View Categories

(50) Surah At-Taubah: Ayat 122-123

11 min read

JIHAD FARDHU KIFAYAH, KEWAJIPAN MENUNTUT ILMU & MEMERANGI GOLONGAN YANG DEKAT DAHULU.

Full video : https://youtu.be/bP99Txb7i0o?si=PWI8fbqvFJDVQu3T

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 122 sehingga 123 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kepada kita bahawa tugas jihad berperang menentang musuh adalah fardhu kifayah.
  1. Begitu juga tugas kewajipan menuntut ilmu adalah fardhu kifayah juga. 
    Yakni kena ada dua-dua golongan ini, jihad & dakwah barulah stabil dan seimbang.
    Jihad tanpa ilmu adalah bahaya kerana mungkin akan membawa kepada kezaliman & keganasan. 
    Kena ada timbang tara antara pejuang & pendidik.
  1. Siyasah atau peraturan untuk memerangi orang kafir adalah dengan memerangi golongan yang dekat dahulu. 
    Begitulah yang dilakukan oleh Nabi SAW, menghapuskan musuh dekat & disekitar Madinah dulu sebelum pergi jauh.
    Jangan tinggalkan negeri kita kosong tanpa pertahanan terus pergi jauh.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT perintahkan jihad & nyatakan kelebihan pergi berjihad & apa saja kesusahan yang dihadapi akan mendapat pahala di sisi Allah.

    ii- Datang ayat ini sebagai satu garis panduan kepada pejuang Islam untuk membahagikan kepada dua golongan.
    Kena ada juga golongan yang tidak keluar berjuang tetapi yang belajar menambah ilmu, tafaqquh fiddin (pemahaman agama) untuk memberi tunjuk ajar kepada orang Islam lain.
    Kerana jihad kena ada dua-dua, jihad dengan senjata & jihad dengan hujjah, dalil & Burhan.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 122- {DAN TIDAKLAH (BETUL DAN ELOK) ORANG-ORANG YANG BERIMAN KELUAR SEMUANYA (PERGI BERPERANG); OLEH ITU, HENDAKLAH KELUAR SEBAHAGIAN SAHAJA DARI TIAP-TIAP PUAK DI ANTARA MEREKA, SUPAYA ORANG-ORANG (YANG TINGGAL) ITU MEMPELAJARI SECARA MENDALAM ILMU YANG DITUNTUT DI DALAM AGAMA, DAN SUPAYA MEREKA DAPAT MENGAJAR KAUMNYA (YANG KELUAR BERJUANG) APABILA ORANG-ORANG ITU KEMBALI KEPADA MEREKA; MUDAH-MUDAHAN MEREKA DAPAT BERJAGA-JAGA (DARI MELAKUKAN LARANGAN ALLAH).} (AT-TAUBAH 9:122)

  1. Allah nyatakan tidak sepatutnya semua orang Islam keluar meninggalkan negeri pergi berjihad dalam satu waktu. 
    Kena ada susun atur jadual penggiliran & pembahagian tugas.
  1. Kata Abu Ubaid al-Qasim bin Sallam (أبو عبيد القاسم بن سلاّم) :
    Jika tiada ayat ini yang membawa SOP atau panduan berjihad, maka ia akan menjadi satu kewajipan yang berat ke atas semua orang. 
    Lebih-lebih lagi jika peperangan yang dihadiri oleh Nabi SAW sendiri (ghazwah).  
    Tetapi jika tidak dihadiri oleh Nabi SAW iaitu Saraya, kena ada juga yang tidak keluar tetapi duduk di Madinah belajar menimba ilmu dari Nabi SAW dan mengajar mereka yang keluar tadi apabila mereka kembali!
  1. Kena ada dari setiap kabilah/jamaah kumpulan yang keluar berjuang & dalam masa yang sama kena ada juga satu kumpulan lagi yang belajar menimba ilmu!
    Contoh jika kita perlukan tentera dalam bilangan 3000, maka yang baki lagi tak perlu pergi, teruskan kerja-kerja keperluan lain, menjana ekonomi negara & menuntut ilmu.
  1. Tetapi jika negara sedang diancam oleh serangan musuh & pemimpin negara menyeru semua untuk keluar berjihad mempertahankan negara, maka ketika itu adalah fardhu ain, semua orang yang mampu wajib keluar mempertahankan negara & agama!
    Tidak ada lagi keperluan untuk membahagi kepada penuntut ilmu kerana negara sedang terancam & dalam bahaya!
  1. Manakala tugas orang yang menuntut ilmu, yang tak keluar berjihad yang tafaqquh, yang duduk mengaji ini ialah untuk mengajar kumpulan tentera yang keluar berjuang tadi apabila mereka kembali. 
    Supaya mereka tidak ketinggalan dan ketandusan ilmu. 
  1. Atau golongan ini keluar menuntut ilmu ke tempat yang sepatutnya dan kembali ke kampung mereka untuk mengajar, ta’lim, berdakwah menyampaikan kebenaran & ilmu kepada masyarakat!
  1. Ini supaya mereka yang tidak menuntut ilmu mendapat manfaat, ilmu pengetahuan lalu mereka dapat berjaga-jaga dari melakukan larangan Allah, terjebak dengan maksiat.
  1. Kita yang ada ilmu ini jika tidak menyampaikannya kepada orang ramai siapa lagi yang akan menegur dan membimbing mereka ke arah kebenaran! 
  1. Ada juga sebahagian manusia yang ilmunya tak ada atau tak banyak; tetapi rajin nak mengajar nak jadi tok guru, buka pondok buka ribat. 
    Maka apabila tak cukup bekalan ilmu mulalah cari yang mengarut dan timbul benda pelik.
    Ini bukan tuduhan tetapi menyatakan kebimbangan! 
  1. Ada juga sebahagiannya menggunakan pelajar untuk meminta duit, mengutip derma, tunjuk pelajar tak cukup makan kelaparan, asrama yang dhaif dan seumpamanya. 
    Jika tak ada kemampuan & kepakaran jangan buka dari awal lagi! Allahu al-Musta’an, bukan kita nak menuduh sesama kita tetapi muhasabah itu penting.

AYAT 123- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! PERANGILAH ORANG-ORANG KAFIR MUSYRIK YANG BERDEKATAN DENGAN KAMU; DAN BIARLAH MEREKA MERASAI SIKAP KEKERASAN (SERTA KETABAHAN HATI) YANG ADA PADA KAMU; DAN KETAHUILAH SESUNGGUHNYA ALLAH BESERTA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA (DENGAN MEMBERIKAN PERTOLONGANNYA).} (AT-TAUBAH 9:123)

  1. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah ajar akan susun atur peperangan & penuntut ilmu dalam ayat yang lepas;

    ii- Maka dalam ayat ini Allah ajar feqah keutamaan (Fiqh Aulawiyyat), jika kita berperang (atau berdakwah juga) kita mulakan dengan orang yang dekat dulu. 
    Serta dalam peperangan kena tunjukkan kekuatan & keberanian sebagai tentera Islam jangan tunjuk lemah & lembik.
  1. Allah mengajar kepada orang beriman untuk mulakan peperangan dengan memerangi kafir-kafir yang ada dekat & sekitar mereka yang memusuhi Islam dulu! 
    Jika kita melangkah jauh tinggal yang dekat mungkin mereka akan merampas negara kita.
  1. Kata Imam Ibnu Kathir: Allah perintahkan orang mukmin untuk memerangi orang kafir dekat dan awal dulu. 
    Kerana ini Nabi SAW mulakan perperangan dengan:
    i- Menyekat kafilah perdagangan yang melalui Madinah untuk mencari dana, 

    ii- Memerangi kaum munafiq & kaum yahudi yang ada dalam Madinah,

    iii- Pembukaan Makkah & selepas itu keluar ke Hunain & Taif.

    iv- Selepas itu ke Yaman, Yamamah, Hajar Khaibar & Hadramaut, ini sempadan Semenanjung Tanah Arab. 
    Orang Arab sekitarnya mula masuk Islam berduyun-duyun.

    v- Setelah kuat barulah Nabi SAW pergi ke Tabuk mencari Rom. 
    Begitulah kaedah perjalanan kena cari yang dekat dulu baru yang jauh. 
  1. Beberapa ayat yang menunjukkan susunan siyasah peperangan, susunan plan dakwah ini ikut tertib:  
    i- Berdakwah & beri peringatan untuk kaum keluarga yang terdekat dulu, firman Allah SWT:
    {Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.} (Asy-Syu’ara’ 26:214)

    ii- Kemudian berdakwah di Semenanjung Tanah Arab & sekitarnya sebagaimana firman Allah:
    {…dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk “Ummul-Qura” (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya;} (Al-An’am 6:92)

    iii- Selepas itu Allah perintahkan untuk keluar dari Jazirah Arab, keluar cari puak ahli Kitab dan lain-lain sebagaimana firman-Nya:
    {Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan keadaan taat dan merendah diri.} (At-Taubah 9:29)
    Ini dari sudut lokasi begitu tersusun & berstrategi.
  1. Manakala dari sudut gaya peperangan pula, kamu kena tegas berani jangan lemah & lembik, biar orang kafir itu terasa gerun akan kekuatan & keberanian tentera Islam.
    Menyebabkan mereka apabila dengar saja tentera Islam datang terus rasa takut, ingin menyerah diri & berdamai, tak berani nak bertempur secara berdepan!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini juga:
    {Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).} (Al-Fath 48:29)

    Inilah yang sepatutnya jiwa orang beriman, tetapi apa yang berlaku hari ini sebaliknya, keras & menekan terhadap orang Islam, gelaran buruk, sekat & ancam sana sini sesama Islam.
    Tetapi lunak & toleransi kepada orang kafir yang jelas menolak Islam melalui fahaman & pegangan mereka!
  1. Di akhir ayat Allah kata; Yakinlah kamu Allah akan beri pertolongan kepada orang beriman untuk menentang & mengatasi musuh tetapi syarat mesti bertaqwa iaitu ikut arahan & jauhi larangan! 
    Jika kita bertaqwa Allah berjanji bahawa Allah akan bersama dengan orang bertaqwa.
    Ya Allah semoga kita menjadi orang yang muttaqin agar kita layak mendapat kasih sayang, bantuan dan pertolongan & kemenangan dari Allah Azza wa Jalla!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 122- {Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang);…}-

    Dalam ayat ini Allah nyatakan orang mukmin jangan semuanya keluar berperang! 
    Kena ada sebahagian dari mereka yang belajar & tafaqquh fiddin.
    Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini menunjukkan kelebihan ilmu & menuntut terutamanya alim dalam ilmu agama kerana ia akan memberi kefahaman & kebaikan dunia & Akhirat.

    Sabda Nabi SAW: مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
    “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, maka ia diberi kefahaman dalam agama.” [HR Bukhari & Muslim].

    Dengan ada ilmu dapat menolong tuannya menimbang baik buruk, perkara salah atau betul dalam agama, menjaganya agar tidak terseleweng & lari daripada landasan yang benar.
    Sesiapa yang ada ilmu jangan simpannya saja, ilmu mesti disebar & dikongsikan barulah betul.
    Ayat ini juga menjadi dalil bahawa keluar berjihad & menuntut ilmu adalah fardhu kifayah, jika sudah ada segolongan yang melakukannya tak perlu orang lain buat lagi.
    Kecuali dalam keadaan darurat tadi, negara dalam ancaman & serangan musuh, semua orang wajib keluar mempertahankan negara & agama!
  1. Ayat 122- {Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang);…}-

    Sesiapa yang menunggang agama, mencari ilmu tidak ikhlas tetapi untuk mendapat kepentingan dunia & harta, mendapat pujian manusia, pangkat yang tinggi tetapi jika tidak beramal dengan ilmunya maka dia akan rugi!
    Dia ingat apa yang dia buat itu sudah baik tetapi sebenarnya tidak!
    Ayat ini juga mengajar kepada kita tentang kepelbagaian ilmu, bukan hanya belajar satu jenis ilmu saja tetapi kena belajar & tahu semua bidang ilmu.
    Pihak pemerintah kena buat silibus dalam pelajaran agar komprehensif & menyeluruh, ada orang yang belar tauhid, feqah, tafsir, hadis dan sebagainya.
    Begitu juga jadual kuliah di masjid/surau kena susun jadual, jangan bertindan hanya kelas tafsir saja seminggu itu, biar ada semuanya, feqah, tauhid dan sebagainya.
    Tujuh malam bialah ada 7 subjek baru lengkap penyebaran ilmu, jika tidak rugi besar!
  1. Ayat 122- {… supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya…}-

    Satu kumpulan lagi berusaha mencari ilmu sama ada di dalam atau luar negeri.
    Memang ilmu sama saja di mana-mana, di Malaysia atau luar negara.
    Tetapi jika ditempat kita duduk itu tiada ilmu yang dikehendaki atau tidak ada orang alim yang nak mengajarnya, maka kita kena keluar mengembara, musafir ke tempat yang terkenal dengan ulama’ dalam bidang masing-masing.
    Tetapi ingat jangan apabila sudah melangkah beribu-ribu kilo tetapi masih lemah & malas dalam menuntut ilmu, tidak cuba mengambil peluang berada di dalam lubuk ilmu & di kalangan alim ulama’ besar!
    Jangan undur ke belakang, pergi keluar negara untuk menuntut ilmu tetapi belajar apa yang sudah ada di negara kita tanpa penambah-baikan! 
    Jika nak belajar yang sama tak perlulah pergi jauh-jauh.
    Fiqh ini satu kesenian yang besar & bukan semua orang dapat memahaminya, tetapi Allah sudah bahagikan tugas.
    Maka apabila pemimpin sudah bahagikan tugas, petugas kena terima. 
    Contoh seseorang itu adalah seorang pejuang tetapi kali ini dia diarahkan untuk tidak pergi berperang kerana kena menuntut ilmu. 
    Lalu walaupun dia tidak pergi berjihad tetapi kerana jiwanya jiwa mujahid, dia dapat pahala juga.
    Itulah pentingnya menyertai tugas dalam kebaikan.
  1. Ayat 123- {Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan…}-

    Dalam ayat ini pula Allah ajar orang Islam dalam berperang dengan musuh kena keras & kuat.
    Kata ulama’: Begitulah sepatutnya sifat orang mukmin yang sempurna imannya; kena baik, berkasih sayang dan lemah-lembut sesama mukmin. tetapi keras & berani dengan orang kafir.
    Jika sebaliknya, iaitu baik & lemah kepada orang kafir sehingga menyerah kepada segala permintaan mereka yang melemahkan Islam, maka ia adalah satu kerugian yang besar & bertentangan dengan ajaran Islam.
  1. Ayat 123- {Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan…}-

    Dalam ayat ini Allah ajar siyasah atau politik peperangan.
    Iaitu sama ada dari segi:
    i- Lokasi, perangi kafir yang dekat dulu! 
    Jangan berani pergi jauh, tinggalkan tapak tanpa hapuskan musuh yang ada dekatnya dulu!

    ii- Cara & sifat, dengan kafir jangan tunjukkan kita ini lemah & monyok, mesti tunjukkan kekuatan, kekerasan & keberanian.
    Ayat ini juga menjadi dalil kepada puak pemerintah & pemimpin untuk menyediakan pejuang & pelapis dalam semua kumpulan. 
    Mesti ada kumpulan pentadbir, kumpulan ulama’, kumpulan tentera dan seumpamanya. Jika tidak orang yang tua akan merasa hanya dia yang pandai.
    Orang yang ada kemampuan diberi kepercayaan, jika dah sampai masa untuk turun kerana apa saja faktor turunlah dengan baik dan beri peluang kepada orang lain yang ada potensi pula!
    Pemimpin jangan jadi seperti daun pisang yang tidak gugur sendiri; terpaksa dipotong/ditarik baru jatuh atau turun!
    Jika daun kelapa jatuh sendiri pula tanpa disedari, bahaya juga ini! 
    Yang penting kita kena ada pelapis dan qader-qader untuk menyambung tugas & misi perjuangan kita!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top