View Categories

(11) Surah Al-Anfal: Ayat 30-31

9 min read

Pelbagai Jenis Perancangan Jahat Kafir, Allah Gagalkan & Quraisy Menolak Al-Quran.

Full video : https://youtu.be/NDv78t88A2g?si=2VTBB0D09go6uW76

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 30-31 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT ceritakan pelbagai jenis perancangan jahat kafir, strategi & konspirasi {وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟} yang dilancarkan oleh pihak musyrikin untuk membunuh Nabi SAW.
  1. Mereka lupa bahawa sekuat mana perancangan mereka, Allah adalah sebaik Perancang {وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَـٰكِرِينَ}!!
    Allah gagalkan rancangan buruk mereka dengan membawa keluar Nabi SAW dari rumahnya, bersembunyi di Gua Thur kemudian selamat berangkat ke Madinah.
    Mana-mana rancangan jahat puak kafir untuk merosakkan Islam tidak akan berjaya kerana umat ini masih lagi umat yang dirahmati & dijaga Allah SWT.
    Walaupun kadang-kadang seolah berjaya tetapi tidak sepenuhnya!
  1. Ada orang Quraisy yang mengembara keluar, membawa balik buku-buku cerita untuk melawan & menolak al-Quran dan melaghakan orang Makkah dari mendengar al-Quran.
    Dengan mengatakan al-Quran adalah cerita-cerita dongeng yang sama seperti buku-buku atau cerita yang mereka jumpa itu!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT peringatkan orang mukmin tentang nikmat-nikmat-Nya; ketika mereka sedikit dan dalam keadaan lemah & takut, Allah beri negeri kepada mereka, pindah ke Madinah.

    ii- Maka datang ayat ini Allah peringatkan pula Nabi SAW pada malam rumahnya dikepung oleh Quraisy yang mahu membunuhnya; tetapi Allah selamatkan Baginda SAW lalu keluar bersama Abu Bakar untuk berhijrah ke Madinah.
  1. Munasabah kedua:
    i- Allah sudah berjanji untuk beri kemuliaan kepada orang mukmin.

    ii- Antara nikmat itu ialah Allah beri kesejahteraan & keselamatan kepada Nabi SAW.
    Orang mukmin wajib utamakan Nabi SAW lebih daripada diri mereka sendiri lagi!
    Jika Nabi selamat walaupun kita tak selamat- adalah dikira selamat.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 30- {DAN INGATLAH (WAHAI MUHAMMAD), KETIKA ORANG-ORANG KAFIR MUSYRIK (MAKKAH) MENJALANKAN TIPU DAYA TERHADAPMU UNTUK MENAHANMU, ATAU MEMBUNUHMU, ATAU MENGUSIRMU. MEREKA MENJALANKAN TIPU DAYA DAN ALLAH MENGGAGALKAN TIPU DAYA (MEREKA), KERANA ALLAH SEBAIK-BAIK YANG MENGGAGALKAN TIPU DAYA.} (AL-ANFAL 8:30)

  1. Allah mengingatkan Nabi SAW lagi tentang perancangan jahat kaum kafr musyrikin yang mahu membunuh Nabi SAW semasa di Makkah dulu.
  1. Peristiwa ini dipanggil rancangan Darun Nadwah, diterjemahkan oleh Syeikh Mubarakfuri sebagai “Parlimen Quraisy”.
    Mereka bermesyuarat di situ untuk menghalang perkembangan dakwah Nabi SAW yang makin hari makin berkembang.
    Lalu keluarlah tiga rancangan jahat ini! Yang terpilih akhirnya untuk membunuh Baginda dengan wakil dari beberapa kabilah yang banyak.
  1. Rancangan jahat itu ialah sama ada:
    i- Menahan, iaitu kurung Nabi dalam tahanan sehingga mati.

    ii- Atau membunuh, Taktiknya ialah dengan mengambil seorang wakil dari setiap kabilah, maka jika berlaku pembunuhan, keluarga Nabi Muhammad tidak akan dapat atau susah nak ambil tindakan atau pembalasan kerana hampir semua kabilah di Makkah akan terilibat!

    iii-Atau mengusir, iaitu dengan letak Nabi SAW atas unta dan lepaskan di padang pasir sehingga mati.
    Akhirnya plan yang paling agresif & dipersetujui ramai iaitu membunuh Nabi SAW.
  1. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah SWT ini:
    {Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (At-Taubah 9:40)
  1. Makki & Madani:
    i- Pada awal perbincangan surah ini dulu,
    Ada sebahagian ulama’ yang mengatakan : Bahawa terdapat beberapa ayat dalam surah ini yang turun di Makkah iaitu Makkiyyah.
    Sedangkan surah ini adalah Madaniyyah yang turun tentang peperangan Badar.

    ii- Kata Syeikh Syanqiti : Setelah dikaji semua Riwayat dan apa yang disebut oleh para ulama’ ayat ini walaupun ia cerita Makkah tetapi ia turun di Madinah.
    Hujjahnya: Ketika datang pertolongan Allah kepada Nabi-Nya SAW dalam peperangan Badar, surah ini turun menceritakan tentang peperangan Badar, kemudian Allah peringatkan Nabi SAW tentang nikmat yang telah diberinya kepada Nabi SAW, yakni bukan baru berlaku tetapi mengingatkan peristiwa. apa yang telah berlaku sebelum hijrah.
    Macamana Allah telah selamatkan Nabi SAW daripada perancangan jahat musuh-musuh yang mahu membunuhnya!
  1. Di ulang balik, rewind cerita ini supaya umat Islam ingat akan sejarah lama dan bersyukur atas nikmat yang Allah telah anugerahkan itu!
    Jelaslah ayat ini ayat arahan untuk bersyukur & turun di Madinah.

AYAT 31- {DAN APABILA DIBACAKAN KEPADA MEREKA AYAT-AYAT KAMI, MEREKA BERKATA: “SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENDENGARNYA. KALAU KAMI MAHU, NESCAYA KAMI DAPAT MENGATAKAN (KATA-KATA) SEPERTI (AL-QURAN) INI. (AL-QURAN) INI TIDAK LAIN HANYALAH CERITA CERITA DONGENG ORANG-ORANG DAHULU KALA”.} (AL-ANFAL 8:31)

  1. Puak kafir itu apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran kepada mereka, mereka berkata: Semua itu adalah benda biasa bukan benda baru & tak pelik pun, kita pun boleh buat ayat begitu!
    Mereka memperlekehkannnya agar orang tidak tertarik.
    Mereka juga mendakwa mereka boleh buat juga ayat atau surah seumpama al-Quran.
    Ini kerana orang Quraisy ini ahli bahasa, ahli lisan, lalu mereka faham semua ayat-ayat al-Quran yang dibacakan ke atas mereka.
    Bahkan mereka puji ayat-ayatnya yang indah tetapi kerana mereka degil keras kepala mereka tetap menolaknya tak mahu terima & beramal dengan isinya.
    1. Munasabah ayat:
      i- Dalam ayat sebelumnya Allah ceritakan tentang perancangan buruk konspirasi untuk menyakiti Nabi SAW ke atas batang tubuhnya iaitu secara fizikal sama ada nak bunuh atau kurungnya!

      ii- Maka dalam ayat ini Allah ceritakan pula rancangan jahat mereka ke atas agama Islam. Mereka menghina dan merendahkan agama pula!
      Beginilah sususan al-Quran begitu indah & teratur, orang yang baca tanpa faham rugilah!
    1. Kata Syeikh Ibnu Atiyah : Banyak riwayat dari Ibnu Juraij, Ibnu Jubair dan lain-lain: Kafir yang mengatakan sedemikian kepada al-Quran ini ialah antaranya an-Nadhru bin al-Harith (النضر بن الحارث)- boleh di katakan sebagai sasterawan Arab pada waktu itu.
      Dia juga seorang yang suka mengembara ke Parsi & Iran.
      Lalu dia banyak menjumpai dan mendengar kisah-kisah dari Taurat & Injil serta dongeng-dongeng seperti kisah Isfandiyar & Rastum dari sebuah buku hikayat.

      i- Lalu dia bawa balik buku-buku & kisah ini di Makkah, membacanya dekat Ka’bah kepada orang ramai.
      Tujuannya untuk melawan kisah-kisah dalam al-Quran yang dibaca oleh Nabi s.a.w lalu orang tak dengar al-Quran.

      ii- Mereka juga cuba buat surah seperti dalam al-Quran, lalu buat sebuah surah tentang gajah, tetapi pastilah tidak berjaya kerana gajah adalah sesuatu yang sudah diketahui dan dimaklumi!!
      Tidak terlawan al-Quran!!
      Puak kafir ini bodoh & sesat sejak dari dulu lagi..
    1. Puak kafir ini juga apabila mendengar al-Quran mereka mengatakan apabila dengar al-Quran: {ini semua tidak lain hanya cerita dongeng rekaan orang dahulu kala!} semua ini untuk melarikan orang ramai dari al-Quran.

    PENUTUP & FAEDAH :

    1. Ayat 30- {Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu…}-

      Perancangan jahat ini berlaku di Darun-Nadwah- mereka bersidang di parlimen Quraisy.
      Cerita lanjut boleh baca buku:
      Makkah Al-Mukarramah.
      https://dartaibah.com/…/NEW-Makkah-Kelebihan-&-Sejarah…
      Persoalan:
      i- kenapa Allah sebut puak kafir itu seolah semuanya?
      Sedangkan yang bersidang hanya beberapa orang sahaja dari kalangan ketua mereka. Tetapi Allah buat ayatnya dalam ayat ini seolah semua orang kafir yang bersidang itu.
      Jawapan:
      Puak kafir semuanya dikira sekali, siapa sokong perbuatan jahat itu dikira seolah turut terlibat!
      Kita pun kena hati-hati nak sokong sesuatu perbuatan orang- kerana sesiapa yang menyokong perbuatan maksiat walaupun mereka tidak buatnya akan turut sama terpalit dengan dosanya.

      ii- Dari sudut bahasa kenapa Allah guna sighah mudhari’- مضارع (present tense) untuk perkataan {menjalankan tipu-daya- وَيَمْكُرُونَ} sedangkan ia sudah berlaku lama, patutnya guna sighah yang lepas (past tense/ماضي).

      Jawapan:
      i- Supaya kita terasa peristiwa itu baru berlaku sekarang, masih hidup & panas-panas lagi.
      Jika guna perkataan Madhi seolah lama telah berlaku dan tidak akan berlaku lagi.

      ii- Digunakan juga present tense kerana perkara ini- perancangan jahat kafir akan berulang berlaku lagi pada masa hadapan dan bila-bila masa saja.
      Sebagai peringatan untuk manusia hari ini juga, kerana sikap kafir dan cabaran umat Islam akan terus berlaku sehingga hari Kiamat.
      Akan ada para pendakwah, penceramah, guru-guru yang akan ditentang dan dihalang atau ditangkap penjara bahkan dibunuh; semata-mata kerana mereka menyatakan kebenaran!
      Supaya kita nampak peristiwa itu hidup dan akan berulang lagi!
    1. Ayat 30- {… Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.}-

      Di sini Allah guna perkataan tipu daya {مكر}- mereka cuba membuat tipu daya tetapi Allah lebih bijak membalas tipu-daya-Nya {وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ ٱللَّهُ}.
      Allah guna perkataan ini kerana nak balas balik tipu daya mereka, jangan pula kita kata nama Allah itu sebagai {ٱلْمَـٰكِرِينَ}.
      Persoalan:
      Kenapa Allah tak sebut atau kata secara khusus bahawa puak kafir itu buat perancangan jahat untuk membunuh Nabi SAW? Yakni spesifik kepada Nabi SAW saja?
      Jawapan:
      Ini kerana Allah nak beritahu bahawa perancangan jahat dan tipudaya orang kafir (يَمْكُرُونَ) akan berterusan & terus wujud sehingga ke hari Kiamat.
      Maka kita orang beriman, para pendakwah yang masuk dalam lorong dakwah & menyampaikan kebenaran al-Quran & Sunnah ini kena bersedia menghadapi cabaran dan sekatan kerana pihak musuh akan sentiasa berusaha & membuat perancangan!
      Sama ada menyekat secara fizikal dengan masuk penjara terus atau menyekat daripada bersuara, naik pentas kerana suara itu akan mengugat khurafat & bid’ah dan ajaran pelik-pelik yang dibawa!
      Maka para pendakwah jangan lemah semangat, atas dunia ini begitulah perancangan musuh Islam, ingatlah kebenaran akan sentiasa ada pada pihak yang benar & pertolongan Allah akan tiba apabila sampai tempohnya! Kita yakin & percaya bahawa Allah SWT akan mengagalkan rancangan jahat puak kafir untuk menawan negara Islam.
    1. Ayat 30- {Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu…}-

      Ingatlah ketika puak kafir bersidang di satu tempat.
      Tempat itu ialah di Darun-Nadwah, iaitu parlimen Quraisy.
      Di situlah perancangan jahat mereka buat, tukar yang Allah kata haram nak jadi halal boleh, yang salah nak jadi betul, nak musnahkan musuh boleh, nak tukar/gubal undang-undang ikut kehendak mereka juga boleh!
      Itulah parlimen Quraisy, parlimen jahiliyyah yang berterusan atas dunia ini!
      Kerana itu menjadi tanggungjawab ahli parlimen muslim untuk memainkan peranan besar bagi mempertahankan Islam, jangan biarkan orang kafir dok main gitu!
      Itu perbuatan yang amat bahaya!
      Bahkan ia bukan dewan yang mulia kerana menentang hukum Allah SWT.
      Tetapi apa boleh buat, perbuatan memainkan hukum Islam menjadi sesuatu yang biasa & tidak dapat dilarang kerana umat Islam sekarang amat lemah iman dan kekuatannya!
      Sepatutnya orang Islam kena bertegas dan berani apabila Islam disekat & dihina.
    1. Ayat 31- {Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata:…}

      Kata ulama’ tadabbur : Golongan kafir ini mereka cuba serang Islam dari dua sudut:
      i- Serang body, atau secara fizikal, nak serang, tahan atau bunuh!

      ii- Serang agama. Mengatakan ayat al-Quran hanya dongen orang dahulu, hanya Nabi SAW reka dan seumpamanya.
      Orang kafir cuba nak meruntuhkan agama kita melalui sumber agama kita.
      Iaitu al-Quran & hadis.
      Maka jika al-Quran itu tak betul, Sunnah Nabi SAW tak boleh pakai, para sahabat pula semuannya tak boleh dipercayai; maka tinggal apa lagi dalam agama ini!
      Kerana itu mereka mainkan isu al-Quran ini hanyalah dongeng orang dulu saja!
      Kena ingat dalam al-Quran tiada kisah dongeng, Allah bawa kisah-kisahnya sebagai ibrah & pengajaran.
    1. Ayat 31- {Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata…}-

      Allah nyatakan bahawa ada saja watak-watak seperti An-Nadhr ibnul Harith ini, yang wujud sepanjang masa, yang cari modal untuk melawan al-Quran dan menjauhkan orang dari al-Quran.
      Begitulah puak yang anti Islam ini akan cari sahaja jalan untuk:
      i- Menimbulkan syubhat keraguan terhadap al-Quran & terhadap kebenaran agama Islam.

      ii- Melaghakan orang daripada dengar & baca al-Quran dengan perkara lain.
      Kita hari ini terdapat pelbagai gajet & aplikasi yang dapat melaghakan orang Islam dengan perkara yang tidak berfaedah seperti game, cerita-cerita dan seumpamanya!
      Watak-watak ini akan muncul sepanjang zaman maka kita hati-hatilah agar tidak jatuh dalam perancangan jahat mereka!
      Tetapi dalam masa yang sama kita kena ingat juga bahawa Allah adalah sebaik-baik Perancang!

    Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

    Wallahu A’lam.

    Powered by BetterDocs

    Scroll to Top