Surah Taha: Ayat 120-123
Syaitan Mewaswaskan Nabi Adam A.S, Makan Buah Terlarang, Adam Bertaubat & Turun Ke Bumi
Syaitan Mewaswaskan Nabi Adam A.S, Makan Buah Terlarang, Adam Bertaubat & Turun Ke Bumi

Live Kuliah Pagi Ahad 01/11/2026 - 21 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (21) Ayat [120-123]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 120 sehingga ayat 123 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan pertembungan datuk kita Nabi Adam a.s dengan iblis di dalam syurga!
Apabila Allah beri ujian kepada Nabi Adam untuk diikutinya; syaitan datang mewaswaskan nabi Adam a.s!
3. Nabi Adam tergoda dengan hasutan syaitan lalu makan buah terlarang, yang dilarang Allah tadi.
Selepas itu barulah terserlah tipu daya iblis ke atas mereka, mereka telah melanggar perintah Allah dengan ikut iblis!
4. Adam segera bertaubat tetapi hukuman mesti dikenakan juga – Adam & Hawwa’ kena keluar dari syurga & turun ke bumi.
Kemudian Allah sekali lagi mengingatkan bahawa iblis syaitan adalah musuh manusia anak Adam yang telah bersumpah untuk membinasakan anak Adam dengan memesongkan kita daripada Siratul Mustaqim!
*Ini adalah kisah Nabi Adam dengan syaitan yang keenam yang disebut dalam al-Quran.
Diulang banyak kali agar kita sentiasa ingat, ambil iktibar pengajaran bahawa syaitan adalah musuh kita, yang mengeluarkan Nabi Adam dari syurga dan syaitan juga bersumpah untuk menghalang kita daripada kembali ke syurga semula!
5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan kepada Nabi Adam untuk duduk dalam syurga bersama isterinya Hawwa' dengan tenang.
Kemudian Allah perintahkan malaikat untuk sujud kepada Adam & iblis enggan.
Maka Allah berpesan kepada Adam bahawa iblis ada musuhnya maka berhati-hatilah dengannya – jangan sampai kamu terpelanting keluar dari syurga yang penuh nikmat itu dengan sebab iblis!
- maka datang ayat ini kisah bagaimana iblis berusaha menggoda Nabi Adam untuk mengeluarkannya dari syurga!
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 120 فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا آدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَىٰ ﴿١٢٠﴾ {Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?"}
- Syaitan datang berbisik-bisik menggoda Nabi Adam untuk mewaswaskannya, tak percaya akan janji Allah bahawa mereka adalah penghuni syurga yang kekal selagi mereka ikut perntah Allah & tidak melanggar larangan-Nya!
Ayat ini tafsir dengan firman Allah ini:
فَوَسْوَسَ لَهُمَا ٱلشَّيْطَـٰنُ لِيُبْدِىَ لَهُمَا مَا وُۥرِىَ عَنْهُمَا مِن سَوْءَٰتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَىٰكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةِ إِلَّآ أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ ٱلْخَـٰلِدِينَ ()٢٠
Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)".
وَقَاسَمَهُمَآ إِنِّى لَكُمَا لَمِنَ ٱلنَّـٰصِحِينَ ()٢١
Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): "Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua".
فَدَلَّىٰهُمَا بِغُرُورٍ ۚ فَلَمَّا ذَاقَا ٱلشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْءَٰتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ ٱلْجَنَّةِ ۖ وَنَادَىٰهُمَا رَبُّهُمَآ أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَن تِلْكُمَا ٱلشَّجَرَةِ وَأَقُل لَّكُمَآ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُّبِينٌ )(٢٢
Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?"} [Al-A’raaf: 20-22]
- Begitulah syaitan ini apabila dia jumpa point; iaitu sesuatu yang Allah larang maka terus dia hasut yang sebaliknya – agar kita dimurkai Allah!
- Maka dibisikkan kepada Nabi Adam agar dia makan buah yang dilarang Allah itu kerana khasiatnya yang sebenar ialah:
- pohon itu yang menyebabkan hidup selama-lamanya, kekal di dalam syurga tak mati-mati.
- dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap.
Ayat 121 فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ الْجَنَّةِ ۚ وَعَصَىٰ آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَىٰ ﴿١٢١﴾ {Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).}
1. Malangnya Adam & Hawwa' percaya kepada hasutan syaitan dan ikut waswas syaitan – lalu memakan buah yang dilarang Allah itu.
Dalam al-Quran tidak dinamakan buah itu tetapi ia terkenal senang buah khuldi – iaitu buah yang kekal abadi.
- Setelah mereka makan buah itu – terus terlucut segala pakaian syurga mereka itu. Mereka pun segera mengambil daun-daun syurga untuk menutup aurat mereka yang telah terdedah!
- Maka dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya dan tersalah jalan dari hajatnya yang sebenar iaitu untuk kekal dalam syurga!
Mereka makan buah itu kerana percaya kepada bisikan iblis bahawa makan buah itu akan kekal!
4. Nota [926] Yakni kerana hajatnya hendak hidup selama-lamanya dan beroleh kekuasaan yang kekal, sebagaimana yang dikatakan oleh Iblis, terlalailah ia sehingga melanggar perintah Tuhannya, yang melarangnya – suami-isteri – daripada memakan buah pohon itu.
Oleh kerana seseorang Nabi itu “maksum”, yakni terpelihara dari melakukan dosa, maka dapatlah difahami bahawa perbuatan Nabi Adam itu dilakukan dengan sebab terlupa dan tidak sengaja sebagaimana yang diterangkan oleh Allah Ta’ala dalam ayat 115 yang lalu.
Tetapi oleh kerana ia seorang yang mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah, maka perbuatannya yang tidak sengaja itu dipandang berat, lalu diampunkan oleh Allah Ta’ala setelah ia dan isterinya bertaubat.
- Jadi kita boleh fahamlah kenapa Adam makan buah itu – kerana dia mahu kekal di dalam syurga yang begitu indah dan begitu penuh nikmat itu.
- Begitulah manusia atas dunia ini – berusaha sedaya upaya, sanggup buat apa saja untuk mendapat kuasa.
Apabila dapat kuasa mereka akan buat apa saja pula agar kekal berkuasa - tak kira lagi halal haram atau dosa pahala! Kita minta perlindungan dengan Allah!
Ayat 122 ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَىٰ ﴿١٢٢﴾ {Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.}
- Setelah Adam tersalah tadi – Allah ambil semula Adam – pilih untuk dia bertaubat dan Allah terima taubatnya.
- Serta Allah memberinya petunjuk untuk kembali berada di atas landasan yang benar!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.} [al-Baqarah: 37].
4. Doa taubat Nabi Adam juga:
{رَبَّنَا ظَلَمۡنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ}
{Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampunkan kami serta memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.} [Al-A'raf, ayat 23].
*Doa ini sangat elok untuk kita juga membacanya sentiasa!
Ayat 123 قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا ۖ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ ﴿١٢٣﴾ {Allah berfirman: "Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.}
1. Maka Nabi Adam & isterinya Hawwa' pun dikenakan hukumannya iaitu kena keluar dari syurga dan diturunkan ke bumi.
Walaupun telah bertaubat – tetapi kesan dosa itu telah terjadi maka Allah jatuhkan hukuman ke atas mereka berdua untuk mensucikannya.
- Allah berfirman kepada Nabi Adam & isterinya Hawwa' (sebagai pengikut Adam) dan juga iblis sebagai pihak kedua – bahawa mereka semua kena keluar dari syurga, turun hidup di bumi dan menjadi musuh antara satu sama lain!
- Kata ulama' Allah s.w.t menggunakan istilah- {Turunlah kamu berdua- ٱهْبِطَا} dengan dimaksudkan kepada Adam & iblis – mereka berdua menjadi musuh antara satu sama lain!
Manakala Hawwa' termasuk dalam golongan Adam sebagai pengikutnya atau manusia.
*Yakni cukuplah dua kategori – pertama Adam & kedua iblis.
4. Nota [927] Yakni keturunan Adam akan bermusuh-musuhan sesama sendiri kerana menjaga kepentingan hidup dan menurut hawa nafsu.
Juga Iblis dan keturunannya menjadi musuh ketat bagi Adam dan keturunannya.
5. Dimanakah tempat mereka turun di bumi?
dikatakan Adam turun di India (Jabal Serindik) manakala Hawwa' dikatakan turun di Jeddah (جدة) yang bererti nenek.
Boleh baca buku Sejarah Makkah Susunan DDAAM.
- tempat pertemuan mereka pula dikatakan di Arafah. Wallahu a'lam.
6. Kata Ibnu Kathir : Para ulama' telah menulis tentang tempat turun Adam & Hawwa' serta tempat pertemuan mereka dan:
وَيَرْجِعُ حَاصِلُ تِلْكَ الْأَخْبَارِ إِلَى الْإِسْرَائِيلِيَّاتِ
Maksudnya: “Kesimpulan daripada segala berita tersebut kembali kepada riwayat-riwayat Israiliyyat.”
Ibn Kathir menjelaskan bahawa kisah-kisah tentang tempat Nabi Adam عليه السلام dan Hawa diturunkan ke bumi merupakan riwayat Israiliyyat.
Allah Ta‘ala dan Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak menjelaskan secara khusus tempat tersebut.
Oleh itu, kita tidak perlu menyibukkan diri mencari lokasi sebenar Nabi Adam dan Hawa diturunkan.
Apa yang lebih penting ialah kita mengambil pengajaran tentang bagaimana Allah Ta‘ala menerima taubat Nabi Adam عليه السلام lalu kita pun berusaha bertaubat juga!
Di Jeddah, Arab Saudi, terdapat sebuah kawasan perkuburan yang dikenali sebagai Maqbarah Hawwa’ (مقبرة حواء), iaitu Perkuburan Hawwa’.
Namun, kewujudan nama tersebut tidak membuktikan bahawa kubur Hawwa’ benar-benar berada di situ.
Kesimpulannya, sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Kathir, kita tidak perlu menyibukkan diri dengan perkara yang tidak dijelaskan oleh nas al-Quran & hadis Nabi s.a.w.
Yang penting, Nabi Adam dan Hawa telah diturunkan ke bumi.
Kita sebagai anak cucu Nabi Adam juga melakukan kesalahan dan dosa.
Oleh itu, hendaklah kita memperbanyakkan istighfar serta memohon keampunan kepada Allah Ta‘ala.
7. Kemudian Allah sebut juga; Maka berlakulah permusuhan antara anak Adam dan iblis yang sentiasa nak merosakkan manusia.
Kita juga akan berkelahi berbalah sesama kita. Begitulah selagi ada syaitan selagi itulah kita berbalah sesama sendiri – sesama Islam atas dunia ini!
Kita sepatutnua berbalah dengan syaitan untuk selamat!
- Kemudian Allah nyatakan: Aku telah hantar kepada kamu Rasul-Ku dan turunkan kepada kamu Kitab-Ku; maka sesiapa yang ikut Rasul-Ku & Kitab-Ku maka dia tidak akan sesat & tidak terpesong dari jalan yang diredhai Allah s.w.t. Di dunia dia selamat di Akhirat dia aman!
- Jika kita nak aman maka ikutlah al-Quran, ikutlah Sunnah Nabi s.a.w, carilah huraian-huraian para ulama' yang muktabar, bukan cari yang pelik-pelik!
Penutup & Faedah
1. Ayat 120- {Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya,…} – apabila Adam mendapat segala nikmat syurga iblis terus datang menghasut menggodanya.
Matlamat utama Iblis ialah untuk menipu, menggoda dan merosakkan Nabi Adam عليه السلام supaya Baginda tidak kekal berada di dalam syurga.
Syaitan menggoda Nabi Adam dengan mengatakan bahawa sekiranya Baginda memakan buah daripada pohon yang dilarang oleh Allah, Baginda akan kekal berada di dalam syurga.
Di sinilah kita dapat melihat bahawa antara punca kerosakan manusia ialah keinginan untuk mengekalkan kuasa, kedudukan dan pangkat.
Demi mempertahankan kedudukan, manusia sanggup melakukan pelbagai perkara, termasuk menzalimi orang lain dan menghalang mereka daripada mendapat peluang kenaikan pangkat.
Sebagaimana ungkapan yang sering disebut DDAAM:
“Manusia berebut dan berperang kerana hendak menjaga kerusi, sedangkan syaitan pula lari daripada Ayat Kursi.”
Syaitan menggunakan waswas, iaitu bisikan dan godaan untuk memperdayakan manusia. Godaan ini boleh berlaku melalui bisikan dalam hati ataupun pujukan secara langsung.
Timbul persoalan pula:
Setelah Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam عليه السلام lalu diusir oleh Allah, bagaimanakah Iblis boleh menggoda Nabi Adam ketika Baginda berada di dalam syurga sedangkan Iblis telah diusir daripada syurga?
Terdapat beberapa kemungkinan mengikut kajian ulama':
Pertama: Iblis menggoda Nabi Adam dari luar syurga. Tidak semestinya Iblis masuk ke dalam syurga untuk menggoda Baginda.
Boleh jadi Iblis berada di pinggir atau luar syurga dan menyampaikan godaannya kepada Nabi Adam.
Kedua: Boleh jadi Allah Ta‘ala membenarkan Iblis masuk ke dalam syurga untuk menggoda Nabi Adam.
Namun, kebenaran tersebut bukanlah suatu kemuliaan kepada Iblis, sebaliknya berlaku dengan izin dan ketentuan Allah Ta‘ala sebagai sebahagian daripada ujian terhadap Nabi Adam.
- Ketiga: Terdapat kisah Israiliyyat yang menyebut bahawa ular pada asalnya mempunyai kaki dan boleh keluar masuk syurga.
Menurut kisah tersebut, Iblis masuk ke dalam perut ular untuk menyelinap masuk ke syurga bagi menggoda Nabi Adam.
Setelah peristiwa itu berlaku, kononnya ular dihukum dengan dihilangkan kakinya kerana membantu Iblis memasuki syurga.
Walau bagaimanapun, kisah ular tersebut hanyalah riwayat Israiliyyat yang tidak mempunyai sandaran sahih daripada al-Quran mahupun hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
2. Ayat 120- {… dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?"} – maka iblis datang kepada datang dengan cara berpura nak beri nasihat & petunjuk.
Allah Ta‘ala menceritakan bagaimana Iblis menggoda Nabi Adam عليه السلام dengan menggunakan pendekatan nasihat dan pujukan.
Iblis datang kepada Nabi Adam lalu berkata:
هَلْ أَدُلُّكَ
Maksudnya: “Mahukah aku tunjukkan kepadamu?”
Iblis menggunakan pendekatan seolah-olah ingin memberikan nasihat, mengajarkan sesuatu dan menunjukkan jalan yang membawa kebaikan kepada Nabi Adam.
Para ulama tadabbur menyebut: “Sesungguhnya jiwa manusia sangat berkeinginan untuk mengetahui sesuatu yang diidam-idamkannya.”
Secara fitrahnya, manusia suka mengetahui perkara yang belum diketahuinya, lebih-lebih lagi apabila perkara tersebut berkaitan dengan sesuatu yang sangat diingininya.
Begitulah pendekatan Iblis ketika menggoda Nabi Adam. Iblis menawarkan sesuatu yang menarik perhatian Adam, iaitu jalan untuk memperoleh kehidupan yang kekal.
Para ulama tadabbur menjelaskan bahawa peristiwa ini menunjukkan kecintaan kepada kehidupan telah terpasang secara semula jadi dalam jiwa manusia.
Manusia secara fitrahnya suka kepada kehidupan yang panjang, suka kepada jawatan, kedudukan, pangkat dan kekuasaan.
Nabi Adam عليه السلام tergoda dengan tawaran untuk kekal berada di dalam syurga sehingga terlupa akan larangan Allah سبحانه وتعالى.
Begitu juga manusia pada hari ini. Disebabkan keinginan untuk mengekalkan jawatan, kedudukan dan kekuasaan, ada manusia yang sanggup siapa saja dan menggunakan pelbagai cara tanpa mempedulikan sama ada tindakan tersebut benar ataupun salah.
Bagaimana caranya lihat sendirilah atas dunia ini wallahu a'lam.
Inilah antara pengajaran penting daripada kisah godaan Iblis terhadap Nabi Adam عليه السلام- manusia secara semulajadinya sukakan kedudukan & jawatan.
3. Ayat 121- {Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing;} – setelah makan buah terlarang itu terlucutlah pakaian syurga mereka dan terdedahlah aurat mereka berdua!
Perbahasan ini berkaitan aurat Nabi Adam dan Hawa, iaitu qubul dan dubur.
Jika dihitung kedua-duanya, terdapat empat bahagian aurat – iaitu qubul & dubur bagi dua orang adalah empat kemaluan.
Namun, mengapakah Allah Ta‘ala menyebutnya dalam bentuk dua?
Para ulama menjelaskan bahawa apabila dua perkara disandarkan kepada dua orang, kedua-duanya boleh dianggap sebagai satu pasangan dalam penggunaan bahasa Arab.
Oleh itu, walaupun qubul dan dubur bagi Nabi Adam dan Hawa berjumlah empat, kedua-duanya disebut dalam bentuk dua berdasarkan kaedah bahasa Arab. Perbahasan ini merupakan antara perbahasan bahasa yang dibincangkan oleh para ulama lughah terdahulu.
Seterusnya, Iblis menggoda Nabi Adam dan Hawa sehingga kedua-duanya melanggar larangan Allah سبحانه وتعالى.
Akibatnya, tersingkaplah aurat mereka berdua sebagai hukuman.
Peristiwa ini memberikan pengajaran yang sangat penting kepada kita tentang kewajipan menjaga aurat.
Wahai para jemaah sekalian, menjaga aurat merupakan satu keperluan yang sangat besar dalam kehidupan seorang Muslim.
Peristiwa Nabi Adam dan Hawa ini menunjukkan betapa pentingnya menjaga kehormatan diri serta mematuhi perintah Allah سبحانه وتعالى.
Risalah susunan DAAM: Auratku Maruahku – boleh cari di laman web abuanasmadani.com
Satu hukuman berat Allah berikan kepada Nabi Adam kerana dia langgar perintah Allah; maka hilang kehormatan dirinya, dia ditelanjangkan.
Maka sesiapa yang tak tutup aurat atas dunia adalah mereka yang terkena godaan syaitan kerana itu sanggup buka aurat atas dunia ini.
Mendedahkan aurat hari ini sudah menjadi satu kebiasaan dan tidak dianggap pelik lagi – itu salah satu normalisasi maksiat & dosa yang sering kita perkatakan!
Terdapat penceramah yang mensensasikan kisah Adam & Hawwa' ini lebih dahsyat daripada kisah Israiliyyat – sehingga macam sx18.
Kita nasihat – takutlah kepada Allah, jangan sampai sehingga mencemarkan kemuliaan para nabi a.s, bukan ini cara nak tafsir al-Quran, bukan begitu cara nak tarik minta pendengar sehingga jaja cerita lucah!
Cerita atas masjid di meja kuliah, kisah para nabi, kisah dari al-Quran tetapi telah menjadi seolah cerita lucah!
4. Ayat 121- {… وَعَصَىٰ آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَىٰ- dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).}
Allah kata Nabi Adam telah menderhakai Tuhannya lalu tersalah jalan.
Para ulama membahaskan: Mengapakah Allah Ta‘ala menyandarkan perbuatan maksiat kepada Nabi Adam dan tidak kepada Hawa?
Mengapakah Allah Ta‘ala menyebut Nabi Adam sahaja, sedangkan Hawwa' juga memakan buah daripada pohon yang dilarang?
Antara penjelasan yang diberikan ialah kebiasaannya seorang isteri mengikuti suaminya.
Oleh itu, perbuatan tersebut disandarkan kepada Nabi Adam sebagai suami yang memikul tanggungjawab kepimpinan keluarga.
Perkara ini turut mengingatkan kita kepada firman Allah Ta‘ala dalam Surah al-Tahrim, ayat 6, tentang tanggungjawab menjaga diri dan keluarga daripada api neraka.
Firman Allah: {Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala);}
Persoalan seterusnya: Bolehkah kita menyifatkan Nabi Adam sebagai seorang penderhaka dan pendosa?
هَلْ يَجُوزُ أَنْ يُقَالَ: كَانَ آدَمُ عَاصِيًا غَاوِيًا؟
Maksudnya: “Adakah harus dikatakan bahawa Nabi Adam seorang penderhaka dan orang yang tersesat?”
Jawapannya, tidak boleh kita kata begitu!
Adam telah melakukan perbuatan derhaka tetapi kita tidak boleh kata dia penderhaka!
Kita hendaklah membezakan antara menyifatkan sesuatu perbuatan dengan memberikan gelaran kepada pelakunya.
Allah Ta‘ala sendiri menyebut bahawa Nabi Adam telah melakukan perbuatan maksiat. Namun, kita tidak sepatutnya menjadikan perkataan tersebut sebagai gelaran untuk merendahkan kedudukan Nabi Adam عليه السلام.
Hal ini kerana Nabi Adam merupakan seorang nabi & rasul yang dimuliakan oleh Allah سبحانه وتعالى.
Kita boleh menyebut bahawa Nabi Adam telah melakukan kesalahan sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Quran, tetapi tidak wajar menggelarkan Baginda sebagai seorang pendosa atau penderhaka.
Perbezaan ini penting bagi memelihara kehormatan dan kemuliaan para nabi.
Begitu juga dalam penggunaan lafaz terhadap Allah Ta‘ala.
Tidak semua perkataan yang berasal daripada kata dasar yang sama boleh digunakan sebagai nama atau sifat bagi Allah.
Sebagai contoh, Allah Ta‘ala menerima taubat Nabi Adam, tetapi tidak boleh kerana itu kita menyifatkan Allah sebagai orang yang bertaubat.
Pengajaran pentingnya ialah kita wajib menjaga adab dan kehormatan para nabi.
Begitu juga para penceramah agama hendaklah menjaga adab ketika menyampaikan kuliah, khususnya di dalam masjid.
Janganlah semata-mata ingin membuatkan para jemaah ketawa, seseorang penceramah sanggup menggunakan cerita lucah, gurauan melampau atau perkataan yang tidak sesuai dengan kemuliaan rumah Allah.
Masjid merupakan tempat untuk menyampaikan ilmu, mendidik jiwa dan mengingatkan manusia kepada Allah سبحانه وتعالى, bukannya tempat untuk menjadikan perkara yang tidak beradab sebagai bahan hiburan.
Nabi-nabi ada kesilapan tetapi ditegur oleh Allah dengan segera.
Sebab itulah Allah Ta‘ala menceritakan kesilapan Nabi Adam عليه السلام kepada kita, supaya menjadi pengajaran kepada seluruh anak cucu Baginda.
Apabila melakukan kesalahan, hendaklah kita mengakui kesilapan dan segera memohon keampunan kepada Allah سبحانه وتعالى.
Allah Ta‘ala mengajarkan doa Nabi Adam dan Hawa:
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Sekiranya Engkau tidak mengampuni kami dan merahmati kami, nescaya kami termasuk dalam kalangan orang yang rugi.” (Surah al-A‘raf: 23)
Oleh itu, hendaklah kita memperbanyakkan istighfar dan sentiasa memohon keampunan kepada Allah سبحانه وتعالى.
4.1. Ayat 123- {Allah berfirman: "Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain;…}
Allah kata keluarlah kamu berdua dari syurga!
Tentang perkataan keluar dari syurga ini;
- ada kalanya Allah sebut untuk dua orang {ٱهْبِطَا} seperti ayat ini – iaitu untuk Adam & iblis – manakala Hawwa' hanya dikira pengikut Nabi Adam.
- adakalanya untuk seorang – mufrad {قَالَ فَٱهْبِطْ مِنْهَا} – khas untuk iblis saja; Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini,} – [Al-A’raf: 13].
- dan adakalanya untuk ramai-jamak- iaitu untuk Adam, Hawwa' & iblis!
Ayat-ayat dalam al-Quran ini jika perhatikan ia ada lafaz mufrad, muthanna & jamak – yang mana kesemuanya ada dhomir masing-masing yang menunjukkan khitab itu kembali ke mana!
Apa yang pentingnya kita mahu ambil ibrah pengajaran daripada ayat-ayat yang disebut Allah kepada kita itu!
5. Ayat 122- {Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.}
Allah beri lorong yang selamat untuk kita iaitu jalan hidayah!
Sesiapa nak hidayah, siapa selamat maka ikutlah jalan & lorong yang telah diberi Allah s.w.t.
Setelah Nabi Adam عليه السلام melakukan kesalahan, Allah Ta‘ala berfirman:
ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَىٰ
Maksudnya: “Kemudian Tuhannya memilihnya, lalu menerima taubatnya dan memberinya petunjuk.” (Surah Taha: 122)
Maka, apakah jalan untuk manusia memperoleh keselamatan setelah melakukan kesalahan?
Allah Ta‘ala berfirman:
فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ
Maksudnya: “Kemudian, jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak pula akan celaka.” (Surah Taha: 123)
Jalan keselamatan manusia ialah mengikuti petunjuk Allah سبحانه وتعالى.
Sebahagian ulama menjelaskan bahawa ada manusia yang setelah melakukan kesalahan dan benar-benar bertaubat, keadaannya menjadi lebih baik berbanding sebelumnya.
Ini kerana ada orang yang tidak melakukan sesuatu kesalahan lalu berasa bangga dengan dirinya sendiri.
Dia merasakan dirinya baik, tidak berdosa dan tidak melakukan kesalahan.
Sebaliknya, orang yang pernah melakukan kesalahan kemudian benar-benar insaf akan sentiasa mengingati dosanya.
Dia menangis kerana menyesali perbuatannya, memperbanyakkan taubat dan sentiasa beristighfar kepada Allah Ta‘ala.
Namun, ini tidak bermakna kita digalakkan melakukan dosa terlebih dahulu supaya dapat merasai kemanisan bertaubat.
Jangan sekali-kali berfikiran begitu kerana kita tidak mengetahui bilakah ajal akan datang menjemput.
Berapa ramai manusia yang meninggal dunia ketika sedang melakukan maksiat?
Ada yang meninggal ketika berjudi, berhibur dan melakukan pelbagai perkara yang dilarang oleh Allah سبحانه وتعالى.
Oleh itu, jangan sengaja mencari dosa dengan harapan dapat bertaubat kemudian hari.
Ia hanya untuk orang yang tersalah.
Allah Ta‘ala juga menjelaskan bahawa manusia diturunkan ke bumi dalam keadaan sebahagian mereka menjadi musuh kepada sebahagian yang lain.
Permusuhan dan perselisihan akan berlaku dalam kehidupan manusia, termasuklah sesama umat Islam.
Maka, di manakah jalan keselamatan daripada segala perselisihan dan permusuhan tersebut?
Jawapannya ialah dengan kembali mengikuti jalan petunjuk Allah سبحانه وتعالى.
Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berpegang kepada petunjuk Allah, memperbanyakkan taubat dan istighfar serta menjauhi segala perkara yang boleh membawa kepada kemurkaan-Nya.
نَسْأَلُ اللَّهَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ-
“Kita memohon kepada Allah keampunan dan kesejahteraan.”
Semoga Allah Ta‘ala menyelamatkan kita daripada segala fitnah, perselisihan dan kesesatan serta mengurniakan keselamatan di dunia dan akhirat. آمِينَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga mendapa manfaatnya!
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.