KEWAJIPAN JIHAD KE ATAS WARGA MADINAH, SEMUA KESUSAHAN DIKIRA AMAL SOLEH & SETIAP INFAQ DAPAT PAHALA.
Full video : https://youtu.be/9ZiTciB7i6o?si=_pE9QNMKbIbJ_ieW
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 120 & 121 dalam juz kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang kewajipan jihad ke atas warga Madinah, yang dalam bandar, pinggir bandar atau badwi di pedalamannya.
Wajib taat kepada Nabi SAW apabila dikerahkan untuk berjihad semua kena pakat pergi.
- Ini kerana semua kesusahan yang dihadapi dalam perjalanan dan ketika berperang akan dikira sebagai amal soleh.
- Begitu juga setiap infaq yang diberikan untuk fi-sabilillah banyak atau sedikit, setiap langkah yang mereka tuju ikut Nabi SAW akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT juga.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT perintahkan untuk orang beriman untuk menjadi orang yang benar, jujur & ikut Nabi SAW dalam perjuangan jangan lari darinya.
ii- Maka datang ayat ini, bukan hanya dakwa dengan mulut tetapi buktikan, tunjukkan kebersamaan kamu, kepatuhan kamu untuk solidariti bersama dengan Nabi SAW dalam semua keadaan, susah senang, panas sejuk, pahit maung dan semua keadaan!
- Semalam 9/8/2025 berlaku gerhana bulan penuh bermula pada jam 11.28 berakhir hampir jam5 pagi tadi di Nalaysia dan kelihatan di seluruh dunia.
Alhamdulillah bagi mereka yang berjaya menghidupkan Sunnah Nabi SAW dengan bersolat gerhana di mana saja mereka berada.
Kami warga PSD dengan warga emas & pelajar-pelajarnya semua alhamdulillah diberi taufiq oleh Allah untuk melakukannya semalam.
Semog akita termasuk dalam golongan yang ihya’ Sunnah Nabi SAW.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 120- {TIDAKLAH PATUT BAGI PENDUDUK MADINAH DAN ORANG-ORANG YANG DI SEKELILING MEREKA DARI ORANG-ORANG “A’RAAB” KETINGGALAN DARIPADA (TURUT BERPERANG BERSAMA) RASULULLAH; DAN TIDAKLAH PATUT MEREKA MENGASIHI DIRI MEREKA SENDIRI DENGAN TIDAK MENGHIRAUKAN RASULULLAH. YANG DEMIKIAN KERANA SESUNGGUHNYA (TIAP-TIAP KALI) MEREKA MERASAI DAHAGA, DAN MERASAI PENAT LELAH, DAN JUGA MERASAI LAPAR (DALAM PERJUANGAN) PADA JALAN ALLAH; DAN (TIAP-TIAP KALI) MEREKA MENJEJAK SESUATU TEMPAT YANG MENIMBULKAN KEMARAHAN ORANG-ORANG KAFIR; DAN JUGA (TIAP-TIAP KALI) MEREKA MENDERITA SESUATU YANG MENCEDERAKAN DARI PIHAK MUSUH – MELAINKAN SEMUANYA ITU DITULIS BAGI MEREKA: (PAHALA) AMAL YANG SOLEH. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MENGHILANGKAN PAHALA ORANG-ORANG YANG BERUSAHA MEMPERBAIKI AMALANNYA.} (AT-TAUBAH 9:120)
- Allah nyatakan bahawa tidak patut untuk orang Islam sama ada penduduk bandar Madinah dan di sekelilingnya sedemikian dipinggirnya atau di pedalaman’ tidak ikut pergi bersama Rasulullah SAW ke peperangan Tabuk yang masih berjalan itu (pada masa ayat ini).
- Juga tidak sepatutnya mereka menjaga kepentingan sendiri lebih daripada menjaga kepentingan Rasulullah SAW!
Tidak boleh hanya fikirkan keselamatan & kerehatan dirinya sendiri sahaja sedangkan Nabi SAW menjaga & memikirkan kepentingan semua umatnya!
Maka kita orang Islam kena bersatu bersama Nabi SAW dalam setiap perjuangan susah atau senang!
- Kita sekarang ini:
i- Walaupun tidak ada peperangan menentang musuh dengan angkat senjata, naik kuda atau unta di tengah padang pasir untuk pergi berperang;
ii- Tetapi kita tetap ada peperangan untuk melawan musuh Islam secara direct, perjuangan untuk mempertahankan Sunnah Nabi SAW yang dipinggirkan orang, kita ada peranan untuk memagari agama ini daripada dimasuki ajaran-ajaran yang akan merosakkannya!
- Allah nyatakan sebab kenapa orang beriman kena taat & ikut Nabi SAW itu adalah kerana setiap kesusahan & ujian yang dilalui sama ada:
i- Tiap-tiap kali mereka merasai dahaga dan merasai penat lelah,
ii- Dan juga merasai lapar dalam perjuangan pada jalan Allah;
iii- Dan tiap-tiap kali mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; seperti masuk negara mereka untuk berdakwah,
iv- Dan juga tiap-tiap kali mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh.
- Melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: pahala amal yang soleh.
Yakni setiap kesusahan yang dihadapi akan membawa pahala jika mereka sabar & ikhlas sama ada penghapus dosa atau pengangkat darjat!
- Kata ulama’ tafsir: Semua amalan yang dibuat oleh para pejuang mujahidin, para pejuang itu akan di kira amal soleh walaupun mereka tidak berniatnya sebagai ibadat.
Ini kerana dikira niat asal mereka keluar dulu untuk pergi berjihad menentang kafir fi-sabilillah.
Yakni tidak ada sebarang kerugian bagi para mujahidin dalam perjalanan mereka untuk keluar berjihad fi-sabilillah.
Rugi besarlah sesiapa yang tidak mahu mengambil peluang meraih tawaran yang diberikan Allah ini!
Mengapa kita tidak mahu? mengapa kita tak sir!!
- Hadis tiga kategori kuda:
Dari Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Kuda itu ada tiga jenis.
Yang pertama kuda yang bagi seorang pemiliknya menjadi pahala, yang kedua menjadi alat untuk memenuhi keperluan dan yang ketiga mendatangkan dosa.
Adapun orang yang mendapatkan pahala adalah orang yang menambat kudanya untuk kepentingan fii sabilillah dimana dia mengikatnya di ladang hijau penuh rerumputan atau taman.
Apa saja yang didapatkan kuda itu selama berada dalam pengembalaan di ladang penuh rerumputan hijau atau taman maka semua akan menjadi kebaikan bagi orang itu.
Seandainya talinya putus lalu kuda itu berlari sekali atau dua kali maka jejak-jejak dan kotorannya akan menjadi kebaikan bagi pemiliknya.
Dan seandainya kuda itu melewati sungai lalu minum darinya sedangkan dia tidak hendak memberinya minum maka semua itu baginya adalah kebaikan.
Yang kedua adalah seseorang yang menambatkan kudanya dengan kesombongan, pameran dan permusuhan terhadap Kaum Muslimin maka baginya adalah dosa disebabkan perbuatannya itu”. [HR Bukhari & Muslim].
- Pada hari ini tidak ada kuda perang lagi tetapi kita guna pesawat juang, kereta kebal dan sebagainya.
Begitu juga kita yang berjuang dalam bidang dakwah ini; kamera kita, pen kita, laptop & komputer dan hp kita semua itu adalah kuda-kuda kita yang digunakan untuk berjihad fi-sabilillah.
Kerana dengannya manusia boleh belajar agama, mengaji Quran, tahu hukum-hakam dan insya’ Allah kita akan dapat pahala mengikut kadar usaha yang kita lakukan itu!
- Di akhir ayat Allah kata: Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Yakni orang yang berbuat baik Allah tidak akan hilangkan pahalanya, besar atau sedikit semuanya akan dapat pahala.
AYAT 121- {DAN TIDAK PULA MEREKA MEMBELANJAKAN SESUATU PERBELANJAAN YANG KECIL, ATAU YANG BESAR; DAN TIDAK MEREKA MELINTAS SESUATU LEMBAH, MELAINKAN DITULIS PAHALA BAGI MEREKA, SUPAYA ALLAH MEMBALAS DENGAN BALASAN YANG LEBIH BAIK DARI APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN.} (AT-TAUBAH 9:121)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas dinyatakan kesusahan yang datang dalam perjalanan jihad, susah yang tidak dipinta atau kita tidak mahu; tetap akan dapat pahala.
ii- Manakala dalam ayat ini ialah tanggungjawab seorang mukallaf yang dia kena buat.
Iaitu apabila dia nak bagi infaq atau nafkah; dia kena niat!
Jika tidak ikhlas & niat nak menunjuk tak perlu buat kerana akan rugi.
iii- Maka Allah nyatakan setiap orang yang beri infaq sedikit atau banyak sekadar kemampuannya, tidak melintas melalui kesusahan merentas lembah atau gunung melainkan ditulis bagi mereka balasan pahala yang baik dari Allah.
- Hadis:
i- Rasulullah SAW bersabda:
مَا اغْبَرَّتْ قَدَمَا عَبْدٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَتَمَسَّهُ النَّارُ
Maksudnya: Tidak akan disentuh oleh api neraka kedua kaki hamba yang berdebu menuju ke jalan Allah. [HR al-Bukhari (2811)]
ii- Rasulullah SAW bersabda:
“Dua mata yang tidak akan disentuh api neraka: mata yang menangis kerana takut kepada Allah, dan mata yang berjaga di jalan Allah.” [HR at-Tirmizi (no. 1633)]
- Semua ketaatan yang mereka buat itu supaya Allah membalas dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.
Kita kerja walaupun sedikit tetapi balasan yang Allah beri amat besar!
- Kata al-Wahidi: Ramai ulama’ kata ayat ini satu kelebihan khas untuk para sahabat yang keluar berperang ke Tabuk, kerana Tabuk adalah satu peperangan yang amat mencabar dan penuh kesusahan.
- Tetapi ramai juga ulama’ lain seperti al-Auza’i dan lain-lain: Ayat ini umum untuk semua umat Islam yang pada zaman Nabi & yang terakhir umat ini; semua yang berjuang meletakkan kakinya fi-sabilillah; Allah akan beri pahala kepada mereka dengan yang terbaik dengan apa yang mereka lakukan itu!
- Maka kita cubalah lakukan yang terbaik, ikhlaskan niat perbetulkan arah; semoga kita termasuk dalam kumpulan yang diredhai Allah & mendapat pahala yang terbaik dari Allah.
Ingatlah kita mahu setiap perbuatan, gerak-geri & percakapan kita mendapat ganjaran pahala dari Allah!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 120- {Tidaklah patut bagi penduduk Madinah dan orang-orang yang di sekeliling mereka dari orang-orang “A’raab” ketinggalan daripada (turut berperang bersama) Rasulullah;…}-
Allah kata tidak sepatutnya mereka yang berada di Madinah dan sekitarnya tidak ikut kata Nabi SAW semata-mata kerana nak jaga diri mereka!
Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini menunjukkan bahawa sesiapa yang buat sesuatu dengan niat nak menggerakkan agama Allah maka setiap berdiri duduknya adalah kebajikan!
Begitu juga orang yang buat maksiat, setiap orang share akan dapat dosa!
Kata ulama’ lagi: Betapa besarnya berkat ketaatan semua yang kita buat dapat pahala, begitu juga begitu besarnya bala maksiat, semua yang kita buat dapat dosa.
Ayat ini juga memberi galakan yang besar & satu kempen motivasi untuk kita berani untuk keluar berjihad fi-sabilillah & mengharapkan ganjaran pahala dari Allah.
Setiap yang berlaku, Allah uji susah & senang akan dapat pahala!
Itulah keyakinan kita insya’ Allah.
Setiap mujahid berbeza darjatnya mengikut kekuatan jiwanya, pahalanya mengikut kesabarannya dalam kesusahan & cabaran yang dihadapinya.
Lagi banyak susah lagi banyak pahala.
- Ayat 120- {… dan tidaklah patut mereka mengasihi diri mereka sendiri dengan tidak menghiraukan Rasulullah.}-
Nabi SAW lebih utama untuk kita jaga lebih daripada diri sendiri.
Ayat ini menunjukkan bahawa setiap kita kena korbankan diri kita semata-mata untuk menjaga Nabi SAW dan wajib kita mendahulukan arahan Nabi SAW mengatasi kehendak diri & nafsunya.
Apabila bertembung antara arahan Nabi SAW dengan arahan nafsu, wajib ikut arahan Nabi barulah kita dikatakan mengutamakan Nabi SAW.
- Ayat 120- {Tidaklah patut bagi penduduk Madinah dan orang-orang yang di sekeliling mereka dari orang-orang “A’raab” ketinggalan daripada (turut berperang bersama) Rasulullah;…}-
Allah perintahkan umat Islam untuk bersama Nabi SAW dalam semua keadaan, ketika susah atau senang, sakit atau sihat, kenyang atau lapar.
Satu peristiwa yang berlaku semasa Perang Khandaq, ketika umat Islam menggali parit sebagai strategi pertahanan kota Madinah daripada serangan gabungan musyrikin Quraisy dan sekutunya.
Cuaca sejuk & tanah keras. Bekalan makanan hampir terputus.
Para sahabat bekerja dengan tenaga yang hampir habis. Perut lapar, mulut kering.
Dalam keadaan begitu, beberapa sahabat menunjukkan kepada Rasulullah SAW bahawa mereka telah mengikat batu di perut — sebagai cara untuk meredakan rasa lapar yang menggigit.
Mereka tidak merungut. Mereka hanya ingin Nabi tahu betapa beratnya ujian ini.
Apa jawapan Rasulullah SAW?
Baginda tersenyum, lalu membuka bajunya. Dan di bawah baju itu, terlihat baginda juga mengikat batu di perutnya — sama seperti para sahabat.
Mereka tersentak. Mata mula bergenang. Mereka faham —Rasulullah SAW sedang lapar seperti mereka. Malah, mungkin lebih lapar. Tapi baginda tetap berdiri bersama mereka, tetap menggali parit & memikul pasir. Tetap menyebar harapan dengan senyuman dan sabdanya.
Kata ulama’: Kita orang Islam utamakan hak Nabi SAW iaitu utamakan Sunnahnya mengatasi kepentingan nafsu & diri sendiri.
Kita kena tahu mulianya seseorang itu kerana ikut ajaran Nabi SAW, bukan sebab kaya atau pangkat kerana jika tidak lemahlah dia.
- Ayat 120- {… Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah;,,}-
Lihat kepada susunan ayat yang penuh hikmah tentang ujian kesusahan: dahaga, penat lelah & lapar.
{ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌۭ وَلَا نَصَبٌۭ وَلَا مَخْمَصَةٌۭ}.
Ulama’ tafsir kata:
i- Allah sebut dahaga dulu kerana ia adalah satu ujian yang amat berat terutama dalam musim panas begitu.
ii- Yang kedua Allah kata penat kerana dalam musafir pasti akan merasai kepenatan!
iii- Yang ketiga baru Allah kata lapar, ini kerana manusia biasanya boleh menahan lapar lebih sedikit daripada dahaga, seperti kita pada bulan puasa.
Maka Allah susun ujian yang dihadapi dan akan mendapat ganjaran pahala ikut martabatnya!
Dalam perjalanan hidup kita ini ada dua kategori ujian:
i- Dahaga, penat,lelah & lapar.
ii- Sedekah, infaq, zakat dan lain-lain.
Kata ulama’: Kaedah:
i- Setiap benda yang menyusahkan dan menyakiti kita, walaupun kita tak nak, bukan usaha kita seperti sakit, jika ia datang kita tak boleh elak & lari!
Sakit ini datang tiba-tiba bukan kita yang nak atau tunggu.
Maka ia akan menjadi kaffarah penghapus dosa kita insya’ Allah sebagaimana banyak nas-nas yang menjadi dalil!
ii- Tetapi jika perbuatan itu terjadi dengan perbuatan kita, memang kita nak taat & pahala yang Allah sediakan; memang kita nak buat, kita usaha seperti pergi berperang, menginfaq derma harta keluarkan sedekah dan seumpamanya.
Maka pahala untuk mereka yang melakukannya & dia akan dapat darjat; iaitu diangkat darjatnya ikut tahap amal itu.
Yakni:
i- Semua ujian Tuhan tanpa kehendak kita; ia jadi kaffarah penghapus dosa.
ii- Usaha & amal yang kita buat secara sukarela; ia akan mengangkat darjat!
- Ayat 121- {Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil, atau yang besar; dan tidak mereka melintas sesuatu lembah, melainkan ditulis pahala bagi mereka,}-
Kamu berilah sedekah banyak atau sedikit, Allah tidak akan kira, semuanya akan dapat pahala!
Kamu ada banyak beri banyak, kamu ada sedikit berilah sekadar yang kamu ada tetapi dengan ikhlas!
Jangan bimbang semuanya Allah akan kira & beri pahala!
Orang miskin yang tidak ada duit banyak untuk infaq sedekah, jangan susah hati tengok orang kaya infaq banyak, kita lakukan sekadar kemampuan yang kita ada dengan ikhlas.
Tetap ada ganjaran pahala di sisi Allah sekecil manapun sedekah atau kebaikan yang dilakukan!
Hadis: Sahabat mengadu orang kaya kaut habis pahala:
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: “Orang-orang fakir telah datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: Orang-orang kaya telah pergi (meninggal dunia) dengan darjat yang tinggi dan nikmat yang kekal. Mereka solat seperti kami solat, mereka berpuasa seperti kami berpuasa, tetapi mereka mempunyai kelebihan harta, lalu mereka dapat menunaikan haji, umrah, berjihad, dan bersedekah.
Maka Rasulullah ﷺ bersabda:
Mahukah kalian aku ajarkan satu amalan yang jika kalian melakukannya, kalian akan menyamai mereka yang telah mendahului kalian, dan tidak ada seorang pun yang boleh mengejar kalian selepas itu, serta kalian menjadi golongan yang terbaik dalam kalangan manusia, kecuali jika ada yang melakukan perkara yang sama? Iaitu, bacalah tasbih, takbir, dan tahmid (Subhanallah, Allahu Akbar, Alhamdulillah) sebanyak 33 kali selepas setiap solat.”
Kemudian orang-orang fakir itu kembali kepada Rasulullah ﷺ dan berkata: Saudara-saudara kami yang kaya telah mendengar tentang amalan ini, lalu mereka juga melakukannya!” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Itulah kurniaan Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” (HR Bukhari no. 843, no.6329 & HR Muslim no. 595)
Di akhir ayat Allah tutup dengan harapan yang tinggi: Supaya Allah membalas dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.
Maka oleh kerana jihad ini Allah anggap sebagai satu amalan yang terbaik maka Allah akan beri ganjaran yang besar kepada kamu!
Begitu juga infaq besar kedudukannya di sisi Allah maka kamu jangan rasa rugi rasa habis harta atas apa yang telah disedekahkan.
Ingatlah atas dunia ini kecil belaka, yang besarnya ganjaran di Akhirat kelak yang kekal abadi!
Ya Allah berikanlah kami keikhlasan dalam kerja buat kami serta matikan kami dalam husnul-khatimah.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
