Surah Taha: Ayat 111-114
Keadaan Manusia Di Mahsyar, Al-Quran Bahasa Arab, Minta Tambah Ilmu
Keadaan Manusia Di Mahsyar, Al-Quran Bahasa Arab & Minta Tambah Ilmu

Live Kuliah Pagi Khamis 29/10/2026 - 18 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (19) Ayat [111-114]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 111 sehingga ayat 114 dalam juzuk keenam belas.
Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan keadaan manusia di Mahsyar, samada yang beriman atau jika kafir lagi dahsyat!
Semua tunduk patuh takut dan akur kepada Allah s.w.t.
Orang beriman tenang kerana dia tahu dia telah melakukan yang terbaik manakala orang yang bersalah akan takut!
- Kemudian Allah nyatakan kemuliaan al-Quran yang turun dalam bahasa Arab & Allah telah muliakan bangsa Arab yang beriman, yang menerima al-Quran yang mulia ini.
- Allah ajar ilmu atau cara adab untuk menerima al-Quran kepada Nabi s.a.w.
*Jika guru sedang mengajar kita kena dengar jangan dok ralit berbual.
Satu arahan Allah kepada Nabi s.a.w untuk berdoa minta tambah ilmu – Allah tak suruh Nabi minta pangkat & jawatan.
*Doa ini termasuk juga dalam zikir pagi yang diajar oleh Nabi s.a.w- maka jangan kita lupa mengamalkannya.
5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang syafaat.
Di Akhirat kelak kita amat memerlukan syafaat – maka siapakah pemberi syafaat yang Agung?
- maka dalam ayat ini Allah nyatakan Pemberi syafaat yang agung iaitu Nabi s.a.w.
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 111 وَعَنَتِ الْوُجُوهُ لِلْحَيِّ الْقَيُّومِ ۖ وَقَدْ خَابَ مَنْ حَمَلَ ظُلْمًا ﴿١١١﴾ {Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk selama-lamanya; dan sesungguhnya telah rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman.}
- Allah nyatakan pada hari Kiamat, muka manusia semuanya tertunduk dalam ketakutan dan kehinaan kepada Allah s.w.t Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk selama-lamanya!
Allah s.w.t sebut muka dalam ayat ini kerana muka atau wajah adalah anggota badan manusia yang paling mulia.
Maka sesiapa yang semasa di dunia ini tundukkan wajahnya sujud takut kepada Allah maka di Akhirat kelak Allah akan muliakannya dan akan aman di Akhirat.
- Orang kafir yang sombong angkuh berasa mulia di dunia tidak mahu sujud kepada Allah akan ketakutan, tunduk kehinaan mukanya di Akhirat kelak!
- Sujud pula kena sempurna & penuh khusyuk kepada Allah!
Rugilah jika orang yang solat tetapi tidak boleh turun sujud tanpa keuzuran yang sebenar!
4. Kita sujud kepada Allah yang sifat-Nya:
- Yang Tetap Hidup {الحَىِّ}, Allah s.w.t yang tidak mengantuk & tidak tidur tetap hidup selamanya.
- lagi Yang Kekal Mentadbirkan {ٱلْقَيُّومِ} – iaitu Allah yang berdiri dengan sendiri & Dia juga menyusun susun-atur orang lain – segala makhluk-Nya.
5. Allah nyatakan sesungguhnya telah rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman iaitu:
- orang yang datang bertemu Allah memikul kufur & syirik, tidak mahu beriman kepada Allah;
- orang yang telah beriman tetapi tetap melakukan dosa dan maksiat.
6. Kata Ibnu 'Atiyah rhm: Merangkumi orang yang menzalimi diri sendiri ialah dengan syirik & dengan buat dosa maksiat!
Maka di Akhirat kelak dia akan menanggung dosa itu!
Setiap orang akan menyesal rugi mengikut keadaan dosanya dulu!
7. Orang beriman yang tidak cuba buat amal ibadat sebanyak & sebaiknya juga akan menyesal!
Ahli ibadat jangan buang peluang yang Allah berikan tidak mahu berebut pahala yang dijanjikan seperti melakukan amal sunat tambahan dan sebagainya!
Orang yang tidak datang lansung ke masjid itu lain cerita pula kerugiannya!
*Begitulah semua manusia akan menyesal dan kerugian di Akhirat kelak jika tidak manfaatkan usianya atas dunia ini dengan ketaatan kepada Allah!
Ayat 112 وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَا يَخَافُ ظُلْمًا وَلَا هَضْمًا ﴿١١٢﴾ {Dan sesiapa yang mengerjakan sebarang apa dari amal-amal yang soleh, sedang ia beriman, maka tidaklah (seharusnya) ia merasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikitpun dari pahalanya.}
Munasabah ayat:
- dalam ayat yang lepas Allah sebut tentang keadaan hari Kiamat; bumi kosong, bukit bukau terbang & manusia semua tunduk ketakutan kepada Allah Azza wa Jalla.
- maka datang ayat ini Allah nak ceritakan tentang keadaan orang yang beriman dan beramal soleh di Akhirat kelak – apa keadaan orang beriman.
Allah kata sesiapa yang mengerjakan sebahagian daripada amal soleh:
{مِنَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ}
Allah tak kata semua tetapi sebahagiannya saja kerana manusia ini tidak sempurna dan lemah!
Tetapi cukuplah jika dia mampu mengerjakan sebahagian amal soleh yang Allah perintahkan setakat yang dia mampu sebaiknya!
Manusia ini kemampuannya terhad & terbatas – Allah tak paksa & tak tekan di luar kemampuannya!
- Allah tegaskan bahawa:
- Sesiapa yang beramal soleh dengan dia beriman kepada janji-janji Allah dengan balasan syurga, keredhaan Allah dan semuanya.
- Dia juga beriman dengan janji azab bahawa sesiapa yang melakukan syirik & kufur, buat dosa & maksiat, langgar perintah Allah akan dihumban ke dalam neraka;
- Maka Allah beri jaminan – jangan sesekali dia berasa bimbang & takut jika pahalanya akan dikurangkan walaupun sedikit!
Pahala yang diberikan mengikut darjat amal yang dibuat!
Banyak peluang yang diberi Allah jangan kita sia-siakannya!
4.Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.} [An-Nisaa’: 40].
Ayat 113 وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا وَصَرَّفْنَا فِيهِ مِنَ الْوَعِيدِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ أَوْ يُحْدِثُ لَهُمْ ذِكْرًا ﴿١١٣﴾ {Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab dan kami telah terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia seluruhnya) bertaqwa atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan dari faedah mereka.}
- Allah menyatakan tentang al-Quran yang mulia & amat besar kedudukannya di sisi Allah s.w.t. Pertamanya bahawa al-Quran ini diturunkan dalam bahasa Arab sebagai bacaannya supaya kita faham.
- Nota [923] Yakni sebagaimana Kami menurunkan kepadamu wahai Muhammad, akan ayat-ayat yang telah lalu, yang menjelaskan perihal umat-umat dahulu kala dan amaran-amaran bagi orang-orang yang ingkar supaya mereka mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang, maka demikianlah pula Kami menurunkan Al-Qur’an seluruhnya dalam bahasa Arab dan dengan tujuan yang sama.
Orang-orang Arab dan orang-orang yang pandai bahasa Arab akan mengetahui kandungannya secara lansung, manakala orang-orang yang tidak pandai bahasa itu akan juga mendapat faedahnya dengan mempelajari makna dan pengertiannya yang sebenar.
3. Bagi yang tak faham bahasa Arab kita ada kitab Tafsir al-Quran mengikut bahasa masing-masing. Kitab tafsirkan terjemahan al-Quran & syarahnya ikut penjelasan ulama' bukan dengan tafsiran otak kita sendiri!
Kuliah tafsir DDAAM berdasarkan Tafsir Pimpinan ar-Rahman, yang ada nota serta ketelitian panelnya, setakat yang kita baca ini tiada yang pelik, tafsir dengan ma’thur serta tiada kisah Israiliyyat yang karut marut. Alhamdulillah kita kata ini adalah satu kelebihan yang besar bagi panel penterjemah dan penilainya!
- Al-Quran dengan satu bahasa iaitu bahasa Arab telah menyatukan kita semua umat Islam. Apa bangsa pun baca al-Quran dalam bahasa Arab maka kita tahu jika betul atau salah – kerana kita semua belajar al-Quran dalam satu bahasa yang sama!
Cuba lihat di Tanah Haram manusia dari seluruh dunia dengan pelbagai bahasa berkumpul di belakang imam yang satu, solat dengan bacaan al-Quran dalam bahasa Arab.
Cuma kena ada terjemahan mengikut bahasa masing-masing untuk faham & tadabbur maknanya!
6. Allah ulang-ulang al-Quran ini untuk memberi peringatan & amaran untuk masyarakat yang derhaka tak dengar kata dengan pelbagai gaya bahasa!
Ada waktu diberi amaran, disebut tentang azab, diberi ancaman siksa dan pelbagainya!
Agar tiada lorong untuk ahli maksiat masuk!
- Allah perlbagaikan uslub peringatan dalam al-Quran; Semua ini agar manusia takut kepada Allah & tidak cuba untuk melakukan keingkaran terhadap Allah iaitu taqwa kepada Allah.
- Juga agar manusia mendapat daripadanya sesuatu peringatan yang beri faedah kepada mereka iaitu tadabbur & tafakkur!
Ayat 114 فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ ۗ وَلَا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰ إِلَيْكَ وَحْيُهُ ۖ وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا ﴿١١٤﴾ {Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku".}
Munasabah ayat:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah besarkan kedudukan al-Quran;
- maka datang ayat ini Allah agungkan Zat-Nya yang mulia agar kita rasa takut dan gerun serta cinta sayang kepada Allah s.w.t, agar kita semua mengagungkan Allah s.w.t!
- Allah nyatakan sifatnya Yang Maka Maha Tinggi, Allah yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar pada segala-galanya, hanya Allah yang Esa yang patut kita puji & sembah!
Kemudian Allah juga berpesan kepada Nabi s.a.w agar jangan gopoh cuba untuk menghafaz al-Quran.
Ini kerana Nabi s.a.w apabila dengar Jibril baca terus diiukut baca bersamanya!
Tetapi Allah ajar Nabi s.a.w untuk bertalaqqi – dengar dulu bacaan oleh malaikat Jibril – dengar sehinggalah Jibril selesai membacanya!
Setelah itu Allah jamin akan memasukkannya ke dalam hati Nabi s.a.w tanpa gagal!
Supaya Baginda ingat & faham kemudian mengajarnya kepada para sahabat!
- Hadis riwayat Ibnu Abbas r.a:
{قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَالِجُ مِنْ التَّنْزِيلِ شِدَّةً وَكَانَ مِمَّا يُحَرِّكُ شَفَتَيْهِ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ فَأَنَا أُحَرِّكُهُمَا لَكُمْ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَرِّكُهُمَا وَقَالَ سَعِيدٌ أَنَا أُحَرِّكُهُمَا كَمَا رَأَيْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ يُحَرِّكُهُمَا فَحَرَّكَ شَفَتَيْهِ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى} لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ {قَالَ جَمْعُهُ لَكَ فِي صَدْرِكَ وَتَقْرَأَهُ} فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ {قَالَ فَاسْتَمِعْ لَهُ وَأَنْصِتْ} ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ {ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا أَنْ تَقْرَأَهُ فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ ذَلِكَ إِذَا أَتَاهُ جِبْرِيلُ اسْتَمَعَ فَإِذَا انْطَلَقَ جِبْرِيلُ قَرَأَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا قَرَأَهُ}
صحيح البخاري• وأخرجه مسلم (٤٤٨) باختلاف يسير.
Berkata Ibnu ‘Abbas: “Rasulullah s.a.w sangat kuat keinginannya untuk menghafalkan apa yang diturunkan (Al Qur’an) dan menggerak-gerakkan kedua bibir Beliau.”
Berkata Ibnu ‘Abbas: “Aku akan menggerakkan kedua bibirku (untuk membacakannya) kepada kalian sebagaimana Rasulullah s.a.w melakukannya kepadaku”.
Berkata Sa’id: “Dan aku akan menggerakkan kedua bibirku (untuk membacakannya) kepada kalian sebagaimana aku melihat Ibnu ‘Abbas melakukannya.
Maka Nabi s.a.w menggerakkan kedua bibirnya, Kemudian turunlah firman Allah Ta’ala:
{Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) Al Quran karena hendak cepat-cepat (menguasai) nya.
Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya”.} (Al-Qiyamah: 16-17)
Maksudnya Allah mengumpulkannya di dalam dadamu (untuk dihafalkan) dan kemudian kamu membacanya: “Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaannya itu”.
Maksudnya: “Dengarkanlah dan diamlah”.
Kemudian Allah Ta’ala berfirman:
{“Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan Kamilah penjelasannya.}
Maksudnya: “Dan Kewajiban Kamilah untuk membacakannya”
Dan Rasulullah s.a.w sejak saat itu bila Jibril a.s datang kepadanya, Baginda mendengarkannya.
Dan bila Jibril a.s sudah pergi, maka Nabi s.a.w membacakannya (kepada para sahabat) sebagaimana Jibril a.s membacakannya kepada Baginda s.a.w.”
[HR Bukhari].
6. Pada akhir ayat Allah ajar Nabi s.a.w untuk sentiasa berdoa:
وَقُل رَّبِّ زِدْنِى عِلْمًا
iaitu ya Allah Engkau beri aku wahyu – aku nak lagi ilmu untuk memahaminya!
7. Hadis Sayyidah Ummu Salamah r.a menceritakan bahawa ada satu doa yang pernah dibacakan oleh Rasulullah apabila Baginda selesai menunaikan solat Subuh.
Kata Ummu Salamah:
كَانَ يَقُولُ: إِذَا صَلَّى الصُّبْحَ حِينَ يُسَلِّمُ «اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا»
“Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وسلم apabila selesai menunaikan solat Subuh, ketika Baginda memberi salam, Baginda membaca:
«اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا»
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” (HR Ibn Majah)
8. Satu lagi doa yang diajar oleh Nabi s.a.w- dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah berdoa seperti berikut:
اللَّهُمَّ انْفَعْنِي بِمَا عَلَّمْتَنِي، وَعَلِّمْنِي مَا يَنْفَعُنِي، وَزِدْنِي عِلْمًا، الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ، وَأَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ حَالِ أَهْلِ النَّارِ).
صحيح الترمذي (٣٥٩٩) • صحيح دون قوله: "والحمد لله" • أخرجه الترمذي (٣٥٩٩) واللفظ له، وابن ماجه (٣٨٣٣).
Ya Allah. Jadikanlah ilmu yang Engkau ajarkan kepadaku bermanfaat bagiku, ajarkanlah kepadaku ilmu yang berguna untukku dan berikanlah kepadaku tambahan ilmu.
Segala puji bagi Allah atas segala hal, aku berlindung kepada Allah dari keadaan dan segala hal yang dilakukan oleh penghuni neraka. (at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Bazzar)
*[Dalam Sahih At-Tirmizi: Sahih sehingga Zidni Ilma]
5. Nota [924] Nabi Muhammad s.a.w bersungguh-sungguh hendak menghafaz ayat-ayat suci yang diwahyukan kepadanya dan kerana itu tatkala Jibril membacanya maka Baginda turut membaca bersama-sama dengan serentak, lalu ditegur oleh Allah Ta’ala dalam ayat ini supaya Baginda mendengar lebih dahulu dan setelah selesai Jibril menyampaikannya baharulah ia membacanya dan menghafaznya, sambil berdoa semoga Allah Ta’ala menambahkan ilmunya untuk memahami serta mengamalkannya.
Penutup & Faedah
1. Ayat 111- {Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk selama-lamanya;} – semua manusia akan tunduk mukanya kepada Allah s.w.t di Akhirat kelak!
Kenapa Allah sebut tunduk muka?
Sedangkan yang tunduk semua anggota kita!
Ini kerana muka adalah anggota wajah yang paling mulia serta muka kita menggambarkan apa perasaan kita-kita gembira muka ceria, kita sedih muka muram, kita marah muka garang dan seumpamanya; yakni air muka berubah ikut perasaan & keadaan kita!
Maka tuan-puan yang dapat sujud muka di atas lantai jangan sesekali tak turun sujud kepada Allah kecuali jika memang tak boleh sujud sungguh!
Jika benar-benar uzur tak boleh sujud semoga Allah beri rahmat-Nya tetapi jika yang tak mahu susah-susah itu dia akan kerugian besar di Akhirat kelak!
Ada yang pandai-pandai cuba bawa dalil bawa video ustaz yang kata bahawa Nabi s.a.w pernah tidak sujud di atas lantai – kita katakan itu ketika Baginda s.a.w uzur & sakit bukan saja-saja atau solat sunat atas kenderaan ketita musafir atau masyaqqah.
Inilah yang dipanggil talbis iblis-mainan syaitan ni dia cuba nak sekat kita daripada yang terbaik.
Maka di sini dibawa penjelasan ulama tafsir kata kenapa Allah sebut muka?
Sebab muka yang paling mulia sekali – Allahu Akbar!
Pada hari Kiamat semua manusia akan tunduk kepada Allah, tapi beza dua tunduk.
Tunduk orang beriman syukur, tunduk orang kufur takut.
Maka celakalah orang-orang yang melakukan perbuatan ini.
Jadi jangan cari pasal dengan Allah, kita dah ada peluang di atas dunia ni, jangan tak buat.
2. Ayat 112- {Dan sesiapa yang mengerjakan sebarang apa dari amal-amal yang soleh, sedang ia beriman, maka tidaklah (seharusnya) ia merasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikitpun dari pahalanya.}
Allah nyatakan sesiapa yang beramal soleh dan dia mukmin; dua syarat ini mesti ada iaitu beramal soleh dan beriman.
Kalau amal saja tak beriman tak jadi; kita kena beramal dan kita kena beriman.
Jika cukup dua syarat ini apa jadi di dunia jangan takut akan dizalimi.
Jangan takut hilang pahala kamu di dunia kalau kamu beramal dengan soleh & beramal dengan ikhlas. Pahala kita tak hilang.
Tapi kalau kita buat amal dengan tak ikhlas, rugi besarlah kita.
Rugi kerana kerja penat pahala tak dapat!
Tanpa dua ni kecewalah dia.
Jelas Allah kata kamu jangan takut, pahalamu tak hilang.
3. Ayat 113- {Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab,…}
Allah nyatakan bahawa Al-Quran itu ditutunkan dalam bahasa Arab.
Al-Quran itu semuanya bahasa Arab, bahasa Arab ini bahasa yang dipilih oleh Allah Azza wa Jalla supaya kita muliakan Al-Quran.
Al-Quran turun kepada Nabi S.A.W, seorang Arab bangsa Quraisy dan mulialah bangsa Arab yang berpegang dengan Al-Quran, bukan dengan bangsa.
Nasionalis Arab tak ada kemuliaan.
Orang Arab yang berpegang dengan Quran mereka mulia sebagaimana kita orang Melayu tak ada kemuliaan tanpa tanpa kita beramal, tanpa kita buat amal soleh maka kita tidak ada kemuliaan seperti manusia lain.
Tetapi kita mulia apabila kita beriman & beramal dengan amal yang soleh.
Dalam ayat tadi juga Allah sebut
{وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ}
kita kata tadi مِنْ di sini dengan maksud sebahagian daripada kesemuanya!
Bukan kata bila nak buat kena buat semua sekali. Tak mampu buat juga maka kita buat setakat mana yang kita mampu.
Kerana itulah Nabi sebut dalam hadis:
i- إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ.
Kalau aku suruh kamu buat apa-apa, buatlah setakat mana kamu mampu.
ii- وَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ
kalau aku larang kamu dari sesuatu, maka berhentilah.
Ini sebab biasanya larangan ini mudah berhenti, nak buat itu payah.
Jadi kita usahalah para jemaah sekalian sentiasa mencari yang terbaik daripada yang baik sebab apa kita nak jadi orang yang baik.
Sambungan perbincangan kita:
وَكَذَٰلِكَ أَنْزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا -
Kami jadikan Quran itu bahasa Arab.
Yakni al-Quran diturunkan pada peringkat awalnya kepada bangsa Arab – kemudian semua bangsa lain semuanya juga boleh memahami Al-Quran.
Allah Ta'ala nyatakan kelebihan Al-Quran ini menyatukan seluruh dunia.
Bukan bahasa Inggeris, bukan bahasa Perancis, bukan bahasa Jepun, tapi Bahasa Arab
- بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُبِينٍ.
Tetapi ada orang kata: Sekarang ini ustaz, bahasa Inggeris yang menyatukan kita.
Di mana-mana saja orang cakap Inggeris.
Pergi kedai mana pun cakap orang putih.
Betul begitu keadaan sekarang tetapi ia tidak menyatukan kita.
Kalau tak pandai bahasa Arab, kita tak boleh nak menyatukan sebab Al-Quran bahasa Arab dan semua arahan-arahan kita dalam bahasa Arab.
Maka yang menyatukan kita umat Islam ialah bahasa Arab sebab ia bahasa Al-Quran.
Kemudian Allah Ta'ala sebut:
{وَصَرَّفْنَا فِيهِ مِنَ الْوَعِيدِ}
Kami Allah تعالى pelbagaikan uslub Quran dari pelbagai sudut.
Iaitu sudut arahannya, dari sudut larangannya supaya kita boleh memahami – tak ada orang yang tak faham kecuali orang yang keras kepala tak dengar kata. Itu saja yang tak faham.
4. Ayat 114- {Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya.
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran…}
Allah beri teguran kepada Nabi s.a.w apabila terima al-Quran kamu jangan gopoh, jangan terus nak baca – kena sabar – dengar dulu.
Jadi kata ulama’ al-Biqa‘i dalam Nazm ad-Durar:
Ini dalil kita kena berhati-hati & jangan gopoh ketika belajar. Dengar baik-baik, perhati betul-betul, tumpukan perhatian jangan gopoh nak pandai, belajar molek-molek baru kita boleh ilmu.
Loghat Kelate kata jangan belorat!
Maka di sini Allah Ta'ala tegur Nabi s.a.w sebagaimana dalam tafsir tadi, apabila mendengar Jibril baca al-Quran, Nabi terus menggerakkan mulutnya nak ikut baca.
Tuhan kata jangan ikut baca lagi, dengar dulu sampai habis baru kamu ikut balik.
Nabi s.a.w ini sebenarnya akalnya jernih otak dia bersih. Dia boleh ingat & boleh faham. Tapi kerana dia bimbang takut tak ingat, itu puncanya Baginda s.a.w mahu segera ikut membacanya bersama Jibril.
5. Ayat 114- {… dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku".}
Allah suruh Nabi s.a.w berdoa untuk minta ditambah ilmu!
Ulama’ tadabur kata ayat ini menjadi dalil kelebihan ilmu (دليل على فضل العلم)
Allah ajar kepada Nabi dia mintalah:
!وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا
Allah tak ajar untuk minta tambahkan harta, tambahkan anak atau pangkat kemuliaan; tapi minta tambahkan ilmu.
Cukuplah ayat ini menjadi kemuliaan bagi ilmu dan ahli ilmu.
Kata ulama’: Allah Taala tak perintahkan Nabi S.A.W supaya minta sesuatu selain daripada minta ilmu.
Ini yang Allah perintah, bukan yang lain.
Ilmu apa yang Allah suruh minta tambah ini? Iaitu ilmu wahyu – ilmu tentang al-Quran, tentang Sunnah Nabi s.a.w.
Maka kita pun utamakan ilmu ini selain daripada ilmu lain sebagai sokongan.
Tadi kita telah sebut beberapa hadis tentang doa meminta ilmu:
i- اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik (halal) dan amal yang diterima".
ii- اللَّهُمَّ انْفَعْنِي بِمَا عَلَّمْتَنِي وَعَلِّمْنِي مَا يَنْفَعُنِي وَزِدْنِي عِلْمًا.
Pelajar-pelajar boleh ambil doa ini buat penutup acara majlis, doa ni.
Tapi kalau untuk ramai-ramai tukar kepada:
اللَّهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا وَزِدْنَا عِلْمًا.
iii- Kita juga boleh baca doa minta ilmu ini sebelum kita baca tasbih kafarah:
رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا.
Ya Allah tambahkan kami ilmu yang berkat, yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat kami. Amin ya Rabbal alamin.
وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga mendapa manfaatnya!
Insya' Allah kita sambung dalam ayat seterusnya pada pagi Sabtu akan datang!
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.