Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Taha · Nota 24/24

Surah Taha: Ayat 131-135

Jangan Terpedaya Dengan Dunia, Perintah Jaga Solat, Amaran Untuk Kafir Minta Mukjizat

Jangan Terpedaya Dengan Dunia, Perintah Jaga Solat & Amaran Untuk Kafir Minta Mukjizat

Live Kuliah Pagi Rabu 04/11/2026 - 24 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (24) Ayat [131-135]

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 131 sehingga ayat 135 dalam juzuk keenam belas.

    Ini adalah siri terakhir bagi surah Taha ini.

  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kepada Nabi s.a.w untuk mengingati umatnya agar jangan terpedaya & terperangkap dengan godaan dunia, yang nampak cantik indah penuh warna-warni tetapi sebenar beracun!

    Jika kita guna dunia untuk menumpang jalan ke Akhirat kita selamat.

    Tetapi jika masukkannya ke dalam hati, ikut halanya maka kita akan binasa!

    *Sebagaimana kata perumpamaan: Kapal di atas air atau lautan aman; tetapi jika air sudah masuk ke dalam kapal akan tenggelam dan binasa!

  3. Kemudian Allah perintahkan agar kita suruh keluarga jaga solat dan bersabarlah untuk menunaikannya.

    Dengan solat tidak akan terhenti rezeki bahkan akan mencurah masuk dengan pertologan Allah!

  4. Di akhir ayat Allah beri amaran tentang syubhat yang ditimbulkan oleh kafir yang minta mukjizat.

    Lalu Allah nyatakan al-Quran itu adalah mukjizat terbesar yang Allah turunkan kepada Nabi s.a.w.

  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t minta Nabi s.a.w agar bersabar atas tentangan dan karenah & tuduhan puak kafir yang menentangnya terhadap Baginda & dakwahnya.
    2. kemudian datang ayat ini Allah larang Nabi saw agar jangan terpedaya dengan kekayaaan & kesenangan yang dimiliki oleh puak kafir kerana itu semuanya hanyalah sementara. Sekejap saja, selepas ini akan rosak binasa dan musnah kesemuanya!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 131 وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِّنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ ۚ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ ‎﴿١٣١﴾‏ {Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.}

  1. Allah berpesan kepada Nabi s.a.w agar jangan kamu celik mata terkesima melihat kekayaan kesenangan kemewahan yang Allah berikan kepada orang kafir atas dunia ini.
  2. Ini kerana semua itu adalah pemberian Allah untuk menguji mereka – nikmat atas dunia ini hanya seketika maka tak perlu kamu kagum dan mengingininya.
  3. Sedangkan kehidupan orang mukmin di Akhirat adalah lebih baik dan lebih bahagia walaupun tidak kaya & mewah atas dunia ini.
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan hadis Nabi s.a.w ini:

Pada suatu hari Saidina Umar r.a masuk berjumpa Rasulullah s.a.w.

Apabila Baginda duduk, Umar terlihat kesan anyaman tikar yang kasar itu membekas pada rusuk dan belakang badan baginda.

Melihat keadaan itu, air mata Umar mengalir kerana berasa amat sedih dan sebak.

Rasulullah S.A.W bertanya mengapa beliau menangis.

Umar menjawab bahawa beliau teringatkan Maharaja Rom (Kaisar) dan Raja Parsi (Kisra) yang hidup dalam kemewahan serta tidur di atas tilam sutera.

Umar lalu berkata, "Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar Dia meluaskan rezeki untuk umatmu (dan dirimu), kerana orang-orang Parsi dan Rom diberi keluasan dunia sedangkan mereka tidak menyembah Allah."

Mendengar kata-kata Umar, Rasulullah S.A.W terus duduk tegak dan bersabda dengan tegas namun lembut:

أَوَفِي شَكٍّ أَنْتَ يَا ابْنَ الْخَطَّابِ؟ أُولَئِكَ قَوْمٌ عُجِّلَتْ لَهُمْ طَيِّبَاتُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

"Adakah engkau masih ragu-ragu wahai Ibnul Khattab?

Mereka itu adalah kaum yang telah disegerakan kesenangan (nikmat) mereka semasa di kehidupan dunia lagi."

Dalam riwayat Sahih al-Bukhari, baginda juga menambah dengan sabda:

أَمَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ لَهُمُ الدُّنْيَا وَلَنَا الآخِرَةُ

"Tidakkah engkau reda wahai Umar, bahawa dunia ini untuk mereka dan akhirat itu untuk kita?" [HR Bukhari & Muslim].

  1. Allah kata Dia nak uji puak kafir itu {لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ} kerana apabila mereka makin kaya makin mewah – mereka akan rasa mereka betul lalu makin sesat & keras kepala!
  2. Sedangkan pahala yang Allah sediakan untuk kamu di Akhirat kelak adalah lebih besar & lebih kekal!
  3. Nota [933] Yakni janganlah engkau menaruh hati kepada harta kekayaan dan kesenangan hidup golongan kafir yang menentangmu, kerana semuanya itu tidak akan dapat menolong mereka dari azab Allah.

Sebaliknya, apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu dalam dunia ini dan apa yang telah disediakan untukmu pada hari akhirat kelak, adalah lebih baik dan lebih kekal.

Ayat 132 وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ ‎﴿١٣٢﴾ {Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.}

1. Munasabah ayat ini jelas:

  1. dalam ayat yang lepas diperintahkan supaya kita membersihkan jiwa kita;
  2. maka datang ayat ini Allah kata bukan jaga diri kamu saja tetapi jaga keluarga – anak isteri kamu untuk menjaga solat!

Yakni kita tidak boleh hanya selamat seorang diri tetapi kena selamatkan juga keluarga kita dengan mendekatkan diri beribadat kepada Allah!

  1. Allah perintahkan untuk jaga solat tetapi solat ini bukan mudah maka Allah ajar dan pesan agar kita sabar dalam mendirikan solat, sabar jaga waktu solat, sabar jaga amalan solat & sabar juga dalam menyuruh keluarga untuk bersolat!
  2. Kerana itu Allah beritahu dari awal lagi – kamu kena jaga solat & jaga keluarga kamu kamu agar jaga solat serta kamu kena bersabar dengan sungguh-sungguh dalam melakukannya {وَٱصْطَبِرْ عَلَيْهَا}.
  3. Hadis sabda Nabi s.a.w:

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Maksudnya: "Perintah anak-anak kamu agar mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakan solat) ketika mereka berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka." (HR Abu Daud)

*Kerana itulah kempen DDAAM kita buat amalan untuk masuk syurga sekeluarga!

Kita nak pergi syurga bukan berseorangan tetapi bersama keluarga kita insya' Allah!

5. Kemudian Allah kata Aku tidak minta dengan kamu rezeki serta tak susahkan kamu untuk cari rezeki!

Tetapi Allah perintahhkan kamu agar solat & jaga waktunya – maka rezeki semua makhluk akan disediakan Allah!

Jangan sebab nak cari rezeki solat pun tidak!

Orang jaga solat insya' Allah-Allah akan jaga rezekinya!

  1. Usaha & kerja buat kena ada tetapi jangan sebab pekerjaan & nak cari rezeki; usaha kita menjadi penghalang untuk kita solat pula!
  2. Hadis qudsi – Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ: يَا ابْنَ آدَمَ تَفَرَّغْ لِعِبَادَتِي أَمْلَأْ صَدْرَكَ غِنًى وَأَسُدَّ فَقْرَكَ، وَإِلاَّ تَفْعَلْ مَلَأْتُ يَدَيْكَ شُغْلاً وَلَمْ أَسُدَّ فَقْرَكَ.

Allah s.w.t berfirman: Wahai anak Adam, tinggalkanlah urusan kamu agar dapat beribadah kepadaKu nescaya Aku penuhi dadamu dengan rasa kaya dan aku tutupi kefakiranmu.

Jika kamu tidak melakukannya, Aku akan penuhi kedua tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutupi kefakiranmu." [HR At-Tirmizi- hadis hasan gharib].

8. Sabda Nabi s.a.w lagi memperingatkan kita:

مَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ، فَرَّقَ اللَّهُ عَلَيْهِ أَمْرَهُ، وَجَعَلَ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ، وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلَّا مَا كُتِبَ لَهُ

"Barang siapa yang menjadikan dunia sebagai tujuan hidupnya, Allah akan membuat hidupnya kacau, menjadikan kefakiran selalu ada di depan matanya dan ia tidak akan mendapatkan dunia kecuali apa yang telah ditetapkan untuknya." [HR Ibnu Majah].

  1. Kemudian Allah peringatkan bahawa kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah s.w.t.
  2. Nota [934] Sembahyang lima waktu diwajibkan oleh Allah Ta’ala atas Nabi dan sekalian umatnya untuk faedah dan kebaikan tiap-tiap orang yang mengerjakannya.

Dengan mengerjakan sembahyang maka orang itu mendampingkan diri dengan Tuhannya dan dengan itu akan selamatlah hidupnya di dunia dan di akhirat.

Jika demikian keadaannya, maka amatlah ruginya orang yang mencuaikan sembahyangnya kerana dihalang atau dilalaikan oleh soal-soal hidup.

Allah jualah yang memberi rezeki dan rezekiNya itu melimpah kepada orang-orang yang taat dan juga orang-orang yang ingkar. Tetapi kesudahan yang baik – di dunia dan di akhirat – hanya akan didapati oleh orang-orang yang taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya.

Ayat 133 وَقَالُوا لَوْلَا يَأْتِينَا بِآيَةٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ أَوَلَمْ تَأْتِهِم بَيِّنَةُ مَا فِي الصُّحُفِ الْأُولَىٰ ‎﴿١٣٣﴾ {Dan mereka yang kafir berkata: "Mengapa ia tidak membawa kepada kami satu tanda mukjizat dari Tuhannya yang membuktikan kebenarannya?" Bukankah telah datang kepada mereka berbagai-bagai keterangan dan khasnya Al-Quran yang menjadi kenyataan yang menerangkan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab yang dahulu?}

  1. Munasabah ayat:

    1. dalam ayat yang lepas Allah pesan orang beriman untuk bersabar dalam jaga solat, jaga tauhid, jaga aqidah & akhlak.
    2. maka datang ayat ini Allah ceritakan bagaimana puak kafir cuba nak memesongkan fahaman orang Islam dengan menimbulkan syubhat keraguan, meminta Nabi s.a.w tunjukkan bukti di depan mata mereka!
  2. Allah nyatakan puak kafir meminta kepada Nabi s.a.w untuk membawa bukti-bukti duniawi seperti bukit menjadi emas, dalam bandar Makkah ada sungai atau tali-air serta pelbagai kemewahan yang pelik – pelbagai projek dunia!
  3. Allah cela perbuatan mereka itu kerana sudah jelas terdapat pelbagai bukti yang telah datang kepada mereka pelbagai keterangan khasnya al-Quran yang menerangkan apa yang terkandung dalam kitab yang lain sebelumnya. Maka apa lagi yang mereka mahu!
  4. Seperti dalam kitab Taurat & Injil sudah ada khabar gembira tentang kemunculan seorang Nabi akhir zaman, penutup segala nabi dari bandar Makkah.

    Tidak ada mana-mana Nabi kecuali Allah beri mukjizat kepada mereka dengan sesuatu yang menjadi kecenderungan kaumnya pada waktu itu!

    Seperti Musa – mukjizat seperti sihir – Isa dapat sembuhkan penyakit – Nabi Muhammad s.a.w al-Quran yang mengatasi segala sastera & syair!

  5. Nota [935] Kaum kafir yang degil masih berdalih meminta Nabi Muhammad s.a.w menunjukkan mukjizat kepada mereka yang membuktikan kebenarannya.

    Lalu Allah menolak dalihan mereka dan menegaskan: bukankah telah datang kepada mereka Al-Qur’an yang menjadi sebesar-besar mukjizat, maka mukjizat yang mana lagi mereka kehendaki?

    Sedang Al-Qur’an mengandungi segala yang diperlukan oleh umat manusia untuk kebaikan dunianya dan akhiratnya dan ia juga menjadi keterangan yang menerangkan apa yang terkandung di dalam Kitab-kitab yang telah lalu.

  6. Hadis daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W bersabda:

«مَا مِنَ الأَنْبِيَاءِ نَبِيٌّ إِلَّا أُعْطِيَ مَا مِثْلهُ آمَنَ عَلَيْهِ البَشَرُ، وَإِنَّمَا كَانَ الَّذِي أُوتِيتُ وَحْيًا أَوْحَاهُ اللَّهُ إِلَيَّ، فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَكْثَرَهُمْ تَابِعًا يَوْمَ القِيَامَةِ»

Maksudnya: "Tidak ada seorang nabi pun daripada kalangan para nabi melainkan diberikan kepadanya (mukjizat) yang mana dengan yang seumpamanya manusia beriman.

Dan sesungguhnya mukjizat yang diberikan kepadaku adalah wahyu (Al-Quran) yang Allah wahyukan kepadaku.

Maka aku berharap agar aku menjadi nabi yang paling ramai pengikutnya pada hari kiamat kelak." (Riwayat al-Bukhari, no. 4981 & Muslim, no. 152)

Ayat 134 وَلَوْ أَنَّا أَهْلَكْنَاهُم بِعَذَابٍ مِّن قَبْلِهِ لَقَالُوا رَبَّنَا لَوْلَا أَرْسَلْتَ إِلَيْنَا رَسُولًا فَنَتَّبِعَ آيَاتِكَ مِن قَبْلِ أَن نَّذِلَّ وَنَخْزَىٰ ‎﴿١٣٤﴾‏ {Dan sekiranya Kami binasakan mereka dengan sesuatu azab sebelum datangnya Rasul Kami membawa Al-Quran ini, tentulah mereka akan berkata pada hari kiamat: "Wahai Tuhan Kami! Mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada kami seorang Rasul supaya kami menurut ayat-ayat keteranganMu yang dibawanya, sebelum kami menjadi hina (dengan azab di dunia) dan mendapat malu (dengan azab di akhirat)?"}

  1. Allah tegaskan bahawa jika Allah binasakan puak kafir ini sebelum diturunkan al-Quran pasti mereka buat hujjah bahawa kerana tidak tahu apa, tak adil tiba-tiba kena binasa – jadi ada hujjah ke atas mereka!
  2. Tetapi Allah nyatakan Dia telah utuskan Rasulullah s.a.w, telah turunkan al-Quran dan pelbagai ayat-ayat tanda kebenaran – maka jika kamu kata tak tahu juga – bukan salah al-Quran lagi, kenapa kamu ingkar, kenapa kamu degil keras kepala, kenapa menolaknya?!
  3. Ayat ini kita kena kembarkan dengan firman Allah ini!

{Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).} [Al-Isra’: 15].

*Yakni bukan kata Allah mudah-mudah turun azab sebelum dibawa risalah kepada mereka!

4. Nota [936] Yakni kalaulah mereka ditimpa azab kebinasaan sebelum turunnya Al-Qur’an, tentulah mereka akan mendakwa pada hari kiamat seperti yang tersebut itu: tetapi oleh kerana mereka tidak dibinasakan sebelum itu bahkan telah diutuskan kepada mereka seorang Rasul – nabi Muhammad s.a.w – dengan membawa kepada mereka Kitab Suci yang menerangkan segala-galanya, maka dengan itu mereka tidak dapat berdalih lagi.

Ayat 135 قُلْ كُلٌّ مُّتَرَبِّصٌ فَتَرَبَّصُوا ۖ فَسَتَعْلَمُونَ مَنْ أَصْحَابُ الصِّرَاطِ السَّوِيِّ وَمَنِ اهْتَدَىٰ ‎﴿١٣٥﴾‏ {Katakanlah (wahai Muhammad): "Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang menunggu; maka tunggulah kamu! Kemudian kamu akan mengetahui kelak siapakah orang-orang yang berada atas jalan yang lurus dan juga siapa yang mendapat petunjuk".}

  1. Munasabah ayat ini jelas:

    1. apabila puak kafir yang keras kepala datang minta bermacam-macam dan Allah tahu bahawa mereka akan tetap degil, berbalah dan berkelahi;
    2. maka Allah cabar di sini – kita semua sedang menunggu keputusan dari Allah; kamu tunggu azab – kami tunggu nikmat!
  2. Allah suruh Nabi s.a.w katakan kepada puak kafir itu bahawa kita semua sedang menunggu keputusan dari Allah – kita lihatlah siapa yang menang & siapa yang benar dan akan mendapat pertolongan Allah; manakala siapa yang kalah dan akan dihina oleh Allah s.w.t!
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:

    {Katakanlah: "(Sebenarnya) tidak ada yang kamu tunggu-tunggu untuk kami melainkan salah satu dari dua perkara yang sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid); dan kami menunggu-nunggu pula untuk kamu bahawa Allah akan menimpakan kamu dengan azab dari sisiNya atau dengan perantaraan tangan kami. Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu bersama-sama kamu".} [At-Taubah: 52].

  4. Ayat ini lebih kepada cabaran & ancaman kepada orang kafir!

    Kita akan ketahui kelak siapakah orang-orang yang berada atas jalan yang lurus dan juga siapa yang mendapat petunjuk.

  5. Nota [937] Allah Ta’ala mengakhiri surah ini dengan menyuruh Nabi Muhammad s.a.w menjawab golongan kafir yang degil itu, supaya mereka menunggu, kerana mereka akan mengetahui kelak – pada hari kiamat – siapa yang benar dan siapa yang salah.

Penutup & Faedah

  1. Ayat 131- {Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini…} – ayat ini membawa larangan terlalu memandang keindahan dunia.

    Firman Allah:

    {وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِۦٓ أَزْوَٰجًا مِّنْهُمْ زَهْرَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا}

    Allah melarang kita terlalu memandang dan mengagumi kemewahan dunia yang dimiliki oleh orang lain.

    Apabila melihat orang lain kaya, kita juga ingin menjadi kaya sehingga tidak mempedulikan halal dan haram.

    Ada yang sanggup terlibat dengan rasuah, riba, mengampu, membodek, malah mempergunakan agama semata-mata untuk mendapatkan habuan dunia.

    Para ulama tadabbur, antaranya as-Suyuti  menyebut bahawa ayat ini mengandungi larangan: النَّهْيُ عَنِ التَّشَوُّفِ إِلَى مَا فِي أَيْدِي النَّاسِ

    Iaitu larangan dari kita celik mata, tamak menginginkan sesuatu yang berada dalam tangan orang lain.

    Sepatutnya orang yang diberikan taufik oleh Allah tidak memandang perhiasan dunia dengan penuh kekaguman.

    Kita boleh melihat keindahan dunia untuk mengambil iktibar dan pengajaran, tetapi jangan sampai terlalu terpesona dengannya.

    Hendaklah kita berpada dengan rezeki yang Allah S.W.T kurniakan.

    Sekiranya tidak memperoleh sesuatu nikmat di dunia, kita tetap yakin bahawa Allah menyediakan pertolongan dan ganjaran yang lebih besar kepada orang yang beriman dan bertakwa, khususnya di akhirat.

    Oleh itu, perbanyakkan ibadat kepada Allah S.W.T dan jangan terlalu mengejar keindahan dunia kerana semuanya akan hilang dan fana.

  2. Ayat 131- {… sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.}

Allah nyatakan rezeki Allah lebih baik dan lebih kekal.

Allah S.W.T berfirman: {وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ}

Rezeki yang Allah S.W.T sediakan di akhirat, khususnya nikmat syurga, adalah lebih baik dan lebih kekal.

Kemudian Allah S.W.T berfirman:

{وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ}

Ayat ini menunjukkan hubungan yang besar antara solat, ibadat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah S.W.T.

Dalam kehidupan, jangan hanya bergaul dengan orang kaya sahaja.

Bergaullah juga dengan orang miskin, fakir dan mereka yang hidup dalam kesusahan supaya jiwa menjadi lebih tenang dan tidak tamak.

Para ulama mengajarkan satu kaedah:

* Dalam urusan ibadat, lihatlah orang yang lebih baik daripada kita supaya timbul semangat untuk memperbanyakkan amalan.

* Dalam urusan dunia, lihatlah orang yang lebih rendah daripada kita supaya kita sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah.

Antara sebab memperoleh rezeki daripada Allah S.W.T ialah ketakwaan.

Allah S.W.T berfirman:

{وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا ۝ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ}

Allah menjanjikan jalan keluar dan rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangka kepada orang yang bertakwa.

Begitu juga dengan firman-Nya:

{وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ}

Hubungan antara solat dan rezeki amat besar.

Dalam hadis tadi disebutkan:

يَا ابْنَ آدَمَ، تَفَرَّغْ لِعِبَادَتِي –

kamu sibukkan diri kamu dengan ibadat – Allah akan buka rezeki kamu!

Hendaklah kita memberikan perhatian kepada ibadat kepada Allah S.W.T.

Namun, janganlah seseorang mendirikan solat semata-mata kerana ingin menjadi kaya.

Kita bersolat kerana melaksanakan pengabdian kepada Allah.

##Kisah Urwah bin al-Zubair r.a:

Diriwayatkan dari anaknya Hisyam bin Urwah bahawa bapanya, Urwah bin al-Zubair r.a apabila melihat para pemimpin dan pembesar dunia dengan kemewahan serta kenderaan mereka yang indah, beliau masuk ke dalam rumah lalu membaca firman Allah S.W.T:

{وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ}

Beliau mengingatkan dirinya bahawa segala kemewahan dunia adalah sementara dan akan binasa.

Kemudian beliau memanggil anak-anaknya: هَيَّا نُصَلِّ- Mari kita mendirikan solat.

Para ulama’ menyebut bahawa ayat ini memberikan isyarat supaya seseorang kembali kepada solat apabila hatinya mula tertarik dan terlalu menginginkan kemewahan dunia.

Ini kerana solat merupakan antara sebab Allah S.W.T membuka pintu rezeki kepada hamba-Nya.

3. Ayat 132: {Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.} – Allah perintahkan orang beriman untuk perintahkan keluarganya mengerjakan solat.

Allah S.W.T berfirman:

{وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا}

Ayat ini menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan anak-anak mendirikan solat.

Ibu bapa hendaklah menjaga waktu solat anak-anak dan memastikan mereka tidak mengambil ringan terhadap kewajipan tersebut.

Namun, tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar menyuruh anak-anak bersolat, bahkan mereka sendiri mesti melaksanakannya.

Mesti memainkan peranan & tunjukkan contoh qudwah.

Apabila azan berkumandang, ibu bapa hendaklah segera bersiap untuk menunaikan solat.

Lebih baik lagi apabila sebelum azan, mereka sudah bersedia untuk pergi ke masjid bersama anak-anak.

Inilah yang dinamakan qudwah, iaitu menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Tidak memadai seseorang ayah hanya menyuruh anaknya bersolat sedangkan dirinya sendiri mengabaikan solat.

Apabila ibu bapa menunjukkan contoh yang baik, barulah kehidupan keluarga menjadi aman dan sejahtera.

Para ulama menjelaskan bahawa melihat keindahan dan kemewahan dunia bukanlah suatu kesalahan.

Namun, perkara yang dibimbangi ialah apabila seseorang terlalu kagum dan terpesona sehingga hatinya dikuasai oleh dunia.

Sebagaimana perumpamaan yang disebutkan: Kapal yang berada di atas air dapat berlayar dengan baik, tetapi apabila air masuk ke dalam kapal, kapal itu akan tenggelam.

Begitulah kehidupan manusia di dunia. Jangan biarkan dunia menguasai hati!

Kita berada di dunia untuk mencari bekalan menuju akhirat.

Namun, apabila dunia menguasai hati dan kehidupan kita, akhirnya kita akan binasa.

Oleh itu, jangan biarkan dunia menguasai diri sehingga melupakan tujuan sebenar kehidupan.

Solat menjadi sebab keberkatan rezeki & punca kekuatan jiwa orang beriman!

الصَّلَاةُ جَالِبَةٌ لِلرِّزْقِ-

“Solat menjadi sebab datangnya rezeki.”

Firman Allah S.W.T:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ

Ayat ini menunjukkan bahawa solat mempunyai hubungan yang besar dengan rezeki dan keberkatan hidup.

Sesiapa yang menginginkan rezekinya diberkati oleh Allah S.W.T, hendaklah dia menjaga solat dengan sebaik-baiknya.

4. Ayat 133- {Dan mereka yang kafir berkata: "Mengapa ia tidak membawa kepada kami satu tanda mukjizat dari Tuhannya yang membuktikan kebenarannya?"} – golongan yang ingkar mempersoalkan mengapa Nabi Muhammad S.A.W tidak mendatangkan bukti dan mukjizat daripada Tuhannya.

Sedangkan Allah S.W.T telah mengurniakan pelbagai mukjizat kepada Rasulullah S.A.W sebagai bukti kebenaran kerasulan Baginda.

Antaranya ialah mukjizat yang dapat dilihat dengan mata, seperti air yang sedikit menjadi banyak.

Namun, mukjizat yang paling besar dan kekal ialah Al-Quran, yang menjadi bukti kebenaran Rasulullah S.A.W secara zahir dan batin.

Sepatutnya kita bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dikurniakan Al-Quran sebagai petunjuk kehidupan.

Malangnya, masih ramai manusia yang memiliki Al-Quran tetapi tidak mengambil manfaat daripadanya.

Al-Quran ada di tangan, tetapi tidak dibaca. Tidak dipelajari tafsirnya, tidak ditadabburkan ayat-ayatnya dan tidak diamalkan segala tuntutannya. Inilahtanda tidak bersyukur!

Keadaan ini diumpamakan seperti seseorang yang berbangga dengan kekayaan keturunannya, sedangkan dirinya sendiri hidup dalam kemiskinan.

Begitulah keadaan seseorang yang memiliki Al-Quran tetapi miskin ilmu dan miskin amal.

Memiliki Al-Quran tanpa membaca, memahami, mentadabbur dan mengamalkannya merupakan suatu kerugian yang besar.

5. Ayat 134- {Dan sekiranya Kami binasakan mereka dengan sesuatu azab sebelum datangnya Rasul Kami membawa Al-Quran ini, tentulah mereka akan berkata pada hari kiamat: "Wahai Tuhan Kami! Mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada kami seorang Rasul…}

Allah tidak mengazab sebelum mengutuskan rasul.

Allah S.W.T berfirman:

وَلَوْ أَنَّا أَهْلَكْنَاهُمْ بِعَذَابٍ مِنْ قَبْلِهِ لَقَالُوا لَوْلَا أَرْسَلْتَ إِلَيْنَا رَسُولًا

Sekiranya Allah S.W.T membinasakan sesuatu kaum dengan azab sebelum mengutuskan rasul kepada mereka, nescaya mereka akan berhujah bahawa Allah tidak mengutuskan seorang rasul untuk memberikan peringatan.

Namun, setelah rasul diutuskan dan kitab diturunkan, manusia tidak lagi mempunyai alasan untuk menolak kebenaran.

Rasul telah datang membawa petunjuk, Al-Quran telah berada di tangan, tetapi masih ada manusia yang memilih untuk mengingkari perintah Allah S.W.T.

Kesalahan tersebut bukan disebabkan ketiadaan petunjuk, bukan salah ibu mengandung tetapi kerana manusia sendiri memilih jalan yang salah.

Kita memohon keampunan dan keselamatan daripada Allah S.W.T agar tidak terpesong daripada jalan yang diredai-Nya.

نَسْأَلُ اللَّهَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ

Begitu juga dalam kehidupan kita. Kita membaca Al-Quran, hadis, menghadiri kuliah dan mendengar tazkirah.

Namun, sekiranya semua ilmu tersebut tidak membetulkan jiwa dan amalan, kesalahannya bukan pada kitab atau ilmu yang dipelajari, tetapi pada diri kita yang tidak menghayatinya.

Para ulama' menjelaskan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah tidak ambil tindakan terhadap أَهْلُ الْفَتْرَةِ (Ahl al-Fatrah).

Ahl al-Fatrah merujuk kepada golongan manusia yang tidak sampai kepada mereka dakwah dan petunjuk daripada para rasul.

Allah S.W.T tidak mengazab mereka sebelum sampai hujah dan peringatan.

Namun, pada zaman kita ini pelbagai kemudahan telah tersedia, termasuk internet dan pelbagai saluran penyampaian ilmu serta dakwah Islam.

Ada manusia yang telah menerima penjelasan tentang Islam, tetapi tetap menolak kebenaran. Bahkan, ada yang menimbulkan kebencian dan Islamofobia.

Apabila dakwah dan hujah telah sampai dengan jelas tetapi masih ditolak, kesalahan tersebut bukan pada Al-Quran atau ajaran Islam, sebaliknya pada manusia yang enggan menerima petunjuk.

#Penutup Kuliah Tafsir Surah Taha.

Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T, tamatlah perbincangan tafsir Surah Taha setelah berlangsung sebanyak 24 siri kuliah.

Kuliah surah ini telah disempurnakan kali pada 4 Rabiulawal 1446H.

Sebagai perbandingan, siri pertama tafsir Surah Taha sebelum ini telah dikhatamkan dalam 14 siri kuliah pada 29 Ramadan 1442H- 11hb Mei 2021- yakni 5 tahun dulu!

Semoga segala ilmu dan pengajaran daripada Surah Taha memberikan manfaat serta membimbing kita untuk terus istiqamah di atas jalan Allah S.W.T.

#Doa Penutup / Khatam Tafsir Surah Taha

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ الْكَرِيمِ، نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

Ya Allah, ya Tuhan kami.

Alhamdulillah, dengan nikmat-Mu dan limpah kurnia-Mu, kami dapat istiqamah mempelajari tafsir Surah Taha bermula daripada awal sehingga ke penghujungnya pada hari ini.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami pengajaran dan iktibar daripada kisah umat-umat terdahulu.

Mereka dibinasakan kerana menderhakai-Mu, dihancurkan kerana mengingkari perintah-Mu dan dihina kerana menentang nabi-nabi-Mu.

Ya Allah, jadikanlah kami dalam kalangan orang yang mulia, yang sentiasa mentaati perintah-Mu, berpegang teguh dengan sunnah Nabi Muhammad SAW serta mengambil pengajaran daripada kebinasaan umat-umat terdahulu.

Ya Allah, janganlah Engkau jadikan kami sebagai iktibar dan pengajaran kepada orang lain akibat kebinasaan dan kemurkaan-Mu.

يَا مُجِيبَ السَّائِلِينَ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami ketenangan, keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan.

Peliharalah kami, keluarga kami, anak-anak, cucu-cucu serta seluruh pelajar kami, sama ada di alam nyata mahupun di alam maya.

Jadikanlah kami semua sentiasa istiqamah menghadiri majlis-majlis ilmu, sama ada secara bersemuka ataupun dalam talian.

Kurniakanlah kepada kami kefahaman yang baik terhadap agama-Mu, sentiasa mentadabbur ayat-ayat Al-Quran dan mengamalkan segala isi kandungannya dalam kehidupan.

وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ. وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir Surah Taha semoga mendapat manfaatnya!

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas