Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Taha · Nota 17/24

Surah Taha: Ayat 99-104

Ibrah Dari Kisah Umat Terdahulu, Amaran Bagi Yang Tolak Al-Quran, Keadaan Kafir Di Mahsyar.

Ibrah Dari Kisah Umat Terdahulu, Amaran Bagi Yang Tolak Al-Quran & Keadaan Kafir Di Mahsyar.

Live Kuliah Pagi Selasa 27/10/2026 - 16 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (17) Ayat [99-104]

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 99 sehingga ayat 104 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan ibrah & pengajaran yang terdapat dalam al-Quran, yang boleh kita ambil iktibar dari kisah umat terdahulu.

Samada kisah yang terawal tentang Nabi Adam & iblis, kisah Nabi Nuh dan umat-umat selepasnya sehinggalah kepada Nabi kita Muhammad s.a.w.

Juga kisah-kisah yang akan berlaku pada akhir zaman.

Itulah kisah dalam al-Quran yang benar belaka tidak perlu kepada tapisan kerana ia datang dari Allah s.w.t.

3. Kemudian Allah nyatakan amaran bagi orang yang tolak al-Quran.

Samada dia tolak rejek al-Quran terus seperti puak kafir atau tolak juz’i- iaitu tolak separuh ambil separuh!

Seperti yang dibuat oleh penjajah ke atas orang Islam – dia benarkan kita ambil ayat-ayat seperti nikah-kahwin, puasa, solat atau haji tetapi bab undang-undang, jual-beli, riba ditolak!

*inilah yang kita bimbangkan sebahagian anak orang Islam yang tolak sebahagian ayat al-Quran sebegini!

4. Akhirnya Allah nyatakan keadaan golongan kafir di padang mahsyar, di Akhirat kelak!

Mereka yang menolak al-Quran Allah sediakan balasan azab bagi mereka!

5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

  1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t mulakan awal surah Allah ceritakan tentang al-Quran.

    Ia diturunkan untuk menjadi penenang hati Nabi s.a.w & menjadi Syari'ah panduan yang mesti diikuti oleh semua orang.

    Kemudian kisah Nabi Musa yang panjang bermula dari episod dia dilahirkan, diletak dalam kotak dan dihanyutkan ke istana Fir'aun.

    Tiba di istana Fir'aun dia diambil menjadi anak angkat Fir'aun dan menjadi kesayangan istana.

  2. datang ayat ini – selepas habis kisah yang panjang; Allah ingatkan kamu jangan lupa kisah-kisah itu semuanya diceritakan untuk menjadi iktibar, pengajaran & ibrah bagi kita semua!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 99 كَذَٰلِكَ نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنبَاءِ مَا قَدْ سَبَقَ ۚ وَقَدْ آتَيْنَاكَ مِن لَّدُنَّا ذِكْرًا ‎﴿٩٩﴾ {Demikianlah Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian dari kisah-kisah umat manusia yang telah lalu; dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami (sebuah Kitab Al-Quran yang menjadi) peringatan.}

  1. Allah nyatakan bahawa sudah diceritakan kepada Nabi s.a.w sebahagian kisah umat yang terdahulu, seperti kisah Nabi Musa dan lain-lain nabi & umat mereka yang terdahulu – sebagaimana yang telah kita lalui satu persatu.
  2. Kisah ini Allah bawa khusus pada era Makkiyyah di mana Nabi s.a.w dan para muslimin ditekan dan diganyang oleh musyrikin Quraisy.

Ia sebagai penenang hati & penguat semangat Baginda s.a.w dan umat Islam.

3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

{Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.} [Hud: 120].

4. Kemudian Allah nyatakan bahawa telah dianugerahkan kepada Nabi s.a.w satu anugerah yang amat berharga (ذِكْرًا) iaitu al-Quran- satu mukjizat yang kekal sehingga ke hari Kiamat.

*Manakala barang-barang peninggalan Nabi s.a.w dipanggil berkat – jika yang asli lah bukan replika!

  1. Nota [916] Al-Qur’an menjadi peringatan, kerana mengandungi segala perkara yang diperlukan oleh umat manusia untuk keselamatan dan kejayaan mereka di dunia dan di akhirat.
  2. Ingatlah; Nak selamat berpeganglah dengan al-Quran, nak aman, berpandulah kepada Al-Quran, nak pahala, bacalah Al-Quran, nak tingkatkan iman tadabburlah Al-Quran- semuanya kembali kepada Al-Quran.
  3. Kata Ahli fikir: Segala yang berkaitan dengan Al-Quran adalah mulia, contohnya:
    1. Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.Tpada malam Lailatulqadar. Maka malam Lailatulqadar ialah malam yang paling mulia.
    2. Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan. Maka bulan Ramadan ialah bulan yang paling mulia.
    3. Al-Quran dibawa turun melalui Malaikat Jibril A.S. Jibril ialah ketua malaikat yang paling mulia.
    4. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Baginda ialah penghulu segala nabi dan rasul.

Jadi, sesiapa yang ingin menjadi mulia, jadilah ahli Al-Quran.

Jadilah orang yang belajar Al-Quran, mengaji Al-Quran, mengkaji dan mentadabbur Al-Quran serta beramal dengannya.

8. Bukan sekadar membaca atau mentilawah Al-Quran sahaja.

Itu pun sudah Alhamdulillah, meningkat sedikit darjatnya.

Namun, yang lebih besar ialah menjadi ahli Al-Quran iaitu orang yang beramal dengan Al-Quran.

9. Maka kita berdoa kepada Allah S.W.T:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنْ أَهْلِ الْقُرْآنِ، هُمْ أَهْلُكَ وَخَاصَّتُكَ

“Ya Allah, jadikanlah kami dalam kalangan ahli Al-Quran, iaitu golongan-Mu yang istimewa.”

10. Mereka ahli al-Quran menjadi orang yang istimewa kerana membaca Al-Quran, memahami Al-Quran dan beramal dengannya.

Ya Allah jadikanlah kami ahli al-Quran, orang yang istimewa kerana al-Quran!

Ayat 100 مَّنْ أَعْرَضَ عَنْهُ فَإِنَّهُ يَحْمِلُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وِزْرًا ‎﴿١٠٠﴾‏ {Sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan Al-Quran itu, maka sesungguhnya ia pada hari kiamat menanggung beban (dosa) yang berat.}

  1. Allah kata sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan al-Quran:

    1. paling tinggi darjat ingkar – tidak beriman tidak percaya terus dengan al-Quran-kafir;
    2. beriman tetapi tidak mahu baca al-Quran- ini berat;
    3. beriman, baca al-Quran; tetapi tidak mahu beramal dengan al-Quran juga berat!
  2. Yang paling berat pastilah yang kafir itu!

    Tetapi yang kita bimbang juga adalah kategori ketiga ini!

    Sudah beriman, sudah membaca Al-Quran, suka pergi kelas mengaji dan kelas tadabbur; tetapi amalan tidak timbul – bual saja yang timbul!

    Katanya kita hendak membaca Al-Quran dan beramal dengannya – tetapi di manakah amalannya? Tidak nampak.

    1. Maka, kita perlu bermuhasabah dalam perkara ini – iaitu beramal dengan Al-Quran sangat penting & kita kena memberikan penekanan kepada perkara tersebut.
    2. Orang yang tidak beriman dengan Al-Quran, tidak beramal dengannya dan menolak Al-Quran, Allah S.W.T berfirman:

    فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ يَحْمِلُ إِثْمًا عَظِيمًا -

    Maka, dia akan datang pada hari kiamat dengan menanggung dosa yang besar dan berat.

    5. Ini kerana Allah S.W.T memberikan Al-Quran untuk diamalkan.

    Tetapi ada yang mengambil Al-Quran sekadar untuk dimusabaqahkan.

    Kita tidak mengatakan musabaqah itu salah. Namun, perkara ini perlu menjadi tempat muhasabah bagi diri kita.

  3. Sebagaimana disebut oleh para ulama seperti asy-Syanqiti:

    Banyak ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan orang jahat (mujrimin) datang pada hari Kiamat kelak dengan memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka!

  4. Walaupun ada orang kata dosa tak nampak bagaimana nak pikul?

Kita kata; jika Allah nak jadikannya sebagai satu beban, jika Allah nak bagi nampak akan nampaklah - caranya bagaimana wallahu a'lam!

  1. Beratnya dosa-dosa yang dipikul itu samada dijadikan secara fizikal atau beban tanggung-jawab- yang penting itulah yang dihuraikan oleh ulama' tafsir.
  2. Tentang hal ini tak perlu kita pertikaikan ini tetapi kerja kita ialah istighfar, bertaubat daripada dosa-dosa yang lepas & berazam tak akan buat lagi pada masa yang akan datang!

Ayat 101 خَالِدِينَ فِيهِ ۖ وَسَاءَ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حِمْلًا ‎﴿١٠١﴾ {Mereka kekal di dalam (azab) dosa itu; dan amatlah buruknya tanggungan itu bagi mereka pada hari kiamat,}

  1. Kekallah orang kafir di dalam neraka itu dengan membawa dosa-dosa mereka & tidak akan keluar lagi dari neraka selamanya – wal-‘iyazu billah!
  2. Manakala orang beriman yang berdosa akan masuk neraka untuk dibersihkan untuk menjalani hukumannya.

Apabila selesai akan keluar dari neraka & dapat masuk syurga selepas dibersihhkan.

Tetapi mereka akan dipanggil Jahannamiyyun iaitu banduan neraka!

3. Na’uzubilah kita tidak mahu ke neraka walaupun sesaat – kita berdoa kepada Allah minta nak masuk syurga dengan hisab yang mudah!

Ayat 102 يَوْمَ يُنفَخُ فِى ٱلصُّورِ ۚ وَنَحْشُرُ ٱلْمُجْرِمِينَ يَوْمَئِذٍ زُرْقًا ١٠٢ {(Iaitu) hari ditiup Sangkakala dan Kami akan himpunkan pada hari itu orang-orang yang bersalah dalam keadaan kelabu matanya.}

  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan tentang keadaan manusia pada hari Kiamat.

    Allah kumpulkan mereka yang berdosa dan bersalah dalam keadaan huru-hara dan kesusahan yang amat sehingga kelabu mata mereka kerana ketakutan!

  2. Pada hari Kiamat itu malaikat akan meniup sangkakala mematikan semua manusia kemudian menghidupkannya pula!

    Kata para ulama' yang masyhurnya malaikat peniup sangkakala atau serunai ini namanya Israfil

  3. Hadis Nabi s.a.w bersabda:

كَيْفَ أَنْعَمُ وَقَدِ الْتَقَمَ صَاحِبُ الْقَرْنِ الْقَرْنَ، وَحَنَى جَبْهَتَهُ، وَأَصْغَى سَمْعَهُ يَنْظُرُ مَتَى يُؤْمَرُ

"Bagaimana aku boleh bersenang-senang (menikmati hidup) sedangkan malaikat peniup sangkakala telah meletakkan sangkakala itu di mulutnya, telah menundukkan dahinya dan telah memasang pendengarannya, menunggu bila masa dia akan diperintahkan (untuk meniupnya)."

Apabila para sahabat mendengar hadis ini, mereka berasa takut lalu bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang apa yang patut mereka ucapkan.

Rasulullah S.A.W mengajarkan mereka untuk membaca:

حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ، عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا

(Cukuplah Allah bagi kami dan Dia adalah sebaik-baik pengurus urusan, kepada Allah kami bertawakal).

(HR. Ahmad No. 11039 & at-Tirmizi].

  1. Tugas kitanya tak perlu bercakap banyak – kita kena berusaha mnecari ilmu, tingkatkan amal ibadat, tinggalkan dosa dan maksiat, jauhi bid'ah & khurafat!
  2. Kita berdoa kepada Allah agar dibangkitkan dalam keadaan mata yang cerah, muka bercahaya, layak mendapat syafaat Nabi s.a.w, masuk ke dalam syurga & dapat memandang wajah Allah yang mulia!

Ayat 103 يَتَخَافَتُونَ بَيْنَهُمْ إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا عَشْرًا ‎﴿١٠٣﴾ {Mereka berbisik-bisik sesama sendiri: "Kamu telah tinggal hanya sepuluh sahaja".}

  1. Yakni puak kafir berbisik sesama mereka berapa lama mereka hidup, berapa lama mereka tinggal atas dunia dulu!

    Ada yang kata hanya 10 (hari) saja yakni terasa terlalu pendek masanya!

  2. Nota [917] “Tinggal” di sini: boleh jadi maksudnya tinggal di dunia atau di dalam kubur; dan “sepuluh” itu dimaksudkan masa yang singkat.

    Yakni disebabkan mereka menderita seksa yang berlanjutan, mereka merasa akan singkatnya masa-masa yang telah lepas.

  3. Yakni mereka terasa sebentar, hilang habis ingatan kerana terlalu dahsyat keadaan huru-hara & azab di Akhirat kelak.

    Begitu juga keadaan nikmatnya terlalu indah sehingga terlupa habis kesusahan atas dunia dulu.

  4. Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

يُؤْتَى بِأَنْعَمِ أَهْلِ الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَيُصْبَغُ فِي النَّارِ صَبْغَةً، ثُمَّ يُقَالُ: يَا ابْنَ آدَمَ، هَلْ رَأَيْتَ خَيْرًا قَطُّ؟ هَلْ مَرَّ بِكَ نَعِيمٌ قَطُّ؟ فَيَقُولُ: لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ.

(Akan didatangkan pada hari kiamat penduduk neraka yang paling hidup mewah dan senang di dunia, kemudian dia dicelupkan ke dalam neraka dengan satu celupan. Lalu dikatakan kepadanya: "Wahai anak Adam, adakah engkau pernah melihat kebaikan sedikit pun? Adakah pernah berlaku kepada engkau apa-apa kenikmatan?" Maka dia menjawab: "Tidak demi Allah, wahai Rabb-ku.")

وَيُؤْتَى بِأَشَدِّ النَّاسِ بُؤْسًا فِي الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيُصْبَغُ صَبْغَةً فِي الْجَنَّةِ، فَيُقَالُ لَهُ: يَا ابْنَ آدَمَ، هَلْ رَأَيْتَ بُؤْسًا قَطُّ؟ هَلْ مَرَّ بِكَ شِدَّةٌ قَطُّ؟ فَيَقُولُ: لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ، مَا مَرَّ بِي بُؤْسٌ قَطُّ، وَلَا رَأَيْتُ شِدَّةً قَطُّ

(Dan akan didatangkan penduduk syurga yang paling sengsara dan susah di dunia, kemudian dia dicelupkan dengan satu celupan ke dalam syurga. Lalu dikatakan kepadanya: "Wahai anak Adam, adakah engkau pernah melihat kesengsaraan sedikit pun? Adakah pernah berlaku kepada engkau apa-apa kesusahan?" Maka dia menjawab: "Tidak demi Allah, wahai Rabb-ku, tidak pernah berlaku kepadaku kesengsaraan sedikit pun dan aku tidak pernah melihat apa-apa kesusahan.") [HR Muslim].

نَّحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَقُولُونَ إِذْ يَقُولُ أَمْثَلُهُمْ طَرِيقَةً إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا يَوْمًا ‎﴿١٠٤﴾

Ayat 104- {(Allah berfirman): Kami lebih mengetahui akan kadar masa yang mereka katakan itu, manakala orang yang lebih tepat pendapatnya di antara mereka berkata pula: "Tiadalah kamu tinggal melainkan satu masa yang amat singkat".

  1. Allah nyatakan bahawa Dia lebih tahu apa yang mereka bincangkan tempoh berada di dunia dulu.
  2. Nota [918] Ia disifatkan “lebih tepat pendapatnya”, bukan kerana benarnya, tetapi kerana perkataannya itu lebih lagi membuktikan penyesalan atau lebih membuktikan setakat mana besarnya azab seksa yang mereka hadapi.
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

{قَـٰلَ كَمْ لَبِثْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ عَدَدَ سِنِينَ )١١٢

Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): "Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?"

قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ فَسْـَٔلِ ٱلْعَآدِّينَ )(١١٣

Mereka menjawab: "Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung

قَـٰلَ إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا قَلِيلًا ۖ لَّوْ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ )(١١٤

Allah berfirman: "Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).} [Al-Mukminun: 112-114].

Penutup & Faedah

  1. Ayat 99- {Demikianlah Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian dari kisah-kisah umat manusia yang telah lalu;…}

    Allah kata Dia ceritakan tentang kisah-kisah umat yang terdahulu agar Nabi s.a.w tenang dalam menghadapi cabara ujian tentangan kaumnya yang kafir!

    Maka Allah nyatakan bahawa Nabi s.a.w kena sabar, tenang & akur dengan perintah Allah s.w.t.

    Kata ulama': Kita umat Muhammad s.a.w ini kena terima al-Quran dengan senang hati, lapang ada & akur kepada perintah Allah s.w.t.

    Untuk sampai di sini kita kena usaha untuk belajar mengaji al-Quran baru boleh boleh faham lalu beramal dengannnya!

    Siapa yang lari tidak mahu beriman itulah manusia yang celaka dalam dunia!

    Manakala siapa yang pilih ambil separuh tinggal separuh daripada al-Quran maka itu adalah orang yang rugi!

    Peluang sudah ada di depan mata tetapi memilih-milih pula mencari yang disukai nafsu!

    Hari ini kita lihat ramai orang suka kepada kelas-kelas tadabbur – Alhamdulillah.

    Tetapi SOP tadabbur cukup atau tidak?

    Para pelajar kena baca, faham & amalkannya!

    Jangan buat slogan saja tetapi dari sudut amalinya tiada!

    Al-Quran bukan hanya slogan ia adalah amali, Kitab hidayah yang Allah perintahkan kepada kita!

  2. Ayat 99- {… dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami (sebuah Kitab Al-Quran yang menjadi) peringatan.}

Allah nyatakan kami turunkan kepada kamu satu peringatan zikir {ذِكْرًا}.

Kenapa Allah kata zikra kenapa Allah tak katakan al-Quran terus atau sebagai zikir peringatan?

Ini kerana beberapa sebab:

i- al-Quran adalah Kitab yang Allah sebut di dalamnya segala perkara yang manusia perlukan tentang dunia dan lebih-lebih lagi tentang Akhirat.

Nak kahwin pun ada diajar dalam al-Quran.

Tetapi jangan majlis akad nikah saja ikut Islam – siap bertudung litup & buat majlis khatam al-Quran lagi.

Kemudian apabila majlis resepsi atau majlis kahwin bukan hanya terbuka tudung tetapi kain baju pun carrik terbelah habis!

Majlis akad nikah ikut adab Islam – majlis kahwin ikut adab syaitan!

Boleh bergembira bersuka pada hari walimah perkahwinan tetapi bukan untuk buat maksiat dan perkara mungkar – perkara yang melanggar Syari'ah!

*Contoh langgar syariah; tak tutup aurat, guna khidmat pondan sebagai juru mekap & majlis ikhtilat lelaki dan wanita.

Al-Quran bukan lagi menjadi peringatan tetapi al-Quran menjadi acara untuk divideokan dan ditik-tokkan!

  1. oleh kerana al-Quran telah menyebut nikmat Allah yang banyak kepada kita serta dalam al-Quran ini ada peringatan dan nasihat – maka sesuailah ia disebut sebagai zikra- ذِكْرًا peringatan.
  2. dalam al-Quran memberi kemuliaan kepada Nabi s.a.w & umatnya yang berpegang dengan al-Quran.

Firman Allah s.w.t:

{Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan).} [Az-Zukhruf: 44].

Maka segala yang berkait dengan al-Quran adalah maka jadikanlah kami ahli al-Quran, orang yang mulia di sisi Allah!

3. Ayat 103- {Mereka berbisik-bisik sesama sendiri: "Kamu telah tinggal hanya sepuluh sahaja".} – puak kafir itu berbisik sesama mereka bahawa mereka tidak tinggal atas dunia ini kecuali 10 sahaja.

Kata ulama: 10 apa, 10 minit ke 10 hari ke 10 tahun ke – Allah tak sebutnya – maka kita kata wallahu a'lam.

Kata para ulama': Bilangan itu menunjukan sedikit.

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa hidup atas dunia ini sedikit & sebentar saja, antaranya:

  1. {Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).} [Yunus: 45].
  2. {(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.} [An-Nazi’aat: 46].
  3. {Allah berfirman: "Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).} [Al-Mukminun: 114].

Ayat-ayat ini cukuplah untuk menjadi motivasi kepada kita supaya pendekkan angan-angan jangan dok panjang.

Tempoh hayat kita tak lama – kita akan mati segera – maka ingatkan mati, ingatkan Akhirat.

Penawar mujarab untuk menamatkan kerakusah hati kepada dunia ialah ingat mati.

Boleh baca kitab yang disyarahkan oleh DDAAM, Penawar Bagi Hati: dartaibah.com…

4. Ayat 104- {(Allah berfirman): Kami lebih mengetahui akan kadar masa yang mereka katakan itu, manakala orang yang lebih tepat pendapatnya di antara mereka berkata pula:

"Tiadalah kamu tinggal melainkan satu masa yang amat singkat".} – mereka lupa tempohnya hidup mereka atas dunia tetapi Allah katakan Allah tidak lupa!

Kenapa mereka lupa umur mereka di dunia ini? Sedangkan semasa atas dunia saban tahun mereka menyambut hari jadi mereka?!

Jawapan:

  1. Kerana mereka dah panik, dalam suasana huru-hara apabila dah tengok azab & kedahsyatan hari Kiamat – maka mereka lupa segala maklumatnya.
  2. mereka tahu berapa umur mereka di dunia – tetapi nak dibandingkan dengan masa Akhirat adalah pendek!
  3. apabila mereka dah tengok azab – maka mereka pun menyesal walaupun umur panjang – kerana tak buat amal ibadat – maka pendeklah umur mereka.
  4. hari-hari dunia tak sama dengan hari Akhirat.

Hari dunia itu pendek jika nak dibandingkan dengan Akhirat yang panjang!

Inilah jawapan ulama' tentang kenapa mereka lupa umur mereka apabila di Akhirat.

5. Ayat 104- {(Allah berfirman): Kami lebih mengetahui akan kadar masa yang mereka katakan itu, manakala orang yang lebih tepat pendapatnya di antara mereka berkata pula: "Tiadalah kamu tinggal melainkan satu masa yang amat singkat".}

Allah kata kamu tak perlu berkelahi sesama kamu – Aku tahu semuanya – berapa umur kamu, berapa lama kamu hidup atas dunia ini dan ke mana hala tuju kami di Akhirat kelak!

Apabila kita sedar bahawa kita sentiasa berada di bawah pengawasan Allah s.w.t maka marilah kita menjadi orang yang beriman, orang yang bersedia untuk mati, orang yang sentiasa ingat kepada mati!

Sebagaimana yang sering DDAAM sebutkan apa beza antara orang yang ingat mati & yang takutkan mati?

Bezanya amat besar:

i-orang yang takut mati ialah orang tak mahu mati kerana terlalu sayang pada dunia & takut hilang nikmatnya.

Lalu cari beli ubat macam-macam!

ii- manakala orang ingat akan mati akan bersegera melakukan ketaatan, buat banyak amal ibadat, bertaubat dan menjauhi dosa maksiat.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga Allah beri ibrah pengajaran & mendapat manfaatnya!

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas