View Categories

(23) Surah Al-Anfal: Ayat 64-66

12 min read

Allah Jaga Orang Beriman, Galakan Berperang & Ringankan Bilangan; 1 vs 2 Orang.

Full video : https://youtu.be/enQ3q28n4Qo?si=MFkyUWGwZkRQwcc4

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Anfal ini dengan ayat 64 sehingga 66 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT Allah nyatakan kepada Nabi SAW bahawa Allah jaga orang beriman.
  1. Bila Allah nyatakan Dia jaga; Allah perintahkan Rasulullah supaya gerakkan pasukan jihad, galakan berperang bagi menegakkan agama Allah & menyebarkannya serta menentang mana-mana musuh yang mahu menceroboh negara Islam.
  1. Pada peringkat awal Islam, diperintahkan 1 orang Islam untuk melawan 10 orang kafir, jika ada 10 kena lawan 100 orang musuh.
    Tetapi tidak lama kemudian, sekejap sahaja, Allah ringankan hukuman & bilangan itu; di mana 1 orang Islam hanya wajib lawan 2 orang kafir saja, Alhamdulillah.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan jaminan pertolongannya kepada Nabi SAW jika musuh mahu mengkhianati, jangan bimbang kamu ada Allah.

    ii- Maka datang ayat ini sekali lagi Allah ulang janji-Nya untuk memberi pertolongan & kemenangan kepada Nabi SAW & orang Islam.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 64- {WAHAI NABI, CUKUPLAH ALLAH MENJADI PENOLONGMU, DAN JUGA PENGIKUT-PENGIKUTMU DARI ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-ANFAL 8: 64)

  1. Allah nyatakan kepada Nabi SAW bahawa cukuplah Allah yang Esa sahaja menjaga kamu & pengikutmu yang beriman!
  1. Yakni Allah berjanji untuk memberi bantuan, pertolongan kepada orang Islam walaupun bilangan mereka sedikit!
    Kerana jika tanpa bantuan dari Allah; walaupun bilangan kamu ramai, kamu tidak akan menang & berjaya.
    Kita kena yakin akan pertolong Allah kepada umat Islam.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    i- Maksudnya: {Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.”} (At-Taubah 9:129)

    ii- Maksudnya: {Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)?} (Az-Zumar 39:36)
  1. Athar dari Ibnu Abbas RA : Kata-kata keramat ini “Hasbunallah wa ni’mal wakil” adalah perkataan Nabi ‘Ibrahim AS ketika beliau ingin dilempar ke dalam api.
    Sedangkan Nabi Muhammad SAW mengucapkan kalimat tersebut dalam ayat ini (apabila mendengar kaum musyrikin mahu menyerang Madinah):
    {إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ}
    Maksudnya: “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka,” maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab:
    “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung
    ”. (HR. Bukhari no. 4563)
    Kita umat Islam juga kena yakin dan sentiasalah baca ayat ini.

AYAT 65- {WAHAI NABI, PERANSANGKANLAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN ITU UNTUK BERPERANG. JIKA ADA DI ANTARA KAMU DUA PULUH YANG SABAR, NESCAYA MEREKA DAPAT MENEWASKAN DUA RATUS ORANG (DARI PIHAK MUSUH YANG KAFIR ITU); DAN JIKA ADA DI ANTARA KAMU SERATUS ORANG, NESCAYA MEREKA DAPAT MENEWASKAN SERIBU ORANG DARI GOLONGAN YANG KAFIR, DISEBABKAN MEREKA (YANG KAFIR ITU) ORANG-ORANG YANG TIDAK MENGERTI.} (AL-ANFAL 8:65)

  1. Allah ajar Nabi SAW untuk memberi semangat & motivasi kepada tentera Islam agar terus bersabar, jangan takut & jangan lari!
    Walaupun bilangan kamu sedikit kamu wajib terus lawan di mana seorang tentera Islam boleh melawan 20 tentera musuh!
    Yakni jika kamu ada 100 orang; akan dapat mengalahan 1000 orang musuh dan begitulah seterusnya!
  1. Allah nyatakan lagi bahawa orang Islam yang sedikit dapat mengalahkan musuh yang ramai kerana mereka orang-orang kafir itu adalah: orang-orang yang tidak mengerti.
    { بِأَنَّهُمْ قَوْمٌۭ لَّا يَفْقَهُونَ}
  1. Yakni disebabkan mereka tidak beriman & tidak mengerti perkara yang boleh membawa kepada mencapai keredhaan Allah SWT; maka mereka lebih lemah dan hina daripada orang Islam.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang sebelumnya Allah berjanji untuk jaga & beri pertolongan kepada orang beriman.

    ii- Datang ayat ini menyatakan syarat untuk menang & menerima pertolongan Allah kena ada tentera mujahidin yang berjuang, para pendakwah yang aktif berdakwah dan bergerak menentang khurafat & kemungkaran, barulah ada pertolongan Allah!
  1. Kerana itu Allah arahkan Nabi SAW untuk gerakkan pejuang & kerahkan tenaga untuk menggalakkan orang mukmin melawan musuh-musuh mereka, maka mereka akan mendapat kemenangan yang besar di dunia & Akhirat.
  1. Ayat ini tafsirkan dengan firman Allah SWT ini:

    Maksudnya: {Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.} (Al-Baqarah 2:216)
  1. Sebuah kisah yang menarik dari Anas bin Malik RA :

    Ketika Nabi SAW bergerak dulu & tiba di Badar lebih awal, maka Baginda memilih tempat yang baik & strategik.
    Mempunyai sumber air & dapat mengawalnya.
    Kemudian Baginda SAW bangkit berkhutbah menggalakkan para sahabat untuk berperang.
    Ketika pasukan Musyrikin sudah mendekat, Rasulullah SAW berseru yang bermaksud, “Berdirilah kalian (untuk menyambut perang) menuju syurga yang luasnya antara langit dan bumi.”
    Salah seorang Sahabat, Umair bin al-Humam, pun ikut berdiri. Ia bertanya-tanya, “Benarkah luasnya syurga itu antara langit dan bumi?”
    Rasulullah menjawab yang bermaksud, “ya.”
    Umair terpesona dengan ganjaran pahala yang dijanjikan dan berkata: Beruntung, beruntunglah!
    بخ بخ.
    Rasulullah SAW bertanya apakah maksudnya. Umair menjawab:
    “Mudah-mudahan saya menjadi penghuninya”.
    Rasulullah pun menjawab yang bermaksud, “Kamu termasuk penghuninya.”
    Tak terperikan lagi kegembiraan di hati Umair. Ia yang baru saja memakan beberapa butir kurma, langsung dibuangnya.
    Menurutnya, terlalu lama untuk menghabiskan beberapa kurma yang masih tersisa itu.
    Sejurus kemudian, ia pecahkan sarung pedangnya. Ia maju menyongsong pasukan Musyrikin dengan gagah berani.
    Kemudian, ia pun mendapatkan syahid
    . [HR Muslim].
  1. Satu lagi kisah yang memberi inspirasi:

    Anas bin Nadhr RA ialah salah seorang daripada sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW yang tidak mengambil bahagian dalam peperangan Badar.
    Dia berasa kesal kerana tidak menyertai peperangan tersebut.
    Oleh hal yang demikian dia senantiasa menanti-nanti peluang untuk menyertai peperangan untuk menebuskan apa yang dianggapnya suatu kerugian bagi dirinya. Kesempatan yang dinanti-nantinya itupun tibalah apabila berlaku perang Uhud pada tahun yang berikutnya.
    Anas pun dengan serta merta menyertai tentera Muslimin dengan semangat kejihadan yang tulin maju kemedan pertempuran.
    Sungguhpun bala tentera yang dihadapi mereka berkali-kali ganda banyaknya namun tentera Muslimin sedang mengatasi pihak musuh.
    Tiba-tiba berlaku suatu kesilapan.
    Nabi Muhammad SAW telah menghantar sepasukan pemanah-pemanah yang terdiri daripada 50 orang untuk menguasai tentera berkuda pihak musuh yang mungkin menyerang tentera Muslimin dari belakang.
    Mereka diperintahkan supaya menetap diatas sebuah bukit Ainainin dibelakang tentera Muslimin, selagi mereka tidak menerima arahan daripada Nabi Muhammad SAW sendiri menyuruh mereka berundur dari situ.
    Tetapi mereka ini telah mengingkari arahan Baginda SAW.
    Apabila mereka lihat askar-askar musuh lari lintang pukang, diburu oleh Mujahid-Mujahid Islam, mereka menyangka yang kemenangan telah pun tercapai lantas meninggalkan tempat mereka sambil berkejar-kejaran untuk mendapatkan harta rampasan.
    Yang tinggal diatas bukit itu hanyalah ketua mereka dan beberapa orang yang masih taat.
    Apabila dilihat oleh pemimpin tentera musyrikin pinpinanan Khalid b Al-Walid yang bukit itu telah terdedah, dia pun mengerah pasukannya menyebu dan membunuh tentera pemanah Muslimin yang masih bertahan diatasnya dan melancarkan serangan balas terhadap tentera muslimin dari belakang ketika mereka sedang asyik mengumpulkan harta rampasan.
    Dalam keadaan kelam kabut inilah Anas terpandang kepada Saad bin Mu’az yang sedang melalui hadapannya.
    Dia memekik mengatakan:”Ya Saad! Ke mana engkau? Demi Allah! Aku mencium bau Syurga yang datangnya dari Jabal Uhud”.
    Dengan berkata demikian dia pun menerkam musuh lalu menentang mereka habis-habisan sehingga dia gugur sebagai Syahid dimedan peperangan.
    Apabila badannya yang berlumuran darah itu diperiksa terdapat tidak kurang dari 80 liang luka semuanya.
    Tidak ada siapa yang dapat mengenalinya melainkan saudara perempuannya sahaja dapat mengecam di jari kakinya.
    Orang yang berjihad dijalan Allah SWT. dengan penuh keikhlasan dan kejujuran akan mengecap nikmat syurga di dunia ini dan di akirat.
    Demikianlah hal keadaannya dengan sahabat Anas bin Nadhr RA.
  1. Begitulah semangat para sahabat apabila telah diberi motivasi oleh Nabi SAW, tiada siapa yang teragak-agak untuk masuk berjihad sehingga syahid menanti mereka!
  1. Para jemaah semua, kita yang lembik & lemah ini kerana kita tiada motivasi keimanan dan merasakan apa yang kita buat ini telah baik & elok semuanya!
    Inilah masalahnya maka berhati-hatilah!
  1. Dalam ayat ini Allah SWT nyatakan kepada kaum muslimin; jika kamu ada 20 orang, kamu kena lawan kafir seramai 200 orang dan jika kamu ada 100 orang kamu kena lawan musuh seramai 1000 orang!
    Kemudian hukum ini dihapuskan (mansukh) dan diganti dengan hukum lain yang lebih ringan.
  1. Begitulah dalam hukum Islam ini keadaan nasikh (ناسخ) dan mansukh (منسوخ)- iaitu ayat yang awal dibatalkan dengan ayat yang baru datang.
    Maka di sinilah para ulama’ berbahas.
  1. Kata Ibnu Abbas RA: Apabila turun ayat ini umat Islam amat susah hati & runsing.
    Yalah, nak nerlawan satu sama satu pun sudah berat apatah lagi sorang lawan sepuluh.
    Lalu Allah tukar kepada hukum yang lebih ringan.
  1. Kata ulama’ : Jarak antara dua ayat ini (iaitu ayat 65 & 66) tiada tempoh yang tetap. Tetapi beberapa orang ahli tafsir seperti at-Tobari, al-Qurtubi & Ibnu Kathir membuat analisa bahawa: Ayat ini turun selepas peperangan Badar, ketika peperangan Badar atau kurang sedikit.
    Ini kerana tentera kafir 1000 manakala tentera Islam hanya 300, dan ayat ini kata 1 vs 10.
  1. Tidak lama selepas itu kata ahli tafsir mengikut pendapat yang lebih rajih (terpilih) tidak sampai setahun turun ayat seterusnya iaitu Allah ringankan hukumnya kepada kamu!
  1. Dalam ayat ini Allah mengatakan bahawa seorang orang Islam yang sabar boleh melawan 10 orang kafir kerana disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti, tidak beriman kepada Allah tidak percaya kepada hari Akhirat, tidak mengharapkan balasan seperti syurga yang seluas langit & bumi!
    Hidup mereka semata-mata untuk dunia.
  1. Maka orang mukmin lebih kuat kerana mereka tahu ada balasan pahala yang menanti mereka sebagaimana yang dijanjikan Allah!
    Namun begitu sebagai manusia biasa; mereka tetap berasa gerun dan runsing apabila mendengar hukuman ini.
    Lalu Allah yang Maha Mengasihani & Maha Mengetahui menurunkan ayat berikut ini!

AYAT 66- {SEKARANG ALLAH TELAH MERINGANKAN DARIPADA KAMU (APA YANG TELAH DIWAJIBKAN DAHULU) KERANA IA MENGETAHUI BAHAWA PADA KAMU ADA KELEMAHAN; OLEH ITU JIKA ADA DI ANTARA KAMU SERATUS ORANG YANG SABAR, NESCAYA MEREKA AKAN DAPAT MENEWASKAN DUA RATUS ORANG; DAN JIKA ADA DI ANTARA KAMU SERIBU ORANG, NESCAYA MEREKA DAPAT MENEWASKAN DUA RIBU ORANG DENGAN IZIN ALLAH. DAN (INGATLAH) ALLAH BESERTA ORANG-ORANG YANG SABAR.} [AL-ANFAL 8:66]

  1. Allah kata sekarang, yakni tidak lama selepas itu; ulama’ kata tidak kurang setahun, Allah menurunkan ayat ini membawa hukum yang lebih ringan kerana Allah tahu akan kelemahan hamba-hamba-Nya.
  1. Hukum ini amat menggembirakan orang mukmin kerana ia datang yang berat dulu kemudian ditukar dengan yang ringan & mudah!
  1. Di mana Allah menyatakan jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah.
  1. Allah janjikan bahawa Allah akan bersama & memberi bantuan kepada orang-orang yang sabar!
    Inilah kriteria & syarat utama untuk mendapatkan pertolongan Allah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 64- {Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.}-

    Allah SWT berjanji & memberi jaminan-Nya kepada Nabi SAW bahawa cukuplah Allah sebagai Penolong mereka.
    Ulama’ tadabbur kata : Ini janji dari Allah kepada hamba-hamba-Nya yang mengikut Rasulullah SAW iaitu Allah jaga, Allah kawal & beri pertolongan.
    Tetapi untuk mendapat pertolongan ini ada syaratnya:

    i- Wajib beriman kepada Allah

    ii- Ikut Nabi SAW

    iii- Ada perancangan & strategi

    iii- Ada kelengkapan tentera & senjata.
    Setiap perkara mesti ada sebab, Allah tidak akan beri kun-fayakun begitu walaupun Dia berkuasa untuk melakukannya.
    Allah mahu kita buat kerja & berusaha, Allah mahu lihat hasil kerja itu, jika kamu ikhlas Allah akan bantu!
    Jadi jangan kita menyalahkan sesiapa, lihat apakah kriteria kita untuk mendapatkan bantuan Allah itu cukup atau tidak?
    Jika cukup alhamdulillah.
    Jika kita lihat Allah SWT ulang dua kali perkataan, {cukuplah Allah menjadi Penolongmu,- حَسْبَكَ ٱللَّهُ ۚ) dalam ayat 62 sebelum ini & ayat 64 ini:

    i- Ayat 62, Allah kata jika mereka nak tipu atau khianat kamu, Allah akan jaga kamu. {فَإِنَّ حَسْبَكَ ٱللَّهُ}

    ii- Manakala dalam ayat 64 ini ialah ayat jaminan dalam peperangan, jika kamu cukup syarat, Allah akan tolong kamu! {حَسْبُكَ ٱللَّهُ}
    Maka kata ulama’ : Dua ayat ini bukan berulang, yang itu Allah jamin akan jaga dari pengkhianatan, yang satu lagi Allah berjanji untuk beri bantuan dalam peperangan.
    Ia adalah dalam konteks berbeza!
  1. Ayat 65- {… Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu);…}-

    Dalam ayat ini Allah pilih orang yang sabar, orang yang berhati kental & orang yang bersemangat waja.

    Ulama’ tadabbur kata : Ini kriteria untuk pilih tentera!
    Jangan pilih yang penakut & pengecut lagi lemah semangat!
    Jika kita baca dalam sejarah Islam, para tentera Islam dari sudut bilangan, tentera Islam sedikit daripada musuh kafir tetapi mereka ada pertolongan Allah.
    Ini kerana mereka ada kekuatan iman, semangat & keberanian kerana mereka ada pertolongan dari Allah!
  1. Ayat 65- {… Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir..}-

    Dalam ayat ini Allah SWT sebut dua bilangan:

    i- 20 orang lawan 200 orang
    {عِشْرُونَ صَـٰبِرُونَ يَغْلِبُوا۟ مِا۟ئَتَيْنِ};

    ii- 100 orang lawan 1000 orang {مِّا۟ئَةٌۭ يَغْلِبُوٓا۟ أَلْفًۭا}.
    Ayat ini sebagai isyarat menunjukkan bilangan tentera Islam memang lebih sedikit daripada bilangan tentera kafir!
    Tetapi mereka ada iman, ada amal, mereka ada Allah yang menjaga & mencukupi bagi mereka!
    Tetapi kita kena ingat ramai tidak semestinya menang & sedikit tidak semestinya kalah!
    Contoh yang jelas lihat saja bilangan tentera Islam dalam peperangan Badar, Uhud, Ahzab, tentera Islam amat kurang dari sudut bilangan tetapi mereka tidak kalah & tewas kerana mereka ada pertolongan Allah!
    Dalam peperangan Hunain pula tentera Islam ramai, 12 ribu orang, tapi pecah.
    Satu cuitan juga, kenapa Allah pilih perkataan, 20 orang yang sabar (عِشْرُونَ صَـٰبِرُونَ) bukan 10 (عشرة) ?
    Kata ulama’ lughah (bahasa) :
    Ini kerana dari sudut susunan ayat lebih indah dan kena iramanya, inilah mukjizat al-Quran yang begitu indah & tersusun ayat-ayatnya.
    Yakni untuk menjaga kefasihan bahasanya!
  1. Ayat 65- {… disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.}-

    Allah kata puak kafir itu adalah puak yang tidak reti, tidak faham & tidak berfikir {قَوْمٌۭ لَّا يَفْقَهُونَ}.
    Mereka hanya berfikir dengan benda yang hanya nampak di mata.
    Jika tak nampak di mata mereka menganggapnya tiada.
    Seperti Tuhan yang tidak dapat dilihat mereka anggapnya tiada & hanya mahu sembah Tuhan yang mereka boleh nampak seperti batu-batu berhala dan seumpamanya!
    Mereka juga tiada kepercayaan dari segi spiritual (روحية), mereka tidak kenal Tuhan yang menyebabkan mereka kufur, tidak ada bagi mereka dosa pahala, bukan nak kejar syahid & syurga; mereka berperang semata-mata nak mencapai kemenangan & nak tunjuk berani, maka rugilah mereka!!!
    Jadi di sini Allah nyatakan sebab kemenangan orang Islam ialah kerana orang kafir jahil, mereka tidak kenal Allah, tak tahu pertolongan dan apa saja yang mennyebabkan mereka hidup untuk dunia saja!
    Maka pentingnya kita orang yang beriman jangan jadi begitu seperti mereka, kita hendaklah menjadi orang yang bertadabbur & berfikir barulah kita menjadi orang yang kuat!
  1. Ayat 66- {Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan;…}-

    Maka sekarang Allah akan ringankan hukum kepada kamu kerana Allah tahu bahawa manusia itu lemah!
    Akhirnya Allah tetapkan bagi orang Islam satu lawan dua, 10 lawan 20, 100 lawan 200 orang musuh.
    Jika belajar usul-fiqh hukum ini dipanggil an-nasikh wal-mansukh (الناسخ والمنسوخ).
    Ini adalah ayat yang telah berlaku pertukaran hukum dari berat kepada ringan, alhamdulillah!
    Mansukh hukumnya, Allah tukar daripada hukum awal di mana seorang tentera Islam wajib melawan 20 orang musuh kepada hukum yang lebih ringan iaitu seorang hanya perlu lawan 2 orang musuh sahaja!
    Marilah kita sentiasa duduk di atas landasan yang kuat, duduk dalam keadaan sabar sesama umat Islam.
    Untuk menegakkan kebenaran jangan berkelahi sesama kita, jika tidak musuh akan mendapat kekuatan & peluang untuk mengalahkan kita.
    Kita ucapkan selalu: (حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ)-
    “Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik Pelindung.”

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top