View Categories

(48) Surah At-Taubah: Ayat 117-119

28 min read

TAUBAT KEPADA AHLI TABUK, 3 ORANG TIDAK KE TABUK & GALAKAN BERSIFAT BENAR.

Full video : https://youtu.be/YvsxO6MscYg?si=GK1NECz2egDNGsxd

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 117 sehingga 119 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa taubat kepada ahli Tabuk, yang diuji dengan ponteng ke Tabuk.
  1. Kemudian Allah nyatakan tentang 3 orang yang jujur mengaku tidak pergi ke Tabuk; Allah jatuhkan hukuman ke atas mereka. 
    Setelah berlalunya 50 hari yang gelap, barulah Nabi SAW ceria gembira & menyampaikan khabar gembira kepada mereka.
  1. Pada akhir ayat Allah beri galakan untuk bersifat benar, berkata jujur dan berkata benar.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas Allah SWT telah banyak ceritakan tentang munafiqin yang mencari alasan yang rapuh yang tak cerdik untuk tidak pergi berperang Tabuk. 
    Kemudian Allah bahagikan munafiq kepada 3 kumpulan & kemuncaknya mereka bina masjid dhirar (jahat) pula untuk memecah-belahkan umat Islam.

    ii- Kemudian datang ayat ini Allah nyatakan keputusan/hukuman ke atas mereka yang bersalah dalam perang Tabuk.
    Inilah uslub al-Quran supaya kita tidak jemu membaca kisahnya, agar kita kaji semak & kumpul ayatnya!
  1. Dalam ayat ini dan ayat-ayat berikut dinyatakan perihal segolongan orang Islam orang yang benar-benar beriman tetapi keberatan dan menangguh-nangguh untuk pergi berperang ke Tabuk, kerana keadaan sukar dalam musim panans terik. 
    Kemudian mereka menyesal & bertaubat lalu Allah menerima taubat mereka. 
    Untuk membesarkan hati mereka penerimaan taubat ditegaskan secara umum meliputi Nabi SAW & sahabat besar yang lain walaupun mereka tidak bersalah; tetapi umum bahawa sesiapa yang pergi perang Tabuk akan dimaafkan.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 117- {SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MENERIMA TAUBAT NABI DAN ORANG-ORANG MUHAJIRIN DAN ANSAR YANG MENGIKUTNYA (BERJUANG) DALAM MASA KESUKARAN, SESUDAH HAMPIR-HAMPIR TERPESONG HATI SEGOLONGAN DARI MEREKA (DARIPADA MENURUT NABI UNTUK BERJUANG); KEMUDIAN ALLAH MENERIMA TAUBAT MEREKA; SESUNGGUHNYA ALLAH AMAT BELAS, LAGI MAHA MENGASIHANI TERHADAP MEREKA.} (AT-TAUBAH 9:117)

  1. Allah telah beri rezeki untuk bertaubat & kembali insaf ke jalan Allah kepada semua golongan. 
    Walaupun ayat ini dituju khas kepada Nabi SAW, apakah Nabi SAW bersalah? Jawapannya tidak bersalah. 
  1. Cuma ada langkah yang dibuat oleh Baginda yang dianggap kurang afdhal iaitu menerima alasan munafiq dan membiarkan mereka tidak pergi berperang. 
    Sepatutnya Nabi SAW menyuruh mereka pergi juga maka jika mereka tidak pergi pastilah jelas kesalahannya ingkar arahan Nabi!
  1. Allah nyatakan juga penerimaan taubat para sahabat yang mengalami kesusahan dan ada terdetik kurang senang dalam hati mereka!
    Panas yang bersangatan, kurang bekalan & air, kurang kenderaan dan pelbagai lagi ujian!
  1. Allah sebut keadaan mereka dalam waktu yang susah {فِى سَاعَةِ ٱلْعُسْرَةِ}- iaitu sebagai satu ujian menguji keimanan & kesabaran yang amat tinggi.
    Ujian itu pula tidak lama kerana ia pasti akan berlalu cuma memerlukan kesabaran & pengorbanan! 
    Allah nak tengok pergantungan kita kepada Allah SWT!
  1. Kenapakah disebut masa kesukaran? 
    Kerana pada itu, kaum Muslimin berada dalam keadaan yang begitu sukar. 
    Cuaca pada ketika itu sangat panas, jarak Tabuk yang sangat jauh iaitu di selatan Hijjaz sejauh 778 km dari Madinah, bekalan makanan dan air yang tidak mencukupi. 

    Sehinggakan di dalam Tafsir Abdurrazzaq, diceritakan bahawa kaum Muslimin terpaksa menyembelih unta dan meminum air yang ada di perut unta kerana bekalan air sangat minimum.
  1. Hadis dari Ibnu Abbas RA yang bertanya kepada Sayyidina Umar al-Khattab tentang kesusahan mereka dalam perang Tabuk dan Umar mengisahkan kesusahan yang mereka hadapi begitu genting sekali. [HR al-Bazzar, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban & at-Tabarani, para ulama’ mengatakan sanadnya sahih].
  1. Allah kata Dia menerima taubat mereka setelah mereka menghadapi saat yang begitu gawat dan genting sehingga ada sebahagian mereka yang berasa amat tidak tahan, ingin lari balik dan terdetik perasaan yang kurang baik bagi seorang pejuang! 
    Hati mereka hampir terbabas dek ujian yang sangat berat!
  1. Jadi kerana Allah tahu & ambil kira apa yang ada dalam hati hamba-Nya, maka Allah rezekikan kepada mereka bertaubat & kembali semula kepada Allah- tidak jadi lari & Allah jaga mereka dari terjebak dengan perangai & karenah yang dibuat oleh puak munafiq!

AYAT 118- {DAN (ALLAH MENERIMA PULA TAUBAT) TIGA ORANG YANG DITANGGUHKAN (PENERIMAAN TAUBAT MEREKA) HINGGA APABILA BUMI YANG LUAS INI (TERASA) SEMPIT KEPADA MEREKA (KERANA MEREKA DIPULAUKAN), DAN HATI MEREKA PULA MENJADI SEMPIT (KERANA MENANGGUNG DUKACITA), SERTA MEREKA YAKIN BAHAWA TIDAK ADA TEMPAT UNTUK MEREKA LARI DARI (KEMURKAAN) ALLAH MELAINKAN (KEMBALI BERTAUBAT) KEPADANYA; KEMUDIAN ALLAH (MEMBERI TAUFIQ SERTA) MENERIMA TAUBAT MEREKA SUPAYA MEREKA KEKAL BERTAUBAT. SESUNGGUHNYA ALLAH DIA LAH PENERIMA TAUBAT LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AT-TAUBAH 9:118)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan Dia menerima taubat dari satu kumpulan mereka yang berasa tidak selesa dalam ujian kesusahan & terdetik dalam hati mereka nak lari balik dari peperangan itu.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan secara khusus nama 3 orang yang tidak pergi berperang Tabuk tanpa membuat alasan palsu.
    Allah nyatakan taubat mereka 3 orang ini juga diterima! 
    Mereka ialah Ka’ab bin Malik, Murarah bin Rabi’ah Al ‘Amid dan Hilal bin Umaiyah Al Waqifi.
  1. Kisah mereka yang tidak pergi berperang ke Tabuk dalam sebuah hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Ka’ab sendiri:
    Baca di: https://celiktafsir.net/2016/08/13/Taubah-kisah-kaab/
  1. Daripada [Ibnu Syihab] dia berkata; 
    “Rasulullah ﷺ pernah berangkat ke perang Tabuk untuk menghadapi orang-orang Rom dan orang-orang Arab yang beragama Nasrani di Syam.” 
    Ibnu Syihab berkata; ‘Saya telah diceritakan oleh [Abdul Rahman bin Abdullah bin Ka’ab bin Malik], bahawa Abdullah bin Ka’ab bin Malik -Abdullah bin Ka’ab adalah salah seorang putera Ka’ab yang mendampingi Ka’ab رضي الله عنه ketika dia buta- dia berkata; ‘Saya pernah mendengar [Ka’ab bin Malik رضي الله عنه] menceritakan peristiwa tentang dirinya ketika dia turut bersama Rasulullah ﷺ dalam perang Tabuk.’

    Ka’ab bin Malik رضي الله عنه berkata; ‘Saya tidak pernah tertinggal menyertai Rasulullah ﷺ dalam peperangan yang baginda ikuti kecuali perang Tabuk, akan tetapi saya juga pernah tertinggal dalam perang Badar. 
    Rasulullah ﷺ tidak pernah mencela seorang muslim yang tidak turut dalam perang Badar, yang demikian kerana Rasulullah ﷺ kaum muslimin (dalam perang Badar ini) tujuan awal hanya ingin menyerang kaum kafir Quraisy yang sedang berada dalam perjalanan dengan mengendarai unta hingga Allah mempertemukan kaum muslimin dengan musuh mereka tanpa waktu yang disepakati sebelumnya.

    Saat itu saya ikut serta bersama Rasulullah ﷺ pada malam ‘Aqabah ketika kami berjanji untuk membela Islam. 
    Menurut saya, turut serta dalam perang Badar tidak sebanding dengan turut serta dalam malam Aqabah, meskipun perang Badar lebih popular pada kebanyakan orang.

    Di antara cerita ketika saya tidak turut serta bersama Rasulullah ﷺ dalam perang Tabuk adalah sebagai berikut; ‘Saya benar-benar tidak berdaya dan tidak ada orang yang lebih banyak mempunyai keluasan daripada saya ketika saya tidak ikut serta dalam perang Tabuk tersebut.

    Demi Allah, sebelumnya saya tidak menyiapkan dua ekor haiwan tunggangan sama sekali dalam pelbagai peperangan. Tetapi dalam perang Tabuk ini, saya menyiapkan dua ekor haiwan tunggangan.

    Akhirnya Rasulullah ﷺ pergi berangkat ke perang Tabuk pada saat cuaca sangat panas. Dapat dikatakan bahwasanya baginda menempuh perjalanan yang amat jauh dan penuh risiko serta menghadapi musuh yang berjumlah besar. 
    Lalu Rasulullah ﷺ menjelaskan kepada kaum muslimin apa yang akan mereka hadapi bersamanya. 
    Oleh kerana itu, baginda memerintahkan kaum muslimin untuk mempersiapkan bekalan perang yang cukup.
    Pada saat itu, kaum muslimin yang menyertai Rasulullah ﷺ ramai sekali tanpa ditunjuk melalui surat tugas untuk berperang. 

    Ka’ab رضي الله عنه berkata; ‘Ada seorang laki-laki yang tidak muncul kerana dia ingin tidak turut serta berperang. 
    Dia menduga bahawa ketidakturutannya itu tidak akan diketahui oleh Rasulullah ﷺ -selama tidak ada wahyu yang turun mengenai dirinya daripada Allah Azza Wa Jalla -.
    Rasulullah ﷺ pergi berperang ke perang tabuk ketika hasil tuaian buah sangat memuaskan, hingga saya harus memalingkan perhatian daripada hasil tuaian tersebut. 
    Rasulullah ﷺ dan kaum muslimin yang ikut serta sudah bersiap-siap dan saya pun segera pergi untuk mencari bekalan bersama mereka. Lalu saya pulang tanpa memperoleh bekalan sama sekali. 
    Saya berkata dalam hati; ‘Saya dapat mempersiapkan perbekalan sewaktu-waktu.
    Saya selalu dalam teka-teki antara ya dan tidak hingga orang-orang semakin siap.’

    Rasulullah ﷺ berangkat bersama kaum muslimin, sedangkan saya belum mempersiapkan perbekalan sama sekali.
    Akhirnya saya pergi, lalu saya pulang tanpa mempersiapkan sesuatu. 
    Saya senantiasa berada dalam kebimbangan seperti itu antara turut serta berperang ataupun tidak, hingga pasukan kaum muslimin telah bergegas berangkat dan perang pun berkecamuk sudah. Kemudian saya ingin menyusul ke medan pertempuran, tetapi hal itu hanyalah angan-angan, dan akhirnya saya ditakdirkan untuk tidak ikut serta ke medan perang.

    Setelah Rasulullah ﷺ pergi ke medan perang tabuk, maka mulailah rasa sedih menyelimuti diri saya. Ketika keluar ke tengah-tengah masyarakat sekitar, saya menyedari bahwasanya tidak ada yang dapat saya temui kecuali orang-orang yang dalam kemunafikan atau orang-orang yang lemah yang diberikan uzur oleh Allah Azza Wa Jalla. 
    Sementara itu, Rasulullah ﷺ tidak mengingati diri saya hingga baginda sampai di Tabuk.
    Kemudian, ketika baginda sedang duduk-duduk di tengah para sahabat, tiba-tiba baginda bertanya; ‘Mengapa Ka’ab bin Malik tidak ikut serta bersama kita?‘ 

    Seorang sahabat daripada Bani Salimah menjawab; ‘Ya Rasulullah, dia tertahan oleh baju indahnya dan keadaan sekelilingnya yang permai pandangannya.’ 
    Mendengar ucapan sahabat tersebut, Muaz bin Jabal رضي الله عنه berkata; ‘Hai sahabat, buruk sekali ucapanmu itu! 
    Demi Allah ya Rasulullah, saya tahu bahwasanya Ka’ab bin Malik itu adalah orang yang baik.’ Kemudian Rasulullah ﷺ diam.
    Ketika baginda terdiam seperti itu, tiba-tiba baginda melihat seorang laki-laki yang memakai helmet besi yang sulit dikenali. 

    Lalu Rasulullah ﷺ berkata: ‘Kamu pasti Abu Khaitsamah? ‘ 
    Ternyata orang tersebut adalah memang benar-benar Abu Khaitsamah Al Anshari رضي الله عنه, sahabat yang pernah menyedekahkan satu gantang kurma ketika beliau dicaci maki oleh orang-orang munafik.
    Ka’ab bin Malik رضي الله عنه berkata; ‘Ketika saya mendengar bahwasanya Rasulullah ﷺ telah bersiap-siap kembali dari perang Tabuk, maka saya pun diliputi kesedihan. 

    Lalu saya mulai merancang alasan untuk berdusta. 
    Saya berkata dalam hati; ‘Alasan apa yang dapat menyelamatkan diri saya daripada amarah Rasulullah? ‘ 
    Untuk menghadapi hal tersebut, saya meminta pertolongan kepada keluarga yang dapat memberikan cadangan.
    Ketika itu ada seseorang yang berkata kepada saya bahawasanya Rasulullah ﷺ hampir tiba di kota Madinah, hilanglah alasan untuk berdusta daripada benak saya.

    Akhirnya saya menyedari bahwasanya saya tidak dapat berbohong sedikit pun kepada Rasulullah ﷺ.
    Oleh kerana itu, saya pun harus berkata jujur kepada baginda.

    Tidak lama kemudian Rasulullah ﷺ tiba di kota Madinah. 
    Seperti biasa, baginda langsung menuju Masjid – sebagaimana tradisi baginda setiap kali tiba daripada berpergian ke suatu daerah – untuk melakukan solat. 

    Setelah melakukan solat sunnah, Rasulullah ﷺ langsung duduk-duduk bersama para sahabat.
    Setelah itu, datanglah beberapa orang sahabat yang tidak sempat ikut serta bertempur bersama kaum muslimin seraya menyampaikan berbagai alasan kepada baginda dengan bersumpah. 

    Diperkirakan mereka yang tidak turut serta bertempur itu sekitar lapan puluh orang lebih.
    Ternyata Rasulullah ﷺ menerima keterus terangan mereka yang tidak ikut serta berperang, membai’at mereka, memohon ampun untuk mereka, dan menyerahkan apa yang mereka sembunyikan dalam hati mereka kepada Allah ﷻ.

    Selang beberapa saat kemudian, saya datang menemui Rasulullah ﷺ. 
    Setelah saya memberi salam, baginda tersenyum seperti senyuman orang yang marah. 
    Kemudian baginda pun berkata; ‘Kemarilah! ‘ Lalu saya berjalan mendekati baginda hingga saya duduk tepat di hadapan baginda. 

    Setelah itu Rasulullah ﷺ bertanya: ‘Mengapa kamu tidak ikut serta bertempur bersama kami hai Ka’ab?
    Bukankah kamu telah berjanji untuk menyerahkan jiwa ragamu untuk Islam? ‘ 
    Saya menjawab; ‘Ya Rasulullah, demi Allah seandainya saya duduk di dekat orang selain diri engkau, nescaya saya yakin bahawasanya saya akan terbebaskan daripada kemurkaannya kerana alasan dan hujah yang saya sampaikan.

    Tetapi, demi Allah, saya tahu jika sekarang saya menyampaikan kepada engkau alasan yang penuh dusta hingga membuat engkau tidak marah, tentunya Allahlah yang membuat engkau marah kepada saya. 
    Apabila saya mengemukakan kepada engkau ya Rasulullah alasan saya yang benar dan jujur, lalu engkau akan memarahi saya dengan alasan tersebut, maka saya pun akan menerimanya dengan senang hati. 

    Biarkanlah Allah memberi hukuman kepada saya dengan ucapan saya yang jujur tersebut.
    Demi Allah, sesungguhnya tidak ada uzur yang membuat saya tidak ikut serta berperang. 
    Demi Allah, saya tidak berdaya sama sekali kala itu meskipun saya mempunyai peluang yang sangat longgar sekali untuk ikut berjuang bersama kaum muslimin.’

    Mendengar pengakuan yang tulus itu, Rasulullah ﷺ pun berkata: ‘Orang ini telah berkata jujur dan benar. 
    Oleh kerana itu, berdirilah hingga Allah memberimu keputusan.” 
    Akhirnya saya pun berdiri dan beranjak dari sisi baginda.

    Tidak lama kemudian, ada beberapa orang daripada Bani Salimah beramai-ramai mengikuti saya seraya berkata; ‘Hai Ka’ab, demi Allah, sebelumnya kami tidak mengetahui bahawasanya kamu telah berbuat suatu kesalahan/dosa. 
    Kamu benar-benar tidak mengemukakan alasan kepada Rasulullah ﷺ sebagaimana alasan yang dikemukakan para sahabat lain yang tidak turut berperang.
    Sesungguhnya, hanya istighfar Rasulullah ﷺ untukmulah yang menghapus dosamu.’ 

    Ka’ab bin Malik رضي الله عنه berkata setelah itu; ‘Demi Allah, mereka selalu mencerca saya hingga saya ingin kembali lagi kepada Rasulullah ﷺ lalu saya dustakan diri saya.’
    Ka’ab bin Malik رضي الله عنه berkata; ‘Apakah ada orang lain yang telah menghadap Rasulullah ﷺ seperti diri saya ini? ‘ 
    Orang-orang Bani Salimah menjawab; ‘Ya. Ada dua orang lagi seperti dirimu. 

    Kedua orang tersebut mengatakan kepada Rasulullah ﷺ seperti apa yang telah kamu utarakan dan Rasulullah ﷺ pun menjawabnya seperti jawapan kepadamu.’
    Ka’ab bin Malik رضي الله عنه berkata; ‘Lalu saya pun bertanya; ‘Siapakah kedua orang tersebut hai para sahabat? ‘
    Mereka, kaum Bani Salimah, menjawab; ‘Kedua orang tersebut adalah Murarah bin Rabi’ah Al Amin dan Hilal bin Ummayah Al Waqifi.’ 

    Ka’ab bin Malik رضي الله عنه berkata; ‘Kemudian mereka menyebutkan dua orang sahabat yang soleh yang ikut serta dalam perang Badar dan keduanya layak dijadikan suri tauladan yang baik. 
    Setelah itu, saya pun berlalu ketika mereka menyebutkan dua orang tersebut kepada saya.’
    Ka’ab bin Malik رضي الله عنه berkata; ‘Beberapa hari kemudian, Rasulullah ﷺ melarang kaum muslimin untuk berbicara dengan kami bertiga yang tidak ikut serta dalam perang Tabuk. 
    Sejak saat itu, kaum muslimin mulai menjauhi dan berubah sikap terhadap kami bertiga hingga bumi ini terasa asing bagi kami.
    Sepertinya, bumi ini bukanlah bumi yang pernah saya huni sebelumnya dan hal itu berlangsung lima puluh malam lamanya.’

    [Arahan telah dikeluarkan kepada umat Islam untuk memboikot mereka bertiga. 
    Tidak boleh bercakap malah kalau diberi salam pun tidak boleh dijawab. 
    Sebab itulah Ka’ab رضي الله عنه dan dua orang lagi itu terasa sangat dengan hukuman ini.
    Bukan sahaja manusia lain memulau mereka akan tetapi Rasulullah ﷺ juga begitu! 

    Dua orang teman saya yang tidak ikut serta dalam perang Tabuk itu kini bersimpuh sedih di rumahnya sambil menangis, sedangkan saya adalah seorang anak muda yang lasak dan tegar. 

    Saya tetap bersikap wajar dan menjalankan aktiviti sehari-hari seperti biasanya. 
    Saya tetap keluar dari rumah, pergi ke masjid untuk menghadiri solat jama’ah bersama kaum muslimin lainnya, dan berjalan-jalan di pasar meskipun tidak ada seorang pun yang sudi berbicara dengan saya. 

    Hingga pada suatu ketika saya menghampiri Rasulullah ﷺ sambil memberikan salam kepadanya ketika baginda berada di tempat duduknya usai solat. 
    Saya bertanya dalam hati; ‘Apakah Rasulullah ﷺ akan menggerakkan bibirnya untuk menjawab salam ataukah tidak? 
    Kemudian saya melaksanakan solat di dekat Rasulullah ﷺ sambil mencuri pandangan kepada baginda. 
    Ketika saya telah bersiap untuk melaksanakan solat, baginda memandang kepada saya.
    Dan ketika saya menoleh kepadanya, baginda pun mengalihkan pandangannya daripada saya.’

    Setelah lama terasing daripada pergaulan kaum muslimin, saya pun pergi berjalan-jalan hingga sampai di pagar kebun Abu Qatadah رضي الله عنه. Abu Qatadah رضي الله عنه adalah anak pakcik saya (sepupu saya) dan dia adalah orang yang saya sukai. 

    Sesampainya di sana, saya pun mengucapkan salam kepadanya.
    Tetapi, demi Allah, sama sekali dia tidak menjawab salam saya. 
    Akhirnya saya memberanikan diri untuk bertanya kepadanya; ‘Hai Abu Qatadah, saya bersumpah kepadamu dengan nama Allah, apakah kamu tidak mengetahui bahawasanya saya sangat mencintai Allah dan Rasul-Nya? ‘ Ternyata Abu Qatadah رضي الله عنه hanya terdiam saja. 
    Lalu saya ulangi lagi ucapan saya dengan bersumpah seperti yang pertama kali. 
    Namun dia tetap saja terdiam. 
    Kemudian saya ulangi ucapan saya dan dia pun menjawab; ‘Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui tentang hal ini.’ 
    Mendengar ucapannya itu, berlinanglah air mata saya dan saya pun kembali ke rumah sambil menyusuri kebun tersebut.

    Ketika saya sedang berjalan-jalan di pasar Madinah, ada seorang laki-laki dari negeri Syam yang berjualan makanan di kota Madinah bertanya; ‘Siapakah yang dapat menunjukkan kepada saya di mana Ka’ab bin Malik? ‘ 
    Lalu orang-orang pun menunjukkan kepada saya hingga orang tersebut datang kepada saya sambil menyerahkan sepucuk surat kepada saya daripada raja Ghassan. 
    Kerana saya dapat membaca dan menulis, maka saya pun memahami isi surat tersebut. Ternyata isi surat tersebut sebagai berikut; ‘Kami mendengar bahawasanya temanmu (maksudnya adalah Rasulullah ﷺ) telah mengasingmu daripada pergaulan umum, sementara Tuhanmu sendiri tidaklah menyia-nyiakanmu seperti itu.
    Oleh kerana itu, bergabunglah dengan kami, nescaya kami akan menolongmu.’ 

    Selesai membaca surat itu, saya pun berkata; ‘Sebenarnya surat ini juga merupakan sebuah bencana juga bagi saya.’ 
    Lalu saya memasukkannya ke dalam pembakaran dan membakarnya hingga musnah.
    Setelah empat puluh hari lamanya daripada pengecualian umum, ternyata wahyu Tuhan pun tidak juga turun. 

    Hingga pada suatu ketika, seorang utusan Rasulullah ﷺ mendatangi saya sambil menyampaikan sebuah pesan; ‘Hai Ka’ab, sesungguhnya Rasulullah ﷺ memerintahkanmu untuk menghindari isterimu.’ 
    Saya bertanya; ‘Apakah saya harus menceraikan atau bagaimana? ‘ 
    Utusan tersebut menjawab; ‘Tidak usah kamu ceraikan. Tetapi, cukuplah kamu menghindarinya dan janganlah kamu mendekatinya.’

    Lalu saya katakan kepada isteri saya; ‘Wahai dinda, sebaiknya dinda pulang terlebih dahulu ke rumah orang tua dinda dan tinggallah bersama dengan mereka hingga Allah memberikan keputusan yang jelas dalam permasalahan ini.’
    Ka’ab bin Malik رضي الله عنه berkata; ‘Tidak lama kemudian isteri Hilal bin Umayyah رضي الله عنه pergi mendatangi Rasulullah ﷺ sambil bertanya; ‘Ya Rasulullah, Hilal bin Umayyah itu sudah lanjut usia dan lemah serta tidak mempunyai pembantu. 

    Oleh kerana itu, izinkanlah saya merawatnya.’ Rasulullah ﷺ pun menjawab: ‘Jangan. Sebaiknya kamu tidak usah menemaninya terlebih dahulu dan ia tidak boleh dekat denganmu untuk beberapa saat.’
    Isteri Hilal tetap berkeras dan berkata; ‘Demi Allah ya Rasulullah, sekarang dia itu tidak mempunyai semangat hidup lagi.
    Dia senantiasa menangis, sejak mendapatkan permasalahan ini sampai sekarang.’ 

    Ka’ab bin Malik رضي الله عنه berkata; ‘Beberapa orang daripada keluarga saya berkata; ‘Sebaiknya kamu meminta izin terlebih dahulu kepada Rasulullah ﷺ dalam masalah isterimu ini. 
    Kerana Rasulullah ﷺ sendiri telah memberikan izin kepada isteri Hilal bin Umayyah رضي الله عنه untuk merawat suaminya.’ 
    Ka’ab bin Malik رضي الله عنه berkata; ‘Saya tidak akan meminta izin kepada Rasulullah ﷺ dalam persoalan isteri saya ini. Kerana, bagaimanapun, saya tidak akan tahu bagaimana jawapan Rasulullah ﷺ nanti jika saya meminta izin kepada baginda sedangkan saya masih muda belia.’

    Ka’ab bin Malik رضي الله عنه berkata; ‘Ternyata hal itu berlangsung selama sepuluh malam hingga dengan demikian lengkaplah sudah lima puluh malam bagi kami terhitung sejak kaum muslimin dilarang untuk berbicara kepada kami. 
    Ka’ab bin Malik رضي الله عنه berkata; ‘Lalu saya melakukan solat fajar pada malam yang ke lima puluh di bahagian belakang rumah. 
    Ketika saya sedang duduk dalam solat tersebut, diri saya diliputi penyesalan dan kesedihan. Sepertinya bumi yang luas ini terasa sempit bagi diri saya. 

    Tiba-tiba saya mendengar seseorang berteriak dengan lantangnya menembus cakerawala; ‘Hai Ka’ab bin Malik, bergembiralah! ‘ 
    Maka saya pun tersungkur sujud dan mengetahui bahawasanya saya telah terbebas daripada persoalan saya. 
    Ka’ab bin Malik رضي الله عنه berkata; ‘Kemudian Rasulullah ﷺ mengumumkan kepada kaum muslimin selepas Solat Subuh.
    Maka umat Islam terus memberi khabar gembira kepada kami dan sebahagian daripada mereka pergi kepada kawan-kawanku untuk menyampaikan berita gembira kepada mereka dan seseorang memacu kudanya dan datang daripada suku Aslam dan kudanya sampai kepadaku lebih cepat daripada suaranya.

    Dan apabila dia datang kepadaku yang suaranya aku dengar, dia memberi khabar gembira kepadaku. 
    Aku menanggalkan pakaianku dan memberinya pakaianku kerana dia membawa berita gembira kepadaku dan, demi Allah, aku tidak memiliki apa-apa yang lain (dalam bentuk pakaian) daripada kedua-duanya pada waktu itu, dan aku meminta seorang meminjamkan kepadaku dua pakaian dan memakaikan diriku dengannya.

    Aku datang kepada Rasulullah ﷺ dan dalam perjalananku aku bertemu dengan sekumpulan manusia yang memberi salam kepadaku kerana (penerimaan) taubat dan mereka berkata: Ini adalah salam untukmu kerana taubatmu diterima oleh Allah ‎ﷻ.
    (Saya terus berjalan) sehingga saya datang ke masjid dan Rasulullah ﷺ telah duduk di sana di antara orang-orang.
    Talha bin ‘Ubaidullah رضي الله عنه bangun dan bergegas ke arah saya dan dia berjabat tangan dengan saya dan memberi salam kepada saya dan demi Allah, tidak ada seorang pun yang berdiri (untuk memberi salam) daripada orang yang muhajirin kecuali dia. 
    Ka’ab رضي الله عنه berkata bahawa dia tidak pernah lupa (sikap baik) Thalhah رضي الله عنه.
    Ka’ab رضي الله عنه berkata lagi: Aku mengucapkan salam kepada Rasulullah ‎ﷺ dengan Assalamu-‘Alaikum dan wajahnya bersinar-sinar kerana kegembiraan, dan baginda bersabda: أبشر بخير يوم منذ ولدتك أمك

    Semoga ada khabar gembira dan keberkatan untukmu, yang seperti itu (yang kamu tidak dapati dan tidak akan kamu temui, seperti yang kamu dapati hari ini) sejak ibumu melahirkanmu. 
    Aku berkata: Wahai Rasulullah, adakah ini penerimaan taubat daripada engkau atau daripada Allah? 
    Baginda berkata: Tidak, (bukan daripadaku), ia daripada Allah, dan adalah biasa bagi Rasulullah ‎ ﷺ bahawa ketika baginda bergembira, wajahnya berseri-seri dan kelihatan seperti sebahagian daripada bulan dan dari sinilah kami mengenalinya (kegembiraannya).

    Ketika saya duduk di hadapannya, saya berkata: Wahai Rasulullah, bolehkah saya bersedekah harta saya kerana Allah dan untuk Rasul-Nya?
    Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: Simpanlah sedikit harta bersama kamu kerana ia lebih baik bagi kamu. 
    Saya berkata: Saya akan menyimpan bersama saya bahagian (harta saya) yang jatuh kepada bahagian saya (pada peristiwa ekspedisi) Khaibar.

    Saya berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah menganugerahkan keselamatan kepada saya kerana kebenaran dan oleh itu, (saya fikir) bahawa taubat bermaksud bahawa saya tidak boleh bercakap kecuali kebenaran selagi saya hidup. 

    Baginda berkata: Demi Allah, aku tidak tahu sama ada seseorang di antara kaum Muslimin dijatuhkan hukuman yang lebih berat daripada aku oleh Allah kerana berkata benar. 

    Dan sejak saya menyebut hal ini kepada Rasulullah ﷺ sehingga hari ini saya tidak berdusta dan, demi Allah, saya telah memutuskan untuk tidak berdusta dan saya berharap bahawa Allah akan menyelamatkan saya (daripada ujian) sepanjang hidup saya dan Allah Taala menurunkan ayat-ayat ini:
    “Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin dan orang-orang Ansar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan daripada mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka, dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, dan wahyu ini sampai kepada (kata-kata): “Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.” (Surah Taubah: 117-118).

    Ka’ab رضي الله عنه berkata: Demi Allah, semenjak Allah ‎ﷻ mengarahkan saya kepada Islam, tidak ada nikmat yang lebih besar bagi saya daripada kebenaran saya ini yang saya katakan kepada Rasulullah ﷺ dan sekiranya saya berdusta, nescaya saya akan binasa seperti orang yang berdusta, kerana bagi mereka yang berdusta, Allah ﷻ telah menggunakan perkataan yang paling keras yang digunakan untuk sesiapa sahaja sebagaimana firman Allah ﷻ yang diturunkan “Kelak mereka akan bersumpah kepadamu dengan nama Allah, apabila kamu kembali kepada mereka, supaya kamu berpaling daripada mereka. Maka berpalinglah daripada mereka; kerana sesungguhnya mereka itu adalah najis dan tempat mereka jahannam; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan. Mereka akan bersumpah kepadamu, agar kamu redha kepada mereka. Tetapi jika sekiranya kamu redha kepada mereka, sesungguhnya Allah tidak redha kepada orang-orang yang fasik itu.” (Surah Taubah: 95-96).

    Ka’ab رضي الله عنه berkata bahawa urusan kami tiga orang itu ditangguhkan berbanding mereka yang bersumpah di hadapan Rasulullah ﷺ dan baginda menerima bai’ah mereka dan memohon keampunan untuk mereka dan Allah ‎ ﷻ tidak memberi sebarang keputusan mengenai kami. 

    Allah ﷻ yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia, yang memberikan keputusan dalam hal kami tiga orang yang tinggal di belakang. 
    (Kata-kata Al-Qur’an) “Tiga yang ditinggalkan” tidak bermakna kami meninggalkan Jihad tetapi ini memberi maksud bahawa Dia menyimpan perkara kita di belakang mereka yang bersumpah dan mengemukakan alasan di hadapan-Nya.
    (Sahih Muslim (4973)) 

    Maksudnya mereka tertahan itu adalah keputusan hukum ke atas mereka ditahan oleh Allah ﷻ. 
    Untuk golongan Munafik yang memberikan alasan palsu itu, mereka terus mendapat keputusan daripada Nabi ﷺ. 
    Mereka selesai kes mereka di dunia tetapi di Akhirat nanti mereka kena jawab. 
    Sedangkan kes Ka’ab رضي الله عنه tidak terus diberi keputusan kerana Allah ﷻ tahan dulu.
    Ini kerana Allah ﷻ hendak beri pengajaran kepada kita daripada kisah mereka bertiga.
    Mereka bertiga diterima taubatnya dengan begitu baik kerana jujur & bercaka benar, alhamdulillah.
  1. Jadi ayat al-Quran ini dibaca sampai bila-bila dan setiap kali kita baca kita dengar cerita Ka’ab yang begitu mengharukan & memberi pengajaran yang menginsafkan betapa pentingnya untuk bercakap benar!
  1. Terdapat satu buku risalah kecil yang disusun dan diolah khas kisah Ka’ab berdasarkan hadis ini seolah satu cerpen yang amat bermanfaat susunan Dr. V. Abdur Rahim (1933–2023).
  1. Allah SWT terima taubat 3 sahabat yang tidak pergi berperang ke Tabuk itu setelah diuji selama 50 hari tersiksa jiwa & mental.
    Sehingga tersa sempit bumi ini bagi mereka kerana diboikot oleh semua orang. 
    Sempit dada & dukacita perasaan mereka, sebagaimana Hilal yang hanya duduk di rumah dan menghabiskan masanya dengan menangis.
  1. Tetapi mereka yakin bahawa semua urusan ini kembali kepada Allah & jika Allah terima taubat, Dia akan hilangkan segala kemurkaan-Nya.
  1. Lalu Allah beri taufiq kepada mereka untuk bertaubat kembali kepada Allah dan Allah menerima taubat mereka kerana: Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.
  1. Kisah mereka sangat menyentuh hati kerana mereka diuji kerana benar dan diuji kebenaran itu selama 50 hari dan alhamdulillah mereka berjaya melalui ujian itu dengan sabar & mendapat pengampunan Allah!

AYAT 119- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH, DAN HENDAKLAH KAMU BERADA BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG BENAR.} (AT-TAUBAH 9:119)

  1. Munasabah ayat:
    i- Allah perintahkan kepada orang beriman untuk belajarlah dari kisah 3 orang sahabat ini yang jujur ini walaupun melalui 50 hari yang begitu gawat & gelap kelam dalam hidup mereka. 

    ii- Selepas itu taubat mereka diterima, jauh sekali watak mereka daripada puak munafiqin dan Allah puji mereka kerana jujur! 
    Ayat ini besar sekali pengajarannya dalam hidup kita.
  1. Allah menyeru orang beriman untuk bertaqwa kepada Allah dengan melakukan segala suruhan dan menjauhi segala larangan. Serta hiduplah bersama golongan orang yang benar dalam iman mereka, benar dalam perbuatan & percakapan mereka. 
  1. Jangan sesekali kamu menipu & bercakap bohong, tidak benar kerana Allah telah beri amaran jangan bohong kerana bohong itu pergi kepada kejahatan & kejahatan akan bawa ke neraka.
    Jika seseorang itu suka cakap bohong suka kelentong maka mereka tidak ada sifat malu lagi.
  1. Hadis: 
    عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا
    Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas’ud) RA daripada Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kebenaran akan membawa kepada kebaikan yang akan menuju ke syurga. Sesungguhnya jika seseorang itu sentiasa berlaku benar sehingga dia akan dikenali sebagai orang yang benar. Sesungguhnya kedustaan itu akan mendorong kepada kejahatan yang akan menuju ke neraka. Sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga dia akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai seorang pendusta.” [HR Bukhari & Muslim].
  1. Sebagaimana kisah budak pengembala kambing yang sering berbohong meminta tolong kerana serigala datang, dan orang yang berkejar nak menolongnya telah tertipu. 
    Tetapi akhirnya bila serigala benar-benar muncul tiada siapa lagi yang percaya akan teriakannya kerana menyangka dia berbohong lagi. 
    Maka habislah kambingnya dimakan serigala, siapakah yang rugi akhirnya??? 
    Begitulah pembohong ini sekali dua mungkin orang akan percaya tetapi apabila telah banyak kali terkena orang tidak akan percaya lagi kepadanya, hilang kredibilitinya!
  1. Satu lagi hadis Nabi SAW tentang pembohong:
    Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, katanya:
    خَرَجَ علينا رسولُ اللهِ ﷺ، ونحن في المسجدِ بعدَ صَلاةِ العِشاءِ، رَفَعَ بَصرَه إلى السَّماءِ، ثُمَّ خَفَضَ، حتى ظَنَنّا أنَّه قد حَدَثَ في السَّماءِ شيءٌ، فقال: ألا إنَّه سيَكونُ بعدي أُمَراءُ يَكذِبونَ ويَظلِمونَ، فمَن صَدَّقَهم بكَذِبِهم، ومالَأَهم على ظُلمِه؛ فليس منِّي، ولا أنا منه، ومَن لم يُصدِّقْهم بكَذِبِهم، ولم يُمالِئْهم على ظُلمِهم؛ فهو منِّي، وأنا منه، ألا وإنَّ دَمَ المُسلمِ كفّارتُه، ألا وإنَّ سُبحانَ اللهِ، والحَمدُ للهِ، ولا إلهَ إلّا اللهُ، واللهُ أكبرُ هنَّ الباقياتُ الصّالحاتُ.
    Maksudnya: Rasulullah SAW keluar menemui kami ketika kami di dalam masjid selepas solat Isyak. Kemudian Baginda mengangkat pandangannya ke langit kemudian tunduk, sehingga kami menyangka bahawa sesuatu telah berlaku di langit. Lantas Baginda SAW bersabda: Akan datang selepasku pemimpin-pemimpin yang berdusta dan zalim. Maka sesiapa yang membenarkannya dengan pendustaan mereka dan mengiyakan mereka dan menyokong atas kezalimannya, maka orang itu bukan dari kalanganku dan aku berlepas diri daripadanya. Dan siapa yang tidak membenarkan mereka dengan pendustaan mereka serta tidak cenderung atas kezaliman mereka, maka dia daripadaku dan aku sebahagian daripadanya. Ketahuilah sesungguhnya darah orang islam mempunyai kifaratnya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya zikir Subhanallah (سُبحانَ اللهِ), Alhamdulillah (الحَمدُ للهِ), La ilaha illah Allah (لا إلهَ إلّا اللهُ ) dan Allahu akbar (اللهُ أكبرُ) semuanya termasuk dalam al-Baqiyat as-Solihat (الباقياتُ الصّالحاتُ). [HR Ahmad (18353) dan lain-lain].

    https://dorar.net/hadith/sharh/64461

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 117- {Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran,…}-

    Ayat ini adalah galakan bertaubat untuk orang beriman.
    Allah sebut juga nama Nabi SAW dalam ayat ini walaupun Nabi SAW tak bersalah, tetapi Baginda SAW sentiasa beristighfar dalam satu majlis saja sebanyak 100 kali!
  1. Ayat 117- {.. dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka…}-

    Dalam ayat ini Allah kata pada waktu susah! ساعة العسرة
    Maka ulama’ kata: Ingatlah waktu susah itu tidak selamannya, ia berwaktu tidak panjang & tidak lama. 
    Kita sabralah kerana selepas susah pasti ada senangnya, insya’ Allah.
    Sahabat Nabi pergi berperang dan diuji dengan pelbagai kesusahan tetapi mendapat banyak kelebihan besar.
    3 orang sahabat yang jujur & bertaubat diuji selama 50 hari dengan diboikot, kemudian diampunkan dosanya, namanya disebut & Allah memuji kejujuran mereka.
    Kata ulama’: Mana-mana amalan yang berat pastilah pahalanya lagi besar! 
    Sebagaimana sabda Nabi SAW kepada UM Aisyah RA: Pahalamu mengikut kesusahan yang engkau hadapi.
    Contoh: Kita bangun solat subuh pada waktu hujan yang sejuk pastilah tidak sama pahalanya daripada waktu biasa, apatah lagi pada waktu salji.
    Maka kita berusahalah agar sentiasa mendapat pahala yang sebaiknya dari Allah SWT jangan dok main-main atau mencari alasan.
  1. Ayat 117- {Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan…}-

    Kenapa Allah sebut Nabi SAW, apa faedah sedang Baginda tiada dosapun.
    Jawapan ini adalah galakan kepada manusia untuk bertaubat semuanya.
    Kemudian Allah ulang dalam ayat ini juga dua kali: 
    Ayat 117- {Sesungguhnya Allah telah menerima taubat……….. kemudian Allah menerima taubat mereka;…}

    Kata ulama’ tafsir ini adalah:
    i- Taubat pertama adalah taufiq dan galakan untuk bertaubat.

    ii- Taubat kedua bahawa Allah terima taubat kita!
    Ayat ini nampak berulang tetapi sebenarnya tidak, ia membawa maksudnya yang khas & tersendiri!
  1. Ayat 118- {Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga….}-

    Allah sebut khas tentang 3 orang yang tidak pergi berperang Tabuk.
    Allah sebut mereka ini untuk menjadi contoh & ikon orang yang bersalah tetapi jujur & bercakap benar. 
    Tidak cuba kelentong, menipu.
    Betapa ramai orang yang merbohong menipu tetapi mengaku tidak bersalah! 
    Tiga orang ini telah mendapat kebaikan yang besar kerana mereka tidak lari dari landasan yang benar, sudah buat salah tidak mengapa mengaku & bertaubatlah tak perlu menipu lagi! 
    Allah buka pintu taubat jangan kita lari dari pintu taubat, biarlah kita menjadi manusia yang jujur & benar tidak lari daripada kejujuran yang disebut Allah!
  1. Ayat 119- {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah,…}-

    Besarnya kelebihan orang-orang yang benar.
    Kata ulama’: Ayat ini menunjukkan bahawa di kalangan para sahabat nabi adalah orang yang jujur & yang benar mengaku tidak pergi berperang.
    Manakala yang tidak jujur, yang lari dari perang mengaku uzur & memberi alasan palsu adalah golongan munafiq.
    Maka kita sebagai orang Islam wajiblah menjadi orang yang benar & jujur, sebagaimana ketua sayyidu as-siddiqqin di kalangan umat ini iaitu Abu Bakar as-Siddiq RA. 
    Dialah contoh yang terbaik kerana dia tidak pernah membantah Nabi SAW.
    Kisah Kaum musyrikin Makkah mempersendakan Nabi Muhammad SAW setelah baginda menceritakan peristiwa Isra’ Mi’raj baginda.
    Mereka kemudian mendekati Abu Bakar untuk mendengar reaksi sahabat terdekatnya. 
    Mereka sememangnya berharap Abu Bakr akan berkongsi pandangan dengan mereka, memandangkan peristiwa itu sangat sukar untuk difahami. 
    Namun, harapan mereka musnah. 
    Setelah mereka menyampaikan berita dari Nabi Muhammad SAW tentang Isra’ Mi’raj, Abu Bakar bertanya kembali, “Benarkah dia berkata demikian? “Mereka menjawab, “Ya,” dan dia berkata, “Jika dia berkata demikian, maka itu benar.” 
    Mereka tidak puas hati, lalu mendesak Abu Bakar dengan soalan, “Adakah kamu akan mempercayai sahabat kamu yang mengatakan bahawa dia pergi ke Baitulmaqdis pada waktu malam dan pulang sebelum subuh?”
    Kemudian Abu Bakar As-Siddiq melafazkan lafaz keimanan yang mendalam: “Sekiranya dia berkata demikian, nescaya aku akan percaya apa yang dia katakan, walaupun lebih daripada itu. Aku percaya berita dari langit, sama ada pada waktu pagi atau petang.”
    (HR. Hakim, dinyatakan sahih dan disetujui oleh Imam Az-Zahabi).

    Terus puak Quraisy terpana dengan pendirian Abu Bakar RA ini.
    Ya Allah jadikan kami orang yang benar & jujur sehingga Allah tuliskan kita sebagai orang yang benar & termasuk dalam golongan yang diredhai-Nya.
    Biarlah rugi sikit atas dunia asalkan dapat pulangan yang besar di Akhirat kelak! 

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top