SYURGA BAGI PARA MUJAHIDIN, DENGAN JIWA DAN HARTA & 9 SIFAT MUKMIN YANG BENAR.
Full video : https://youtu.be/B9ClBRy7WQ8?si=PnXEsquwu4gtxWc4
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 111 sehingga 112 dalam juz kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa syurgalah bagi para mujahidin, iaitu mereka yang berjihad dengan jiwa dan harta.
- Kemudian Allah nyatakan juga dalam ayat ini 9 sifat mukmin yang benar, yang mulia lagi baik, iaitu mukmin yang sempurna imannya.
- Dua ayat mulia yang Allah SWT bawa ini telah menyejukkan hati kita, melapangkan dada & menenangkan jiwa kita dengan bawa 9 sifat orang mukmin.
Ayat ini lawan kepada ayat yang bawa sifat munafiq yang jahat sifatnya.
Begitulah uslub al-Quran dibawa keduanya yang baik & buruk, positif dan negatif, ini agar kita boleh membuat timbang tara & perbandingan dalam hidup kita ini!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang perihal kaum munafiq yang derhaka, enggan menentang pencerobohan musuh serta mahu menghalang perkembangan dakwah Islam dengan membina masjid dhirar’ masjid yang jahat & sesat!
ii- Maka dalam ayat ini & ayat berikutnya Allah memberi galakan yang besar untuk orang beriman agar tampil berjuang pada jalan Allah kerana Allah telah membeli harta & jiwa mereka dengan balasan syurga!
Sama ada mereka gugur mati syahid membela agama atau mendapat kemenangan yang besar atas dunia ini!
Keduanya dikira menang kerana orang syahid diberi pahala & keampunan yang begitu besar oleh Allah dan mendapat syurga yang tiada bandingannya!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 111- {SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MEMBELI DARI ORANG-ORANG YANG BERIMAN AKAN JIWA MEREKA DAN HARTA BENDA MEREKA DENGAN (BALASAN) BAHAWA MEREKA AKAN BEROLEH SYURGA, (DISEBABKAN) MEREKA BERJUANG PADA JALAN ALLAH MAKA (DI ANTARA) MEREKA ADA YANG MEMBUNUH DAN TERBUNUH. (BALASAN SYURGA YANG DEMIKIAN IALAH) SEBAGAI JANJI YANG BENAR YANG DITETAPKAN OLEH ALLAH DI DALAM (KITAB-KITAB) TAURAT DAN INJIL SERTA AL-QURAN; DAN SIAPAKAH LAGI YANG LEBIH MENYEMPURNAKAN JANJINYA DARIPADA ALLAH? OLEH ITU, BERGEMBIRALAH DENGAN JUALAN YANG KAMU JALANKAN JUAL-BELINYA ITU, DAN (KETAHUILAH BAHAWA) JUAL-BELI (YANG SEPERTI ITU) IALAH KEMENANGAN YANG BESAR.} (AT-TAUBAH 9:111)
- Allah gambarkan dalam ayat ini perjuangan kepada jalan Allah seolah seperti satu jualan beli.
Kerana pembelinya adalah Allah pastilah harganya tinggi & tetap bukan seperti dengan manusia lain!
Waktu membeli lembut lidah daripada gigi waktu nak bayar seperti serigala liar!
- Yakni Allah beli jiwa orang mukmin supaya berjuang lawan musuh lawan kafir!
Allah beli harta orang mukmin supaya mereka infaq fi-sabilillah dengan membuat persiapan tentera & senjatanya – dan bayarannya bukan kecil; Allah janjikan syurga!
Bukan kita manusia yang menjanjikan syurga tetapi ia adalah janji dari Allah Azza wa Jalla sendiri, satu janji yang amat benar bagi pejuang yang menjaga Islam!
Jangan buat tuduhan paslu, buka mulut saja menunjukkan kebodohan!
- Kata ulama’: Kamu ini jika tak mahu berjuang untuk Islam jangan pula jadi penentang Islam!
Kita juga jika tak dapat berjuang kita hulurkan bantuan setakat kemampuan, sedekah, derma, infaq atau kita yang jauh ini jangan lupakan mereka dalam setiap doa kita agar Allah beri keselamatan, kemenangan, bantuan, kelengkapan senjata, makanan dan lain-lain.
- Apakah yang mereka orang mukmin itu jual? Mereka berperang untuk menegakkan kalimah Allah & membela agamanya!
Sama ada mereka dapat membunuh orang kafir lalu menang atau mereka terbunuh di tangan kafir!
Sama ada mereka menang atau tewas, terbunuh & membunuh, keduanya akan mendapat syurga!
Tetapi perjuangan itu kena ada niat yang baik & ikhlas jika tidak akan kerugian dunia & Akhirat!
- Janji Allah itu tetap, telah termaktub di dalam ketiga-tiga kitab yang telah diturunkan kepada para nabinya: Taurat, Injil & al-Quran, Allah telah janjikan syurga untuk hamba-Nya yang berjuang pada jalan Allah sama ada kalah atau menang!
- Kemudian Allah ungkit di sini- Siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah?
Pastilah tiada yang lebih sempurna janjinya selain daripada Allah & Rasul-Nya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.} (Ali-‘Imran 3:9)
- Maka apabila kita kenal Allah & tahu janji Allah, wahai orang beriman yang mujahid, hendaklan kamu bergembira dengan perjuangan yang kamu jual kepada Allah yang Allah telah belinya!
- Jualan ini membawa keuntungan yang besar, jualan yang agung kerana balasannya bagi orang jihad ialah keampunan & keredhaan Allah yang membawa ke syurga!
- Beberapa hadis tentang kelebihan mati syahid fi-sabilillah:
i- Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu: diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar, melihat tempatnya didalam syurga, dilindungi dari azab kubur , dan terjamin keamanannya dari malapetaka besar, merasakan kemanisan iman, dikahwinkan dengan bidadari, dan diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya.” [HR at-Tirmizi, Ibnu Majah, dan Ahmad].
ii- Dari Nabi SAW baginda bersabda maksudnya:
“Tidak ada satu jiwa pun yang mati dan akan memperoleh kebajikan yang menggembirakannya di sisi Allah kerana dia dapat kembali ke dunia bukan kerana untuk memperoleh dunia serta isinya kecuali orang yang mati syahid. Kerana ia berharap dapat kembali lagi lalu terbunuh lagi di dunia, melihat besarnya keutamaan mati syahid.”(HR Muslim : 3488)
iii- Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Allah telah menjadikan ruh saudara-saudaramu yang gugur di medan Uhud berada di dalam rongga burung berwarna hijau yang berada dipinggir sungai di syurga. Burung itu memakan buah-buahan syurga kemudian bertengger di atas lampu-lampu yang terbuat dari emas yang tergantung di bawah Arasy. Saat mereka telah mendapat makanan, minuman, dan tempat tidur yang menyenangkan, mereka berkata, ‘Jika saudara kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa-apa yang Allah berikan kepada kita, mereka tidak akan meninggalkan jihad di jalan Allah dan tidak akan lari dari medan perang.” [Hadis sahih riwayat Hakim diriwayatkan Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Tirmizi].
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
{Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?} (As-Saff 61:10)
{Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).} (As-Saff 61:11)
AYAT 112- {(MEREKA ITU IALAH): ORANG-ORANG YANG BERTAUBAT, YANG BERIBADAT, YANG MEMUJI ALLAH, YANG MENGEMBARA (UNTUK MENUNTUT ILMU DAN MENGEMBANGKAN ISLAM), YANG RUKUK, YANG SUJUD, YANG MENYURUH BERBUAT KEBAIKAN DAN YANG MELARANG DARIPADA KEJAHATAN, SERTA YANG MENJAGA BATAS-BATAS HUKUM ALLAH. DAN GEMBIRAKANLAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN (YANG BERSIFAT DEMIKIAN).} (AT-TAUBAH 9:112)
- Dalam ayat ini Allah bawa 9 sifat orang mukmin yang sempurna akhlak, sempurna jiwa:
i- Orang-orang yang bertaubat {ٱلتَّـٰٓئِبُونَ},
ii- Yang beribadat {ٱلْعَـٰبِدُونَ},
iii- yang memuji Allah {ٱلْحَـٰمِدُونَ},
iv- Yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam) {ٱلسَّـٰٓئِحُونَ} / puasa.
v- Yang rukuk {ٱلرَّٰكِعُونَ},
vi- yang sujud, {ٱلسَّـٰجِدُونَ},
vii- Yang menyuruh berbuat kebaikan {ٱلْامِرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ},
viii- Dan yang melarang daripada kejahatan {وَٱلنَّاهُونَ عَنِ ٱلْمُنكَر},
ix- Serta yang menjaga batas-batas hukum Allah {وَٱلْحَـٰفِظُونَ لِحُدُودِ ٱللَّهِ}.
- Munasabah ayat:
i- Apabila Allah kata Dia beli dari orang mukim harta & nyawanya serta balasannya syurga;
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan siapakah mereka- inilah sifat orang mukmin.
Maka jika kita dapat masuk dalam kumpulan ini; kita akan berada dalam kumpulan orang yang baik-baik.
Jika tak dapat duduk di depan, dapat duduk di belakang pun jadilah!
- Kita lihat sifat ini satu persatu:
Pertama:
Orang yang banyak bertaubat, Allah beli harta & jiwa mereka yang sentiasa kembali kepada Allah!
Apabila buat salah terus mereka bertaubat, menyesal insaf bersungguh, bukan hanya main-main dan tidak berani lagi buat maksiat pula!
- Kedua:
Orang yang suka beribadat kepada Allah, yang tunduk merendah diri kepada Allah, taat & mencintai Allah, bersungguh beribadat kepada Allah dalam semua perkara.
Sama ada dalam ibadat khusus & umum, semua termasuk dalam kategori beribadat kepada Allah!
- Ketiga:
Orang sentiasa memuji Allah, mulutnya sentiasa bergerak lidahnya basah berzikir memuji dan menyebut nama Allah.
Kata cerdik pandai: Sebut nama Allah bawa bahagia, banyak sebut nama orang lain bawa celaka!
Inilah jika sebut namanya dengan tak betul, iaitu jika betul jadi mengumpat jika tak betul adalah fitnah!
- Keempat:
Orang yang mengembara di muka bumi: ada beberapa pendapat ulama’ tentang {ٱلسَّـٰٓئِحُونَ} ini:
i- Untuk menuntut ilmu & mengembang Islam
ii- Ada ulama’ kata maksudnya orang berpuasa: Yang berlapar & sabar meneruskan pengembaraan puasanya tak makan tak minum sehingga berbuka.
Tak kira 14, 15 jam atau 20 jam.
iii- Orang bermusafir untuk berjuang: Jihad dalam peperangan, haji atau umrah atau silaturrahim.
iv- Ada juga kata yang berjalan untuk menuntut ilmu!
Yang penting maknanya berjalan atas muka bumi dengan badan & hati, iaitu untuk menuntut ilmu atau jihad, ikhlas dalam perjuangan kepada Allah!
Kata ulama’: Berjalan kepada manusia dengan kaki; berjalan kepada Allah dengan hati!
- Kelima:
Orang yang rukuk kepada Allah, iaitu orang yang solat serta orang yang patuh kepada Allah.
- Keenam:
Orang yang sujud kepada Allah, juga orang yang solat kepada Allah serta tunduk patuh taat kepada Allah, tak ingkar walaupun sedikit akan hukum Syari’ahnya.
- Ketujuh:
Orang yang sentiasa mengajak manusia ke jalan yang baik , amar makruf.
- Kelapan iaitu orang yang mencegah kemungkaran.
Untuk penjelasan yang lebih detail tentang tugas amar mrf & nahi mungkar ini boleh rujuk kuliah AAM dengan Kitab Islam Cara Hidup.
AAM 2025 Islam Cara Hidup (61) Amar Makruf Dan Nahi Mungkar, Sifat Istimewa & Kepentingannya.
- Kesembilan iaitu orang yang menjaga batasan yang telah ditetapkan Allah.
Iaitu orang yang beramal dengan larangan Allah & perintah-Nya.
Mereka tidak mensia-siakan sedikit pun daripada apa yang dieprinthakan Allah, yang Allah suruh semua dia buat & yang Allah larang semuanya ditinggalkan!
- Itulah sembilan sifat mukmin yang baik serta dilengkapkan dengan yang kesepuluh iaitu mereka yang berjihad dengan jiwa & hartanya.
Semoga kita termasuk dalam golongan kafilah yang baik ini!
- Di akhir ayat Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk memberi khabar genbira kepada orang mukmin.
Iaitu bahawa semua orang mukmin yang berjuang pada jalan Allah, lelaki atau perempuan, tua atau muda, kecil atau besar, sedikit atau banyak; yang penting 10 sifat ada pada dia.
- Maka mereka mendapat khabar gembira, kebaikan di dunia dengan keampunanAllah & kemenangan-kemenangan yang dicapai!
Di Akhirat kelak tidak perlu bercakap banyak, syurgalah tempatnya!
Jangan tanya bagaimana lagi, cuma jika nak minta kita minta syurga yang tertinggi iaitu syurga Firdaus!
Ya Allah jadikan kami semua orang yang layak ke syurga-Mu.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 111- {Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga,…}-
Ayat ini memberi galakan besar kepada orang yang beriman & orang yang yakin!
Kamu juallah harta & jiwa kamu kepada Allah kerana terlalu tinggi harga bayarannya iaitu al-Jannah (syurga).
Kerana itu kata ulama’ tadabbur: Satu benda yang ajaib & pelik jika seseorang mengaku dia beriman kepada Allah & Rasulullah SAW tiba-tiba dia bakhil untuk menjual harta & jiwanya kepada Allah!
Di mana imanmu, di mana perasaan & keyakinan kamu jika kamu tak berani nak jual hartamu & jiwamu kepada Allah SWT!
Antara kebahagiaan manusia ialah mereka yang mampu ubah landscape kehidupannya dari duduk atas dunia saja kepada bekalan kehidupan di Akhirat dengan janji yang begitu besar dari Allah SWT.
Iaitu mereka yang boleh ubah status tanahnya daripada rumah manusia kepada rumah Allah iaitu masjid!
Kita waqafkan tanah kita untuk kerja dakwah, untuk masjid, untuk pondok, betapa besar pahalanya!
Marilah kita pakat derma agar akhirnya kita tidak kecundang & kerugian!
Jihad maksudnya berjuang untuk menegakkan kalimah Allah yang mulia!
- Ayat 111- {Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan …}-
Dalam ayat ini Allah gunakan perkataan:
{ ۞ إِنَّ ٱللَّهَ ٱشْتَرَىٰ-Aku beli..}- kenapa?
Ini satu seni keindahan ayat untuk nyatakan semangat Allah tunjukkan kepada kamu betapa Pembeli begitu semangat untuk membeli.
Seperti kita apabila hati dah berkenan dengan sesuatu, harga mahal pun kita sanggup bayar!
Maka dalam ayat ini Allah guna perkataan beli, kerana bila beli kena bayar.
Ertinya bila kamu jual/serah harta kamu & jiwa kamu fi-sabilillah, bayaran tetap akan berlaku dari Allah!
Kerana itu Allah ungkit di sini dalam Taurat ada dalam Injil ada! Nilai perjanjian ini besar, kamu lihat kepada siapa pembelinya!
Allah kata Dia beli untuk menunjukkan ada harganya, ada bayaran.
Tiada yang lebih besar & paling tinggi bayaran lebih daripadanya iaitu syurga.
Kesimpulanya:
i- Kita jual benda yang kita paling sayang iaitu harta & nyawa,
ii- Harganya pula yang paling mahal iaitu syurga .
iii- Pembelinya pula yang paling iaitu Allah.
Jadi kenapa kita masih bakhil, masih kupit tidak mahu terima tawaran ini!
Orang yang rugi ialah orang yang menjual hartanya kepada pembeli dengan harga murah!
Contoh jual tanah untuk buat kandang kambing berbanding dengan jual kepada masjid!
Bukan kata tak baik kandang kambing tetapi nak ceritanya kita gi ambil yang kecil tinggalkan yang besar yang Allah tawarkan, kurang cerdiklah kita kata!
- Ayat 112- {(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, …..}-
Allah sebut dalam ayat ini 9 sifat orang beriman.
Allah letakkan 9 sifat ini sebagai sifat mukmin yang mulia, yang sempurna imannya, yang lapang dadanya & tenang jiwanya, tamakkan keampunan Allah SWT.
Ini supaya apabila orang yang betul-betul mahukan dia akan bersegera, cuba melakukan 9 atau 10 sifat, supaya mereka mendapat darjat yang paling sempurna atas dunia ini.
Inilah tanda-tanda orang yang beriman, dia akan cuba buat yang terbaik, yang paling cantik, 9 sifat yang disebut Allah SWT ini!
- Ayat 112- {(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat,…}-
Dalam ayat ini Allah mulakan dengan orang yang bertaubat.
Kenapa Allah mulakan dengan orang yang bertaubat.
Ini kerana sebagaimana sabda Nabi SAW: Penyesalan itu taubat.
Manusia ini apabila nak jadi baik dia kena stop & brake, tinggalkan segala perbuatan yang tak baik & buruk itu.
Jika sebelum ini dalam kelalaian & kebakhilan; sekarang kita berhenti & semak balik sifat perangai kita!
Kata ulama’ syarat taubat itu ada 5 atau seumpamanya:
i- Terbakar hati (kesal) dengan maksiat yang dia buat.
Lalu berhenti terus daripadanya, meninggalkannya.
Tak kira maksiat apa saja.
Ya Allah jagalah jiwa kami secara zahir & batin daripada terjebak dengan dosa & maksiat.
ii- Menyesal kita dengannya.
iii- Berazam tak akan buat lagi.
iv- Jika berkait dengan hak orang, minta maaf & hantar balik.
v- Semua penyesalan & taubat itu kerana menuntut keredhaan Allah SWT semata-mata. Bukan kerana takut kepada manusia!
Taubat ini sangat besar, siapa yang bertaubat dari dosa seolah dia tidak berdosa lagi.
Inilah fokus kita kepada sifat pertama iaitu taubat!
- Ayat 112- {(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).}-
Kenapa Allah pilih sembilan sifat ini?
Kerana ini ialah sifat untuk lawan munafiq.
Dalam Surah Al-Ahzab: 95, ada 10 sifat yang Allah sebut:
{Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.} (Al-Ahzab 33:35)
Allah khususkan 9 sifat yang disebut ini kerana ia menggambarkan jiwa kita yang indah & elok.
Kata ulama’: Selepas kita bertaubat kena ubah tugas & gaya hidup, life style!
Jika dulu berkawan dengan orang yang tak baik, sekarang cari orang soleh.
Jika dulu lagha menonton & habiskan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah; sekarang tukar kepada chanel kuliah, tadabbur al-Quran yang boleh memberi ilmu dan memantapkan iman kita!
Contohnya web AAM ini:
Kata ulama’: Nafsu manusia ini tidak boleh duduk diam, ia bergerak aktif.
Jika kamu tidak guna ia kepada jalan yang betul, maka ia akan heret kamu ke jalan yang batil!
Maka orang yang sudah bertaubat & insaf kena tukar gaya hidupnya!!!
Jika dulu kita sibuk shopping membeli hiasan dunia, sekarang kita tukar dengan menjual amal ibadat kita kepada Allah!
Dalam ayat ini Allah bahagikan sifat ini kepada tiga kumpulan:
i- Sifat 1 sehingga 6, adalah hubungan kita dengan Allah {yang rukuk, yang sujud dan lain-lain }.
ii- Dua sifat 7 & 8 ini pula berkait dengan makhluk {yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan}.
iii- Sifat yang ke-9 ini {yang menjaga batas-batas hukum Allah}- berkait dua-dua, kamu jaga hak Allah pada masa yang sama kamu akan jaga hak makhluk!
Betapa indahnya ilmu tadabbur, makin kita belajar makin kita memahami kata-kata Allah yang boleh membawa kita makin dekat kepada Allah!
Al-Quran ini seperti kurma yang makin dikunyah makin manis rasanya!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
