Surah Taha: Ayat 128-130
Iktibar Kebinasaan Umat Terdahulu, Allah S.W.T Tangguhkan Azab, Sabar Dan Solat
Iktibar Kebinasaan Umat Terdahulu, Allah S.W.T Tangguhkan Azab & Sabar Dan Solat

Live Kuliah Pagi Selasa 03/11/2026 - 23 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (23) Ayat [128-130]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 128 sehingga ayat 130 dalam juzuk keenam belas.
Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan agar kita ambil iktibar pengajaran atas kebinasaan umat terdahulu.
Mereka binasa kerana syirik & kufur terhadap Allah s.w.t.
- Allah s.w.t nyatakan sebab ditangguhkan azab ke atas sebahagian kafir ada hikmahnya. Iaitu kerana Allah mahu beri peluang kepada mereka untuk bertaubat atau supaya bertambah dosa & keburukan mereka maka hukuman juga bertambah!
- Kemudian Allah ajar kepada kita para pendakwah untuk bersabar menghadapi ujian & fitnah hidup dan banyakkan solat & tasbih kepada Allah s.w.t pada setiap waktu, siang & malam.
*Para ulama' mengatakan ayat ini juga sebagai dalil atau isyarat kepada waktu solat harian kita.
5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bahawa orang yang berpaling dari al-Quran seperti kafir yang tidak beriman dengannya atau yang beriman tetapi cuai tidak beramal dengannya; bagaimana mereka dikumpulkan pada hari Kiamat.
Iaitu dalam keadaan buta mata meraba-raba, berjalan kaki ata ke bawah dan lain-lain.
- maka datang ayat ini Allah bawa kita ke dunia semula untuk ambil iktibar pengajaran tentang apa yang berlaku kepada umat-umat terdahulu yang telah mendustakan rasul-rasul mereka!
Semua mereka telah dibinasakan – apakah kamu Quraisy mahu kena begitu juga?
6. Munasabah kedua:
- dalam ayat yang lepas dalam surah ini & surah-surah sebelumnya; Allah sebut tentang hujung jatuh orang terdahulu & orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dengan sebab mereka derhaka kepada rasul.
- Menjadi sebab bagi orang beriman untuk celik mata, buka hati untuk mengambil iktibar & pengajaran bahawa betapa bahayanya jika orang yang beriman tidak mengingkari mereka yang menentang hukuman Allah.
7. Ini sangat penting agar kita bukan baca al-Quran untuk ambil berkat saja – wajib kita juga baca dengan faham untuk ambil iktibar atas apa yang telah berlaku!
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 128 أَفَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّنَ الْقُرُونِ يَمْشُونَ فِي مَسَاكِنِهِمْ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّأُولِي النُّهَىٰ ﴿١٢٨﴾ {Adakah tersembunyi serta belum jelas lagi kepada mereka: berapa banyak Kami telah binasakan dari kamu-kaum yang terdahulu daripada mereka, sedang mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya pada yang demikian ada tanda-tanda (untuk mengambil iktibar) bagi orang-orang yang berakal fikiran.}
Allah bawa pertanyaan sentap kepada puak kafir; apakah tersembunyi bagi kamu wahai kafir Makkah akan apa yang telah terjadi kepada umat terdahulu yang telah dibinasakan Allah.
*Ayat itu pada masa itu untuk kafir Makkah tetapi untuk semua manusia juga pada masa ini.
Sedangkan kafir Quraisy – dalam musafir mereka – telah berulang-alik melalui tempat kesan kebinasaan, tempat tinggal kaum-kaum itu!
Mereka telah lihat sendiri dengan mata kepala mereka akan kesan peninggalan kaum terdahulu itu!
Tidakkah kamu takut ia akan menimpa kamu juga!
Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
{Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?} [Al-An’aam: 6].
Maka kita sebagai ibu bapa, sebagai orang dewasa dalam masyarakat – tegurlah apa yang
Kita bukan nak membid’ahkan orang – tetapi kita nak menyatakan batasan antara Sunnah & bid'ah.
Kita bukan nak mengkafirkan orang; tetapi nak menyatakan batasan antara iman & kufur!
- Nota [930] Yakni mengapa kaum kafir musyrik masih berdegil mendustakan ugama Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada mereka?
Sedang mereka sekarang berulang-alik melalui negeri-negeri yang telah dibinasakan oleh Allah dan mereka dapat melihat bekas-bekas peninggalan kaum penderhaka yang telah binasa itu?
- Semua kesan itu ada tanda-tanda untuk mengambil iktibar bagi orang-orang yang berakal fikiran.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?} [As-Sajdah: 26].
8. Ulama' kata kesan yang nyata itu ialah di laluan emas puak Quraisy dalam perjalanan perniagaan mereka:
- kesan kebinasaan kaum Ad di Yaman – di laluan musim sejuk mereka ke Yaman;
- kesan kebinasaan kaum Thamud – di laluan musim panas mereka ke Syam.
Ayat 129 وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَكَانَ لِزَامًا وَأَجَلٌ مُّسَمًّى ﴿١٢٩﴾ {Dan jika tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah Tuhanmu (wahai Muhammad) dan satu tempoh yang ditentukan nescaya balasan jenayah mereka sudah semestinya berlaku.}
- Allah gazetkan akta bahawa orang yang zalim diberi waktu sebelum kebinasaan mereka.
- Munasabah ayat:
- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bagaimana telah binasakan umat terdahulu;
- maka dalam ayat ini Allah nyatakan sebab kenapa ada yang Allah tangguhkan azab ke atas mereka – tidak terus dibinasakan.
*Sebagaimana kata ahli tafsir – tempoh antara doa Nabi Musa untuk kebinasaan Fir'aun dengan kebinasaan sebenar Fir'aun adalah 40 tahun.
- Abu Jahal & Abu Lahab serta lain-lain penjahat Quraisy yang menzalimi Nabi s.a.w dan kaum muslimin – tidak dibinasakan sehinggalah dalam Perang Badar pada tahun ke-2H.
- para pemimpin diktator zaman ini juga Allah berikan tempoh kepada mereka untuk berkuasa buat beberapa lama sehingga tiba tempohnya!
- Kalaulah tidak taqdir Allah yang menangguhkan azab nescaya mereka akan diazab pada waktu itu juga. Buat je dosa terus mati disambar petir contohnya!
- Kata ulama' maksudnya perkataan
{وَأَجَلٌ مُّسَمًّى}
tempoh yang ditetapkan Allah Azza wa Jalla itu adalah:
- azab di Akhirat kelak selepas Kiamat;
- atau atas dunia ini lagi – jika Quraisy kebinasaan semasa perang Badar;
- atau bagi semua orang azab ketika sakaratul maut & azab selepas mati di dalam kubur & azab di Akhirat pula!
*Yang penting semua itu akan berlaku dan Allah telah tetapkan azab-Nya.
Setiap tempoh ada waktunya jangan kita dok kata bila nak kena azab kafir ini!
5. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): "Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu".} [Al-Furqan: 77].
6. Nota [931] “Kalimah Allah” yang terdahulu itu ialah janjiNya di dalam Al-Qur’an (ayat 33, surah Al-Anfaal) yang ertinya:
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka …” dan “tempoh yang ditentukan” itu pula ialah yang diterangkan (dalam ayat 46 surah Al-Qamar) ertinya: “Bahkan saat (hari kiamat) itulah waktu yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima azab itu)”.
Kesimpulannya: Kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad s.a.w tidak dibinasakan di dunia sehingga punah-ranah, seperti kaum-kaum: ‘Aad, Thamud dan lain-lainnya yang telah menentang Nabi masing-masing, tetapi mereka diberi tempoh hingga hari kiamat.
Hal ini ialah satu penghormatan kepada Baginda dan satu peluang yang baik yang telah diberikan kepada kaum kafir musyrik Quraisy.
Akhirnya banyak di antara mereka yang telah memeluk Islam semasa Baginda hidup dan telah melahirkan keturunan-keturunan yang mengembangkan Islam.
Contoh: Abu Sufyan, Khalid bin al-Walid dan lain-lain sahabat r.a.
7. Ayat-ayat lain yang menafsirkan ayat ini:
- {Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).} [Al-Anfaal: 33].
- {(Bukan kekalahan itu sahaja) bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit.} [Al-Qamar: 46].
Ayat 130 فَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا ۖ وَمِنْ آنَاءِ اللَّيْلِ فَسَبِّحْ وَأَطْرَافَ النَّهَارِ لَعَلَّكَ تَرْضَىٰ ﴿١٣٠﴾ {Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik balasan).}
- Allah s.w.t mengajar kepada Nabi s.a.w agar bersabar atas kejahatan & penentangan kaum musyrikin Quraisy.
- Munasabah ayat ini jelas:
- Allah nyatakan Dia tidak akan binasakan mana-mana kaum dan orang sebelum tiba tempoh masanya.
- maka Allah s.w.t meminta Nabi s.a.w untuk bersabar dan sentiasa berdoa kepada Allah – doa agar Allah beri pertolongan dan selamatkan atas dunia ini.
Kerja Nabi s.a.w adalah menyampaikan risalah Allah – maka jangan jadikan semua tentangan itu melemahkan semangat juang kamu!
3. Yakni sabarlah atas perbuatan & tuduhan jahat mereka ke atas Nabi s.a.w seperti tuduhan gila, ahli sihir, penyair dan lain-lain.
Janganlah kamu berdoa minta azab ke atas mereka nanti Allah akan turunkan segera!
- Jika Nabi s.a.w pun diperintahkan untuk bersabar maka kita para pendakwah juga wajiblah bersabar atas tentangan dan halangan dalam menegakkan ayat-ayat Allah & Sunnah Nabi s.a.w.
- Nota [932] Yakni oleh kerana kaum kafir musyrik yang degil itu telah ditetapkan masanya untuk menerima balasan buruk, maka janganlah engkau hiraukan cercaan mereka.
Sebaiknya beribadatlah dengan mengerjakan sembahyang yang lima waktu dan amal-amal bakti yang lain, supaya engkau berjaya mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat, yang engkau harap-harapkan.
4. Kemudian Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk memuji Allah s.w.t dengan kesempurnaan dan keagungan-Nya.
Iaitu kamu kena solat kepada Allah semata-mata dan waktunya ialah seperti disebut!
5. Iaitu dengan menyatakan waktu untuk beribadat kepada Allah:
sebelum matahari terbit
{قَبْلَ طُلُوعِ ٱلشَّمْسِ};
ini adalah solat subuh kata ulama'.
dan sebelum terbenamnya {وَقَبْلَ غُرُوبِهَا}; ini adalah solat asar pula!
6. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.} [Al-Gahafir: 55].
7. Hadis riwayat dari Jarir bin ‘Abdullah R.A, beliau berkata, “Pada suatu malam, kami pernah bersama Nabi S.A.W.
Baginda lalu melihat ke arah bulan purnama. Kemudian Baginda bersabda yang bermaksud,
“Sesungguhnya kalian akan melihat Rabb kalian sebagaimana kalian melihat bulan purnama ini. Dan kalian tidak akan saling berdesakan dalam melihat-Nya.
Maka jika kalian mampu untuk tidak terlewatkan untuk melaksanakan solat sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya, maka lakukanlah.” (Yang beliau maksud adalah solat subuh dan solat asar)
Kemudian Jarir membaca ayat yang bermaksud;
“(Dan bertasbihlah sambil memuji Rabb-mu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya).” (Qaaf: 39).
[HR. Bukhari no. 554 dan Muslim no. 633].
8. Kemudian firman Allah lagi:
- dan beribadatlah, solatlah pada saat-saat dari waktu malam {وَمِنْ ءَانَآئِ ٱلَّيْلِ}. Ini kata ulama' adalah waktu bagi solat maghrib & isya.
- dan solatlah pada sebelah-sebelah siang {وَأَطْرَافَ ٱلنَّهَارِ}; iaitu solatlah pada hujung siang – ini dalil kepada solat zohor.
9. Ini semua agar kamu redha dengan pahala yang Allah sediakan bagi kamu & tenang hati kamu dengan solat alan karenah puak kafir!
Solat adalah penyejuk mata & penenang hati bagi Nabi s.a.w!
Penutup & Faedah
Ayat 128- {Adakah tersembunyi serta belum jelas lagi kepada mereka: berapa banyak Kami telah binasakan dari kamu-kaum yang terdahulu daripada mereka, sedang mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu?}
Allah tegur dan beri peringatan kepada puak kafir yang tak ambil iktibar – apakah tersembunyi & tak jelas bagi kamu, kamu tak tengok kepada kaum terdahulu yang telah dibinasakan!
Begitulah kita sebagai orang beriman – kena lihat dan ambil pengajaran akan kaum terdahulu samada yang dahulu sungguh seperti kaum Nabi Nuh, kaum Lut dan kaum Ad & Thamud.
Jika kamu berjalan tengok semua itu tapi tak ambil iktibar maka rugi besarlah!
Atau peristiwa yang terjadi pada zaman kita ini seperti bencana tsunami, gempa bumi dan seumpamanya.
Kita lihat kepada tempat yang Allah binasakan atau tempat yang Allah pelihara; keajaiban yang terhasil darinya sebagai satu cara untuk kita berdakwah.
Ayat 128- {Sesungguhnya pada yang demikian ada tanda-tanda (untuk mengambil iktibar) bagi orang-orang yang berakal fikiran.} – Allah kata orang yang dapat faedah dari ayat-ayat Allah ini adalah orang yang cerdik {لِّأُو۟لِى ٱلنُّهَىٰ}.
Kata ulama': Ini menunjukkan bukan semua orang akan dapat faedah & pengajaran dari ayat-ayat Allah ini!
Hanya mereka yang mempunyai akal yang cerdik, fitrah yang mustaqim; mereka ini akan mendapat faedah.
Maka rugilah orang yang tak berfikir!
Allah tegur orang yang tak berfikir ini:
{Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.} [Al-Furqan: 44].
*Allah-lah bantu kita untuk memahami ayat-ayat ini.
Dalam ayat ini Allah kata orang yang mempunyai akal dalam surah Sajdah tadi Allah kata {untuk orang-orang yang mendengar} – Semua ini alat-alat Allah nak suruh kita sedar.
Ayat 129- {Dan jika tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah Tuhanmu (wahai Muhammad) dan satu tempoh yang ditentukan nescaya balasan jenayah mereka sudah semestinya berlaku.} – jika Allah tak tetapkan masa atau bagi tempoh bagi mana-mana kaum – mereka akan binasa on the spot!
Auto saja derhaka terus binasa!
Tetapi Allah bagi tempoh – kufur syirik tetapi msih tak binasa!
Apakah hikmah ada tempoh itu:
supaya ada perlawanan antara orang yang zalim dengan para pendakwah & nabi.
Nak beri pahala kepada para pendakwah,
nak beri peluang kepada si kafir mudah-mudahan dia bertaubat.
Seperti Abu Sufyan, Khalid dan lain-lain.
- nak beri peluang untuk dia tambah lagi aset kejahatan & kezaliman dia – untuk dihumban ke dalam neraka maka lebih besar azabnya!
Ayat 130- {Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan,} – jika Nabi s.a.w ketua segala rasul Allah suruh sabar, rasul ulul-Azmi lain juga telah bersabar;
Maka kita para pendakwah pengikut rasul – kena bersabarlah atas segala cabaran dan halangan yang dihadapi.
Zaman ini apa yang orang tak kata, tak tuduh kepada kita yang mahu memperjuangkan Sunnah Nabi .
Kena sekat kena pangkah poster itu biasalah!
Tidak ada pendakwah kecuali di hadapan matanya sabar & tawakkal kepada Allah s.w.t. Sabar mejalankan tugas & menyampaikan dakwah serta sabar menghadapi karenah ujian, tribulasi mehnah yang dihadapi dalam berdakwah.
- Ayat 130- {… dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya;…} – kamu bertasbihlah kepada Allah sebelum terbit matahari & sebelum terbenamnya!
Para ulama' mengatakan di sini ialah sebagai tanda yang menunjukkan kepada sebahagian waktu solat yang telah ditetapkan Allah s.w.t.
Maka kita kena solat & sentiasa berzikir kepada Allah s.w.t.
Banyak hadis-hadis yang menyebut tentang kelebihan solat seperti solat asar, solat subuh dan lain-lain solat – kita boleh carinya;
Antaranya firman Allah ini:
{أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمْسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّيْلِ وَقُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا ٧٨}
Maksudnya: {Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).} [Al-Israa’: 78].
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga mendapat manfaatnya! Insya' Allah kita sambung dalam ayat seterusnya besok.
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.