SURAH AL-BAQARAH : AYAT 273-274

LIMA SIFAT ORANG BERHAK MENERIMA SEDEKAH, GALAKAN NAFKAH SEMBUNYI & FADHILAT INFAQ JIWA TENANG.

Full video : https://youtu.be/LuisN2Vqy3I?si=G-8QE3usiLK2O-k1

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 273 sehingga ayat 274 bagi surah al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzuk yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t bawa lima sifat orang yang berhak menerima sedekah, iaitu ada 5 kriterianya.
  3. Sekali lagi Allah bawa galakan untuk beri nafkah secara sembunyi.
    Khususnya jika kita nak beri derma secara pribadi kepada pejuang fi-sabilillah.
  4. Kemudian Allah nyatakan bahawa antara fadhilat infaq ialah tenang jiwa.
  5. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat lepas Allah nyatakan bahawa boleh kita beri sedekah kita ini kepada mana-mana orang faqir.

ii- dalam ayat ini pula Allah s.w.t nyatakan 5 sifat orang yang kita perlu utamakan untuk beri sedekah & infaq.
Yakni yang kita perlu pilih dan dahulukan sedekah dari kalangan faqir itu.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 273- {PEMBERIAN SEDEKAH ITU) IALAH BAGI ORANG-ORANG FAKIR MISKIN YANG TELAH MENENTUKAN DIRINYA (DENGAN MENJALANKAN KHIDMAT ATAU BERJUANG) PADA JALAN ALLAH (MEMBELA ISLAM), YANG TIDAK BERUPAYA MENGEMBARA DI MUKA BUMI (UNTUK BERNIAGA DAN SEBAGAINYA); MEREKA ITU DISANGKA: ORANG KAYA – OLEH ORANG YANG TIDAK MENGETAHUI HALNYA, KERANA MEREKA MENAHAN DIRI DARIPADA MEMINTA-MINTA. ENGKAU KENAL MEREKA DENGAN (MELIHAT) SIFAT-SIFAT DAN KEADAAN MASING-MASING, MEREKA TIDAK MEMINTA KEPADA ORANG RAMAI DENGAN MENDESAK-DESAK. DAN (KETAHUILAH), APA JUA YANG KAMU BELANJAKAN DARI HARTA YANG HALAL MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MENGETAHUINYA.} (AL-BAQARAH 2:273)

  1. Allah nyatakan dalam ayat ini 5 kriteria mereka yang perlu kita pilih & diutamakan untuk kita beri sedekah.
    Iaitu:
    i- mujahidin fi-sabilillah- mereka tinggalkan kehidupan dunia semata-mata untuk menginfaqkan diri mereka pada jalan Allah.

Iaitu samada tentera yang berjuang dengan senjata atau ulama’ dengan penanya, iaitu orang menuntut & menyampaikan ilmu.

Tentera untuk jaga negara & ilmu untuk jaga iman dan amal.

Pendakwah yang menyampaikan ilmu yang benar untuk disampaikan kepada orang ramai.

Pada zaman Rasulullah s.a.w mereka ini dikenali sebagai ashabul-Suffah (أَصْحَاب الصُّفَّة) iaitu para sahabat yang sentiasa bersedia menungu panggilan jihad.

Mereka duduk di belakang masjid Nabi s.a.w- sekarang ini tempat mereka duduk itu sebelah tempat tinggi dalam masjid Nabi dikenali sebagai (دِكَّة أَصْحَاب الصُّفَّة).

Boleh baca cerita lanjut dalam buku Madinah ini:
https://dartaibah.com/?page_id=179…

iii- mereka yang tidak berupaya untuk keluar cari rezeki lagi samada kerana sudah tua, sakit atau lemah, asalnya mereka juga pejuang Islam.

Kita biarkan dia habiskan masanya yang tersisa untuk beribadat dan kita beri bantuan kepada mereka.
Walaupun sudah tua, mereka infaqkan diri mereka untuk menuntut ilmu seperti wargamas di pondok-pondok dan seumpamanya.

iii- orang yang baik jiwanya iaitu para pejuang fi-sabilillah yang tidak ada kerja atau pendapatan tetapi menahan diri mereka dari meminta-minta kepada orang ramai, sehingga orang menyangka mereka kaya & tidak memerlukan bantuan.

Hadis: Dari Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْمِسْكِينُ الَّذِي يَطُوفُ عَلَى النَّاسِ تَرُدُّهُ اللُّقْمَةُ وَاللُّقْمَتَانِ وَالتَّمْرَةُ وَالتَّمْرَتَانِ وَلَكِنْ الْمِسْكِينُ الَّذِي لَا يَجِدُ غِنًى يُغْنِيهِ وَلَا يُفْطَنُ بِهِ فَيُتَصَدَّقُ عَلَيْهِ وَلَا يَقُومُ فَيَسْأَلُ النَّاسَ

“Bukanlah orang yang dikatakan miskin itu orang yang berkeliling meminta-minta kepada manusia satu dua suap makanan atau sebiji dua kurma.
Akan tetapi yang dikatakan miskin adalah orang yang tidak mendapatkan sesuatu yang boleh memenuhi hajatnya dan tidak diketahui halnya lalu ia diberi sedekah, ia tidak mahu meminta-minta sedekah kepada orang”.
(HR Bukhari No: 1385)

iv- mereka yang kita tahu sifat-sifat dan keadaan mereka. Yakni orang yang kita kenal & tahu keadaan mereka yang susah & perlu bantuan ini, wajiblah menolong dengan memberi bantuan sedekah kepada mereka.
Ini orang yang baik-baik juga, mereka susah tetapi tidak meminta-minta.

v- Mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.
Yakni orang yang tidak meminta-minta, merayu-rayu kepada orang ramai bahkan sehingga mendesak dan menekan pula!

Ada dua pandangan ulama’ tentang ayat ini:
a- orang yang tidak minta lansung.

b- ada ulama’ kata dia minta juga- dia maklumkan keperluan dia tetapi tidak mendesak & menekan-nekan.

  1. Hadis- diriwayatkan dari Mu’awwiyah r.a dia berkata, “Rasulullah bersabda: (Janganlah kamu mendesak untuk meminta-minta.
    Demi Allah, tidaklah salah seorang dari kamu meminta sesuatu kepadaku lalu permintaannya menyebabkan aku memberikan kepadanya, sedangkan aku tidak suka hal itu, (hal itu) agar aku berikan kepadanya diberkati.”
    (HR Muslim).

Yakni Rasulullah s.a.w melarang umatnya meminta-minta. Perbuatan meminta-minta itu menghilangkan berkat dan martabat seseorang.

  1. Maka kita hendaklah siasat dan cari siapakah mereka yang layak untuk terima sedekah & infaq fi-sabilillah ini.

Kerana diluar sana ada mereka yang memerlukan; tetapi mereka orang amat pemalu dan menjaga maruh mereka, mereka tidak tunjukkan keperluan mereka apatah lagi meminta-minta dari orang ramai!

  1. Di akhir ayat Allah katakan bahawa apa saja yang kamu sedekahkan dari harta yang halal dengan ikhlas, samada sedikit atau banyak, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya. Maka bersedekahlah ikut kemampuan kamu dengan ikhlasnya.

AYAT 274- {ORANG-ORANG YANG MEMBELANJAKAN (MENDERMAKAN) HARTANYA PADA WAKTU MALAM DAN SIANG, DENGAN CARA SULIT ATAU TERBUKA, MAKA MEREKA BEROLEH PAHALA DI SISI TUHAN MEREKA, DAN TIDAK ADA KEBIMBANGAN (DARI BERLAKUNYA KEJADIAN YANG TIDAK BAIK) TERHADAP MEREKA, SERTA MEREKA PULA TIDAK AKAN BERDUKACITA.} (AL-BAQARAH 2:274)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat sebelumnya Allah telah nyatakan cara beri sedekah samada dengan sembunyi atau terang, juga Allah ajar kepada siapa yang perlu kita pilih untuk beri sedekah ini.
    Yakni 5 sasaran untuk kita infaq sedekah sunat seperti dalam ayat di atas.

Bukan 8 golongan asnaf zakat- itu sedekah wajib.

ii- kemudian dalam ayat ini Allah ajar lagi apa yang terbaik; kita disuruh mulakan dengan apa yang Allah mulakan.
Iaitu bersedekahlah samada pada waktu malam dan siang, dengan cara sembunyi atau terangan.

  1. Kata ulama’ tadabbur ayat ini menekankan perihal sedekah secara senyap-senyap & tersembunyi.

Kerana Allah s.w.t mulakan malam dulu baru siang, sembunyi dulu baru secara terbuka.

Jadi ayat ini mengandungi kelebihan yang besar bagi sedekah yang tersembunyi apatah lagi pada malam hari yang gelap gelemat tidak nampak oleh sesiapa pun.

  1. Sebuah kisah yang sangat memberi kesan & motivasi iaitu kisah seorang cicit Rasulullah s.a.w:

Dia dikenali sebagai Zainal Abidin atau Zainul Abidin, nama asalnya adalah Ali bin Al-Husain bin Ali bin Abi Talib bin Abdul Muttalib, adalah anak kepada cucu Baginda Nabi kita Muhammad s.a.w.

Di antara sifat-sifat baik Zainul Abidin atau Alibin Al-Husain adalah sifatnya suka bersedekah secara diam-diam.

Ibnu ‘Uyainah, dari Abu Hamzah Ath-Thimaali:
Ali bin Al-Husain rahimahullah biasa memikul roti (gandum) di atas belakangnya dan diletakkan di hadapan rumah-rumah orang miskin di tengah kegelapan malam.
Penduduk kota atau tuan rumah tersebut tidak mengetahui dari mana asal guni gandum tersebut.

Sehinggalah Ali bin Al-Husain meninggal dunia, mereka tidak lagi dapat guni gandum yang biasa mereka dapati setiap malam.

Orang yang memandikan mayat Ali bin Al-Husain, mereka mendapati di atas belakangnya itu ada bekas kerana seringnya memikul bekas/guni kulit pada malam hari ke rumah-rumah orang-orang yang susah.

Mereka juga dapati bahawa Ali telah mencukup nafkah ahli seratus buah rumah.

Orang ramai menyangka dia seorang yang bakhil dan suka mengumpul harta.
Padahal kegemarannya ialah berinfak secara diam-diam.

Mereka tidak pernah tahu tentang sedekah diam-diam ini sehinggalah Ali bin Al-Husain meninggal dunia.

Boleh dengar kisahnya juga di sini:
https://youtu.be/gTNw-_vZ8PY?si=rdZiDyINhTtyxW7e

  1. Mereka yang bersedekah dengan ikhlas, dengan barang yang halal lagi baik; disampaikan pula kepada orang yang berhak menerima, maka bagi mereka orang menderma ini:

i- maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka,

ii- dan tidak ada kebimbangan dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap mereka.

iii- serta mereka pula tidak akan berdukacita.

  1. Inilah dikatakan sedekah itu dapat melapangkan dada, menenangkan jiwa, menghilangkan segala dukacita, stress & depression insya’ Allah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 273- {Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam),}-

Allah kata berilah sedekah kepada faqir miskin yang menghabiskan masanya untuk berjuang pada jalan yang Allah.

Ayat ini isyarat untuk kita beri sedekah kepada para pejuang & penuntut ilmu fi-sabilillah.

Allah juga ajar kita berinya secara sembunyi, tidak mendedahkannya.

Ini untuk menjaga maruah & kehormatan mereka yang berjuang fi-sabilillah ini agar peribadi mereka tidak tercalar, tidak menjadi bahan fitnah & tohmahan orang yang jahat & hasad pula!

Yakni dalam ayat Allah ajar kepada kita 5 sifat orang yang berhak diberi sedekah & cara diberi sedekah itu pula- yakni secara rahsia dan tidak mendedahkannya.

  1. Ayat 273- {Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin….. (sehingga).. mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.}- sekali lagi kita ulang 5 sifat orang yang perlu kita utamakan dalam memberi infaq & sedekah,

5 sifat yang disebut dalam ayat ini ialah:

i- orang yang berjuang/membela agama pada jalan Allah- iaitu mereka yang berada di saf depan dalam perjuangan.

Samada dengan senjata seperti saudara Islam kita di Ghazzah atau penuntut ilmu dan para pendakwah yang telah menginfaqkan dirinya untuk menyebarkan ilmu.

ii- orang sudah yang tidak berupaya untuk keluar mencari rezeki kerana sakit atau tua sedangkan mereka dulu adalah pejuang agama.

iii- mereka yang menahan diri dari meminta-minta, yang baik jiwanya tidak meminta walaupun mereka memerlukan.

iv- mereka yang boleh dikenali atau diketahui dengan melihat sifat-sifatnya, yang memerlukan bantuan.

Ini memerlukan ilmu yang khas bukan senang-senang.

v- orang yang tidak meminta kepada orang ramai dengan merayu-rayu atau mendesak.

AAM amat tidak setuju : Amat tidak baik untuk buat iklan bagi minta bantuan dengan guna pelajar-pelajar yang masih kanak-kanak, tunjukkan kesusahan & kemiskinan mereka dengan duduk di tempat yang dhaif & makan makanan yang tidak mencukupi, yakni satu lakonan yang menunjukkan kedhaifan & kemiskinan yang melampaui.

Sedangkan negara kita bukan negara miskin begitu, masih terdapat banyak sekolah-sekolah rasmi serta mereka juga ada ibu bapa.

Jika anak yatim pula, jika kamu tak mampu nak jaga & beri kemudahan kepada mereka jangan ambil dan buka pusat jagaan yang dhaif begitu kemudian gunakan mereka untuk minta derma! Serahkan mereka kepada pihak yang mampu.

  1. Ayat 273- {mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak}- ayat ini menyatakan kebaikan sifat tidak meminta-minta iaitu sifat taafuf’.

Rasulullah s.a.w sangat membenci & melarang sifat meminta-minta ini!

Hadis riwayat dari Abu Hurairah r.a:
i- Nabi S.A.W bersabda:

مَنْ سَأَلَ اَلنَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا, فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا, فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang meminta harta kepada manusia untuk memperkayakan dirinya, maka bererti hanya meminta bara api neraka. Oleh sebab itu, terserahlah kepadanya untuk meminta sedikit atau meminta banyak.”
[HR Muslim (1041)]

Tetapi jika kita nak minta untuk kegunaan umum atau pojek tertentu, buatlah secara rasmi, maklumkan kepada masyarakat, jangan merayu atau mendesak, jangan guna budak-budak untuk tunjukkan kesusahan.

Beri peluang orang menderma untuk menyertai misi dakwah kita.
Mereka nak ikut & beri alhamdulillah mereka tidak mahu tidak mengapa.

ii- Abdullah bin Umar RA berkata bahwa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَسْأَلُ النَّاسَ حَتَّى يَأْتِيَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَيْسَ فِي وَجْهِهِ مُزْعَةُ لَحْم
“Orang yang selalu meminta-minta kepada orang lain sampai tiba hari kiamat sedang di wajahnya tidak ada lagi tersisa sepotong daging pun.” (HR Bukhari)

  1. Ayat 274- {Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka,}- dalam ayat ini Allah mulakan malam sebelum siang, sembunyi sebelum nyata terang-terangan.

Maka ayat ia menunjukkan akan kelebihan (الأفضلية) untuk melakukan sedekah secara sembunyi dan tanpa pengetahuan orang ramai sekiranya kita beri sedekah sunat.

Kita berinya pula kepada orang tertentu yang berhak, jangan salah guna sebar & dedahkan gambar atau muka orang untuk menunjukkan kebaikan kita!

Semoga Allah s.w.t berkati segala usaha kita, usaha segala pendakwah & pejuang yang telah bekerja kerana Allah s.w.t!

  1. Ayat 274- {Maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.}-

Allah kata selain dari dapat pahala; orang yang bersedekah juga tidak akan berada dalam kebimbangan (akan menjadi miskin atau hilang harta dengan sebab sedekah) & tidak akan sedih berdukacita.

Yakni & pahala dari selain daripada mendapat pengampunan Allah s.w.t, sedekah juga akan menjadikan seseorang itu:

i- tidak ada kebimbangan dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap mereka,

ii- serta mereka pula tidak akan berdukacita.
Kata ulama’: infaq menjada salah satu dari sebab kepada penenang jiwa.

Kita sedih & runsing sedekah, sakit- sedekah. Selain daripada kita cari ubat doktor kita cari juga ubat rohani!

Sedekah adalah pengubat stress penghilang kecelaruan jiwa insya’ Allah.

Ini telah terbukti- berapa banyak kes penyakit & tekanan jiwa yang telah sembuh dengan sebab kejaiban sedekah.

Kisah dari Abdullah bin al-Mubarak rhm sebelum ini juga telah kita ceritakan dalam siri yang lepas.

Inilah yang kita mahu; keampunan dari Allah & ketenangan jiwa atas dunia ini.

Ya Allah jadikanlah kami orang yang ikhlas dalam sedekah & dalam semua perbuatannya.

Tamatlah kuliah tafsir kita untuk siri ini secara ringkas sempga kita semua mendapat manfaatnya.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.