View Categories

(18) Surah Al-Anfal: Ayat 48-49

15 min read

Syaitan Menabur Janji Palsu, Tarik Diri Dari Perang Badar & Munafiqin Perli Tentera Islam.

Full video : https://youtu.be/HJxvebsDmHk?si=tfyeHRWYUzFa6dyM

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 48 & 49 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa syaitan suka menabur janji palsu, menghasut menggoda manusia untuk buat kejahatan.
  1. Kemudian apabila dia rasa tak mampu untuk lawan lagi, sebagaimana syaitan tarik diri dari perang Badar sedangkan dialah yang menghasut & memberi jaminan agar mereka berperang melawan orang Islam.
    Begitulah sifat syaitan, berlepas diri apabila ada masalah!
  1. Satu lagi ialah syaitan manusia iaitu munafiqin & mereka yang tidak ada pendirian. Mereka ini memperli tentera Islam & meruntuhkan semangat agar lemah & mengaku kalah.
    Kerana itulah di akhir ayat Allah kata sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, iaitu orang mukmin, mereka akan dapat kemenangan!
    Kerana itu jangan lari, jangan mudah goyah kerana kita ada Allah Azza wa Jalla!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang rosaknya segala kerja, buat puak kafir kerana niat mereka salah, nak syirikkan Allah Azza wa Jalla!

    ii- Maka datang ayat ini sebagai peringatan besar menyatakan sumber terbesar & inspirasi kepada kesyikirkan & kejahatan adalah daripada hasutan syaitan!
    Maka kamu jangan terpedaya terpengaruh dengan hasut & godaan syaitan!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 48- {DAN (INGATLAH) KETIKA SYAITAN MEMPERHIASKAN KEPADA MEREKA PERBUATAN MEREKA (YANG SALAH ITU, UNTUK DIPANDANG ELOK DAN DITERUSKAN), SERTA MENGHASUT MEREKA DENGAN BERKATA: “PADA HARI INI TIDAK ADA SESIAPA PUN DARI UMAT MANUSIA YANG DAPAT MENGALAHKAN KAMU, DAN SESUNGGUHNYA AKU ADALAH PELINDUNG DAN PENOLONG KAMU”. MAKA APABILA KEDUA-DUA PUAK (ANGKATAN TENTERA ISLAM DAN KAFIR MUSYRIK) MASING-MASING KELIHATAN (BERHADAPAN), SYAITAN ITU BERUNDUR KE BELAKANG SAMBIL BERKATA: “AKU BERLEPAS DIRI DARI KAMU, KERANA AKU DAPAT MELIHAT APA YANG KAMU TIDAK DAPAT MELIHATNYA; SESUNGGUHNYA AKU TAKUT KEPADA ALLAH, DAN ALLAH SANGAT BERAT AZAB SEKSANYA”.} (AL-ANFAL 8:48)

  1. Allah SWT peringatkan kepada Rasulullah SAW & kita semua orang beriman tentang: Ketika iblis datang menghasut puak kafir Quraisy tentang amalan mereka yang buruk; perbuatan syirik, perbuatan mereka datang nak berperang dengan Nabi SAW serta perbuatan Abu Jahal yang sombong angkuh mahu ke Badar untuk berpesta menunjukkan keangkuhan dan kekuatan mereka, syaitan hiaskan semua itu menjadi baik & indah di mata mereka!
  1. Syaitan datang hasut suruh lawan & berperang!
    Jangan runsing sikit sahaja bilangan tentera muslim itu, pasti kamu akan menang dalam melawan mereka, kamu kuat & gagah!
    Majoriti ulama’ tafsir mengatakan : Syaitan iblis yang menghasut itu.
    Dia datang dalam rupa bentuk manusia, bercakap dengan manusia secara direct bukan dalam bentuk bisikan waswas!
    Syaitan ini bijak & banyak helahnya!
  1. Nota: Orang itu ialah kaum kafir musyrikin Makkah di bawah pimpinan Abu Jahal yang datang ke Badar untuk menunjukkan kehandalan mereka.
    Akhirnya mereka ditimpa kehancuran selepas bertempur dengan tentera Islam.
    Ulama’ tafsir kata : Syaitan itu telah menyamar diri dalam bentuk manusia semasa menjalankan hasutannya itu. (yakni dia berupa sebagai orang yang mereka kenali).
    Kata-kata syaitan ini apabila dia melihat malaikat yang turut serta.
  1. Menurut satu athar (bukan hadis) riwayat dari Ali bin Abi Talhah yang meriwayatkan dari Ibnu Abbas RA :

    جَاءَ إِبْلِيسُ يَوْمَ بَدْرٍ فِي جُنْدٍ مِنَ الشَّيَاطِينِ مَعَهُ رَأَيْتُهُ فِي صُورَةِ رَجُلٍ مِنْ بَنِي مُدْلِجٍ فِي صُورَةِ سُرَاقَةَ بْنِ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ ، فَقَالَ الشَّيْطَانُ لِلْمُشْرِكِينَ : لاَ غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ مِنَ النَّاسِ وَإِنِّي جَارٌ لَكُمْ ، فَلَمَّا اصْطَفَّ النَّاسُ ، أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْضَةً مِنَ التُّرَابِ ، فَرَمَى بِهَا فِي وُجُوهِ الْمُشْرِكِينَ ، فَوَلَّوْا مُدْبِرِينَ . وَأَقْبَلَ جِبْرِيلُ إِلَى إِبْلِيسَ ، فَلَمَّا رَآهُ ، وَكَانَتْ يَدُهُ فِي يَدِ رَجُلٍ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ، انْتَزَعَ إِبْلِيسُ يَدَهُ ، فَوَلَّى مُدْبِرًا هُوَ وَشِيعَتُهُ ، فَقَالَ الرَّجُلُ : يَا سُرَاقَةُ تَزْعُمُ أَنَّكَ لَنَا جَارٌ ؟ قَالَ : (إِنِّي أَرَى مَا لاَ تَرَوْنَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَاللَّهُ شَدِيدُ الْعِقَابِ) وَذَلِكَ حِينَ رَأَى الْمَلاَئِكَةَ.

    Maksudnya: “Ketika hari perang Badar, Iblis muncul dalam barisan tentera syaitan dan aku melihat dia menjelmakan diri seperti lelaki dari Bani Mudlij, dengan rupa seperti Suraqah ibn Malik ibn Ju’thum.
    Dia berkata kepada musyrikin: “Tidak ada seorang pun dari manusia yang dapat mengalahkan kamu pada hari ini dan sesungguhnya saya adalah pelindungmu.”
    Ketika manusia telah berbaris, Rasulullah mengambil segenggam debu, lalu baginda melemparkan ke arah orang-orang musyrikin, mereka pun lari bertempiaran.
    Lalu Jibril menuju ke arah iblis. Ketika itu iblis sedang memegang tangan salah seorang musyrik, apabila dia melihat kedatangan Jibril, dia terus melepaskan tangan orang musyrik tersebut, kemudian Iblis bersama syaitan-syaitan yang mengiringinya melarikan diri.
    Lelaki (musyrik) itu pun berkata: “Wahai Suraqah, Kamu bagitahu kamu adalah pelindung kami? ”
    Iblis menjawab: “Sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya, sesungguhnya saya takut kepada Allah.
    Dan Allah sangat keras siksa-Nya.”
    Ketika itulah Iblis melihat para malaikat.”

    [Kisah ini diriwayatkan oleh Imam al-Tobari dalam tafsirnya (Lihat Tafsir al-Tobari, 13/7), dan Ibn Kathir dalam tafsir surat Al-Anfal (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/317).

    Sebab iblis menyamar sebagai orang dari bani Mudlij kerana Mudlij ni musuh Abu Jahal asalnya.
    Jadi apabila melihat musuh bergabung dengan kita untuk melawan musuh lain, akan rasa konfiden dan lebih yakin!
  1. Syaitan datang menghasut mengampu Abu Jahal & tentera musyrikin dengan mengatakan bahawa:
    i- Pada hari ini tiada siapa yang dapat mengalahkan mereka!
    Kerana tentera mereka ramai & lebih lengkap bersenjata!

    ii- Dia juga menjamin akan menjadi penolong & pelindung mereka!
    Tiada siapa boleh serang mereka!
  1. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:
    {Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.} (An-Nisa’ 4:120)
    Janji syaitan hanya tipu-daya, perangkap untuk manusia.
  1. Kemudian apabila pertempuran bermula & dua pasukan saling berhadapan; syaitan mulai nampak tentera malaikat yang dihantar Allah. Dia terus berpaling nak lari kerana jika malaikat serang dia boleh binasa juga!
  1. Lalu dia berkata kepada tentera musyrikin yang disokong & diberi jaminannya tadi: {“Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya”.}
  1. Beberapa ayat yang menafsirkan ayat ini juga, iaitu syaitan lari meninggalkan manusia apabila berjaya menghasut mereka untuk buat kejahatan & keburukan:
    i- {(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: “Berlaku kufurlah engkau!” Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam!”} (Al-Hasy-r 59:16)

    ii- {Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.} (Ibrahim 14:22)
  1. Syaitan juga mengatakan kepada kafir Quraisy sebab dia lari adalah kerana dia nampak malaikat & kononnya dia takut kepada Allah dan takut azab Tuhan yang sangat berat atas dunia ini!
    Kata Ibnu Athiyah, syaitan hanya berbohong apabila dia kata dia takut kepada Tuhan!
  1. Kata Syeikh Ibnul Qayyim : Syaitan ini bercakap benar & dalam masa yang sama juga berbohong dalam ayat ini:
    i- Benar apabila dia mengatakan: {kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya;}, iaitu dia nampak malaikat.

    ii- Berdusta apabila dia kata: {sesungguhnya aku takut kepada Allah,}, kerana dia tidak takut kepada Allah kerana itu dia kufur; tetapi dia hanya takut kena azab Allah!
  1. Inilah yang kita bimbang hari ini; mulut dok kata takut kepada Tuhan tetapi buat apa yang Tuhan larang!

Mulut kata takut Tuhan, tetapi masih dok tipu khianat pada orang dan seumpamanya.

AYAT 49- { (INGATLAH) KETIKA ORANG-ORANG MUNAFIK DAN ORANG-ORANG YANG ADA PENYAKIT (SYAK) DALAM HATINYA BERKATA: “ORANG-ORANG (ISLAM) ITU TELAH DIPERDAYAKAN OLEH AGAMA MEREKA (SEHINGGA MEREKA BERANI MENENTANG KAMI YANG LEBIH BESAR BILANGANNYA)”. DAN (YANG SEBENARNYA) SESIAPA YANG BERTAWAKAL KEPADA ALLAH (DENGAN SEPENUH-PENUH YAKIN, MAKA ALLAH AKAN MENOLONGNYA UNTUK MENGALAHKAN MUSUH YANG LEBIH BESAR BILANGANNYA), KERANA ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-ANFAL 8:49)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelum ini Allah kata ketika syaitan hiaskan amalan puak kafir dengan janji palsu & manifestasinya yang tidak benar; ini musuh yang kita tidak nampak secara zahir, tapi hadir dalam bentuk tipu daya dan hasutan.

    ii- Maka datang ayat ini Allah menyatakan terdapat satu lagi musuh yang nyata di hadapan, yang nampak di mata iaitu golongan munafiq dan orang yang ada penyakit dalam hati!
    Yang mulut huduh dan suka memerli orang Islam.
  1. Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa kita umat Islam ada dua jenis musuh utama iaitu:
    i- Iblis & syaitan, musuh ghaib yang tak nampak di mata, pandai menipu, berjanji tapi lari.

    ii- Golongan munafiq, musuh nyata, suka memperli dan merosakkan dari dalam.
  1. Ini tidak pelik kerana pada zaman sekarang juga penuh dengan manusia yang berperangai seperti syaitan; mereka menghasut, membakar semangat, mengajak berbuat jahat, lepas itu mereka lari dan biarkan orang lain tanggung akibat & hukumannya!
  1. Maka Allah peringatkan Nabi SAW tentang golongan munafiq pula.
    Mereka ini munafiq iktiqadi iaitu yang menzahirkan Islam tetapi tidak beriman & kufur dalam hati mereka!
    Manakala yang dalam hadis Nabi SAW semalam ialah munafiq amali- secara perbuatan sahaja- yang ada sifat munafiq.
  1. Kata ulama’ tafsir : Biasanya dalam al-Quran apabila Allah sebut: mereka penyakit dalam hati mereka; maksudnya golongan munafiq.
    Tetapi dalam ayat ini Allah kembar dua {{(Ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit (syak) dalam hatinya berkata..} pasti ada maksud yang lain pula.
  1. Ulama’ membawa pendapat:
    i- Sifat munafiq itu ada penyakit dalam hati sebagaimana firman Allah ini:
    {فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا}
    Maksudnya: {“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka.”} (al-Baqarah: 10)}

    ii- Tetapi firman Allah ini- {dan orang-orang yang ada penyakit (syak) dalam hatinya}- adalah orang lain iaitu orang Islam yang duduk di Makkah tetapi lemah iman & tak mahu berhijrah!
    Mereka juga keluar sekali bersama tentera musyrikin ke Badar untuk berlawan dengan tentera Islam.
    Yakni mereka juga ada saham menguatkan tentera Badar kafir.
    Puak inilah bersama munafiqin yang bercakap mengata kepada orang Islam, bahawa Islam telah memperdaya mereka, tentera sikit nak lawan juga, sudah tahu lemah tak sedar diri nak lawan juga walaupun bilangan tentera sedikit, senjata tiada dan seumpamanya.
  1. Yakni mereka yang mempunyai penyakit dalam hati yang di maksudkan dalam ayat ini ialah orang Islam sendiri yang mempunyai keraguan & waswas kepada Islam dan tidak mantap leyakinan kepada Allah dan Rasulullah SAW.
    Mereka yang keluar ke Badar bersama tentera musyrikin Makkah.
  1. Di akhir ayat Allah kata: {Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana}.
    Munasabah ayat akhir ini dengan ayat di depannya:
    i- Allah kata orang munafiq yang ada penyakit dalam hati tidak akan berserah diri kepada Allah!

    ii- Maka kamu orang beriman jangan seperti mereka; yakin dengan pertolongan Allah dan bertawakkal kepada Allah sepenuhnya, jangan mudah koyak, jangan mudah lemah semangat & jangan sesekali mudah terikut dengan dakyah yang dimainkan munafiqin & orang yang ada penyakit dalam hati mereka.
    Mereka ini tidak ada tawakkal kerana mereka waswas & tidak yakin kepada pertolongan Allah!
  1. Munasabah ini sangat menarik.
    Kita dapat lihat apabila ada ayat tentang munafiqin akan datang ayat tentang tawakkal.
    Yakni dihujung ayat ditutup dengan tawakkal kepada Allah; ini kerana supaya kita orang Islam sentiasa ingat, berhati-hati- bahawa kita ada Allah!
  1. Lihatlah walaupun bilangan kamu sedikit tak buat macamana, tak sangka akan bertemu tentera Abu Jahal yang besar, tetapi apabila dah bertembung lawan tetap lawan, jangan ragu jangan bimbang lagi!
    Sebagaimana hadis Nabi SAW semalam, musuh atau bala jangan dicari, tetapi apabila dah bertemu, sabar & sabit jangan lari!!!!
    Itulah sifat orang Islam!
  1. Ini ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.} (At-Talaq 65:3)
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.} (At-Talaq 65:3)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 48- {Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan),…}-

    Ketika syaitan memperhiaskan perbuatan puak kafir.
    Ini menunjukkan bahawa pegangan & iktiqad yang tidak betul, perasaan waswas & keraguan adalah hasil perbuatan syaitan!
    Syaitan ini pandai bercakap, mulut manis, hebat menggoda & menghasut sehingga manusia mudah terpedaya & percaya.
    Allah nyatakan kepada kita syaitan begitulah kerjanya; punca kerosakan manusia atas dunia ini adalah kerana bisikan syaitan!
    Dia datang menghasut, membawa keraguan, menyekat kebaikan yang ingin dibuat- dengan jalan yang berstrategi!
    Syaitan memperhiaskan yang cantik jadi buruk, yang buruk jadi cantik.
  1. Ayat 48- {Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu,…}-

    Antara taktik & teknik tipu-daya syaitan ialah dia masuk ikut lorong yang dibenarkan, mengikut kesesuaian & kesukaan orang itu.
    Dia tidak masuk melalui jalan, no entry!
    Itulah syaitan yang berstrategi!
    Contoh:
    i- Jika ahli ibadat akan dicucuknya melalui penyakit hati seperti kagum dengan diri sendiri, riya’, sum’ah dan lain-lain penyakit hati yang akan menghapuskan pahala & menjadikannya sia-sia.
    Orang kaya pula dengan rasa diri yang terbaik, pemurah, infaq mengharapkan pujian, hilang rasa keikhlasan semata-mata nakkan pengiktirafan!

    ii- Jika ahli maksiat, pastilah bertambah senang & mudah baginya!
    Dihasut dan digoda dengan hiburan dan maksiat yang melalaikan!
    Tak perlu cakap banyak terus ikut!
  1. Ayat 48- {Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), Syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya;…}-

    Ayat ini menjadi dalil bahawa jin syaitan ini boleh berupa dengan pelbagai bentuk makhluk hidup lain sama ada manusia atau haiwan.
    Kerana itu terdapat dalam satu hadis Nabi SAW melarang daripada terus membunuh ular yang ada dalam rumah!
    Sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Umar RA, katanya:
    فَبَيْنَا أَنَا أُطَارِدُ حَيَّةً لِأَقْتُلَهَا، فَنَادَانِي أَبُو لُبَابَةَ: لاَ تَقْتُلْهَا، فَقُلْتُ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ أَمَرَ بِقَتْلِ الحَيَّاتِ قَالَ: إِنَّهُ نَهَى بَعْدَ ذَلِكَ عَنْ ذَوَاتِ البُيُوتِ، وَهِيَ العَوَامِرُ.
    Maksudnya: “Ketika aku sedang mengejar ular untuk membunuhnya, tiba-tiba Abu Lubabah memanggilku: ‘Janganlah engkau membunuhnya.’
    Aku berkata: ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memerintahkan untuk membunuh ular-ular.’
    Abu Lubabah berkata: ‘Sesungguhnya selepas itu Baginda melarang membunuh ular-ular di rumah-rumah,’”
    (Al-Zuhri berkata) iaitu al-‘Awamir (penghuni rumah daripada bangsa jin).
    [HR al-Bukhari (3298)].
    Dalam perang Badar ini syaitan berupa sebagai seorang manusia bernama Suraqah bin Malik dari bani al-Mudlij yang merupakan musuh Abu Jahal!
    Ini menyebabkan Abu Jahal berasa konfiden dan terjamin untuk berperang melawan Rasulullah SAW kerana musuhnya pun ikut serta!
    Kerana itu apabila kita tengok sesiapa yang bergabung dengan musuh tradisinya- dia akan berbalik 100%, biasanya dia akan percaya, taat & taksub sepenuhnya!
    Dia akan mensucikan bekas musuhnya itu lebih daripada orang lain dengan sepenuh hati pula!
    Hati-hati para jemaah jangan dok percaya sangat kepada musuh ini, sama ada yang dalam selimut atau luar selimut- yang penting musuh Islam!
  1. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), Syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya;…}-

    Syaitan ini sebenarnya penakut & dia mudah lari!
    Sama juga dengan realiti kehidupan kita: Orang yang suka hasut orang kepada keburukan ini apabila nampak keadaan genting & tidak akan berjaya rancangannya, dia yang awal-awal lagi akan lari dan meninggalkan mangsanya!
    Begitulah sifat syaitan; bila nampak nak kalah, mereka akan melarikan diri meninggalkan pasukan, tidak mahu bertanggungjawab, tidak mahu dihukum bersama.
    Begitulah jin & syaitan ini suka menghasut kemudian lari- kerana itu jangan percaya & tergoda dengan mereka!
  1. Ayat 49- {(Ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit (syak) dalam hatinya berkata: …}-

    Puak munafiqin & orang yang ada penyakit dalam hati- kerja mereka ialah menggoda mengacau orang beriman sejak dari dulu kini & selamanya!
    Kerjanya nak mengacau, memasukkan keraguan dalam hati orang beriman dan menggoyahkan keimanan, keyakinan & kepercayaan umat Islam!
    Mereka bertujuan nak melemahkan semangat, nak memperkecikan usaha yang ikhlas, juga agar hilang pergantungan umat Islam kepada Allah.
    Apabila bercakap tentang ekonomi Islam- mereka akan kata asyik-asyik Islam saja!
    Fakta yang menyedihkan juga masih ramai lagi umat Islam yang tidak menukar akaun bank mereka kepada simpanan Islam, ini kerana mereka nampak bonus/dividen akaun yang bukan Islam itu lebih tinggi manakala yang Islam rendah!
    Walaupun hanya beberapa ratus saja tetapi risiko haramnya tinggi!
    Berhati-hatilah kita dengan permainan syaitan yang mulut manis tetapi penuh dengan racun yang sangat bahaya!
    Kita berdoa kepada Allah agar selamat di dunia ini & aman di Akhirat.

    Perhatian:
    i- Memandangkan esok adalah hari terakhir bagi rakyat Malaysia sebelum masuk 1hb Zulhijjah, jadi Kuliah Subuh pagi Rabu esok adalah tentang Bab Korban- berdasarkan Kitab Islam Cara Hidup, insya’ Allah.

    ii- Kuliah Tafsir kita akan bersambung selepas Haji nanti insya’ Allah.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top