyukan Allah.

Iaitu Allah wahyukan kepada Nabi s.a.w & Nabi ajar kepada kita melalui wahyu Allah maka kita tahulah apa yang akan berlaku pada hari Kiamat kelak!

7. Manusia juga tak tahu apa yang berlaku, lupa apa yang sudah diketahuinya, tak ingat apa yang telah dipelajari & lalai apa yang telah diingatinya!

Kerana itu manusia itu dinamakan manusia kerana ia mudah lupa.

Manusia semuanya mudah lupa – yang tak lupa segalanya adalah Allah Azza wa Jalla yang Mengetahui segala perkara!

Penutup & Faedah

1. Ayat 105: {Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang; maka jawablah: "Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin.}

Allah kata mereka yang kafir akan bertanya kepada kamu wahai Muhammad tentang perihal gunung ganang!

Maka di sini Allah kata {فَقُلْ} yakni jawab segera – maka katakan kepada mereka!

Kata ulama' perkataan {فَقُلْ} ini nak suruh jawab segera!

Dalam ayat ini Allah bawa soalan kemudian Dia ajar suruh jawab.

Memang banyak terdapat dalam al-Quran ayat-ayat sebegini – soalan kemudian jawapan. Tetapi biasanya jawapan itu:

  1. jawapannya hanya {قُلْ} dengan tiada huruf {فَ} seperti dalam ayat ini.

    {۞ يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِىَ مَوَٰقِيتُ لِلنَّاسِ وَٱلْحَجِّ -

    Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.} [al-Baqarah: 189].

    Ini satu perbincangan yang menarik

  2. kecuali ayat ini ada huruf fa {فَقُلْ} – kenapa? Sebab kenapa Allah Taala di sini beri jawapan dengan fa, فَقُلْ?

Sebabnya mengikut kajian ulama' tafsir:

Soalan yang lain-lain itu, ada orang yang tanya. Mereka datang bertanya secara hakiku kepada Rasulullah s.a.w.

*Mereka tanya tentang bulan, tentang hilal. Allah kata, jawablah, bulan itu tanda waktu (ayat atas tadi.

*Mereka tanya tentang perempuan yang haid-

﴿وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى﴾

Allah suruh Nabi jawab:

﴿قُلْ هُوَ أَذًى﴾-

Katakan Haid itu penyakit.

Semua bila ditanya, maka dijawab dengan قُلْ- katakana – jawablah!

Adapun di sini Allah Taala jawab sebelum soal lagi.

Orang kafir masih tidak tanya lagi, tetapi Tuhan beritahu kepada Nabi S.A.W jawapan awal. Sekiranya ditanya, ini jawapannya.

Kerana itu Allah kata:

﴿وَيَسْأَلُونَكَ فَقُلْ﴾

Allahu Akbar! Seoalah Allah berfirman: Ya Muhammad, kalau engkau ditanya tentang bukit, maka segera jawab: فَقُلْ bahawa

﴿يَنْسِفُهَا رَبِّي نَسْفًا﴾

Allah Taala akan hancurkan bukit-bukau itu!

Jelas sekali huraiannya masya' Allah.

iii- soalan yang jawapannya tanpa Qul {قُلْ} – hanya satu ayat saja begini:

Sebagaimana dalam firman Allah ini:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ

{Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);} [al-Baqarah: 186].

Kata ulama' tadabbur kerana nak menunjukkan Allah sangat dekat dengan kita maka katakan {قُلْ} pun tidak disebut!

Maka marilah kita sentiasa berdoa meminta dari Allah s.w.t kerana Dia sangat dekat dengan kita dan mendengar segala permohonan kita!

2. Ayat 105: {Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang;} – maka katakan فَقُلْ kepada mereka,

﴿يَنْسِفُهَا رَبِّي نَسْفًا﴾.

Allah Taala akan hancurkan bukit-bukit itu.

Banyak ayat-ayat al-Quran yang Allah nyatakan tentang keadaan bukit pada hari Kiamat!

Ada bukit yang dihancurkan, ada bukit yang berterbangan.

Kita tengok beberapa ayat tentang bukit ini:

  1. {Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur,} [Al-Haaqqah: 14].
  2. {Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);} [At-Takwir: 3].
  3. {Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya,} [Al-Waaqiah: 5].
  4. {(Azab itu tetap berlaku) pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang (serta hancur lebur) dan menjadilah gunung-ganang itu timbunan pasir yang mudah bersepah.} [Al-Muzzammil: 14]
  5. {Dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan).} [Al-Maarij: 5-6].
  6. {وَبُسَّتِ ٱلْجِبَالُ بَسًّا ٥ -Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya} & {فَكَانَتْ هَبَآءً مُّنۢبَثًّا ٦- Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran,} [Al-Waaqiah: 5-6].
  7. {Dan gunung-ganang - setelah dihancurkan - diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.} [An-Nabaa’: 20].

Kemudian ayat ini Allah kata Dia akan hancurkan bukit sehancur-hancurnya!

Semua ayat ini jika digabungkan tetap tidak bercanggah semuanya menunjukkan akan kebinasaan bukit-bukau & gunung-ganang pada hari Kiamat kelak sebagaimana yang ditetapkan Allah Azza wa Jalla.

3. Ayat 108: {Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan tidak dapat melencong dari menurutnya;} – pada hari itu semua manusia akan ikut kumpulan mengikut seruannya.

Orang beriman dipanggil ikut kumpulannya – orang kafir ikut kumpulannya!

Kita berdoalah kepada Allah s.w.t supaya kita dipanggil pada jalan Nabi s.a.w.

Kerana jalan yang selamat hanyalah jalan Nabi Muhammad s.a.w.

Jika nak selamat kita ikutlah lorong yang dibawa oleh Nabi s.a.w.

Jangan main-main bercakap bahawa jika ada pilihan kita akan ikut jalan Syeikh atau guru! Jangan begitu hanya dengan Nabi saja kita boleh kata begitu.

Dalam Syari'ah perundangan kita kena ikut al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w!

4. Ayat 109: {Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (dari dan kepada sesiapapun) kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmatNya dan kepada orang yang diredai perkataannya.} – pada hari Kiamat kelak adanya satu lagi kategori, dia panggil asy-Syafi‘ (الشَّافِع), pemberi syafaat.

Pemberi syafaat dengan izin Allah Ta‘ala yang paling besar sekali, dia panggil asy-Syafa‘ah al-‘Uzma (الشَّفَاعَةُ الْعُظْمَى). Iaitu Nabi S.A.W.

Kemudian orang lain pula, syuhada', solehin, mereka boleh beri syafaat kepada orang-orang yang diizinkan oleh Allah عز وجل.

Banyak dalam syarah Kitab Tauhid yang kita dah baca itu, ada lapan kategori syafaat.

Tuan-tuan boleh tengok dalam rakaman kita yang lepas kerana tak sempat nak syarah di sini.

Kata ar-Razi: Ayat ini menjadi dalil yang kuat sekali bahawa syafaat akan sampai juga kepada orang yang tak baik dengan syarat beriman!

Iaitu seperti orang yang beriman tetapi dia fasiq, dia solat tetapi dia ambil riba, dia beriman tetapi dia sakau – mereka akan menerima syafaat juga di akhirnya!

Tetapi hati-hati jaga mulut itu, jangan sedap dok sakau-sakau kepada orang kerana sebagaimana kata papatah:

إِنَّ الْبَلَاءَ مُوَكَّلٌ بِالْمَنْطِقِ -

Bala itu ia datang ikut mulut.

Kita ambil pengajaran dulu ada orang dok kata kepada orang lain; kluster, kluster, kluster. Akhirnya sekali dengan dia jadi kluster juga.

Orang yang duduk main sakau-sakau, kita bimbang juga akan sakau juga. نعوذ بالله.

Yang penting, Ar-Razi kata ayat ini menjadi dalil yang kuat bahawa orang yang beriman tapi terjebak dengan dosa, riba ke, rasuah ke, apa saja; mereka juga akan menerima syafaat di akhir nanti.

Ertinya kalau kena masuk neraka pun, نعوذ بالله, dibakar dulu, kemudian baru datang syafaat.

Kita yang sudah belajar ini sentiasalah berdoa kepada Allah S.W.T supaya Allah Ta‘ala redha kita di dunia, redha di akhirat, mendapat syafaat Nabi S.A.W dan kita juga boleh memberi syafaat kepada orang yang kita sayangi!

Maka kata Ar-Razi, yang paling kuat sekali kunci nak dapat syafaat adalah bersyahadah:

شَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Banyak mana dosa, tapi kalau syahadah tak rosak, ia jahat dari sudut fizikalnya tapi akidah dia tak rosak, orang ini ada harapan untuk mendapat syafaat.

Tapi kalau akidah punah – ibadat kuat tetapi suka menggosok batu nisan meminta-minta di kuburan – ini bahaya!

Kerana kerosakan yang berlaku pada aqidah tidak boleh dibetulkan – tetapi jika kerosakan berlaku pada akhlak dan amalan boleh diperbetulkan!

5. Ayat 110: {Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (dari hal-hal dunia) dan apa yang di belakang mereka (dari perkara akhirat); sedang mereka tidak mengetahuinya secara meliputi.}

Allah s.w.t Maha mengetahui apa yang telah berlaku, apa yang sedang berlaku & apa yang akan berlaku – ilmu Allah meliputi segala perkara!

Ayat ini nak isbatkan bahawa ilmu Allah meliputi semua perkara yang lepas yang sudah berlaku & yang akan datang!

Kita belajar sifat Allah: قَوِيٌّ عَلِيمٌ maka hasilnya:

  1. Orang ini tak akan buat maksiat sebab dia tahu Allah tahu.

    Orang ini akan kuat ibadat sebab dia tahu Allah tahu. Kenapa kuat ibadat? Allah tahu. Kalau kita malas, malu ke Tuhan.

  2. Orang ini tak buat maksiat kerana tahu Allah itu Maka Perkasa.

Kenapa tak buat maksiat? Allah Ta‘ala tahu. Siapa dia buat maksiat akan dibalas.

Jadi semua itu di bawah ilmu Allah عز وجل.

Jadi para jemaah sekalian, kita mantapkan akidah kita, sabatkan (teguhkan) iman kita, kuatkan ibadat kita sebab kita tahu Allah Ta‘ala tahu. الله أكبر.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga mendapa manfaatnya!

Para jemaah sekalian, kita sambung lagi besok dengan ayat seterusnya insya' Allah.

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas