View Categories

(29) Surah At-Taubah : Ayat 67-68

11 min read

Munafiq Lelaki Dan Wanita Sama, Mengajak Berbuat Kemungkaran & Bagi Mereka Azab Yang Abadi.

Full video : https://youtu.be/J9Dzw8f8prQ?si=lREmm8v2T2RQCj5Z

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 67 sehingga 68 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa munafiq lelaki dan munafiq wanita sama, yakni dalam bab munafiq ini ada dua-dua jenis jantina.
  1. Kerja mereka adalah mengajak berbuat kemungkaran dan larang orang daripada berbuat baik, sangat bakhil kedekut dalam bab infaq & zakat.
  1. Allah kata mereka munafiqin adalah puak yang fasiq lagi jahat, maka Allah sediakan bagi mereka azab neraka yang kekal abadi.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang perangai jahat & buruk golongan munafiqin.

    ii- Ayat ini membawa satu lagi pendedahan tembelang munafiqin & tembelang buruk mereka!
    Lelaki & perempuannya sama naik & sama jahat terhadap Islam & orang mukmin.

    B, Munasabah kedua:
    i- Allah nyatakan dalam ayat lepas bahawa ada kalangan munafiq yang Allah ampunkan dosa mereka!
    Maka ada munafiq yang berasa gembira dan selamat kerana telah diampunkan Allah!

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan tidak begitu!
    Munafiq yang kekal dalam kejahatan mereka, yang tidak bertaubat, yang ada 4 perangai ini dan tersenarai sebagai orang fasiq ini tidak termasuk dalam senarai mereka yang dimaafkan Allah SWT1

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 67- {ORANG-ORANG MUNAFIK LELAKI DAN PEREMPUAN, SETENGAHNYA ADALAH SAMA DENGAN SETENGAHNYA YANG LAIN; MEREKA MASING-MASING MENYURUH DENGAN PERBUATAN YANG JAHAT, DAN MELARANG DARI PERBUATAN YANG BAIK, DAN MEREKA PULA MENGGENGGAM TANGANNYA (BAKHIL KEDEKUT). MEREKA TELAH MELUPAKAN (TIDAK MENGHIRAUKAN PERINTAH) ALLAH DAN ALLAH JUGA MELUPAKAN (TIDAK MENGHIRAUKAN) MEREKA. SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG MUNAFIK ITU, MEREKALAH ORANG-ORANG YANG FASIK.} (AT-TAUBAH 9:67)

  1. Siapakah munafiq ini?
    Ingat jika disebut golongan munafiq atau sifat nifaq dalam al-Quran, dimaksudkan munafiq secara iktiqad

    i- Munafiq ialah golongan yang menyatakan, yang menzahirkan kepada orang Islam bahawa mereka beriman dengan lidah mereka! Sedangkan mereka menyembunyikan kekufuran dalam hati mereka.
    Kerana itu mereka takut sangat kalau al-Quran turun mendedahkan tembelang mereka!
  1. Manakala dalam hadis ada Nabi SAW sebut sifat munafiq secara amali, mereka bukan kafir cuma bersifat buruk seperti munafiq, bercakap bohong dan menipu, khianat tidak tumai janji dan seumpamanya.
  1. Allah juga nyatakan munafiq ini satu sahaja dalam sifat, perangai dan watak mereka!
    Menipu mengaku beriman, perli dan hina orang beriman, wanita atau lelaki sama sahaja sifat mereka!
  1. Allah nyatakan bahawa golongan munafiq sama ada yang lelaki atau wanita sama & serasi saja perangai mereka semuanya.
    Perangai mereka ialah sebaliknya dari orang mukmin iaitu:
    i- Menyuruh dengan perbuatan yang jahat, suka jika orang hina Islam, buat benda mungkar & zalim kepada Allah inilah spesis munafiq!

    ii-Dan melarang dari perbuatan yang baik, tidak suka jika orang beriman kepada Allah, inilah kemuncak yang mereka benci.
    Juga jika orang buat kebaikan dan amal soleh seperti solat & solat jemaah, wanita tutup aurat dan seumpamanya!

    iii- Watak munafiq yang ketiga ialah pula amat bakhil kedekut, genggam rapat tangan mereka dalam bab mengeluarkan infaq & zakat!
    Amat marah dan tidak suka apabila disuruh infaq fi-sabilillah, apatah lagi jika diminta nafkah untuk perbelanjaan jihad!

    Mereka tak suka & tak mahu Islam berkembang dan menang.
    Suasana hari ini; golongan munafiq suka benar jika pusat-pusat pendidikan Islam dipermain-mainkan dengan dipaksa pelbagai akta, peraturan & undang-undang yang menyusah dan membebankan.
    Ini kerana mereka cuba nak sekat orang ramai daripada pergi dan sokongnya!

    Ingat Nabi SAW telah bersabda; Mana-mana penguasa, sesiapa yang menyusahkan urusan orang mukmin di dunia ini Allah akan susahkan urusan mereka di Akhirat kelak!

    Hadis: “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat.
    Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat
    .” [HR Muslim].

    iv- Mereka telah melupakan Allah iaitu tidak menghiraukan perintah Allah, munafiq lupa untuk ibadat kepada Allah; lidahnya tak sebut nama Allah, tidak berzikir dan mengingati Allah apatah lagi berbuat amal ibadat yang soleh kepada Allah!
  1. Lalu Allah dan Allah juga melupakan mereka iaitu tidak menghiraukan mereka dengan tidak diberi rahmat & hidayah, Allah biarkan mereka terumbang-ambing, tidak masuk di bawah rahmat & kasih sayang Allah!
    Maka Allah benci & lupa tiada nilai lagi!
  1. Firman Allah SWT :
    {Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik, derhaka.} (Al-Hasy-r 59:19)
  1. Akhirnya Allah jatuhkan hukuman, menyatakan sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik iaitu jahat!!!

AYAT 68- {ALLAH MENJANJIKAN ORANG-ORANG MUNAFIK LELAKI DAN PEREMPUAN SERTA ORANG-ORANG KAFIR DENGAN NERAKA JAHANNAM, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA. CUKUPLAH NERAKA ITU MENJADI BALASAN MEREKA; DAN ALLAH MELAKNATKAN MEREKA, DAN BAGI MEREKA AZAB SEKSA YANG KEKAL.} (AT-TAUBAH 9:68)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan sifat munafiqin lelaki & wanita yang lupa kepada Allah iaitu tidak mahu beriman, tidak mahu taat kepada Allah.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan balasannya untuk mereka itu adalah neraka Jahannam yang kekal mereka di dalamnya!
  1. Dalam ayat ini Allah sebut satu lagi spesis, Allah sebut dua-dua & sekali munafiq & kafir kerana mereka memang kafir keduanya!
    Tetapi dalam susunan ayat ini Allah sebut kafir munafiq dulu baru kafir tulen.
  1. Ini kerana kafir tulen jelas & mudah kita nak buat kira; manakala munafiq ini kafir yang tersembunyi, spesis pokko & sesumpah, jumpa Nabi & sahabat bersumpah sebagai Islam, jumpa puak dia bersumpah bahawa mereka hanya berlakon berpura beriman sahaja!
  1. Maka dalam ayat ini nyatakan bahawa Tuhan janjikan untuk puak kafir dan munafiq lelaki & perempuan neraka Jahannam, cukuplah neraka Jahannam itu sebagai balasan untuk mereka, balasan untuk kekufuran & kemunafiqan mereka!
  1. Kemudian Allah juga nyatakan bahawa Allah melaknat puak munafiqin & kuffar itu, ialah Allah jauhkan segala kafir & munafiq itu dari rahmat Allah!
  1. Banyak sekali janji azab Allah untuk mereka dan sekali lagi Allah sebut untuk memperkemaskan lagi hukuman ke atas mereka iaitu; dan bagi mereka azab seksa yang kekal. Azab yang kekal abadi, tak akan habis dan tak akan keluar dari neraka selamanya kerana mereka mati dalam kufur.
    Wal-‘iyazu billah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 67- {Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain;…}-

    Allah sifatkan puak munafiq itu sama ada lelaki atau perempuan, sama sahaja jantan betinanya.
    Mereka sama-sama kafir, jahat, sama-sama memperli menghina Islam maka mereka serasi, sebahagian mereka adalah sebahagian yang lain, mereka sama-sama kafir sama-sama tak dengar kata!

    Maka bagi mereka azab dan siksaan yang sama, sama-sama mendapat laknat Allah!
    Dapat dosa & balasan azab neraka yang sama! Kita minta berlindung dengan Allah SWT dari sifat yang buruk ini!
    Allah sebut khas begini munafiq lelaki & perempuan adalah untuk mengelakkan salah faham bahawa mereka tidak sama dan lain kategorinya bagi lelaki & wanita!

    Begitu juga orang mukmin, mukmin lelaki & mukmin perempuan juga sama di sisi Allah sebagaimana firman Allah ini:

    Maksudnya: {Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.} (Al-Ahzaab 33:35)

    Allah nyatakan 10 sifat orang beriman lelaki & perempuan!
  1. Ayat 67- {… mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik,}-

    Sifat munafiq itu juga suka ajak orang buat perkara mungkar!
    Perbuatan dan sikap mereka lelaki atau perempuan adalah sama saja, suka untuk mengajak orang ke arah kemungkaran & kejahatan!
    Kemungkaran yang paling besar sekali ialah dalam aqidah, ajak orang kufur & syirik kepada Allah!
    Kemudian kemungkaran yang lain, anjur majlis pesta maksiat bercampur gaul lelaki dan perempuan.
    Segala benda mungkar mereka taja & beri galakan!

    Itulah sifat munafiq menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik!!!!
    Ingat perkara yang betul-betul baik ialah yang bertepatan dengan al-Quran & Sunnah bukan hanya yang orang suka!
  1. Ayat 67- {…. dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut).}-

    Ini adalah sifat ketiga mereka, iaitu amat kedekut & bakhil!
    Bakhil ialah siafat munafiq yang berat kerana mereka bakhil untuk mengeluarkan zakat yang mereka anggap cukai yang merugikan harta mereka!
    Amat bakhil untuk infaq fi-sabilillah, bakhil untuk keluarkan nafkah apatah lagi untuk jihad & sedekah dan derma yang sunat!
    Tetapi jika majlis rasmi, majlis bermuka-muka majlis nak tunjuk kepada orang; merekalah yang paling dahulu & terkehadapan untuk mendapat pujian dan nama!!!
    Dalam ayat ini Allah gambarkan mereka genggam tangan dengan kuat {وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ}- yakni kinayah (perumpamaan) kepada tak mahu buka tangan untuk infaq & sedekah.
    Allah sebut mereka ini sebagai bersifat bakhil & tamak iaitu tamak untuk dapatkan harta & selepas dapat harta bakhil pula tak mahu infaq dan berbelanja!
    Penjelasan:
    Perbezaan antara syuhh (شحّ) dan bakhil (بخيل):
    i- Syuhh ialah tamak hendakkan harta sebelum dapat.
    TAMAK adalah menginginkan, merampas, berangan-angan dengan cara yang salah dan keji tentang apa yang ada di tangan orang lain/hak orang lain.

    ii- Bakhil ialah kedekut sayangkan harta tak mahu keluartkan selepas dapat!
    Bakhil adalah KEDEKUT/MENAHAN apa yang ada dalam tangan sendiri walaupun ke atas diri sendiri.

    Nabi SAW telah buat perumpamaan analogi tentang orang bakhil & orang pemurah, seperti orang yang pakai baju besi!

    Hadis selengkapnya seperti berikut:
    عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: مَثَلُ البَخِيلِ وَالمُنْفِقِ، كَمَثَلِ رَجُلَيْنِ عَلَيْهِمَا جُبَّتَانِ مِنْ حَدِيدٍ، مِنْ لَدُنْ ثَدْيَيْهِمَا إِلَى تَرَاقِيهِمَا، فَأَمَّا المُنْفِقُ: فَلاَ يُنْفِقُ شَيْئًا إِلَّا مَادَّتْ عَلَى جِلْدِهِ، حَتَّى تُجِنَّ بَنَانَهُ وَتَعْفُوَ أَثَرَهُ، وَأَمَّا البَخِيلُ: فَلاَ يُرِيدُ يُنْفِقُ إِلَّا لَزِمَتْ كُلُّ حَلْقَةٍ مَوْضِعَهَا، فَهُوَ يُوسِعُهَا فَلاَ تَتَّسِعُ

    Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
    Perumpaan orang yang bakhil dan dermawan ibarat dua orang yang mengenakan jubah terbuat dari besi yang menutup dari dada hingga kerongkongannya.
    i- Adapun orang yang dermawan, maka tiap kali dia berinfak, bajunya akan melonggar dan akhirnya melindungi ujung kakinya hingga bekas jalannya.

    ii- Sedangkan orang yang bakhil tiap kali dia hendak berinfak, maka bajunya akan mengerut. Dan jika dia melonggarkannya maka baju besinya tetap seperti semula.” (HR Bukhari dan Muslim)

    Kata ulama’ : Tingginya analogi yang Rasulullah SAW buat, betapa orang mukmin yang pemurah, lapang & terbuka dadanya apabila nak infaq & sedekah.
    Manakala orang bakhil sempit dan tertekan dadanya apabila nak infaq terasa susah, lemas & sesak nafasnya!
    Begitulah munafiqin ini, tertutup rapat tangannya amat bakhil tak mahu infaq.
  1. Ayat 67- {… Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka.}-

    Yakni kerana mereka tidak mahu beriman tidak mahu taat kepada Allah, tak mahu ikut Sunnah nabi SAW; maka itulah orang yang lupa kepada Allah!
    Lupakan Allah dengan hati, dengan lisan & dengan amal perbuatan, lupa dengan segala-galanya!
    Maka Allah pun lupakan mereka, bukan sifat Allah lupa, tetapi yakni Allah pun tidak hiraukan mereka, tidak beri hidayah & rahmat kasih sayang-Nya kepada mereka.

    Inilah bahayanya sifat lupa kepada Allah!
    Kita kena sentiasa ingat kepada Allah jangan lupa diri jangan dok main!
    Ini kerana balasan itu mengikut jenis perbuatan (الجزاء من جنس العمل).

    Cinta itu berbalas sebagaimana firman Allah:
    {Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.} [Al-Baqarah: 152].
  1. Ayat 68- {Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya…}-

    Allah sudah janjikan kepada golongan munafiq & kafir tulen, lelaki atau wanita bahawa tempat balasan mereka adalah di dalam neraka Jahannam!
    Tak perlu berlakon atau sembunyikan kekufuran mereka, menzahirkan Islam, Allah sudah tahu apa yang ada dalam hati mereka!
    Allah beri satu hukuman yang cukup tegas lagi berat!

    Puak munafiqin ini apabila mereka fasiq mereka lupa kepada Tuhan, maka tempat duduknya adalah di dalam neraka!
    Kita orang beriman jadilah mukmin yang sejati, beriman di dalam hati, zikir dengan lidah, dizahirkan dengan amal soleh oleh anggota serta taat patuh kepada segala perintah Allah.

    Ya Allah jadikan kami hamba-Mu yang mukmin yang bertaqwa,
    اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءِ الْخَاتِمَةِ
    Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul khatimah (akhir yang baik) dan janganlah Engkau akhiri hidup kami dengan su’ul khatimah (akhir yang buruk)”.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top