Muqaddimah, Nama Surah, Isi Kandungan Surah & Munasabah Dan Tarikh Turun Surah Ini.
Full video : https://youtu.be/PJCrmW7yh74?si=gTDF3eVvEHEZLSI9
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi ini kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir Surah At-Taubah, سورة التوبة, surah yang kesembilan dalam juzuk kesepuluh.
- Semoga Allah SWT kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
- Surah At-Taubah, سورة التوبة adalah surah yang kesembilan dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Anfal – سورة الأنفال, surah yang terakhir dalam juz yang kesepuluh.
- Ramai ulama’ tafsir sepakat (ijma’) mengatakan : Surah ini Madaniyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah.
- Ia adalah surah yang agak panjang, mengandungi 129 ayat meliputi juzuk kesepuluh.
NAMA SURAH :
- Surah ini mempunyai 3 nama yang masyhur yang mempunyai sandaran yang kuat iaitu:
i- At-Taubah (التوبة): Nama utama surah ini, yang bermaksud “pengampunan” atau “taubat”.
Nama ini diambil dari kata “at-taubah” yang berulang kali disebut dalam surah ini.
ii- Bara’ah (براءة): Bermaksud “berlepas diri” atau “pembebasan”.
Nama ini merujuk kepada pernyataan berlepas diri dari orang-orang kafir dan munafik.
iii- Al-Fadihah (الفاضحة): Bermakna “penyingkap” atau “pendedah”, kerana surah ini mendedahkan kemunafikan orang-orang munafik.
- Pertama sekali, dinamakan surah ini nama Surah At-Taubah, سورة التوبة yang bererti (Taubat) sempena perkataan At-Taubah, التوبة yang disebut dalam ayat 112, disebut perihal golongan yang telah bertaubat dari salah laku mereka, lalu Allah SWT menerima taubat mereka & mengampunkan mereka
Kesilapan mereka ialah tidak ikut serta peperangan Tabuk bersama Rasulullah SAW Tiga sahabat ini sihat wal-afiat tetapi menangguhkan pemergiannya sehinggalah Rasulullah SAW kembali dari peperangan.
ii- Dalilnya dari Said bin Jubair RA dia berkata dia bertanya kepada Abdullah bin Abbas RA tentang surah at-Taubah.
Kata Ibnu Abbas : Surah at-Taubah ialah al-Fadihah.
- Kedua, surah ini juga dikenali dengan nama surah Bara’ah { بَرَآءَةٌۭ}- iaitu pemutusan tanggungjawab atau berlepas diri sebagaimana dalam ayat pertamanya iaitu { بَرَآءَةٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦٓ}- maksudnya: {(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya…}.
ii- Dalilnya dari al-Bara’ bin Azib RA: Surah yang terakhir turun ialah surah Bara’ah. [HR Bukhari & Muslim].
- Namanya yang ketiga ialah surah al-Faadihah (الفاضحة), iaitu maksudnya mendedahkan tembelang kerana dalam surah ini Allah membuat banyak pendedahan tentang sikap munafiq yang mereka sembunyikan pada zahirnya.
Semua ini terdedah terutamanya dalam peperangan Tabuk.
ii- Dalilnya hadis dari Zaid bin Thabit RA yang berkata: Aku mengikuti semua ayat & surah dalam al-Quran sehingga akhir surah al-Bara’ah ini.
- Inilah tiga nama surah ini yang masyhur & terkenal di kalangan sahabat RA.
Tetapi ia juga mempunyai banyak lagi nama-nama lain.
- Kata Zamakhsyari : Banyak sekali nama surah ini seperti:
Bara’ah (berlepas diri), At-Taubah (pertaubatan), Al-Muqasyqasyah (terbebas), Al-Muba’tsarah (terbongkar), Al-Musyarradah (tercerai berai), Al-Makhziyyah (menghinakan), Al-Fadhihah (penyingkap), Al-Mutsirah (provokator), Al-Hafirah (penggali), Al-Munakkilah (penghukum yang berat), Al-Mudamdamah (penurunan azab), Al-Buhuts (pembahasan) dan lain-lain.
KELEBIHAN & CIRI-CIRI KEISTIMEWAAN SURAH :
- Para sahabat amat menggalakkan kaum lelaki untuk mendalami, memahami & menghayati tafsir surah ini.
Dalilnya: Sayyidina Umar bin al-Khattab telah menulis surat kepada gabenor & rakyatnya;
i- Kamu semua kena belajar surah al-Bara’ah ini kerana ia memisahkan antara kita dengan orang kafir dalam hubungan diplomtaik, hubungan antarabangsa juga hubungan dengan non-muslim; Ini amat penting jika tidak kita terperangkap dalam sikap sayangkan orang kafir tetapi bencikan sesama orang beriman!
Ini cukup merbahaya!
ii- Serta ajarkan kepada wanita-wanita Islam surah an-Nur.
Kerana surah ini banyak alaqah hubungan kekeluargaan seperti hubungan suami isteri.
Ia juga mendidik keperibadian Muslimah seperti menjaga aurat dan cara pergaulan yang Islamik, hubungan antara ibu bapa & menantu supaya kita boleh bergaul tetapi tidak bercampur.
Yakni pergaulan kita ada SOP Syari’ah. [Said bin Mansur dalam kitab Tafsirnya].
- Ini adalah antara surah yang terakhir turun dalam al-Quran sebagaimana hadis al-Bara’ bin Azib RA di atas tadi.
- Dalam 114 surah dalam al-Quran, ini satu-satunya surah yang tidak ditulis pada permulaannya Basmalah (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ).
Ramai para ulama’ telah ijma’ menukilkan dari kalangan sahabat tentang hal ini.
- Sebab kenapa tidak ditulis Basmalah:-
i- Kata Imam Ibnu Kathir RHM : Tidak ditulis basmalah pada awalnya kerana para sahabat yang menulis mushaf al-Quran sejak dari awal tidak menulisnya ketika mengumpul al-Quran pada zaman Khallifah Usman bin Affan RA.
ii- Dari Ibnu Abbas RA: Aku bertanya kepada Sayyidina Ali kenapa tidak ditulis basmalah di awal surah al- Bara’ah?
Jawab Ali: Basmalah adalah keamanan yang dimulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah & Maha Penyayang; tetapi surah ini turun dengan pedang, batalkan perjanjian dengan kafir yang belot, maka kerana ayat perang & Allah berlepas diri maka tidak sesuai untuk menyebut Basmalah!
iii- Kata Sufyan bin Uyainah : Tidak ditulis Basmalah kerana ia adalah rahmat & untuk keamanan.
Sedangkan surah ini turun untuk mendedahkan kejahatan & tabiat buruk munafiqin maka tidak ada keamanan bagi orang munafiqin!
iv- Kata al-Qurtubhi pula : Yang sahihnya; tidak ditulis surah ini Basmalah kerana malaikat Jibril apabila membawa surah ini kepada Nabi SAW, dia tidak membaca Basmalah.
Maka kekallah ia sebagai satu-satunya surah dalam al-Quran yang tidak ditulis Basmalah pada awalnya!
Jadi cara kita nak baca surah ini hanya mulakan dengan membaca
(أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ )
Kemudian terus membacanya sehingga ke akhir ayatnya.
Itulah yang disebut oleh para ulama’ Islam.
INTISARI KANDUNGANNYA (PIMPINAN AR-RAHMAN):
- Menerangkan perisytiharan dari Allah & Rasul-Nya yang ditujukan kepada kaum musyrik Arab oleh kerana mereka telah mencabul perjanjian yang dibuat dengan Rasulullah SAW maka perjanjian itu dibatalkan oleh Allah & Rasul-Nya SAW.
Mereka diberi tempoh selama 4 bulan untuk membuat keputusan jika mereka tidak mahu menerima Islam; mereka akan dimusnahkan di mana saja mereka berada.
Nak aman boleh berdamai, nak berperang, hayya tawakkalna ‘ ala Allah.
- Surah ini juga mendedahkan rahsia puak munafiq yang pura-pura beriman pada zahirnya tetapi tetap kufur pada batinnya.
Dalam ayat berikut juga Allah memberi galakan besar kepada orang beriman untuk tampil berjuang pada jalan Allah kerana Dia telah membeli jiwa & harta-benda mereka dengan balasan syurga; sama ada mereka berjaya membunuh musuh mencapai kemenangan atau mereka gugur syahid untuk membela agama Allah.
- Surah ini diakhiri dengan memberi semangat kepada Rasulullah SAW untuk terus berjuang menegakkan agama Islam sambil berserah bulat-bulat kepada Allah Azza wa Jalla kerana Allah jualah yang akan menolongnya mencapai kemenangan.
- Surah ini dari asalnya tidak dimulai dengan Basmalah.
MAQASID/OBJEKTIF SURAH (Tafsir Muharrar):
- Allah gariskan Minhaj jalan strategi yang mesti diikuti oleh orang mukmin dalam hubungan mereka dengan orang bukan Islam.
Sama ada ahli kitab, kafir tulen atau kafir tersembunyi iaitu munafiqin.
- Allah nak buka tutup, mendedahkan tembelang munafiqin sambil menyatakan jenis & sifat mereka serta menzahirkan perbuatan buruk mereka dalam masyarakat Islam.
- Allah nyatakan beberapa hukum-hakam yang sangat diperlukan oleh negara Islam apabila kita sudah berkuasa.
ISU PENTING DALAM SURAH (Tafsir Muharrar):
- Allah perintahkan orang Islam untuk berlepas diri daripada perjanjian dengan kaum kafir apabila mereka belot & khianat.
Kemudian Allah suruh berlawan dengan mereka dengan menghalang mereka daripada memasuki Makkah, jangan sesekali berkasih sayang walaupun mereka adalah kaum kerabat!
Tegas dalam bab Aqidah, no kompromi!
- Dalam beberapa ayat ini juga Allah nyatakan kisah Peperangan Hunain serta mendidik jiwa tentera Islam yang beriman agar bertawakkal tinggi kepada Allah, jangan hanya rasa besar apabila kita mempunyai tentera yang ramai (12 ribu orang).
Ini kerana ramai tidak semestinya kuat, sedikit tidak semestinya lemah!
- Mengiklankan peperangan terhadap ahli kitab dari kalangan puak Arab; jika tidak mahu masuk Islam kena duduk di bawah pemerintahan Islam dengan membayar jizyah, cukai kepala.
Juga sekaligus nak membatalkan amalan buruk ahli kitab yang makan harta secara batil.
- Kehormatan bulan-bulan haram dan nak menetapkan tahun secara syaratnya serta membatalkan permainan jahiliyyah yang menukar bulan ikut kehendak mereka.
Contoh bulan haram tak boleh berperang, tetapi jika mereka nak berperang senang-senang mereka tukar bulan itu menjadi bulan halal!
- Galakan untuk berjihad & berperang pada jalan Allah dengan harta & jiwa.
Serta jangan sesekali cintakan dunia dengan berlebihan kerana sebanyak mana milik kita akan pergi meninggalkan dunia atau dunia yang akan tinggalkan kita!
- Pertolongan Allah kepada Nabi SAW & para sahabat yang benar serta Allah jamin mereka daripada puak kafir.
- Allah sebut sifat-sifat munafiq serta kelicikan perangai buruk mereka yang sangat jahat!
Mereka telah menyakiti Rasulullah SAW dengan perkataan, perlian dan cacian, perbuatan dan sebagainya.
Mereka berpura-pura beriman tetapi sebenarnya kafir maka Nabi SAW dilarang daripada berbaik dengan mereka & jika mati dilarang daripada solat jenazah mereka juga jangan beristighfar ke atas mereka.
- Celaan kepada puak Badwi orang kampung yang kasar perangai, keras adabnya & pegangan mereka yang salah!
Tetapi Allah puji juga mereka kerana apabila mereka masuk Islam mantap sekali pegangan agama mereka.
- Sebutan terhadap golongan Muhajirin & Ansar yang awal serta kelebihan & kelemahan mereka!
Allah terima sedekah sumbangan daripada orang yang faqir walaupun sedikit & Allah terima taubat daripada orang yang bertaubat.
- Allah sebut tentang masjid Dirar yang dibina oleh sekumpulan munafiq, ia dibina atas tujuan yang jahat & salah iaitu supaya mereka tidak perlu solat di Masjid Nabi SAW, mendengar ceramah Nabi SAW & berjumpa dengan orang Islam lain!
Masjid ini sudah diruntuhkan semasa peperangan Tabuk.
Pada zaman kita ini pun ada juga orang buat masjid dengan niat yang salah iaitu kerana niat nak berbangga & bermegah.
- Kemudian Allah sebut juga tentang pembinaan masjid Quba’ yang dibina atas dasar taat & taqwa.
Inilah masjid yang sepatutnya kamu pergi!
- Allah galakkan hamba-hamba-Nya supaya menjual jiwa mereka kepada Allah & balasannya adalah syurga.
- Larangan meminta ampun untuk kafir walaupun keluarga sendiri.
- Allah SWT terima taubat golongan yang tidak ikut serta perang Tabuk.
- Allah galakkan untuk kita kerahkan tenaga bagi keluar menuntut ilmu & tafaqquh fiddin (mahir dalam agama) dan menyampaikan.
Yakni kita kena ada satu kelompok yang keluar belajar agama Islam, mendalaminya dan kembali menyampaikan ilmu kepada kaumnya.
- Allah SWT mengungkit tentang nikmat-Nya kepada kita orang Islam.
Bahawa Allah hantar kepada kita rasul dari kalangan manusia dengan mempunyai sifat yang amat menarik- susah hati jika umatnya tidak beriman, amat tamak untuk mengislamkan semua orang, itulah Baginda Nabi SAW.
MUNASABAH SURAH INI DENGAN SURAH SEBELUMNYA :
Munasabah Surah At-Taubah , سورة التوبة datang selepas Surah Al-Anfal – سورة الأنفال:
- Kata ulama’ : Banyak persamaan yang rapat antara dua surah ini; sehingga setengah ulama’ kata surah at-Taubah/al-Bara’ah ini sebagai pelengkap kepada perbincangan dalam Surah Al-Anfal dari sudut hubungan antarabangsa, hubungan antara muslim & non-muslim, undang-undang peperangan dan perdamaian, menserlahkah sifat mukmin yang sejati dengan munafiqin juga sifat perjanjian antara orang Islam & bukan Islam.
- Namun dua surah ini tetap berbeza, iaitu di awal surah at-Taubah lagi disebut akan berlepas diri daripada perjanjian yang kamu buat dalam Surah Al-Anfal itu jika kamu tidak tunai janji!
- Juga satu perbincangan khusus tentang hukum Masjidil Haram; iaitu tidak dibenarkan lagi orang kafir masuk selepas Islam menguasainya.
- Galakan untuk berinfaq serta pendedahan besar tentang kejahatan munafiqin yang begitu bahaya kepada Islam.
TARIKH TURUN SURAH INI :
- Surah Al-Anfal termasuk surah yang mula-mula diturunkan di Madinah selepas hijrah iaitu selepas peperangan Badar pada tahun ke-2H.
- Sedangkan surah Al Bara’ah (Taubah) adalah surah al-Quran yang paling akhir diturunkan iaitu pada tahun ke-9 Hijrah, pada tahun berlakunya peperangan Tabuk.
Ia adalah peperangan terakhir yang disertai oleh Nabi SAW untuk berdepan dengan Rom.
Jaraknya terlalu jauh, cuaca pula amat panas, tuan punya kebun pula tercabar untuk meninggalkan kebun mereka pada waktu ialah musim menuai, waktu untuk memetik buah tamar yang sedang masak.
- Surah al-Bara’ah mendedahkan tembelang kaum musyrikin, awal surahnya turun selepas Pembukaan Kota Makkah & Nabi SAW hantar Sayyidina Ali untuk mengisytihar bahawa orang kafir tidak dibenarkan lagi masuk Masjidil Haram selepas tahun ke-9 itu.
Maka apabila Nabi SAW pergi mengerjakan Haji tidak ada lagi orang kafir, alhamdulillah.
Begitulah begitu jauh jarak turun antara dua surah ini walaupun dekat & berturut dari segi susunan surah dalam al-Quran.
KHULASAH ISU BESAR SURAH AT-TAUBAH INI :
i- Pada permulaan surah ini Allah sebut tentang jihad & perlepasan diri dari orang kafir dari ayat pertama sehingga ayat 41
ii- Kemudian selepas itu Allah mendedahkan tembelang orang kafir serta betapa bahayanya mereka dalam negara Islam
Dicelah-celahnya disebut tentang A’rabi iaitu Arab badwi yang tidak mahu keluar berjihad
iii- Pada akhir surah Allah nyatakan dengan jelas perbezaan antara orang kafir & orang mukmin
iv- dalam surah ini Allah SWT juga sebut 20 ayat tentang kejahatan ahli kitab yahudi bagaimana jahatnya mereka untuk mengkhianati Islam
v- Jadi point atau isu besar dalam surah ini ada dua :
a) Marhalah pertama: Ayat 1 sehingga ayat 41, hukum-hakam jihad serta melawan orang kafir & ahli kitab
b) Marhalah kedua: Dari Ayat 42 sehingga akhir adalah untuk membezakan antara orang mukmin dan orang kafir khususnya selepas Peperangan Tabuk.
PENUTUP :
- Semoga Allah bantu kita untuk terus semangat dan istiqomah untuk terus bertadabbur memahami ayat-ayat Allah.
- Mudah-mudahan Allah beri kepada kita taufiq & hidayah, dapat kita belajar, beramal dan menjauhi diri daripada perkara yang dibenci Allah & Rasulullah SAW.
- Ini supaya kita menjadi mukmin sejati yang bersih jiwanya, tidak sebagai munafiq yang ibadat berpura-pura, mengaku Islam tetapi kufur di dalam hatinya!
Alhamdulillah tamatlah dulu muqaddimah & pengenalan untuk Surah At-Taubah, سورة التوبة yang cukup menarik ini.
Semoga ia memberi semangat untuk kita sambung kuliah tafsir dengan ayat pertamanya besok insya’ Allah.
Wallahu A’lam.
