Surah Taha: Ayat 124-127
Ancaman Mereka Yang Tinggalkan Al-Quran, Buta Mata Di Akhirat & Azab Bagi Penderhaka
Ancaman Mereka Yang Tinggalkan Al-Quran, Buta Mata Di Akhirat & Azab Bagi Penderhaka

Live Kuliah Pagi Isnin 02/11/2026 - 22 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (22) Ayat [124-127]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 124 sehingga ayat 127 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan ancaman bagi sesiapa yang tinggalkan al-Quran dan membelakanginya, apatah lagi menentangnya; alam yang luas ini akan menjadi sempit bagi mereka tiada kebaikan & berkat Allah!
- Kemudian Allah akan butakan mata di akhirat kerana atas dunia ini walaupun mata mereka celik tetapi mereka membutakannya daripada melihat kebenaran maka Allah tidak akan tolong kamu!
- Maka balasan azab disediakan bagi para penderhaka; jika kafir kekal di dalam neraka selamanya.
Jika orang beriman yang derhaka akan diazab sehingga selesai hukumannya dan akan dikeluarkan dari neraka.
5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang bahawa sesiapa yang ikut petunjuk Allah dia tidak akan sesat dan tidak sengsara dunia & Akhirat.
- maka datang ayat ini Allah bagi amaran keras bagi sesiapa yang berpaling daripada al-Quran!
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 124 وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ ﴿١٢٤﴾ {"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".}
- Allah beri amaran keras bagi sesiapa yang berpaling daripada al-Quran {ذِكْرِى} – samada dia tinggal terus seperti yang dibuat oleh orang kafir atau dia tinggal sebahagiannya sebagaimana anak orang Islam yang telah dibentuk mindanya oleh penjajah yang menyebabkan mereka takut kepada al-Quran, nak ambil undang-undang al-Quran takut, undang-undang kafir dijunjung!
- Atau dia tak ambil hukuman & tidak beramal dengan al-Quran maka dia akan hidup dalam keadaan sempit di dunia ini, sempit di alam kubur atau barzakh & di Akhirat juga.
Yakni seluruh tempat sempit apabila seseorang tinggalkan al-Quran.
3. Nota [928] Sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk Allah, maka ia akan mengalami kehidupan yang sempit dalam dunia, yakni resah gelisah dan tidak tenteram jiwanya; atau ia akan menderita azab dalam kubur, sebagaimana yang diterangkan dalam hadith Nabi.
Di akhirat pula ia akan dihimpunkan bersama-sama makhluk-makhluk yang lain dalam keadaan buta, yakni meraba-raba di dalam kesesatan seperti keadaannya di dunia atau meraba-raba di dalam azab.
4. Maka sesiapa yang nak hidupnya luas, dadanya lapang & hati yang tenang maka hiduplah dengan berpegang & beramal dengan al-Quran.
Tafsir al-Quran pula jangan dibuat dengan logik akal sendiri, mesti berpandukan wahyu dan huraian ulamak yang muktabar.
5. Kemudian Allah akan butakan mata mereka, mereka bangkit di Akhirat kelak dalam keadaan buta meraba-raba dalam kesesatan kerana atas dunia mereka membutakan mata mereka daripada melihat kebenaran.
*Ada ulama' kata buta hakikat, ada kata buta sungguh.
6. Peringatan: Buta atas dunia ini ialah buta mata hati – bukan mata secara fizikal yang Allah jadikan ujian atas dunia ini.
Jangan perli fizikal dan kelemahan orang mengatakan orang yang buta atas dunia ini akan buta pula di Akhirat!
Hati-hatilah- jika Allah nak sentap ambil nikmat penglihatan yang kamu ada sekejap saja!
*Tiada ulama' tafsir yang mengatakan buta di sini ialah buta fizikal!
7. Ini adalah pada peringkat awalnya, kerana hari Akhirat itu panjang.
Kemudian Allah akan celikkanya balik untuk melihat azab siksa di depan mata mereka!
Ini kerana melihat kepada azab itu adalah sudah satu azab!
8. Sebagaimana firman Allah yang menyatakan neraka itu bertempik dari awal lagi apabila melihat mujrimin yang akan dihumbankan ke dalamnya!
Ayat 125 قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا ﴿١٢٥﴾ {Ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?"}
- Lalu mereka pun bertanya kepada Allah dengan penuh ketakutan: Wahai Tuhanku! Kenapa Engkau bangkitkan aku dalam keadaan buta sedangkan atas dunia dulu aku celik tidak buta?
Semasa itu mereka meraba-raba tidak nampak jalan – tidak tahu hendak ke mana!
Jika orang yang buta mata atas dunia; mungkin ada orang yang boleh tolong pimpin & bantu tunjuk jalan, ajar beri panduan!
- Tetapi di Akhirat kelak tiada siapa yang boleh menolong kerana masing-masing sibuk nak menyelamatkan diri sendiri – keadaan sangat huru-hara dan mencemaskan!
- Maka janganlah sesekali kita butakan mata & hati kita kepada ayat-ayat al-Quran jika tidak mahu Allah butakan mata kita di Akhirat kelak!
Hanya Allah yang dapat membantu diri kita agar sentiasa mendampingi diri dengan al-Quran.
6. Alhamdulillah semalam kita khatam Kitab Indahnya Hidup Bersama al-Quran: Kunci-kunci Tadabbur di Masjid Ubudiyyah, Labok, Machang– Kitab ini menceritakan tentang 10 kunci tadabbur al-Quran.
Boleh dapatkannya di:
Playlist kuliah di:
Ayat 126 قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا ۖ وَكَذَٰلِكَ الْيَوْمَ تُنسَىٰ ﴿١٢٦﴾ {Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan".}
- Allah kata demikianlah balasaannya kerana ketika al-Quran datang kepada kamu; kamu ingkar atau tidak pedulikannya – maka bagaimana kamu nak harapkan syafaat al-Quran di Akhirat kelak?
- Maka sebagaimana kamu tidak pedulikan al-Quran di dunia dulu, kamu tidak baca, tidak tadabbur, tidak amalkannya; maka Allah s.w.t juga akan lupakan kamu – yakni dibiarkan dan tidak dipedulikan!
- Nota [929] Yakni dilupakan serta ditinggalkan dalam keadaan buta dan di dalam azab seksa.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{وَٱتَّبِعُوٓا۟ أَحْسَنَ مَآ أُنزِلَ إِلَيْكُم مِّن رَّبِّكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَكُمُ ٱلْعَذَابُ بَغْتَةً وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ ٥٥
"Dan turutlah - Al-Quran - sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.
أَن تَقُولَ نَفْسٌ يَـٰحَسْرَتَىٰ عَلَىٰ مَا فَرَّطتُ فِى جَنۢبِ ٱللَّهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ ٱلسَّـٰخِرِينَ ٥٦
"(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: ` sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)! -
أَوْ تَقُولَ لَوْ أَنَّ ٱللَّهَ هَدَىٰنِى لَكُنتُ مِنَ ٱلْمُتَّقِينَ ٥٧
"Atau berkata: `Kalaulah Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku, tentulah aku telah menjadi dari orang-orang yang bertaqwa! ' -
أَوْ تَقُولَ حِينَ تَرَى ٱلْعَذَابَ لَوْ أَنَّ لِى كَرَّةً فَأَكُونَ مِنَ ٱلْمُحْسِنِينَ ٥٨
"Atau berkata semasa ia melihat azab: ` Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!"
بَلَىٰ قَدْ جَآءَتْكَ ءَايَـٰتِى فَكَذَّبْتَ بِهَا وَٱسْتَكْبَرْتَ وَكُنتَ مِنَ ٱلْكَـٰفِرِينَ ٥٩
(Kata-kata yang tersebut ditolak oleh Allah dengan firmanNya): "Bahkan telahpun datang kepadamu ayat-ayat petunjukKu (melalui RasulKu), maka engkau telah mendustakannya serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya dan engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang kufur ingkar!"} [Az-Zumar: 55-59].
- Berhati-hatilah ketika kamu dalam keadaan lagha dan penuh keingkaran itu – azab Allah akan datang kepada kamu dengan tiba-tiba!
- Maka sebagaimana kamu tinggalkan ayat-ayat Allah di dunia dulu, kamu tidak beramal dengannya – maka demikianlah di Akhirat kelak kamu akan ditinggalkan dalam azab tak tahu nak ke mana!
- Kata Ibnu Kathir : Apabila kamu tinggalkan ayat-ayat Allah maka kamu akan dikira seperti orang yang tak tahu.
Kerana amalan itu mengikut jenis amalan. Kamu buat abaik balas baik – kamu buat tak baik – buruk jugalah balasaannya!
7. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:
{Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.} [Al-A’raaf: 51].
Ayat 127 وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي مَنْ أَسْرَفَ وَلَمْ يُؤْمِن بِآيَاتِ رَبِّهِ ۚ وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبْقَىٰ ﴿١٢٧﴾ {Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.}
Allah nyatakan demikianlah balasan yang setimpal bagi mereka yang lari daripada ayat-ayat Allah.
Dia derhaka, dia ingkar & kufur – maka balasan yang berat yang Allah akan campakkan ke atas kepala mereka!
Azab yang akan menimpa di Akhirat lebih dahsyat, lebih kekal abadi selamanya bagi orang kafir.
Kekal di dalam neraka, mati pun tidak hidup pun tidak tenang kena azab!
Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Mereka beroleh azab dalam kehidupan dunia dan sesungguhnya azab hari akhirat lebih menyeksakan lagi; dan tiadalah bagi mereka, sesiapapun yang dapat melindungi mereka dari azab Allah itu.} [Ar-Ra’di: 34].
- Kita minta Allah selamatkan kita atas dunia kita hidup dengan al-Quran- belajar tadabbur & mengamalkannya!
Semoga al-Quran menjadi pemandu kita atas dunia ini, peneman kita di dalam kubur dan menjadi syafaat kita di Akhirat kelak!
Penutup & Faedah
Ayat 124- {"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".} – sesiapa yang berpaling dari ayat-ayat Aku ini akan hidup dalam keadaan sempit.
Kata ulama' tadabbur: Asal perkataan {ضَنكًا} ini membawa makna sempit dan susah!
Walaupun dia jutawan kaya-raya- walaupun harta banyak tetapi hidupnya sempit terumbang-ambing tanpa bimbingan hidayah petunjuk dari Allah!
Jumpa kayu sembah, jumpa patung pun sembah walaupun tak beri manfaat apa!
Yakni sempit dadanya daripada melihat & menerima kebenaran itu dikira hidupnya sempit.
Luasnya dunia ini apabila seseorang itu beriman kepada Allah s.w.t & Rasulullah s.a.w.
Apabila seseorang itu beriman kepada Allah & Rasul-Nya, mengikut petunjuk al-Quran- barulah hidupnya tenang dan terbimbing!
Sebagaimana firman Allah ini:
{Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.} [Al-An’aam: 125].
Allah buat ibarat betapa sempitnya dada bagi orang yang tak ikut al-Quran seolah orang yang bernafas tak cukup oksigen – sesak & sakit dadanya!
Ayat 124- {"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu…} – apakah bentuk lari berpaling dari ayat Allah ini?!
Kata ulama' tadabbur: Sesiapa yang tak ikut petunjuk al-Quran- dia beriman & tak ingkar cuma dia tak pakai – tak beramal dengan peraturan al-Quran maka dia akan hidup dalam kesempitannya juga.
Di Akhirat kelak dia akan ditinggalkan Allah s.w.t, tiada siapa yang peduli kepadanya, tiada yang akan pandunya, hidup dia sempit di alam akhirat.
Jika yang melanggar itu adalah kafir terus, kita tak pelik dah sangat dahsyat.
Tapi yang ini dia tak derhaka tetapi dia tak pakai al-Quran pun hidup dalam keadaan sempit di dunia & Akhirat.
Sebab siapa yang nak teman dia dalam kubur? Kalau kita beramal dengan al-Quran, al-Quran akan jadi peneman kita. Orang lain balik semua, al-Quran ada di situ.
Jadi kerana dia tak mahu terima al-Quran; al-Quran pun tak teman dia di akhirat esok.
Dia juga akan ditinggalkan oleh Allah عز وجل. Tak ada siapa yang peduli kepada dia.
Sebab apa tak peduli?
Sebab dia sendiri yang tak mahu.
- Ayat 124- {"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu…}
Allah guna perkataan berpaling {أَعْرَضَ} dalam ayat ini – Allah tak kata ingkar atau tinggal!
Maka Allah Ta‘ala guna ibarat berpaling.
Dia kata tinggal, sebab: Biasanya orang ni, kalau dia tak nak dengar, dia akan berpaling pusing kepala tak mahu tengok!
Itu makna berpaling yakni tinggalkan; Al-Quran di sana, awak di sini.
Kata ulama' Ahlus Sunnah ayat ini terpakai kepada:
- orang kafir yang total ingkari al-Quran;
- terpakai juga kepada orang mukmin yang melakukan dosa besar, tak pedulikan amaran al-Quran.
Orang itu juga dalam keadaan yang cukup dahsyat!
Kata ulama' ahli Sunnah wal Jamaah:
Atas seorang manusia boleh berkumpul padanya sesuatu yang buruk & baik.
Seperti orang beriman yang sayang & muliakan al-Quran- jumpa al-Quran junjung cium selalu;
- tetapi malanganya tidak beramal dengan hukum-hakam al-Quran.
Persoalan yang ditimbulkan oleh Imam Ibnu Kathir rhm:
Apakah ini termasuk orang yang sudah menghafaz al-Quran kemudian dia lupanya semula tetapi dia masih beramal dengan perundangan al-Quran?
Dengar baik para pelajar anak-anak tahfiz!
Jawapannya: Ulama' kata: Tidak – mereka tidak termasuk dalam golongan ini berpaling dari al-Quran ini!
Cuma bahaya kerana mereka tidak jaga al-Quran yang sudah pernah masuk ke dalam dada mereka!
Jadilah mereka al-habis saja bukan al-Hafiz!
Mereka mengambil dalil daripada hadis ini:
Daripada Sa’ad bin Ubadah R.A, diriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda:
مَا مِنْ امْرِئٍ يَقْرَأُ القُرآنَ ثُمَّ يَنْسَاهُ إِلَّا لَقِيَ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَجْذَمْ
Maksudnya: “Tiada seseorang yang membaca al-Quran (menghafaz) kemudian lupa kecuali dia akan bertemu Allah S.W.T pada hari kiamat dalam keadaan cacat.”
[Riwayat Abu Daud (1474). Pengarang kitab Dha’if Abu Daud (1474) menyatakan hadith ini Dhaif.]
Ini menjadi alasan bagi orang yang tidak mahu beri anak-anak pelajar menghafaz al-Quran kerana jika lupa akan berdosa besar.
Maka kita kata jika begitu tiadalah orang yang nak menghafaz al-Quran atau tak beranilah kita nak buka sekolah tahfiz.
Cuma kita kata orang yang menghafaz al-Quran kemudian lupa ini adalah rugi kerana:
- itu adalah musibah baginya kerana dia tak jaga al-Quran.
- itu adalah uqubah (akibat) baginya kerana dia tak menghormati al-Quran dan tak jaga al-Quran.
*Maka kena usahalah untuk muraja’ah dan ulang hafazan itu sedaya upaya – jangan cuai!
Maka kata para ulama':
- kita tak boleh kata orang yang tinggalkan hafazan al-Quran itu berdosa besar kerana boleh jadi dia lemah akalnya cuma kita kata dia rugilah!
- tetapi jika dia cuai sehingga dia lawan al-Quran, buat maksiat & menunggang al-Quran- maka itu adalah berdosa!
Apatah lagi guna untuk berniaga, tak hormat al-Quran seperti guna muzik atau jika perempuan tak tutup aurat dengan sempurna dan lain-lain.
4. Ayat 124- {… maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".} – ulama' kata hidup mereka susah & sempit atas dunia ini kerana tak ikut peraturan al-Quran serta akan diazab di dalam kubur.
Kata ulama': Ayat ini menjadi dalil akan azab kubur!
Sebenarnya kubur orang beriman asalnya luas tetapi menjadi sempit kerana dia tidak beramal dengan al-Quran.
Persoalan:
Tetapi mengapa kita lihat orang yang tak pakai al-Quran ini hidupnya senang dan mewah atas dunia ini!
Kita kata: Hidupnya nampak mewah atas dunia ini secara zahirnya tetapi kerana dunia ini sementara; itu tiada faedahnya.
Kerana dalam hatinya tidak tenang & kesunyian, asyik sibuk kejar dunia dari pagi sehingga ke malam sehingga sangup lakukan apa saja.
Kerjanya cari harta & jawatan, sudah dapat jawatan dia kencing kawan, macam-macam keburukan dia buat.
Maka orang ini dikira sempit hidupnya atas dunia dan apabila mati masuk kubur dihimpit kubur serta di Akhirat kelak buta pula matanya! Na’uzubillah!
5. Ayat 126- {Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan".}
Maka Allah kata kerana kamu di dunia lupakan Aku & lupakan al-Quran - maka Aku akan lupakan kamu juga!
Makna lupa di sini ialah Allah biarkan & tinggalkannya terumbang-ambing tiada siapa pedulikan dia, dia siapa beri pertolongan kepada dia.
*Jangan kata Allah lupa pula kerana Allah tidak akan lupa!
Inilah yang kita bimbangkan; apabila orang tidak peduli dengan al-Quran, maka begitulah keadaan.
Demikian Allah Ta‘ala menyatakan bahawa Dia akan memberikan balasan kepada orang yang lari daripada al-Quran, tidak beriman dengan al-Quran ataupun beriman dengan al-Quran tetapi tidak beramal dengannya.
Maka dahsyatlah hidup dia, terumbang-ambing, tidak tahu hendak pergi ke mana.
Bangkit di akhirat pula tidak ada sesiapa yang boleh memberikan pertolongan kepadanya.
نَسْأَلُ اللَّهَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga mendapa manfaatnya!
Insya-Allah, kita sambung esok ayat-ayat seterusnya!
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.