Jangan Khianati Allah SWT, Rasul SAW Dan Amanah, Harta Dan Keluarga Adalah Fitnah Ujian & Galakan Bertaqwa.
Full video : https://youtu.be/Ro25O-cmjxU?si=LtPFp-s5m6r3y-_G
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 27 sehingga 29, dalam juzuk kesembilan.
- Dalam siri ini Allah SWT bawa larangan agar jangan mengkhianati Allah SWT, mengkhianati Rasulullah SAW dan mengkhianati semua amanah yang di pertanggungjawabkan dalam keadaan kamu sedar & tahu bahawa ia salah. Yakni memang dengan niat untuk khianat!
- Kemudian Allah nyatakan bahawa harta-benda, anak cucu dan kaum keluarga adalah fitnah ujian Allah terhadap kita!
Maka tangani & jaga dengan baik, didik dengan sempurna, gunakan harta yang dianugerah pada tempat yang halal & sebaiknya!
- Allah juga bawa galakan bertaqwa dengan menjanjikan tiga balasan & kelebihan yang besar baginya!
Iaitu dia dapat membezakan antara yang hak & batil, Allah hapuskan kesalahannya & berikan keampunan!
Inilah kelebihan taqwa sebagaimana yang telah dijanjikan Allah SWT!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang nikmat yang dianugerahkan kepada umat Islam.
Negeri tempat berlindung, pertolongan dalam peperangan Badar, rezeki harta rampasan perang serta pelbagai nikmat anugerah yang banyak.
Maka Allah minta kita bersyukur dengan nikmat itu.
ii- Maka datang ayat menyatakan antara tanda bersyukur itu ialah kamu tidak mengkhianati amanah, tidak mengambil harta rampasan perang sebelum dibahagikan, tidak mengambil harta kerajaan secara haram.
Dengan mengkhianati amanah akan menghilangkan syukur dan orang itu adalah yang kufur nikmat!
- Munasabah kedua:
i- Dalam ayat yang lepas juga Allah perintahkan untuk segera menyahut seruan Allah & Rasulullah SAW.
ii- Maka apabila kamu terima seruan itu, kena jujur, akur & taat dengan ikhlas bukan sekadar berpura, zahirnya baik tetapi di dalamnya tidak. Itu adalah satu penipuan & khianat.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 27- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGANLAH KAMU MENGKHIANATI (AMANAH) ALLAH DAN RASULNYA, DAN (JANGANLAH) KAMU MENGKHIANATI AMANAH-AMANAH KAMU, SEDANG KAMU MENGETAHUI (SALAHNYA).} (AL-ANFAL 8:27)
- Sekali lagi Allah menyeru orang yang beriman; kali ini agar jangan khianat, iaitu mengurangkan hak, tak buat tanggungjawab!
- Nota: Mengkhianati amanah Allah & Rasulullah SAW ialah dengan meninggalkan suruhan-Nya & melanggar larangan-Nya.
Allah suruh solat, puasa, tutup aurat dan lain-lain tetapi kita tidak buat; itu dikira tidak menjalankan tugas & amanah perintah yang disuruh.
Manakala mengkhianati orang lain ialah samada dalam harta atau rahsia orang.
Orang beri suruh simpan harta dia makan, orang mesyuarat dalam rahsia dia sebarkan habis maklumat!
Akhirnya timbullah fitnah di kalangan manusia!
- Kata Ibnu Asyur : Khianat ialah membatalkan balik perisytiharan yang telah dibuat, batalkan secara senyap-senyap atau buat perjanjian yang sama dengan orang lain pula!
Inilah pengkhianat!
- Khianat itu ada tiga jenis:
i- Kepada Allah, Tak tunai tanggung-jawab seperti tak solat, tak puasa tak tutup aurat.
ii- Kepada Nabi SAW, meninggalkan Sunnah Nabi SAW tak buat yang Nabi ajar & suruh tingglkan.
Dok sebar hadis palsu, beramal dengan yang orang lain ajar, buat yang Nabi tak kata!
iii- Khianat sesama manusia mengurang atau menghilangkan terus hak orang lain secara batil tanpa hak!
- Sebab nuzul atau cerita di sebalik ayat ini, dikatakan turun kepada Abu Lubabah bin Abdul Munzir selepas peperangan Ahzab.
Dia dikatakan telah memberi isyarat kepada yahudi bani Quraizah yang akan dihukum kerana khianat dalam perang itu.
Ibnu Asyur kata : Dari sudut sanad yang sahih, ulama’ hadis berpendapat kisah ini tidak ada sanad yang sahih, kecuali masyhur di kalangan ulama’ Sirah.
- Kata Ibnu Kathir pula : Ayat ini tetap sahih, walaupun ia turun kepada Abu Lubabah pada zaman itu atau lainnya, tetapi ayat ini umum, seruan & larangan Allah untuk semua manusia seluruhnya pada sepanjangn zaman!
Tidak kira dia NGO ke, pegawai keraajan ke, jangan dok bermudah-mudah dengan harta orang!
- Hadis, Ali RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW memanggilnya bersama az-Zubair ibnu al-Awwam dan al-Miqdad RA dengan berkata:
“Pergilah kamu sehingga sampai di Raudhah Khakh.
Di sana ada seorang wanita yang membawa sepucuk surat kepada Quraisy.”
(surat membocorkan rancangan Nabi SAW untuk menawan Makkah.)
Maka mereka bertiga pun pergi dengan memacu kuda dengan pantas sehingga bertemu dengan wanita tersebut di tempat itu.
Mereka terus menghampiri wanita itu dan bertanya:
“Apakah engkau membawa surat perutusan?”
Wanita itu menjawab, “Aku tidak membawa perutusan.”
Kemudian mereka berdua memeriksa haiwan tunggangan wanita tersebut dan tidak menemui apa-apa.
Lalu Ali berkata kepada wanita itu, “Aku bersumpah atas nama Allah SWT, Rasulullah SAW tidak pernah berdusta.
Demi Allah SWT, engkau keluarkan surat itu atau kami akan menelanjangkan engkau.”!
Melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh Ali, wanita itu menjawab: “Aku akan keluarkan. Aku akan keluarkan.”
Wanita itu lalu menguraikan gulungan rambutnya dan mengeluarkan surat tersebut. Dia menyerahkan surat itu kepada Ali RA dan al-Miqdad RA.
Umar bin al-Khattab RA lalu berkata: “Biarkan aku wahai Rasulullah. Aku akan pancung lehernya. Sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya. Dia seorang munafik.”
Rasulullah SAW menjawab:
إِنَّهُ شَهِدَ بَدْرًا وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ اطَّلَعَ عَلَى أَهْلِ بَدْرٍ فَقَالَ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ.
Maksudnya: “Sesungguhnya dia adalah termasuk orang yang ikut serta dalam perang Badar.
Apakah engkau mengetahui, bahawa Allah SWT telah melihat (ke dalam hati) orang-orang yang ikut serta dalam Perang Badar, lalu Dia berfirman: “Lakukanlah apa yang kamu kehendaki, sungguh Aku telah mengampuni kalian.” [HR al-Bukhari (4890)].
Mendengar itu Umar RA terus menitiskan air mata. Lantas dia berkata: “Allah SWT dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
Kisah tersebut ialah Hatib bin Abi Balta’ah RA yang mengutus surat kepada ahli Makkah.
Kerana itu janganlah kamu mengkhianati amanah yang di pertanggungjawabkan!
Betapa manusia berebut berbalah kerana pangkat & jawatan, bukan untuk tunaikan tugas & amanah tetapi kerana nak harta dan kedudukan, yakni ada pulangan dunia yang dikejar!
Tak kira di mana saja di pejabat itu biasa, hatta di masjid pun berebut jawatan.
Bila dilantik tak jalankan tugas & tanggungjawab yang sepatutnya!
- Pengkhianat ini bukan sifat orang mukmin.
Hadis tanda-tanda munafiq: diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ”.
Maksudnya: “Ciri-ciri orang munafik itu tiga. Apabila dia bercakap dia berdusta, apabila dia berjanji dia memungkiri janji dan apabila dia diberikan amanah dia mengkhinatinya.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Ini tanda munafiq amali (perbuatan) bukan secara iktikad.
- Di akhir ayat Allah mengatakan, sedangkan kamu semua tahu, bahawa tunai amanah & janji itu adalah wajib.
Tahu bahawa perbuatan mengkhianati amanah itu adalah satu perbuatan yang salah!
Jika jahil tak tahu atau tersilap itu cerita lain!
AYAT 28- {DAN KETAHUILAH BAHAWA HARTA BENDA KAMU DAN ANAK-ANAK KAMU ITU HANYALAH MENJADI UJIAN, DAN SESUNGGUHNYA DI SISI ALLAH JUALAH PAHALA YANG BESAR.} (AL-ANFAL 8:28)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas adalah tentang amanah, tanggungjawab & tugas jawatan yang diberi.
ii- Maka datang ayat ini adalah peringatan. Mungkin kerana tuntutan hidup atau desakan anak-isteri, seorang bapa terpaksa bersikap munafiq, khianati amanah, ambil rasuah, pecah amanah dan seumpamanya.
Atas dasar kerana nak meluaskan nafsu semata-mata sanggup khianati amanah.
- Antara amanah ibu bapa ialah anak-anak, amanah bagi suami ialah isteri dan anak-anak! Semua itu adalah amanah yang dipertanggungjawabkan Allah.
Kita bukan buat anak semata-mata, tetapi kena jaga didik tunaikan nafkah dan sebagainya.
Maka harta dan anak-anak yang Allah berikan kepada kamu adalah ujian fitnah; kerana Allah nak lihat kamu jalankan tugas atau tidak.
- Nota: Maka janganlah kerana kamu kasih akan harta dan kasih akan anak pinak, lalu kamu terdorong melanggar perintah Allah.
Ini kerana Allah akan menyediakan pahala yang besar bagi orang yang mengutamakan perintahnya & menjalankan tugas lebih daripada harta-benda & anak-pinaknya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.
Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.} (At-Taghabun 64: 14-16)
- Harta dan anak-anak adalah amanah yang kita kena jaga & guna mengikut perintah & jalan Allah.
Walaupun kita didik anak-anak kita nampak seolah tak berapa sempurna atau terlalu keras; tetapi jika bertepatan dengan SOP & Syari’ah Allah tidak mengapa!
Biarlah anak kita menangis sekarang jangan kita yang menangis di kemudian hari!
AYAT 29- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JIKA KAMU BERTAQWA KEPADA ALLAH, NESCAYA IA MENGADAKAN BAGI KAMU (PETUNJUK) YANG MEMBEZAKAN ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH, DAN MENGHAPUSKAN KESALAHAN-KESALAHAN KAMU, SERTA MENGAMPUNKAN (DOSA-DOSA) KAMU. DAN ALLAH (SEMEMANGNYA) MEMPUNYAI LIMPAH KURNIA YANG BESAR.} (AL-ANFAL 8:29)
- Dalam ayat ini Allah SWT menjanjikan tiga perkara bagi orang yang bertaqwa:
i- memberi petunjuk & ilmu yang menjadikannya dapat membezakan antara yang benar dan salah,
ii- Dan menghapuskan kesalahan-kesalahannya,
iii- Serta mengampunkan (dosa-dosa) mereka.
- Munasabah ayat:
i- Setelah Allah SWT memperingatkan tentang fitnah harta dan fitnah anak, dan jika kamu nak selamat kamu bertaqwa kepada Allah, jaga keluarga, jaga harta, ambil dari tempat yang halal & labur atau gunakannya di tempat yang halal juga- maka dia akan selamat!
ii- Siapa yang jaga, Allah akan berikannya tiga perkara.
Pertama Allah berinya petunjuk untuk dapat membezakan antara yang hak & yang batil!
i- Ini adalah perkara yang susah kerana orang sekarang berselindung di sebalik pakaian yang cantik, pakaian kewalian atau keulamaan yang menunjukkan kehebatan & kewarakan sehingga orang terpedaya!
Terpengaruh dengan pakaian & penampilan sehingga terlupa akan ajaran!
ii- Ilmu yang apat membezakan antara yang hak & batil adalah senjata yang paling besar untuk kita selamat dunia Akhirat, jika tidak kita tak tahu
Ada orang yang suka belajar, dia belajar dengan semua orang, di angguk semuanya sehingga tak tahu yang mana salah yang mana betul.
iii- Apabila kita betul-betul ikhlas dalam pengajian, Allah akan buka hati & minda kita untuk dapat membezakannya.
Jika tidak kita akan menjadi pemungut kayu api pada waktu malam yang mungkin akan terkutip najis atau ular yang berbisa!
Begitulah, semua yang orang cerita dan sampaikan terima & telan semua, tak tahu benar atau salah- maka jadilah seperti pemungut kayu api di tengah malam itu!
- Besar sangat kelebihan dan faedah furqan (pembeza) ini kerana itu kita kena sentiasa minta kepada Allah:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً، وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِساً عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: Ya Allah, perlihatkanlah kepada kami yang benar itu benar, dan kurniakanlah kami untuk dapat mengikutinya.
Dan perlihatkanlah kepada kami yang salah itu salah, dan kurniakanlah kami untuk dapat menghindarinya.
Janganlah ENGKAU menjadikannya samar di hadapan kami sehingga kami tersesat.
Dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.
- Nikmat yang yang kedua Allah akan hapuskan kesalahannya yang telah lepas dan yang ketiga, Allah akan ampunkan dosa-dosanya.
Sesungguhnya Allah itu mempunyai limpah kurnia yang besar; Dia beri pahala yang banyak, Dia beri kelebihan yang besar, Dia beri rezeki yang banyak, Dia beri keluarga yang baik, Dia beri anak-anak yang soleh & baik,
Semua itu adalah rezeki daripada Allah SWT.
Kerana itu dikatakan: Bebuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapa kamu; jika kamu mahu anak kamu berbuat baik kepadamu.
«بِرُّوا آباءكم تَبَرُّكُمْ أبناؤكم»
Berkhidmatlah kepada ibu bapa kamu jika mahu anak kamu berkhidmat kepadamu.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 27- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya,…}-
Ayat ini ditujukan kepada orang yang beriman
Wahai orang beriman, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah & Rasul-Nya, kamu tidak akan jadi pengkhianat kepada Allah. Pengkhianat kepada Rasul & pengkhianat kepada amanah yang diberi tanggungjawab.
Ayat ini besar kerana melakukan khianat amanah ini amat berat!!
Allah ajar kepada kita bahawa maksiat tersembunyi ialah mengkhianati amanah Allah. Yang zahir itu ialah seperti mencuri, ambil harta rampasan, harta kerajaan atau harta orang secara senyap-senyap.
Tapi ada lagi maksiat yang tersembunyi iaitu apabila kita buat ibadat bukan ikhlas kerana Allah!
Yakni kita buat ibadat bukan kerana Allah suruh tapi nak tunjukkan kepada manusia- ini adalah khianat kepada Allah.
Khianat juga kerana kita tak sebar & amal ajaran yang diajar oleh Nabi SAW. Yang Nabi ajar kita tak tengok, tak ikut semata-mata kerana nak jaga budaya atau amalan yang sudah biasa dalam masyarakat.
Pihak yang berkuasa dalam masyarakat jangan tekan orang jika dia nak amalkan Sunnah Nabi SAW atau tak buat yang sesuatu yang menyalahi Sunnah Nabi SAW.
Jika tak buat apa yang dia suruh akan dipecat, buang jawatan, sedangkan yang dia suruh itu tak ikut Sunnah.
Allah nyatakan wajib jaga amanah dengan kuat, kerana orang yang jaga amanah ialah orang yang mulia di sisi Allah.
- Ayat 27- {… dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).}…
Di akhir ayat Allah kata Dia tahu apa yang kamu sembunyikan.
Ini menunjukkan perbezaan antara orang yang tahu (sengaja) & orang yang tak tahu atau tersalah.
Ulama’ kata : Diberi keuzuran dalam perkara yang dia tak tahu, KECUALI benda yang asas dalam agama seperti wajib solat, puasa, tutup aurat atau benda yang diketahui logik akal seperti mencuri itu jahat atau yang boleh diketahui dengan hati bahawa perkara itu tidak baik.
Contoh,
i- Masih banyak lagi sekarang iklan badal haji yang mengambil duit daripada orang ramai, sedangkan undang-undang Arab Saudi amat ketat sekarang ini, amat susah untuk dapatkan tasrih (permit) serta amaran keras untuk yang tiada tasrih buat haji!
Maka banyaklah yang terjadi, badal haji kepada bedal haji!
ii- Isu kedua, wakil sembelih korban.
Ramai juga orang yang ambil wakil sembelihan korban, banyak juga berlaku penyelewengan. Maka hati-hatilah tuan puan semua, siasat dulu dan pastikan semuanya jelas.
Banyak amanah yang di khianati, yang tak diselesaikan, tunggulah pengadilannya di hadapan Allah nanti!
- Ayat 28- {Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian…}-
Ayat ini memberi peringatan besar kepada para ibu bapa dan suami bahawa anak dan isteri mereka adalah amanah.
Mereka juga akan menjadi ujian fitnah!
Yakni mereka adalah amanah & tanggungjawab yang besar ke atas para wali.
Begitu juga harta & ilmu.
Antara ciri tiada sifat amanah ilmu, beratus ribu sudah habis belajar disponsor tetapi bila habis belajar tak bertugas seperti yang diharapkan, tidak berdakwah menyebarkan ilmu.
Lebih-lebih lagi apabila terlibat dengan perniagaan tidak ada masa lagi untuk menyampaikan ilmu yang subur kepada masyarakat.
Sedangkan merekalah yang diharapkan dapat mengajar al-Quran & menghidupkan Sunnah Nabi SAW.
Fitnah itu bukan musibah kesusahan sahaja, ia juga boleh datang dalam bentuk nikmat kesenangan.
- Ayat 28- {… dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.}-
Allah jamin akan beri pahala yang besar bagi yang tunaikan amanah ini!
Kamu susah jaga anak isteri, susah nak jaga & nak cari harta yang halal, jika kamu usahakan juga sehingga berjaya menunaikan amanah itu, Allah akan beri pahala yang besar!
Bukan senang nak bimbing isteri, nak didik jaga anak nak suruh solat, tutup aurat, nak ajar adab & pergaulan.
Tetapi jangan bimbang segala kesusahan yang kamu lalui Allah janjikan pahala yang besar!
- Ayat 29- {Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu…..}-
Allah memberi jaminan lagi kepada orang yang bertaqwa pula.
Tanda kebahagiaan seorang hamba itu ialah bertaqwa.
Kerana apabila kita bertaqwa; Allah akan beri kepada kita 3 perkara:
i- Ilmu untuk membezakan mana yang hak mana yang batil {يَجْعَل لَّكُمْ فُرْقَانًۭا}!
Kita kena ada kayu ukur (فُرْقَانًۭ) ini untuk mengetahui mana yang betul mana yang salah!
Betapa ramai imam kita sedap berdoa lepas solat, minta Allah beri petunjuk untuk ikut Nabi SAW, tetapi dia berzikir selepas solat tadi tak ikut kaifiat apa yang Nabi SAW buat & ajar!
Ini kita kata bercanggah antara mulut & perbuatan!
Ini kerana tidak ada kayu ukur, untuk menilai mana yang betul mana yang salah.
Jika Allah beri furqan ini amat besar kelebihannya, kita dapat menilai mana yang baik mana yang buruk, mana yang Sunnah mana yang tidak Sunnah untuk diamalkan!
ii- Dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu { وَيُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ}, yakni Allah ampunkan dan hapuskan, hilangkan terus dosa itu!
Apabila kita beristighfar & bertaubat, Allah SWT akan hilangkan kesan dosa itu
Ini kaffarah, Allah hilangkan terus kesan dosa.
iii- Serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu
{وَيَغْفِرْ لَكُمْ}.
Allah ampunkan dosa kamu.
Ghafur ini ampunkan dulu, tidak hilangkan lagi dosa itu & kesannya.
Jadi untuk selamat kena ada dua-dua ini, ampunkan & hapuskan!
Maka kita kena sentiasa istighfar dan bertaubat kepada Allah.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
