View Categories

(16) Surah At-Taubah: Ayat 36-37

9 min read

Bilangan Bulan Setahun, 4 Bulan Haram & Kafir Bermain Dengan Kedudukan Bulan “An-Nasi'”.

Full video : https://youtu.be/e26Dck37E-M?si=jMIXuVHzEurU3oxF

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 32 sehingga 33 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa bilangan bulan dalam setahun yang telah digazetkan oleh Allah SWT semenjak diciptanya langit dan bumi adalah 12 bulan!
    Tidak pernah berlaku jadi 13 atau selebihnya.
  1. Serta dipilih daripada 12 itu, 4 bulan sebagai bulan haram; yang diharamkan berperang padanya.
    Kerana Allah nak menguji kepatuhan manusia terhadap larangan dan Allah nak galakkan manusia untuk ambil kesempatan beribadat pada ketika itu!
  1. Tetapi puak kafir bermain dengan helah dan menukar bulan dengan sesuka hati mereka, iaitu dengan bulan an-Nasi’ iaitu bulan yang ditangguhkan.
    Contoh, bulan Muharram adalah bulan haram tetapi mereka tukarnya dengan bawa datang bulan Safar dulu dan pergi berperang juga padanya.
    Bila datang bulan Safar mereka tukar jadi Muharram.
    Ini satu perbuatan yang amat bahaya kerana bermain dengan ketetapan yang Allah buat.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah nyatakan tentang beberapa perangai buruk, tindakan jahat yang dibuat oleh kafir musyrikin dan ahi kitab;

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan antara kejahatan yang dibuat oleh musyrikin Makkah ialah mereka mengubah perjalanan bulan semata-mata untuk mengikut nafsu & kehendak mereka.
    Sama seperti ahli kitab yang menyeleweng & ubah apa yang ada dalam kitab mereka!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 36- {SESUNGGUHNYA BILANGAN BULAN-BULAN DI SISI (HUKUM) ALLAH IALAH DUA BELAS BULAN, (YANG TELAH DITETAPKAN) DALAM KITAB ALLAH SEMASA IA MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI, DI ANTARANYA EMPAT BULAN YANG DIHORMATI. KETETAPAN YANG DEMIKIAN ITU IALAH AGAMA YANG BETUL LURUS, MAKA JANGANLAH KAMU MENGANIAYA DIRI KAMU DALAM BULAN-BULAN YANG DIHORMATI ITU (DENGAN MELANGGAR LARANGANNYA); DAN PERANGILAH KAUM KAFIR MUSYRIK SELURUHNYA SEBAGAIMANA MEREKA MEMERANGI KAMU SELURUHNYA; DAN KETAHUILAH SESUNGGUHNYA ALLAH BESERTA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.} (AT-TAUBAH 9:36)

  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa bilangan bulan (month) dalam Islam adalah 12 bulan kesemuanya.
    Ini adalah bulan-bulan kalendar hijrah yang ikut pergerakan bulan (moon) iaitu Lunar Calendar atau Tahun Qamariyy, bukan ikut perjalanan matahari iaitu Solar Calendar, Tahun Syamsiyy.
  1. Allah kata perwartaan ini telah ditulis, digazet di Lauh Mahfuz semenjak Allah cipta langit & bumi lagi- 12 bulan ini telah ada!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya). (Yunus 10:5)
  1. Kata Ibnu Rajab :
    i- Allah nyatakan semenjak dicipta langit & bumi, Allah ciptakan siang & malam.
    Maka matahari & bulan yang beredar di galaksi atas orbit masing-masing.
    Semuanya Allah cipta untuk memudahkan perjalanan hidup manusia supaya manusia tahu bilangan hari, bulan & tahun.

    ii- Manusia menggunakan bilangan bulan Qamari atau hijri ini mengira persedaran masa sehingga datangnya penjajah bukan Islam yang menukarnya kepada bulan Syamsiyy sehingga ke hari ini.
    Yang diguna secara resmi di kebanyakan negara dunia lo ni.
  1. Hadis riwayat dari Abu Bakar RA bahawa Nabi SAW bersabda:
    Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah menciptakan langit dan bumi. Dalam setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rajab yang terletak antara Jamada dan Syaaban.” [HR Bukhari & Muslim].

    Nama Bulan dalam Bahasa Arab dikenali sebagai “Asy-Syahru” (الشهر) yang merujuk kepada bulan-bulan yang terdapat dalam kalendar hijriyah atau kalendar Islam.
  1. Allah juga menyatakan bahawa di antaranya empat bulan yang dihormati iaitu bulan yang diharamkan berperang padanya!
    Ulama’ berbeza pandangan : Tentang pengharaman berperang padanya:
    i- Setengah ulama’ kata : Hukum haram berperang ini telah dimansukhkan dengan ayat: {Bunuhlah musyrikin puak kafir di mana saja kamu jumpa mereka…}

    ii- Tetapi ramai juga ulama’ termasuk ulama’ semasa seperti Syeikh Syanqiti berkata : Ayat ini tidak dimansukhkan, kekal hukumnya tidak dibatalkan.
    Iaitu tetap haram berperang padanya kecuali peperangan yang berlaku sebelumnya dan berterusan sehingga masuk bulan haram, boleh diteruskan, Yang haram dimulakan dalam bulan haram dengan sengaja!
  1. Allah nyatakan bahawa ketetapan yang demikianitu ialah agama betul yang lurus, jangan cuba kamu cerobohi atau tukarnya!
  1. Sebagai orang beriman janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu dengan buat zalim kepada diri sendiri dengan buat dosa buat mungkar maksiat dengan melanggar arahan Allah sama ada dengan berperang padanya atau buat maksiat dalam bulan haram!
    Tetap haram pada setiap masa tetapi kualiti dosa pada bulan haram lebih besar dari dosa pada bulan lain.
    Sama seperti dosa orang buat maksiat dalam masjid lebih besar daripada yang buat di luar masjid.
  1. Allah juga beri kewajipan untuk mempertahankan diri jika diserang, iaitu dengan mengarahkan: Perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya.
    Nabi SAW tidak akan memulakannya kecuali kafir mula dulu & serang.
  1. Kita kena usahalah lawan musuh Islam dengan bersungguh, jangan takut & kecut kepada mereka kerana kita tahu pertolongan Allah akan datang untuk orang beriman.
  1. Ini kerana wahai orang beriman jika kamu taat patut kepada perintah Allah, ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa!

AYAT 37- {SESUNGGUHNYA PERBUATAN MENGUNDURKAN (KEHORMATAN ITU DARI SATU BULAN KE SATU BULAN YANG LAIN) ADALAH MENAMBAH KEKUFURAN YANG MENJADIKAN ORANG-ORANG KAFIR ITU TERSESAT KERANANYA. MEREKA MENGHALALKANNYA PADA SATU TAHUN DAN MENGHARAMKANNYA PADA TAHUN YANG LAIN, SUPAYA MEREKA DAPAT MENYESUAIKAN BILANGAN (BULAN-BULAN YANG EMPAT) YANG TELAH DIHARAMKAN ALLAH (BERPERANG DI DALAMNYA); DENGAN ITU MEREKA MENGHALALKAN APA YANG TELAH DIHARAMKAN OLEH ALLAH. PERBUATAN BURUK MEREKA ITU DIHIAS DAN DIJADIKAN INDAH (OLEH SYAITAN) UNTUK DIPANDANG BAIK OLEH MEREKA. DAN (INGATLAH) ALLAH TIDAK MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA ORANG-ORANG YANG KAFIR.} (AT-TAUBAH 9:37)

  1. Dalam ayat ini Allah ceritakan tentang perbuatan buruk kafir musyrikin yang melanggar bulan yang dihormati & menukarnya dengan bulan yang lain.
    Misalnya mereka berperang pada bulan Rajab yang dihormati dan berhenti pada bulan Sya’ban sebagai gantinya!
    Mereka tukar sesuka hati mereka!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah sebut tentang12 bulan yang telah ditetapkan Allah.

    ii- Datang ayat ini Allah menyatakan puak kafir bermain-main dengan kedudukan bulan-bulan, mengubah bulan haram jadi halal dan sebaliknya.
  1. Perbuatan menghalalkan bulan-bulan haram untuk memudahkan mereka untuk berperang sedangkan Allah sudah tetapkan bulan yang haram.
    Perbuatan mereka tukar bulan yang haram jadi halal, yang halal jadi haram, ini menambahkan lagi kekufuran kafir musyrikin itu, sesatlah mereka yang bermain dengan menukar bulan ini!
    Ikut suka hati & kepala otak mereka, menukar apa yang Allah tetapkan maka bertambah kafirlah mereka!
  1. Diperhiasakan kepada puak kafir perbuatan buruk mereka itu, dikosmetikkan oleh syaitan.
    Iaitu syaitan menampakkan perbuatan buruk & jahat mereka itu cantik, serta sebaliknya yang elok itu buruk.
  1. Allah tidak akan beri taufiq, jalan hidayah kepada mereka yang berterusan melakukakan kekufuran.
    Allah kata Tuhan tidak akan beri hidayah kepada orang fasiq.
    Namun begitu kena ingat: Allah tetap suruh usaha berdakwah tetap diteruskan.
    Sekiranya mereka ada peluang untuk dapat hidayah dari Allah ia akan sampai juga alhamdulillah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 36- {Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. }-

    12 bulan telah Allah gazetkan dengan 4 bulan adalah bulan-bulan haram.
    Tiada siapa boleh ubah & tukarnya kecuali menyalahi ketetapan Allah SWT!
    Kenapa ada bulan haram pula?
    Tidakkah sama semua bulan yang ada???
    Jawapannya di sana ada hikmah dari sudut Syari’ah :
    i- Sebagai ujian dalam larangan, nak tangok diapa di kalangan kamu yang taat.

    ii- Membezakan hari-hari tertentu untuk aktifkan hamba-hamba-Nya dalam aktiviti seharian mereka.

    iii- Sebagaimana Allah bezakan antara Tanah Halal & Tanah Haram, masuknya kena pakai ihram untuk yang nak buat haji & umrah serta beberapa larangan di dalamnya!
    Allah bezakan hari Jumaat dengan hari-hari lain, hari Arafah dengan hari-hari yang lain, bulan Ramadhan tak sama dengan bulan yang lain.
    Begitulah keadaan Allah bezakan kelebihan masa & tempat, untuk aktifkan kita supaya tidak beku, sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain atau dari satu keadaan/aktiviti kepada keadaan yang lain.
    Maka kita akan buat persiapan diri, pekerjaan dan atur perancangan sebagai persediaan menghadapi waktu tertentu yang akan datang.
    Seperti perancangan menunggu Ramadhan, menunaikan haji dan sebagainya!
    Maka Allah letakkan bulan haram itu supaya manusia tidak berani langgar & buat persiapan dari awal!
  1. Ayat 36- {Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah..}-

    Ulama’ kata : Menetapkan masa itu adalah asas kepada terbentuknya & kelancaran perjalanan mana-mana ummat.
    Ia juga untuk menolak huru-hara & tidak terkawal.
    Maka Allah telah letakkan masa & ketetapan, kamu kena ikutlah!
    Contoh: Kamu nak buat haji, Allah telah tetapkan bulan & masanya!
    Kena puasa pada bulannya yakni ibadat kamu bergantung dengan perjalanan bulan!
    Jika tidak manusia akan pergi buat haji ikut masa yang dipilihnya.
    Puasa pula ikut kehendak sendiri juga!
    Ini supaya manusia ingat bahawa perjalanan hidupnya bergerak & tidak terhenti!
    Bukan hanya statik dan tidak berubah!
    Sejarah penggunaan bulan Qamari ini telah digunapakai oleh umat terdahulu sehinggalah datang penjajah kafir bukan Islam yang ubah perjalanan masa ikut bulan syamsiyy, kita terpaksa ikut Januari, Febuari & tinggalkan Muharram Safar, tinggalkan perjalanan undang-undang & ketetapan kita!
    Begitulah manusia ini apabila kita kuat kita akan diikuti tetapi apabila kita lemah kita pula yang kena paksa & ikut ketetapan orang lain yang lebih kuat!
    Kata ulama’ : Masa bulan itu tetap cuma namanya saja dinamakan ikut musimnya!
  1. Ayat 36- {… maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya);}-

    Larangan untuk buat kejahatan dalam bulan haram ini & ancaman dosa yang besar bagi sesiapa yang melanggarnya!
    Ini kerana Allah mahu manusia beringat & tak buat maksiat.
    Ini kerana bulan haram ini biasanya Allah khususkan untuk buat ibadat.
    Maka jika kamu tak buat ibadat pun jangan pula kamu buat maksiat.
    Tetapi jangan salah faham pula hanya bulan haram tak boleh buat maksiat, bulan lain bolehlah????
    Bukan begitu dalam semua masa tetap berdosa jika buat maksiat & kesalahan, cuma gandaan dosanya lebih besar.
    Tak bertambah kuantiti tetapi bertambah kualiti!
    Sama seperti gandaan pahala beribadat pada bulan Ramadhan, solat di Makkah, solat tetap satu cuma pahala yang diberi berganda & banyak.
    Bukan kata kita solat zohor tak perlu solat bertahun-tahun lagi kerana pahalanya 100,000!!
    Kita boleh faham bahawa bulan haram itu yang gandaan pahala & dosanya bertambah kualitinya!
    Sama seperti orang yang mengumpat, mencerca, mengata memfitnah orang dalam masjid; pastilah lebih buruk & besar dosanya daripada orang yang berbuat sedemikian di luar masjid!
    Malang sekali jika pengkuliah, penceramah yang dok mengata orang dalam masjid.
    Begitu juga dalam berdoa kena asingkan dan tapis, jangan ikut emosi, doa laknat hanya untuk kafir musyrikin, jahat laknatullah, jika sesama muslim jangan kita doakan kehancuran & kebinasaan kepada mereka; kita doakan moga Allah beri hidayah untuk dia tinggalkan kejahatan itu dan berubah jadi baik!
  1. Ayat 36- {Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi,..}-

    Allah kata 12 bulan itu Allah yang telah tetapkan serta telah tertulis di Lauh Mahfuz!
    Dua kali penjelasan di sini ; bukan setakat sebut tetapkan saja tetapi Allah kata ia telah ditulis juga.
    Maka kita jangan buat main dengan ketetapan bulan ini!
    Allah juga kata, jangan kamu menzalimi diri sendiri, ikutlah jalan yang benar agar kamu tidak terpesong daripada jalan yang telah ditetapkan Allah SWT!
  1. Ayat 37- {Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya.}–

    Yakni bermain dengan bulan ini akan menambahkan kekufuran.
    Kafir itu ada darjat sama juga seperti orang beriman, kekufurannya berbeza dan bertingkat-tingkat, ada yang iman kuat & mantap, ada iman yang lemah & malap.
    Kekufuran itu juga bertingkat-tingkat; ada yang kafir saja, tak usik orang lain, ada kafir yang menentang melawan, ada yang ganas, kafir yang bermain hukum Tuhan dan lain-lain adalah lebih tinggi darjat kekufurannya daripada kafir yang diam.
    Sama seperti kita juga ahli maksiat juga tak sama; ada ahli maksiat yang solat tapi ambil rasuah atau riba, ada ahli maksiat yang tak solat terus, Allahu Akbar.
    Ya Allah ya Tuhan kami, berilah hidayah kepada kami semua agar kami tetap berada di atas landasan-Mu, di bawah ihsan & belas kasihan-Mu, beriman & beramal soleh serta mati dalam husnul-khatimah.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top