Munafiqin Sekitar Madinah, Mereka Diazab Dua Kali & Ada Yang Mencampur Amalan Baik Dan Buruk.
Full video : https://youtu.be/67uaPPmpOVc?si=9GKj2KbCmNzQtW6s
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah at-Taubah dengan ayat 101 sehingga 102 dalam juzuk ke [11].
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan beberapa jenis golongan manusia di Madinah & sekitar bandar Madinah.
Iaitu di Madinah ramai golongan yahudi, kafir tulen & yang bahayanya kafir munafiqin.
- Mereka yang kafir & munafiq ini akan diazab dua kali iaitu azab dunia & azab Akhirat.
- Mereka ini sama ada yang Islam atau yang kafir & munafiq itu; ada yang mencampur amalan baik dan buruk.
Yang mengaku Islam itu tidak berpegang dengan kemas & tidak kuat dari sudut agama kerana otak mereka masih lagi dijajah oleh penjajah barat yang memisahkan antara kehidupan dunia & agama!
Inilah mazhab sekular.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT bahagikan 4 kategori manusia di Madinah & sekitarnya.
Di bandar Madinah ada mukmin tulen & ada munafiq!
Manakala badwi di padang pasir juga begitu ada yang beriman & ada yang kuat nifaqnya
ii- Maka datang ayat ini Allah menceritakan bahawa ada di kalangan warga Madinah dan mereka yang berada di sekitar Madinah; ada segolongan munafiq yang begitu licik & bijak watak lakonannya sehingga tidak dapat dikesan oleh Nabi SAW & orang lain.
Tetapi Allah nyatakan Allah mengetahui segalanya, tak perlulah mereka menyembunyikannya!
Allah akan mendedahkannya dengan menurunkan ayat-ayat al-Quran yang membolehkan Nabi SAW mengenali & cam mereka!
Senarai munafiq yang ada di Madinah ini Nabi SAW beritahu kepada seorang sahabat yang terpilih iaitu Huzaifah al-Yamani RA
Maka hari ini 31hb Ogos 2025 adalah sempena mengingati hari Kemerdekaan negara kita Malaysia yang ke 68 tahun, atau jika dikira tahun hijrah bermula pada 5 Safar 1377H maka sudah 70 tahun 1 bulan 2 hari.
Sudah tua negara kita dari sudut kemerdekaan tetapi dalam bab undang-undang masih lagi mendakap yang ditinggalkan oleh penjajah orang putih!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 101: {DAN DI ANTARA ORANG-ORANG YANG DI SEKELILING KAMU DARI ORANG-ORANG “A’RAAB” ADA YANG BERSIFAT MUNAFIK DAN (DEMIKIAN JUGA) SEBAHAGIAN DARI PENDUDUK MADINAH; MEREKA TELAH BERKERAS DENGAN SIFAT MUNAFIK; ENGKAU TIDAK MENGETAHUI MEREKA (BAHKAN) KAMILAH YANG MENGETAHUI MEREKA. KAMI AKAN AZABKAN MEREKA BERULANG-ULANG, KEMUDIAN MEREKA DIKEMBALIKAN KEPADA AZAB YANG BESAR.} (AT-TAUBAH 9:101)
- Allah nyatakan bahawa di sekeliling Nabi SAW ada golongan munafiq sama ada dari kalangan Badwi atau penduduk bandar Madinah sendiri seperti Abdullah bin Ubai bin Salul.
Nabi SAW tidak mengetahuinya kecuali apabila Allah SWT menurunkan wahyu mendedahkan tembelang & watak sebenar mereka!
- Di sekeliling {حَوْلَ} di sini bermaksud di sekitar bandar Madinah pada zaman Nabi SAW dahulu.
Mengikut sejarawan Madinah: Bandar Madinah pada zaman Nabi SAW ialah sekitar Masjid Nabi sehingga pembesaran yang dibuat oleh King Fahd.
Tanah Haram luas lagi sekitar 15km x 15km.
- Kemudian Allah nyatakan juga sebahagian dari penduduk Madinah; mereka yang duduk dalam bandar Madinah bersama orang Islam; mereka telah berkeras (sebati) dengan sifat munafik; watak mereka amat licik & lakonan mereka amat meyakinkan sehingga orang sekitar tidak mengetahui mereka tetapi Allah yang mengetahui mereka.
- Kata ulama’ : Bumi suci ada, tetapi ia tidak akan dapat mensucikan orang.
Yang mensucikan orang & jiwanya ialah dirinya sendiri dengan taubat, istighfar, meninggalkan keburukan & melakukan amal kebaikan.
Ini realitinya betapa ramia manusia yang pergi ke Tanah Haram menjadi tetamu Allah tetapi tidak mendapat apa-apa faedah, wataknya tidak berubah dan pahala amalan tidak banyak bertambah.
- Apabila Allah wahyukan kepada Nabi SAW dan dedahkan rahsia siapakah sebenar munafiq di sekeliling Baginda, Baginda memberitahu rahsia senarai munafiq ini seorang sahabat yang mulia, Huzaifah bin al-Yamani RA.
- Mereka ini akan mendapat azab dua kali iaitu:
i- Azab di dunia sama ada disiksa sungguh secara fizikal seperti kalah lalu tercedera atau dibunuh dalam peperangan.
Atau azab mental dengan stress & tekanan perasaan kerana membenci Islam & sakit hati melihat Islam berkembang & umat Islam mendapat kejayaan.
ii- Azab di dalam kubur, di alam barzakh.
- Kemudian azab di Akhirat kelak selepas kebangkitan pada hari Kiamat nanti!
Dalil bahawa mereka akan kena azab Akhirat ini, sebagaimana firman Allah SWT ini:
{Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.} (An-Nisa’ 4:145)
Yakni Allah kata Dia akan letakkan golongan munafiq ini didasar neraka yang paling bawah sekali!
AYAT 102: {DAN (SEBAHAGIAN) YANG LAIN MENGAKUI DOSA-DOSA MEREKA. MEREKA TELAH MENCAMPUR ADUKKAN AMAL YANG BAIK DENGAN AMAL YANG LAIN, YANG BURUK. MUDAH-MUDAHAN ALLAH AKAN MENERIMA TAUBAT MEREKA; SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AT-TAUBAH 9:102)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat-ayat lepas Allah gambarkan pelbagai perangai munafiq; yang tak pergi berperang ke Tabuk dan yang ikut pergi tetapi menjadi pengacau, duri dalam daging, yang yak mahu jihad tak mahu infaq ada semuanya!
ii- Maka datang ayat ini Allah gambarkan sebahagian watak-watak orang Islam yang beriman, yang bukan kafir atau munafiq, beriman tetapi malas pergi berjihad.
Mereka percaya & yakin dengan janji Allah & pahala yang disediakan tetapi tetap malas.
Mereka tahu perkara baik tetapi masih melakukan keburukan walaupun telah beriman dan melakukan ibadat lain.
- Contohnya tak jauh dalam diri kita semua pun ada sifat ini:
i- Islam, solat & puasa tetapi mengambil riba & mengumpat,
ii- Jika wanita, solat & pergi masjid tetapi tak tutup aurat & mengumpat!
Mereka mencampur adukkan amalan baik & buruk mereka, ini perkara ajaib yang berlaku dalam sebahagian masyarakat Islam.
- Allah nyatakan tentang satu kumpulan lain pula, bukan munafiq atau kafir, tetapi orang Islam yang beriman, yang telah melakukan banyak ketaatan tetapi bercampur antara amalan soleh & amalan tak baik!
- Tetapi Allah bagi peluang kepada mereka, jika mereka bertaubat, Allah terima taubat mereka.
Begitulah kita manusia ini berdosa, tiada orang yang tidak ada silap & salahnya, hanya Nabi yang maksum.
- Iaitu mereka yang mengaku buat salah tak pergi berperang ke Tabuk itu ialah 3 orang sahabat yang diketuai oleh Ka’ab bin Malik, mereka mengaku dan meminta maaf kepada Nabi SAW.
Jika ayat ini fokus kepada Tabuk maka mereka yang 3 namanya disebut inilah ditujukan ayat ini; Ka’ab bin Malik, Hilal bin Umayyah, dan Murarah bin al-Rabi’.
- Jadi mereka telah melakukan satu maksiat & kemungkaran yang boleh diambil tindakan yang begitu keras iaitu tidak pergi berjihad.
Maka Nabi SAW telah ambil tindakan yang keras terhadap mereka yang jujur ini.
Kemudian mereka bertaubat secara tulus kepada Allah SWT & diampunkan.
- Mengikut Tafsir al-Munir : Ayat ini walaupun diturunkan kepada beberapa orang tertentu pada zaman Nabi yang tidak pergi berperang Tabuk; tetapi ia umum kepada semua orang yang berdosa termasuk kita semua.
- Ada juga yang berkata ayat ini diturunkan kepada Abu Lubabah bin Abdul al-Munzir, seorang sahabat yang bersimpati & memberi isyarat kepada yahudi bani Quraizah yang telah ditawan & akan dijatuhkan hukuman selepas peperangan Khandak.
- Sekembali ke Madinah dia berasa bersalah lalu menambat dirinya di salah satu tiang dalam Masjid Nabi SAW.
Untuk mengetahui cerita lanjut tentang kisah Abu Lubabah & Yahudi serta tiang bersejarah ini boleh baca buku
Madinah & Kelebihan ini:
https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah…
Tetapi ulama’ menolaknya kerana kisah Abu Lubabah ini berlaku pada tahun ke-5H sedangkan kisah perang Tabuk ini berlaku pada tahun ke-9H.
Kerana itu di dalam Tafsir al-Muharrar tidak ada di sebut kisah ini.
Wallahu a’lam!
- Kesimpulannya kita kata walaupun ayat ini pada awalnya diturunkan kepada beberapa orang tertentu tetapi ia terpakai untuk semua orang yang melakukan kesilapan, kesalahan dan dia bertaubat.
- Di akhir ayat Allah kata: Mudah-mudahan Allah akan menerima Taubat mereka,
Yakini jika mereka bertaubat Allah pasti akan mengampunkan mereka.
Ini kerana kata ulama’ tadabbur : Apabila Allah sebut {mudah-mudahan Allah- عَسَى ٱللَّهُ} ia bererti wajib, pasti Allah akan terima taubat yang kamu buat, taubat yang nasuha.
- Ini kerana sifat Allah itu: Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani, Maka Allah berjanji Dia akan ampunkan jika hamba-Nya bertaubat dengan taubat nasuha yang menyesal bersungguh-sungguh, meninggalkan perbuatan itu dan jika terlibat dengan manusia minta maaf juga!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 101: {Dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari orang-orang “A’raab” ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka…}-
Allah gambarkan di sini antara penduduk Madinah itu ada munafiq yang dikenali & ada munafiq yang tidak dapat dikenali.
Ayat ini menggambarkan kepada kita dua watak atau kumpulan munafiq:
i- Satu yang jelas nampak boleh kita kesan & nampaknya.
Mulut mereka huduh, lisah mereka laser, seperti mereka menghina Islam, mengata kepada Nabi SAW, boleh kita nampak terus & kenal mereka sebagai munafiq.
ii- Manakala satu kumpulan lagi yang wataknya begitu licik, tidak keluar dari mulut & perbuatan mereka sesuatu yang boleh dikesan sebagai munafiq, watak mereka bersih dan seolah setuju semuanya!
Liciknya sehingga tidak boleh dikesan sifat sebenar mereka!
Kata ulama’ : Kedua watak munafiq ini sama ada yang zahir (loud) atau yang hanya diam (silent) makan dalam ada pada setiap zaman, pada zaman Nabi SAW sehingga kepada zaman kita hari ini, sehingga Kiamat.
Kita minta selamat dengan Allah SWT daripada terjebak dengan sifat-sifat buruk ini!
Jika kita berkawan dengan mereka, mereka akan masukkan dakyahnya sedikit demi sedikit dalam otak orang Islam.
Maka kita kena tahu & belajar mengenainya agar kita tidak terjebak & terpedaya dengan munafiq berbulu mukmin yang lebih bahaya daripada musang berbulu ayam!
- Ayat 101: {… dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka…}-
Munafiq ini juga ada di dalam bandar Madinah.
Yakni ada dalam kalangan penduduk Madinah yang hidup bersama Nabi SAW adalah munafiq.
Munafiq ini terjadi kepada sebahagian golongan Ansar sama ada puak Aus & KHazraj yang masuk Islam kerana terpaksa, kerana takut akan keselamatan diri & nyawa serta berpura-pura beriman untuk mendapatkan keuntungan dalam hidup dunia pula!
Kata ulama’ tadabbur : Tidak ada di kalangan orang Muhajirin yang datang dari Makkah menjadi munafiq!
Kerana baik mereka terus tinggal di Makkah & menjadi kafir asli daripada terpaksa berpura menjadi Islam di Madinah.
Kerana itu kita takut, duduk di Madinah tak semestinya selamat!
Sebagaimana kisah apabila kemunculan dajjal, apabila dia tiba di Madinah & tak boleh memasukinya lalu dia menghentak kakinya sehingga bergoncang bumi!
Orang beriman lari mencari perlindungan di Masjid Nabi tetapi orang munafiq akan bertempiran lari keluar dari Madinah untuk bersama dajjal!
Duduklah di manapun, Makkah atau Madinah jika tidak beriman & munafiq, tiada gunanya!
Bumi tidak akan mensucikan manusia, dirinya sendiri dengan iman & jiwa yang ikhlas dapat mensucikannya.
Ayat ini memberi satu kedudukan yang tinggi kepada puak Muhajirin, jelas bahawa dari golongan Muhajirin tidak ada yang munafiq!
- Ayat 101: {… mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka…}-
Munafiq golongan ini amat licik & bijak berlakon sehingga orang tidak mengetahui & mengenal sifat munafiq mereka!
Allah gambarkan kepada Nabi SAW; kamu tidak tahunya tetapi Aku tahu!
Sebagaimana firman Allah SWT :
{Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka; dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya. Dan (ingatlah kamu masing-masing), Allah mengetahui segala yang kamu lakukan.} (Muhammad 47:30)
Kemudian Allah kata Allah akan mendedahkan & mengenalkan perangai mereka melalui percakapan mereka, hina Islam, kutuk orang Islam, hina Nabi.
Lalu Nabi SAW akan dapat mengenali mereka.
Hari ini ini dapat kita kenal orang melalui penulisan mereka di media sosial masing-masing.
Apa yang mereka tulis, post & share itulah pegangan & minat mereka.
Tanda kita cinta Nabi ialah amalkan Sunnah & ajaran Nabi SAW.
Kita nak aman nak selamat jangan hiraukan cakap-cakap orang.
Kita betulkan hati dengan Allah SWT, kita kemaskan pegangan dengan Sunnah Nabi SAW.
Allah nyatakan sifat-sifat munafiq banyak dalam al-Quran, seperti surah Munafiq, satu surah khas, surah al-Baqarah, surah at-Taubah ini dan banyak lagi.
Maka dengan turunnya ayat al-Quran, yang tak kenal & tak tahu dulu; Nabi SAW kenal & tahunya kerana Allah SWT yang memberitahunya!
Mereka munafiq ini akan diazab dua kali, iaitu atas dunia siksa, dalam kubur pun siksa kemudian di Akhirat kelak azab yang pedih.
- Ayat 102: {Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk.}-
Ada di kalangan orang Islam ini, yang menzalimi dirinya dengan mencampur perbuatan antara yang baik & yang buruk!
Sama seperti kita hari ini tak perlu menunding jari kepada orang lain kita lihat diri kita sendiri saja!
Apa kesalahan kita buat, apa dosa kita tak tersalah buat!
Contoh; solat tetapi tidak khusyuk, solat tetapi tetap ambil riba, solat tetapi tidak tutup aurat dengan sempurna, solat tetapi mengata mengumpat orang!
Allahu al-Musta’an!
Tetapi Allah SWT yang Maha kaya, Yang Maha pengampun membuka pintu taubat kepada dengan seluasnya!
Tiada dosa yang tidak diampun sekiranya manusia itu bertaubat & kembali kepada Allah dengan penuh keinsafan.
Kata ulama’ : Syeikh Abu Usman an-Nahdi: Aku tidak berjumpa satu ayat dalam al-Quran yang memberi harapan yang besar kepada manusia kecuali ayat ini!
Harapan yang tinggi bahawa kita akan dimaafkan Allah SWT.
Maka marilah kita bertaubat kepada Allah, marilah kita ambil peluang selagi hayat dikandung badan, sebelum malaikat maut mencabut nyawa dengan bertaubat kepada Allah, insaf meninggalkan segala perbuatan dosa & maksiat serta melakukan ketaatan & amal ibadat.
Kerana itu Allah tutup ayat ini dengan firman-nya :
- Ayat 102: {… Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}-
Bagi mereka yang bertaubat itu mudah-mudah Allah menerima taubat mereka!
Sebagaimana kata ulama’ tafsir & Ibnu Abbas RA : Apabila Allah menyandarkan perkataan {mudah-mudahan -عَسَى ٱللَّهُ} kepada diri-Nya dalam al-Quran, ia bererti janji atau jaminan yang wajib!
Yakni taubat akan diterima jika cukup syaratnya!
Maka marilah kita sentiasa kembali kepada Allah dengan bertaubat kepada-Nya, jangan dok malas dan culas kerana kita akan bertemu dengan Allah SWT suatu hai nanti.
Hadis riwayat dari Samurah bin Jundub RA yang panjang, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Tadi malam, aku mimpi didatangi oleh dua orang. Sepertinya, mereka memang diutus menemuiku dan mengajakku pergi. Aku pun pergi bersama mereka.
(Banyak kisah manusia-manusia yang ditemui Rasulullah SAW, sehinggalah kepada bab ini:)
Sampailah kami di sebuah kota yang dibangun dengan bata-bata emas dan perak.
Kami menuju pintu kota itu, lalu meminta dibukakan.
Maka dibukalah pintunya dan kami memasukinya.
Di sana kami berjumpa dengan sejumlah laki-laki yang separuh rupanya setampan yang pernah engkau lihat, sedangkan separuh rupanya seburuk yang pernah engkau lihat.
Kedua pengiringku (malaikat) berkata kepada mereka, ‘Pergilah kamu, lalu masuklah ke dalam sungai.’
Tiba-tiba sungai itu mengalir berlawanan, airnya bagaikan susu yang sangat putih.
Kemudian mereka pergi dan masuk ke dalam sungai tersebut.
Tak lama berselang, mereka kembali lagi kepada kami, dengan rupa yang semula buruk sudah hilang dari mereka.
Kini mereka menjadi sangat tampan.
Kedua pengiringku kemudian berkata, ‘Ini adalah surga Adn. Dan itu rumahmu.’
Nabi SAW pun bertanya kepada malaikat siapakah mereka ini?
Malaikat menyatakan bahawa: “Kaum yang separuh tampan dan separuh buruk, mereka adalah orang yang suka mencampur-adukkan amal soleh dan amal buruk.
Namun kemudian Allah mengampuni mereka.” [HR Bukhari].
Ini menunjukkan bahawa balasan itu serupa dengan perbuatannya.
Contohnya orang yang suka mencampuradukkan yang hak dan yang batil akan diwujudkan dalam rupa yang separuh bagus dan separuh buruk.
Allah dengan rahmat dan kehendak-Nya akan mengampuni para hamba-Nya yang mencampur-adukkan amal soleh dengan amal buruk.
Allah ampunkan mereka apabila mereka bertaubat sehingga keindahan jiwa mereka akan kembali dan keburukan mereka akan terhapus.
Ya Allah jadikan kami hamba-Mu yang bersalah ini sentiasa bertaubat dan taufiqkan kami melakukan ketaatan & amal soleh yang tebaik, hidup dalam iman & mati dalam iman.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
