Sebab Diturunkan Kitab Taurat Dan Al-Quran & Balasan Kepada Sang Pendusta Ayat Allah SWT.
Full video : https://youtu.be/lN-U4eQ_7RI?si=XY2ycF73iDP0NE_n
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 154 sehingga 157 dalam juzu’ kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan sebab diturunkan Kitab Taurat juga sebab Allah turunkan Al-Quran.
Ini kerana puak kafir musyrikin Makkah mendakwa mereka tidak ada kitab yang diturunkan seperti yahudi & nasrani.
- Lalu Allah nyatakan bahawa Dia sudah turunkan al-Quran kepada mereka melalui Nabi Muhammad SAW, mereka yang mengingkari & mendustakannya!
Masalahnya mereka yang menolak & tidak menerimanya, jangan menyalahkan al-Quran.
- Kemudian Allah bagi amaran kepada mereka yang mendustakan ayat Allah SWT. dan melawan Rasulullah SAW, mereka akan diambil tindakan dengan azab yang berat.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang jalan Allah yang benar, jangan ikut jalan yang lain.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa jalan yang dibawa oleh Nabi SAW bukanlah satu jalan yang baru, bahkan ia telah dibawa oleh nabi-nabi terdahulu sebelumnya.
Nabi kita penamat & pelengkap kepada segala nabi bukan dia baru datang.
- Serta Syariat Nabi Musa AS itu, Allah SWT telah perincikan banyak perkara dalam kitab Taurat yang berada di tangan Nabi Musa, kemudian disambung oleh para ahli kitab dan akhirnya diselewengkan oleh para pendeta mereka yang jahat.
Yang penting Allah sudah beri kitab sebagai petunjuk & rahmat!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 154- {KEMUDIAN (KETAHUILAH PULA BAHAWA) KAMI TELAH MEMBERIKAN KEPADA NABI MUSA KITAB TAURAT UNTUK MENYEMPURNAKAN (KEMULIAAN DAN NIKMAT KAMI) KEPADA ORANG YANG TELAH BERBUAT BAIK (MENJALANKAN AJARAN KITAB ITU IAITU NABI MUSA), DAN UNTUK MENERANGKAN TIAP-TIAP SESUATU, SERTA MENJADI PETUNJUK DAN RAHMAT, SUPAYA MEREKA BERIMAN KEPADA PERTEMUAN DENGAN TUHAN MEREKA (PADA HARI AKHIRAT KELAK).} (AL-AN’AM 6:154)
- Allah nyatakan bahawa sudah cukup dengan apa yang diturunkan dalam kitab ini iaitu kitab Taurat, secara lengkap dan sempurna, cukup untuk menjadi perundangan & Syari’at bagi bani Israil.
- Kerana Nabi Musa ini buat perkara baik maka Allah balasnya dengan diberikan kepadanya kitab Taurat yang mulia.
- Kitab Taurat ini lengkap dan sempurna fungsinya sebagai:
i- Menjelaskan segala hukum dan yang diperlukan oleh bani Israil ada dalam Taurat dari sudut aqidah & hukum.
ii- Membawa perintah kepada jalan yang lurus & memberi rahmat kepada mereka.
iii- Sesiapa yang berpegang dengannya akan, dan selamat daripada kesesatan.
- Di akhir ayat Allah kata diberikan kepada Nabi Musa kitab Taurat supaya kaumnya ikut Musa, beriman kepada Allah, percaya kepada hari Kiamat, yakin dengan bangkit semula & pembalasan, yakin dengan dosa & pahala maka mereka pun akan bersedia untuk bertemu dengan Allah SWT. Itulah fungsi Taurat.
AYAT 155- {DAN INI SEBUAH KITAB (AL-QURAN) YANG KAMI TURUNKAN, YANG ADA BERKATNYA (BANYAK MANFAATNYA). OLEH ITU, HENDAKLAH KAMU MENURUTNYA; DAN BERTAQWALAH (KEPADA ALLAH), MUDAH-MUDAHAN KAMU BEROLEH RAHMAT.} (AL-AN’AM 6:155)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa Dia telah turunkan kitab-kitab sebagai rahmat & petunjuk, siapa ikut selamat, siapa tidak ikut akan celaka!
ii- Kemudian datang ayat ini Allah nyatakan bahawa Dia telah turunkan sebuah kitab yang agung & besar, yang mengatasi kitab-kitab terdahulu kepada Nabi Muhammad SAW iaitu al-Quran.
- Inilah kitab al-Quran yang berkat yang diturunkan kepada Nabi SAW yakni banyak faedah & manfaatnya, ilmunya luas, yang diambil daripada al-Quran semua ilmu tentang Allah, tentang Akhirat & ilmu tentang kehidupan dunia; halal haram dan segala ilmu lain!
- Kata ulama’ : Allah nyatakan tentang sifat al-Quran pula; iaitu kitab yang berkat, yang banyak manfaat & faedahnya.
Banyak kebaikan, ilmunya luas dan diambil daripada al-Quran semua ilmu!
- Bahkan ilmu teknologi & sains, pemakanan, pertanian dan sebagainya juga ada dalam al-Quran; teknologi & pertukangan seperti Nabi Daud yang membuat pedang & baju besi, pembangunan iaitu Zulkarnain yang membina tembok, penjaminan makanan iaitu nabi Yusuf AS sepanjang 7 tahun kemarau di Mesir dan sebagainya.
- Cuma manusia yang tidak mahu beramal dan menerima kebenaran mengatakan mereka tidak tahu atau tidak jumpa hukum tertentu dalam al-Quran, itu bukan salah al-Quran lagi nasib malang mereka yang menolak manfaat & perintah dari al-Quran.
- Kemudian Allah kata: Hendaklah kamu ikut dan bertaqwa kepada Allah. Yakni bukan ikut tanpa ikhlas, buat ketika terpaksa & ketika orang tak lihat tak buat, seperti pengguna jalan-raya dengan undang-undangnya yang hanya patuh ketika polis atau kamera ada!
Tetapi dalam Islam wajib ikut dengan hati yang patuh & ikhlas juga iaitu dengan taqwa kepada Allah!
- Barulah kita akan dapat faedah & manfaat dari perbuatan dan mudah-mudahan beroleh rahmat dari Allah SWT.
AYAT 156- {SUPAYA KAMU TIDAK MENGATAKAN: “BAHAWA KITAB (AGAMA) ITU HANYA DITURUNKAN KEPADA DUA GOLONGAN (YAHUDI DAN NASRANI) DAHULU SEBELUM KAMI, DAN SESUNGGUHNYA KAMI LALAI (TIDAK FAHAM) AKAN APA YANG DIBACA DAN DIPELAJARI OLEH MEREKA”.} (AL-AN’AM 6:156)
- Ayat ditujukan kepada kaum musyrikin kafir Makkah mendakwa mereka tidak ada kitab, Allah hanya turunkan kitab kepada kaum yahudi & nasrani saja!
- Sedangkan mereka tidak faham kandungannya kerana berlainan bahasa.
Itulah hujjah mereka yang memberi banyak dalih, helah untuk tidak mempercayai kitab-kitab yang Allah turunkan, kononnya tidak tahu & tidak faham.
- Kata ahli tafsir :
i- Allah menyatakan bahawa tujuan-Nya menurunkan al-Quran itu ialah untuk memotong hujjah & keuzuran yang kaum Quraisy dakwa iaitu:
ii- Mereka tidak terima kitab maka tidak ada arahan & larangan untuk diikut, mereka bebas & tiada perundangan dari Allah kerana mereka tidak tahu apa!
iii- Maka Allah turunkan ayat al-Quran ini menegaskan bahawa al telah diturunkan kepada mereka, hanya mereka yang tidak mengaku & menerimanya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan kalau tidaklah orang-orang musyrik itu akan berkata, semasa mereka ditimpa bala bencana disebabkan perbuatan kufur dan maksiat yang mereka lakukan: “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada Kami seorang Rasul supaya kami menurut ayat-ayat keteranganMu (yang dibawanya), dan supaya kami menjadi dari orang-orang yang beriman, ” (tentulah engkau wahai Muhammad tidak diutuskan kepada mereka, bahkan Kami terus menyeksa mereka).} (Al-Qasas 28:47)
- Diakhir ayat mereka beri lagi alasan dan dalih: Dan sesungguhnya kami lalai, tidak faham dan tidak tahu akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka kaum yahudi & nasrani. Kami kaum Arab yang tidak tahu membaca dan menulis, bahasa mereka pula bahasa lain, bukan Arab.
AYAT 157- {ATAU SUPAYA KAMU (TIDAK) MENGATAKAN: “SESUNGGUHNYA KALAU DITURUNKAN KITAB KEPADA KAMI TENTULAH KAMI MENDAPAT PETUNJUK HIDAYAH LEBIH DARIPADA MEREKA”. (KAMU TIDAK AKAN DAPAT BERDALIH LAGI) KERANA SESUNGGUHNYA TELAH DATANG KEPADA KAMU KETERANGAN (YANG CUKUP) DARI TUHAN KAMU, DAN PETUNJUK HIDAYAH SERTA RAHMATNYA (YANG MELIMPAH-LIMPAH). OLEH ITU, SIAPAKAH YANG LEBIH ZALIM LAGI DARIPADA ORANG YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH DAN BERPALING DARIPADANYA? KAMI AKAN MEMBALAS ORANG-ORANG YANG BERPALING DARI AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI (DENGAN) AZAB SEKSA YANG SEBURUK-BURUKNYA, DISEBABKAN MEREKA SENTIASA BERPALING (MENGINGKARINYA).} (AL-AN’AM 6:157)
- Allah turunkan hujjah ini untuk sekat mereka daripada berkata dan bawa hujjah & dakwaan palsu lagi: “Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab Taurat atau Injil kepada kami tentulah kami mendapat petunjuk hidayah lebih daripada mereka (yahudi & nasrani).
Mereka mengaku pula akan lebih beriman jika ada kitab turun kepada mereka!
- Allah menjawab dengan tegas bahawa telah datang kepada kamu wahai Arab Quraisy, sebuah kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dengan bahasa Arab yang asli lagi jelas, akan difahami oleh semua.
- Al-Quran mengandungi hujjah yang luas & jelas, tiada kesamaran atau keraguan, menjadi petunjuk & rahmat bagi mereka yang mengikut al-Quran!
- Kemudian Allah tempelak orang kafir ini bahawa al-Quran sudah turun kepada kamu, Nabi sudah diutus kepada kamu; maka selepas semua hujjah & perintah ini, dengan keterangan yang cukup dari Tuhan kamu; jika kamu masih menolak tidak mahu beriman lagi maka kamu adalah orang yang zalim!
- Allah tegaskan bahawa tidak ada orang yang lebih zalim & jahat (dari sudut Aqidah) selain daripada orang orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya!
Mungkin mereka baik dan mulia dari segi kebajikan & kebaikan sesama manusia, tetapi mereka tidak baik dengan Allah kerana tidak beriman & tidak menurut perintah Allah! Tidak boleh ambil separuh-separuh.
- Allah kata Dia akan membalas kepada sesiapa yang lari dari al-Quran, lawan Nabi SAW, sekat orang daripada Islam– dengan azab yang pedih & dahsyat kepada mereka yang melawan ini!
Yakni Allah memberi amaran dengan siksaan yang buruk kerana mereka tidak mempercayai keterangan yang Allah bawa.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 154- {Kemudian (ketahuilah pula bahawa) Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat untuk menyempurnakan (kemuliaan dan nikmat Kami) kepada orang yang telah berbuat baik (menjalankan ajaran Kitab itu iaitu Nabi Musa),..}-
Allah sebut dalam ayat ini Dia beri kepada Nabi Musa kitab yang lengkap, sempurna & terperinci.
Kata ulama’ tadabbur : Menjadi kebiasaan dalam al-Quran apabila Allah sebut Kitab Taurat akan disebut al-Quran juga.
Ini kerana dua buah kitab ini adalah yang terbesar yang diturunkan Allah dari langit kepada manusia.
i- Kitab Taurat adalah detail dan sempurna, dengan penjelasan perundangan dan hukum-hakamnya yang diperlukan oleh bani Israil.
ii- Tetapi al-Quran lebih lengkap & sempurna keagungannya, kerana Allah kumpulkan di dalamnya ilmu orang terdahulu & ilmu orang sekarang.
Serta banyak lagi disebut dalam al-Quran ilmu yang tidak ada dalam kitab terdahulu.
Al-Quran sebagai kitab terakhir rujukan umat manusia seluruhnya.
Kita tengok kesinambungan dua ayat ini yang sentiasa disebut secara berkembar:
i- Ayat 154 {Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat} & Ayat 155- {Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran)}
ii- Ayat 91 {Siapakah yang menurunkan Kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia,} &
{Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya)} (Al-An’am 6:92)
Terdapat perbincangan yang panjang tentangnya tetapi cukuplah sekadar sedikit kita sebut tentang keistimewaan & rahsia al-Quran & Taurat disebut bersama ini.
- Ayat 155- {Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah),…}-
Persoalan: Kenapa Allah sebut dua arahan ini iaitu: ikut & bertaqwa?
Jawapan:
i- Ini kerana ada manusia yang ikut agama ini secara zahir saja tetapi batinnya tidak ikut. Ada orang lihat, buat, tiada orang tengok tak buat!
ii- Lalu Allah letakkan secara berkembar– ikut dan bertaqwalah, yakni ikhlaskan amalan kamu kepada Allah SWT.
Jangan ikut sahaja tetapi dengan taqwa juga, ikhlaskan amalan kamu kepada Allah SWT.
Allah juga nyatakan bahawa al-Quran itu kitab petunjuk & rahmah.
Maka wajib kita ikut semua perintah al-Quran & menjauhi segala larangan-Nya maka kita akan dapat rahmat & hidayah Allah yang kita harapkan dengan beramal dengan al-Quran!
Tujuan al-Quran bukan sekadar baca saja, kena baca, tadabbur & amalkan! Sifat al-Quran itu (مُبَارَكٌۭ) banyak berkatnya (manfaatnya) lalu Allah perintahkan kita untuk ikut Quran bukan secara zahir sahaja tapi bersama hati yang ikhlas inilah taqwa.
- Ayat 155- {Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya;…}-
Ayat ini menjadi dalil bahawa al-Quran mengatasi kitab-kitab yang terdahulu kerana ia mengandungi ilmu, maklumat pengetahuan, hukum-hakam yang tiada dalam kitab terdahulu.
Yakni isi kandungan dan maklumat yang dibawanya sangat besar dan bermanfaat, mengandungi petunjuk, hikmah & hidayah yang amat besar! Ini maksudnya al-Quran adalah kitab yang berkat!
Al-Quran saksi turunnya kitab terdahulu. Al-Quran adalah kitab yang berkat (mubarakun), lengkap dan memberi rahmah untuk seluruh ummah.
Kita kena faham makna berkat di sini; Kitab al-Quran ini kecil sahaja tetapi ia mengandungi petunjuk, hidayah, ilmu, maklumat yang pelbagai yang dapat memberi manfaat & faedah kepada mereka yang menerima & bramal dengannya!
Bukan berkat yang hanya dimuliakan dengan dicium & dijunjung tanpa mengamalkan isi ajarannay!
- Ayat 156- {Supaya kamu tidak mengatakan: “Bahawa Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka”.}-
Puak kafir kata Allah hanya turunkan kitab kepada puak yahudi & nasrani.
Ini kerana mereka tidak iktiraf al-Quran itu & menolak Rasulullah SAW.
Mereka menolak bahawa al-Quran itu turun dari Allah Azza wa Jalla.
Mereka saja mengaku tidak ada kitab tidak ada petunjuk sedangkan al-Quran berada di depan mata mereka!
Tetapi mereka hanya nampak kitab-kitab yang lain!
Bukan salah al-Quran kerana penolakan mereka, mereka yang bermasalah dan degil keras hati tidak mahu menerima kebenaran al-Quran.
Ulama’ aqidah mengatakan : Majusi yang sembah api itu pun tidak ada kitab mereka, mereka hanya guna kepala otak mereka!
Kita hari ini pun jangan begitu, al-Quran sudah ada di samping kita tetapi masih nak cari hukum-hukum yang lain.
- Ayat 157- {Oleh itu, siapakah yang lebih zalim lagi daripada orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya?…}-
Manusia ini jika tak tahu lansung lain keadaannya, tetapi jika tahu, ingkar lawan itu adalah orang yang zalim,!
Mereka tahu al-Quran itu benar, tahu bahawa Rasulullah SAW itu rasul utusan Allah, seorang yang benar & baik, tetapi tetap ingkar menolak bahkan dengan agresif melawan, menyiksa orang-orang Islam yang lemah!
Mereka ini adalah yang kafirnya melampau.
Ada kafir pasif yang hanya dengan kehidupan mereka saja, ada yang menentang Islam, ada yang berusahan menyebarkan agama mereka dengan dakyah-dakyah mereka, maka kita orang Islam kena berhati-hati dengan mereka ini dan sentiasa menjaga maruah agama & diri kita!
Nak kenal lawan atau jenis kafir tengok cara penerimaan mereka tentang agama kita, jika ada isu terus mereka sambut dan menentang, maka kita pun haru lawan juga!
Tidak ada maruah diri lagi jika kita biarkan agama kita dihina dipermainkan orang kafir.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.
