View Categories

(44) Surah At-Taubah: Ayat 105-106

13 min read

LAKUKAN AMALAN DENGAN IKHLAS, ALLAH SWT, RASUL SAW DAN MUKMIN MENJADI SAKSI & PONTENG KE TABUK TAUBAT DITANGGUHKAN.

Full video : https://youtu.be/oLnp2sXTGSw?si=qEJ_IAAsg-hsOKcY

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 105 sehingga 106 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT perintahkan kepada kita agar melakukan amalan dengan ikhlas, buat ibadat dengan terbaik.
  1. Ini kerana Allah SWT tengok, Rasul SAW dan orang mukmin semuanya tengok apa yang kita buat. 
    Kerana dalam hati tak nampak maka kita kena zahirkan apa yang ada dalam sudut hati kita! 
    Semua mereka ini akan menjadi saksi kepada perbuatan & amalan kita dalam ibadat, akhlak dan muamalat; semuanya akan dinilai oleh Allah SWT. 
    Dan walaupun Nabi SAW telah tiada tetapi amalan & Sunnahnya masih ada bersama kita. Kita buatlah seolah Nabi SAW masih ada lagi bersama kita.
  1. Ayat 106 masih lagi dalam episod Perang Tabuk iaitu tentang kumpulan ketiga yang tidak pergi berperang. 
    Mereka ini jujur mengaku tidak pergi tanpa sebab yang munasabah. 
    Lalu mereka menunggu hukuman Tuhan & taubat mereka ditangguhkan.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan antara kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya ialah Dia menerima taubat mereka. 
    Apabila mereka insaf & bertaubat nasuha akan diangkat & dihapuskan segala kesalahan mereka itu dan tidak akan diazab lagi.

    ii- Datang ayat ini sebagai pelengkap. 
    Jika kamu mahu taubat diterima maka bertaubatlah dengan taubat nasuha & beramallah dengan penuh ikhlas kerana Allah & jujur. 
    Jangan kamu tipu kerana segala kerja buat kamu, yang ghaib yang zahir; diketahui oleh Allah yang akan membentangkannya semula semuanya di Akhirat kelak. 
    Bertaubatlah kepada Allah sementara pintu taubat masih terbuka ini!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 105: {DAN KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): BERAMALAH KAMU (AKAN SEGALA YANG DIPERINTAHKAN), MAKA ALLAH DAN RASULNYA SERTA ORANG-ORANG YANG BERIMAN AKAN MELIHAT APA YANG KAMU KERJAKAN; DAN KAMU AKAN DIKEMBALIKAN KEPADA (ALLAH) YANG MENGETAHUI PERKARA-PERKARA YANG GHAIB DAN YANG NYATA, KEMUDIAN IA MENERANGKAN KEPADA KAMU APA YANG KAMU TELAH KERJAKAN”.} (AT-TAUBAH 9:105)

  1. Allah perintahkan kepada Nabi SAW untuk memberitahu manusia agar beramal dengan segala perintah Allah SWT. Buatlah kerja bersungguh & amal ibadat sebaiknya, dengan ikhlas & jujur kerana Allah tahu semuanya dan Allah akan membalasnya ikut kadar amalan itu.
  1. Ulama’ tafsir berbeza pendapat tentang kepada siapakah seruan ini dituju:
    i- Kepada mereka yang tak pergi perang Tabuk & telah datang bertaubat.

    ii- Kepada mereka yang datang minta uzur tetapi tidak menyatakan taubat mereka.

    iii- Al-Wahidi kata: Ayat ini umum kepada kita semua walaupun pada asalnya ayat ini turun kepada peristiwa Tabuk.
    Ayat al-Quran ini umum kepada semua yang kena seruan sehingga ke hari Kiamat, bukan hanya khas kepada orang atau peristiwa ketika ia diturunkan. 
    Jika tidak, kita yang tiada pada masa itu pasti tidak akan termasuk dalam segala hukum-hakam al-Quran.
  1. Serta ingatlah bahawa Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; mereka akan menjadi saksi di sisi Allah & menimbangnya apakah amalan yang kamu kerjakan itu baik atau buruk, apakah kamu termasuk dalam orang baik atau tidak.
  1. Hadis: Daripada Anas bin Malik RA katanya: 
    مُرَّ بِجَنَازَةٍ فَأُثْنِيَ عَلَيْهَا خَيْرًا فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَمُرَّ بِجَنَازَةٍ فَأُثْنِيَ عَلَيْهَا شَرًّا فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَجَبَتْ قَالَ عُمَرُ فِدًى لَكَ أَبِي وَأُمِّي مُرَّ بِجَنَازَةٍ فَأُثْنِيَ عَلَيْهَا خَيْرٌ فَقُلْتَ وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَمُرَّ بِجَنَازَةٍ فَأُثْنِيَ عَلَيْهَا شَرٌّ فَقُلْتَ وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَجَبَتْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ خَيْرًا وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ وَمَنْ أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ شَرًّا وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الْأَرْض ِأَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ
    Maksudnya: “Dibawa satu jenazah, lalu ia dipuji dengan kebaikan. Nabi SAW bersabda: “wajib untuknya” tiga kali. Dibawa pula satu jenazah yang lain, lalu disebut keburukannya. Nabi SAW bersabda: “wajib untuknya.” tiga kali. ‘Umar berkata: “Daku tebus bapa dan ibuku untuk mu ya Rasulullah. Dibawa satu jenazah dan ia dipuji. Lalu Tuan berkata: “wajib untuknya” tiga kali. Dibawa juga satu jenazah lain dan disebut keburukannya. Lalu tuan berkata: “wajib untuknya” tiga kali. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang kamu semua bersaksikan kebaikan untuknya, pasti wajib untuknya syurga. Siapa yang kamu semua bersaksikan keburukan untuknya, pasti wajib untuknya neraka. Kamu semua adalah saksi Allah di muka bumi, kamu semua saksi Allah di muka bumi, kamu semua saksi Allah di muka bumi.” [HR Muslim].

    Apabila kita saksikan jangan menjadi saksi palsu iaitu memberi kesaksian sedangkan kita tidak kenal atau tidak tahu akan sifatnya!
  1. Serta ingatlah walaupun atas dunia ini kamu mungkin terlepas dan selamat daripada segala akta atau hukuman, daripada polis dan segala penguatkuasa yang ada, kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, lalu kamu akan diadili & tidak akan terlepas dari hukumannya.
  1. Yang lebih mengerikan lagi segala perbuatan itu akan didedahkan, ditayangkan balik di hadapan umum segala apa yang kamu lakukan secara ghaib atau zahir lalu akan mendapat balasannya. 
    Kecuali dosa yang telah kita bertaubat darinya, Allah akan sembunyikan atau hapuskan!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah WT ini:
    {Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.} (Al-Baqarah 2:281)
  1. Ingatlah jangan sesekali kita berani buat dosa & maksiat; kita akan dipertanggungjawab di hadapan Allah SWT nanti!

AYAT 106: {DAN SEGOLONGAN YANG LAIN (DARI ORANG-ORANG YANG TIDAK TURUT BERPERANG); DITEMPOHKAN KEPUTUSAN MENGENAI MEREKA KERANA MENUNGGU PERINTAH ALLAH; SAMA ADA DIA MENGAZABKAN MEREKA ATAUPUN IA MENERIMA TAUBAT MEREKA. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AT-TAUBAH 9:106)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah cerita tentang dua kumpulan yang tidak keluar berperang ke Tabuk iaitu kaum munafiq yang membuat keuzuran & kumpulan orang beriman yang mengaku tak pergi tanpa sebab dan terus bertaubat sendiri seperti Abu Lubabah. 
    Allah kata mereka ini golongan yang mencampurkan amalan baik dengan amalan buruk.

    ii- Maka ayat ini menceritakan tentang kumpulan ketiga yang tidak pergi berperang Tabuk, yang datang mengaku dengan jujur tetapi belum bertaubat secara khas, maka tunggulah apa keputusan Allah ke atas mereka.
  1. Allah menyatakan dalam ayat tentang satu lagi kumpulan orang beriman yang tidak pergi keluar berperang ke Tabuk, ditangguhkan hukuman ke atas mereka sehingga Allah putuskan. 
    Keputusan atas dosa dan amalan semua manusia adalah atas keputusan Allah, untuk menerima atau menolak taubat seseorang semua hak Allah.
  1. Kata ar-Razi RHM: Allah membahagikan mereka yang tidak pergi perang Tabuk kepada 3 kumpulan:
    i- Kumpulan orang munafik yang di dalam nifaq & kafir tulen.

    ii- Kumpulan orang mukmin yang mengaku mereka tak pergi berperang, lalu bertaubat & memohon ampun dari Allah kemudian mereka sendiri menjatuhkan hukuman ke atas diri mereka. 
    Mengikut ulama’ tafsir: Ini adalah kumpulan Abu Lubabah dan sahabat-sahabatnya; ada kata 9 orang, ada kata 7 orang. 
    Mereka ini salah mengaku kepada Nabi SAW, pergi ke masjid Nabi SAW dan mengikat badan mereka pada tiang masjid.
    Ini adalah kumpulan yang Allah katakan telah mencampur antara amalan baik & buruk!

    iii- Kumpulan yang ketiga dalam ayat ini ialah orang mukmin yang mengaku salah, mereka jujur dalam pengakuan.
    Namun mereka tidak bertaubat atau menghukum diri sendiri, dalam kebinggungan, hanya menunggu hukuman & arahan dari Allah SWT!
  1. Kata Ibnu Abbas dan lain-lain ahli tafsir: Mereka ini ialah Ka’ab bin Malik, Murarah bin Rabi’ah dan Hilal bin Umayyah. 
    Mereka bukan tidak mampu atau tidak ada kenderaan tetapi terlambat berangkat kerana menunda-nunda persiapan, dan lalai sehingga perang selesai.
    Apabila Nabi SAW kembali mereka mengakui kesilapan mereka tidak ikut serta dan tidak memberikan alasan yang tidak benar kepada Nabi SAW.
  1. Bagi tiga orang ini hukumannya kita tunggu dalam ayat 118 nanti. 
    Hukuman Allah sudah turunkan, sudah sampai kepada Nabi SAW, kita lihat nanti.
  1. Allah tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa:
    i- Allah Maha Mengetahui {عَلِيمٌ}- Yakni Allah tahu segala perkara termasuk tentang keadaan mereka ini yang jujur & ikhlas serta mengaku salah, lalu Allah mengenakan hukum yang agak berat.

    ii- Lagi Maha Bijaksana {حَكِيمٌۭ}- Kerana Allah nak angkat darjat mereka.
    Bukan angkat darjat kerana tak pergi berperang tetapi kerana jujur & mengaku kesalahan mereka, serta ikhlas menerima hukuman Allah walaupun berat!  
    Allah puji orang yang jujur & telus ikhlas ini! 

    Tetapi peliknya bahasa mahkamah ciptaan manusia ini dengan istilah-istilah yang boleh mengelirukan seperti: mengaku tidak bersalah (biarpun jelas dia buat salah), guna silap teknikal untuk bebas, dilepaskan tanpa bebas dan sebagainya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 105: {Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan;…}-

    Kamu buatlah amal dengan terbaik, buatlah segala kerja dengan penuh ikhlas kerana Allah SWT lihat semua yang kamu lakukan.
    Maka jangan berani-berani kerana apabila kita sandarkan kepada ilmu Allah; maka tiada yang tersembunyi dari ilmu-Nya.
    Kata ulama’: Apabila kamu nak taubat taubatlah dengan jujur & ikhlas; tinggalkan segala perbuatan yang tidak baik itu, menyesali segala dosa & kesalahannya yang lalu, berhenti tarik hand-brake, menyesal & tinggalkan segala dosa yang lepas itu.
    Serta diikuti dengan amalan yang ikhlas selepas daripada itu! 
    Jangan dok main-main lagi, taubat nasuha yang wajib meninggalkan segalanya! 
    Bukan taubat ulu golok, lepas taubat buat pula!
    Ini ramai orang tidak bertaubat kerana mereka tidak pernah menyesal dengan apa yang mereka lakukan atau tidak mengakui ianya satu dosa atau kesalahan.
    Yakni kita kena buktikan penyesalan dengan diikuti dengan amalan! 
    Jika menyesal saja tetapi tidak beramal, tetap tidak menjadi!!!
  1. Ayat 105: {Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan;…}-

    Ayat ini memberi galakan (ترغيب) & memberi peringatan (ترهيب).
    Iaitu:
    i- Galakan: Buat amal yang ikhlas dan bersungguh kepada Allah, ini satu galakan yang besar dari Allah SWT untuk orang taat.

    ii- Kemudian datang amaran: Kamu buat baik-baik kerana Allah lihat & tengok segala amalan kamu itu!
    Kata ulama’: Kamu buatlah amalan untuk masa depan kamu, kamu jangan malas-malas dan melengah-lengahkannya. 
    Kamu buat baik-baik Allah akan lihat segalanya.
    Buatlah amalan kerana Allah dan buat yang terbaik kerana Allah lihat.
    Solatlah seolah itu solat terakhir kita, satu motivasi yang amat baik.
    Ayat ini Allah suruh kita buat molek-molek kerana Allah tengok serta pentingnya ikhlas dalam perjuangan.
    Ia juga amaran daripada kita cuai, lagha, lalai & buat maksiat, agar kita jangan berani buat dosa maksiat yang melanggar hukum Allah kerana kita berada di bawah pantauan, CCTV Allah setiap saat & minit. 
    Malaikat pula mencatat segalanya.
    Kita manusia pasti akan datang lintasan hati akibat hasutan syaitan untuk riya’ takabbur hasad dan sombong. 
    Jika kita dapat kawal & hapuskan sebelum ia keluar dari mulut atau perbuatan maka kita akan selamat! 
    Ingat serta sedarlah bahawa ia adalah mainan syaitan yang mahu merosakkan amalan kita!
    Sebuah buku motivasi untuk beramal yang menarik serta telah ada rakaman Kuliah syarahnya: Dunia Bukan Syurga.
  1. Ayat 105: {Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan;…}-

    Kita tahu Allah lihat segalanya dan sudah mencukupi jika hanya setakat itu.
    Maka apa faedah Allah kata amalan kita juga akan dilihat oleh Rasulullah SAW & manusia beriman lainnnya?? 
    Apa faedah & kepentingannya??

    Jawapan:
    i- Kita manusia ini ada nafsu, apabila mendapat pujian kita akan bersemangat dan makin rajin untuk beramal, pujian sebagai satu motivasi untuk lebih rajin.
    Maka Allah nyatakan jika kamu buat baik, Rasulullah akan suka kepada kamu, orang mukmin juga akan lihat & menilai kamu! 
    Kita akan semakin bersemangat untuk beribadat tetapi bukan kerana kita nak cari pujian!
    Bahkan Rasulullah SAW pernah ditanya jika kita buat baik & orang puji kita bagaimana? Nabi SAW kata tidak mengapa kerana pujian itu adalah satu khabar gembira yang segera dari Allah. 
    Atas dunia ini lagi kamu dengar orang puji amalan kamu; maka di Akhirat kelak begitulah juga! 
    Tetapi kita bukan bangga & riya’ hanya gembira mendengarnya!

    ii- Orang mukmin itu sebagai saksi juga kepada manusia lain untuk Allah SWT pada hari Kiamat sebagaimana ayat-ayat di atas tadi & hadis tentang pujian kepada jenazah tadi, Allah akan mengambil-kiranya. 
    Tetapi ingat jangan main-main, kena puji orang yang kita kenal jika tidak jadi pujian atau persaksian palsu pula!

    Sebagaimana firman Allah SWT ini:
    {Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.} (Al-Baqarah 2:143)

    iii- Apabila sebut Allah jelas- apabila sebut Rasulullah SAW juga tak pelik kerana Rasul adalah utusan dari Allah kepada kita. 
    Manakala apabila disebut orang mukmin semua juga sebagai saksi, yang akan menilai dan mengakui kebaikan atau keburukan seseorang, maka ia penting juga untuk kehidupan dalam masyarakat.

    Sebagaimana kisah Ka’ab, Hilal, Murarah dan Abu Lubabah dan lain-lain yang tidak pergi berperang tadi; setelah mereka bertaubat, mereka akan kembali ke dalam masyarakat yang akan menilai mereka. 
    Maka jika mereka telah bertaubat & Allah terimanya, orang ramai tidak akan menghukum dan mengata lagi kepada mereka bahkan mereka akan menjadi saksi akan taubat & amalan baik mereka.
    Jadi kita fahamlah kenapa Allah sebut semua itu, lengkaplah persaksian atas dunia ini. 
    Yang Akhirat kelak pastilah lebih lagi!
  1. Ayat 105: {Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan;…}-

    Dalam ayat ini kata ulama’ tadabbur: Kita orang Islam ini biarlah mendapat keredhaan dan kesukaan orang mukmin yang lain.
    Bilakah orang Islam lain akan redha kepada kita?
    Iaitu apabila kita baik, kita ikhlas & jujur, kita tidak menipu & tidak kelentong kita akan disayangi!
    Orang jujur akan disayangi; tetapi ingat dalam masa yang sama mungkin ada orang yang akan ambil kesempatan ke atasnya.
    Kata para ulama’: Ini pentingnya kita duduk dalam kelompok orang yang beriman.
    Ini kerana orang mukmin itu adalah orang yang baik-baik, mereka akan saling tolong -menolong dalam kebaikan & taqwa.
    Jika kita lemah (dalam iman atau keadaan) mereka akan tolong ingatkan & kuatkan! 

    Kata pendakwah: Orang mukmin itu lemah jika keseorangan tetapi dia akan kuat jika berkawan! 
    Tapi kena tengok juga dengan siapa kita berkawan, jika berkawan dengan puak yang anti Islam, pastilah kita akan terpalit sama! 
    Kena pilih kawan juga jangan tangkap muat, kena pilih yang mukmin juga!
    Kata ulama’ juga: Orang mukmin semuanya tidak akan berkumpul atau berpakat atas kesesatan & keburukan!
  1. Ayat 106: {Dan segolongan yang lain (dari orang-orang yang tidak turut berperang); ditempohkan keputusan mengenai mereka kerana menunggu perintah Allah;}-

    Ayat ini mengatakan terdapat satu golongan lagi yang menunggu hukum & keputusan dari Allah SWT.
    Maka jelas dari ayat ini ada tiga kumpulan daripada peristiwa Tabuk itu:
    i- Pertama kumpulan munafiq.

    ii- Kumpulan yang datang mengaku & taubat serta menghukum dirinya sendiri seperti Abu Lubabah tadi.

    iii- Kumpulan ketiga yang jujur mengakui kesalahan mereka tanpa mencari alasan yang tidak munasabah dan mencari keuzuran palsu! Mereka ini tunggu dulu sehingga turun ayat, wahyu dari Allah.
    Maka mereka masih menunggu hukuman & keputusan Allah apakah Allah akan terima taubat mereka atau mereka akan diazab! 
    Amat mencemaskan.

    Penjelasan tentang kisah Abu Lubabah dalam siri lepas yang dikatakan ayat 102 bukan diturunkan berkenaan kisah Abu Lubabah bin Abdul Munzir.

    Tetapi setelah disemak kata ulama’ ternyata diturunkan kepada Abu Lubabah ayat al-Quran teguran begini sebanyak dua kali:
    i- Apabila dia salah memberi isyarat kepada puak yahudi yang akan dijatuhkan hukuman oleh Nabi SAW, iaitu firman Allah:
    {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).} (Al-Anfal 8:27)

    Ayat ini diturunkan kepada Abu Lubabah bin Abdul Munzir, seorang sahabat yang bersimpati & memberi isyarat kepada yahudi bani Quraizah yang telah ditawan & akan dijatuhkan hukuman selepas peperangan Khandak. 
    Kisah ini berlaku pada tahun ke-5H.
    Sekembali ke Madinah dia berasa bersalah lalu bertaubat dengan menambat dirinya di salah satu tiang dalam Masjid Nabi SAW. 
    Untuk mengetahui cerita lanjut tentang kisah Abu Lubabah & Yahudi serta tiang bersejarah ini boleh baca buku Madinah & Kelebihan.

    ii- Kemudian sekali lagi terjadi kesalahan Abu Lubabah yang rupanya tidak pergi berperang juga ke Tabuk. 
    Dia berasa bersalah lalu menjatuhkan hukuman sendiri dengan sekali lagi mengikat dirinya pada tiang dalam masjid Nabi SAW. 
    Kisah perang Tabuk ini berlaku pada tahun ke-9H.

    Lalu Allah menegurnya melalui firman-Nya ini:
    {Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (At-Taubah 9:102)
    Ini adalah ayat menegur Abu Lubabah & kumpulannya yang tidak pergi berperang Tabuk. Wallahu a’lam!

Semoga Allah terima taubat kita, mengampunkan dosa kita serta kita semua berjaya ikhlaskan amalan kita kepada Allah SWT tanpa ada persaan riya’ takabbur dan sombong!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top