MASJID DHIRAR MUNAFIQ, MASJID AT-TAQWA, QUBA & MASJID NABI SAW.
Full video : https://youtu.be/E_N3a4ATHGg?si=EoIsa7lalFlqCoCu
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 107 sehingga 110 dalam juz kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang peranan munafiqin nak pecahkan kesatuan umat Islam dengan bina sebuah masjid yang dinamakan masjid dhirar, iaitu masjid yang jahat, sesat.
Walaupun sebuah masjid kerana dibina dengan niat tak baik ia membawa mudharat dan keburukan!
- Kemudian Allah kata masjid yang kamu kena pergi ialah masjid at-Taqwa, iaitu bermula dengan masjid Quba yang dibina atas taqwa, masjid pertama dalam Islam bagi umat Muhammad SAW.
- Tidak berapa lama selepas itu Nabi SAW membina pula Masjid Nabi SAW. di dalam bandar Madinah; juga masjid yang dibina atas taqwa.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang perangai jahat, sifat keji puak munafiqin; sama ada perkataan buruk mencera Islam menghina orang mukmin, juga perbuatan & tindakan yang jahat.
ii- Maka dalam ayat ini Allah sebut kemuncak kejahatan mereka iaitu mereka bina satu pusat untuk munafiqin berkumpul sesama mereka bagi merancang kejahatan atas orang Muslimin.
Mereka namakan pusat itu masjid tetapi bukan dibina atas taqwa kepada Allah dan untuk beribadat tetapi untuk menjatuhkan Islam, memecah-belahkan umat.
Lalu Allah sendiri namakan masjid munafiq itu masjid dhirar, masjid yang jahat, sesat!!!
Jika Allah sendiri telah menamakannya begitu, maka siapalah kita untuk tidak memanggilnya begitu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 107: {DAN (DI ANTARA ORANG-ORANG MUNAFIK JUGA IALAH) ORANG-ORANG YANG MEMBINA MASJID DENGAN TUJUAN MEMBAHAYAKAN (KESELAMATAN ORANG-ORANG ISLAM), DAN (MENGUATKAN) KEINGKARAN (MEREKA SENDIRI) SERTA MEMECAH-BELAHKAN PERPADUAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, DAN JUGA UNTUK (DIJADIKAN TEMPAT) INTIPAN BAGI ORANG YANG TELAH MEMERANGI ALLAH DAN RASULNYA SEBELUM ITU. DAN (APABILA TUJUAN MEREKA YANG BURUK ITU KETARA), MEREKA AKAN BERSUMPAH D ENGAN BERKATA:” TIDAKLAH YANG KAMI KEHENDAKI (DENGAN MENDIRIKAN MASJID INI) MELAINKAN UNTUK KEBAIKAN SEMATA-MATA “. PADAHAL ALLAH MENYAKSIKAN, BAHAWA SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH BERDUSTA.} (AT-TAUBAH 9:107)
- Allah nyatakan ada di antara golongan munafiq itu yang membina sebuah masjid.
Sebuah masjid sesat yang cukup bahaya iaitu masjid dhirar (fitnah / sesat) kerana dibina bukan untuk Allah tetapi untuk pecah-belah dan membuat perancangan jahat ke atas Islam.
- Lokasinya berdekatan dengan masjid Quba’ juga.
Tetapi ajaibnya ada lagi sebilangan umat Islam yang apabila ke Madinah bertanya mencari tentang lokasi masjid ini!!!
Sedang masjid ini apabila Nabi SAW arahkannya untuk diruntuhkan tiada siapa lagi hiraukannya.
- Perangai buruk munafiq adalah kufur yang tulen tetapi tersembunyi dalam diri & hati, penampilan seperti Islam tetapi mulut busuk mengata Islam dan menghina umat Islam.
- Tujuan masjid dhirar dibina adalah untuk memecah-belakahkan kesatuan umat Islam, menyampaikan dakyah kepada orang Islam yang boleh menyebabkan mereka ragu-ragu dan waswas dalam hati orang beriman.
- Juga supaya orang tidak sampai ke masjid Nabi atau masjid Quba’ lalu tidak berjumpa Nabi SAW & para sahabat kerana telah pergi ke masjid mereka sahaja.
Maka umat Islam ketika itu mula berpecah kepada ramai jemaah, mendengar pula keburukan yang disebarkan di masjid munafiq.
Inilah realitinya, keburukan membina masjid terlalu banyak & berdekatan sehingga boleh memecahkan jemaah & mengecilkan bilangan jemaah.
- Mereka juga berangan-angan untuk menjadikan masjid itu sebagai pusat atau markas untuk tentera Rom yang datang untuk menyerang Madinah berkumpul, sebagai kem & pengkalan tentera kononnya.
- Pengasas atau perancang yang menghasut untuk membina masjid ini ialah seorang lelaki dari kaum Khazraj yang bernama Abu Amir ar-Rahib, dia juga yang menggali lubang dalam perang Uhud sehingga Nabi SAW jatuh ke dalam lubang itu. Nabi SAW telah menukar namanya kepada Abu Amir al-Fasiq.
Semoga Allah campakkan balasan azab yang setimpal ke atasnya!
- Kemudian apabila dapat dikesan rancangan buruk mereka itu; mereka akan terus datang bersumpah memberi alasan menyatakan bukan bergitu, bahawa tujuan mereka adalah baik, masjid dibina untuk kebaikan dan seumpamanya.
Lembut gigi daripada lidah mereka cuba menegakkan kesalahan mereka!
- Tetapi Allah terus mematahkan alasan mereka itu dengan terus memecahkan tembelang mereka dengan menegaskan bahawa Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta!!!!
AYAT 108: {JANGAN ENGKAU SEMBAHYANG DI MASJID ITU SELAMA-LAMANYA, KERANA SESUNGGUHNYA MASJID (QUBAA’ YANG ENGKAU BINA WAHAI MUHAMMAD), YANG TELAH DIDIRIKAN DI ATAS DASAR TAQWA DARI MULA (WUJUDNYA), SUDAH SEPATUTNYA ENGKAU SEMBAHYANG PADANYA. DI DALAM MASJID ITU ADA ORANG-ORANG LELAKI YANG SUKA (MENGAMBIL BERAT) MEMBERSIHKAN (MENSUCIKAN) DIRINYA; DAN ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG MEMBERSIHKAN DIRI MEREKA (ZAHIR DAN BATIN).} (AT-TAUBAH 9:108)
- Kemudian Allah melarang Nabi SAW daripada menghadiri majlis atau solat di masjid itu apabila mereka munafiq menjemput Baginda SAW datang merasmikannya.
- Allah katakan sesungguhnya masjid yang Nabi SAW bina atas dasar taqwa adalah lebih baik bagi Nabi SAW & seluruh orang Islam yang beriman untuk bersolat padanya!
- Manakah masjid yang telah didirikan di atas dasar taqwa yang dimaksudkan Allah ini?
Ulama’ memberi beberapa pendapat kita ambil kesimpulannya:
i- Masjid pertama yang telah didirikan di atas dasar taqwa ialah masjid Quba’.
ii- Diikuti masjid kedua iaitu Masjid Nabi SAW yang dibina tak lama selepas itu dalam bandar Madinah pada awal ketibaan dari hijrah.
Sejarah & maklumat tentang Masjid Quba’ & Masjid Nabi SAW jangan lupa boleh dibaca dalam buku yang ringkas ini.
Juga sebagai bekalan para tetamu Tanah Suci: Madinah Munawwarah, Kelebihan & Sejarah.
- Hadis riwayat dari Abu Said al-Khudri RA:
قال الإمام أحمد: حدثنا موسى بن داود: حدثنا ليث، عن عمران ابن أبي أنس، عن سعيد ابن أبي سعيد الخدري قال: تمارى رجلان في المسجد الذي أُسس على التقوى من أول يومٍ، فقال أحدُهما: هو مسجد قباء. وقال الآخر: هو مسجد رسول الله ﷺ. فقال رسولُ الله ﷺ: هو مسجدي هذا. تفرد به أحمد.
Seorang lelaki kalangan Bani Khudrah dan seorang lelaki kalangan Bani Amr B. Auf telah meragui atau bertengkar mengenai (manakah) masjid yang dibinakan di atas dasar taqwa. Maka berkatalah Al-Khudri ialah masjid Rasulullah SAW (di Kota Madinah).
Manakala Sahabat yang lain berkata: ialah Masjid Qubaa.
Maka keduanya datang menemui Rasulullah SAW bagi tujuan tersebut.
Maka Nabi SAW bersabda: Ialah (masjid) ini (iaitu masjid Nabi), dan pada yang demikian terdapat banyak kebajikan. [HR Ahmad]
Yakni kedua-dua masjid ini dibina atas dasar taqwa.
- Allah kata lagi di masjid taqwa itu ada para lelaki dari kalangan sahabat Nabi SAW yang yang suka iaitu mengambil berat dalam membersihkan & mensucikan dirinya daripada najis & kotoran.
Sama ada kotoran secara zahir atau yang batinnya supaya kita ber istighfar dan berzikir.
- Allah juga Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka daripada kotoran zahir dan batin; dengan melakukan istighfar & taubat.
AYAT 109: {MAKA ADAKAH ORANG YANG MEMBANGUNKAN MASJID YANG DIDIRIKANNYA DI ATAS DASAR TAQWA KEPADA ALLAH DAN (UNTUK MENCARI) KEREDAAN ALLAH ITU LEBIH BAIK, ATAUKAH ORANG YANG MEMBANGUNKAN MASJID YANG DIDIRIKANNYA DI TEPI JURANG YANG (HAMPIR) RUNTUH, LALU RUNTUHLAH IA DENGAN YANG MEMBANGUNKANNYA KE DALAM API NERAKA? DAN (INGATLAH) ALLAH TIDAK AKAN MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AT-TAUBAH 9:109)
- Munasabah ayat:
Allah membuat bandingan, nak nyatakan perbezaan antara dua masjid:
i- Maksudnya masjid dhirar yang dibina atas kekufuran; penuh dengan kotoran & najis, iaitu orangnya hati kotor & busuk.
ii- Serta masjid taqwa yang dibina atas iman, orangnya penuh dengan kebersihan dan hati yang ikhlas beriman kepada Allah.
- Kata ulama’ tafsir: Yakni Allah tanya binaan masjid mana yang kamu nak pilih & nak pergi?
i- Binaan yang dibina atas taqwa, ikhlas kepada Allah, mencari keredhaan Allah.
ii- Atau binaan munafiq yang kufur sesat, yang seperti binaan di tepi jurang yang akan runtuh, kemudian mereka akan diruntuhkan ke dalam neraka.
- Nabi SAW menyebut beberapa hadis yang menyatakan akan kelebihan Masjidnya:
i- Daripada Abu Hurairah RA, yang menyatakan Nabi SAW bersabda: “Solat di masjidku ini lebih baik daripada seribu solat di tempat lain kecuali Masjidil Haram”. [HR Bukhari & Muslim].
ii- Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian datang ke Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya, nescaya pahalanya seumpama pahala melakukan umrah”. [HR At-Tirmizi & An-Nasa’ei].
- Di akhir ayat Allah berkata lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya yakni para munafiqin & pembina masjid dhirar itu ke dalam api neraka Jahannam.
- Dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim- Kecuali mereka bertaubat nasuha & insaf.
AYAT 110: {(KERUNTUHAN MASJID) YANG DIBINA OLEH MEREKA YANG MUNAFIK ITU SENTIASA MENJADI PENYAKIT SYAK DAN KELUH-KESAH (LEBIH DARIPADA YANG SEDIA ADA) DALAM HATI MEREKA, (DAN TIDAK AKAN HABIS) KECUALI (APABILA) HATI MEREKA HANCUR-LULUH (DALAM TANAH). DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AT-TAUBAH 9:110)
- Kesan daripada pembinaan masjid dhirar itu menambahkan kemunafiqan dan keraguan dalam hati mereka.
Iaitu apabila tembelang mereka diketahui oleh Nabi SAW, mereka datang bersumpah palsu tidak mengaku, bersumpah mereka ikhlas bina masjid kerana Allah.
- Allah gambarkan tujuan mereka nak lari tak boleh!
Apa boleh buat pendedahan itu dari Allah SWT sendiri, bukan dari wartawan atau blogger atau scrut!!
- Maka habislah mereka; masjid mereka diruntuhkan, tembelang mereka pecah, mereka kena kutuk & pulau, rahsia terdedah.
- Maka dalam hati mereka bertambah sakit sehingga meletup hati mereka, pecah jantung mereka lalu mereka mati atas keraguan & kekufuran!
- Kemudian Allah nyatakan bahawa:
i- Allah Maha Mengetahui {عَلِيمٌ}, yakni Allah tahu semua apa yang kamu buat wahai munafiq, Allah tahu apa yang zahir & apa yang ada dalam hati kamu; maka tak perlu berlakon & bersumpah palsu!
ii- Lagi Maha Bijaksana {حَكِيمٌ} Allah maha bijak bagaimana cara untuk menangani karenah munafiq dan menguruskan hukuman terhadap mereka.
Kerana itu Nabi SAW berjaya menangani masalah ini dengan baik & aman.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 107: {Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam),…}-
Orang jahat & perbuatan yang tidak baik boleh memberi kesan, merosakkan nama tempat yang baik.
Seperti munafiq yang membina masjid itu, walaupun masjid tempat baik tetapi masjid itu menjadi tempat sesat dan membawa kemudharatan kerana:
i- Mereka tidak bina masjid itu atas dasar taqwa.
ii- Mereka tidak bina masjid untuk menyatukan ummah.
Maka walaupun nama masjid tetap mungkar & maksiat tempat itu sehinggakan Allah larang Nabi SAW daripada pergi ke tempat itu!
Demikian juga ketaatan itu dapat memberi kesan kepada sesuatu tempat.
Seperti kita buat masjid maka bumi di situ juga akan mendapat kebaikan & berkat.
Ini kerana dari bumi biasa ia menjadi bumi yang mulia & disayangi Allah kerana ia telah bertukar dari rumah kita kepada rumah Allah!
Kerana itu jika kita ada tanah yang menjadi jiran masjid dan masjid memerlukannya untuk pembesaran masjid atau pembinaannya, kita berilah, jika perlu duit boleh jual, jika tak perlu duit boleh waqafkannya!
Masya’ Allah, betapa bertuahnya jika tanah kita bertukar dari bumi biasa kepada bumi bertuah, tanah berkat yang menampung rumah Allah tempat manusia beribadat!
Tetapi kita rasa sedih betapa ramai jiran masjid yang berkeras tak mahu beri tanahnya kepada masjid, jual pun tidak waqaf pun tidak!
Kononnya nostalgia tanah peninggalan mak atau ayah, nak simpan sebagai kenangan!
Betapa besarnya keuntungan jika tanah kenangan peninggalan ibu bapa itu ditukar menjadi rumah Allah!
- Ayat 107: {Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta…}-
Mereka ini membina masjid dengan niat buruk untuk membahayakan & memecahkan umat Islam.
Maka jika begini niat mereka; wajib orang Islam hapuskan pusat itu & meruntuhkanya sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW di Madinah ke atas masjid dhirar binaan munafiq!
Iaitu sekembalinya Baginda dari Perang Tabuk, terus diruntuhkan masjid itu selepas diberikan wahyu oleh Allah tentang peranan sebenar masjid yang dibina oleh munafiqin ini, dengan tujuan yang jahat & buruk ke atas orang Islam.
Walaupun ia masjid tetapi kerana dibina atas niat yang tidak betul, maka ia adalah sesuatu yang buruk!
Betapa besarnya kepentingan niat dalam Islam, maka hati-hatilah kita, kena betulkan niat!
Apakah masjid dhirar ini?? Dalam ayat ini ada empat sifatnya yang buruk:
i- Kufur
ii- Memecah-belahkan umat Islam.
iii- Menjadi tapak/pusat bagi mereka yang nak memerangi Islam.
iv- Serta banyak lagi keburukannya.yang lain.
Rumusan yang dibuat oleh Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya:
i- Masjid dhirar ialah semua masjid yang dibina bukan kerana Allah, seperti kerana riya’ nak cari glamour, atas dasar pelancongan, nak untung, nak menarik minat orang datan sahaja dan seumpamanya!
Jika kita tahu masjid dibina atas dasar ini; jangan sesekali kita pergi solat & menghidupkan masjid itu kerana ia dibina bukan kerana Allah.
ii- Tidak harus kita bina masjid di sebelah masjid lain.
Kerana ia boleh memecah-belahkan masyarakat atau jemaah.
Kena ada jarak yang sepatutnya dan sesuai mengikut kebiasaan masyarakat.
iii- Apa saja masjid yang dibina bukan untuk tujuan kepada Allah maka ia adalah masjid dhirar.
Maka jika tahu masjid sebegini, dibina atas dasar tadi, kita boleh menyekat pembinaannya atau meruntuhkannya jika sudah terbina kerana boleh menyebabkan perpacahan umat Islam!
- Ayat 107: {Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu…}-
Ini adalah antara tujuan jahat pembinaan masjid yang amat bahaya, bukan kerana Allah.
Tetapi kerana nak pecah-belahkan umat Islam & nak beri tapak pangkalan kepada musuh untuk masuk memusnahkan Islam!
Kata ulama’: Ayat ini adalah ciri-ciri kejahatan yang paling besar oleh kaum munafiq iaitu mereka menzahirkan kerja yang mulia tetapi mempunyai racun yang buruk!!
Iaitu buat masjid bukan kerana nak beribadat kepada Allah tetapi kerana nak pecah-belahkan umat Islam & nak beri tapak pangkalan kepada musuh untuk masuk memusnahkan Islam!
Ini jelas telah terbukti dalam sejarah di mana pada zaman penjajah barat (kafir) dulu, apabila ada tokoh agama atau alim ulama’ yang aktif menggerakkan masyarakat dan memberi kefahaman tentang keburukan penjajah kepada oleh orang ramai, mereka lalu mencantasnya dengan segera dengan cara halus.
Iaitu seperti menaja ulama’ itu untuk dihantar belajar ke luar negara seperti ke Makkah atau lain-lain Tanah Arab.
Orang ramai lalu gembira melihat usaha baik & menyambutnya dengan baik sedangkan itu hukuman buang negeri agar tidak mengacau pentadbiran mereka & mencelikkan mata rakyat!
Bijak puak kafir & munafiq ini! Orang Islam nak buat masjid nak pergi haji boleh belaka; tetapi tujuan sebenar mereka ialah nak menjauhkan mujahid Islam daripada medan perang & medan perjuangan!
Iaitu orang munafiq atau kafir membina masjid dengan tujuan:
i- Membahayakan (keselamatan orang-orang Islam),
ii- Dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri)
iii- Serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman,
iv- Dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya.
Maka kerana itulah Nabi SAW apabila mengetahui rahsia ini terus mengambil langkah segera dengan meruntuhkan masjid dhirar binaan munafiq itu & menghapuskannya!
Iaitu dengan cara bakar & runtuhkan tanpa kesan kerana ia membawa mudharat yang besar!
- Ayat 109: {Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik,…}-
Asas pembinaan sesebuah masjid itu mestilah atas dasar taqwa, atas dasar ikhlas kepada Allah, kecil atau besar tak kira, simple atau tidak megah tidak mengapa.
Itulah yang paling penting dalam pembinaan masjid!
Bukan kerana nak menyohor, nak bermegah dengan kebesaran, kemegahan & keindahan masjid.
Apa guna masjid berjuta-juta
Kerana Nabi SAW telah bersabda:
i- Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda: لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَبَاهَى النَّاسُ فِي الْمَسَاجِدِ
Maksudnya: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga manusia bermegah-megah dengan masjid-masjid.” [HR Abu Daud (449)]
ii- Diriwayatkan:
– يوشَكُ أن يأتيَ على النَّاسِ زمانٌ لا يبقَى من الإسلامِ إلَّا اسمُه ولا يبقَى من القرآنِ إلَّا رسمُه مساجدُهم عامرةٌ وهي خرابٌ من الهُدَى علماؤُهم أشرُّ مَن تحتَ أديمِ السَّماءِ من عندهم تخرُجُ الفتنةُ وفيهم تعودُ خلاصة حكم المحدث : منقطع الراوي : علي بن أبي طالب | المحدث : البيهقي | المصدر : شعب الإيمان الصفحة أو الرقم : 2/788 التخريج : أورده ابن عدي في الكامل 4/227، وغيرهما. وضعفه في السلسلة الضعيفة، برقم (1936)، وقال: ضعيف جدا .
Bermaksud: “Sudah hampir tiba suatu zaman apabila tiada yang tinggal daripada Islam itu kecuali namanya sahaja dan tiada tinggal daripada al-Quran kecuali tulisannya sahaja. Masjid dibina indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang berada di bawah langit. Daripada merekalah keluarnya segala fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali.” (HR Baihaqi – Sanadnya sangat lemah)
Iaitu trend di mana umat manusia lebih berbangga dengan binaan masjid daripada tujuan sebenarnya.
Tanda-tanda akhir zaman ini termasuk kemewahan masjid yang tidak seiring dengan kekosongan saf solat, kurangnya sambutan majlis ilmu, dan berkurangnya aktiviti keagamaan, di mana manusia lebih fokus pada aspek fizikal masjid daripada memakmurkan hati. Ilmu berkurangan yang banyaknya bergendang dalam masjid & kedatangan selebirti-selebriti!
- Ayat 110: {(Keruntuhan masjid) yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit syak dan keluh-kesah (lebih daripada yang sedia ada) dalam hati mereka,…}-
Allah gambarkan sifat munafiq yang buat perangai buruk tadi.
Apabila masjidnya sudah hilang, akibat dari keruntuhan & kehancuran masjid yang mereka bina itu dan rancangan jahat untuk memecah-belahkan umat Islam gagal, membuatkan orang munafiq terus bertambah keraguan dalam hati mereka, hati mereka pecah & kecewa.
Begitulah kekecewaan yang akan berlaku kepada sesiapa yang mahu mengkhianati Islam, mereka buat perancangan buruk untuk menjatuhkan Islam; tetapi perancangan Allah adalah lebih hebat & besar daripada mereka.
Alhamdulillah, kita yakin dan percaya bahawa munafiq ada di mana-mana; tetapi kita juga yakin dengan janji Allah yang akan menggagalkan perancangan jahat mereka ke atas Islam.
Lalu hancur luluhlah hati mereka kerana perancangan buruk mereka telah gagal!
Mereka masuk dalam kubur akan diazab & dicampak ke dasar neraka!
Kita bina masjid atas dasar taqwa; bukan kerana nak menyohor & menunjuk-nunjuk, bermegah dengan keindahan & kemewahan masjid!
Kita bedoa kepada Allah agar apa yang kita infaq, apa yang kita bina ini adalah ikhlas untuk Allah SWT!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
