6 SIFAT RASULULLAH SAW, PENUH KASIH SAYANG & UCAPAN “HASBIYALLAHU” BILA DITENTANG.
Full video : https://youtu.be/Eq4MJAm6PBs?si=AzOEI6CnhM2z5ueF
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat terakhir 128 sehingga 129 dalam juz kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan beberapa sifat Rasulullah SAW, iaitu 6 sifat yang Allah sendiri sifatkannya.
- Antaranya Rasulullah penuh kasih sayang terhadap umatnya, Baginda SAW sangat mengharapkan seramai mungkin umatnya dapat masuk syurga!
i- Maka kita juga kena menyambut & berusaha menzahirkan kasih sayang kepada Baginda dengan mengamalkan ajaran & Sunnahnya.
Kata orang: Tak kenal maka tak cinta; tetapi macamana nak kenal atau nak cinta jika tak belajar!
ii- Kita kena belajar untuk menghayati & mengamalkan Sunnah Nabi SAW, bukan sekadar acara, bacaan sejarah hidup Nabi semata-mata, tetapi lebih lagi ialah kita kena berusaha mengamalkan sebab yang ditinggalkan Nabi SAW!
- Kemudian di akhir ayat Allah ajar, jika mereka masih menentang, tidak mahu juga kepada Islam maka ucaplah “Hasbiyallahu”, kita serahkan segala urusan kepada Allah.
Ini kerana kita tidak mampu lagi nak buat sendiri segala urusan kecuali kita sandarkan kepada Allah yang Maha Berkuasa.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT perintahkan Rasul-Nya SAW supaya menyampaikan surah ini kepada semua makhluk dan ia agak berat bermula dari awal surah lagi,
Baraah, perlepasan diri Allah & Rasulullah SAW dari orang kafir.
Serta mendedahkan tembelang feel, perangai kaum munafiq.
Maka kita merasakan satu tugas tanggungjawab & taklif yang berat, bukan semua orang boleh tanggung & hadapinya.
ii- Maka datang ayat ini, akhir surah meringankan semuanya, Allah nyatakan bahawa Rasulullah SAW ini orang kita, dari kalangan kita, maka ia adalah tanggungjawab bersama, kita akan hadapi & tanggungnya bersama-sama.
Allah juga bawakan beberapa sifat Rasulullah SAW yang amat prihatin & kasih akan umatnya!
Seolah doktor yang membawa ubat penawar bagi umatnya, penuh kasih sayang.
Seolah seorang bapa kepada anaknya, yang kadang-kadang perlu menyakiti dulu untuk mengubati & mendidik.
Walaupun banyak perjuangan & arahan perintah tetapi semua itu untuk membawa kita ke syurga yang jalannya penuh onak & duri.
- Munasabah kedua:
i- Awal surah ini dimulai dengan penuh kekerasan seperti jihad & menentang musuh, memutuskan hubungan dengan kaum kerabat yang kafir dan seumpamanya.
ii- Diakhiri surah ini dengan dibawa dua sifat Rasulullah SAW yang penuh kasih sayang & lemah lembut yang menjadi pengubat hati.
Inilah wajah “Rahmatan Lil Aaalamin” yang sebehar.
- Kisah pengajaran:
Pada zaman Saidina Abu Bakar RA, beliau memanggil Zaid bin Thabit RA untuk mengetuai penulisan Mushaf ekoran daripada kebimbangan Saidina Abu Bakar RA akan hilangnya al-Quran daripada ummat Islam akibat gugurnya ramai penghafaz sekitar tujuh puluh orang dalam Peperangan Al-Yamamah. Lalu berlakulah sesi pengumpulan al-Quran daripada pelepah-pelepah kurma, kulit-kulit binatang, tulang-tulang, batu-batu dan sebagainya serta daripada sahabat-sahabat yang hafaz al-Quran. Zaid mengumpulkannya sehinggalah Zaid tidak menjumpai dua ayat terakhir Surah at-Taubah ini yang termaktub (bertulis) kecuali dari Abu Khuzaimah RA. [Riwayat Imam Bukhari].
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 128- {SESUNGGUHNYA TELAH DATANG KEPADA KAMU SEORANG RASUL DARI GOLONGAN KAMU SENDIRI (IAITU NABI MUHAMMAD SAW), YANG MENJADI SANGAT BERAT KEPADANYA SEBARANG KESUSAHAN YANG DITANGGUNG OLEH KAMU, YANG SANGAT TAMAK (INGINKAN) KEBAIKAN BAGI KAMU, (DAN) IA PULA MENUMPAHKAN PERASAAN BELAS SERTA KASIH SAYANGNYA KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AT-TAUBAH 9:128)
- Dalam ayat ini Allah SWT nytakan dengan sifat Nabi SAW yang perlu kita belajar & hayati. Kita akan ambilnya satu persatu insya’ Allah.
- Sifat Rasulullah SAW itu:
i- Rasul: Iaitu Baginda seorang Rasul yang dipilih & dilantik oleh Allah SWT.
Muhammad itu bukan manusia biasa dia adalah utusan Allah yang dihantar kepada kamu!
ii- Dari golongan kamu sendiri iaitu dari kalangan kaum Arab, sama bahasa, sama bangsa.
Baginda yang mereka kenali serta amat mengetahui sifat perangainya yang baik.
Bahkan mereka pernah menggelarkannya sebagai “Al-Amin”, seorang yang sangat dipercayai & amanah.
Firman Allah SWT tentang ini:
{“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.} (Al-Baqarah 2:129)
Ini adalah doa Nabi Ibrahim yang berdoa agar Allah hantarkan seorang rasul dari kalangan bangsa Arab, lalu Allah kabulkan doa itu dengan mengutus Nabi Muhammad SAW.
Hadis: Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى كِنَانَةَ مِنْ وَلَدِ إِسْمَاعِيلَ وَاصْطَفَى قُرَيْشًا مِنْ كِنَانَةَ وَاصْطَفَى مِنْ قُرَيْشٍ بَنِي هَاشِمٍ وَاصْطَفَانِي مِنْ بَنِي هَاشِمٍ.
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memilih Kinanah dari keturunan Nabi Ismail, dan memilih Quraisy dari Kinanah, dan memilih Hasyim dari Quraisy, dan memilihku dari Bani Hasyim.” [HR Muslim (2276)].
iii- Yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu.
Nabi SAW amat susah hati jika umatnya ditimpa kesusahan atau bala bencana apatah lagi bala kekufuran & syirik kepada Allah!
Hadis dari Abdullah bin Amru RA: Pada suatu hari Rasulullah SAW membaca firman Allah di dalam surah Ibrahim:
رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ ۖ فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ – Ibahim:36
“Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyesatkan banyak manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam) maka dia termasuk dalam golonganku; dan sesiapa yang menolak seruanku maka sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Dan ucapan Nabi Isa AS: إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ ۖ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيم – Al-Maidah:118.
“Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalangi) kerana sesungguhnya mereka hamba-Mu; dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
Baginda SAW kemudian mengangkat tangan dan berkata, “Ya Allah, ummatku… ummatku.” lalu Baginda menangis teresak-esak.
Allah SAW berfirman: “Wahai Jibril, pergilah menemui Muhammad dan tanyakan (sedang Allah sudah sedia mengetahui) mengapa dia menangis?
Maka Jibril bertanya dan Baginda memberi jawapan (yang sudahpun diketahui Allah).
Mendengar jawapan itu Allah berfirman: “Wahai Jibril, pergilah kepada Muhammad dan katakan Kami akan meredhai urusan ummatmu dan engkau tidak akan disusahkan.” [HR Muslim].
Hadis ini sahih.
Adapun hadis yang tersebar mengatakan Nabi SAW menyeru ummati, ummati ketika nak wafat di atas riba anaknya Sayyidah Fatimah, adalah hadis yang tidak sahih!, Alhafiz Ibnu Hajar kata itu versi syiah.
iv- Yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu- Nabi SAW nak sangat beri hidayah & kebaikan dunia Akhirat bagi umatnya.
Kerana itu apabila ada peluang berdakwah di pasar-pasar besar & perhimpunan sekitar Makkah, Baginda akan pergi!
Sambil diekori oleh Abu Lahab yang terus melakukan counter attack, menghalang manusia daripada beriman!
Hadis bahawa Abu Lahab mendapat manfaat kerana sambut maulid Nabi adalah tidak sahih & perlu disemak.
Jangan kita pandai-pandai mengangkat darjat orang yang paling jahat terhadap Nabi SAW & dilaknat Allah SWT ini.
a- Hadis sabda Nabi ﷺ:
لَيْسَ مِنْ عَمَلٍ يُقَرِّبُ إِلَى الْجَنَّةِ إِلَّا قَدْ أَمَرْتُكُمْ بِهِ، وَلَا عَمَلٌ يُقَرِّبُ إِلَى النَّارِ إِلَّا قَدْ نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ.
Bermaksud: “Tiada amalan yang mendekatkan ke syurga melainkan aku telah perintahkan kamu melaksanakannya, dan tiada amalan yang mendekatkan ke neraka melainkan aku telah melarang kamu daripadanya.” [Sahih. Riwayat al-Hakim]
b- Hadis: Rasulullah Penyelamat Umat:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَتِ الدَّوَابُّ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهِ فَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهِ
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perumpamaan diriku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Ketika itu, binatang dan kelekatu berjatuhan ke dalamnya. Maka aku mencegah kamu, namun kamu melemparkan diri ke dalamnya. (HR Bukhari No: 6483)
c- Hadis dari Al-‘Irbadh bin Sāriyah RA yang menceritaka: Pada suatu hari Rasulullah ﷺ memberikan mau’izah (nasihat/peringatan) kepada para sahabat.
وعَظَنَا رسولُ اللهِ -صلى الله عليه وسلم- مَوْعِظَةً وجِلَتْ منها القلوبُ، وذَرَفَتْ منها العيونُ
Mau’izah yang sangat dalam yang menyentuh hati kami, sehingga menjadikan hati kami takut dan menjadikan mata kami berlinang air mata. Kemudian kami mengatakan Yā Rasūlullāh كأنها موعظةُ مودِّع: Wahai Rasūlullāh sepertinya ini adalah nasihat orang yang ingin berpisah.
Sabda Rasulullah SAW: تَرَكْتُكُمْ عَلَى المَحجّةُ الْبَيْضَاءِ ، لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لا يَزِيغُ عَنْهَا إِلاَّ هَالِكٌ
Aku telah tinggalkan bagi kamu agama ini di atas satu landasan yang putih, yang malamnya seperti siang. [HR Abu Daud, At-Tirmizi dan lain-lain].
Bererti sunnah Nabi ﷺ adalah sesuatu yang jelas bukan sesuatu yang sukar difahami seperti ilmu kalam misalnya atau ilmu falsafah.
Sabda Nabi SAW juga: عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيْينَ مِنْ بَعْدِي
“Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku & Sunnah Khulafa’ur-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku.”
v- (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.
Nabi SAW ini sangat lemah-lembut dan amat kasihan belas kepada umatnya takut mereka tak dapat masuk syurga!
- Begitu banyak sifat-sifat Nabi SAW yang apabila kita tahu & dengarnya akan menyebabkan kita jatuh hati & bertambah sayang dan cinta kepada Baginda SAW.
Kita boleh baca dalam kitab-kitab Sirah seperti Rahiqul Makhtum dan lain-lain.
- Beberapa hadis sahih yang merakamkan beberapa peristiwa menunjukkan betapa kasih sayangnya Nabi SAW ke atas manusia dan bagaimana tindak balasnya.
i- Dari Anas bin Malik, beliau berkata: “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Sahabat Baginda menggertaknya, tetapi Rasulullah bersabda: “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka, mereka (sahabat) membiarkan orang Arab Badwi itu sehingga dia selesai kencing. Selepas itu, Rasulullah memanggil lelaki berkenaan dan menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk berzikir, solat dan membaca al-Quran.”
Selepas itu, Nabi memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.
ii- Kemudian, dalam hadis berikutnya, Anas bin Malik berkata: “Dahulu ada seorang anak Yahudi sentiasa melayani (membantu) Nabi, kemudian dia sakit.
Maka, Nabi mendatanginya untuk menjenguknya, lalu baginda duduk di dekat kepalanya, kemudian berkata, “Masuk Islamlah!” Maka anak Yahudi itu melihat ke arah ayahnya yang ada didekatinya, maka ayahnya berkata, ‘Taatilah Abul Qasim (Nabi SAW).” Maka, anak itu pun masuk Islam. Lalu Nabi keluar seraya bersabda, “Segala puji bagi Allah yang menyelamatkannya dari neraka.” (HR Bukhari)
AYAT 129- {KEMUDIAN JIKA MEREKA BERPALING INGKAR, MAKA KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “CUKUPLAH BAGIKU ALLAH (YANG MENOLONG DAN MEMELIHARAKU), TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN DIA; KEPADANYA AKU BERSERAH DIRI, DAN DIA LAH YANG MEMPUNYAI ARASY YANG BESAR.”} (AT-TAUBAH 9:129)
- Setelah Nabi SAW yang bersifat penuh kasih sayang & rahmatan lil-Alamin itu berdakwah mengajak mereka, jika mereka puak kafir masih ingkar berpaling & tak dengar juga;
- Maka Allah ajar kepada Rasulullah SAW untuk mengucapkan: حَسْبِىَ ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ ٱلْعَرْشِ ٱلْعَظِيمِ
{“Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.”}
- Yakni dalam ayat ini sebagai penutup Allah ajar kepada kita, bersifat lemah-lembut dan kasih sayang itu memang ajaran Islam tetapi kita juga perlu tegas, bertawakkal, teguh pendirian dan doa mesti ada!
- Maka jika orang kafir lari berpaling, lawan juga maka cukuplah Allah sebagai penolong.
Bukan setakat penolong kita juga berserah diri kepada Allah, Pemilik Arasy yang agung!
- Hadis riwayat daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW akan membaca disaat susah & tertekan:
“ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ رَبُّ السَّمَوَاتِ، وَرَبُّ الأَرْضِ، وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
Bermaksud: Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah yang Maha Agung lagi Maha Lembut. Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah, tuhan kepada Arsy yang sangat mulia. Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah, tuhan kepada langit, bumi dan tuhan kepada Arsy yang mulia. [Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim (2730).
- Ini bacaan sahabat tetapi tidak diangkat kepada Nabi SAW:
عن أبي الدرداء -رضي الله عنه- قال: ((من قال إذا أصبح وإذا أمسى: حسبي الله لا إله إلا هو، عليه توكلت، وهو رب العرش العظيم؛ سبع مرات، كفاه الله ما أهمه، صادقاً كان أو كاذباً)).
Daripada Abu Ad Darda RA, beliau berkata: “Barang siapa yang ketika masuk waktu pagi dia membaca:حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ، عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ، وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ؛ (Cukuplah Allah bagiku tiada Tuhan melainkan-Nya, dan kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan kepada arasy yang agung), sebanyak tujuh kali, maka Allah mencukupkan baginya apa yang penting baginya sama ada benar ataupun tidak.” [Sunan Abu Daud].
Jika dikatakan dari sahabat, Abu Darda RA maka ia sahih mauquf. Tetapi jika diangkat (marfu’) kepada Nabi SAW ia dianggap dhaif.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 128- {Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri…}-
Allah hantar seorang rasul dari kalangan kita sendiri!
Kata para ulama’ sahabat yang berpandangan jauh mengatakan: Ayat ini sebagai satu isyarat yang halus menandakan akan berakhir hayat Nabi SAW, yakni dekat dengan kewafatannya.
Ini kerana apabila Allah SWT mengingatkan, telah datang kepada kamu seorang rasul, memberitahu bahawa yang datang ini telah datang beberapa tahun, berjuang selama 20 tahun, hampir selesai tugasnya sebagai seorang rasul.
Ini kerana setiap yang datang akan pergi, setiap yang lihat akan berhenti.
Sebagaimana yang terjadi apabila turun ayat ini di Arafah: {ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَٰمَ دِينًا}-
Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.} (Al-Ma’idah 5:3)
Orang ramai bergembira mendengarnya tetapi Sayyidina Abu Bakar RA terus menangis kesedihan.
Apabila ditanya kenapa, katanya:
Kerana apabila agama ini sempurna, utusan yang datang membawanya pasti akan pergi kerana tugasannya sudah tamat!
Betapa bijak & berpandangan jauhnya Abu Bakar, apabila agama sudah sempurna, rasul akan pergi!
Seperti tukang rumah, apabila rumah sudah siap, dia tidak akan datang lagilah, datang buat apa lagi!
Jadi para sahabat juga mengambil istinbat daripada ayat ini bahawa Nabi SAW yang datang ini juga akan pergi kerana telah tamat tugasnya!
- Ayat 128- {Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW),…}-
Apabila Allah SWT ungkit, Nabi yang datang itu dari kalangan kamu sendiri!
Kata orang, apabila disebut keturunan kita, bangsa kita, kaum kita, pastilah kita akan terasa lebih lunak & dekat.
Yakni Allah kata rasul itu dari jenis kamu keturunan kamu!
Iaitu Nabi SAW itu dari kalangan manusia dari kalangan Arab juga kerana dibangkitkan di kalangan Arab.
Untuk kita semua yang bukan Arab pula, Nabi SAW itu dari kalangan manusia seperti kita juga, bukan jin atau malaikat yang pasti susah untuk kita ikuti kerana mereka tidak makan minum, tidak berkahwin dan semuanya tidak seperti kita. Maka mana mampu kita nak contohinya.
Lihatlah betapa Allah beri peringatan yang dapat membuatkan kita mudah sentap & sedar, nabi itu manusia dari kalangan & jenis kamu sendiri!
- Ayat 128- {… yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.}-
Nabi yang penuh kasih sayang, amat susah hati jika kita umatnya susah; tamak, loba sangat nak suruh semua umatnya beriman.
Sifatnya dengan orang mukmin sangat menyayangi mereka!
Kata ulama’: Ayat ini menunjukkan Syari’ah perundangan Allah yang dibawa oleh Nabi SAW ini sesuai untuk seluruh manusia keseluruhannya, yang timur barat, orang hitam merah putih dan semuanya!
Tiada dalam agama ini yang keras dan sukar!
Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas”. [Riwayat al-Bukhari (39)].
Ingat agama ini mudah, tetapi jangan sesekali bermudah-mudah dengan agama!
Contoh:
i- Apabila orang sakit atau musafir boleh buka puasa & qadha’nya pada hari yang lain, tetapi tidak puasa tanpa sebab itu bermudah-mudah dengan agama.
ii- Orang uzur tidak dapat berdiri (Qiyam) dalam solat, boleh solat ikut kemampuan duduk atau berbaring, tetapi bila sakit terus tak solat; itu bermudah-mudah dengan agama.
- Ayat 128- & Ayat 129:
Dari dua ayat yang mulia ini Allah menyatakan Allah beri peluang kepada manusia agar ambil peluang yang dibawa oleh Nabi SAW ini, kamu jangan lari, pergi dekat dia, ikut ajarannya.
Kita hari ini walaupun Nabi telah tiada tetapi ingat ajaran & Sunnah Nabi SAW tetap ada untuk kita ikuti & amalkan kerana Allah nak selamatkan kamu dengan kedatangan Nabi SAW.
Tetapi hari ini, ahli Sunnah ini muncul dengan pelbagai nama kumpulan, ahli Sunnah wal jamaah dan sebagainya.
Sempena maulidur-Rasul ini kita dapati pelbagai acara dibuat oleh mereka yang mengaku ahli Sunnah & mencintai Baginda:
i- Ada yang tunjuk cinta dok bernasyid dan berlarak menyambut maulid.
ii- Ada yang duduk baca syamail Nabi SAW, sifat Nabi & kisah Nabi.
iii- Ada yang baca sirah Nabi serta dalam masa yang sama dia cari Fiqhus-Sunnah Nabi SAW untuk mengamalkannya!
Kita pilih yang ketiga kerana kita tidak berlarak kerana ia tidak dibuat oleh para sahabat, kita tidak bergendang kerana anak cucu Nabi SAW pun tidak bergendang dikuburnya.
Kita pilih baca kisah Sirah Nabi SAW, mengahayatinya dalam kehidupan dan mengamalkan Sunnah ajaran Baginda SAW, itu yang terbaik insya’ Allah!
- Ayat 129- {… maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.”}-
Allah SWT tutup surah ini dengan ajar kepada Nabi SAW dengan ayat yang amat besar kesannya ini!
Dakwah ini begitulah, sebaik mana kita, seikhlas mana kita; tetap ada orang terima ada orang tak terima, jika diterima alhamdulillah jika orang tak terima, cukuplah Allah bagi kita!!!
Kita kata tuan Sunnah iaitu Nabi SAW sendiri dihalau keluar dari Makkah.
Kita ucapkanlah ayat yang diajar sendiri oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW.
Cukuplah Allah Pemilik Arasy yang agung sebagai Penolong kita!
Ada sahabat ajar untuk baca 7 kali pagi & 7 x pada waktu petang.
Alhamdulillah pada hari ini Khamis 11/09/2025 bersamaan 18 R. Awal 1447H, khatamlah kita Surah At-Taubah ini sebanyak 52 siri.
Doa sempena khatam Surah At-Taubah ini:
Ya Allah ta Tuhan kami, kami mohon dengan nama-Mu yang indah & sifat-Mu yang maha tinggi: Berikanlah kami kefahaman yang baik, kekuatan jiwa, kefahaman yang jitu untuk beramal dengan Surah At-Taubah yang amat keras ke atas orang kafir, yang telah mendedahkan tembelang para munafiqin.
Ya Allah jadikan kami semua ini, yang berada di alam nyata atau di alam maya sebagai hamba-Mu yang baik, yang beriman dengan dengan-Mu, yang berpegang dengan Sunnah Nabi SAW.
Bersihkan hati kami daripada mencintai orang kafir & benci kepada orang Islam!
Bersihkan hati kami daripada sifat munafiq yang berpura-pura dengan Islam.
Ikhlaskah hati kami & perjuangan kami, berilah kami taufiq & hidayah untuk berpegang dengan al-Quran & Sunnah, hidupkan kami dalam iman & matikan kami dalam iman, dengan husnul-khatimah.
Ya Allah berikan kami kekuatan untuk meneruskan pengajian kami dalam surah-surah yang seterusnya, permudahkan urusan kami, ampunilah kami & semua orang-orang yang kami sayangi!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
