View Categories

(43) Surah At-Taubah: Ayat 103-104

12 min read

TERIMA SEDEQAH DAN ZAKAT, DOAKAN PEMBERINYA & ALLAH SWT MENERIMA TAUBAT.

Full video : https://youtu.be/q4T1KEJh5Xo?si=koR-zSVSL2vansos

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 103 sehingga 104 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam ayat ini Allah SWT nyatakan arahan kepada Nabi SAW agar terima sedeqah dan zakat daripada orang Islam. 
    Tujuannnya untuk membersihkan jiwa mereka & harta benda dari hak faqir miskin.
  1. Kemudian Allah arahkan juga agar Nabi SAW mendoakan kepada para pemberi zakat & sedekah. 
    Ini kerana doa Baginda dapat memberi ketenangan & penyejuk jiwa & lapang dada bagi mereka. 
  1. Allah SWT bagi tawaran kepada mereka yang kupit, bakhil tak pernah bayar zakat & sedekah; Allah akan menerima taubatnya jika mereka bertaubat sekarang. 
    Ayat ini untuk memberi kesedaran & peluang kepada mereka agar kembali ke pangkal jalan sebelum malaikat maut menyentap nyawa mereka.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa ada di kalangan hamba-Nya yang datang berjumpa Nabi SAW menyatakan penyesalan & keinsafan, mengakui kesalahan mereka tidak pergi Perang Tabuk, mereka bukan munafiq. 
    Mereka mengaku punca mereka lambat & menangguhkan permergian untuk berjihad kerana sayang pada harta.
    Ada juga sebahagian mereka tidak mahu infaq kerana sayangkan harta.

    ii- Maka datang ayat ini nyatakan: Jika betul kamu insaf & nak bertaubat; maka keluarkan sedekah yakni zakat daripada harta kamu yang ada dengan betul-betul ikhlas & lapang dada.
    Tanpa ada persaan benci tidak suka & sempit dada, jika tidak, kamu akan kekal dalam sifat munafiq! 

    Kata pepatah Arab: “إن الدعوى لا تُقرّ إلا بالمعنى” Dakwaan tidak boleh diterima kecuali dengan bukti perbuatan. 
    Dengan adanya ujian pemeriksaan; seseorang itu dapat dipastikan sama ada dia dihinakan atau dimuliakan!
    Sama seperti pelajar kita apabila datang peperiksaan kita akan nampak pelajar yang rajin & cerdik berbeza dengan yang malas.
  1. Munasabah kedua:
    i- Antara syarat taubat nasuha itu ialah kena qadha’ tunaikan balik apa yang terlepas. 
    Orang yang tidak pergi berperang ini ada dua kesalahan:
    -Tidak ikut pergi berperang,

    – Tidak infaq harta dalam peperangan.

    ii- Maka datang ayat ini agar qadha balik yang telah lepas, kamu bayar zakat & infaq serta tunaikan nilai yang kamu tidak bayar dulu.
    Ini agar orang faqir miskin dapat manfaat dari harta kamu itu dan pemerintah negara Islam dapat menggunakannya sebagai dana fi-sabilillah juga untuk persiapan & alat peperangan.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 103: {AMBILAH (SEBAHAGIAN) DARI HARTA MEREKA MENJADI SEDEKAH (ZAKAT), SUPAYA DENGANNYA ENGKAU MEMBERSIHKAN MEREKA (DARI DOSA) DAN MENSUCIKAN MEREKA (DARI AKHLAK YANG BURUK); DAN DOAKANLAH UNTUK MEREKA, KERANA SESUNGGUHNYA DOAMU ITU MENJADI KETENTERAMAN BAGI MEREKA. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AT-TAUBAH 9:103)

  1. Ayat ini adalah perintah Allah SWT agar Nabi SAW mengambil daripada harta orang mengaku bersalah dan ingin bertaubat itu untuk qadha’, bayar balik apa yang dia telah terlepas. 
  1. Ada ulama’ kata: Ia umum untuk apa-apa kesilapan dan kesalahan kamu yang lepas sekalipun. 
    Ini kerana kebaikan yang kita buat dapat menghilangkan keburukan yang lepas.
  1. Ramai ulama’ feqah menjadikan ayat ini sebagai dalil wajibnya zakat. 
    Zakat menjadi pembersih kepada harta yang ada. 
    Jika belum bayar maka sekaranglah masa untuk mengeluarkannya & membersihkan jiwa dan harta kamu.
  1. Hadis Nabi SAW: Sudah sedekah itu memadamkan dosa kesalahan manusia sebagaimana air memadamkan api. 
    [HR Imam Ahmad].
  1. Itulah tujuan utama zakat, nak bersihkan harta bagi haq faqir miskin, nak bersih harta daripada harta yang tak jelas, nak bersihkan tuannya daripada sifat bakhil dan kedekut!
  1. Sedekah itu juga dapat menyuburkan harta kamu! 
    Iaitu Allah akan memberkati harta itu maka apabila ia berkat yang sendiri akan bertambah banyak dan berkembang dengan cara yang halalnya!
  1. Tanda harta tak berkat ialah yang digunakan dan dilaburkan pada tempat maksiat & mungkar, untuk taja & sponsor majlis lagha & mungkar juga. 
    Apabila seseorang menganjur majlis maksiat; maka semua orang datang buat maksiat itu, dosanya akan dikongsi bersama juga oleh para penganjur itu!
  1. Ayat ini menyatakan zakat membersihkan dari dosa, menyucikan jiwa, menyuburkan harta, memperelokkan akhlak serta membuat amal soleh yang akan membeli pahala yang banyak di Akhirat.
  1. Faedah zakat & sedekah juga mendapat doa dari Nabi SAW pada masanya & mendapat doa-doa orang soleh pada zaman kita ini! 
    Doa Nabi SAW itu melapangkan dada, menenangkan hati & mencerahkan fikiran.
  1. Allah menyuruh Nabi SAW berdoa kepada mereka {وَصَلِّ عَلَيْهِمْ}- apabila menerima zakat daripada mereka. 
    Doakan kepada pemberi zakat & sedekah dengan doa yang baik-baik sebagaimana dalam hadis yang telah kitab bawa dalam siri yang lepas.
  1. Hadis dari Abdullah bin Abu Aufa RA, berkata:
    كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَاهُ قَوْمٌ بِصَدَقَتِهِمْ قَالَ: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ فُلَانٍ. فَأَتَاهُ أَبِي بِصَدَقَتِهِ. فَقَالَ: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ أَبِي أَوْفَى.
    Bermaksud: Adalah Nabi (SAW) itu, apabila ada orang-orang yang datang membayar zakatnya, beliau mengucapkan (do’a): اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ فُلَانٍ. Ya Allah, limpahkanlah kurnia atas……. (disebut nama pembayar itu). Lalu ayahku datang membayar zakatnya, maka Baginda mengucapkan: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ أَبِي أَوْفَى. Ya Allah, limpahkanlah kurnia atas keluarga Abu Aufa. [HR Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud & Ahmad.]
  1. Doa Imam Syafei: Doa untuk Orang yang Membayar Zakat: آجَرَكَ اللهُ فِيْمَا أَعْطَيْتَ، وَبَارَكَ لَكَ فِيْمَا أَبْقَيْتَ، وَاجْعَلْهُ لَكَ طَهُوْرًا
    Semoga Allah membalas (memberikan balasan yang baik) apa yang engkau beri dan memberkati harta yang engkau yang engkau tinggalkan (dirumah) dan menjadikannya harta yang bersih untukmu. [Imam an-Nawawi menyebutnya dalam kitab al-Azkar].

    Seorang amil bacalah doa apa-apa pun untuk pemberi zakat, jangan bakhil dengan doa untuk keberkatan infaq itu. 

    Boleh juga seperti doa ini: اللَّهُمَّ بَارِكْ فِي أَمْوَالِهِمْ- “Ya Allah, berkatilah harta mereka.”
  1. Fakta: Apabila disebut perkataan {صَلِّ} dalam al-Quran ia membawa beberapa makna:
    i- Jika disandarkan kepada Allah maknanya Allah beri rahmat.

    ii- Jika dikatakan malaikat, maknanya malaikat beristighfar memohon ampun kepada manusia.

    iii- Jika disandarkan kepada Nabi SAW maka ia bererti doa.
  1. Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa:
    i- Allah Maha Mendengar, Allah dengar segala percakapan, perkataan golongan munafiq itu!

    ii- Lagi Maha Mengetahui Allah mengetahui apa yang hendak diberikannya kepada pengeluar zakat & sedekah.
    Maka tugas kita sucikan hati lapangkan dada, keluarkan zakat & infaq fi-sabilillah dengan ikhlas.

AYAT 104: {TIDAKKAH MEREKA MENGETAHUI BAHAWA ALLAH DIA LAH YANG MENERIMA TAUBAT DARI HAMBA-HAMBANYA, DAN JUGA MENERIMA SEDEKAH-SEDEKAH (DAN ZAKAT SERTA MEMBALASNYA), DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH DIA LAH PENERIMA TAUBAT, LAGI MAHA MENGASIHANI?} (AT-TAUBAH 9:104)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah suruh kita sedekah untuk bersihkan jiwa & lapangkan dada serta mendapat doa Nabi SAW & umat Islam. 
    Sebelum ini juga Allah nyatakan tentang orang yang mencampur antara perkara baik & buruk, serta Allah nyatakan mudah-mudahan Allah akan terima taubat mereka jika mereka bertaubat. 
    Ulama’ kata: Jika dibawa ayat { عَسَى ٱللَّهُ ..mudah-mudahan Allah}- ia bermakna wajib atau pasti Allah akan mengampunkkannya!

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan dengan sorih & jelas bahawa Dia akan memaafkan, menerima mereka yang bertaubat! 
    Tujuan ayat ini ialah untuk menggalakkan manusia bertaubat. 
    Ahli maksiat & dosa sila u-turn balik, bertaubat kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu Maha Penerima taubat.
  1. Allah bertanya wahai manusia apakah kamu tidak tahu, tidak sedar bahawa orang-orang sudah bertaubat itu; Allah telah terima taubatnya mereka! 
    Jangan membuat keraguan apakah Allah telah terima taubat kita apakah Allah ampunkan dosa kita!
  1. Kerja kita hanya tadaruk (تدارك), ganti qadha’ balik, cover semula apa yang telah lepas.
    Contoh orang yang telah 4 tahun tak keluarkan zakat, maka dia kena audit balik harta & pendapatannya pada setiap tahun yang dia tak bayar itu, lalu kiralah berapa nilai & jumlah yang dia kena bayar selama itu!! 
    Jangan tinggalkan untuk ganti balik apa yang dia telah tinggalkan.
    Kita manusia ini hanya satu sahaja tak boleh qadha’ iaitu makan!
    Kita tak boleh makan ganti semula apa yang kita telah tak makan selama 3-4 hari yang lepas.
  1. Allah janji akan terima balik sedekah kamu yang lepas & yang sekarang, yang semasa atau yang qadha’ dengan syarat kamu ikhlas dalam taubat itu! 
  1. Dalam ayat ini Allah tak wakilkan kepada Nabi SAW tetapi Allah kata Dia sendiri yang akan terima taubat kamu! 
    Semasa doa tadi Allah perintahkan Nabi SAW untuk mendoakan mereka pemberi sedekah & zakat, tetapi dalam bab taubat Allah berjanji yang Dia sendiri akan terimanya!
  1. Hadis tentang kelebihan sedekah ini, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: Rasulullah SAW telah bersabda:
    مَنْ تَصَدَّقَ بِعَدْلِ تَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ وَلاَ يَقْبَلُ اللهُ إِلاَّ الطَّيِّبَ، وَإِنَّ اللهَ يَتَقَبَّلُهَا بِيَمِينِهِ ثُمَّ يُرَبِّيهَا لِصَاحِبِهِ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ فَلُوَّهُ حَتَّى تَكُونَ مِثْلَ الْجَبَلِ
    Ertinya: “Barangsiapa bersedekah sebesar buah kurma dari harta yang halal dan Allah tidak menerima melainkan akan yang halal dan sungguhnya Allah menerimanya dengan baik kemudian menambahnya bagi empunyanya sepertimana salah seorang kamu menyuburkan akan ternakannya sehingga jadilah sebiji kurma itu seperti gunung.” (HR Imam Bukhari)

    Imam Muslim meriwayatkan: حَتَّى تَكُونَ مِثْلَ الْجَبَلِ أَوْ أَعْظَمَ
    Ertinya: “Sehingga jadilah sedekah sebiji kurma itu seperti gunung atau lebih besar.”

    Dan pada riwayat Imam An-Nasaie: حَتَّى تَكُونَ أَعْظَمَ مِنَ الْجَبَلِ
    Ertinya: “Sehingga jadilah sedekah itu lebih besar daripada gunung.”

    Dan pada satu riwayat Imam Ahmad:إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَصَدَّقُ بِاللُّقْمَةِ فَتَرْبُو فِي كَفِّ اللَّهِ حَتَّى تَكُونَ مِثْلَ الْجَبَلِ
    Ertinya: “Sungguhnya seorang lelaki bersedekah dengan sesuap makanan maka suburlah sedekah itu dalam pemeliharaan Allah sehingga jadilah sesuap itu seumpama gunung.” 
  1. Maka para jemaah semua jangan bakhil kerana sedekah kita walaupun kecil Allah akan besarkan sebesar gunung dengan syarat ikhlas dan ikut kemampuan yang kita ada. 
    Jika sikit beri sikit, jika banyak berilah banyak!
  1. Di akhir ayat Allah berfirmna:
    i- Dan bahawa sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat, maka jangan putus asa dan lengah untuk bertaubat kepada Allah kerana sebesar mana dosa kita, besar lagi rahmat & pengampunan Allah! 

    ii- Lagi Maha Mengasihani- belas kasihan Allah lebih luas daripada dosa hamba-Nya. 
    Jangan siapa kecewa & putus harap dari rahmat Allah kerana taubat nasuha akan menyelamatkan kita!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 103: {Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat),…}-

    Ambillah daripada sebahagian dari harta sebagai zakat, Allah tak suruh ambil semua harta kamu! 
    Hanya 1/40 sahaja menjadi zakat kewajipan, bahagian faqir miskin daripada harta kamu!
    Jika seseorang berniaga, luas kedudukannya kita akan nampak betapa hartanya kena keluarkan zakat. 
    Wajib keluarkan zakat, siapa yang tak bayar zakat terimalah dosa yang amat besar!
    Tidak akan ada, tidak mungkin akan berlaku pembersihan harta, tidak akan berlaku penyucian harta selagi kamu tak keluarkan zakat. 
    Seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang atau syarikat bagi menampakkan bersih duit haram yang didapati, akan digunakan keadaan ‘money laundering’, buat charity itu ini nak cover aktiviti haram & illegal.
    Itu bukan zakat yang mencucikan harta tetapi nak lari dari akta!
  1. Ayat 103: {Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat),…}-

    Dengan ayat ini para ulama’ tafsir & feqah mengambil dalil dengannya bahawa wajibnya zakat bagi haiwan ternakan & buah-buahan.
    Ini kerana berdasarkan (istinbat) harta para sahabat pada zaman itu terletak pada haiwan ternakan dan kebun-kebun kurma. 
    Ia juga memberi dalil boleh beri zakat kepada orang yang mempunyai hutang dan dijangka bayar. 
    Jika nampak dia liar & memang culas tak mahu bayar zakat, maka boleh berhenti dulu bayar zakat sehingga dia bayar.
    Ia juga memberi hukum bahawa kadar zakat itu hanya sedikit bukan dari semua harta benda, ada kadar & tempohnya yang tertentu, bukan hanya pakai harung begitu sahaja!
    Islam ini ada undang-undang & peraturannya yang sempurna, lengkap & teratur.
  1. Ayat 103: {Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk);}-

    Zakat itu dapat bersihkan mereka dari dosa dan bersihkan jiwa.
    Bersihkan harta dari haq faqir miskin dan bersihkan jiwa daripada sifat tamak, bakhil & kedekut.
    Kenapa zakat /sedekah itu dikatakan pembersihan?
    Ini kerana zakat diambil daripada harta yang pemiliknya tak boleh guna, seolah hampas yang dikeluarkan untuk mensucikan sesuatu. 
    Harta itu harta yang kita tak boleh guna, ia adalah haq faqir miskin maka Allah kata kamu jangan ambillah ia kerana harta itu membersihkan.
    Sebagaimana hadis Nabi SAW yang menyatakan keluarga Baginda SAW tidak boleh terima zakat. 
    Kerana zakat adalah harta kotor yang tidak boleh digunakan hatta oleh tuannya sendiri maka ia pastilah tidak layak untuk keluarga Nabi SAW yang mulia! 

    Hadis Nabi SAW: إِنَّ هَذِهِ الصَّدَقَةَ إِنَّمَا هِيَ أَوْسَاخُ النَّاسِ ، وَإِنَّهَا لَا تَحِلُّ لِمُحَمَّدٍ وَلَا لِآلِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
    Maksudnya: Sesungguhnya sedekah (zakat) adalah kotoran manusia, tidak halal untuk Muhammad SAW dan keturunan Muhammad SAW. (HR Muslim, no. 1072)

    Nabi SAW pernah korek dari mulut cucunya yang masih kecil yang makan buah tamar yang tercicir, bimbang takut dari harta zakat.

    Hadis riwayat Abu Hurairah menyatakan bahawa;
    أَخَذَ الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا تَمْرَةً مِنْ تَمْرِ الصَّدَقَةِ فَجَعَلَهَا فِي فِيهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كِخْ كِخْ لِيَطْرَحَهَا ثُمَّ قَالَ أَمَا شَعَرْتَ أَنَّا لَا نَأْكُلُ الصَّدَقَةَ ‏(‏متفق عليه‏)‏‏.‏ ‏
    Maksudnya: Hasan bin Ali (cucu kepada Nabi Muhammad SAW) mengambil sebiji kurma (tamar) daripada kurma sedekah lalu meletakkan ke dalam mulutnya. Maka Nabi SAW lantas berkata: kih!! kih!! (ia merupakan perkataan dan isyarat kepada Saidina Hasan untuk mengeluarkannya daripada mulut) buangkannya, apa kamu tidak mengetahui, bahawasanya keturunan kami tidak makan harta sedekah (zakat). [Muttafaq ‘Alaih].

    Persoalan: bolehkah kita berikan zakat kepada ibu bapa/nenek??? 
    Atau dari ibu bapa/nenek untuk anak cucunya?
    Ada beberapa pandangan; yang majoritinya tidak patut sama-sekali sama ada dari segi adab & hak.
    Kerana zakat adalah harta yang wajib dikeluarkan, hak faqir miskin, bukan harta pemberian dengan kasih sayang atau sebagai hadiah.

    Kita ambil satu pandangan Imam al-Nawawi dalam al-Majmū‘ (6/223):
    Terjemahan: “Adapun jika anak atau ibu bapa itu fakir atau miskin, dan kita katakan dalam sebahagian keadaan tidak wajib nafkah mereka (ke atas pemberi), maka harus bagi seorang bapa atau anak memberikan zakat kepadanya daripada bahagian fakir dan miskin tanpa sebarang khilaf; kerana pada ketika itu dia dianggap seperti orang asing.”

    Tetapi ingat duit zakat bukan duit kasih sayang, itu haq orang faqir miskin. 
    Duit hadiah ini yang kita ambik daripada poket kita dengan jiwa yang baik, hati yang lapang bukan kewajipan itu baru duit hadiah penuh kasih sayang!
  1. Ayat 103: {… dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka.}-

    Berdoalah kepada mereka agar mereka tenteram & tenang hati.
    Kata ulama’: Doa ini hendaklah dibaca biar mereka dengar dan boleh mengaminkannya.
    Maka akan gembira & tenang hati mereka, dan ini akan menggalakkan mereka untuk terus bersemangat berinfaq dan bersedekah.
    Berdoalan banyak-banyak kepada mereka kerana dolat atau doa dari Nabi & orang yang soleh akan memberi ketenagan jiwa kepada orang yang didoakan! 
    Kerana itu zakat ini hendaklah diberi secara terang-terangan & dinyatakan adalah zakat.
    Maka penerima zakat faqir miskin juga akan mendoakan kepada pemberi zakat dengan ikhlas dan penuh berterima kasih!
  1. Ayat 104: {Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dia lah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya, …}-

    Allah jamin dalam ayat ini dan menyatakan bahawa bahawa Dia sendiri yang akan menerima taubat.

    Kata ulama’: 
    i- Dalam bab menerima zakat Allah suruh Nabi SAW yang menerimanya tetapi kita tak tahu sama ada orang itu bayar dengan ikhlas atau tidak dalam memberinya. 
    Nabi SAW hanya menjalankan tugasnya!

    ii- Tetapi dalam menerima zakat & taubat, tiada siapa tahu sama ada nabi, amil atau pegawai zakat. 
    Dalam bab taubat Allah kata Dia sendiri yang akan menerimanya!
    Maka jika kita nak Allah terima taubat kita, maka kita kena keluarkan zakat kita itu dengan penuh ikhlas!!! 
    Jika tak ikhlas tak jadi zakat kita itu!

    Kesimpulannya: Tiada manusia tahu sama ada zakat kita Allah kabulkan atau tidak, tetapi kita kena berdoa, perbetulkan niat, ikhlaskan pemberian & yakin bahawa Allah Maha Penerima taubat & penuh kasih sayang!
    Semoga Allah terima segala sedekah kita, infaq yang kita hulurkan & zakat yang kita keluarkan, segala perbelanjaan yang baik kita gunakan, menjadi pemberat amalan timbangan, serta yang layak menjadi payung naungan kita di Akhirat kelak, sebagaimana yang dijanjikan Nabi SAW. 
    Terimalah taubat, bersihkan harta kami daripada hak faqir miskin, serat suburkan harta kami di bawah keredhaan-Mu!
    Kita juga ambil kesempatan di sini untuk mendoakan kepada semua penyumbang & penderma untuk apa sahaja projek yang kita warwarkan; semoga Allah beri pahala yang banyak untuk tuan puan, sebagai pembersih harta & jiwa.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top