Surah Taha: Ayat 115-119
Nabi Adam A.S Lupa Wasiat, Malaikat Diperintahkan Sujud, Jadikan Syaitan Sebagai Musuh
Nabi Adam A.S Lupa Wasiat, Malaikat Diperintahkan Sujud & Jadikan Syaitan Sebagai Musuh

Live Kuliah Pagi Sabtu 31/10/2026 - 20 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (20) Ayat [115-119]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 115 sehingga ayat 120 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kisah datuk kita Nabi Adam A.S yang berada di dalam syurga dengan tenang; tetapi dia lupa wasiat pesanan Allah agar jangan mendekati pokok itu.
- Allah perintahkan kepada para malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam a.s.
Para malaikat bersujud sebagaimana perintah Allah tetapi iblis enggan dan takabbur.
4. Kemudian Allah berpesan bahawa syaitan sebagai musuh kamu maka berhati-hatilah akannya.
Atas dunia kamu kena berusaha untuk hidup bukan seperti di dalam syurga!
Apa boleh buat itu sudah taqdir Allah ke atas manusia – nak menyalahkan Nabi Adam pun tiada guna!
5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kedudukan al-Quran, Nabi sangat menjaga al-Quran sehingga Allah tegurnya agar jangan gopoh.
Allah juga sebut janji berat amaran siksa bagi orang yang menderhaka.
Ini untuk mendidik sifat taqwa agar kita sentiasa mengambil pengajaran & iktibar daripada ayat al-Quran!
jadi dalam ayat ini Allah bawa kisah Nabi Adam a.s. sebagai pengajaran.
Manusia ikut godaan syaitan ini perkara lama bukan baru.
Mereka lupa kepada arahan Allah sebagaimana lupa datuk mereka Adam dahulu.
Kemudian Allah nyatakan tentang iblis yang tak mahu sujud – serta Allah peringatkan lagi bahawa iblis syaitan adalah musuh kamu yang nyata maka jangan ikut hasutannya!
- Allah mengingatkan Nabi s.a.w agar jangan tergelincir seperti datuk kamu Adam dan dalam ayat lepas Allah s.w.t juga ajar Nabi s.a.w agar berdoa minta tambahkan ilmu:
وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا.
Maka antara ilmu yang Allah tambah ialah kisah Nabi Adam a.s & tentang godaan syaitan.
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 115 وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَىٰ آدَمَ مِن قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْمًا ﴿١١٥﴾ {Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa; dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.}
Setelah mencipta Adam Allah letakkannya di dalam syurga; Allah berpesan kepadanya agar jangan pergi dekat pokok ini & jangan ambil makan buahnya.
*Ini adalah tempat yang keenam Allah sebut kisah Nabi Adam di dalam al-Quran iaitu kisahnya disebut dalam surah al-Baqarah, Al-A’raf, al-Hijr, Israa’, al-Kahfi & Surah Taha ini!
Allah kata: {Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu- مِن قَبْلُ} – ulama' seperti ar-Razi membawa beberapa tafsiran tentang perkataan ini:
- iaitu sebelum datang orang yang Allah beri pelbagai amaran-Nya di al-Quran.
- yakni sebelum Adam datang dekat dengan pokok itu Allah telah berpesan wasiat kepadanya!
Tetapi malangnya Adam lupa {فَنَسِىَ} – ulama' menghuraikan perkataan ini dengan beberapa maksudnya:
- dengan maksud Adam tak dengar kata;
- Adam terlupa sungguh – kerana syaitan godaannya licik sukar melepaskannya sehingga Nabi Adam & isterinya terhasut lalu kena keluar dari syurga! Ini taqdir Allah s.w.t!
- Yakni apabila syaitan datang goda mereka-mereka dengar hasutannya lalu mereka makan buah larangan itu – lalu hasilnya terkeluarlah mereka dari syurga!
- Allah kata didapati Nabi Adam itu tidak kuat semangat untuk menjaga wasiat itu, tidak sabar nak jaga perjanjian dengan Allah, lemah godaan iblis & tidak kuat semangat untuk menjaga perintah Allah s.w.t itu!
Yakni taqdir ini memang taqdir Allah tetapi kita boleh bertanya untuk nak tahu sebabnya!
Seperti apabila mendengar berita orang mati – kita boleh tanya kenapa?
Apa sebab kematiannya?
Jangan jawab kerana sudah taqdir Allah – kerana mati itu satu tetapi sebabnya ada bermacam.
Ada orang mati sebab sakit kronik, ada sebab eksiden, sakit jantung dan sebagainya.
- Nota [925] Setelah Allah Ta’ala menerangkan perihal Al-Qur’an dan pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalamnya dan diberi ingat supaya janganlah diamalkan sifat terburu-buru dalam melakukan sesuatu, maka dalam ayat ini diberi ingat pula supaya janganlah melupakan apa yang telah diperintahkan, bahkan hendaklah dikerjakan dengan bersungguh-sungguh.
Lalu diberi contoh tentang apa yang telah terjadi kepada bapa manusia – Adam a.s – yang telah melupakan apa yang telah diperintahkan kepadanya semasa ia dalam Syurga supaya jangan menghampiri pokok larangan, tetapi ia telah melupakan perintah itu.
Ayat 116 وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ ﴿١١٦﴾ {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud, melainkan Iblis, ia enggan sujud.}
- Allah ingatkan lagi kepada Nabi s.a.w peristiwa ketika Allah berfirman memerintakan kepada para malaikat supaya mereka sujud kepada Adam sebagai tanda hormat kepadanya dan kerana taat perintah Allah – ini bukan sujud ibadat tetapi sebagai tanda muliakan Adam dan ketaatan kepada Allah!
- Maka semua malaikat sujud kecuali iblis – mereka tak mahu sujud kepada Adam!
Puncanya sebagaimana yang sering kita belajar – iblis tak mahu sujud kerana Adam yang dicipta daripada tanah liat dikatakan lebih hina daripadanya yang dicipta daripada api.
Itulah punca kerosakan iblis – sombong angkuh & takabbur!
3. Begitulah punca kerosakan makhluk atas muka bumi ini begitu manusia anak Adam – rosak atas muka bumi ini kerana angkuh takabbur & hasad dengki!
Maka apabila kita tahu sebab – kena ambil iktibar pengajaranlah!
Ayat 117 فَقُلْنَا يَا آدَمُ إِنَّ هَٰذَا عَدُوٌّ لَّكَ وَلِزَوْجِكَ فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ الْجَنَّةِ فَتَشْقَىٰ ﴿١١٧﴾ {Maka, Kami berfirman: "Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.}
- Setakat iblis menunjukkan taringnya sombong & ingkar kepada Tuhan; Allah s.w.t menyeru Nabi Adam lagi dan berpesan kepadanya: Lihatlah iblis yang derhaka kepada Allah – inilah musuhmu & musuh isterimu!
- Maka berhati-hatilah kamu akan iblis!
Jangan sampai kamu berdua dihalau keluar dari syurga dengan sebab tipu dayanya!
Kamu jangan cari pasal, ikut hasutan iblis jika tidak kamu akan keluar dari syurga & akan penat! Kamu kena kenal musuh kamu!
3. Maklumat – dalam al-Quran:
- Allah menyeru para nabi lain dengan menyebut nama mereka secara direct seperti: wahai Adam, wahai Musa, wahai Ibrahim dan lain-lain.
- tetapi bagi Nabi kita Muhammad s.a.w- Allah tidak pernah memanggilnya dengan namanya di dalam al-Quran kecuali dengan jawatan & pangkat seperti:
Wahai Rasul: يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ,
Wahai Nabi: يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ
ini menunjukkan kemuliaan di sisi Allah Azza wa Jalla.
Allah tak ajar pangil namanya – tetapi sebut namanya untuk diperkenalkan.
Maka penulis-penulis lirik dan nasyid kena berhati-hati; jangan terlalu mudah buat nasyid buat lagu ya Muhammad, ya Muhammad-
Tuhan pun tidak panggil Nabi s.a.w begitu – kena belajar ilmu tentang kehormatan Nabi s.a.w.
4. Maka Allah perkenalkan iblis kepada Nabi Adam sebagai musuhnya & musuh isterinya – maka hati-hati jangan sampai terpedaya dengannya.
Apabila kenal musuh tetapi ikut juga maka cari penyakitlah itu!
5. Jika kamu kena keluar dari syurga kamu akan keluar dari syurga & akan penat menderita, Ini kerana kehidupan dalam syurga penuh nikmat & kesenangan – tetapi jika kamu keluar dari syurga kamu akan penat kerana kena berusaha!
Ayat 118 إِنَّ لَكَ أَلَّا تَجُوعَ فِيهَا وَلَا تَعْرَىٰ ﴿١١٨﴾ {"Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang.}
Munasabah ayat:
- dalam ayat yang lepas Allah beritahu kepada Nabi Adam bahawa jika kamu keluar dari syurga kamu akan susah.
- ini kerana jika kamu keluar dari syurga; kamu kena cari tiga perkara iaitu: makanan, pakaian dan tempat tinggal!
- Kata ulama' inilah keperluan utama manusia untuk hidup atas dunia ini iaitu: Makanan, pakaian, tempat tinggal dan pasangan yang baik serta kenderaan untuk kegunaan & keperluan hidup.
Hadis 4 ciri kebahagiaan manusia:
Dari Sa'ad bin Abi Waqqas R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ: اَلْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيُّ
Maksudnya: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan kepada manusia: (1) Isteri yang solehah, (2) Tempat tinggal (rumah) yang luas, (3) Jiran yang baik dan (4) Kenderaan yang bagus/selesa.” [HR Ibnu Hibban, baik].
*Jika perempuan, ada suami yang soleh, manakala tempat tinggal yang selesa tak semestinya besar & mewah.
- Kita kata itulah tonggak kehidupan manusia – empat asas keperluan hidup yang boleh membawa keselesaan hidup maka bahagialah dia insya' Allah.
Ayat 119 وَأَنَّكَ لَا تَظْمَأُ فِيهَا وَلَا تَضْحَىٰ ﴿١١٩﴾ {"Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu dan tidak akan merasa panas matahari".}
- Ini kerana di dalam syurga segalanya sudah disediakan untuk keperluan nabi Adam dan isterinya.
- Iaitu mereka tidak akan lapar & dahaga, tidak akan kepanasan dek cahaya matahari kerana tiada matahari di dalam syurga.
Tetapi walaupun tiada matahari – dalam syurga tetap indah & cerah – lighting cukup kata orang!
3. Kerana itu di dalam syurga usia kita tidak meningkat sentiasa muda belia & cantik jelita bukan seperti kita di dunia ini!
Setiap hari meningkat umur akhirnya hilang dari radar dunia ini – mati masuk kubur!
Penutup & Faedah
1. Ayat 115 {Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa;} – kami telah buat perjanjian & wasiat kepada Nabi Adam sebelum dari dia tergoda lagi; tetapi dia lupa & tiada semangat kekuatan!
Kata ulama' tadabbur & lughah: Allah mulakan ayat ini dengan lafaz ta’kid (penguat) dan sumpah {Demi sesungguhnya- وَلَقَدْ} – yakni pesanan dengan penguat – kamu bacalah dengan baik dan ambil peringatan!
Allah sudah ulang kisah ini sebanyak enam kali dalam al-Quran- bermula dari surah al-Baqarah sehingga kini – maka ambillah pengajaran!
Kenapa diulang-ulang?
Kerana pentingnya perkara ini!
Selagi ada syaitan selagi itu itu kisah ini kena ulang!
Sebagaimana kisah Nabi Musa diulang kerana di sana adanya Fir'aun & akan muncul watak Fir'aun yang angkuh sombong akan muncul setiap zaman tak kira atas nama apa!
Yang goda Nabi Adam tu syaitan-syaitan ada lagi dan kerjanya menggoda dan menghasut bagi memusnahkan manusia!
Kerjanya menggoda dan mengkhianati manusia sehingga ke hari Kiamat!
Kita kena ingat bahawa syaitan ini adalah musuh yang nyata bagi kita – Allahu al-Musta’an!
Kita kena ingat syaitan ini kerjanya nak binasakan manusia.
Allah kata telah diingatkan kepada Nabi Adam tetapi dia lupa!
Ayat ini menjadi dalil manusia anak Adam ini dinamakan manusia kerana ada dalam diri mereka ada sifat lupa, keturunan manusia ini ada sifat lupa!
Kerana ini kita sentiasa bagi tazkirah dan nasihat peringatan kerana manusia ini kerjanya mudah lupa!
5 kali sehari kita peringatkan manusia kepada Tuhan dengan azan & solat, setiap minggu kita ada khutbah dan solat jumaat, setiap pagi Jumaat pula kita disuruh baca surah as-Sajdah & al-Insaan yang mengingatkan kita tentang Kiamat – jangan lupa!
Ini semua alat-alat untuk memperingatkan manusia yang bersifat mudah lupa.
Kerana itu Allah pesan jika kamu nak berhutang, jual beli, perjanjian atau seumpamanya kena tulis kerana manusia itu mudah lupa.
Setengah orang apabila kita minta tulis dikatakan kita tidak percaya kepadanya!
Sedangkan Allah yang ajar ini – kita nak ikut perintah Allah!
Allah nyatakan kekurangan pertama kepada sifat manusia – iaitu mudah lupa ini diwarisi oleh manusia anak cucu Adam semuanya!
2. Ayat 115 {**وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْمًا**… dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.}
Allah kata Nabi Adam tidak mempunyai keazaman yang teguh dalam memegang wasiat dan untuk melaksanakan pesanan Allah S.W.T.
Kata ulama tadabbur: Ayat ini menunjukkan bahawa bapa kita, Nabi Adam AS, tidak termasuk dalam kalangan rasul Ulul Azmi.
Allah S.W.T berfirman:
{فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُولُو الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ}
Maksudnya: “Maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul yang mempunyai keazaman yang teguh.} [Al-Ahqaf: 35]
Allah S.W.T memerintahkan Nabi Muhammad S.A.W supaya bersabar dan terus memperjuangkan Islam sebagaimana kesabaran para rasul Ulul Azmi.
Menurut pendapat yang masyhur, rasul Ulul Azmi terdiri daripada lima orang:
- Nabi Nuh A.S
- Nabi Ibrahim A.S
- Nabi Musa A.S
- Nabi Isa A.S
- Nabi Muhammad S.A.W.
Mereka dinamakan Ulul Azmi kerana mempunyai keazaman yang kuat, keteguhan pendirian, kesabaran yang tinggi dan tidak mudah mengalah dalam menghadapi tentangan ketika menyampaikan risalah Allah S.W.T.
Mengapa Nabi Adam A.S Tidak Termasuk dalam Ulul Azmi?
Para ulama tadabbur menyebut dua sebab:
Pertama: Risalah Nabi Adam A.S bersifat khusus.
Risalah baginda tertumpu kepada pengajaran secara langsung kepada anak cucu dan keturunannya.
Baginda tidak menghadapi tentangan daripada kaumnya sebagaimana yang dihadapi oleh Nabi Nuh A.S, Nabi Ibrahim A.S dan rasul-rasul Ulul Azmi yang lain.
- Kedua: Nabi Adam A.S tidak mempunyai keazaman yang teguh dalam memegang wasiat Allah S.W.T.
Allah S.W.T berfirman:
Baginda tidak teguh dalam melaksanakan wasiat Allah S.W.Tsehingga terjebak dengan perangkap syaitan.
Oleh sebab itulah Nabi Adam A.S tidak termasuk dalam kalangan rasul Ulul Azmi.
Kita kata Nabi Adam tetap seorang nabi & rasul cuma dia tidak termasuk dalam kalangan rasul ulul-Azmi!
Dalam kalangan ulama terdapat khilaf mengenai kedudukan Nabi Adam A.S sebagai rasul – ada kata dia bukan rasul tetapi hanya nabi.
Apabila kita menyebut khilaf ulama, janganlah terus terkejut apabila mendengar ada pendapat yang berbeza.
Nabi Adam AS tetap seorang nabi. Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa baginda ialah seorang rasul, tetapi tidak termasuk dalam kalangan Ulul Azmi.
Dalam hadis panjang mengenai syafaat, Nabi Adam A.S mengarahkan manusia supaya pergi menemui Nabi Nuh AS dengan menyebut bahawa baginda ialah rasul yang pertama.
هُوَ أَوَّلُ الرُّسُلِ
Maksudnya: “Dialah rasul yang pertama.”
Bagi menghimpunkan kedua-dua riwayat tersebut, kita mengatakan bahawa Nabi Nuh A.S ialah rasul yang pertama selepas Nabi Adam A.S.
Dengan cara ini, kita dapat mengharmonikan pandangan yang berbeza.
Kita sudah menghafal sejak kecil bahawa terdapat 25 orang rasul.
Apabila mendengar pandangan yang mengatakan Nabi Adam A.S bukan rasul, tentulah timbul persoalan.
Oleh itu, kita mengambil pendekatan menghimpunkan riwayat dengan mengatakan bahawa Nabi Nuh A.S ialah rasul yang pertama selepas Nabi Adam A.S. Wallahu a‘lam.
Kita carilah pendekatan yang mendamaikan, bukan yang menimbulkan pertelingkahan.
DDAAM telah kongsikan di Facebook semalam sebuah hadis Nabi S.A.W yang menyebut bahawa terdapat golongan yang setelah mendapat hidayah, mereka diberikan sifat suka berdebat.
Mereka suka berdebat dalam semua perkara, sama ada perkara kecil mahupun besar.
Ada orang yang sentiasa mahu bertengkar, tidak mahu mengaku kalah dan tidak mahu mengalah walaupun dalam perkara yang remeh.
Selepas bertengkar, timbul pula tindakan mahu menghantar Letter of Demand (LOD).
Untuk apa semua pertengkaran ini?
Tumpukanlah perhatian kepada tugas sebenar kita di dunia.
Janganlah terlalu mencari perkara-perkara remeh yang akhirnya membawa kepada pertelingkahan.
Kalau berdebat di Facebook, cukuplah sekadar di Facebook. Tidak perlulah dipanjangkan sehingga membawa kepada tuntutan berjuta-juta ringgit.
3. Sujud hormat
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ أَبَىٰ ١١٦
Ayat 116- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud, melainkan Iblis, ia enggan sujud.} – sudah banyak kali kita dengar dan belajar bahawa Allah sentiasa ingatkan Nabi Adam AS dan kita semua bahawa;
Allah S.W.T telah memerintahkan Iblis supaya sujud sebagai penghormatan kepada Nabi Adam AS, tetapi Iblis enggan melaksanakan perintah tersebut.
Daripada peristiwa ini, kita dapat membuat analisis dan menyimpulkan bahawa punca awal kerosakan manusia ialah sikap sombong. Enggan dan tidak mahu mengikut perintah Allah.
Dia merasakan dirinya lebih mulia daripada Adam kerana dia diciptakan daripada api, sedangkan Adam daripada tanah. Itulah puncanya.
Sebab apa? Sombong punya pasal. Tidak mahu mengalah, tidak mahu menerima kekalahan. Itulah masalahnya.
Apabila seseorang tidak mahu mengalah, maknanya orang itu sombong.
Antara ciri kesombongan manusia ialah tidak mahu mengalah.
Nabi SAW menyebut bahawa Allah تعالى memerintahkan kita supaya bersifat tawaduk.
Sifat tawaduk itu mesti ada pada diri kita.
Tetapi apa boleh buat kalau sudah sombong, berasa diri besar dan merasakan diri kitalah yang hebat.
Punca kerosakan itu bermula di situ. نعوذ بالله.
Kita memohon perlindungan Allah تعالى daripada sifat yang buruk ini.
4. Iblis Musuh Kita.
Ayat 117 فَقُلْنَا يَـٰٓـَٔادَمُ إِنَّ هَـٰذَا عَدُوٌّ لَّكَ وَلِزَوْجِكَ فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ ٱلْجَنَّةِ فَتَشْقَىٰٓ ١١٧ {Maka, Kami berfirman: "Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.}
Allah nyatakan bahawa Syaitan menjadi sebab nabi Adam as dikeluarkan dari Syurga.
Allah S.W.T telah melarang Nabi Adam A.S daripada mendekati pokok yang telah ditentukan.
Dalam masa yang sama, Allah S.W.T mengingatkan baginda tentang ancaman syaitan.
Allah S.W.T berfirman:
Maksudnya: “Maka janganlah sampai syaitan menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga.”
Timbul persoalan,:
Mengapakah Allah S.W.T menisbahkan keluarnya Nabi Adam A.S dari syurga kepada syaitan, sedangkan yang mengeluarkan baginda ialah Allah S.W.T sendiri?
Jawapannya:
Iaitu kerana waswas dan godaan syaitan.
Disebabkan Nabi Adam A.S terpengaruh dengan godaan syaitan, maka syaitanlah yang menjadi sebab baginda dikeluarkan dari syurga.
Memang benar bahawa keluarnya Nabi Adam A.S dari syurga berlaku dengan takdir dan perintah Allah S.W.T.
Namun, sebab yang membawa kepada peristiwa tersebut ialah godaan syaitan.
Setiap sesuatu mempunyai sebab.
Dalam peristiwa ini, syaitan menjadi penyebab Nabi Adam AS dikeluarkan dari syurga.
Apabila Allah S.W.T memberikan peringatan bahawa syaitan boleh menyebabkan manusia keluar dari syurga, ini bermakna manusia perlu benar-benar berhati-hati.
Kita mesti menjaga diri dengan sebaik-baiknya dan mempunyai kawalan yang ketat supaya tidak tergoda atau terpengaruh dengan hasutan syaitan.
Hal ini kerana syaitan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menyebabkan manusia keluar dari syurga.
Apabila kita sudah mengetahui bahawa syaitan merupakan penyebab kepada perkara tersebut, mengapakah kita masih mahu mengikutinya? Mengapakah kita masih mahu berbaik-baik dengannya?
إِنَّ لَكَ أَلَّا تَجُوعَ فِيهَا وَلَا تَعْرَىٰ ١١٨-
Ayat 118 إِنَّ لَكَ أَلَّا تَجُوعَ فِيهَا وَلَا تَعْرَىٰ {"Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang.}
Allah menyatakan apabila kamu berada di dalam syurga kamu akan dapat nikmatnya iaitu kamu tidak akan akan lapar, tidak akan bertelanjang tanpa pakaian.
Para ulama tadabbur ketika mengkaji ayat ini menyebut:
Dalam Allah S.W.T telah menghimpunkan untuk Nabi Adam A.S dalam perkhabaran ini asas-asas keperluan yang mencukupi bagi kehidupan manusia.
Dalam ayat ini, Allah S.W.T menjelaskan beberapa keperluan asas manusia, iaitu: Ada makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal yang baik dengan udara yang bersih lagi & pasangan hidup.
Semua ini merupakan keperluan asas yang mencukupi bagi kehidupan manusia.
Oleh itu, manusia hendaklah berusaha mendapatkan keperluan hidup yang sesuai dengan keadaan masing-masing.
Alhamdulillah, sebelum ini kita telah membaca hadis mengenai empat tanda kebahagiaan:
أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ
Empat perkara yang menjadi tanda kebahagiaan iaitu adanya isteri yang solehah, rumah yang baik, kenderaan yang baik dan jiran yang baik.
Alhamdulillah, mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan orang yang mendapat kebahagiaan di dunia dan keamanan di akhirat.
Semoga jiran kita baik, kenderaan kita tidak rosak di tengah jalan dan isteri kita juga baik, tidak mengamuk dok main kening lutong siang malam!
#Beberapa Perkara yang Masih Belum Berjaya Diterapkan dalam Masyarakat;
Ada beberapa perkara yang sering DDAAM fikirkan kerana masih belum berjaya diterapkan walaupun telah lama diberikan nasihat:
Pertama: Menggalakkan jemaah berebut mendapatkan saf hadapan.
Sudah hampir 20 tahun saya memberikan nasihat mengenai perkara ini.
Saya kembali ke sini pada tahun 2006 dan sekarang sudah tahun 2026.
Namun, kita masih belum melihat jemaah benar-benar berebut untuk duduk di saf hadapan.
Sepatutnya jemaah berlumba-lumba mendapatkan tempat di hadapan, tetapi kebanyakannya lebih suka berada di belakang atau di tepi tiang.
Sebagaimana kata Abu Anas, di mana ada tiang, di situlah ada orang.
Jika terdapat tiang di hujung masjid, di situlah juga orang suka duduk.
Keadaan ini berlaku kepada golongan tua dan muda, lelaki mahupun perempuan.
Inilah kegagalan pertama yang saya rasakan masih belum berjaya diatasi.
Kedua: Masalah penjagaan aurat.
Kita sudah lama mengajar dan memberikan nasihat tentang kewajipan menjaga aurat, tetapi masih ada yang tidak mengambil berat mengenainya.
Ada orang yang begitu berminat untuk mempelajari tadabbur al-Quran sehingga sanggup mencari guru dan menghadiri pelbagai pengajian.
Namun, dalam masa yang sama, perkara asas seperti menjaga aurat masih belum dilaksanakan dengan sempurna.
Kadangkala ustazah yang mengajar tadabbur sendiri juga menghadapi kelemahan dalam perkara tersebut.
Bagaimanakah kita hendak mendidik orang lain sekiranya diri sendiri masih belum berjaya melaksanakannya?!
Masalah aurat masih belum selesai, begitu juga dengan masalah mendapatkan saf hadapan.
- Ketiga: Mengamalkan zikir selepas solat sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi S.A.W.
Kita telah lama mengajar masyarakat mengenai zikir selepas solat yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W.
Namun, masih ada amalan yang belum dapat diterapkan dengan baik.
Ada perkara yang disebut sebagai sunnah, tetapi tidak diamalkan.
Sebaliknya, perkara yang sudah menjadi kebiasaan terus dilakukan.
Banyak lagi perkara yang kita rasakan masih belum berjaya dilaksanakan walaupun telah berulang kali diberikan nasihat.
Akhirnya, kita kembali kepada asas tanggungjawab sebagai penyampai ilmu.
Allah S.W.T berfirman:
{وَمَا عَلَيْكَ إِلَّا الْبَلَاغُ}
Maksudnya: “Dan tidaklah menjadi tanggungjawabmu melainkan menyampaikan.”
Tanggungjawab kita ialah menyampaikan ilmu, memberikan nasihat dan mengingatkan masyarakat.
Alhamdulillah, kita telah berusaha melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Mudah-mudahan kita dapat bertemu dengan Rasulullah S.A.W di akhirat kelak dalam keadaan telah menunaikan amanah menyampaikan ajaran baginda.
Kebahagiaan bukan sekadar kemewahan.
Kita berharap agar memperoleh kebahagiaan melalui rumah, pasangan, jiran dan kenderaan yang baik.
Oleh itu, keperluan hidup hendaklah bersesuaian dengan kemampuan dan keadaan masing-masing.
Kita sambung pengajian pada hari esok, insya-Allah.
Perbahasan mengenai godaan syaitan terhadap Nabi Adam AS masih belum selesai.
Insya-Allah, kita akan membincangkan ayat ini dalam pengajian seterusnya.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga mendapa manfaatnya!
Wallahu a’lam.
Teks al-Quran dalam kotak ayat: Tanzil Project (Rasm Uthmani).
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.